Ahad, 13 Oktober 2013

JANGAN TUNJUK KUAT DAN EGO KEPADA ALLAH SWT...MENEMPAH NAHAS

Pelaksanaan Islam tidak halang kerjasama PAS-PR

Saidah Hairan, 12 Okt 2013

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perlaksanaan undang-undang Islam tidak menghalang kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat termasuk rakan bukan Islam kerana mereka tidak terlibat dengan undang-undang tersebut sebaliknya mereka harus melihat undang-undang itu dilaksanakan terlebih dahulu.

Katanya, PAS menyatakan dasarnya secara terbuka manakala DAP turut menyatakan perjuangannya secara terbuka dengan berdialog maka PAS dapat bekerjasama dalam perkara yang ada persamaan tanpa menghalang dalam perkara yang berbeza.

Beliau turut menegaskan untuk melaksanakan undang-undang Islam kuasa politik  merupakan syarat utama untuk menggubal undang-undang dalam perlembagaan negara.

Katanya, undang-undang merupakan salah satu rukun dalam negara mengikut kaedah politik dan undang undang sebuah negara tidak boleh diikhtiraf  kecuali mempunyai lima syarat.

"Sebuah negara mesti mempunyai pemimpin iaitu kerajaan yang memerintah, negeri atau negara, rakyat, ada perlembagaan dan kedaulatan sebuah negara mesti bebas sepenuhnya," katanya dalam ucaptama `56 tahun Merdeka: Ke Mana Hala Tuju Syariah Islam di Malaysia', di Unisel, Shah Alam.

Beliau menegaskan sebab itu negeri Kelantan, Terengganu ketika memerintah bahkan Selangor mempunyai bidang kuasa yang terhad untuk melaksanakan undang-undang Islam.

Menurut beliau, penjajah telah meminggirkan undang-undang Islam setelah mereka gagal untuk memurtadkan penduduk supaya meninggalkan ajaran Islam kerana melaksanakan konsep sekularisma memisahkan agama dengan urusan dunia.

Undang-undang Islam itu katanya telah dipinggirkan secara halus dengan cara mewujudkan Jabatan Agama Islam sedangkan Islam itu lebih besar dan tidak perlu berada di bawah satu jabatan.

"Mengapa Islam ada pejabat seperti pejabat haiwan, pejabat hutan dan bermacam-macam pejabat lagi. Islam ditadbirkan bukan Islam dikongkong," tegasnya.

Beliau berkata, undang-undang Islam bukan sekadar undang-undang keluarga, pusaka serta berkait dengan wakaf bahkan undang-undang keluarga tidak boleh diasingkan daripada undang-undang lain.

Mengulas tentang Suruhanjaya Reid katanya, PAS bersama NGO Islam pernah menghantar memorandum mendesak supaya Islam diletakkan dalam pelembagaan kerana umat Islam merupakan majoriti besar selepas kemerdekaan.

Katanya, tekanan itu menyebabkan Suruhanjaya Reid meletakkan Perlembagaan Fasa 3 Islam sebagai agama Persekutuan di samping agama lain boleh diamalkan.

Menurut beliau, selepas 56 tahun negara mencapai kemerdekaan pemikiran pimpinan negara masih jumud kerana mereka tidak mengikut ajaran Islam.

PAS mendesak supaya syariat Islam yang sempurna dilaksanakan secara umum malangnya ada kalangan yang menentang kerana menganggap syariat Islam lemah sehingga mereka menghentam undang-undang Islam, katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengimbas sejarah PAS menyertai kerajaan campuran pada tahun 1970-an yang tegas dengan pendirian sehingga menegaskan majlis tari menari bercampur lelaki dan perempuan.

"PAS membantah minuman arak dihidangkan dalam jamuan negara menuntut laungan azan di radio dan TV di adakan," katanya.

Begitu juga tambah beliau, iklan arak dan judi dihapuskan dalam media kerajaan dan PAS minta supaya ada hak untuk menyebarkan kefahaman Islam di Kementerian.

Pinda Perlembagaan tetapi tidak ikut syariat Islam

Saidah Hairan, 12 Okt 2013
SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pemodalan Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali berkata, Perlembagaan negara sering dipinda melalui Rang Undang-undang yang diluluskan di parlimen tetapi penggubalan tersebut tidak menjurus kepada syariah Islam yang menyeluruh.

Menurut beliau, walaupun kerajaan negeri diberi kuasa melaksanakan syariat Islam di negeri masing-masing tetapi ia tidak boleh mengatasi kekuatan Perlembagaan negara.

Sehingga katanya, Kelantan dan Terengganu (ketika memerintah) telah meluluskan Enakmen Jenayah Syariah bagi membolehkan hukuman itu dilaksanakan, namun ia terhalang dengan adanya sekatan dari kerajan Persekutuan.

"Kerajaan Persekutan menggunakan alasan Enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undangan negeri tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan," tegasnya ketika merasmikan Seminar Perlaksanaan Syariah Islam 56 Tahun Merdeka', di Unisel, Shah Alam.

Beliau menegaskan, pakar-pakar perundangan berselisih pendapat dalam isu tersebut namun sehingga kini tidak ada jalan penyeleaian bagi membolehkan kerajaan negeri diberi kuasa melaksanakan undang-undang syariah Islam.

Menurut beliau, alasan rakyat berbilang bangsa dijadikan punca utama untuk tidak melaksanakan undang-undang Islam sehingga menimbulkan ketakutan pada undang-undang tersebut.

Katanya, ada pihak yang sengaja membesar-besarkan masalah berbilang kaum sehingga menimbulkan kegerunan dikalangan orang bukan Islam untuk menerima perlaksanaan syariat Islam.

Menyedari hakikat itu, beliau berkata, kerajaan Selangor mengambil pendekatan sepadu dan berjangka panjang dengan misi mengilmukan rakyat iaitu bukan sekadar berpuashati dengan ilmu dikalangan cerdik pandai.

Katanya, kerajaan telah mengoptimakan segala aset institut pendidikan yang sedia ada termasuk Unisel dan PPAS bagi memberi akses maksima kepada rakyat melalui misi merakyatkan ilmu.

Beliau berkata, di bawah Jawatankuasa Pendidikan telah mewujudkan satu Jawatankuasa Khas menangani gejala sosial (GEMS) yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta NGO.

Menurut beliau, sudah sampai masa rakyat diajak memahami syariat Islam yang lebih adil untuk memelihara agama, harta dan maruah berbanding undang-undang ciptaan manusia.

Hishammuddin sudah terbayang kekalahan?

Harakahdaily, 12 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Menjelang pemilihan sayap dalam Umno yang akan diadakan dalam tempoh beberapa jam dan seminggu lagi sebelum pemilihan peringkat MT Umno, Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein yang dikatakan ‘lembik’ dan paling mungkin kecundang dalam mempertahankan jawatannya, dilihat cuba menagih simpati agar penyingkirannya itu tidak menjadi kenyataan.

Bagi penulis Shahbudin Husin, dengan cuba menggambarkan dirinya seorang yang tidak mementingkan kedudukan dan pemimpin yang teguh kesetiaannya, Menteri Pertahanan itu berkata, sama ada kalah atau menang pada 19 Oktober nanti, beliau akan terus kekal bersama Umno.

Menurutnya, walaupun seperti sudah dapat membayangkan akan kekalahannya, dalam tempoh kempen yang semakin suntuk dan arus penolakan kepadanya tidak banyak berubah, Hishammuddin ternyata masih mengharapkan ada rasa simpati daripada para perwakilan.

“Katanya, apa yang dimahukannya dalam pemilihan kali ini ialah perwakilan akar umbi Umno memberikan Presiden Umno saf kepimpinan Naib Presiden yang paling baik untuk memastikan negara terus melangkah mahu ke hadapan,” tulis beliau di dalam blognya.

Baca lagi

Dedah kandungan TPPA, biar rakyat nilai

Muhammad Faizal, 11 Okt 2013

KUALA LUMPUR: PAS mengesa agar kerajaan mendedahkan isi kandungan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) agar ia dapat diteliti oleh rakyat.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika berucap pada himpunan bantah TPPA di hadapan Masjid Al-Syakirin, KLCC hari ini mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil serius dengan desakan rakyat agar menolak TPPA.

"Kita berada di sini sebagai mewakili rakyat Malaysia untuk menentang perjanjian TPPA dan seterusnya menentang pelaksanaannya di negara ini.

"Kita gesa agar kerajaan di bawah kepimpinan Najib membuat pendedahan kesemua perjanjian dan ini penting untuk rakyat teliti serta mengetahui apa kandungan mahupun muslihat disebaliknya," ucap beliau.

Beliau turut melahirkan kekesalan apabila pimpinan Umno terus berdiam diri dalam soal TPPA walaupun ia secara langsung dilihat mengugat ekonomi negara.

"Saya tidak tahu sama ada pemimpin Umno ini sedar atau tidak, mahupun takut untuk bersuara sehinggakan tidak ada sepatah pun keluar dari mulut mereka bercakap tentang TPPA.

"Umno bercakap soal maruah negara, ekonomi tetapi dalam soal ini mereka membisu tanpa sebarang desakan walaupun untuk mengetahui isi kandungan perjanjian," jelas beliau

Tambah beliau lagi, pimpinan Umno perlu mengambil ruang sempena dengan perhimpunan agung mereka nanti untuk mengesa presiden mereka membatalkan hasrat untuk mengikut serta dalam pelaksanaan TPPA.

Salahuddin turut meminta kerajaan menyediakan satu kertas putih mengenai perjanjian serta dibahaskan segala apa kandungan di dalamnya.

"Kita nak lihat kertas putih mengenai perjanjian TPPA, kita nak tengok segala kelemahan yang terkandung dalam perjanjian tersebut.

"Ini hak yang perlu rakyat ketahui, apa jua kelemahan mahupun muslihat sulit dalam perjanjian tersebut kita ingin teliti serta bahaskan," sambung beliau.

Salahuddin juga memberitahu isu TPPA bukannya isu satu pihak sahaja tetapi melibatkan keseluruhan rakyat Malaysia, dan perkara ini perlu ditentang habis-habisan agar kedaulatan serta ekonomi negara terjamin.

Sementara itu, Pakar Ekonomi PAS Dr Rosli Yaakob meminta agar Najib meninggalkan segera meja rundingan TPPA dan menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap Amerika Syarikat untuk menolak terus pelaksanaan tersebut.

Himpunan yang dianjur oleh Badan Bertindak Bantah TPP (Bantah) hari ini bermula di hadapan Masjid Al-Syakirin selepas solat Jumaat sebelum berarak dan berhimpun di hadapan KLCC.

Himpunan aman itu telah disertai hampir 700 orang dari pelbagai latar belakang termasuk wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga parti-parti politik.

Audit: Mahathir juga tuju kepada Najib letak jawatan

Abdul Aziz Mustafa, 11 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya menyuruh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan apabila meminta menteri-menteri yang dilihat gagal dalam laporan Ketua Audit Negara meletak jawatan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz.

"Apabila Dr Mahathir meminta menteri-menteri yang dilihat gagal dalam laporan Ketua Audit Negara 2012 meletakkan jawatan, beliau sebenarnya menujukan kenyataan itu kepada Najib," katanya.

Najib, kata Mahfuz, ialah orang yang bertanggungjawab melantik menteri-menteri berkenaan.

"Sebab itulah saya kata Dr Mahathir sebenarnya meminta Najib meletakkan jawatan kerana kesilapan melantik menteri-menteri yang tidak beramanah dan tidak cekap bekerja.

"Kesilapan mereka adalah kesilapan Najib sebagai Perdana Menteri yang melantik mereka," kata beliau.

Menurut Mahfuz, sistem nilai yang terpakai dengan meluas meletakkan Perdana Menterilah yang bertanggungjawab terhadap segala kepincangan kewangan dan pentadbiran serta penyalahgunaan kuasa yang dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara itu.

"Sama ada yg dibuat oleh menteri-menteri atau kakitangan, akhirnya Najiblah yang bertanggungjawab.

"Pentadbiran negara ini sering dipanggil sebagai pentadbiran Najib dan kita selalu dengar atau baca Orang Putih kata 'the buck stop at Najib'," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz berkata, sebelum ini rakyat terlalu kerap mendengar bahawa Dr Mahathir tidak puas hati dengan stail dan prestasi Najib.

"Dengar cerita Dr Mahathir melihat Najib sebagai lemah dan lembik," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Dr Mahathir akan terus memberikan tekanan terhadap Najib seperti yang dilakukannya terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu sehingga akhirnya "Malaysia mendapat Perdana Menteri baru menggantikan Najib".

Dr Mahathir dilaporkan meminta menteri-menteri yang diperlihatkan gagal dalam laporan Ketua Audit Negara 2012 meletakkan jawatan.

Menurut bekas Perdana Menteri, menteri-menteri harus bertanggungjawab untuk apa yang berlaku dalam kementerian mereka berikutan laporan Ketua Audit Negara.

"Di Jepun, bila kapal terbang terhempas di landasan, menteri pengangkutan perlu meletakkan jawatan. Di Malaysia, jika kemalangan kapal terbang, itu bukan masalah saya.

"Saya berharap untuk melihat lebih banyak peletakan jawatan," katanya dan sambil bergurau berkata, "saya meletak jawatan kerana saya gagal".

Zello Suara Rakyat, saluran komunikasi interaktif

Harakahdaily, 11 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Setelah beroperasi hampir dua tahun, Suara Rakyat.fm, radio internet yang membawa suara alternatif rakyat berhasrat melebarkan capaian aplikasi 'walkie talkie' internetnya, Zello Suara Rakyat.

Menurut Ketua Penyelaras Suara Rakyat.fm, Ripin Samat, jaluran Zello Suara Rakyat yang ditubuhkan pada 7 Oktober tahun lalu berhasrat menjadi gelanggang kepada rakyat untuk berhujah dalam hal politik, agama dan isu semasa secara berhemah, berhikmah, berilmu dan berfakta tanpa mengira fahaman politik.

"Jaluran ini adalah satu peralatan seakan-akan walkie talkie yang berkonsepkan 'perbualan langsung ' melalui internet. Jaluran Zello Suara Rakyat ini muncul dalam musim pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu dalam menyampaikan maklumat-maklumat  berkaitan perkembangan politik semasa tanah air.


"Jaluran ini juga diharap menjadi pemangkin kepada berita-berita yang benar dan telus dari sumber-sumber yang sah dan berwibawa," kata Ripin.

Menurut Ripin, jaluran Zello menggunakan aplikasi Android dan boleh diikuti melalui komputer di seluruh dunia.

Ia boleh dimuat turun di www.zello.com dengan membuat carian “Suara Rakyat” dan tagline “Suara Rakyat Suara Keramat”.

Ripin berkata, berita yang disampaikan jaluran Zello Suara Rakyat berkisar tentang isu politik, agama dan  isu semasa .

Tambahnya, jumlah pengguna aplikasi ini telah mencecah hampir 13,000 dan jaluran Zello Suara Rakyat mengalami limpahan pengguna pada malam kiraan undi keputusan PRU13 sehingga mencapai had maksimum 300 pengguna pada satu-satu masa.

"Ini bermakna jaluran Zello Suara Rakyat telah menjadi pilihan utama dalam menyampaikan dan menerima maklumat yang benar oleh rakyat.  Jaluran Zello Suara Rakyat bukan saja menjadi medium untuk menyampaikan maklumat yang berkaitan malah menjadi wadah untuk menguatkan ukhwah sesama user," katanya.

Beliau menambah, pengguna Zello Suara Rakyat terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur termasuk para pemimpin utama Pakatan Rakyat yang telah bersuara secara langsung.

" Juga tidak ketinggalan segelintir pemimpin BN pernah bersuara di dalam jaluran ini untuk menyampaikan agenda parti," katanya.

Jaluran Zello Suara Rakyat juga, jelas Ripin sering membuat lintas langsung di majlis-majlis utama pakatan Rakyat dan melapor pelbagai peristiwa yang menggemparkan negara seperti perhimpunan Bersih 3.0.

Menurut Ripin (gambar), pengguna jaluran Zello Suara Rakyat boleh berinteraksi dan berkongsi maklumat melalui laman facebook di alamat  www.facebook.com/radiosuararakyatFM?ref=hl

"Siaran di jaluran Zello Suara Rakyat ini berkumandang setiap hari selama 24 jam tanpa henti selagi ada pengguna  yang setia berinteraksi sesama sendiri.

"Perbincangan semakin memuncak bermula jam 9 malam hingga ke jam 1 pagi setiap hari. Para pembaca dialu-alukan untuk memberikan maklumat dan pandangan bagi dikongsi bersama di dalam jaluran Zello Suara Rakyat," pelawa Ripin.

Selangor sumbang 753 ekor lembu sempena Aidiladha

Selangorku, 11 Okt 2013
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyumbangkan 753 ekor lembu bernilai RM2,259,000 untuk diagih ke setiap daerah, masjid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di seluruh negeri sempena Aidiladha.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata lembu yang setiap seekor seberat 200 kilogram itu diperoleh daripada penternak tempatan termasuk PKPS Livestock Farm Sdn Bhd dan sebahagian lagi diimport dari Thailand.

Ia dibiayai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB), Worldwide Holdings (WHB), Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Sempena sambutan Aidiladha itu, katanya, PKPS diamanahkan untuk menguruskan pengagihan yang dijadual bermula serentak di semua daerah antara 12 Oktober sehingga 14 Oktober.

“Antara pemantauan PKPS ialah membuat tagging setiap lembu bagi mengelakkan tidak berlaku penukaran di lokasi penghantaran. Tugas memantau dilaksanakan 28 kakitangan PKPS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penyerahan Lembu Korban 2013 di Ladang PKPS Jelutong Jati, selain turut meninjau ladang lembu yang dibangunkan PKPS.

Turut hadir sama ialah Pengurus Besar Kumpulan PKPS, Ali Ahmad dan Exco Permodenan Pertanian, Sallehen Mukhyi dan exco lain, Dr Yunus Hairi dan Dr Daroyah Alwi.

Tiada ulasan: