Khamis, 17 Oktober 2013

GADAI EMAS PERAK IKUTLAH LUNAS2 ISLAM TAPI JANGAN GADAI AKIDAH DAN IMAN KERANA DUNIA YANG SEMENTARA INI

PAS lancar jentera operasi PRK Sg Limau esok

Muhammad Faizal, 16 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PAS akan melancarkan Jentera Operasi Induk bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau malam esok.

Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Sg Limau, Datuk Mahfuz Omar berkata, pelancaran tersebut akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan akan disertai beberapa pemimpinan dari PKR dan DAP.

"Selain dari pimpinan PAS, rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat juga turut hadir antaranya Pengerusi PKR Kedah Datuk Johari Abdul, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Rashid Hasnon dan Pengerusi Interim DAP Kedah, Zairil Khir Johari.

"Pelancaran penuh jentera Pakatan Rakyat untuk pilihan raya kecil ini pula akan diadakan di Dataran Surau Al Fatah, Pulau Nyior, Bukit Besar," jelasnya.

Katanya lagi sebelum pelancaran jentera dilakukan, satu majlis solat hajat dan tahlil akan diadakan yang diketuai Tuan Guru Haji Salleh bin Musa, Mudir Madrasah Ar Rahmaniah, Sik.

"Sebelum program malam, Jawatankuasa induk akan bertemu dengan wakil seluruh Dun Sungai Limau dan Unit Peti Undi (UPU).

"Selain itu satu majlis ramah mesra dan menyuarat akan diadakah, taklimat akan diberikan oleh pimpinan PAS Pusat," sambungnya.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS turut memberitahu ke semua jentera-jentera dari negeri-negeri yang membantu akan mula berada di Dun sungai Limau pada 19 Oktober.

Ketika ditanya mengenai nama-nama calon, beliau menjelaskan ke semua nama-nama tersebut telah siap diteliti dan akan diserahkan kepada Presiden PAS untuk diputuskan oleh PAS Pusat.

Kerusi Dun Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

Kenapa mahasiswa dilarang ke program Anwar?

Harakahdaily, 16 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PKR hari ini menuntut penjelasan daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung satu emel kepada mahasiswa Australia berkaitan 'larangan' menghadiri program Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Oktober ini. "Di sini saya ingin meminta penjelasan dari pihak JPA dan khususnya JPA Advisor Office, Consulate of Malaysia di New South Wales apakah benar emel ini telah dihantar oleh pegawai berkenaan?

"Jika benar, insiden ini membawa implikasi besar terhadap kebebasan akademik mahasiswa yang dihantar untuk belajar di luar negara," kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Beliau merujuk kepada satu emel yang dikatakan telah dihantar oleh seorang "Penasihat Pelajar JPA" kepada pelajar yang berbau ugutan dan ancaman jika hadir ke program bersama Ketua Pembangkang itu.

Antara lain, kandungan emel tersbut berbunyi; "Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada pihak terlibat."

Anwar dijangka menyampaikan pidato pada program Adelaide Festival of Ideas bertajuk "Dissent and Democracy: an Audience with Anwar Ibrahim" pada tarikh tersebut.

"Mengapa emel yang ditulis sebegini rupa, yang lebih berbentuk "ancaman" dari "nasihat", perlu dihantar? Adakah ia sebahagian dari Standard Operating Procedure JPA?

"Mengapa Umno membenarkan budaya mengongkong minda mahasiswa menular sebegini rupa, khusus apabila sesuatu aktiviti itu melibatkan ahli-ahli politik Pakatan Rakyat terutamanya pimpinan tertinggi," soalnya.

"Jika emel ini benar telah dihantar, maka jelas kerajaan persekutuan di bawah pentadbiran UMNO-BN teramat paranoid dan terancam dengan seorang insan bernama Anwar Ibrahim hingga mahasiswa pun menjadi sasaran ancaman," katanya.

Q&A: Zakat emas di pajak gadai Islam

Ustaz Hamizul Abdul Hamid, 16 Okt 2013
Soalan: Baru-baru ini saya ada terdengar dari satu ceramah, bahawa orang yang menggadaikan emas perhiasan mereka di ar-rahnu atau pajak gadai Islam juga wajib membayar zakatnya. Benarkah begitu? Bukankah apabila digadai, maka seseorang itu sudah tiada hak milik atas emas perhiasan berkenaan. Mohon penjelasan ustaz?

Jawapan: Semoga Allah SWT memberikan rahmat dan keampunan dan maghfirah-Nya ke atas kita semua, disebabkan kesungguhan kita untuk mendalami ilmu Allah SWT khususnya dalam bab mensucikan harta kita daripada milikan orang lain dengan menunaikan zakat ke atasnya. Mudah-mudahan, jawapan yang diberikan ini mampu memberikan pencerahan terhadap isu emas perhiasan yang diletakkan di pajak gadai Islam, yang hari ini sudah menjadi suatu yang popular dalam kalangan umat Islam.

Allah SWT menjelaskan di dalam surah al-Ma’arij (70) ayat 24 dan 25: “Dan orang-orang (yang menentukan bahagian) pada hartanya menjadi hak yang termaklum (bagi golongan tertentu); (iaitu) bagi orang-orang miskin yang meminta-minta dan yang menahan dirinya (daripada meminta-minta).”

Namun begitu, sebelum kita melanjutkan perbincangan ini, maka ada baiknya untuk kita menelusuri dahulu beberapa definisi perkataan yang berkait rapat dengan pergadaian dalam Islam, yang mungkin sebelum ini difahami secara tidak tepat oleh sebahagian orang awam.

Pertama, apakah makna ar-rahnu? Ar-Rahnu bermaksud, suatu kontrak yang menjadikan sesuatu barang atau harta sebagai cagaran untuk menjamin pelunasan sesuatu hutang. Dalam kontrak ini, penggadai menyediakan cagaran untuk mendapatkan pinjaman daripada pegadai (pihak yang memberikan hutang). Mengikut syarak, cagaran hendaklah diserahkan oleh penggadai kepada pegadai. Cagaran akan dijual oleh pegadai untuk melunaskan hutang sekiranya hutang itu gagal dibayar oleh penggadai setelah tamat tempoh. Kemudahan ini membolehkan penggadai memperoleh pinjaman kecemasan, pinjaman perniagaan dan pinjaman untuk pembelian input. Perkataan yang sinonim bagi rahnu ialah gadaian. (Rujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, di http://prpm.dbp.gov.my)

Keduanya, apakah tujuan ar-rahnu ini diwujudkan? Ya, institusi pajak gadai Islam atau ar-rahnu ini ditubuhkan dengan konsep rahnu dan qardul hasan, iaitu untuk memberikan pinjaman secara yang baik di sisi syarak dan tidak menindas. Fungsi awal penubuhannya adalah untuk mengatasi masalah caj kadar bunga tinggi yang dikenakan oleh pajak gadai konvensional di samping mengelakkan riba (yang menjadikan keseluruhan transaksi adalah haram dan berdosa). (Ibid)

Oleh itu, dalam bahasa orang awam yang lebih mudah difahami oleh kita, ar-rahnu adalah suatu kaedah bagi kita untuk meminjam wang dari sesebuah institusi yang menawarkan pinjaman yang halal, dengan cara kita mestilah meletakkan suatu cagaran (biasanya emas perhiasan) demi membolehkan kita mendapat pinjaman berkenaan. Apabila kita gagal atau tidak mahu membayar kembali wang yang dipinjam daripada institusi berkenaan, maka mereka akan mencairkan (menjual) barangan yang kita cagarkan, dan mereka akan mengambil jumlah yang dihutangkan kepada kita berserta dengan upah simpanan barangan (atau apa-apa servis perkhidmatan yang sesuai) dan lebihan daripadanya, akan diserahkan kembali kepada orang yang meminjam (penggadai).

Jadi, perbezaan ar-rahnu dengan pembiayaan peribadi di bank ialah, dalam pembiayaan peribadi tiada cagaran; dan dalam ar-rahnu, ada cagarannya.

Baiklah, saya juga ingin menarik perhatian di sini, bahawa dalam konteks membuat hutang di ar-rahnu, ada dua kondisi yang perlu diperhatikan.

Pertama, orang yang memang terdesak atas sesuatu keperluan, maka dia pun membuat pinjaman di ar-rahnu, emas perhiasannya dicagarkan dan sepanjang tempoh emas itu di dalam simpanan ar-rahnu, dia tidak mampu mengambilnya kembali kerana memang dia tidak mempunyai wang, maka di sini dia tidak mempunyai satu syarat wajib zakat, iaitu sempurna milik. Maka, tidak wajiblah dia berzakat atas emas yang disimpan di ar-rahnu itu.

Begitu juga, wang yang didapati hasil pinjaman itu juga, tidaklah wajib dikeluarkan zakat pendapatan ke atasnya, kerana wang itu memang diperlukannya untuk tujuan kehidupannya yang terdesak. Ini kerana, mengikut fatwa zakat pendapatan di Selangor (tahun 2010), wang hasil pinjaman juga wajib dizakatkan, kecuali ia sudah mempunyai keperluan khusus, misalnya untuk tujuan perubatan dan sebagainya.

Kedua, orang yang membuat hutang di ar-rahnu dalam kondisi dia tidak memerlukan atau bukan dalam keadaan kecemasan, sebaliknya dia menggunakan ar-rahnu sebagai tempat untuk menyimpan emas perhiasannya dengan selamat dan sengaja membiarkannya tanpa ditebus, agar apabila genap setahun disimpan, maka semasa itu harga emas sudah naik dan dia pun mendapat untung atas emas perhiasannya yang dicairkan oleh pegadai.

Maka, dalam konteks ini, dia sebenarnya mempunyai kemampuan untuk menebus, tetapi sengaja enggan menebus, maka hakikatnya dia mempunyai syarat sempurna milik, maka wajiblah ke atasnya mengeluarkan zakat ke atas emas perhiasan yang disimpan di pihak pegadai (ar-rahnu). Andai dia membiarkan hingga setahun, dan selepas itu dicairkan, dan pihak pegadai memberikan untung kepadanya, maka dia juga wajib mengeluarkan zakat ke atas keuntungan berkenaan. Begitu juga, wang pinjaman yang dia peroleh dari pihak ar-rahnu itu juga, hendaklah dikeluarkan zakat ke atasnya sebanyak 2.5 peratus (sebagai zakat pendapatan), kerana dia mendapatkannya bukan untuk tujuan tertentu yang terdesak seperti dalam kes yang pertama.

Maka, apa yang penting adalah, kita perlu melihat kepada dua kondisi di atas, iaitu adakah orang yang melakukan hutang di ar-rahnu itu adalah mereka yang dalam kesempitan kewangan, yakni mereka terpaksa berhutang demi mendapatkan wang dengan kadar segera dan dengan itu, mereka pun dapat segera melunasi keperluan-keperluan yang berbangkit dengan segera juga; ataupun mereka yang bergadai dengan maksud menjadikan ar-rahnu sebagai satu tempat melabur demi mencari keuntungan berganda di masa hadapan? Sudah pastilah natijahnya adalah berbeza.

Kesimpulannya, wajib zakat jika digadai demi pelaburan semata-mata (mencari keuntungan) dan tidak wajib zakat jika digadai atas keperluan terdesak dan kecemasan.Wallahua’lam.

http://www.hamizul.com/

Mengapa saya terima jemputan "shoot-out" KPN

N Surendran, 16 Okt 2013
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyuarakan pandangan mereka terhadap isu jemputan KPN kepada saya untuk sertai satu operasi "shoot-out" bersama PDRM. Ramai juga yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan saya jika saya menyertai operasi sebegitu.

Jemputan KPN yang dibuat kepada saya Jumaat lalu adalah disebabkan kritikan keras saya terhadap kenyataan Menteri Dalam Negeri yang telah menyebut tentang dasar "tembak dahulu" pihak PDRM, dan pembelaan kenyataan tersebut oleh pimpinan tertinggi polis.

Telah begitu lama pihak kerajaan dan juga pimpinan polis mengatakan mereka yang mengkritik tindak-tanduk PDRM tidak menghargai jasa dan pengorbanan serta cabaran yang dilalui anggota polis yang berhadapan dengan penjenayah bersenjata.

Umum tahu dan sedar bahawa respon ini tidak masuk akal.

Kami tidak pernah berkata pihak polis tidak berhadapan dengan ancaman atau bahaya dalam menjalankan tugas mereka; namun kami tidak akan meminta maaf kerana mengkritik tindakan mana-mana anggota polis sekali pun yang melanggar undang-undang terutamanya dalam cara mereka mengendali suspek polis.

Dalam memberi respon kepada kritikan saya, KPN telah mencabar saya untuk menyaksikan sendiri operasi polis. Ia respon tersentak atau "knee-jerk" kepada satu kritikan yang munasabah, tetapi saya telah menerima tawaran beliau dengan hati terbuka.

Namun jemputan KPN ini tidak menjawab kritikan saya terhadap dasar "tembak dahulu" Menteri Dalam Negeri dan peningkatan jumlah kes suspek yang mati ditembak dalam operasi polis. Umum masih menanti jawapan dan penjelasan yang munasabah tentang hal ini dari KPN dan pihak kerajaan.

Tidak mengira penyertaan saya dalam operasi ini atau apa pun yang akan berlaku nanti, Kementerian Dalam Negeri dan pimpinan PDRM mesti menghentikan kejadian tembakan suspek polis yang keterlaluan dan salah di sisi undang-undang.

Keselamatan semua rakyat Malaysia perlu diutamakan, dan hak untuk hidup seperti termaktub di dalam Perlembagaan tidak boleh dikompromi.

*Penulis adalah Naib Presiden PKR dan juga Ahli Parlimen Padang Serai.

PAS S'wak rai Aidiladha bersama masyarakat

Harakahdaily, 16 Okt 2013

MIRI: PAS Sarawak menyambut Aidiladha bersama rakyat tempatan dibeberapa kawasan di bahagian Sarawak.

Antara kawasan PAS Sarawak terlibat dalam aktiviti sempena Hari Raya Adiadha adalah Miri, Bintulu, Beting Maro dan beberapa bahagian lain dalam Sarawak.

Di Miri dua ekor lembu telah dikorbankan di sekitar kawasan Senadin dan juga Sibuti.

"PAS kawasan Miri telah mengagihkan daging korban tersebut kepada penduduk tempatan dalam kawasan tersebut. Sambutan penduduk tempatan sangat mengalakkan," kata Yang Dipertua PAS Miri Jofri Jaraiee.

Di Bintulu, mereka juga turut menumbangkan dua ekor lembu dan proses melapah dan jamuan ringkas berlangsung di Pusat Tarbiyyah Awlad (Putra) Jepak.

Daging korban hampir seratus bungkus tersebut turut diagih kepada penduduk di sekitar kampung seperti Kg Kamunting, Kg Baru dan Kg Jepak.

Di Beting Maro juga, bekas calon PAS Abang Ahmad Kerdee turun padang bersama masyarakat setempat untuk meraihkan Aidiladha.

Beliu turut bersama masyarakat setempat mengagihkan daging korban kepada penduduk.

"Inilah antara aktiviti PAS Sarawak bersama masyarakat tempatan sepanjang tahun. Dengan adanya aktiviti sebegini masyarakat tempatan akan faham bahawa PAS bukan sekadar sebuah parti politik tapi juga parti yang sentiasa bersama dengan rakyat tanpa mengira masa dan waktu.

"Mudah-mudahan dengan adanya aktiviti ini, masyarakat Sarawak dapat menilai perjuangan PAS dalam menjaga kebajikan rakyat dan juga sentiasa bersama rakyat tanpa mengira waktu," kata Jofri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri.

Sedih campur gembira bila Khairy, Shahrizat kekal

Sabri Said, 16 Okt 2013
KEPALA BATAS: Kemenangan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin dan Ketua Pergerakan Wanitanya,  Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil baru-baru mengundang kegembiraan dan kedukaan kata,Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu.

Menurut Mohamad, apa yang menggembirakan adalah kemenangan kedua-dua mereka itu memudahkan tugas Pakatan Rakyat dalam mencari isu bukan sahaja berdepan Pilihan Raya Kecil Dun Sungai Limau awal bulan hadapan, tetapi juga menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lagi.

"Pertamanya, gembira sebab kita tak payah kempen teruk-teruk menjelang PRU Ke14 nanti manakala sedih kerana mereka kekal berkuasa terhadap Malaysia, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selesai menyampaikan khutbah Aidil Adha di surau kampung kelahirannya di Kampung Baru, Tasek Gelugor semalam.

Mohamad berkata, rakyat masih sukar untuk melupakan skandal lembu RM250 juta yang terpalit kepada keluarga Shahrizat satu ketika dahulu yang telah membuka mata rakyat bawahan.

Isu itu katanya, sehingga kini masih mendapat perhatian rakyat dan telah memberi sumbangan besar kepada peningkatan undi Pakatan Rakyat pada PRU13 lalu.

"Rakyat tentunya tidak lupa isu tersebut yang pernah menggemparkan negara," ujarnya.

Tiada ulasan: