Ahad, 13 Oktober 2013

ISLAM ITU UNTUK SEMUA...ISLAM ITU SYUMUL

K-Pop: Najib digesa gantung tugas Shabery

Harakahdaily, 11 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Jingga 13 Malaysia mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggantung tugas Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia ekoran pendedahan perbelanjaan Kementerian Belia dan Sukan yang diterajui oleh beliau sebelum ini melibatkan wujud perbelanjaan melampau dan tidak berhemat oleh Laporan Ketua Audit Negara.

Ketua Koordinatornya, Fariz Musa berkata, sebagai Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Shabery tidak perlu bersikap ‘menegakkan benang basah’ tetapi mengambil sikap bertanggungjawab terhadap pendedahan yang dibuat berkaitan pembiayaan RM1.6 juta wang rakyat untuk konsert K-Pop.

Katanya, Shabery telah berbohong mengenai bayaran kepada tiga kumpulan K-Pop yang membuat persembahan U-Kiss, Teen Top dan Dal Shabet bahawa dibayar oleh penaja.

Isu perbelanjaan Himpunan Sejuta Belia 2012 sejumlah RM67.6 juta dari 23 hingga 27 Mei 2012 di Putrajaya juga turut mengundang pelbagai persoalan terhadap perbelanjaan yang sangat melampau.

Sebelum ini Shabery juga turut menyatakan bahawa program tersebut mendapat penajaan RM20 juta melalui Majlis Sukan Negara.

“Ini bermakna perbelanjaan Himpunan Sejuta Belia 2012 adalah berjumlah dicampur dengan tajaan ialah RM87.6 juta,” ujar Fariz dalam satu kenyataan.

Justeru, kata beliau Kerajaan Umno BN sewajarnya bersikap serius dan bertanggungjawab terhadap Laporan Ketua Audit Negara dan bukannya mengambil sikap sambil lewa membiarkan segala kebocoran, ketirisan, penyelewengan berlaku setiap tahun tanpa ada tindakan drastik menyelamatkan wang rakyat.

Kompaun AES lebih kepada ugutan - Kase

Muhammad Faizal, 11 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) berpendapat konsep yang diperkenalkan kerajaan 'lagi lama anda tunggu, lagi banyak anda bayar' adalah lebih kepada ugutan untuk mendapatkan duit kompaun secara mudah.

Sebelum itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan [JPJ] Datuk Ismail Ahmad dalam sidang medianya semalam memaklumkan bahawa kadar baru kompaun yang diumumkan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein boleh mula dibayar melalui sistem mySIKAP.

Katanya lagi kompaun mengikut prinsip lagi lama anda tangguh, lagi banyak anda bayar (the more you delay, the more you pay) diperkenalkan oleh Pemangku Menteri hanya melibatkan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dikeluarkan bermula 18 September 2013 sahaja.

Penasihat Undang-undang Kase, Zulhazmi Shariff menjelaskan konsep tersebut bukan satu penyelesaian, sepatutnya setiap saman perlu dibawa ke mahkamah untuk menentukan bersalah atau tidak.

Katanya lagi, mahkamah merupakan tempat terbaik untuk mementukan seseorang itu perlu dibayar denda ataupun tidak dan bukannya melalui ugutan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengangkutan.

"Konsep itu jelas cuba mengugut pemandu agar mereka membayar kompaun apabila mendapat saman AES dengan cara yang mudah, bayar cepat dapat murah dan kalau tangguh maka makin mahal denda tersebut.

"Itu bukan satu penyelesaian, sepatutnya mereka yang mendapat saman AES perlu dibawa ke mahkamah untuk menentukan sama ada bersalah atau tidak dan perlu menbayar denda atau dilepaskan," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang mengulangi cabaran agar Pemangku Menteri Pengangkutan atau Peguam Negara atau Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau sesiapa sahaja yang berkaitan untuk membuktikan kewajipan membayar kompaun dan kewajipan membayar saman AES.

"Jika ada peruntukan mewajibkan kompaun dan saman dibayar, saya bersedia untuk membayar semua kompaun dan saman yang telah dikeluarkan sebaliknya jika tiada maka saya memohon dibatalkan saman-saman AES yang telah dikeluarkan dan hentikan perlaksanaan AES sehingga semua kajian selesai.

"Namun sehingga hari ini tiada sebarang respon cabaran saya tersebut," sambung beliau.
Beliau yang bertegas dengan melabel penerima saman sebagai pesalah juga adalah suatu label yang pra-matang dan tidak bertanggungjawab.

Katanya lagi, saman bukan bukti kesalahan ia hanya perintah untuk ke mahkamah bagi membuktikan kesalahan.

"Setiap penerima saman bukan pesalah melainkan Mahkamah memutuskan mereka bersalah melakukan kesalahan. 'Seseorang itu tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah'," tegas beliau.

Tembak dulu: Jangan sampai matlamat halalkan cara

Salmiyah Harun, 11 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PAS menegaskan setiap tindakan yang dilakukan oleh pihak keselamatan perlu merujuk kepada standard prosedur operasi (SOP) untuk menembak penjenayah walau macam mana sekalipun ancaman yang dihadapi.

Menurut Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, apa jua isu yang ditimbulkan ianya tidak boleh membelakangkan perlembagaan, undang-undang dan peraturan yang telah termaktub.

"Saya rasa apa yang harus dibetulkan adalah kaedah pendekatan yang dimbil oleh pihak keselamatan.

"Saya rasa apa yang digambarkan oleh Zahid mungkin beliau merasakan berat tanggungjawab yang dirasakan oleh pegawai keselamatan," katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun tegas Salahuddin dalam perkara ini pihak keselamatan tidak boleh berpandukan pada kaedah matlamat menghalalkan cara.

Beliau yakin dan percaya, jika pihak keselamatan berpegang teguh pada SOP mereka dapat mengawal keadaan dan banteras jenayah berpandukan kepada peraturan dan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi satu ucapannya di Melaka baru-baru ini memberi gambaran bahawa lebih baik jika suspek tersebut ditembak terlebih dahulu, sebelum siasatan dijalankan.

Kenyataan Zahid itu menimbulkan kecaman pelbagai pihak malah terdapat dua laporan polis yang telah dibuat terhadap beliau.

Bagaimanapun, semalam ketika dalam wawancara di sebuah stesen televisyen berbayar Zahid mendakwa kenyataan 'tembak dulu' merujuk kepada kes lima suspek ditembak mati oleh polis di Pulau Pinang pada 19 Ogos baru-baru ini.

"Saya merujuk kepada apa yang berlaku di Pulau Pinang di mana lima
(suspek) penjenayah telah dibunuh oleh pihak polis, kerana menurut maklumat risikan, mereka itu ada senjata.

"Dan saya menyatakan bahawa apa yang dinyatakan oleh seorang timbalan menteri adalah tembakan amaran dahulu baru tembakan yang sebenarnya.

"Saya fikir itu bukan SOP yang ada pada pihak polis sebab semua (suspek) penjenayah ada senjata.

"Adakah pihak polis hanya boleh mempertahankan diri apabila telah ditembak? Kalau begitu keadaannya, tentu ramai polis yang mati disebabkan oleh tindakan yang demikian," jelas Zahid.

Ustaz Azizan dari kacamata Daim Zainuddin

Harakahdaily, 11 Okt 2013


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mendedahkan hubungan akrabnya dengan mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak dalam tulisannya yang diterbitkan Berita Harian Online semalam.

Menganggap pemergian Ustaz Azizan sebagai satu kehilangan besar kepada Kedah, Daim menyifatkan Ustaz Azizan sebagai ahli politik yang 'jarang ada'.

"Beliau ialah seorang pemimpin rakyat yang berintegriti tinggi dan benar-benar jujur. Malaysia memerlukan ahli politik seperti beliau," tulis Daim.

Ikuti tulisan penuh bekas tokoh politik dan korporat Melayu ini dalam mengungkapkan keakraban dan pengalamannya bersama Allahyarham:

'Azizan yang saya kenal’

Apabila PAS merampas Kedah dalam pilihan raya peringkat negeri, saya bercadang untuk membuat kunjungan hormat menemui Menteri Besar baru, Ustaz Azizan.

Saya tahu bahawa beliau perlu menyelesaikan banyak perkara, maka selepas beberapa bulan, saya memohon untuk membuat temujanji berjumpa dengannya.Maklum balas yang diterima amat menggalakkan. Saya menerima jemputan makan malam di kediaman rasminya. Itulah kali pertama saya bertemu dengan (Tan Sri) Azizan Abdul Razak.

Beliau boleh digambarkan sebagai seorang yang peramah dan menghiburkan dengan jenaka sehingga menjadikan pertemuan pertama itu berlangsung dalam suasana tenang dan santai. Selepas beberapa minit, beliau mempelawa saya untuk makan malam bersamanya.

Beliau memberitahu yang beliau sudah memesan mi Abu, mi goreng, popia dan menghidangkan durian serta dadih sebagai pencuci mulut. Katanya, beliau sudah meminta setiausahanya untuk bertanya setiausaha saya apakah makanan kegemaran saya dan mendapat senarai daripada setiausaha saya. Kemudian, beliau menghidangkan air panas. Beliau sudah menyelidik mengenai diri saya.

Saya gembira pertemuan pertama dengannya. Saya dapati beliau sangat merendah diri, berpengetahuan dan mempunyai sifat jenaka.

Selepas pertemuan pertama itu, setiap kali saya berada di Kedah, saya akan bertemu dengannya untuk makan malam, yang mana saya akan dihidangkan makanan kegemaran saya – mi Abu dan popia.

Bincang masalah sebagai MB

Selepas itu, beliau akan mula membincangkan masalah yang beliau hadapi sebagai seorang MB.

Beliau sentiasa berkata dengan perkataan yang manis kepada semua orang dan tidak pernah mengeluarkan kata-kata menghina sesiapa. Katanya, tugasnya sangat mencabar untuk menguruskan negeri yang perolehannya rendah, tetapi perbelanjaan terus meningkat.

Saya berkata kepadanya, selagi negara mengharapkan Kedah menjadi negeri jelapang padi Malaysia, Kedah perlu terus meminta bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan ia perlu berubah.

Negara kita adalah pengeluar beras yang membabitkan kos tinggi. Ketika saya di dalam kerajaan, saya pernah mencadangkan supaya kita mengimport beras dan menggunakan tanah sawah untuk kegunaan yang lebih produktif. Beliau bersetuju dengan saya tetapi mengakui ia memerlukan sokongan daripada Kerajaan Pusat untuk mengubahnya.

Kami terus bertemu secara kerap, sama ada di Alor Setar atau Kuala Lumpur. Beliau sukar untuk memenuhi permintaan yang menimbulkan konflik daripada banyak pihak. Ia benar-benar menyukarkan dirinya untuk cuba berlaku adil tetapi tegas.

Beliau menjadikan dirinya tidak popular dengan orang tertentu tetapi rakyat suka dengan pendekatannya. Beliau menjadi seorang pemimpin yang dihormati masyarakat.

Walaupun beliau menerima tekanan daripada partinya sendiri, beliau bertegas dirinya adalah MB untuk seluruh rakyat Kedah. Beliau akan melayan semua. Akhirnya, sama ada secara tersembunyi atau terbuka, beliau diserang rakan parti gabungan dalam pakatan tetapi beliau tegas dengan prinsipnya, yang mana dalam politik, beliau perlu akur kehendak parti, dengan syarat ia tidak bercanggah dengan prinsip yang beliau pegang dan pada akhirnya, beliau berkata, beliau perlu bertanggungjawab kepada Allah. Ini yang membuatkan beliau tidak bersedia berkompromi.

Apabila saya mendapat berita beberapa wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) merancang untuk menukar kem, saya mengingatkan beliau. Saya berkata kepadanya selepas apa yang berlaku di Perak, saya tidak fikir Barisan Nasional (BN) sedia untuk mengambil bahagian dalam politik seperti ini. Rakyat akan marah dan semua pihak perlu menerima keputusan pilihan raya dan teruskan seperti biasa.

(Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) cuba dan gagal dan rakyat tidak mempercayai mana-mana kerajaan dibentuk dengan cara ini. Tetapi beliau berkata: Saya di sini buat sementara waktu saja. Biar Allah menentukan tetapi kita perlu uruskan semua masalah yang timbul terlebih dulu.

Kemudian, selepas itu ada lagi cubaan untuk menjatuhkannya. Beliau tidak cemas, malah beliau tidak terlalu yakin, namun tetap bersedia. Beliau mengharungi semua cabaran dengan caranya, di luar, beliau tetap berjenaka tetapi di dalam, bersedia dengan kemungkinan yang mungkin berlaku. Akhirnya, beliau berjaya.

Beliau meminta saya untuk mengatur pertemuan dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang saya memang lakukan. Mereka berkawan baik. Beliau juga mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Azizan juga memberitahu yang beliau diheret oleh PAS dan diminta memberi penjelasan mengapa beliau rapat dengan PM, Dr Mahathir dan saya. Beliau menjelaskan kepada mereka bahawa beliau mengenali adik Najib, Johari ketika sama-sama belajar undang-undang di London. Dalam kes Dr Mahathir dan saya, beliau mahu belajar daripada pengalaman dan beliau tahu kita mengharapkan yang terbaik untuk Kedah dan perlu sokong dirinya untuk kebaikan yang lebih bagi Kedah. Mereka (PAS) menerima penjelasannya.

Idea membina untuk Kedah


Azizan mempunyai idea yang membina untuk Kedah. Beliau mahu menambak kawasan pantai Kuala Kedah dan membina sebuah bandar baru. Beliau meminta saya mencarikan pemaju untuk melaksanakannya dan sekarang, ia masih dalam peringkat kajian.

Beliau berhasrat ke Mesir untuk mempelajari bagaimana negara itu berjaya dalam pengeluaran hasil pertanian di kawasan padang pasir yang luas dan menukarnya menjadi tanah subur. Beliau mahu melakukan perkara sama di Kedah. Azizan mahu membina lebih banyak kawasan perumahan terutama rumah mampu milik di bawah RM200,000.

Beliau mengarahkan pejabatnya melakukan satu kajian terhadap masalah itu dan bagaimana golongan berpendapatan pertengahan mampu membelinya. Semua ini dalam perancangan.

Azizan turut berbincang dengan saya perlukah Akta Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) diteruskan. Saya jelaskan kepadanya sebab Dr Mahathir mahu LADA dan sejak itu, Langkawi menjadi terkenal sebagai destinasi pelancongan. Beliau berkata, beliau ditekan supaya tidak memperbaharuinya, tetapi beliau memperbaharuinya.

Azizan terpaksa membuat keputusan yang sukar tetapi dia melakukan apa yang betul untuk Kedah. Beliau memperkenalkan dasar baru yang mana konsesi balak ditender dan ia berjaya meningkatkan pulangan. Nilainya menjadi lebih tinggi, dan dia kemudian mengecilkan saiz konsesi disebabkan orang tertentu.

Beliau mahu membawa Institut Penyelidikan Getah (RRI) ke Kedah dan bersedia untuk mencari serta menyediakan tanah untuk tujuan itu.

Saya mencadangkan supaya kerajaan negeri harus menukar tanah RRI dan kerajaan Kedah membangunkan tanah RRI, dan menyimpannya sebagai satu pelaburan jangka panjang supaya kerajaan boleh mendapat pendapatan darinya.

Azizan juga mahu mempunyai depot minyak dan penapisan di Yan. Beliau menerima banyak cadangan, tetapi beliau mendapati pelabur lebih berminat untuk memiliki tanah berbanding projek asal. Beliau juga mahu perkhidmatan kereta api dan lebuh raya diteruskan sehingga Yan untuk membawa kemajuan di kawasan bandar berhampiran pantai.

Tolak rasuah


Dalam isu rasuah, beliau amat kecewa dengan ahli perniagaan yang cuba menyogok beliau. Beliau kerap mengarahkan setiausahanya supaya memulangkan wang yang ditawarkan kepadanya. Apabila gagal menyogok di pejabat, mereka menghantar wang itu ke rumahnya.

Beliau bertanya dengan saya apa yang harus dilakukan terhadap orang yang bermuka tebal seperti ini. Nasihat saya kepadanya ialah serahkan wang itu kepada anak yatim dan mendapatkan resit daripada setiap derma yang diberikan. Beliau berterima kasih atas nasihat saya.

Azizan juga bercerita dengan saya bagaimana dia memujuk anaknya untuk berkahwin. Beliau dimasukkan ke hospital dan dilayan seorang jururawat yang difikirkannya sesuai untuk menjadi calon isteri kepada anaknya.

Sudah tentu, anaknya tidak bersetuju selepas Azizan meminta isterinya memberitahu anak lelakinya, jika dia tidak mahu berkahwin dengan jururawat itu, beliau akan berkahwin dengan jururawat itu yang boleh menjaganya jika beliau jatuh sakit.

Tiba-tiba, selepas pilihan raya, Azizan dimasukkan ke hospital. Saya melawat beliau banyak kali tetapi beliau sering berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada Kedah. Ahli politik seperti beliau jarang ada. Beliau adalah seorang pemimpin rakyat yang berintegriti tinggi dan benar-benar jujur. Malaysia memerlukan ahli politik seperti beliau.

Macam tak percaya je...

Majdan Dagang, 11 Okt 2013


Betul ke Ustaz? Tanya saya sekali lagi untuk mendapat kepastian.

“Betullah, rumah-rumah sekitar kawasan ijtimak ni rumah orang Umno, tetapi mereka memberikan kerja sama yang baik dengan membenarkan kita parkir kereta di laman rumah mereka,” terang Ustaz Riduan Mohamad Nor, Ketua Penerangan DPPM merangkap pengarah pengisian Ijtimak Tarbawi Malaysia.

Itulah antara perkara paling menarik sepanjang saya berada di Ijtimak Tarbawi 3.0 yang berlangsung di Maahad Tahfiz al-Quran al-Muhammadi kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Ledang, Johor.

Saya macam tidak percaya pada mulanya sehinggalah diyakinkan oleh Ustaz Riduan. Mati-mati saya ingatkan rumah-rumah tersebut milik penyokong PAS. Inilah suasana mutaakhir ini di Johor. Walaupun sedia maklum kawasan ini memang Umno agak kuat, namun suasana ini menunjukkan mereka semakin terbuka. Tambahan pula perjuangan PAS semakin hari semakin diterima khususnya dalam kalangan orang muda. Saya jangka atas alasan inilah ijtimak kali ini diadakan di sini.

Walaupun telah hampir seminggu ijtimak berlalu, tetapi saya melihat banyak perkara positif yang diperoleh, di samping harapan menggunung pengarah pengarah pengisian ijtimak terhadap anak muda yang hadir.

Ustaz Riduan turut menyatakan bahawa selain penerimaan masyarakat setempat, pemilihan Johor juga ada kaitannya dengan peningkatan sokongan terhadap PAS. Peningkatan sokongan dari PRU 2004 – 2008 sebanyak 200 peratus dan 2008 – 2013 juga 200 peratus.

Sudah tentu pemilihan tempat ini sebagai tapak ijtimak ini juga ada kaitannya dengan tuan rumahnya iaitu Pesuruhjaya PAS negeri Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed. Sesungguhnya Dr Mahfodz merupakan anak Kampung Parit Medan yang pertama yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah.

Maka tidak hairanlah Dr Mahfodz merupakan sosok yang cukup disegani oleh masyarakat setempat.

Berbalik kepada ijtimak itu tadi, sambutan yang diterima memang menggalakkan. Menurut Ustaz Riduan, lebih 5,000 peserta menyertai ijtimak ini. Anak muda ini datang dari segenap pelosok tanah air dan pelbagai latar belakang, hatta dari Sabah. Mereka datang dengan satu matlamat iaitu memperkasa diri untuk meneguhkan perjuanagn Islam di bumi Malaysia ini. Angka dan sambutan ini memberikan isyarat yang jelas tentang sambutan orang muda kepada program PAS.

Sudah tentu saya amat kagum dengan kesungguhan mereka untuk hadir. Yang pasti kedatangan mereka tidak disambut dengan paluang kompang, bunga manggar, hotel berbintang-bintang atau pelbagai elaun. Mereka datang atas seruan Islam dan dibahu merekalah masa depan Islam bakal diperkuatkan.

Sudah tentu program yang besar seperti ini memerlukan komitmen yang tidak sedikit bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Ustaz Riduan menyatakan perasaan gembiranya kerana semua petugas telah melaksanakan tugas masing-masing. Juga kesudian para pimpinan PAS pusat turut meluangkan masa untuk bersama-sama anak muda memberikan ilmu dan semangat.

Sebagai orang kuat program ini Ustaz Riduan meletakkan harapan besar kepada generasi pelapis yang hadir supaya apabila kembali ke tempat masing-masing dan membawa segala ilmu dan semangat juang semasa ijtimak serta mengaktifkan program tarbawi - dakwah, usrah, tamrin, jaulah, daurah tarbawi, mukhaiyyam dan sebagainya di kawasan masing-masing.

Selain harapan kepada pemuda, beliau berharap program ini dapat membuka minda dan hati penduduk kampung terhadap perjuangan PAS. Tentunya, harapan ini mahu diterjemahkan dalam pilihan raya yang akan datang.

Ijtimak kali ini secara langsung memberi peluang kepada anak muda ini merungkaikan pelbagai kekeliruan dalam isu semasa sama ada di dalam PAS mahu di luar. Mereka di beri ruang untuk berdialog secara terus dengan pimpinan pemuda dan mengumpul maklumat dan pencerahan semampu yang mungkin.

Saya percaya tidak mudah merungkaikan semua persoalan namun setidak-tidaknya ruang yang ada dapat dimanfaaatkan.

Yang pasti pimpinan pemuda kali ini mahu ijtimak ini dijadikan titik mula kepada anak muda yang hadir untuk mengembalikan kehangatan program-program usrah, tamrin dan sebagainya seperti era 80-an dahulu. Hal ini kerana semangat ukhuwah dalam kalangan ahli lebih kuat jika hal ini dapat dilaksanakan.

Bagi saya, setahun dari sekarang dalam ijtimak yang akan datang kita akan berkumpul kembali dan menilai sejauh manakah harapan ini dapat dilaksanakan!

Betulkan persepsi untuk bangunkan OKU

Mohammad Faizal Che Yusof, 12 Okt 2013

MUNGKIN ramai dari kita yang tidak menyedari bulan Oktober sahaja ada beberapa hari yang diraikan oleh masyarakat antarabangsa khusus untuk beberapa katagori Orang Kurang Upaya, OKU. Bahkan bagi OKU sendiri yang terpisah dari kegiatan-kegiatan pertubuhan bukan kerajaan NGO, keadaan yang sama juga berlaku.

Secara prinsipnya, hari-hari tersebut diadakan bagi membawa kesedaran masyarakat bahkan pimpinan masyarakat untuk peka kepada kelompok-kelompok OKU yang pelbagai katagori. Apatah lagi dalam sistem pendidikan kita yang amat kurang memberi pendedahan tentang kewujudan OKU yang pelbagai, adanya hari-hari meraikan OKU yang pelbagai katagori ini amat siknifikan.

Pada 2 Oktober, ditetapkan untuk meraikan OKU cerebral palsi atau disebut OKU terlantar. Pada setiap hari khamis kedua bulan Oktober, diraikan pula hari penglihatan sedunia. Hari penglihatan sedunia adalah bertujuan khusus mencegah kebutaan pada umur dewasa atau selepas kelahiran.

Manakala 15 Oktober pula, diperkenalkan hari tongkat putih antarabangsa. Ia adalah khusus mendidik masyarakat untuk sedar keperluan OKU penglihatan sama ada yang buta terus atau sebahagian sewaktu berada di jalan raya.

Tambah menarik pada tahun ini, sambutan hari International Day for Disaster Reduction (IDDR) pada 13 Oktober telah diputuskan dengan tema living with Disability and Disasters. IDDR sebenarnya adalah antara keraian yang mutakhir diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Ia mula diisytiharkan pada 21 Disember 2009 melalui resolusi 64/200 oleh Perhimpunan Agong PBB.

Dalam notanya sempena sambutan IDDR 2013, Setiausaha Agong PBB, Ban Ki-moon telah menitikberatkan betapa kelompok OKU mesti diletakkan atau diusahakan dalam situasi keupayaan mereka ditingkatkan. Amalan-amalan pengupayaan atau disebut (empowerment) kepada OKU adalah hal yang amat diberi perhatian oleh masyarakat yang prihatin kepada OKU.

Jika Bank Dunia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam laporan bersama mereka pada tahun 2011 mengunjurkan 15% populasi penduduk adalah terdiri dari OKU, dalam menentukan tema sambutan IDDR bagi 2013, diunjurkan tidak kurang dari satu billion penduduk dunia terdedah kepada kecacatan natijah dari pelbagai kemusnahan dunia.

Dengan usaha yang begitu giat untuk golongan OKU di peringkat antarabangsa, amat perlu dan wajar bagi Malaysia turut serta dalam pembangunan OKU yang bersifat menyeluruh. Suasana kita hari ini masih meletakkan kelompok OKU sebagai kelompok yang dikaitkan dengan penerima bantuan atau kebajikan semata-mata. Kita masih berhadapan dengan cabaran persepsi bagi meletakkan program perlaksanaan pembangunan OKU dari sudut potensi dan peningkatan upaya OKU yang pelbagai katagori.

Bagi OKU terlantar misalnya, kita masih tidak mampu mengadakan satu system sokongan untuk program pendidikan diberikan kepada mereka. Sedangkan di luar sana peluang pendidikan untuk OKU terlantar tetap diberi perhatian.

Manakala bagi OKU penglihatan sama ada buta keseluruhan atau rabun, hal yang sama masih menjadi isu hingga ke hari ini. Masih ramai dari OKU penglihatan yang tercicir dari pendidikan arus perdana. Kita masih kurang menyediakan system sokongan untuk OKU penglihatan berfungsi secara sepenuhnya dalam menyumbang kepada KDNK Negara bilamana gunatenaga di kalangan OKU penglihatan gagal dirancang.

Apa yang dialami oleh golongan OKU terlantar atau OKU penglihatan, ia hanyalah mewakili sebahagian dari isu yang didepani oleh OKU keseluruhannya. Meskipun isu umum yang dihadapi oleh OKU di Malaysia hamper sama, ia amat kompleks disebabkan tahap dan katagori kecacatan itu sendiri yang pelbagai.

Selanjutnya harus kita insaf usaha membangunkan OKU adalah usaha berangkai yang membabitkan kesemua pihak di semua peringkat. Ia bukan hanya di bahu pihak-pihak tertentu sahaja.

Dalam mengupayakan OKU di Malaysia inilah, saya amat mengharapkan negeri-negeri yang diperintah oleh parti-parti Pakatan Rakyat turut merencana dan melaksanakan program pembangunan OKU berteraskan potensi dan keperluan. Marilah kita mengatur langkah tapak demi tapak untuk keluar dari persepsi kebajikan dan bantuan semata-mata dalam membangunkan kelompok yang dikatagorikan sebagai mustada’fin ini. – 7 Zulhijjah 1434H.

Senarai kes tembak sepanjang tahun ini

http://www.queachmad.com, 12 Okt 2013
Senarai Kes Tembak Sepanjang Tahun Ini | [EKSKLUSIF] HIMPUNAN Kes-Kes Tembak | Disini Abe himpunkan Senarai Kes-Kes tembak sepanjang tahun ni

baca lagi & lagi senarai, klik TAJUK ENTRI ni
http://www.sinarharian.com.my/nasional/najib-arah-polis-berkas-segera-penjenayah-tembak-mati-tkp-kastam-1.154465
Kes Tembak Terbaru :-

Cara paling genius elak pembaziran makanan (gambar)

http://naimnikmat.blogspot.com, 11 Okt 2013

INILAH CARA PALING GENIUS UNTUK ELAK PEMBAZIRAN MAKANAN (GAMBAR)


SUMBER: OH! MEDIA FB

Kisah hamba Allah beribadah 500 tahun

Detik Islam, 11 Okt 2013
Dari Jabir RA berkata bahawa Rasulullah SAW. telah memberitahu kami bahawa Malaikat Jibrail telah memberitahu Rasulullah SAW katanya; “Wahai Muhammad, demi Allah yang mengutusmu sebagai nabi yang besar, sesungguhnya ada seorang hamba Allah yang beribadat selama 500 tahun di atas sebuah bukit yang lebar, panjangnya bukit itu 30 puluh hasta kali 30 hasta dan disekelilingnya ialah air laut yang seluas 4,000 farsakh dari tiap penjuru.”

Dan di situ Allah SWT mengeluarkan air selebar satu jari dan dari bawah bukit dan Allah SWT juga telah menghidupkan sebuah pohon delima yang setiap hari mengeluarkan sebiji buah delima. Apabila tiba waktu petang hamba Allah itu pun memetik buah delima itu dan memakannya, setelah itu ia pun sembahyang. Dalam sembahyang ia telah meminta kepada Allah SWT supaya mematikannya ketika ia dalam sujud, supaya badannya tidak disentuh oleh Bumi atau apa-apa saja sehingga tibanya hari kebangkitan. Maka Allah SWT pun menerima permintaanya.

Berkatalah malaikat lagi; “Oleh itu setiap kali kami naik turun dari langit kami melihatnya sedang sujud, kami mendapat dalam ilmu bahawa ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dan dihadapkan kepada Allah SWT lalu Allah SWT menyuruh Malaikat - masukkanlah hambaku itu ke dalam syurga dengan limpah rahmatku.” Maka berkata orang itu; “Dengan disebabkan amalku?” Maka Allah SWT menyuruh malaikat menghitung semua amalnya dengan nikmat yang Allah SWT berikan. Apabila penghitungan dibuat maka amal yang dibuat oleh orang itu selama 500 tahun itu telah habis apabila dikira dengan sebelah mata, yakni nikmat penglihatan yang Allah SWT berikan padanya, sedangkan nikmat-nikmat lain belum dikira.

Maka Allah SWT berfirman: “Masukkan ia ke dalam neraka”. Apabila ia ditarik ke neraka maka ia pun berkata: “Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmatmu.” Lalu Allah SWT berfirman kepada malaikat: “Bawakan ia ke mari”.

Kemudian Allah SWT bertanya orang itu; “Siapakah yang menjadikan kamu daripada tidak ada.” Lalu orang itu menjawab; “Engkau ya Allah.” Kemudian Allah SWT bertanya lagi; “Apakah itu kerana amalmu atau rahmatku?” Jawab orang itu; “Ya Allah, dengan rahmatmu.”

Allah SWT bertanya lagi; “Siaapakah yang memberikan kekuatan sehingga 500 tahun kamu beribadat?” Jawab orang itu; “Engkau ya Allah.”

Allah SWT bertanya lagi; “Siapakah yang menempatkan kamu diatas bukit yang di tengah-tengah lautan, dan siapakah yang mengeluarkan air tawar yang bersih dari tengah-tengah lautan yang airnya sangat masin dan siapakah yang menumbuhkan sebuah pohon delima yang mengeluarkan sebiji delima setiap hari, padahal buah itu hanya berbuah setahun sekali lalu kamu meminta supaya aku matikan kamu dalam sujud, jadi siapakah yang membuat semua itu?”

Lalu orang itu berkata; “Ya Allah, ya Tuhanku engkaulah yang melakukanya.”

Allah SWT berfirman; “Maka semua itu adalah dengan rahmatku dan kini aku masukkan kamu ke dalam syurga juga adalah dengan rahmatku.” Malaikat Jibrail berkata; “Segala sesuatu itu terjadi hanya dengan rahmat Allah SWT.”

Amal yang dibuat oleh seseorang itu tidak akan dapat menyamai walaupun setitik debu sekalipun dengan nikmat yang Allah SWT berikan pada hambanya. Oleh itu janganlah mengharapkan amal kita itu akan dapat memasukkan kita ke dalam syurga Allah SWT sebaliknya memohonlah dengan rahmatnya.

Hanya dengan rahmat Allah SWT sajalah seseorang itu dapat memasuki syurganya. Apabila kita memohon kepada Allah SWT supaya dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmatnya maka mintalah supaya Allah SWT memasukkan kita dengan rahmatnya ke dalam syurga Firdaus.

http://detikislam.blogspot.com

Q&A: Mati semasa ihram

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 11 Okt 2013
Soalan;

Adakah orang yang meninggal dunia semasa ihram perlu disempurnakan hajinya?

Jawapan:

Ibnu Abbas RA menceritakan; "Seorang lelaki sedang wukuf di Arafah. Tiba-tiba ia terjatuh dari kudanya, lalu patah lehernya dan mati. Maka Nabi SAW bersabda;

"Mandikanlah ia dengan air dan sidr, kafankanlah ia dengan dua kain ihramnya, janganlah disapu/dipakaikan wangian kepadanya dan janganlah menutup wajah dan juga kepalanya. Sesungguhnya ia akan dibangkitkan di hari akhirat dalam keadaan bertalbiah."

Dari hadis ini diambil kesimpulan;

1.Hadis ini menunjukkan ihram tidak terputus dengan berlakunya kematian. Maka kesan ihram berkekalan sekalipun selepas mati. Oleh itu, mayatnya tidak dikenakan wangian dan kepalanya tidak ditutup. Inilah yang menjadi mazhab as-Sauri, Syafi'ie, Ahmad dan Ishaq. Namun Ibnu 'Umar berpandangan; ihramnya terputus dengan kematian. Oleh itu ia diperlakukan sebagaimana mayat-mayat yang lain. Pandangan ini juga dipegang oleh mazhab Malik dan ashab ar-Rakyi (yakni Abu Hanifah dan sebagainya).

2.Hadis ini juga menjadi dalil bahawa seorang yang dalam ihram jika mati, tidak perlu disempurnakan baki hajinya kerana Nabi tidak menyuruhnya. Inilah yang disebut oleh Imam al-Baghawi dalam Syarah as-Sunnahnya. (jil. 5, hlm. 322-323). Rujukan; Dalail al-Ahkam, Ibnu Syadda, jil. 1, hlm. 501-502.

Namun menurut keterangan Imam Ibnu Qudamah di dalam al-Mughni; "Jika seseorang itu telah berihram haji, kemudian ia meninggal, adalah sah orang lain menggantikannya untuk melakukan kerja-kerja ibadah haji yang masih berbaki sama ada ia berniat ihram untuk dirinya sendiri atau untuk orang lain. Dalilnya ialah; ibadah haji adalah ibadah yang harus berlaku niabah (gantian) di dalamnya, maka jika seseorang mati selepas mengerjakan sebahagiannya, maka untuk sebahagian lagi haruslah diqadha/diganti oleh orang lain bagi pihaknya, iaitu sama seperti zakat. (al-Mugni, juz. 3, hlm. 173).

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Tiada ulasan: