Sabtu, 19 Oktober 2013

ALLAH AKAN TANYA ATAS APA YANG KITA PIMPIN JUGA APA YANG KITA BUAT

Laporan Audit: Pakatan Rakyat mahu temui Najib

Muhammad Faizal, 18 Okt 2013
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat memutuskan untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dengan Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat petang semalam memutuskan pertemua tersebut adalah penting bagi memastikan ketirisan dan penyelewengan yang dilaporkan itu dapat dihentikan dan tidak lagi berulang pada masa akan datang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pertemuan tersebut akan membincangkan segala tindakan yang perlu diambil kepada mereka yang terlibat serta mencari satu mekanisma terbaik agar ia dapat diatasi daripada terus berulang.

"Apabila melihat laporan tersebut jelas menunjukkan pengurusan kewangan yang cukup lemah dalam pentadbiran agensi kerajaan.

"Perkara ini sentiasa berulang setiap tahun dan tidak ada satu pun tindakan diambil, atas kerisauan tersebut pada mesyuarat sebentar tadi kita telah mengulangi untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan mekanisma yang perlu diambil," jelasnya pada sidang media di ibupejabat PKR, petang semalam.

Katanya lagi, Pakatan Rakyat akan menghantar surat kepada Perdana Menteri berhubung dengan dialog tersebut dalam masa terdekat.

Jelas beliau, dialog itu merupakan satu langkah terbaik dalam memastikan wang rakyat tidak disalahguna serta diselewengan oleh pihak tertentu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu hasrat Pakatan Rakyat untuk bertemu Perdana Menteri adalah bagi membincangkan langkah terbaik bagi menangani pembaziran serta penyelewengan yang berlaku.

Katanya, pertemua dua hala itu pasti dapat memperolehi satu keputusan yang terbaik dalam menghentikan perkara yang sama tidak berulang.

Dalam pada itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang meminta Perdana Menteri mengambil tindakan tegas setiap apa yang dilaporkan dalam laporan tersebut.

Katanya, sikap berdiam diri Najib akan menyebabkan mereka yang bertanggungjawab di dalam agensi kerajaan tidak takut untuk mengulangi penyelewangan tersebut.

MB harap TRW menang selesa malam ini

Harakahdaily, 18 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan Datuk Ustaz Ahmad Yakob berharap pasukan The Red Warriors dapat mencatat kemenangan selesa ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pertemua separuh akhir pertama Piala Malaysia 2013 malam ini.

Dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily, Ustaz Ahmad berkata, para pemain pasukan Kelantan perlu fokus untuk memburu kemenangan tersebut bagi memudahkan tugas pada pertemuan separuh akhir kedua nanti.

"Harapan saya agar Kelantan mencatat kemenangan selesa untuk menempah tiket ke perlawanan akhir.

"Saya jangkakan malam ini sekurang-kurangnya Kelantan menang 1-0 InsyaAllah. Apapun terpulang kepada pemain-pemain menyempurnakan hasrat seluruh rakyat Kelantan kali ini," katanya.

Pertemuan antara Kelantan dengan ATM pada malam ini akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebelum ATM berkunjung ke Stadium Sultan Mohammad IV untuk aksi timbal balik pada 25 Okteber depan.

Bagi Ustaz Ahmad, Kelantan pada malam ini perlu mengambil peluang untuk mencari kelebihan awal sebelum bermain di tempat sendiri.

"Kepada para penyokong, jaga nama baik Kelantan.

"Jangan tinggalkan solat dan berilah sokongan dengan penuh semangat kesukanan. Gomo Kelate gomo!," katanya.

Kalimah Allah: Apa selepas ini?

Dr Mujahid Yusof, 18 Okt 2013
TANGGAL 14 Oktober 2013 akan diingati oleh semua pihak kerana ia jatuh pada 9 Zulhijjah ketika para jemaah haji berwukuf dan mereka yang di luar Arafah bersiap untuk menyambut Aidiladha.
Pada hari yang sama Mahkamah Rayuan telah menetapkan penghakiman rayuan dari pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa majalah Kristian Herald tidak boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Penghakiman ini mendapat perhatian antarabangsa kerana Malaysia menjadi negara unik yang mengharamkan perkataan ini digunakan oleh penganut Kristian. Saya dihujani soalan daripada pemberita tempatan dan luar negara meminta respons keputusan mahkamah Malaysia.

Hari wukuf itu saya sibuk melayan soalan dan telah update status saya perkembangan terkini isu kalimah Allah dalam media sosial saya.

Saya juga dimaklumkan respons awal kelompok ekstrem kanan mahu melebarkan keputusan ini ke Sabah dan Sarawak kerana penganut Kristian di sana menggunakan Bible yang tertera dalamnya kalimah Allah sebagai terjemahan dari perkataan Elohim.

Di sebalik kegembiraan golongan ekstrem kanan dan sebahagian orang Melayu, masyarakat Kristian Katolik pula bersedih dan marah bahawa hak mereka dikecewakan oleh keputusan panel tiga hakim.

Suasana raya untuk saya pada hari itu dipenuhi dengan pelbagai soalan.

Kemanakah dasar kebebasan agama hendak dibawa?

Adakah negara kita kini dikuasai kelompok ekstrem kanan?

Apakah masa depan hubungan antara agama akan dipengaruhi unsur rasis daripada kesucian agama itu sendiri?

Adakah eksteimisme agama akan subur?


KEJUJURAN

Saya cuba bersikap jujur untuk menjawab persoalan di kepala saya. Kejujuran hanya boleh dipandu dengan prinsip dan prinsip terpandu dengan keilmuan, manakala keilmuan pula asasnya adalah objektiviti dan bukan sentimen.

Saya melihat sejak awal isu kalimah Allah ditunggangi prinsip yang salah maka kewajaran ilmu yang sepatutnya memandu prinsip dikuasai oleh sentimen lalu objektiviti tajuk menjadi tersasar dari perbincangan yang ilmiah dan mendasar.

PRINSIP

Prinsip Islam dalam hubungan dengan bukan Islam terbina atas asas Rahmatan lil ‘Alamin. Kesejahteraan yang Islam angkat dan usung mencakupi perlindungan kepada kebebasan beragama dan hak untuk agama lain melaksanakan keperluan agamanya.

Prinsip Islam juga mempertahankan hak agama lain dari dicerobohi kerana atas nama kemanusiaan tiada siapa yang berhak menodai atau memaksa umat lain menerima agamanya.

Dalil kepada prinsip di atas dipraktikkan sepanjang penguasaan tamadun Islam yang merentasi Timur dan Barat dunia. Kewujudan agama lain di bawah pemerintahan Islam tidak pernah dinafikan, khusus dengan pengikut ahlul kitab (Kristian dan Yahudi), Islam senantiasa menganggap mereka sebagai saudara Ahlul Kitab.

Walaupun kebanyakan mereka menggunakan kalimah Allah dalam kitab Injil mereka dengan bahasa Arab, namun ia tidak pernah menjadi isu, bahkan tidak pernah umat Islam takut jika digunakan kalimah itu atas alasan akan berlaku kemurtadan.

Ia tidak menjadi isu kerana prinsip Rahmatan (Sejahtera) membenarkan, maka siapalah kita hendak menodai prinsip ini. Keagungan prinsip ini dalam konteks hak agama lain ditafsirkan oleh asas yang cukup suci dalam Islam iaitu ‘Tiada paksaan dalam beragama’.

Ia bukan sahaja bermakna kita tidak boleh memaksa orang lain ke dalam agama Islam tapi juga bermakna kita tidak  boleh mencampuri urusan agama lain dalam kegiatan seharian mereka.

Siapalah kita hendak memaksa kalimah yang sama yang mereka guna seperti Allah mesti difahami menurut kehendak agama kita?

Antara tanda kebesaran Allah adalah menjadikan kewujudan agama berbeza-beza sebagai sesuatu yang berkekalan sifatnya. ‘Wala yazaluna mukhtalifeen‘ apabila ada perbezaan agama maka perbezaan teologi pasti akan berlaku.

Mampukah kita mengubah panduan Ilahi dengan melarang agama lain menggunakan perkataan yang kita pakai dengan penafsiran yang berbeza-beza?

Sebab itu prinsip ini senantiasa dipelihara oleh ulama dan umarak silam bagi memartabatkan Rahmatan Islam kepada manusia yang berbilang agama.

KEILMUAN

Kebenaran yang kita junjung tidak bererti kita harus mewajarkan ‘kesesatan’ orang lain dengan mencerobohi hak mereka. Jika perasaan itu tidak terkawal maka akan huru-hara perhubungan antara agama lantas keilmuan Islam memimpin hubungan ‘benar dan sesat’ ini melalui nilai peradaban yang tinggi iaitu dialog dan perdebatan yang sihat.

Maka Islam telah menggariskan pendekatan bil hikmah wal mauizatul hasanah (hikmah dan kata nasihat) dan jidal billati hia ahsan (berdebat secara sihat).

Inilah keilmuan yang memandu sentimen dan emosi demi memelihara tujuan Islam dibangkitkan oleh Allah iaitu Kedamaian dan Rahmatan kepada semua.

Sebab itu semua buku dalam daerah keilmuan yang mendebatkan sama ada kalimah Allah boleh dipakai oleh bukan Islam atau tidak adalah dalam aspek perdebatan intelektual dan bukan undang-undang yang menghalang maksud kebebasan agama yang dijunjung oleh Islam.

Memelihara kemurnian prinsip ini lebih utama dari melayani perasaan puak sempit agama dan rasis yang tidak bertanggungjawab. Adakah para hakim kita melayan prinsip Islam atau melayan kerenah sebahagian manusia bigot yang jahil?

SEMPIT AGAMA

Mereka yang membaca Islam atas sentimen kebencian pada agama lain harus memahami bahawa di sana Islam telah meletak disiplin dan kerangka yang jelas hubungan antara agama.

Pernyataan keras Islam terhadap ‘kesesatan’ adalah berpandukan kepada premis haq dan batil, tauhid dan kesyirikan. Begitu juga dalam membentangkan premis permusuhan yang berpotensi menggugat keberadaan Islam.

Adapun tanpa suasana yang disebutkan maka Islam meletakkan kembali asas kesuciannya memelihara hak kebebasan, hak beribadat agama lain dan hak keperluan mereka. Itu adalah asal dan asasnya.

Permusuhan Islam kepada orang lain adalah atas sikap permusuhan orang kepadanya kerana Islam juga perlukan kekuatan. Selain daripada alasan ini maka asasnya ialah kedamaian dan kesejahteraan.

Apakah kalimah Allah digunakan oleh penganut Katolik diwarnai konteks permusuhan? Ataukah ia konteks menyatakan haknya?

Golongan sempit agama terpaksa lebih teliti dalam melanggani isu ini. Teori memurtadkan orang Islam jika benar ada kerana kekeliruan perkataan mesti didatangkan dengan bukti yang jelas, dan saya yakin para hakim yang membuat keputusan jika membuat keputusan atas andaian yang hipopetikal dan dalam kes yang mungkin (jika ada) terlalu terasing.

Bolehkah hanya dengan andaian sesuatu hukum itu ditetapkan?

Mereka tidak akan bergelar hakim jika mereka bukan orang yang bijak dan berhikmah kerana kesan penghakiman akan memberi implikasi yang kepada prinsip besar Islam iaitu Prinsip Kesejahteraan.

APA SELEPAS INI?

Saya bangun awal pada hari raya pertama untuk membuat persediaan khutbah Aidiladha di Masjid Al Huda Sungai Ara, Pulau Pinang. Di waktu yang sama saya terdengar sebelum Subuh takbir raya dengan suara yang merdu dari corong masjid berdekatan rumah ayah saya iaitu Almarhum Haji Yusof Rawa di Gelugor.

Laungan Allahu Akbar saya sambut dalam hati saya sambil air mata saya berlinangan dan sempat saya berdoa.

“Ya Allah Engkau maha mengetahui hambamu, berikanlah aku kejelasan dan kekuatan untuk mengagungkan nama-Mu dengan menitipkan Rahmah-Mu di mata manusia, berikan aku kekuatan untuk berhujah dengan manusia melalui prinsip dan bukan melalui kemarahanku...”

Tanpa disedari kedengaran azan Subuh selesai doa saya pada hari raya Aidil Adha itu lantas saya terus tertanya apa selepas ini?
________________________
Penulis ialah pengerusi pertama bagi South East Forum for Interfaith Networking for Peace dan telah menulis pengalaman berdialog antara agama di dalam buku terbaru, Berdialog Dengan Gereja: Sebuah Travelog Kedamaian.

Bekalan air terawat S'gor cukup sehingga 2022

Harakahdaily, 18 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor dijangka mampu untuk terus membekalkan air terawat untuk tempoh sedekad lagi itu sehingga tahun 2022 dengan projek mitigasi yang dijangka siap tahun ini.

Anggaran itu dibuat Pusat Kajian Sosio-Ekonomi (SERC) yang membuat kajian sekitar isu air Selangor yang mendedahkan hasilnya baru-baru ini.

Antara langkah dalam projek mitigasi tersebut adalah dengan memulihkan operasi loji rawatan air Bukit Jelutong yang telah ditutup dan ianya dijangka akan menaikkan takat rizab air sehingga 851 juta liter sehari.

Selain itu penggunaan teknologi membran juga akan meningkatkan penghasilan air terawat sebanyak 100 juta liter sehari.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Datuk Lee Miang Koi berkata kapasiti bekalan air terawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka tidak mencukupi mulai Julai 2014.

Ketika itu katanya, rizab bekalan air akan menjadi negatif apabila permintaan air terawat melebihi pengeluarannya.

Bagaimanapun menurut pusat kajian SERC itu, beberapa langkah lagi turut dicadangkan bagi mencapai objektif meningkatkan bekalan air terawat dapat dibuat secara holistik.

Antaranya, mereka mencadangkan agar kerajaan negeri supaya bertindak lebih tegas bagi memastikan pihak-pihak bertanggungjawab menyelenggara loji rawatan dan paip dengan baik.

Menurut mereka, kajian yang dijalankan firma kaji selidik Enrico mendapati kesemua 29 loji rawatan air yang diurus Puncak Niaga tidak beroperasi di paras optima dan 18 daripadanya perlu dibaikpulih dan dinaik taraf.

Mereka turut menggesa kerajaan negeri supaya mengatasi pencemaran air di sungai-sungai utama di Selangor, terutamanya di Semenyih dan di Langat.

Ini kerana, pencemaran di sungai-sungai itu menurut mereka menyebabkan jumlah bekalan air mentah berkurangan.

“Sehingga April 2012, sekurang-kurangnya 13 kejadian henti tugas di loji-loji rawatan akibat paras pencemaran yang tinggi,” kata laporan itu yang dipetik Selangorku.

Punca pencemaran dikenal pasti daripada aktiviti perkilangan, ladang ayam dan itik, tumpahan minyak dan perlombongan pasir.

Kerajaan negeri juga diminta menguatkuasakan undang-undang ke atas pencemar sungai, mengekang kecurian air dan penyelewengan, dan memindahkan kilang-kilang ke kawasan yang sesuai.

Tiada ulasan: