Selasa, 22 Oktober 2013

DAH YAKIN KE MEMANG ADA PENGUNDI HANTU

Ada undi hantu dalam pemilihan Umno Marang?

http://ini-kalilah.blogspot.com, 21 Okt 2013

TERBONGKAR!!! Ada Undi Hantu Dalam Pemilihan Umno Bahagian Marang? [SAKSIKAN...]

TERBONGKAR!!! Ada Undi Hantu Dalam Pemilihan Umno Bahagian Marang? [SAKSIKAN...]

Lagi

Berdakwahlah kepada bukan Islam

Shah Kirit bin Kakulal Govindji, 21 Okt 2013
Terlebih dahulu izinkan saya memperkenalkan diri secara ringkas. Nama saya ialah Shah Kirit bin Kakulal Govindji. Pelik bukan? Kebiasaan di Malaysia, apabila seseorang itu masuk Islam, dia dikehendaki menukar nama bapa dia kepada Abdullah. Sebenarnya tidak ada satu pun nas dari Al-Quran mahupun Hadith Sahih yang mewajibkan seseorang yang masuk Islam mesti tukar nama bapa dia kepada Abdullah!

Saya telah dilahirkan sebagai seorang Islam tetapi ibu bapa saya telah membesarkan saya sebagai seorang Hindu. Tuan-tuan dan puan-puan mesti hairan, ini adalah kerana di dalam Islam kita percaya bahawa setiap kanak-kanak di dunia ini dilahirkan dalam fitrah Islam tetapi ibu bapalah yang mencorakkan mereka menjadi Nasrani, Yahudi, Majusi, Hindu, Buddha mahupun sebagai seorang ‘Free Thinker’. Hadis Rasulullah SAW bermaksud;
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibu bapalah bertanggungjawab mencorakkan anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Bukhari dan Muslim)

Justeru itu saya lebih suka menggunakan perkataan ‘Revert’ daripada ‘Convert’ apabila seseorang itu menganuti agama Islam kerana mereka kembali kepada fitrah kejadian mereka.

Punca awal saya masuk Islam adalah atas dasar perkahwinan. Ya, kerana saya mahu berkahwin dengan perempuan Islam. Saya cakap berterus terang kerana dalam kalangan masyarakat kita ada sejenis ‘penyakit’, termasuklah dalam kalangan kakitangan Jabatan Agama Islam. Apabila sesorang itu menyampaikan hasrat untuk memeluk agama Islam, dia akan diperli atau disindir seperti, “Kenapa masuk Islam? Kalau tidak kerana perempuan Melayu memang tidak sah!”

Salahkah kami masuk Islam kerana mahu berkahwin? Sebenarnya masuk Islam kerana mahu berkahwin tidak salah. Mungkin itu Qada’ dan Qadar, bersabit dengan perkahwinan seseorang itu mendapat hidayah dari Allah. Yang salah ialah sudah masuk Islam tidak mahu belajar dan tidak mahu beramal dengan Islam. Yang turut salah ialah masyarakat Islam setempat yang tidak mahu membimbing atau membantu orang yang baru masuk Islam.

Jika kita perhatikan keadaan sekeliling, kita dapati ramai yang masuk Islam adalah kerana perkahwinan. Ini adalah kerana orang-orang Islam di Malaysia hampir-hampir tidak ada melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sekeliling mereka. Sudahlah tidak buat kerja, sindir orang pula!

Alhamdulillah, hari ini kita sebagai orang-orang Islam sedar bahawa Islam bukanlah milik orang-orang Arab atau Melayu sahaja tetapi adalah untuk seluruh umat manusia. Malangnya kita umat Islam hari ini telah lalai dari tanggungjawab yang diamanahkan Allah kepada kita untuk menyampai dakwah Islam kepada mereka yang belum terima hidayah lagi. Allah mencela golongan seperti ini dalam surah Al-Baqarah ayat 140;
“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan yang telah diberikan Allah kepadanya? Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.”


Na’uzubillah, janganlah kita termasuk dalam golongan ini. Allah memberikan penghormatan kepada kita orang-orang Islam di dalam surah Ali Imran ayat 110;
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia....”.


Kita pun rasa sangat seronok mendengarkan ayat ini. Namun begitu kita lupa bahawa setiap penghormatan itu datang bersama tanggungjawab. Lagi besar suatu penghormatan maka lagi beratlah tanggungjawab yang harus dipikul. Tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah kepada kita orang-orang Islam yang melayakkan kita di gelar ‘sebaik-baik umat’ juga disebut dalam ayat yang sama;
“...(Kerana) kamu menyuruh membuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah.”


Ini bermakna kita harus menjadi masyarakat ‘amar maaruf nahi munkar’ iaitu melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam secara serentak. Allah berfirman dalam surah al-Asr ayat 1-3;
“Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.”
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.”


‘Berpesan-pesan dengan kebenaran’ bermakna melakukan ‘amar maaruf nahi munkar’ yakni melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam. Ayat ini jelas menunjukkan tanggungjawab melakukan dakwah bukan tugas Ustaz, Imam atau Jabatan Agama sahaja tetapi adalah tanggungjawab setiap orang Islam.

Di dalam Khutbah terakhir, Rasulullah SAW telah bertanya kepada para Sahabat yang tidak kurang dari 110,000 orang, “Adakah aku telah sampaikan pesanan Islam?”

Para Sahabat-pun secara serentak menjawab, “Ya Rasulullah! Kamu telah sampaikan.”

Maka Rasulullah SAW seterusnya memerintahkan mereka;

“Sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir.”

Para sahabat pun faham akan perintah Rasulullah SAW lalu keluar dari negeri Arab menyampaikan dakwah Islamiyah. Maka Islam telah pun sampai ke Negeri China, India, Sepanyol dan seterusnya ke Malaysia. Alhamdulillah, Para sahabat-sahabat Nabi dahulu tidak ada sikap macam kita iaitu hanya mahu bercerita tentang Islam sekiranya ada yang bertanya, tetapi sebaliknya telah bertebaran ke pelbagai pelusuk dunia dalam menyampaikan syiar Islam.

‘Master key’ untuk melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam ada diterangkan dalam Surah Ali-Imran ayat 64;
“Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dan kamu, iaitu kita semua tidak sembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya suatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah.”


Untuk mencari kalimah-kalimah yang bersamaan antara kita dengan mereka, maka kita hendaklah mengkaji kitab mereka (bukan untuk beriman tetapi) untuk mencari ayat-ayat yang menjurus kepada tauhid. Sekiranya di peringkat permulaan kita hanya menggunakan Al-Quran dan Hadith sahaja mungkin orang-orang bukan Islam ini menolak kerana mereka belum beriman kepada Al-Quran.

Sekiranya kita menggunakan Bible maka orang-orang Kristian terpaksa menerimanya. Berikut adalah antara hujah-hujah yang boleh kita gunakan dari Bible terhadap orang-orang Kristian;
“Hear, O Israel; The Lord our God is one Lord.” [Mark 12:29]

Apabila kita mulakan dakwah kepada orang-orang Hindu, adalah lebih baik sekiranya kita mulakan dengan konsep ketuhanan dalam Islam yang terdapat dalam Surah Al-Ikhlas;
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘(Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa;”
“Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;”
“Ia tiada beranak, dan pula tiada diperanakkan;”
“Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya”


Seterusnya kita boleh bincangkan mengenai ayat-ayat yang ada persamaan di dalam kitab-kitab mereka contohnya Veda, Upanishad, Purana, Maha Bharata, Ramayana dan yang paling popular di kalangan orang-orang Hindu adalah Bhagavad Geeta. Berikut adalah beberapa contoh yang boleh kita gunakan:
“He is One only without a second.” (Chandogya Upanishad 6:2:1)
“There is no likeness of Him.” (Svetasvatara Upanishad 4:19)
“His form is not to be seen, no one sees Him with the eye.” (Svetasvatara Upanishad 4:20)
“There is no image of Him.” (Yajurveda 32:3)
“He is bodiless and pure.” (Yajurveda 40:8)

Namun begitu dalam kita menyampaikan dakwah kepada orang-orang bukan Islam, adalah penting kita sentiasa mengambil kira nasihat yang diberikan oleh Allah di dalam Surah An-Nahl ayat 125;
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”

Adakah kita menggunakan hikmat kebijaksanaan dan menasihatkan dengan cara pengajaran yang baik dan lemah lembut bila menyampaikan dakwah Islamiyah kepada orang-orang bukan Islam? Jarang sekali.

Kebiasaannya bila ada orang bertanya mengenai Islam, jawaban yang lazim diberikan adalah, “Dalam Islam kita mesti sembahyang 5 kali sehari, Bulan Ramadhan mesti puasa satu bulan dari pagi sampai senja – tidak boleh makan atau minum, mesti bayar zakat, tidak boleh makan ‘kerbau pendek’ (khinzir), tidak boleh minum (arak), mesti kena ‘potong’ dulu (berkhatan), pergi masjid mesti pakai songkok dan kain, kalau pergi solat Hari Raya mesti pakai baju Melayu (seolah-olah solat itu tidak sah tanpa memakai baju Melayu!).”

Saya perhatikan bahawa kita sebenarnya lebih banyak ‘me-Melayu-kan’ seseorang yang masuk Islam dari meng-Islamkannnya. Kita memberikan gambaran seolah-olah Islam ini adalah satu agama yang sangat menyusahkan umatnya. Sepatutnya kita jangan terlalu rigid berkenaan fikah (halal dan haram) pada peringkat permulaan. Yang harus diutamakan adalah tauhid, apabila iman dia sudah meresap dan mantap barulah kita sampaikan bab-bab fikah secara beransur-ansur ikut kemampuan seseorang individu. Bila iman sudah kukuh di hati, seseorang itu akan mengerjakan perintah Allah tanpa perlu disuruh, Insya-Allah.

Saya ingin mengajak semua yang hadir di sini termasuklah diri saya agar marilah kita semua bangkit dari lena kita. Kita telah lama tidur dengan mata celik. Marilah kita bangkit dan laksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah kepada kita untuk menyampaikan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah kepada sesama Islam.

Berhenti dari memberikan alasan. Apabila saya mengajak orang untuk berdakwah, mereka selalu memberikan alasan dan minta tunggu. Hendak tunggu apa lagi? Allah memberikan amaran kepada kita dalam Surah At-Taubah ayat 24;
“Katakanlah (wahai Muhammad); Jika bapa-bapa kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”.


Marilah kita berhenti dari memberikan alasan-alasan seperti berikut;
1.Tunggulah saya pandai; sampai bila-bila pun kita tidak akan cukup pandai sekiranya kita tidak cuba dari sekarang. Sekali lagi saya rujuk kepada hadith diatas iaitu, “Sampaikanlah walau satu ayat”.
2.Tunggu bila ada orang bertanya baru nak cerita tentang Islam; sekali lagi saya rujuk kepada petikan dari Khutbah terakhir Rasulullah s.a.w, “Siapa-siapa yang hadir disini sampaikanlah kepada yang tidak hadir”.
3.Negara kita negara majmuk, sensitif untuk melakukan dakwah; pada zaman Nabi Muhammad SAW terdapat tidak kurang dari 360 suku kaum. Ini tidak menghalang baginda memberikan dakwah kepada kaum Musyirikin pada masa itu malahan baginda telah berjaya menyatu-padukan semua kaum tersebut di bawah panji Islam!
4.Agama ini urusan peribadi, jangan masuk campur dalam hal orang lain; Dalam Islam ia menjadi tanggungjawab semua orang-orang Islam mencampuri urusan orang lain apabila ia melibatkan perkara akidah; ‘amal maaruf nahi munkar’.

http://www.tarbawi.my

PRK; Selamat berkempen

Muhamad Zikri Jinal,
Pilihan raya kampus (PRK) kembali mewarnai sesi pemilihan barisan pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Pemilihan yang diadakan sekali dalam setahun ini umpama suatu perayaan kepada mahasiswa untuk melihat sejauh mana wibawa dan berkualitinya calon yang bertanding untuk dijadikan pemimpin mereka. Ketika ini, sudah pasti proksi yang bertanding pasti sibuk untuk menamakan calon-calon yang bakal bertanding untuk mewakili mereka untuk memenangi hati bakal pengundi mereka.

Mahasiswa adalah insan yang terdidik dan kaya secara akademik dan harus juga peka terhadap persekitaranya. Kualiti semulajadi dalam diri mahasiswa ini harus dikekalkan agar identiti mahasiswa bitara terus disegani oleh masyarakat sebagai insan yang berilmu. Oleh itu, politik kampus harus diwarnai dengan perdebatan idea dan pandangan yang berasaskan ilmu yang benar.

Menurut Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, seorang sarjana Islam tersohor masa kini, “Ilmu adalah ketibaan makna kepada diri dan ketibaan diri kepada makna”. Oleh itu, perdebatan yang dianjurkan ketika berlangsungnya tempoh berkempen harus berasaskan kepada perdebatan yang bermakna dan memberi manfaaat kepada pendengarnya. Mahasiswa harus mempunyai kemampuan sebagai human transformer kepada mahasiswa di dalam kampus mahupun masyarakat sekitarnya.

Universiti harus menjadi tempat lahirnya pemimpin yang bercita-cita tinggi. Manifesto yang dicipta dan dirangka perlu melebihi isu memperjuangkan kebajikan pelajar. Isu sosio-masyarakat harus juga dimainkan oleh para calon yang bertanding. Mahasiswa seharusnya memainkan peranan mereka sebagai the conscience of the majority bagi membalas kepercayaan dan sanjungan tinggi masyarakat terhadap mereka selama ini.

Isu global seperti pembersihan etnik di Rohingya, penjajahan rejim Yahudi terhadap masyarakat Islam di Palestin serta ketidakadilan yang berlaku kepada rakyat di Syria adalah antara isu yang boleh diangkat oleh mereka sebagai memperlihatkan kemampuan mereka untuk mengarap isu-isu antarabangsa. Andai kita mahu melihat pemimpin masa depan negara, maka pilihanraya kampus adalah antara tempatnya untuk melihat antara calon-calonnya.

Memetik kata-kata Pak Natsir, seorang pemimpin profilik dari Indonesia, “Pemimpin tidak akan lahir di bilik-bilik kuliah tetapi ia akan lahir di tengah-tengah kancah masyarakat”. Calon-calon yang bertanding harus mempunyai visi dan misi untuk membawa mahasiswa dekat dengan masyarakat dengan memberi khidmat dan pencerahan kepada mereka.

Keakraban mahasiswa dan masyarakat pernah menjadi sebahagian coretan manis dalam sejarah aktivisme mahasiswa ketika lewat 1960-an. Mahasiswa ketika itu bertindak sebagai mobilizing force untuk memberi ceramah kesedaran dan membantu membangunkan kualiti hidup masyarakat desa. Mahasiswa bersatu sebagai sebuah gerakan kesedaran besar-besaran turun ke masyarakat demi membalas budi atas sumbangan rakyat yang membayar cukai untuk pembiayaan pelajaran mereka dan pembinaan universiti.

Sesungguhnya, politik pilihanraya kampus era kini harus kembali dibina dengan asas ilmu dan rasa ingin berbakti kepada masyarakat. Inilah antara pra-syarat ke arah melahirkan pemimpin berjiwa rakyat di masa hadapan. Selamat berkempen kepada calon yang bertanding!

MUHAMAD ZIKRI JINAL
Exco Penerangan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
muhdzikri.jinal@gmail.com

Islam itu lengkap dengan hak asasi manusia

Mohammad Faizal Che Yusof, 21 Okt 2013
Pelbagai perkembangan semasa berkaitan Hak Asasi Manusia yang ditimbulkan hari ini kian menarik perhatian ramai pihak. Bukan sekadar itu, ia juga telah mengheret kecenderungan untuk mendesak umat Islam menjauhkan diri dari prinsip-prinsip hak asasi manusia.

Dalam meneliti setiap perkembangan hari ini, saya berpegang kepada apa yang disebut “Kebijaksanaan adalah barang tercicir orang yang beriman. Di mana kita jumpainya, kutiplah ia”. Jika kita perhati dari kaca mata hak asasi manusia, Islam telah jauh terkehadapan dalam mengiktiraf dan mempromosikan prinsip-prinsip hak asasi manusia. Bahkan ia lebih mencakupi setiap nilai fizikal dan rohani sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri.

Justeru, saya lebih berminat untuk mengambil kesempatan untuk merapatkan para pendokong hak asasi manusia kepada Islam berbanding menjauhkan diri hinggakan mereka terus bertanggapan negatif terhadap Islam. Melihat nilai-nilai hak asasi manusia dalam Islam dan membawa ke tengah medan adalah lebih baik dari kita berterusan mewujudkan jurang perbezaan. Islam yang bersifat sejagat atau universal perlu ditampilkan dalam nada hak asasi manusia yang mudah difahami.

Kita perhatikan firman Allah SWT dalam surah Quraisy dari mula hingga akhir:

“..Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Mekah). (1)

(Iaitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan pada musim panas (ke negeri Syam), (2)

Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, (3)

Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. (4)..”


Beberapa prinsip hak asasi manusia jelas diisytiharkan melalui surah ini. Antaranya termasuklah hak untuk bergerak, hak kepada kebebasan dan kehidupan, hak kepada makanan dan minuman, hak kepada keamanan, dan paling utama ialah hak untuk mentaati Allah sebagai tuhan yang mencipta.

Atas prinsip-prinsip asas yang dinyatakan melalui surah ini, ia terbuka kepada huraian yang lebih jauh untuk mencakupi setiap aspek kehidupan dalam menyatakan hak asasi manusia yang dipelopori Islam.

Sebagai umat Islam, lebih-lebih lagi kepada pejuang-pejuang Islam, kita tidak perlu merasa gundah dengan dokumen-dokumen antarabangsa termasuklah International Covenant on Civil and Political Rights, International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights, International Covenants on Human Rights, dan juga The Universal Declaration of Human Rights. Begitu juga kita tidak wajar terkeliru dengan tanggapan bahawa hak asasi manusia yang diperkatakan hari ini adalah suatu agama dan ajaran baru ciptaan manusia.

Dokumen-dokumen tersebut dan beberapa lagi konvensyen antarabangsa yang diletakkan di bawah pelbagai badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu hanyalah prinsip-prinsip hak asasi manusia yang hanya didokumenkan pada dekad ini. Al-Quran dan Sunnah telah cukup mengisytiharkan prinsip-prinsip hak asasi manusia secara umum dan hanya kini diperincikan oleh dokumen-dokumen tersebut.

Selain itu saya juga tidak menafikan bagaimana prinsip-prinsip hak asasi manusia yang ada pada hari ini ditafsir dan diamalkan dengan cara dan kadar yang berlawanan dengan hokum-hukum syara’. Di sinilah saya melihat betapa umat Islam perlu mendepani cabaran ini dengan penuh kebijaksanaan. Melihat dengan kaca mata pertentangan antara Islam dan prinsip-prinsip hak asasi manusia,  ia akan menyempitkan ruang dakwah Islam kepada manusia sejagat.

Sebaliknya melihat hak asasi manusia adalah menifestasi kepada kehindahan Islam akan membuka ruang yang lebih untuk kita membawa Islam kepada masyarakat yang terbuka. Mahu tak mahu umat Islam mesti persiapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan yang mencukupi. Pertembungan hari ini adalah perlawanan fahaman dan ideologi.

Saya berpandangan semakin umat Islam menguasai ilmu dan pengetahuan dengan merapatkan persaudaraan, kita akan lebih mudah menyerlahkan Islam di tengah-tengah masyarakat yang dilingkungi pelbagai fahaman dan ideologi sebagaimana hari ini. Jadikanlah setiap masalah dan pertentangan itu suatu peluang untuk kita merapati masyarakat dan menyampaikan risalah yang diwariskan lebih 1400 tahun yang lalu. – 16 Zulhijjah 1434H.

Ujian getir menunggu Mukhriz di Sg Limau

Ubaid Abd Akla|Pusat Penyelidikan PAS, 21 Okt 2013


KETIKA kedua-dua parti, Umno dan PAS sedang bersiap siaga menghadapi Perhimpunan Agung Umno dan Muktamar Sanawi PAS, Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Sg Limau bakal menjengah selepas pemergian tokoh yang disayangi rakyat Kedah, Almarhum Tan Sri Ust Azizan Razak.


Rata-rata menjangkakan PRK kali ini sebagai medan ujian getir kepada MB Kedah yang baru, Dato' Paduka Mukhriz Mahathir dan juga Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru, Datuk Mahfuz Omar yang menggantikan Almarhum Tan Sri Azizan yang uzur selepas PRU-13. Ujian pertama ini penting bagi kedua-dua pihak bagi menunjukkan kebolehan masing-masing dalam menerajui kepimpinan parti di peringkat negeri Kedah.

Walau bagaimanapun, PAS dilihat memiliki kelebihan dan peluang yang cerah berbanding Umno dalam PRK kali ini kerana penyandang yang lepas, Almarhum Tan Sri Azizan memenangi kerusi Dun tersebut (13,294 undi)  dengan majoriti undi yang tinggi iaitu 2,774 undi berbanding sepupunya sendiri yang juga seorang arkitek, Ar. Mohd Fadzillah bin Mohd Ali yang mendapat 10,520 undi.

Penguasaan PAS dapat dilihat apabila memenangi 13 peti undi daripada 20 peti undi termasuk 1 peti undi pos yang sememangnya sinonim dimenangi oleh parti pemerintah. Ini merupakan isyarat jelas bahawa pengundi Dun Sg. Limau condong kepada PAS pada PRU-13 walaupun beberapa analisis lepas menyatakan Almarhum Ust Azizan bakal menghadapi cabaran getir apabila ditentang oleh sepupunya sendiri dan undi keluarga mereka akan berpecah.

pengundi berulang

Undi PAS juga dilihat kukuh apabila 9 daripada 13 peti undi yang dimenangi mampu menang di setiap saluran walaupun pengundi saluran 1 tinggi bilangannya iaitu 5,295 pengundi iaitu lebih 20% jumlah pengundi keseluruhan. Walaupun undi saluran 1 di peti-peti undi lain tidak memihak kepada PAS tetapi jumlah undi yang diterima tetap tinggi iaitu 2737 undi (melebihi 52% undi keseluruhan saluran 1). Ini menunjukkan para pengundi berulang tidak jemu-jemu menyokong PAS selama 5 penggal berturut-turut.

Ini merupakan fakta dan hakikat yang menjadikan UMNO dalam keadaan trauma dan buntu untuk merangka strategi merampas Sg Limau. Mereka perlu bekerja keras walaupun Parlimen Jerai dan dua Dun (Guar Cempedak dan Gurun) milik mereka pada PRU-13.
Selain itu, kekalahan Mukhriz Mahathir dalam perebutan jawatan Naib Presiden Umno sedikit sebanyak mencalarkan imej beliau sebagai MB Kedah yang baru. Kempen hebatnya seolah-olah tidak menyebelahinya walaupun banyak sepanduk beliau digantung di Pahang dan negeri Pantai Timur dengan natijah hanya memperoleh 91 undi, kurang 9 undi untuk mengatasi pencabar terdekatnya, Hishamuddin Tun Hussein yang memperoleh 100 undi.

Adakah ini petanda rakyat sudah menunjukkan reaksi muak pada politik beliau yang tidak menguntungkan rakyat? Ia juga dibayangi oleh bapanya, Tun Mahathir sebagai ‘tongkat’ kepada karier politiknya. Oleh itu, PRK yang bakal menjengah pasti meresahkan beliau kerana sedikit sebanyak akan mempengaruhi undi rakyat Sg Limau kerana kegagalannya melakukan transformasi dalam parti yang dianggap gagal oleh bapanya sendiri. Selain itu, rakyat mula tertanya-tanya apakah kejayaan-kejayaan yang hendak dicanangkan olehnya dalam kempen PRK kali ini selepas 4 bulan lebih menjadi MB Kedah? Adakah lebih baik daripada kerajaan sebelum ini atau bagaimana?

ketokohan Ustaz Azizan

Selain itu juga, ketokohan Almarhum Ustaz Azizan yang juga MB Kedah sebelumnya memberi kelebihan kepada PAS untuk mengekalkan kemenangan di Sg Limau. Kejayaan beliau mempertahankan kerusi DUN tersebut selama 5 penggal berturut-turut bukan satu perkara biasa. Ini menunjukkan bahawa ketokohan beliau di kalangan masyarat amat disenangi penduduk Sg. Limau. Beliau juga mencipta sejarah, apabila MB Kedah pertama yang menetap di rumah sendiri yang amat sederhana walaupun mempunyai Rumah Rasmi MB di Seri Mentaloon.

Faktor 'Kekalkan Kemenangan Sg. Limau' sebegini patut menjadi 'tagline' bagi PAS untuk PRK kali ini sebagaimana PRK N.01 K.Besut yang menggunakan tagline '16-16: Kuala Besut Cipta Sejarah'. Walaupun PAS tidak berjaya di Besut namun, tagline ini berjaya menjadi mimpi buruk kepada Umno dan BN Terengganu dengan berjaya mengurangkan majoriti kemenangan Umno.

Peluang PAS juga cerah jika berjaya menonjolkan calon yang tepat dan hampir menyamai keperibadian Almarhum Ustaz Azizan yang sinonim dengan wakil rakyat turun padang, mesra rakyat, tokoh agamawan dan berkepimpinan Islam. Walaupun Almarhum diberi persepsi buruk semasa menjadi MB Kedah oleh media BN, namun, penduduk Sg Limau tidak terpengaruh dengan propaganda tersebut kerana beliau amat disegani masyarakat lebih 20 tahun menjadi wakil rakyat dan pemimpin PAS Kedah.

Hanya selepas Almarhum menjadi MB Kedah, imej beliau digembar gembur tidak baik walhal selama beliau menjadi Adun Sg Limau pemberitaan tersebut tidak berlaku sama sekali. Ini menunjukkan penduduk dan pengundi Sg Limau sangat yakin dengan kepimpinan Almarhum. Ketokohan beliau sudah merentasi parti kerana sanak saudaranya yang Umno pun menyokong beliau walaupun beliau pemimpin kanan PAS. Maka, tokoh seperti Almarhum wajar ditonjolkan menjadi calon agar pengundi seolah-olah merasakan jelmanya “Ust Azizan Junior” dan mungkin lebih baik ketokohannya di mata masyarakat pengundi Sg. Limau.

Namun, PAS perlu berhati-hati dengan strategi Umno yang bakal disusun. Strategi mereka mungkin sudah dijangka, tetapi apakah senjata ampuh jentera PAS menghadapinya?

strategi BN

Ini dapat dihidu apabila PRK Sg Limau diadakan seiring dengan pengumuman Bajet Negara 2014 yang akan dibentangkan pada 25 Oktober iaitu 2 hari selepas penamaan calon. Sudah jelas lagi bersuluh, Umno-BN akan menggunakan sepenuhnya pembentangan Bajet sebagai gula-gula pilihanraya sebagaimana biasa dan lebih merisaukan lagi, gula-gula bertukar menjadi candu! Ini boleh diperhatikan jika BR1M 3.0 diumumkan dengan amaun yang lebih banyak. Sudah pasti para penerima ternanti-nanti dan pastinya pengundi Sg. Limau bakal menjadi penerima pertama!

Maka, cabaran buat PAS bagaimana hendak menangkis strategi ‘tunai ditangan’ yang terbukti memenangkan BN pada PRU-13.

Selain itu, pengaruh Jamil Khir yang merupakan anak jati Dun Sg. Limau bakal digunakan sepenuhnya oleh jentera Umno. Beliau mendapat undi kedua tertinggi selepas Mustapa Mohamed iaitu 186 undi yang menunjukkan golongan agamawan mula diterima oleh akar umbi Umno. Imej dan ketokohan beliau yang petah berforum, mesra rakyat dan bekas penjawat awam amat mempengaruhi undi sehinggakan beliau merampas Parlimen Jerai daripada PAS dengan majoriti 1,196 undi. Ini jelas menjadi indikator pertimbangan utama bagi jentera Umno untuk menjadikan beliau sebagai ‘anchor’ kepada penguasaan Umno sepanjang kempen PRK kali ini.

Signifikannya, saingan PRK kali ini amat dinanti-nanti oleh semua pihak untuk melihat PAS mara kehadapan selepas tewas di PRK N.01 Kuala Besut baru-baru ini. Tewas di Kuala Besut bukan pengakhiran buat PAS, mungkin kemenangan di Sg Limau bakal menyemarakkan keteguhan PAS  untuk mara lebih jauh dalam arena politik negara disamping dapat meniup semangat para perwakilan dalam Muktamar Tahunan PAS yang bakal berlangsung hujung bulan November.

Tiada ulasan: