Jumaat, 11 Oktober 2013

BERTUKAR KEPIMPINAN ITU BIASA....JANGAN DAH NAIK TAK MAU TURUN2...YANG PENTING PENGANTI ITU DAPAT MENERUSKAN PERJUANGAN DENGAN LEBIH BAIK...KALAU DAPATLAH

Pulangan hasil ladang Yik RM30 juta

Aslani M, 10 Okt 2013
KOTA BHARU: Hasrat kerajaan negeri mahu Yayasan Islam Kelantan (Yik) mampu berdikari kini menampakkan hasil apabila mula mendapat pulangan hasil ladang sebanyak RM30.8 juta pada 2011.

Pulangan tersebut hasil pembangunan ladang sawit seluas 19,927 hektar yang dijalankan dengan usaha sama syarikat swasta.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri sejak awal lagi merancang bagi membolehkan Yik mempunyai hasil pendapatan sendiri untuk mengurus sektor pendidikan agama.

“Biar pun usaha itu agak lama dilakukan namun pulangan hasil tertangguh disebabkan masalah teknikal.

“Namun sekarang Yik telah melantik pegawai pelaburan bagi memantau projek perladangan yang dijalankan dengan kerjasama swasta,” katanya menjawab soalan Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumbuh) pada persidangan Dun hari ini.

Mohd Amar (gambar) berkata, projek perladangan yang dilaksanakan Yik mulai membuahkan hasil ke arah menjadikan institusi pendidikan itu mampu berdikari pada masa akan datang.

Sebelum ini setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM70 juta bagi mengurus dan pembangunan pendidikan agama di bawah Yik.

Dan pada Belanjawan 2014 sebanyak RM72 juta diperuntukan kepada Yik, di samping RM4 juta lagi bagi pembangunan, menyelenggara dan menaik taraf 91 sekolah agama.

Selain itu kerajaan negeri juga meluluskan tanah kepada agensi-agensi lain termasuk Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat seluas 33,512 hektar, Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) - 22,735 hektar dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) - 10,220 hektar.

Pulangan hasil bagi Ladang Rakyat pada 2011 sebanyak RM12.7 juta, Yakin (RM3.1 juta) dan PKINK (RM18 juta).

Manakala pulangan hasil tahun lepas – Yik (RM12 juta), Ladang Rakyat (RM14.7 juta), Yakin (RM3.2 juta) dan PKINK (19.5 juta).

Menjawab soalan tambahan Mohd Zaki Ibrahim (PAS-Kelaboran) Mohd Amar berkata, pada masa hadapan kerajaan negeri memastikan Yik mampu mengurus sendiri ladang tanpa perlu usahasama swasta.

Tembak dahulu: Suhakam kecewa kenyataan Zahid

Harakahdaily, 10 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suham) melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa anggota gangster akan "ditembak dahulu" tanpa sebarang amaran, sekiranya bukti diperolehi oleh pihak polis.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata "pendekatan yang digalakkan" oleh Ahmad Zahid itu adalah bertentangan sepenuhnya dengan prinsip-prinsip asas hak asasi manusia.

Ianya termasuk hak kepada nyawa dan hak-hak kepada perbicaraan yang adil dan mendapat perlindungan samarata di sisi undang-undang seperti yang dijamin oleh Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Perlembagaan Persekutuan.

"Pendekatan tersebut yang membenarkan pihak berkuasa melaksanakan undang-undang di tangan mereka sendiri, juga menjejaskan prinsip kedaulatan undang-undang dan sistem pengadilan jenayah yang wajib ditegakkan oleh pihak Kerajaan dengan niat baik dalam sistem demokrasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Menteri tersebut juga ujarnya amat dikesali di mana rekod hak asasi manusia Malaysia akan diteliti di bawah Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia pada hujung bulan ini.

"Kemungkinan besar (Malaysia) akan menerima kritikan yang serius oleh komuniti antarabangsa, begitu juga dengan pindaan kerajaan baru-baru ini ke atas Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PCA) yang membenarkan penahanan individu-individu tanpa perbicaraan.," jelasnya lagi.

Ahmad Zahid pada satu majlis taklimat keselamatan bersama pemimpin-pemimpin masyarakat di Ayer Keroh, Melaka pada 6 Oktober lalu, berkata bahawa anggota gangster akan "ditembak dahulu" tanpa sebarang amaran, sekiranya bukti diperolehi oleh pihak polis.

Kenyataan itu kemudian dikritik banyak pihak yang didakwa melanggar hak asasi manusia dan perlembagaan persekutuan.

Mengulas lanjut Hasmy berkata, Suhakam menggesa agar pihak kerajaan menegakkan piawaian yang tertinggi dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia dalam segala tindakannya yang bertujuan untuk melindungi keselamatan dan ketenteraman awam.

Ketua Pembangkang Selangor dapat keistimewaan

Harakahdaily, 10 Okt 2013
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor buat pertama kalinya akan memberi elaun dan keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor sebagai pengiktirafan kepentingan jawatan tersebut dalam sebuah kerajaan demokrasi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataan medianya hari ini memaklumkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang semalam yang meluluskan keistimewaan tambahan kepada Katua Pembangkang Dewan Negeri Selangor.

Keistimewaan baharu itu akan dilaksanakan mengikut Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980.

"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira Ketua Pembangkang adalah komponen penting dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi untuk menjalankan  peranan semak dan imbang (check and balance) kepada kerajaan pemerintah sedia ada.

"Kepentingan Ketua Pembangkang dapat dilihat seperti keutamaan yang diberikan untuk berhujah selepas sesuatu Rang Undang-Undang dibacakan dan keutamaan membahas usul Menjunjung Kasih DYMM Sultan Selangor selepas Dato’ Menteri Besar pada persidangan Dewan Negeri Selangor," kenyataan media itu dipetik.

Menurut Abdul Khalid, keistimewaan baharu Ketua Pembangkang Dun Selangor itu akan dikuatkuasakan selepas usul berkaitan  dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Ke -13 yang dijangka bersidang mulai 19 November depan.

Ketua Pembangkang bakal menerima elaun  tetap, elaun pemandu, elaun Setiausaha Kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun-elaun lain yang kesemuanya berjumlah RM8,620 sebulan.

Pembayaran elaun ini sejajar dengan imbuhan yang diberi kepada Ketua Pembangkang di Parlimen mengikut Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

"Keputusan ini selari dengan hasrat kerajaan Pakatan Rakyat untuk menanam dan menyuburkan demokrasi tulen di negara ini yang memberi kesamarataan hak demi memperjuangkan kebajikan rakyat," kata Abdul Khalid.

Ketua Pembangkang Dun Selangor kini disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsuddin Lias.

Teraju enam PAS kawasan di Pahang berubah

Basiron Abdul Wahab, 10 Okt 2013
TEMERLOH: Seluruh PAS kawasan di negeri ini selesai mengadakan mesyuarat agung yang menyaksikan enam daripada 14 kawasan mendapat Yang Dipertua (YDP)  baharu.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal (kanan) berkata, secara keseluruhannya mesyuarat agung PAS kawasan berjalan lancar mengikut lunas perlembagaan parti.

Katanya, perubahan kepimpinan di enam kawasan juga berlangsung dalam suasana harmoni malah ada kawasan yang mengadakan syura bagi menentukan YDP baharu.

PAS kawasan yang mendapat YDP baharu adalah Maran yang kini diterajui Hasenan Harun, Rompin (Mazlan Mohd Yassin),  Raub (Idris Ahmad), Indera Mahkota  (Andansura Rabu), Paya Besar (Tarmizi Yahya) dan Jerantut (Yohanis Ahmad) (kiri).

Lapan PAS kawasan yang mengekalkan YDP adalah Lipis yang terus diterajui Ishak Sat, Cameron Highland (Abd Karim Noor), Bentong (Abd Hamid Bahatim), Temerloh (Md Jusoh Darus),  Bera (Sulaiman Mohamad), Kuantan (Rosli Abd Jabar), Kuala Krau (Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man) dan Pekan (Abu Kasim Manaf).

Menurut Roslan, PAS Pahang akan mengadakan konvensyen tahunan di Kuantan pada 26 Oktober ini yang akan menemukan semua YDP baharu dan lama dalam satu majlis muhasabah parti.

Sungai Limau: Muslimat utamakan kebajikan

Saidah Hairan, 10 Okt 2013
SHAH ALAM: Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan mengingatkan pengundi Dun Sungai Limau supaya jangan terpedaya dengan sogokan wang dan janji pembangunan daripada Umno-BN yang akan dilakukan sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil (PRK).

Ini kerana katanya, jika dilihat daripada janji-janji manis Umno BN kepada pengundi di mana-mana sahaja diadakan PRK semua janji itu tidak akan ditunaikan setelah calon Umno memperolehi kemenangan.

Beliau berharap pengundi Dun Sungai Limau perlu bijak membuat penilaian apa yang rakyat perolehi setelah Kedah dirampas oleh Umno daripada kerajaan PAS pada Pilihan raya Umum ke13.

"Kita kena tengok masa depan generasi akan datang jika Umno-BN terus mentadbir negeri Kedah. Tengok saja apa yang berlaku pada laporan Audit yang dibentangkan dalam sidang dewan rakyat. Banyak ketirisan yang dilaporkan, semua rakyat yang menanggung rugi," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, laporan audit itu berbeza dengan prestasi yang diakui sendiri oleh pihak audit bahawa empat negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat amat baik.

Menjelang kempen PRK katanya, jentera HalWa dan Muslimat PAS Selangor akan membantu PAS Kedah untuk berkempen dan mempertahankan kemenangan.

"Muslimat Selangor sudah bersedia dan akan turun bila-bila masa. Kita ditugaskan di dua UPU. HalWa akan turun mengikut jadual yang ditetapkan oleh Jabatan Pilihan raya Negeri (JPrN) Selangor," katanya.

Memandangkan Dun Sungai Limau kawasan Melayu katanya, kempen perlu dilakukan dari rumah ke rumah dengan menitikberatkan soal kebajikan penduduk selain menjelaskan jasa yang dilakukan oleh mantan Menteri Besar dan Adun Sungai Limau, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abd Razak.

Beliau berharap para pengundi dalam PRK pada 4 November nanti dapat memberi undi kepada PAS dengan pertambahan majoriti.

Suruhan Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon pada 23 Oktober (Rabu) manakala hari membuang undi pada 4 Nov (Isnin).

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, almarhum Ustaz Azizan mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru.

UM masih berteka-teki tarikh p'raya kampus

Harakahdaily, 10 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Pihak pentadbiran Universiti Malaya didakwa masih berteka-teki berhubung tarikh pilihan raya kampus (PRK) itu biarpun secara tak rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan ianya kan berlangsung pada 23 Oktober ini.

Pro Mahasiswa Universiti Malaya (ProM UM) dalam satu kenyataan berkata, pihak pentadbiran sehingga kini enggan mengesahkan tarikh tersebut biarpun didesak berbuat demikian.

Kumpulan itu mendakwa, dalam satu jawapan kepada mereka, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya, Datuk Dr Rohana Yusof juga tidak menjawab persoalan berhubung perkara itu malah menyifatkan tarikh PRK bukan sesuatu yang penting kepada pelajar.

Menurut mereka, Dr Rohana juga turut menasihatkat mereka untuk menumpukan kepada hal akademik berbanding dengan pilihan raya kampus.

Jawapan itu didakwa dihantar melalui emel kepada jurucakap Pro Mahasiswa UM, Safwan Shamsuddin yang sebelum itu meminta penjelasannya mengenai tarikh pilihan raya kampus.

"Apa yang pasti, pengumuman untuk tarikh Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UM akan dilakukan bila sampai masanya nanti.

"Nasihat saya lebih baik saudara dan rakan-rakan menumpukan perhatian kepada perkara hal ehwal akademik yang mana merupakan hal yang lebih penting berbanding pemilihan MPP ini" katanya seperti dilapor mahasiswakini.net.

Minggu lalu Pro Mahasiswa Nasional dan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) pergi sendiri ke pajabat Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya bagi mendapatkan tarikh PRK.

Dalam jawapannya, KPM memaklumkan PRK bagi kampus Universiti malaya akan diadakan pada 23 Oktober.

Bagaimanapun sehingga kini, Pro M mendakwa tiada sebarang pengesahan atau makluman daripada pihak universiti berkenaan berhubung paerkara itu.

Rekod hak asasi manusia Malaysia disemak 24 Okt

Harakahdaily, 10 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyeru orang ramai untuk mengambil maklum tentang Rekod Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) Malaysia bagi semakan kedua, yang akan dijalankan pada 24 Oktober 2013 di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agan berkata, UPR merupakan satu mekanisme yang ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) pada tahun 2007 yang bertujuan untuk memperbaiki keadaan hak asasi manusia di setiap negara melibatkan 193 Negara Anggota PBB.

Di bawah UPR, jelasnya rekod hak asasi manusia negara-negara anggota akan dinilai semula setiap empat tahun setengah oleh Kumpulan Kerja UPR yang terdiri daripada 47 ahli HRC.

“Dalam tempoh ini, setiap negara ahli perlu menunaikan komitmen mereka terhadap masyarakat antarabangsa dengan melaksanakan syor-syor yang telah diterima semasa sesi UPR, dengan sasaran untuk mencapai rekod hak asasi manusia yang lebih baik sebelum penilaian seterusnya dijalankan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Malaysia telah dinilai dalam kitaran pertama UPR pada 11 Februari 2009 dan bakal dinilai bagi kali kedua oleh Kumpulan Kerja UPR pada 24 Oktober 2013.

Pada penilaian kitaran pertama, jelasnya Malaysia telah menerima 62 daripada 103 syor yang dikemukakan oleh Kumpulan Kerja UPR dalam pelbagai isu hak asasi manusia termasuklah, penyertaan kepada triti hak asasi manusia antarabangsa; kajian semula undang-undang yang sedia ada dan sistem kehakiman; hak asasi golongan rentan termasuk Orang Asli/Asal, wanita dan kanak-kanak; pekerja asing; pemerdagangan orang; serta hak-hak pendidikan, ekonomi dan kesihatan.

“Memandangkan bahawa Kumpulan Kerja akan menilai pelaksanaan Malaysia terhadap hasil penilaian sebelumnya dan juga syor-syor yang diterima serta perkembangan mengenai situasi hak asasi manusia di negara ini, Suruhanjaya ingin menarik perhatian Kerajaan bahawa inisiatif perundangan semasa yang dilakukan demi kepentingan keselamatan, ketenteraman awam atau pencegahan jenayah, khususnya pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang memperkenalkan peruntukan-peruntukan yang bersifat mundur dan tidak selaras dengan prinsip-prinsip asas hak asasi manusia, akan membawa kepada penelitian dan kritikan masyarakat antarabangsa terhadap Negara yang secara tidak langsung akan menjejaskan rekod hak asasi manusia Malaysia di forum antarabangsa,” jelas beliau lagi.

Sehubungan dengan itu, kata beliau Suhakam menyeru kerajaan untuk menunjukkan pematuhan sepenuhnya dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia antarabangsa dan memenuhi janji dan komitmen secara sukarela yang dikemukakan semasa mempertahankan pencalonannya untuk keahlian HRC, yang mana kesemuanya adalah asas UPR.

Suhakam juga, kata beliau menyeru pihak-pihak berkepentingan yang lain, terutamanya media dan ahli-ahli pertubuhan masyarakat sivil untuk memainkan peranan masing-masing dalam menyokong usaha merealisasikan hasil penilaian ke arah meningkatkan situasi hak asasi manusia di Malaysia.

Bersempena UPR kali kedua Malaysia, ujarnya Suhakam dan 10 pihak berkepentingan yang lain telah mengemukakan laporan masing-masing kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR) yang mana kesemuanya telah digabungkan sebagai salah satu daripada tiga dokumen utama yang akan dikaji semula oleh Kumpulan Kerja.

Dokumen-dokumen itu, kata beliau boleh didapati di laman web Majlis Hak Asasi Manusia di http://www.ohchr.org/EN/HRBodies/UPR/Pages/MYSession17.aspx.

Insinerator: Audit sahkan kebimbangan, bantahan CAP

Harakahdaily, 10 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2012 telah mendedahkan kelemahan dan prestasi yang kurang memuaskan insinerator-insinerator yang dibina oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah mengemukakan bantahan kami apabila kerajaan mencadangkan loji insinerator demikian yang menggunakan teknologi pembakaran secara autogenous (ACT) yang dibangunkan oleh XCN Technology Sdn Bhd.

“Pada tahun 2009, CAP telah memberi ulasan dan mengetengahkan kebimbangan kami ke atas Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling Terperinci (DEIA) empat buah projek insinerator yang dicadangkan iaitu di Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman dan Cameron Highlands,” kata Presidennya, SM Mohamed Idris dalam satu kenyataan.

Berikut adalah kenyataan beliau.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 telah mendedahkan kelemahan dan prestasi yang kurang memuaskan insinerator-insinerator yang dibina oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah mengemukakan bantahan kami apabila kerajaan mencadangkan loji insinerator demikian yang menggunakan teknologi pembakaran secara autogenous (ACT) yang dibangunkan oleh XCN Technology Sdn Bhd.

Pada tahun 2009, CAP telah memberi ulasan dan mengetengahkan kebimbangan kami ke atas Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling Terperinci (DEIA) empat buah projek insinerator yang dicadangkan iaitu di Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman dan Cameron Highlands.

Pertama, dari laporan-laporan DEIA tersebut kami mendapati bahawa teknologi yang dicadangkan adalah hasil dari satu eksperimen makmal dan tidak terbukti dalam skala besar atau keadaan sebenar.

Kajian bebas untuk menunjukkan bahawa teknologi itu selamat juga merupakan suatu kekurangan.

Walaupun tiada data sebenar prestasi pelepasan, feasibiliti dan keberkesanan kos untuk insinerator berkapasiti yang sama seperti loji insinerator yang dicadangkan, bagaimanakah boleh diberi jaminan bahawa insinerator itu dapat diselenggara untuk mematuhi standard pelepasan?

CAP telah menyuarakan kebimbangan kami tentang bagaimana penilaian teknologi boleh dibuat berdasarkan kepada andaian dan tanpa sebarang petunjuk sebenar sama ada sistem kawalan pencemaran udara akan beroperasi dengan berkesan.

Kami menegaskan bahawa penilaian hanya berdasarkan andaian akan membawa kesan negatif kepada kesihatan awam dan alam sekitar. Tetapi, pandangan kami tidak diendahkan.

Di samping itu, ACT dilengkapi tanur berputar (rotary kiln) dilaporkan telah dicadangkan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengurusan Sisa Pepejal dan Alam Sekitar.

Ringkasan eksekutif DEIA tidak menyatakan rasional bagi Jawatankuasa Kabinet dalam membuat keputusan itu.

CAP percaya bahawa sejak keputusan telah dibuat oleh Jawatankuasa Kabinet, pilihan insinerator ini telah dipromosikan tanpa menimbangkan alternatif lain yang lebih selamat.

CAP juga menegaskan bahawa insinerator tidak selamat mahupun beroperasi dengan suhu yang tinggi atau dengan peralatan kawalan pencemaran.


Peralatan kawalan pencemaran tidak menghapuskan pencemaran. Ia kebanyakannya memerangkap dan menumpukan bahan pencemar, mengalih sebahagian besar tetapi tidak semua daripada pencemaran dari gas ekzos ke lain-lain media alam sekitar.

Sisa yang dijana dalam kawasan-kawasan projek ini kebanyakannya sisa organik yang sepatutnya dikompos. Memang terdapat cabaran untuk mencapai kadar lencongan sisa yang tinggi terutama di pulau-pulau dan tanah tinggi dari segi pelaksanaan kaedah pengumpulan sisa baru, memastikan penyertaan awam, mencari pasaran bagi bahan-bahan yang dikumpul, dan lain-lain.

Negara-negara dan pihak berkuasa tempatan lain telah menghadapi cabaran yang sama dan telah menyelesaikannya.

Oleh itu tidak ada alasan mengapa usaha-usaha pengurangan sisa tidak boleh dilakukan di Malaysia.

Kerajaan perlu mengambil kira masalah yang berkaitan dengan projek-projek insinerator yang gagal ini.

CAP berpendapat bahawa Ketua Audit Negara sepatutnya mengecam insinerasi supaya kerajaan Malaysia tidak mencadangkan pembinaan insinerator.

Memandangkan keadaan tempatan, model alternatif bagi pengurusan sisa yang menimbulkan kesan minimum kepada alam sekitar ialah ke arah pendekatan sisa sifar (zero waste), menggalakkan sistem pengurusan sisa yang mampan dan pengeluaran bersih.

Tiada ulasan: