Rabu, 30 Oktober 2013

PENIPU...TEMASUK HUTANG TAPI TAK BAYAR...JANJI BUAT KERJA...DUIT DAPAT KERJA TAK BUAT ATAU TAK SIAP...CEK TENDANG ....JANJI NAK KAHWIN TAPI DAH DAPAT LARI...GORES DAN MENANG DAN BANYAK LAGI KES TIPU...MEREKA NI TAK BOLEH DARI HUKUMAN ALLAH

Bakal pengantin kecewa
  • Bakal pengantin kecewa Wati menunjukkan tempahan kad perkahwinan diperoleh pada peringkat awal yang mempunyai pelbagai kesalahan dan menyukarkannya untuk edar kepada kenalan.
1 / 1
KUANTAN – Seorang bakal pengantin kecewa dan tertipu berikutan kad kahwin yang dijanjikan sebuah syarikat percetakan di Tanah Putih, di sini tidak sempurna dan masih berbaki sedangkan majlis perkahwinan akan berlangsung pada 25 Oktober ini.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Wati, 28, berkata, kesemua kad kahwin yang ditempah itu sepatutnya diberikan pada awal Oktober, namun sehingga kini ia masih belum diserahkan.

Menurutnya, pihak terbabit berjanji akan memulangkan baki kad itu pada 10 Oktober lalu namun sehingga kini janji tidak ditunaikan.

“Saya buntu memikirkan hal ini sedangkan majlis akan berlangsung pada Jumaat ini. Masa terlalu suntuk sedangkan masih ramai pihak belum menerima kad jemputan saya.

“Pada peringkat awal, pihak terbabit beri pelbagai alasan apabila diminta memberikan sebahagian kad kahwin itu, malah mereka sentiasa mengelak berjumpa dengan pelanggan.

Lebih mengecewakan, segala pembayaran sudah dijelaskan,” katanya.

Bukan itu sahaja malah katanya, terdapat kesilapan pada 300 kad pertama di mana alamat, peta dan reka letak yang salah.

“Walaupun banyak maklumat silap tetapi saya masih tidak mempertikaikannya kerana kesuntukan masa dan kad perlu diedarkan segera.

“Saya harap orang ramai berhati-hati membuat tempahan kad kahwin selepas insiden ini,” katanya.
'Ustaz Munir' didakwa
  • 'Ustaz Munir' didakwa Tertuduh (kanan) keluar dari mahkamah selepas dituduh, semalam.
1 / 1
KOTA BHARU - Seorang peniaga mualaf yang menyamar sebagai ‘Ustaz Munir’ dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas empat tuduhan menipu antara 14 dan 18 Oktober lalu.

Tuduhan terhadap Muhammad Munir Abdullah, 27, dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad.

Dia didakwa menipu Muhammad Baihaqi Mohd Noor dengan mengakui sebagai guru agama dikenali 'Ustaz Munir' supaya mangsa menerima tawaran persembahan nasyid dengan kehadiran tetamu kehormat di sebuah hotel di Pengkalan Chepa di sini, jam 11 malam, 18 Oktober.

Sementara pada tiga tuduhan berasingan, dia didakwa memperdaya Md Mizan Md Khabiruddin untuk menerima tempahan 20 bilik, dengan semua kos ditanggung orang kenamaan berstatus Tan Sri di hotel sama, pada jam 1.15 petang, 14 Oktober.
Tertuduh turut didakwa memperdaya Rohana Seman, 48, supaya menerima tempahan makanan dan minuman bagi program motivasi di sebuah kedai makan di Jalan Kebun Sultan di sini, antara jam 12 dan 12.39 tengah hari, 16 Oktober.

Terakhir, tertuduh dituduh memperdaya Johari Abdullah, 55, untuk tujuan sama di sebuah restoran di Jalan Pengkalan Chepa di sini, antara jam 8.30 dan 9 malam, 17 Oktober.

Pada prosiding semalam, tertuduh yang memeluk agama Islam sejak 2008 itu mengaku tidak bersalah.

Ketika ditanya, tertuduh memberitahu mahkamah dia tidak mempunyai apa-apa tujuan melakukan semua kesalahan itu.

Nik Habri menetapkan sebutan semula pada 2 Disember depan untuk lantikan peguam. Tertuduh pula dibenarkan diikat jamin RM15,000. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.
Peniaga guna logo halal palsu
  • Peniaga guna logo halal palsu Terdapat gerai di Hentian Rehat Genting Sempah memaparkan logo halal palsu untuk menarik pelanggan.
1 / 1
BENTONG – Penggunaan logo halal yang tidak diiktiraf Jakim untuk mengaburi mata pengguna menjadi salah satu taktik peniaga untuk melariskan perniagaan mereka terutama melibatkan jualan makanan.

Pengerusi Lembaga Pengguna Malaysia (LPPM), Abdul Aziz Ismail berkata berdasarkan pemantauan dijalankan pihaknya terdapat beberapa premis perniagaan menjual makanan di Hentian Rehat Genting Sempah menggunakan taktik itu.

Katanya, peniaga menampal logo halal di hadapan premis mereka bagi menarik perhatian pelanggan terutama beragama Islam.

“Dalam soal ini, pihak peniaga perlu lebih bersikap bertanggungjawab kerana tindakan mereka meletakkan logo halal palsu di hadapan premis seakan ‘menipu’ pelanggan.

“Walaupun peniaga beragama Islam namun keperluan meletakkan logo halal yang sah adalah penting bagi memastikan kesucian dan kebersihan makanan dijual,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Aziz berkata, pihaknya memandang serius perihal penggunaan logo halal dalam kalangan peniaga.

Katanya, sewajarnya peniaga didedahkan dengan konsep halal ini dan kepentingan mendapatkan sijil halal Jakim di premis perniagaan mereka.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan kesedaran berkaitan isu logo halal ini masih kurang bukan dalam kalangan peniaga malah pelanggan itu sendiri.

Katanya, pihaknya berusaha meningkatkan kesedaran berkaitan konsep halal dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Agama Islam Daerah bagi tujuan itu.

“Jalan terbaik perlu dicari bagi menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan konsep halal kerana ia merupakan fardu ain.

“Apa yang diharapkan menerusi kesedaran yang ada, masyarakat lebih prihatin dalam memilih kedai makan untuk menjamu selera,” katanya.
Murah ada sebab
  • Murah ada sebab Fatimah telah cuba hubungi nombor talian tertera pada bil pembelian untuk dapatkan penjelasan, tetapi gagal.
1 / 2
HULU TERENGGANU - “Makcik rasa seolah-olah ditipu pemborong setelah mendapati banyak ubat gigi dibeli lain daripada yang lain kerana hanya ditutup dengan stapler di hujungnya.

Isinya pula agak cair serta berketul,” kata Fatimah Ali, 51.

Menurut Fatimah yang mengusahakan kedai runcit di sini sejak tahun 2000, bimbang berlaku kesan negatif kepada pengguna dia membuat keputusan tidak menjual kesemua 12 dozen ubat gigi pelbagai saiz dibelinya itu sekali gus terpaksa menanggung kerugian hampir RM1,000.

“Pada 30 September lalu, makcik didatangi pemborong menawarkan pelbagai barangan runcit tetapi secara pakej. Walaupun belum pernah berurusan, namun makcik tidak teragak-agak membelinya melibatkan barangan seperti ubat gigi, makanan ringan serta minuman tin.

“Harga ditawarkan juga lebih rendah berbanding biasa. Nilai keseluruhan barangan dibeli ialah RM1,051 termasuk 12 dozen ubat gigi sejenis jenama bagi pelbagai saiz. Sebagaimana kebiasaan, makcik pasti akan memeriksa terlebih dahulu terutamanya dari segi tarikh luput,” katanya.

Pengguna datang mengadu

Fatimah berkata, beberapa hari selepas itu seorang pengguna datang kembali ke kedai menunjukkan ubat gigi dibelinya berbeza dari segi pembungkusan yang hanya ditutup dengan stapler.

“Terkejut dengan keadaan itu, makcik terus membuka kotak ubat gigi yang berada atas rak.

“Hampir terduduk makcik apabila mendapati banyak ubat gigi yang dijual hanya ditutup dengan stapler walaupun secara luarannya kotak digunakan sama sebagaimana biasa. Selain itu, ada yang telah pun pecah selain isi ubat giginya tidak penuh,” katanya.

Kata Fatimah, dia berasa tertipu dengan keadaan itu apatah lagi gagal menghubungi nombor talian syarikat pemborong beralamat di Taman Sri Gombak, Selangor sebagaimana tertera pada resit pembelian bagi meminta penjelasan.

“Stok ubat gigi sedia ada dari jenama yang sama masih ada atas rak dan telah bercampur dengan ubat gigi dibeli dengan pemborong tersebut. Bimbang sekiranya ada kesan-kesan negatif ekoran keadaan tersebut, makcik buat keputusan untuk tidak menjual keseluruhannya.

“Mujurlah, pengguna yang datang kembali memaklumkan kelainan ini adalah pembeli pertama ubat gigi dari jenama berkenaan. Makanan ringan serta air tin telah pun dijual dan makcik tidak pasti sama ada ada kelainan juga ataupun tidak,” katanya.

Tarikh luput sekitar 2015, 2016

Jelas Fatimah, tarikh luput pada kotak ubat gigi ialah sekitar tahun 2015 dan 2016, namun malangnya isinya begitu berbeza selain hanya dibungkus menggunakan ‘stapler’.

“Makcik rasa telah ditipu dan kejadian sebegini kali pertama sepanjang berniaga kedai runcit ini.

“Mulanya, pemborong berkenaan iaitu dua lelaki memberitahu akan tinggalkan nombor telefon lain selain daripada yang tertera pada resit bagi mudahkan urusan akan datang, namun tidak berbuat demikian. Makcik tidak pasti sama ada mereka terlupa ataupun sebaliknya,” ujarnya.

Katanya, kelainan pembungkusan ubat gigi tersebut mendorong nya membuat laporan di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Rabu lalu dan mengharapkan pengeluar ubat gigi jenama itu turut melakukan siasatan.

“Secara mudahnya, ubat gigi ini seperti ‘direject’ kerana tidak menepati kualiti atau mutu standard ditetapkan. Sebagai peringatan, mahu atau tidak kita harus membuka kotak barang selepas ini untuk memeriksa setiap barangan dibeli bukan sekadar lihat tarikh luput sahaja.

“Sehingga kini, rak yang sebelum ini disusun ubat gigi jenama tersebut masih lagi kosong kerana makcik ambil stok lain dengan mana-mana pemborong. Makcik difahamkan, ada beberapa peniaga lain sekitar ini turut ambil barang daripada pemborong tersebut pada hari yang sama,” katanya.
Rakan subahat kes ragut diburu
  • Rakan subahat kes ragut diburu Som Sak memegang fotofit suspek yang dikenali sebagai Munier (kanan) dan Guna bagi membantu siasatan berkaitan lima kes ragut di Bidor.
1 / 1
TAPAH – Polis Tapah mencari dua lelaki dipercayai rakan subahat suspek yang diberkas berhubung kes ragut sekitar kawasan Bidor.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliw berkata, suspek dikenali sebagai Guna dari Langkap dan Munier dari Bidor dicari bagi membantu siasatan setelah dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian ragut pada September dan Oktober lalu.

Menurutnya, dua individu terbabit berjaya dikesan hasil penahanan sepasang remaja di dua lokasi berasingan, minggu lalu.

"Seorang remaja perempuan berusia 22 tahun dicekup di Kampung Jeram Mengkuang, Jalan Teluk Intan, Bidor, kira-kira jam 3 petang, 11 Oktober lalu.

"Manakala, seorang remaja lelaki berusia20 tahun diberkas di kawasan Langkap dua hari kemudian," katanya.

Hasil penahanan itu, Som Sak berkata, pasangan remaja terbabit mendedahkan dua lagi rakan subahat mereka yang terbabit dalam jenayah ragut di kawasan sama.

"Hasil siasatan lanjut, mendapati dua remaja itu juga mengaku terbabit dalam lima kes ragut," katanya.

Menurutnya, operasi dilakukan sepasukan anggota dari Balai Polis Bidor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJD) IPD Tapah itu turut merampas beberapa barangan serta  dokumen penting, termasuk telefon bimbit, wang tunai, kad pengenalan dan surat pajak gadai milik mangsa.

“Kita percaya, mereka ini kumpulan yang baru  aktif melakukan  jenayah ragut sejak sebulan lalu dan menjadikan Bidor sebagai lokasi sasaran,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah, Asisten Superintendan Md Nasri Fadzir menerusi 05-4015222 atau SMS Rakan Cops 32723 atau datang ke balai polis berhampiran.
Rugi RM195,650 diperdaya pegawai bank palsu
IPOH - Seorang kakitangan kerajaan berputih mata apabila dia kerugian sebanyak RM195,650 selepas diperdaya seorang pegawai bank palsu dalam kejadian yang berlaku awal bulan ini.

Dalam kejadian 7 Oktober lalu,, lelaki berusia 47 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai bank dan menyatakan kad kredit milik mangsa digunakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak, Superintendan Maszely Minhad berkata, suspek kemudian memberikan nombor talian Bank Negara Malaysia (BNM) kepada mangsa untuk membuat aduan.

“Selepas semakan dibuat, suspek menyatakan nama mangsa turut digunakan seorang penama di Singapura untuk membuka akaun bersama.

“Mangsa kemudian diarahkan ke bank berkenaan untuk menyemak baki wang dalam akaun kononnya untuk tujuan keselamatan.

“Setelah mangsa memaklumkan mengenai jumlah wang dalam akaunnya, suspek mengarahkan mangsa mengeluarkan semua wangnya dan memindahkannya ke akaun suspek.

“Akibat bimbang, mangsa melakukan tiga kali transaksi pemindahan wang dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM195,650,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, kegiatan suspek berjaya dihidu dan Rabu lalu JSJK Perak menyerbu sebuah rumah di Rawang, Selangor.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui tiga slip pengeluaran wang akaun berjumlah RM259,950 dan tiga buku akaun bank tempatan milik suspek.

“Selain itu, siasatan awal mendapati suspek berusia 36 tahun itu turut terbabit dalam tiga kes dengan modus operandi sama,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan di anggota JSJK Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kerana terbabit dalam dua kes penipuan pinjaman tidak wujud di sini pada Khamis lalu.

Maszely berkata, suspek ditahan berdasarkan dua laporan dua lelaki berusia 33 dan 35 tahun dari Ipoh dan Kuala Kangsar pada Mei 2011.

Menurutnya, modus operandi suspek adalah dengan memperdayakan mangsa melalui iklan pinjaman wang.

“Apabila mangsa menghubungi suspek menggunakan nombor telefon tertera di iklan tersebut, suspek akan meminta mangsa memasukkan wang pendahuluan bagi tujuan pemprosesan dokumen.

“Selepas mangsa memasukkan wang tersebut ke dalam akaun diberikan, suspek akan menghilangkan diri dan gagal dihubungi," katanya.

Menurutnya, bagi kedua-dua kes tersebut mangsa mengalami kerugian sebanyak RM17,700. Sebelum ini, suspek dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh atas kesalahan sama membabitkan sembilan kes.

Suspek dituduh pada 25 Oktober lalu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.
Barangan sebagai umpan
  • Barangan sebagai umpan Khong Kay menunjukkan gambar dua suspek yang dicari bagi membantu siasatan polis
1 / 1
BUKIT BERUANG - Polis mencari empat lelaki yang dipercayai mempunyai maklumat berhubung aktiviti penipuan kilat.

Lelaki berkenaan, Anthony Poon dan Ken Low, berusia antara 40 dan 50, serta dua lagi lelaki yang hanya dikenali sebagai Steve Lim dan CT Ooi dipercayai dapat membantu polis menyelesaikan sekurang-kurangnya 17 kes penipuan.

Mereka berdua dicari selepas seorang rakan mereka, seorang pekerja di sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur, ditahan polis 16 Oktober lalu dan hasil siasatan mendapati dia merupakan pemegang akaun sindiket penipuan berkenaan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil negeri, Superitendan Ee Khong Koy berkata, modus operandi sindiket ini adalah menawarkan peniagaan barangan yang dijamin boleh memberi pulangan lumayan kepada mangsa mereka.

Menurutnya, sebaik sahaja mangsa memakan umpan mereka, anggota sindiket akan meminta beliau memasukkan sejumlah wang ke dalam satu bank sebagai bayaran.

“Bagaimanapun, sejurus wang dimasukkan, mereka akan mengeluarkan wang berkenaan, menutup akaun dan menghilangkan diri,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Menurut Khong Koy, antara barangan yang sering dijadikan umpan untuk memancing mangsa adalah pendingin hawa, minyak pelincir dan bateri kenderaan.

Selain itu, katanya, ahli sindiket turut menawarkan barangan lain seperti telefon bimbit serta peralatan komputer sebagai umpan.

“Mangsa hanya akan menyedari ditipu apabila tidak menerima barangan yang dipesan, selain mendapati premis atau gudang barangan, kononnya milik suspek kosong dan ditutup selain wang dalam akaun sudah tiada,” katanya.

Khong Koy berkata, kesemua suspek dipercayai masih berada di negara ini dan sehubungan itu, kerjasama mereka diperlukan polis untuk membantu siasatan yang kini dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka atau mengetahui di mana mereka berada diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Negeri di talian 06-285 4222.
Didakwa 12 tuduhan menipu
KUANTAN - Seorang peneroka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas 12 tuduhan menipu seorang lelaki dengan tawaran menjadi rakan kongsi untuk perniagaan bijih besi dan kelapa sawit yang tidak wujud.

Tertuduh, Hassan Said, 48 dari Kampung Felda Bukit Kuantan, di sini dituduh menipu mangsa berusia 66 tahun hingga mendorong lelaki itu menyerahkan RM41,120.

Bayaran yang diterima hasil memperdayakan mangsa itu kononnya bagi kos pendaftaran rakan kongsi sebanyak RM3,600, bayaran mendapatkan projek RM16,900, cukai tanah RM13,620 dan kos menanda anak pokok RM7,000 sedangkan projek yang ditawarkan itu tidak wujud.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 15 Julai 2011 hingga 18 Mei lalu di tiga tempat berasingan termasuk di rumah mangsa di Lorong Bukit Ubi 19, Jalan Bukit Sekilau dan dua bank di Jalan Mahkota dan Jalan Tun Ismail, di sini.

Bagi kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun, tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua tuduhan yang disebut dalam mahkamah berasingan di hadapan Majistret Jesseca Daimis dan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali.

Bagi sembilan tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohamad Nazari, tertuduh ditawarkan jaminan keseluruhan RM27,000 bagaimanapun jumlah itu dikurangkan kepada RM9,000 selepas membuat rayuan.

Sementara itu, empat lagi tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail, tertuduh ditawarkan jaminan RM24,000 sebelum mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu kepada hanya RM4,000.

Dalam rayuannya, tertuduh merayu agar jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan dia kini tiada sumber pendapatan.

Walaupun bergelar peneroka tanah rancangan Felda, dia hilang sumber pendapatan selepas ladangnya kini digadai kepada mangsa.

“Saya ada isteri dan tiga anak yang terpaksa ditanggung sebab itu saya mohon mahkamah mempertimbangkan satu jumlah jaminan yang paling minimum,” katanya.

Mahkamah menetapkan 31 Oktober depan untuk sebutan pra bicara bagi empat kes dalam Mahkamah Majistret 1 dan 17 November depan untuk sebutan bagi sembilan kes yang disebut dalam Mahkamah Majistret 2.

Tertuduh difahamkan menjelaskan jaminan sebelum dibebaskan sementara menunggu tarikh sebutan pra bicara yang ditetapkan mahkamah itu.
Lelaki rugi lebih RM1,900 terima SMS palsu
KUANTAN - Seorang lelaki kerugian RM1,977.54 gara-gara teruja dengan hadiah wang tunai berjumlah RM19,000 yang ditawarkan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Shamsuddin Wan Osman berkata mangsa yang bekerja sendiri berusia 20-an itu menerima SMS yang mendakwa dari Bonuslink memaklumkan sim kad beliau telah memenangi wang tunai berkenaan, pada kira-kira pukul 10 pagi di Raub, semalam.

"Mangsa yang teruja dengan tawaran itu bertindak menghubungi nombor tersebut dan bercakap dengan seorang lelaki. Suspek memintanya memasukkan wang berjumlah RM988.77 ke dalam satu akaun bank yang diberikan.

"Tidak lama kemudian, suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan memintanya memasukkan wang tunai RM988.77 ke dalam akaun sama menjadikan jumlah keseluruhan bernilai RM1,977.54, untuk tujuan pengurusan pemberian hadiah itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Wan Shamsuddin berkata, mangsa mula sedar dirinya ditipu selepas melakukan transaksi kali kedua dan bertindak membuat laporan polis.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar mengabaikan SMS dari sumber tidak dikenali yang menawarkan ganjaran atau wang tunai kononnya dari pihak seperti Petronas, Power Root, Maxis dan Shell. - Bernama

Tiada ulasan: