Ahad, 13 Oktober 2013

BERSIKAP ADIL ITU YANG DIANJURKAN DALAM ISLAM

Straits Times Singapura takjub dengan "Negeri Melayu" Kelantan

Komentar | Timmy Say, 11 Okt 2013
KOTA BHARU: Di “Negeri Melayu” Kelantan (kata-kata yang digunakan Straits Times Singapura dalam lawatannya ke sana), ada satu budaya menakjubkan di kalangan orang Islam iaitu kecintaan mereka terhadap Bahasa Cina.

“Terdapat satu pepatah masyhur dalam Islam, "Timbalah ilmu sehingga ke negeri Cina".  Itulah Melayu-Islam di Kelantan, secara tepat, sedang melakukannya,” tulis Straits Times dalam satu laporan.

Akhbar popular itu turut mendapati nisbah orang Melayu di Kelantan yang mempelajari bahasa Cina jauh lebih tinggi daripada negeri lain.

Antara faktor yang membangkitkan fenomena luar biasa ini adalah galakan yang diberikan Mursyidul Am PAS yang juga bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada generasi muda untuk mempelajari Bahasa Cina.

Bahkan, lima orang cucu Tuan Guru belajar di sekolah Cina.

Bukan sekadar itu, Tuan Guru Nik Aziz juga memastikan sekolah diberi peruntukan untuk mengadakan kelas bahasa Mandarin.

Pada tahun 2009, kerajaan negeri telah membiayai tiga graduan Melayu-Islam daripada maktab pendidikan ke Guangzhou, China untuk belajar bahasa Mandarin dan menggaji beberapa guru dari China untuk mengadakan kelas bahasa Mandarin di Kelantan.

Salah seorang daripadanya ialah Wang Yin Kang, seorang Cina-Muslim daripada Yunnan, yang telah menghabiskan 18 tahun di Kelantan setelah mendapat diploma dalam pengajian Arab. Pada umur 51, beliau mengajar bahasa Mandarin kepada 160 pelajar seminggu.

Bercakap kepada  Straits Times, Wang mengakui terkejut pada awalnya apabila pelajar Melayu sudi mengambil kelas Mandarin.

“Tidak lama selepas itu saya menyedari bahawa mereka percaya ini (mempelajari bahasa mandarin) membantu mereka mencari pekerjaan, terutamanya apabila China adalah negara yang cepat membangun dan melabur di mana-mana,” katanya.

Kelas Mandarin ditawarkan di semua sekolah dibiayai kerajaan negeri (enam kesemuanya), dan salah satunya adalah Sekolah Menengah Agama Tarbiyah Mardhiyah.

Sebahagian pelajar Wang merupakah ahli kelab Bahasa Cina, di mana mereka juga menceburi bidang drama yang menggunakan bahasa Mandarin.

Jumlah pelajar Melayu di sekolah Cina sama ada rendah dan menengah di Kelantan berada pada paras 20 sehingga 50 peratus, jauh lebih tinggi daripada paras nasional yang puratanya 10 peratus.

Salah satu sekolah rendah Cina di Rantau Panjang mempunyai dua pertiga pelajar Melayu.

Penyelidik Heng Buai Chin berkata, budaya menakjubkan itu semuanya hasil daripada pentadbiran Tuan Guru Nik Aziz yang menggalakkan orang Melayu untuk memasuki sekolah Cina.

Langkah itu katanya telah menggalakkan integrasi antara pelajar berbilang kaum.

Beliau mendapati pelajar Melayu-Islam di sekolah Cina adalah lebih terbuka menerima budaya Cina seperti menonton filem Cina, mengira dan berfikir dalam bahasa Cina.

“Saya tidak dilayan asing oleh pelajar mahupun sekolah dan saya selalu bersemangat untuk cemerlang dalam pelajaran,” kata Wan Ashikin Islam, seorang pelajar Tingkatan 5 di salah sebuah sekolah Cina.

Pelajar berumur 16 tahun itu bercita-cita menjadi penulis novel satu hari nanti, bukan di dalam bahasa ibundanya - bahasa Melayu, tetapi bahasa Mandarin.

Selangor pecah rekod beri elaun Ketua Pembangkang

Saidah Hairan, 11 Okt 2013
SHAH ALAM: PAS Selangor memuji langkah kerajaan Pakatan Rakyat negeri yang mengiktiraf peranan Ketua Pembangkang (Umno BN) bagi membuktikan sistem demokrasi dilaksanakan tanpa menafikan hak suara pembangkang.

Pesuruhjayanya, Dr Abdul Rani Othman menegaskan, sekali lagi kerajaan Pakatan Rakyat Selangor `pecah rekod' kerana melakukan perubahan dengan memberi elaun tetap setiap bulan berjumlah RM8,620 kepada Ketua Pembangkang.

Menurut beliau, pengiktirafan Ketua Pembangkang itu dilaksanakan di negara-negara maju seperti di Australia tetapi Malaysia masih belum mengamalkan pengiktirafan tersebut.

Beliau berkata, kerajaan memberi elaun pemandu, elaun setiausaha kerja dan sebagainya bagi mengikhtiraf peranan Ketua Pembangkang supaya bersama-sama memberi kefahaman kepada rakyat tentang sistem demokrasi.

"Kita terbuka menerima teguran daripada pembangkang. Kita tidak pernah bercakap angkuh sebagaimana pimpinan Umno-BN ketika menjadi kerajaan dahulu," tegasnya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, pengiktirafan itu juga membuktikan keterbukaan sikap pimpinan Pakatan Rakyat untuk bersama dengan pembangkang dalam menangani masalah rakyat dan usaha menambahkan ekonomi negeri Selangor.

Sebelum ini katanya, dalam sesi perbahasan titah ucapan Tuanku Sultan Selangor, Ketua Pembangkang turut diberi peruntukan masa yang tidak terhad untuk berucap.

Beliau berkata, perkara itu tidak pernah dilakukan kepada Ketua Pembangkang iaitu PAS dan DAP ketika Umno BN menjadi kerajaan selama 55 tahun.

Menerusi enakmen khas yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Pembangkang mendapat elaun pemandu, setiausaha kerja dan lain-lain yang kesemuanya berjumlah RM8,620 sebulan.

Pembayaran elaun ini sejajar dengan imbuhan yang diberi kepada pembangkang di parlimen di bawah akta ahli parlimen saraan 1980.

Tolak TPPA, fikir tindakan seterusnya - Husam

Hazayani Zakaria, 11 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Bantahan terhadap Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) tidak harus berakhir dengan himpunan di KLCC hari ini sahaja.

Sebaliknya kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, semua pihak harus berfikir mengenai tindakan seterusnya bagi memastikan Malaysia menolak TPPA yang akan menjejaskan kedaulatan negara.

"PAs menyokong sepenuhnya usaha anak muda yang menggerakkan himpunan untuk membantah TPPA dan PAS minta semua ahli turun ke himpunan esok

"Tapi langkah kita tak harus berhenti esok. Saya tak suka buat sesuatu benda di mana ia tak siap, tak sempurna.

"Kita hanya bantah kemudian ia (TPPA) berjalan. kita kena berfikir secara kreatif, di luar kotak bagaimana nak tamatkan apa yang kita tak kehendaki. Kalau hanya bantah tapi tak ada keputusan yang konkrit pun tak guna," katanya sewaktu berucap di Pentas Perdana Anti TPPA di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam tadi.

Pentas malam tadi merupakan acara kemuncak kepada siri jelajah Bantah TPPA ke seluruh negara yang bermula 19 September lalu sebelum himpunan besar-besaran jam 2 petang ini di KLCC.

SAMM bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan kerjasama Gabungan Membantah TPPA (Bantah) dengan pendokong utamanya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengadakan siri jelajah tersebut bagi memberikan penerangan kepada rayat berhubung bahaya TPPA kepada kedaulatan negara.

HUsam juga menegaskan, Islam menggalakkan perdagangan kerana perdagangan menghasilkan kemakmuran dan keharmonian kepada negara.

Namun katanya, perundingan dalam TPPA tidak seimbang dan akan mengongkong negara yang sedang membangun.

"Perdagangan itu syaratnya bebas dan menghasilkan kemakmuran bersama. Yang kita bincang hari ini kongkongan perdagangan bebas walaupun namanya bebas.

"Bagaimana kongkongan iu berlaku iaitu dalam pertandingan yang tidak seimbang di mana syarikat gergasi dunia akan menguasi perdaganan dan menghimpit pedagang kecil yang tidak mampu bersaing.

"Dengan cara ini rakyat sesuatu negara akan jadi lebih miski. Bila rakyat miskin negara juga akan miskin. Bila miskin negara akan lemah mereka tidak ada hak untuk demand," katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau menolak TPPA tetapi dalam masa yang sama tidak mahu pemimpin negara menguasi ekonomi negara melalui kroni mereka.

"Saya menentang TPPA atas prinsip keadilan kepada rakyat. Saya tak menentang TPPA supaya Amerika tak kuasai ekonomi supaya anak-anak saya boleh kuasai minyak.

"Kita menentang kerana rundingan TPPA ini sudah menunjukkan ketidakadilan," tegasnya.

Pentas malam tadi turut menampilkan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, R Sivarasa (Subang), Tian Chua (Batu), Ketua Penerangan Dewan MUslimat PAS Pusat Aiman Athirah Al Jundi, wakil Ikram Syed Ibrahim Syed Noh, aktivis Hishamuddin Rais serta aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim.

Konspirasi dalam pilihan raya kampus UKM?

Harakahdaily, 11 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) mempersoal sikap Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang dilihat cuba menyembunyikan tarikh Pilihan Raya Kampus (PRK) UKM kepada mahasiswa.

Pengerusi GMUKM Abdullah Sani Bin Hashim berkata, jelas terbukti wujudnya konspirasi HEP apabila pengumuman dibuat dalam suasana kebanyakan pelajar pulang ke kampung sempena cuti semester dan cuti Hari Raya Aidiladha.

HEP UKM hari ini mengumumkan hari pengundian pada 23 Oktober manakala penamaan calon pada 18 Oktober.

“Pembelian borang bermula serta merta sedang kebanyakan pelajar sudah pulang ke kampung.

“Kejutan mengadakan PRK sebaik tamat cuti Aidil Adha untuk mengelakkan persediaan di peringkat mahasiswa,” katanya dala kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau juga turut mempersoal syarat bahawa setiap calon yang ingin bertanding mesti mempunyai sijil Bengkel Kepimpinan Pelajar HEP yang hanya diadakan sebaik habis cuti iaitu pada 17 Oktober sedangkan keesokannya sudah penamaan calon.

Waktu yang singkat tersebut ujarnya akan menyukarkan pihak calon yang ingin bertanding untuk membuat persiapan.

Abdullah berkata, perkara ini berbeza dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang boleh membuat pengumuman seminggu lebih awal.

Katanya, walaupun tarikh membuang undi berbeza sehari dengan UKM tetapi UIAM sudah membuat pengumuman rasmi walaupun membuang undi hanya pada 30 Oktober nanti.

“Kita bukan tak tahu Aspirasi Mahasiswa turun Kursus Penampilan Kepimpinan Siri II hujung minggu lepas.

“Inilah proses pilihan raya yang paling dangkal dan senget di dalam sejarah PRK UKM.

Namun kita tahu Aspirasi terpaksa bergantung kepada sistem berat sebelah ini sebagai talian hayat terakhir mereka,” katanya.

Setelah 2 tahun, Masjid Senadin belum dibina

Harakahdaily, 11 Okt 2013
MIRI: Projek wakaf Masjid Senadin mula dilancarkan pada tahun 2011 namun setelah lebih 2 tahun, ia masih belum berjaya dibina.

Pada awal pelancaran projek ini, masjid Senadin dijangka disiapkan pada tahun 2013.

Justeru, Pemuda PAS Miri mencadangkan projek itu diberikan perhatian khusus oleh pihak kerajaan.

“Kami mencadangkan dana tambahan diberikan oleh pihak kerajaan untuk menjayakan usaha murni in,” ujar Ketua Penerangannya, Abdul Hadi Alias.

Katanya, ketiadaan masjid di kawasan Senadin menyukarkan penduduk sekitar untuk beribadah, terutama untuk mengerjakan solat fardhu berjemaah dan solat Jumaat.

Selain daripada itu, ujarnya masjid merupakan pusat komuniti, yang boleh dijadikan pusat masyarakat dan penyebaran ilmu Islam sesuai dengan peranan masjid dalam tamadun Islam.

“Kami mengharapkan pihak kerajaan terutama penaung projek yang juga merupakan Menteri Muda Sarawak,  Datuk Ir Daud Abdul Rahman dapat memberikan perhatian terhadap projek ini,” katanya lagi.

Jelasnya, Pemuda PAS sentiasa menyokong projek-projek pembangunan ummah di Miri.

Gazet pesisir tebing sungai Kota Klias jejas penduduk

Harakahdaily, 11 Okt 2013
BEAUFORT: Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah digesa membatalkan hasrat untuk mewarta dan menggazet pesisir tebing Sungai Kota Klias sebagai Hutan Simpan kerana ia bakal menjejaskan sosioekonomi penduduk tempatan, kata  Pemangku Ketua Cabang PKR Beaufort, Taufick Ruschi (gambar).

Menurut beliau,  cadangan menggazetkan pesisir sungai Kota Klias sebagai hutan simpan akan menyusahkan penduduk kampung yang rata-rata mengunakan sungai Kota Klias sebagai laluan dan tempat mencari makan dengan menangkap ikan secara tradisional.

"Penduduk kampung sekitar sejak sekian lama dari nenek moyang mereka telah mengunakan sungai Kota Klias sebagai sebahagian daripada kehidupan harian, tetapi kenapa hari ini kerajaan mahu menggazetkan nya," soal beliau.

Dalam pada itu Taufick yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR Sabah telah menghantar emel kepada Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Samm Mannan  meminta dialog dengan penduduk kampung berkenaan diadakan.

Samm Manan dalam jawapannya berjanji akan menjalankan siasatan namun sehingga kini maklumat berhubung hasil siasatan itu belum dimaklumkan kepada Taufick.

Taufick berharap kerajaan negeri mengkaji hasrat menggazet kawasan tersebut dan membatalkannya demi kepentingan penduduk.

Difahamkan ketika ini pengguna sungai Kota Klias dikenakan bayaran RM2.00 seorang bagi rakyat tempatan dan RM5.00 seorang bagi pelancong asing.

Taufick bagaimanapun menyokong kerajaan negeri mengenakan yuran kepada pelancong asing kerana ia membantu perolehan  negeri.

Penduduk Bintulu tidak selesa bau sampah

Harakahdaily, 11 Okt 2013
BINTULU: Penduduk di sekitar kawasan perumahan di Bintulu mengadu kepada PAS Bintulu tentang masalah kutipan sampah yang tidak mengikut jadual waktu yang telah ditetapkan.

Keadaan bertambah teruk apabila syarikat Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd, dengan kerjasama Sarawak Sisa Management Sdn Bhd, telah mengumumkan bahawa ia akan menyerahkan pungutan dan perkhidmatan pengangkutan sisa perbandaran kepada Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bermula 1 Oktober lepas.

Salah seorang penduduk yang tinggal di Taman Angsana memberitahu pihak kami yang pihak BDA sudah lebih dari dua minggu tidak memungut sampah di kawasan perumahan  mereka.

Kegagalan pihak BDA mengutip sampah tiga kali seminggu menyebabkan penduduk Taman Ansana tidak selesa dengan keadaan berbau busuk dari sampah yang tidak dikutip mengikut jadual.

Walaupun laporan serta aduan telah dibuat oleh penduduk kepada pihak BDA tapi jawapannya agak mengecewakan alasannya trak sampah rosak.

Sepatutnya pihak BDA menyediakan tong sampah yang lebih besar untuk menampung sampah yang terlalu banyak di kawasan perumahan.

Menurut mereka lagi setiap tahun mereka membayar cukai pintu tapi perkhidmatan yang diberi oleh pihak yang berkenaan amat mengecewakan.

Kebanyakan penduduk kesal dengan masalah itu sedangkan mereka membayar pelbagai jenis cukai perkhidmatan dan mengharapkan perkhidmatan yang setimpal diberikan kepada mereka.

“Kita menggesa pihak BDA dan mereka yang berkenaan segera mengatasi masalah ini dari berlarutan agar penduduk di kawasan perumahan tersebut tidak terus hidup dalam keadaan tidak selesa akibat bau busuk sampah yang tidak dikutip,” ujar Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee.

Katanya, amanah dan tanggungjawab pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah ini dengan segera adalah amat dihargai.

Tiada ulasan: