Makan umpan, jangan joran - Presiden PAS
Harakahdaily, | 30 Okt 2013 |
Menurutnya, pengundi harus menjadi "ikan yang cerdik" berdepan pelbagai "umpan pancing" yang dihidangkan kepada mereka.
Kata Tuan Guru Abdul Hadi, ikan yang cerdik adalah ikan yang hanya makan umpan dan bukan memakan jorannya sekali.
"Jangan gadai prinsip kita hanya kerana wang RM50 atau RM100.”
"Kena jadi ikan yang cerdik, jangan jadi ikan bodoh seperti ikan Belukang, ada misai nampak gah, tapi semua dia telan termasuk najis pun dia makan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kampung Sedaka di sini malam tadi.
Mengulas soal calon, beliau berkata PAS menawarkan calon terbaik, Ustaz Mohd Azam Abd Samat untuk mewakili mereka di Dun Sungai Limau ini.
Bukan sahaja mampu meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan, Ustaz Azam juga diyakini mampu meneruskan perjuangan Islam PAS dengan baik.
"Kita undi Ustaz Azam. Apa yang dia buat baik kita sokong, apa yang tak betul kita akan lawan.”
"Kalau Umno apa yang bos dia kata, betul ke tak betul ke semua kena sokong. Itu beza PAS dengan Umno," katanya.
GST sebagai 'pukat tunda' – Dr Mariah
Anis Nazri, | 30 Okt 2013 |
KUALA LUMPUR: Bajet 2014 yang dibentangkan baru-baru ini tidak memperlihatkan satu komitmen kerajaan untuk mengatasi masalah defisit yang dialami negara.
Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata masalah defisit yang dialami negara sejak 16 tahun lalu berikutan perbelanjaan melebihi pendapatan yang diamalkan kerajaan.
"Namun, kita lihat kerajaan tidak cuba untuk mengatasi masalah perbelanjaan yang berlebihan, sedangkan ia secara jelasnya sudah didedahkan melalui Laporan Audit Negara setiap tahun, tapi tidak diambil perhatian," tegas beliau.
Membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014, di Dewan Rakyat, hari ini Dr Mariah berkata pendedahan laporan audit berkenaan tu jelas menunjukkan berlakunya ketirisan dan pembaziran yang menyebabkan perbelanjaan berlebihan.
Malangnya, tegas Dr Mariah, dalam usaha kerajaan untuk 'menutup lubang' tersebut, kerajaan mengalihkan beban itu ke atas rakyat, khususnya kepada rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan GST sebagai 'pukat tunda', di mana semua rakyat terkena dengan cukai tersebut bermula 2015 nanti.
Dr Mariah berkata hutang isi rumah yang kini menjangkau sehingga 700 bilion sudah tentu akan memberi kesan ke atas pembayaran pinjaman yang akan meningkat dengan adanya GST.
Sebelum itu, Dr Mariah turut menegur kerajaan yang bertindak membentangkan bajet pada Jumaat lalu, tanpa memikirkan waktu solat Asar.
Beliau mencadangkan agar perkara tersebut tidak berulang pada tahun hadapan, sebaliknya meminta agar kerajaan memilih hari dan waktu yang benar-benar sesuai untu pembentangan bajet.
Kelantan cuti peristiwa 4 November
Salmah Mat Husain, | 30 Okt 2013 |
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hari ini telah membuat keputusan untuk mengisytiharkan cuti peristiwa pada hari Isnin, 4 November 2013 ini sempena skuad TRW berjaya ke peringkat akhir.
Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, ketika dihubungi memberitahu, ia telah diputuskan pada mesyuarat mingguan exco yang berlangsung hari ini di Kuala Lumpur.
Katanya, kerajaan negeri mengambil tindakan itu untuk memberikan kemudahan kepada rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat bolasepak untuk pergi menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di Shah Alam.
“Kita bersyukur kerana skuad kita TRW sekali lagi ke peringkat akhir dan kali ini untuk menentang Pahang.
“Apa yang kita harapkan semoga penonton khususnya menjaga perilaku sebaik mungkin sewaktu menyaksikan perlawanan bola sepak itu nanti dan jagalah keselamatan masing-masing sama ada sewaktu perjalanan pergi dan balik ke tempat masing-masing,” ujarnya.
Beliau memberitahu, cuti peristiwa tahun ini agak berlainan sebagaimana biasa kerana ia turut memberi kemudahan kepada penjawat awam untuk merancang aktiviti bersama keluarga sempena cuti yang agak panjang.
“Bukan sahaja sempena cuti Peristiwa untuk kemenangan bola sepak ke peringkat akhir sahaja, tetapi cuti mingguan Jumaat dan Sabtu, Ahad cuti ganti Depavali dan ditambah pula hari Isnin cuti peristiwa,” ujarnya ketika dihubungi.
Sambungnya lagi, kepada peminat-peminat TRW, diharapkan dapat memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan kesayangan rakyat Kelantan ini.
“Yang penting, jagalah adab-adab kesukanan dan jangan tinggalkan solat. Insya-Allah, Gomo Kelate Gomo,” ujarnya.
Sementara itu, anggota exco kerajaan negeri Datuk Abdul Fatah Mahmood, pula mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sentiasa perihatin terhadap rakyat Kelantan khususnya pada peminat bola sepak Kelantan.
“Sebagaimana nasihat Menteri Besar kita, saya juga ingin mengingatkan, berhati-hatilah di jalan raya, jangan tergesa-gesa ketika memandu, ingatlah nyawa lebih penting,” ujarnya.
BRIM tak bantu petani, nelayan
Harakahdaily, | 30 Okt 2013 |
JERAI: Dalam keghairahan kerajaan BN mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bertujuan membantu rakyat berpendapatan rendah, petani dan nelayan yang ditemui di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau mengakui ia tidak banyak membantu kehidupan mereka.
Jaafar Mat Noh, 83, (Kiri) seorang pesawah di Kampung Jalan Kuala Sedaka berkata, BR1M yang diterima setahun sekali hanyalah helah BN untuk mendapatkan sokongan rakyat.
"Niat BR1M hanya untuk pancing undi. Malah janji kerajaan BN untuk beri RM1000 pada kempen pilihan raya umum lalu kini tinggal RM650 sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya.
Beliau juga hairan dengan tindak tanduk pemimpin BN negeri yang banyak mengkritik pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Allahyarham Ustaz Azizan Razak namun kini berdiam diri melihat kepincangan yang berlaku dalam kerajaan negeri pimpinan Datuk Mukhriz Mahathir.
"Masa Ustaz Azizan pegang MB, tebang balak sebatang pun bising. Sekarang senyap sahaja," ujar Jaafar sinis.
Beliau turut kesal kerana janji-janji BN untuk memberikan bantuan selalu tidak ditepati khususnya selepas pilihan raya umum.
Anuar Hashim, 30, (Kanan) dari kampung yang sama turut menyokong pandangan Jaafar.
Menurut bapa kepada seorang anak itu, BR1M tidak banyak membantu hidup beliau sebagai nelayan dan petani.
Beliau yang pernah mengusahakan bengkel motor di hadapan rumahnya kini mengambil upah membawa mesen membajak dan pergi ke laut menangkap ikan.
"Pendapatan saya puratanya RM1000 sebulan. Saya mengambil upah membawa mesen Kubota dengan upah RM10 serelung.
"Pada hari-hari tertentu saya menangkap ikan di laut. Hasil tangkapan dibahagi tiga. Dua bahagian untuk pekerja, satu bahagian untuk tuan punya perahu," jelas beliau.
Bagaimanapun pendapatan beliau sebagai nelayan berkurangan apabila tiba musim tengkujuh.
Bagi menampung pendapatan keluarga, beliau turut mengusahakan perniagaan air nira yang diperoleh daripada 30 batang pohon nira yang ditanam di sekeliling rumahnya.
Umno tidak rujuk al-Quran, hadis - Mohd Taib
Muhammad Faeez Azahar, | 30 Okt 2013 |
IPOH: Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd Taib berkata, Umno tidak pernah merujuk kepada al-Quran dan Hadis dalam perjuangannya.
Menurutnya, perkara tersebut berbeza dengan PAS yang menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai pegangan dan rujukan utama setiap masa.
Itulah antara penyebabnya mengambil keputusan menyertai PAS setelah bergelumang dalam Umno sejak tahun 1964 lagi.
"Masa saya jadi Menteri Besar (Selangor), saya tidak pernah buka (rujuk) al-Quran untuk mentadbir negeri, begitu juga semua Perdana Menteri sehinggalah Najib ketika ini.
"Tetapi dalam PAS berbeza, Tok Guru Nik Aziz, Ustaz Hadi selalu rujuk al-Quran ketika mereka memerintah negeri masing-masing," katanya ketika membentangkan kertas kerja di Konvensyen PAS Perak di Hotel Tower Regency, Ahad lalu.
Mantan Naib Presiden Umno itu menjelaskan, beliau mengambil keputusan menyertai PAS apabila telah menyedari akan perjuangan Umno yang semakin menyimpang.
Katanya, beliau ingin membetulkan dirinya kembali dalam pengakhiran usianya dan ingin membantu PAS mencapai hasrat memerintah negara dan memimpin ummah.
PAS katanya diwakili golongan berkemahiran agama dan profesional yang cerdik pandai tetapi Umno hanya menjadi parti ikutan tidak berdasarkan pemikiran.
"Umno hanya jadi parti yang ikut-ikut sahaja, mereka yang masuk Umno bukan yang berfikir. Tidak seperti orang yang menyertai PAS.
"Saya melihat, PAS adalah parti yang paling relevan dan sesuai untuk memimpin masyarakat di negara ini khususnya orang Melayu," ujarnya lagi.
BN katanya hanya berjaya dalam pembangunan fizikal semata-mata sebaliknya gagal untuk mendidik rohani serta akhlak masyarakat.
Tambahnya, Rakyat perlukan usaha daripada kumpulan baru yang berani untuk merubah suasana masyarakat dinegara ini.
Jelas Muhammad, PAS sangat diyakini dapat melahirkan masyarakat yang selamat di dunia dan akhirat disamping mengukuhkan aspek modal insan dan membangunkan kemanusiaan.
Justeru, beliau menggesa agar PAS lebih bersedia dan mengukuhkan lagi kedudukannya agar dapat meyakinkan rakyat khususnya orang Melayu.
"Kita kena kerja daripada sekarang untuk meyakinkan pengundi dan masyarakat tentang keperluan untuk berubah.
"Kita perlu hebahkan tentang kelebihan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat berbanding BN antaranya betapa cekap dan amanahnya pemimpin Pakatan Rakyat membelanjakan duit kerajaan," jelasnya lagi.
APA PANDANGAN ISLAM TENTANG CUKAI?
إِنَّ صَاحِبَ الْمَكْسِ فِي النَّارِ
Maksudnya;
"Sesungguhnya pengambil cukai dalam neraka" [Musnad Ahmad : 16387]
Dalam kaedah usul fiqh, sebarang ancaman neraka menerusi nas memaksudkan perkara tersebut adalah haram. [mabahis usuliyyah fi taqsimat al-alfaz : 87]
Namun begitu, dalam beberapa keadaan, kerajaan dibenarkan mengutip cukai dari rakyat. Dr yusuf Al-Qaradhawi menyebut;
و اشترط بعضهم أن يخلو بيت المال خلوا تاما حتى يجوز فرض ضرائب , و ما صنعوا ذلك إلا خشية إسراف الحكام في طلب الأموال لحاجة و لغير حاجة
Maksudnya;
"Setengah ulama mensyaratkan [mengutip cukai], bahawa dalam keadaan baitul mal [perbendaharaan negara] benar-benar kekeringan, sehingga terpaksa mengenakan cukai [kepada rakyat]. Mereka [ulama] meletakkan syarat sebegitu, tidak lain kerana bimbang berlaku pengambilan harta rakyat sewenang-wenangnya, sama ada ketika hajat atau tidak" [Fiqh Az-zakat : 2/1140]
Imam As-Syatibi pula menyatakan;
و شرط جواز ذلك كله عندهم عدالة الإمام و إيقاع التصرف في أخذ المال و إعطائه على الوجه المشروع
Maksudnya;
"Disyaratkan keharusan itu – disisi mereka [ulama] – adalah pemerintah mestilah adil, dan perbelanjaan dari sudut pengambilan harta dan pemberian harta itu atas jalan yang dibenarkan syarak" [Al-'Itisam : 2/86]
Dalam kitab Al-Mustasfa, Imam Al-Ghazali menyebut, bahawa pengambilan cukai dari rakyat adalah satu kemudharatan. Namun, apabila berhimpun antara mudharat yang kecil dan besar, maka hendaklah dilakukan mudharat yang kecil, demi mengelak dari terjadinya mudharat yang besar. [m/s : 1/303]
Dalam Imam Al-Qurtubi pula menerangkan syarat-syarat mengambil harta rakyat dalam bentuk cukai adalah seperti berikut;
Pertama, jangan pemimpin mementingkan dirinya dengan membebankan rakyat.
Kedua, hendaklah dipentingkan kepada golongan yang paling berhajat dengan bantuan kewangan.
Dan ketiga, hendaklah disama-ratakan pembahagian negara [hasil cukai] berpandukan taraf kedudukan rakyat. [tafsir Al-Qurtubi : 11/60]
Sekian
Wallahu 'Alam
Al-Bakistani
CUKAI: PADA KACA MATA ULAMA' ISLAM
Oleh Ahmad Tirmizi Bin Taha
PENGERTIAN CUKAI
Cukai ialah sejumlah harta yang dikeluarkan oleh mereka yang berkemampuan bertujuan melaksanakan kemaslahatan syarak dengan penetapan dari pihak pemerintah.
Syarat-syarat sah ditetapkan pembayaran cukai
Para ulamak islam telah menetapkan syarat –syarat yang membolehkan arahan pembayaran cukai oleh pihak seperti berikut:
1- pemerintahan telah melaksanakan segala kewajipan kewangan sebagaimana yang ditetapkan oleh islam seperti arahan mengeluarkan zakat, pelaksanaan sistem kharaj dan sebagainya.
2- Pemerintah yang menetapkan pembayaran cukai itu adalah pemerintah yang berakhlak dengan akhlak di dalam perkara yang bersangkutan dengan pelaksanaan sistem kewangan islam.
3- Baitul mal tidak dapat menampung perbelanjaan negara setelah digunakan segala sumber yang ada.
4- Penetapan pembayaran cukai itu adalah bertujuan kemaslahatan yang diakui oleh syarak.
5- Penetapan cukai itu hanya dikenakan ke atas mereka yang berkemampuan sahaja.
Dari syarat-syarat di atas dapatlah dibuat kesimpulan bahawa sistem cukai itu boleh dikenakan dengan wujudnya perkara berikut:
1- keperluan hakiki kepada sumber kewangan
2- pembahagian bebanan cukai adal berlaku secara adil.
3- Hasil cukai dibelanja untuk kemaslahatan umum
4- Mendapat persetujuan ahli syura ( ahli al hall wal aqd )
PENDAPAT PARA ULAMAK MENGENAI CUKAI
1. Pendapat Ibnu hazm
Ibnu hazm ketika membahaskan tentang permasalahan cukai tidak menggunakan perkataan cukai tetapi menggunakan kalimah yang sama erti dengan cukai. Dimana beliau menggunakan perkataan paksaan pemerintah dalam bentuk kewangan ke atas rakyat apabila berlaku sebab tertentu.
Ibnu Hazm telah membawa dalil naqli dan dan juga perkataan sahabat.
Dalil naqli
Al-Quran : Firman Allah s.w.t : al an’aam 141
Menurut Ibnu Hazm ayat di atas bukanlah memperkatakan tentang zakat. Beliau berhujah bahawa ayat di atas adalah makiyyah sedangkan kefardhuan zakat di madinah. Oleh itu ayat di atas memperkatakan hak harta benda selain dari zakat di antaranya ialah cukai.
Firman Allah SWT : yang bermaksud :
“ Dan berilah hak kepada sanak saudara , orang-orang miskin dan ibnu sabil.
Ayat di atas mewajibkan berbuat baik kepada kepada golongan yang kesempitan hidup. Dimana menunaikan hak tersebut dianggap satu amal kebajikan dan tidak melakukannya dianggap satu kerja jahat. Maka cukai yang dikenakan adalah salah satu bentuk kerja kebajikan.
Hadis :
Sabda Rasulullah barangsiapa yang mempunyai makanan yang mencukupi dua orang maka hendaklah dicari orang ketiga , barangsiapa yang mempunyai makanan yang mencukupi tiga orang maka hendaklah ia mencari orang keempat…..
Hadis di atas menunjukkan arahan supaya orang kaya membantu orang yang kurang upaya. Ini adalah bertepatan dengan tujuan pembayaran cukai.
Berkata Umar “ jikalau aku boleh kembali ke zaman awal pemerintahanku nescaya aku akan mengambil harta orang kaya yang lebih dari keperluannya dan aku akan bahagikan kepada orang yang misikin. ”
Berkata Ali “ Sesungguhnya Allah SWT menfardukan ke atas orang kaya menghulurkan bantuan kepada orang yang miskin dengan yang mencukupkan kehidupan mereka. ”
2.Pendapat Imam Haramain :
Penetapan pembayaran cukai mengikut Imam Al Haramain adalah berdasarkan oleh ijma’ ulama’ yang menyebut bahawa menjadi kewajipan pemerintah dan mempertahankan daulah. Maka apabila baitul mal tidak menampung perbelanjaan ketenteraan, maka pemerintah boleh mengenakan sistem pembayaran cukai ke atas mereka yang berkemampuan.
Dari kenyataan di atas bolehlah dibuat kesimpulan bahawa Imam Al haramain setiap perbelanjaan untuk kemaslahatan umum yang diiktiraf oleh syara’ wajib ditampung oleh golongan yang berkemampuan setelah baitul mal tidak dapat menampung perbelanjaan tersebut.
3.Pendapat Imam Al Ghazali :
Menurut Imam al Ghazali di dalam kitabnya Al mustasfa ,tidak harus dikenakan cukai ke atas rakyat jika sekiranya harta benda yang berada di tangan tentera islam adalah mencukupi. Namun begitu jika sekiranya unit ketenteraan Islam tidak memiliki wang yang cukup dan baitul mal tidak mampu menanggung perbelanjaan ketenteraan , maka harus kepada pemerintah mengenakan cukai kepada golongan yang berada sekadar jumlah yang dapat menampung perbelanjaan ketenteran. Pemerintah Islam harus memberi tanah kerajaan kepada tentera sebagai ganti cukai.
Dalil harusnya dikenakan cukai kepada golongan yang berada ialah kaedah fiqh yang berbunyi apabila terdapat dua perkara yang memudharatkan yang tidak dielakkan maka wajib melakukan yang paling kurang mudhorat antara keduanya. Maka penetapan cukai ke atas golongan yang berada adalah mudhorat yang lebih ringan jika dibandingkan dengan tentera yang meninggalkan tugas ketenteraan kerana mencari sara hidup.
4. Pendapat Ibnu Taimiyah :
Di dalam membincangkan tentang keharusan sistem pembayaran cukai, Ibnu Taimiyyah berdalilkan dengan qias aulawi dimana beliau berkata:
Jika sekiranya Allah mewajibkan ke atas para sahabat yang berjihad dengan harta dan jiwa raga mengeluarkan usyur dari hasil tanaman mereka ,maka sepatutnya lebih diwajibkan ke atas golongan yang berkemampuan yang tidak keluar berjihad mengeluarkan kewangan untuk menampung perbelanjaan jihad ( maslahah umum ) .
KE MANA CUKAI ITU DIBELANJAKAN
Para ulamak telah bersepakat bahawa hasil cukai yang dipungut wajiblah dbelanjakan untuk kepentingan umum.kepentingan umum yang dimaksudkan itu ialah :
1-jihad
2-jaminan kemasyarakatan
3-maslahat umum
1) Jihad
semua ulamak yang membincangkan keharusan penetapan sistem cukai oleh pihak pemerintah membuat kenyatan bahawa hasil pungutan cukai wajib dibelanjakan untuk tujuan jihad fi sabillillah. Pada zaman sekarang ,bolehlah dikatakan bahawa menghantar anak qaryah belajar diluar negara , menyediakan perpustakaan yang mengamdungi kitab-kitab yang mempertahankan dan menerangkan islam, pembinaan pusat-tarbiyah,masjid,sekolah dan lain-lai perkara yang melibatkan mempertahan dam mengembangkan islam adalah dianggap jihad.
2) Jaminan kemasyarakatan
Makna jaminan kemasyarakatan ialah golongan yang kesempitan hidup hendaklah dibantu oleh golongan yang berkemampuan.betapanya pentingnya perkara ini sehingga ayat-ayat makiyah memberi penekanan secara khusus tentang jaminan kemasyarakatn, sebagaimana dineri penekanan kepada masalah aqidah.pada zaman sekarang bolehlah dikatakan bahawa penyediaan tapak kediaman bagi golongan yang kurang upaya, bantuan pakaian , alat-alat bantu sekolah dan seumpamanmya adalah termasuk jaminan kemasyarakatan di dalam islam yang perlu diberi perhatian.
3) Maslahat umum
Maslahat umum ialah perkara yang melibatkan masyarakat umum. Pembinaan jambatan, jalanraya, pos-pos keselamatan dan seumpamanya adalah contoh kemaslahatam umum.
Dari perbincangan di atas jelaslah bahawa haram sama sekali meggunakan hasil pungutan cukai itu bertujuan kemaslahatan peribadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan