Negara Berkebajikan bantu rakyat miliki tanah
Saidah Hairan, | 20 Okt 2013 |
(Penganjur membuat kejutan kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan menghadiahkan sebiji kek sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke 66)
SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan Islam menonjolkan konsep negara berkebajikan supaya dapat membantu rakyat antaranya untuk memudahkan proses mendapatkan hak milik tanah.
Beliau berkata, kerajaan perlu membela nasib rakyat yang tinggal di kawasan setinggan, Orang Asal, orang kampung Cina serta orang India yang masih tinggal di estet.
Berucap di majlis penutup konvensyen Tanah di sini, Tuan Guru berkata golongan itu merupakan sebahagian daripada masyarakat majmuk yang tidak boleh dipinggirkan dan dilupakan.
Menurut beliau, kerajaan mengikut konsep Islam bukan peniaga, tetapi perlu mengurus dan mengawal dengan adil, setia kepada rakyat dan adil setelah membawa pulangan yang banyak.
Katanya, kurangnya sumber negara kerana pemimpin yang tidak adil, bukan kerana sebab-sebab yang tidak menambahkan hasil kerana keadilan boleh menambahkan hasil negara.
Pengurusan yang adil dalam hal tanah contohnya tanah rezab Melayu yang tidak mempunyai wang untuk membuat pembangunan tetapi seringkali dirampas dan didirikan bangunan gergasi.
Tambah beliau, sepatutnya dalam hal ini kerajaan boleh mengendalikan dengan memberi kelulusan kepada anak-anak syarikat yang boleh mengambil alih tanah tersebut.
"Kerajaan juga boleh memberi kelulusan melalui zakat dan banyak cara yang boleh mengendalikan masalah tanah. Di ambil dahulu dan kemudian kerajaan boleh memproses semula. Ini boleh difikirkan dan dilaksanakan," tegasnya.
Begitu juga kata beliau, masyarakat India yang tinggal di estet yang dahulu menjadi hamba penjajah Inggeris dan sepatutnya mereka sudah merdeka dengan cara memberi pemilikan tanah.
Menurut beliau, PAS menyedari bahawa dalam pemerintahan negara yang dikuasai politik BN adakalanya tidak ada penyelerasaan dalam peraturan pemberian hak milik tanah.
"Masalah pentadbiran contoh pengalaman saya masa memerintah Terengganu. Saya dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kanan kerajaan negeri susah hendak mendapat tanah. Satu permohonan tanah kena melalui 70 meja.
"Permohonan itu dibawa kepada Jabatan Perancang, SUK, Perancang Ekonomi, Menteri Besar dan balik semula kepada SUK dan exco. Terpaksa melalui 70 meja. Jika satu meja 10 hari bermakna 70 hari, jadi berapa bulan hendak selasai tanah untuk seorang," tegasnya.
Tegas beliau, itu masalah pentadbiran kerajaan negeri begitu juga badan kehakiman yang ada kalanya terdapat campurtangan tangan-tangan politik sekiranya ada melibatkan tanah.
Beliau menegaskan, PAS tidak boleh menyelesaikan masalah tanah selagi tidak boleh membuat perubahan menyeluruh dalam negara.
Pakatan Rakyat bentang belanjawan 2014 esok
Hazayani Zakaria, | 20 Okt 2013 |
SHAH ALAM: Pakatan Rakyat akan membentangkan belanjawan 2014 di Bangunan Parlimen esok, tiga hari lebih awal daripada pembentangan belanjawan kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan belanjawan kerajaan pada 25 September ini.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan Pakatan akan memberi fokus untuk mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam menghadapi krisis ekonomi negara.
"Untuk belanjawan secara khusus, esok kami akan sampaikan di Dewan Rakyat jam 11 pagi.
"Kerangkanya seperti yang diputuskan, temanya untuk pertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang krisis ekonomi mendatang.
"Kita menjangka kita akan hadapi krisis dengan hutang meningkat, pelaburan yang berkurangan, harga barang yang meningkat dan beban kepada rakyat juga akan bertambah," kata beliau pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, dekat sini, petang tadi.
Terdahulu, beliau bersama pimpinan Pakatan Rakyat yang lain menyertai bengkel belanjawan Pakatan Rakyat dan mendengar pembentangan daripada pakar dan penganalisis ekonomi.
Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pembentangan belanjawan BN setiap tahun tidak dirujuk kepada rakyat yang membayar cukai.
Sebaliknya beliau berkata, kerajaan seringkali mengemukakan belanjawan tambahan akibat ketirisan yang berlaku mengakibatkan rakyat menanggung bebannya.
"Sudah tentu dalam pembentangan belanjawan kerajaan boleh mengemukakan beberapa jumlah yang dia mahu dan apa sahaja.
"Perlu disedari bahawa kebocoran sering berlaku berpunca daripada ketirisan, perbelanjaan keselamatan akibat kacau bilau seperti di Lahad Datu kerana salah dasar kerajaan, ketirisan kerana penyelewengan, kerana hutang.
"Seringklai keputusan dibuat oleh eksekutif, bukan legislatif. Sepatutnya dirujuk kepada rakyat yang membayar cukai bukan membebankan rakyat yang membayar cukai," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Tambah beliau, peruntukan untuk belanjawan tambahan seringkali di luar dugaan akibat kerajaan boros berbelanja.
"Kami Wakil Rakyat Pakatan menerima pembentangan belanjawan yang sudah siap oleh kerajaan dengan masalah yang akan kita temui di samping masalah yg sedia ada.
"Akan berlaku lagi bajet tambahan di tengah jalan dengan peruntukan di luar dugaan menunjukkan kelemahan yang berulang," tegasnya.
Dialog isu ekonomi, perbalahan kaum dan jenayah.
Sementara itu, Anwar mengingatkan Najib dan pimpinan BN yang lain agar kembali menumpukan perhatian kepada pentadbiran selepas selesai Perhimpunan Agung Umno.
"Selepas selesainya Perhimpunan Agung Umno maka kita usulkan supaya Perdana Menteri dan pimpinan BN tumpu kepada tadbir negara, urus ekonomi dan menangani isu besar yang menyentuh kepentingan rakyat yang telah terabai sekian lama sejak pilihan raya Mei lalu," katanya.
Justeru Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengulangi hasrat PR untuk mengadakan dialog dengan BN bagi membincangkan isu-isu melibatkan kepentingan rakyat termasuk isu perbalahan kaum dan agama yang semakin serius.
"Maka kami mengulangi hasrat mengadakan perbincangan dan dialog dengan pimpinan kerajaan BN bersama pimpinan PR dalam isu ekonomi, isu hangatnya perbalahan kaum dan agama, meningkatnya kadar jenayah, isu pengurusan kerajaan, rasuah dan laporan audit negara," katanya lagi.
Turut bersama pada sidang media ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Senator Syed Husin Ali dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak.
7 resolusi Konvensyen Tanah Kebangsaan
Harakahdaily, | 20 Okt 2013 |
SHAH ALAM: Berikut adalah tujuh resolusi yang dicapai dalam Konvensyen Tanah dan Perbandaraan Kebangsaan, di Shah Alam hari ini.
1- Konvensyen mencadangkan agar maklumat status hak milik tanah dan informasi berkaitan diberi akses secara telus. Peralihan rekod secara fail ke bentuk digital harus di segerakan ke seluruh negara.
2- Konvensyen juga menggesa agar isu pemajakan pemilikan tanah dalam rancangan Felda; Felcra; Rancangan pembangunan tanah negeri serta tanah orang asal dapat dipantau dan keadilan pemilikan tanah mereka terjamin.
3- Konvensyen mencadangkan satu kaedah untuk menghimpunkan bank tanah bagi tujuan memajukan tanah rezab Melayu yang terbiar dan tidak dimajukan.
4- Konvensyen mencadangkan pewujudkan tabung dana pengurusan hartanah berkonsepkan syariah untuk menguruskan tanah rezab Melayu.
5- Kerajaan-kerajaan negeri perlu mengganti balik tanah-tanah rezab Melayu yang telah diambil balik dengan keluasan yang sama atau lebih.
6- Konvensyen mencadangkan agar negeri Selat Pulau Pinang dan Melaka yang tiada peruntukkan tanah rezab Melayu mempunyai mekanisma alternatif dengan tujuan mengekalkan tanah warisan orang Melayu dan perkampung warisan Melayu daripada diambil alih dan bertukar hak milik kepada pihak lain.
7- Konvesnyen mencadangkan kerajaan negeri membenarkan tanah kosong dan terbiar sama ada tanah Rezab Melayu, milik persendirian atau milik kerajaan negeri diberi kebenaran sementara untuk dibangunakn atau dimajukan secara kooperatif atau kolektif.
Hadits Nabi, Tanah Arab Subur, dan Tanda-tanda Kiamat
Di antara mukjizat dalam ilmu pengetahuan pada sunnah adalah sabda Rasulullah,
"Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga tanah Arab kembali menjadi padang rerumputan atau perkebunan." (HR Muslim)
Dalam hadits ini, Rasulullah bersabda "sehingga tanah Arab kembali"
maksudnya tanah jazirah Arab. Adapun makna sabda Rasul SAW "sehingga
kembali" iaitu bahawa dahulu tanah Arab didapati oleh rerumputan dan
perkebunan, dan nanti tanah Arab akan kembali seperti semula.
Pembuktian hadits ini, bahawa berkat kemajuan teknologi dan ilmu
geologi serta kemajuan teknologi riset, para ahli geologi memprediksi
bahwa sebagian daratan Arab pada masa dahulu adalah tanah yang subur
untuk pertanian dan perkebunan.
Sungguh dahulu tanah Arab sangat subur dan bukan gurun pasir yang tandus. Akan tetapi perubahan iklim menyebabkan kekeringan air yang mengakibatkan padang yang tadinya subur menjadi gurun pasir yang tandus.
Lalu para ahli geologi menyebutkan bahawa tanah ini akan mengalami
perubahan iklim yang dapat mengembalikan tanah tersebut seperti sedia
kala.
Semua makna ini terkandung dalam sabda Rasulullah SAW yang sangat
singkat dan padat. Walaupun beliau bukan seorang yang ahli dalam ilmu
geologi atau ilmu lainnya. Ini menegaskan kebenaran risalah Rasulullah
SAW. (rol/DR Abdul Basith Jamal & DR Daliya Shadiq Jamal/Ensiklopedi Petunjuk Sains dalam Alquran dan Sunnah)
Semenanjung Arab bakal muncul tanah paling subur
Aslani M, | 20 Okt 2013 |
KOTA BHARU: Anda jangan terkejut suatu hari nanti negeri-negeri yang mana muka buminya rendah bakal tenggelam ekoran kecairan bongkah ais di kutuk utara dan selatan sekarang.
Ia bakal mengulangi apa yang pernah berlaku pada zaman air batu, di mana padang pasir gersang di negara-negara Arab ketika zaman tersebut dialiri anak-anak sungai.
Malah Semenanjung Tanah Arab merupakan kawasan paling subur di dunia pada zaman air batu.
Dalilnya dirakam dalam al Quran surah Saba’ di mana penduduk negeri Saba’ hidup dengan kemewahan kerana buminya begitu subur.
Pensyarah Jabatan Matematik UPM, Prof Madya Dr Mat Ropa Ismail berkata, zaman air batu kedua akan kembali semula, prosesnya sedang berlaku sekarang.
“Kutub utara mulai mengalami pencairan air batu sekarang. Kawasan utara Semenanjung Arab juga dikesan mengalami perubahan cuaca di mana kawasan kering mengalami salji beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saintis berpendapat bumi Arab akan dipenuhi kembali dengan anak sungai,” katanya ketika membentang kertas kerja pada wacana ilmiah di Al Quran dan Sains di Dewan Teratai hari ini.
Beliau membentang kertas kerja bertajuk “Ayat Al Kauniyyah Dan Keajaiban Alam Kosmos Dan Cakarawala”.
Manakala kertas kerja pertama dibentang Dr Nor Azma Mat Zin dari Pusat Pengajian Sains Perubatan USM bertajuk “Penciptaan Manusia Antara Sains dan Al Quran”.
Wacana tersebut dianjurkan Jabatan Mufti Negeri Kelantan. Perasmian penutup program berkenaan disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Hadir sama anggota Exco, Datuk Nasuruddin Daud dan Mufti Kelantan, Datuk Mohd Sukri Mohamad.
Dr Mat Ropa berkata, penemuan saintifik mengenai Semenanjung Arab selaras dengan Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Hari Kiamat tidak akan muncul sebelum bumi Arab sekali lagi menjadi bumi hijau (subur) dan dipenuhi sungai-sungai”.
Beliau juga mendakwa Belanda akan menerima kesan paling cepat dengan kecairan ais di kutuk utara. Begitu juga negara berpulau seperti Singapura juga bakal berdepan situasi serupa.
Katanya juga Tabu’ sekarang menjadi pembekal buah anggur terbaik di Madinah, sedangkan dahulu merupakan kawasan kering kontang.
Malah semenanjung Arab juga berjaya menghasilkan gandum jenis terbaik di dunia.
“Penyelidikan satelit tentang muka bumi Arab menunjukkan kesan tali air dan pengairan wujud di bawah timbunan pasir di Yaman.
“Begitu juga Bandar Iram ditemui tertimbus di bawah timbunan pasir sedalam 16 meter beberapa tahun lepas,” katanya.
Menteri Besar pula berkata, al Quran dan sains tidak boleh dipisahkan, malah kitab itu merupakan mujizat yang diturunkan kepada Rasullah SAW.
Menurutnya juga pelajar sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan berpeluang mempelajari lebih banyak penemuan sains dalam al Quran memandangkan mereka sudah mendalami ilmu al Quran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan