Jumaat, 11 Oktober 2013

JANGAN KITA TERSASAR PERJUANGAN...TERSASAR PERJUANGAN NERAKA TEMPATNYA

Munafiq Haraki

Masih terngiang suara Tok Guru tatkala menafsir Surah al Munafiquun beberapa hari yang lalu. Ya Allah ! Selamatkan diri ini dari sifat - sifat munafiq.

Munafiq pernah bersumpah bahawa Muhammad saw adalah nabi, walhal hati mereka mendustakan apa yang dibawa oleh Nabi saw dan Allah swt bersaksi diatas pendustaan mereka.

Hari ini kita mengaku dan berikrar bahawa kita adalah pejuang Islam lalu menyertai Jamaah Islam ini. Persoalannya apakah yang diungkap lidah kita itu sama dengan apa yang dikarang dalam hati kita ? Sama pula dengan tingkah laku atau perbuatan kita ? Atau kita hanya seorang Munafiq Haraki ?

Ciri utama munafiq ialah DUSTA dan nilai kata lain kepada munafiq ialah ;

Hipokrit
Talam dua muka
Cakap tak serupa bikin
Gunting dalam lipatan
Duri dalam daging
Api dalam sekam
Gergaji dua mata
Mulut manis punggung masam
Lidah bercabang
Ular kepala dua
Buaya di air tenang
Jari telunjuk kelingking berkait



Betapa tenatnya Umno, calon diisytihar muflis

Salmiyah Harun, 10 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini digesa membuat penilaian yang rasional tentang betapa tenatnya Umno pada hari ini apabila calon-calon bagi pemilihan parti itu turut disenaraikan muflis oleh Jabatan Insolvensi.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, apa yang berlaku ini adalah manifestasi bahawa ternyata Umno memang bermasalah hasil daripada ramai calon mereka yang terpaksa melalui tapisan kerana muflis.

"Mereka (calon) yang menawarkan diri untuk memegang jawatan dalam parti merupakan mereka yang tidak layak dan berwibawa, sekali gus dijadikan pemimpin untuk generasi muda pada hari ini," katanya ketika ditemui di Pejabat Agung PAS hari ini.

Tambahnya, Umno tidak perlu lagi lantang untuk bercakap soal memperkasakan ekonomi Melayu sedangkan di kalangan mereka pun tidak mampu memelihara diri sendiri sehingga diisytihar muflis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas calon-calon pemilihan Umno pada kali ini diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi.

Seramai 33,272 calon disahkan bertanding merebut pelbagai jawatan pada pemilihan Umno bulan ini selepas 869 calon gagal melepasi saringan Jawatankuasa Pemilihan parti, termasuk 334 yang didapati muflis.

Selain itu, 1,369 daripada kira-kira 146,000 perwakilan yang telah dipilih, tidak layak kerana turut disenaraikan muflis oleh Jabatan Insolvensi.

Pembangunan: Kenyataan Mukhriz bersifat ugutan

Muhammad Faizal, 10 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar berpendapat kenyataan Menteri Besar Kedah yang menawarkan pembangunan di Sungai Limau sekiranya Barisan Nasional (BN) sebagai tidak wajar dan bersifat ugutan.

Jelasnya, kenyataan tersebut turut membukti BN di bawah pentadbiran Datuk Mukhriz Mahathir tidak akan membuat pembangunan di kawasan tersebut sekiranya BN kalah pada PRK nanti.

"Sebagai seorang Menteri Besar kenyataan tersebut tidak wajar dikeluarkan, kalau nak pembangunan kena pastikan BN menang dan kalau BN kalah sudah pasti tidak akan ada pembangunnan.

"Ini merupakan politik ugutan kepada pengundi Dun Sungai Limau, kenapa mereka perlu ditakutkan dengan kenyataan sedemikian, sebagai sebuah kerajaan yang memerintah melaksanakan pembangunan adalah tanggungjawab.

"Kalau itu pendapat Muhkriz, pentadbiran beliau tidak jauh bezanya dengan pemerintahan BN di Terengganu yang tidak mahu membuat pembangunan di kawasan yang mereka kalah," jelasnya ketika ditemui di Pejabat Agung PAS.

Beliau yang menasihati pengundi di Dun Sungai Limau agar tidak takut dengan ugutan dari Muhkriz, walaupun BN kalah pada PRK nanti mereka (BN) masih lagi kekal memerintah Kedah.

"Rakyat tak perlu bimbang, tanggungjawab pemerintah adalah melaksanakan pembangunan walaupun ia dimenangi Pakatan Rakyat.

"Walaupun BN kalah mereka tetap memerintah Kedah dan apa yang pasti adalah kita perlu memastikan PAS terus kekal di Dun Sungai Limau," sambung beliau.

Mahfuz yang ketika ditanya mengenai peruntukan yang akan digunakan oleh BN pada PRK kali ini jika dilihat apa yang berlaku di PRK Kuala Besut.

"Kita tidak akan berbelanja besar dan kita telah menetapkan agar tidak berlaku pembaziran pada PRK nanti.

"Bagi BN jika mereka nak tabur duit itu bukan halangan dan ia adalah rezeki untuk pengundi di sana, tetapi bagi saya ia menunjukkan kelemahan mereka kerana mereka merasakan kemenangan hanya diperolehi dengan wang ringgit sahaja," katanya.

Sebelum ini Barisan Nasional (BN) menawarkan pembangunan di Sungai Limau, Kedah jika berjaya memenangi PRK pada 4 November ini.

Mukhriz  berkata, gandingan kerajaan negeri yang kini di bawah kerajaan BN dan kerajaan Pusat mampu memastikan kawasan Dun Sungai Limau turut sama dalam arus pembangunan nasional.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei lalu, Azizan mengekalkan Dun Sungai Limau selepas menang dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru.

Ketua Muslimat PAS Kedah, Perlis kekal

Bashir Ishak dan Sarina Ismail, 10 Okt 2013
ALOR SETAR: Dewan Muslimat PAS Kedah dan Perlis yang selesai mengadakan muktamar tahunan menyaksikan penyandang jawatan terus menerajui sayap parti bagi sesi 2013-2015.

Di Kedah, Muktamar Tahunan ke 44 yang berlangsung 5 Oktober lalu di Dewan Fadzil Noor, Kompleks PAS Kedah menyaksikan Datuk Ustazah Siti Ashah Ghazali kekal selaku Ketua dan akan bergandingan dengan Dr Rohani Abdul Mutalib yang turut kekal bagi jawatan Timbalan Ketua.

Manakala Ustazah Fatimah Wan Teh pula dipilih sebagai Naib Ketua menggantikan penyandang, Datin Norlia Abdul.

Ketiga-tiga jawatan utama ini tidak dipertandingkan.

Majlis perasmian muktamar telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Sementara itu di Perlis, Ustazah Latifah Mat turut kekal menerajui Muslimat PAS Perlis selepas menang tanpa bertanding jawatan Ketua pada Muktamar Tahunan ke 38 yang diadakan 6 Oktober lalu.

Begitu juga, jawatan Timbalan Ketua dan Naib Ketua masing-masing turut dimenangi tanpa pertandingan.

Ketua Muslimat PAS Kangar, Suhanawati Jaafar dan Ketua Muslimat Padang Besar, Amnah Abdul Rahman masing-masing akan bergandingan dengan Latifah selaku Timbalan dan Naib Ketua.

Muktamar yang berlangsung di Dewan Dato' Dr Haron Din, Kompleks PAS Perlis di sini dirasmikan oleh Bendahari Muslimat PAS Pusat, Aida Yusof Rawa.

Mahfuz dilantik Pengarah JK Induk PRK Sg Limau

Muhammad Faizal, 10 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PAS hari ini melantik Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sebagai Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau.

Perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat harian PAS Pusat di Pejabat Agung PAS hari ini.

Mahfuz yang juga  Pesuruhjaya PAS Kedah ketika ditemui menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu tugas  berat namun sedia memikul tanggung jawab dan amanah yang diberikan parti bagi memastikan kemenangan dapat dikekalkan.

"Walaupun ia merupakan satu tugas yang amat berat, saya akan pikul tanggung jawab dan amanah yang diberikan parti bagi memastikan PAS mengekalkan kemenangan di Dun Sungai Limau.

"Tanggung jawab yang cukup besar, apatah lagi kita dalam keadaan mempertahankan kemenangan kerusi tersebut, saya akan lakukan sebaik mungkin," jelasnya.

Menurut beliau, PAS Kedah  telah pun membuat persiapan  rapi bagi menghadapi pilihanraya kecil pada 4 November nanti.

"Di peringkat negeri, PAS telah menubuhkan Jawatankuasa Operasi dan kita telah melakukan kerja-kerja asas seperti mengumpul maklumat dan jentera yang telah kita perolehi pada pilihan raya umum lalu.

"Kita juga telah membentuk dan mengarahkan PAS Negeri Kedah yang akan menjadi pembantu kepada 19 kawasan peti undi, termasuk juga mengadakan pertemuan antara wakil-wakil PAS kawasan dan Unit Peti Undi (UPU)," sambungnya.

Beliau yang turut memberitahu beberapa program telah diatur termasuk pelancaran jentera pilihan raya sebelum pengumuman calon pada 21 Oktober nanti.

Di antaranya pada 11 Oktober pelancaran jentera Muslimat yang akan dilakukan di dalam kawasan Dun Sungai Limau.

Pada 12 Oktober pelancaran jentera dan gerak kerja  Pemuda, manakala pada 13 Oktober pula pelancaran dan gerak kerja Ulama.

Bagi pelancaran jentera operasi induk akan dilakukan pada 17 Oktober sebelah malam yang akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan juga pemimpin Pakatan Rakyat di Kota Sarang Semut.

Mahfuz menegaskan, calon yang diputuskan nanti akan ditelitikan secara terperinci agar individu yang dikemukakan PAS bebas dari segala kegiatan yang bertentangan dengan prinsip PAS.

"Mengenai calon kita peringkat pusat akan membuat penilaian yang terperinci dan kita akan pastikan calon yang kita kemukakan nanti bebas dari segala kegiatan yang bertentangan prinsip parti.

"Apa yang penting adalah individu tersebut tidak terlibat dengan kegiatan rasuah serta dapat menyambung amanah yang ditinggalkanAllahyarham Tan Sri Azizanl Razak," jelasnya.

Beli kondo mewah, matlamat Felda tersasar

Harakahdaily, 10 Okt 2013
PUTRAJAYA: Isu kondominium mewah yang sebelum ini terpalit kepada Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), kini turut menghantui Felda Global Ventures Holding (FGV).

Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) bulan lalu mendedahkan, kondominium mewah Grand Plaza Service Apartment, di Bayswater, London dibeli Felda Investment Corporation UK Properties pada harga sangat mahal iaitu BP98 juta atau mencecah RM497 juta.

Hari ini, mereka memanjangkan maklumat ini kepada bahagian siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.

Hadir membuat penyerehan tersebut hari ini adalah Presiden Anak Mazlan Aliman yang juga Pengerusi Lajnah Tanah Pas Pusat, timbalannya Razman Zakaria serta bendahari Dr Rosli Yaakob.

Mazlan pada sidang media sebelum penyerahan itu berkata, anak mendesak SPRM membuat siasatan komprehensif terhadap maklumat tersebut ekoran dikhuatiri wujud unsur rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan penyelewengan dana syarikat.

"Kita pegang kata-kata Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafa Ali bahawa mereka akan menyiasat tidak kira jerung atau bilis.

"Kita mahu ianya disiasat dan jika ada penyelewengan, tindakan perlu diambil ke atas mereka yang terlibat," tegas Mazlan.

Sementara itu, Dr Rosli pula mendakwa tindakan membeli kondominium mewah tersebut merupakan tindakan yang tersasar dari fungsi utama FGV.

"Anak ingin menarik perhatian SPRM bahawa pembelian kompleks kondominium mewah ini tersasar dari core business FGV iaitu agribusiness dan tersasar juga dari matlamat penyenaraian.

"Jumlah (hampir setengah juta) ini bersamaan 11.3 peratus daripada dana tunai (RM4.4 bilion) yang dijana FGV dari penyenaraian," kata Dr Rosli.

Menurut beliau, isu pembelian kondominium mewah ini hanya sebahagian daripada pelaburan "mencurigakan" oleh FGV.

Menurutnya, ada beberapa lagi isu melibatkan pelaburan FGV yang akan dikemukakan kepada SPRM dalam masa terdekat.

PAS umum calon PRK Sg Limau 21 Okt

Salmiyah Harun & Muhammad Faizal, 10 Okt 2013

KUALA LUMPUR: PAS Pusat menyenarai pendek lapan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau dalam mesyuarat jawatankuasa harian pusat pagi tadi.

Menurut Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, calon-calon anak tempatan itu mempunyai pelbagai latar belakang dan dikemukakan oleh PAS Kedah dan PAS kawasan.

Calon-calon muka baru itu juga termasuk calon wanita, ujarnya pada sidang media di Pejabat Agung PAS sebentar tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Guru Abdul Hadi turut memaklumkan keputusan PAS untuk mengumumkan calon bertanding mewakili parti itu pada 21 Oktober ini.

Katanya, senarai yang diperolehi dari peringkat kawasan dan negeri itu akan diteliti bagi memastikan PAS dapat mengekalkan kemenangan serta meneruskan amanah yang ditinggalkan bekas Adun Sungai Limau yang juga mantan Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Razak.


"PAS akan mengumumkan calon pada 21 Oktober nanti bagi menghadapi PRK Sungai Limau, tempat akan dimaklumkan kemudian.


"PAS akan memastikan calon yang dikemukakan nanti mempunyai latar belakang yang bersih serta bebas dari segala kesalahan terutamanya rasuah," jelasnya.


Tambah beliau lagi, PAS sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi BN pada PRK itu dan yakin dengan persedian awal, PAS mampu mempertahankan kerusi tersebut.


"Kita telah bersedia dari awal bagi menghadapi pilihan raya kecil ini, segalanya telah diatur rapi.


"Kita yakin dengan persiapan dan persediaan ini, PAS mampu mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini," sambung beliau.


Sementara itu,  mesyuarat yang sama  turut memutuskan, Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga  Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar dilantik sebagai Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Sungai Limau.

Tiada ulasan: