Selasa, 15 Oktober 2013

JANGAN KITA MENCARI ATAU MEMINTA DOA DARI ORANG YANG KITA ZALIMI....ORANG DIZALIMI TIADA HIJAB

Mana pemikiran progresif Khairy?

Harakahdaily, 14 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Dakwaan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bahawa kejayaannya mempertahankan jawatan membuktikan pemikiran progresif berjaya mengatasi kuasa konservatif di dalam parti itu dipersoalkan seorang pemimpin muda PKR.

Ahli Dewan Negeri (Adun) Seri Setia yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad bertanyakan pendirian Khairy ketika isu-isu sensitif dan perkauman dihangatkan oleh para pemimpin Umno.

"Ketika Zahid Hamidi memainkan sentimen kaum ketika berbicara mengenai jenayah dan gangsterisme, dan menyokong dasar tembak untuk membunuh bagi polis, mengapa Khairy tidak mengkritik Zahid?

"Apabila calon Naib Presiden Umno dan pengganti Khairy sebagai Pengerusi PUNB Ali Rustam membuat kenyataan perkauman terhadap masyarakat Cina, di manakah Khairy?" soal Nik Nazmi.

Menurut beliau, percubaan Khairy untuk memaparkan imej yang lebih terbuka dan sederhana hanya timbul selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.

Namun ramai rakyat Malaysia, ujar Nik Nazmi  masih mengingati sikap dan pendirian Khairy ketika menjawat Naib Ketua Pemuda Umno dan memainkan peranan penting dalam pentadbiran bapa mertuanya Abdullah Ahmad Badawi.

"Beliau (Khairy) terlibat di dalam skandal ECM Libra, dan bukan sekadar mempertahankan nada perkauman Umno ketika itu, tetapi terbabit di dalam insiden menghunus keris Pemuda Umno.

"Jelas sekali, kemenangan Khairy tidak melambangkan kemenangan pemikiran progresif dalam Umno," tegas Nik Nazmi.

PBSMR: Jangan jadikan pelajar bahan ujikaji

Hazayani Zakaria, 14 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Lajnah Pendidikan PAS Pusat mempersoal tindakan kerajaan yang dilihat tergesa-gesa ingin menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah (PBSMR).

PBSMR akan menggantikan PMR di bawah satu dasar yang dikenali dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mendapat banyak kritikan daripada guru kerana sistemnya yang sukar untuk dilaksanakan dengan lancar disebabkan oleh kekurangan  prasarana serta isu-isu lain yang berkaitan seperti nisbah guru dan pelajar.

Menurut Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat Datuk Abu Bakar Bin Chik, perubahan besar yang dilakukan dalam keadaan tidak bersedia ini akan menjejaskan masa depan pelajar.

"Persoalannya, bagaimana satu perubahan yang besar melibatkan masa depan pelajar boleh dilakukan mungkin dengan keadaan tergesa-gesa tanpa persediaan yang mencukupi?" kata beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau juga mempersoal hanya empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik dilibatkan dalam peperiksaan PBSMR.

"Persoalannya, kenapa PBS telah diputuskan di peringkat PMR dan bukannya UPSR malah kenapa empat subjek teras tersebut peperiksaannya dilakukan secara berpusat seolah-olah pentaksiran berasaskan sekolah itu tidak  diyakini.

"Berdasarkan pelaksanaan sedia ada, PMR adalah peperiksaan peringkat menengah rendah yang membolehkan penilaian diambil ke atas pelajar bagi mengagihkan mereka sama ada kepada aliran Sains, sains sosial atau sastera. Walaubagaimanapun, kerajaan dilihat sangat beria-ria hendak menghapuskan PMR dan menggantikan dengan PBSMR," katanya.

Tambah beliau juga, adalah lebih baik sekiranya dalam pelaksanaan PBS pentaksiran ialah di peringkat UPSR iaitu peringkat yang paling asas supaya kelemahan pelajar dapat dikesan di peringkat awal.

"Dengan itu kelemahan dapat di atasi dan keraguan terhadap kemampuan guru dan sekolah dalam PBS di peringkat UPSR tidak menjadi persoalan yang terlalu besar berbanding di peringkat PMR," katanya.

Selain itu, beliau juga kesal apabila subjek Agama Islam tidak diwajibkan lulus dan tidak termasuk di dalam subjek yang wajib dinilai di peringkat tertinggi seperti Bahasa Inggeris.

"Seharusnya subjek Agama Islam dipandang serius bagi mendidik pelajar berakhlak mulia serta beramal dengan ajaran Islam," katanya.

Beliau juga mengingatkan kerajaan BN supaya tidak menjadikan sekolah sebagai bahan uji kaji dan menjadikan pendidikan sebagai produk perniagaan kepada mana-mana pihak untuk mengaut keuntungan seperti yang telah berlaku dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Di samping itu, Lajnah Pendidikan PAS Pusat juga memberi peringatan agar kerajaan tidak merencanakan bidang pendidikan negara ini untuk membaratkan rakyat dan melemahkan jati diri umat Islam," ujarnya.

Al-Sisi hadapi tekanan jiwa, ambil pil penenang

Harakahdaily, 14 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Jeneral Abdel Fattah Al Sisi, ketua tentera yang menggulingkan Presiden Dr Mohamed Morsi dilaporkan mengalami tekanan jiwa dan terpaksa mengambil penenang.

Memetik daripada facebook #prihatinmesir Al-Sisi dikatakan tidak tidur di rumahnya, tidak menaiki kenderaannya, tidak menggunakan handphone dan memakai baju kalis peluru 24 jam.

Perkara itu ditulis oleh Kolenal Omar Afifi, bekas pegawai keselamatan Mesir yang tinggal di Amerika di dalam facebooknya, semalam.

Berikut petikan itu.

Kolenal Omar Afifi bekas pegawai keselamatan Mesir yg tinggal di Amerika menulis dlm facebooknya, menegaskan bhw Sisi menghadapi tekanan jiwa, hidup dlm ketakutan, mengambil pil penenang, tidak tidur di rumahnya, tidak menaiki kenderaannya, tidak menggunakan handphone dan memakai baju kalis peluru 24 jam.

Penting:

Dua hari lepas Sisi menukar majoriti bodyguardnya dengan bodyguard baru dari kalangan ahli keluarganya dengan memberikan harta, keistimewaan, rumah, kereta dan pelbagai lagi.

Sisi juga menukarkan tempat tidurnya setiap hari di banglo khas pasukan keselamatan dan perisikan perang dan banglo rahsia di kawasan tentera.
Siapapun di kalangan bodyguardnya tidak mengetahui di mana tempat beliau akan tidur kecuali setelah sampai di tempat tersebut.

Beliau juga tidak menaiki kereta kalis peluru yg dikhaskan untuknya sebaliknya beliau menaiki kereta salah seorang pengawalnya yg juga kalis peluru.

Beliau juga membeli peralatan moden untuk mengelirukan sistem telekomunikasi kerana bimbang letupan dari jauh, di samping memakai baju kalis peluru 24 jam dan tidak menggunakan handphone.

Lebih dasyat beliau tidak minum atau makan kecuali setelah makanan itu dimakan terlebih dahulu oleh tukang masak dihadapannya.

Sumber juga menyebut sisi berhadapan dgn gangguan jiwa yg teruk dan mengambil dose yg berlebihan drp pil bg menampakkan dia stabil dan tenang.

Begitu juga, arahan dikeluarkan agar peluru hidup tidak diberi kepada mana mana pegawai tentera dan pengawal tempat lawatan yg beliau pergi di samping semua mereka di periksa dgn ketat dan menghinakan demi utk memastikan tiada senjata bersama mereka.

Kolenal Omar Afifi
Ahad 13 Oct 2013.

Sumber: As-sya'bu.Net
#prihatinmesir

RM6.5 bilion duit rakyat lebur

Harakahdaily, 14 Okt 2013
PETALING JAYA: Kerajaan BN dianggar telah membazirkan sebanyak RM6.5 bilion dana awam merujuk kepada kajian terperinci Laporan ketua Audit Negara 2012 yang didedahkan baru-baru ini.

Menurut Ahli Parlimen DAP Serdang Dr Ong Kian Ming, angka menakutkan ini adalah jumlah ketirisan dan penyelewengan yang berlaku dalam pelbagai bentuk antaranya pembelian barangan yang mahal, pemborosan, kegagalan pengutipan cukai, kelewatan projek, projek terbengkalai dan sebagainya.

“Saya sudah buat kajian berdasarkan pembaziran untuk setiap 64 kajian terperinci yang ada dalam Laporan Audit negara. Ianya merupakan angka yang menakutkan, Sebanyak RM6.5 bilion ringgit terbazir,” kata beliau dalam forum Laporan Audit Negara: Kepincangan Urustadbir, Ketirisan dan Rasuah anjuran Anwar ibrahim Club (AIC) di Dewan Sivik MBPJ, semalam.

Kian Ming berkata, sebanyak RM5.7 bilion pembaziran berlaku dalam jabatan, badan-badan berkanun dan kementerian manakala RM0.8 bilion pula terbazir dalam masalah melibatkan pembinaan dan pengurusan universiti.

“Jumlah RM6.5 bilion ini kalau dapat jimat 20 peratus sahaja pun boleh dapat dua kali ganda penjimatan yang kerajaan kata akan dinikmati apabila menaikkan harga minyak RM0.20. ini satu jumlah yang besar,” jelasnya.

Menurut beliau, Laporan Audit negara 2012 empat jilid dengan ketebalan 2000 mukasurat ini hanya memberi gambaran kecil terhadap ketirisan yang berlaku.

“ Jika audit dibuat ke atas semua bahagian, saya rasa kita akan mendapat angka yang jauh lebih menakutkan.

“Laporan terperinci ini hanya sebahagian dari ‘tip of the iceberg’ kerana banyak lagi ketirisan yang belum ditemui dan tersembunyi,” katanya.

Turut menjadi ahli panel dalam forum ini ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakar Ekonomi Institut Rakyat Azrul Azwar Ahmad Tajudin.- Roketkini.com

Aidiladha medan audit mutu pengorbanan -TGNA

Harakahdaily, 14 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PAS menyeru seluruh umat Islam menjadikan sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini sebagai medan mengaudit mutu pengorbanan yang dilakukan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, korban bukanlah hanya sekadar menumpahkan darah dan membahagikan daging sahaja.

Menurutnya, jika ianya tidak disertai dengan niat yang ikhlas, ia tidak akan bernilai di sisi Allah SWT.

Lebih dari itu ktanya, orang yang berkorban tidak boleh sama sekali di dalam masa yang sama menjadi pelaku maksiat.

"Orang yang berkorban tidak boleh melakukan rasuah, orang yang berkorban tidak boleh mengkhianati amanah, menindas, melakukan kezaliman dan sebagainya.

"Jika ada orang yang berkorban tetapi di dalam masa yang sama bersekongkol dengan kezaliman menentang perjuangan Islam, wajib ke atas dirinya melakukan audit semula ke atas ibadah korban yang dilakukan," katanya dalam perutusan Aidiladha hari ini.

Berikut adalah perutusan penuh beliau.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Allahuakbar, Allahuakbar , Allahuakbar.
Allahuakbar, Allahuakbar , Allahuakbar.
Allahuakbar, Allahuakbar , Allahuakbar.

Segala puji bagi Allah SWT yang telah memberikan kita kesempatan untuk kita terus bernafas di bumi ini dan dapat menyambut kehadiran satu lagi Hari Raya di dalam Islam iaitu Aidiladha untuk tahun 1434H.

Sesungguhnya kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT ini merupakan kesempatan yang wajib untuk kita syukuri dan diiringi dengan amal soleh tanda ketundukan kita sebagai hamba kepadaNya.

Aidiladha sinonim dengan ibadah korban. Korban merupakan istilah bahasa arab Qurbaan yang bermaksud dekat. Ia bermaksud mendekatkan diri kepada Allah SWT. Setiap ibadat korban hakikatnya bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jika tidak berlaku demikian, ia bukan ibadat korban sekalipun dinamakan dengan korban.

Nabi Ibrahim alaihissalam memulakan sunnah korban ini apabila bermimpi menyembelih anaknya sendiri. Bagi orang awam, mimpi demikian barangkali akan diabaikan begitu sahaja dan akan mudah dianggap sebagai mainan tidur. Bahkan yang jelas merupakan perintah Allah SWT pun diperlekehkan apatah lagi jika hanya mimpi yang belum tentu kesahihannya.

Tetapi tidak bagi Nabi Ibrahim alaihissalam yang merupakan seorang nabi. Baginda tahu mimpi tersebut merupakan perintah daripada Allah SWT lantas dilaksanakan secepat mungkin sekalipun ia amat berat bagi seorang bapa untuk menyembelih anaknya.

Ini pengorbanan yang besar yang dilakukan oleh baginda yang membuktikan dekatnya baginda dengan Allah SWT. Dengan rahmat Allah SWT, anaknya yang sepatutnya disembelih ditukarganti dengan seekor binatang sebagaimana yang disebut kisahnya di dalam al-Quran.

Falsafah inilah yang wajib dihayati oleh umat Islam pada hari ini. Ibadah korban yang disyariatkan sewaktu seluruh Jemaah haji berkumpul di Padang Arafah membuktikan kebersamaan kita dengan para hujjaj di Tanah Suci.

Di Padang Arafah, Jemaah haji dari seluruh dunia yang jutaan bilangannya berwukuf sebagai menunaikan syarat sah ibadah haji. Wukuf tidak perlu sebarang bacaan dan perbuatan khusus. Ia hanya sekadar duduk.

Tetapi duduk itu mempunyai nilai yang sangat besar. Dari seluruh dunia dengan perbelanjaan yang begitu besar, jemaah haji bersesak di Padang Arafah hanya untuk duduk menunjukkan pengorbanan yang sangat tinggi bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Tiada ideologi atau agama selain Islam yang mengiktiraf duduk sebagai satu ibadah melainkan Islam yang mengira duduk di Arafah sebagai satu ibadah. Ini menandakan keluasan rahmat daripada Allah SWT.

DI luar Tanah Suci, umat Islam yang tidak berwukuf disyariatkan menyembelih korban. Bagaimanapun, perlulah diingat bahawa korban ini bukanlah hanya sekadar menumpahkan darah dan membahagikan daging, lebih tinggi dari itu ia merupakan lambang taqwa kita kepada Allah SWT. Tanpa disertai dengan niat yang ikhlas, ia tidak akan bernilai di sisi Allah SWT.

Justeru, orang yang berkorban tidak boleh sama sekali di dalam masa yang sama menjadi pelaku maksiat. Orang yang berkorban tidak boleh melakukan rasuah, orang yang berkorban tidak boleh mengkhianati amanah, menindas, melakukan kezaliman dan sebagainya.

Jika ada orang yang berkorban tetapi di dalam masa yang sama bersekongkol dengan kezaliman menentang perjuangan Islam, wajib ke atas dirinya melakukan audit semula ke atas ibadah korban yang dilakukan.

Audit yang dilakukan oleh kita sendiri ke atas amalan diri sendiri amatlah berguna sebelum tiba masanya kita tidak boleh lagi melakukan sebarang amalan. Ini kerana, malaikat juga turut melakukan audit ke atas amalan kita.

Malaikat tidak berbohong dan tidak boleh dirasuah. Jangan menunggu laporan audit kita dibentangkan di akhirat barulah kita merayu-rayu untuk merangkak balik semula ke dunia, Nauzubillah.

Justeru, marilah kita sama-sama menjadikan Iduladha yang disambut pada tahun ini sebagai satu titik tolak untuk kita terus maju ke depan meningkatkan mutu pengorbanan kita agar kita termasuk di kalangan hamba-hamba Allah SWT yang dirahmati, Insya-Allah.

Sekian, wassalam.

Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Pemilihan Shahrizat bukti Umno masih di takuk lama

Saidah Hairan, 14 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Kejayaan Datuk Shahrizat Abdul Jalil mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno dalam pemilihan sayap Umno, Sabtu lalu membuktikan kegagalan parti itu untuk berubah.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Athirah Aiman Al-Jundi menegaskan, tiada perubahan yang berlaku dalam Umno sebagaimana dilaungkan pemimpin parti itu apabila individu yang bermasalah terus dipilih menerajui parti.

Menurut beliau, Shahrizat secara jelas mendapat sokongan dan bantuan daripada pemimpin tertinggi Umno khususnya menjelang pemilihan parti apabila dilantik sebagai Penasihat kepada Perdana Menteri berkaitan isu Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Posisi itu sama taraf dengan kedudukan seorang Menteri," jelasnya.

Kedudukan istimewa yang diperolehi Sharizat, ujar Athirah memberi isyarat kepada perwakilan bahawa dia perlu dikekalkan sebagai pemimpin wanita Umno.

"Saya percaya ramai yang berkepentingan dengan kemenangan Shahrizat kerana dengan kejayaannya maka sebahagian besar proksinya akan terus terbela," tegasnya.

Shahrizat telah meletakkan jawatannya dalam kerajaan menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu ekoran kontroversi pembabitan suami dan anak-anaknya dalam penyelewengan dana Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Beliau bagaimanapun mengekalkan jawatannya dalam parti dan tidak dipilih sebagai calon dalam PRU 2013.

Sebenarnya kata beliau, kemenangan Shahrizat telah dijangka berdasarkan corak pemikiran ahli-ahli Umno khususnya Wanita Umno yang lebih terikat dengan faktor kepentingan peribadi, proksi, kelompok dan 'mengenang budi'.

Beliau bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada ahli Wanita Umno yang menyokong Datuk Maznah Hamid dan Raihan Sulaiman Palestin walaupun keputusannya sangat mengecewakan.

"Saya berharap mereka tidak akan putus asa untuk terus memperbaiki dan membersihkan Umno daripada penyakit korup dan salah guna kuasa," tegasnya.

Tiada ulasan: