Bil sarapan pagi 6k?
Dr Azman Ibrahim, |
Yang pertama, kalau benarlah ini yang dilakukan oleh pemilik restoran tersebut, jelas ianya satu penganiayaan kepada pelanggan. Apatah lagi saya telah bermastautin di Kelantan sejak lebih 13 tahun lepas, biasa menikmati sarapan pagi di serata tempat dan pelbagai kategori warung serta restoran.
Hakikatnya, paling mahal pun, ianya cuma sekitar RM5 atau RM6 sahaja untuk seorang. Ianya sudah lebih dari mengenyangkan. Fakta bahawa Kelantan adalah syurga dengan makanan yang beraneka dan murah adalah suatu kebenaran.
Yang kedua, laporan berita berkenaan insiden ini pelbagai. Ada yang menyatakan ahli rombongan seramai 50 orang. Bermakna kos untuk satu kepala adalah RM120. Media yang lain pula melaporkan bahawa, ahli rombongan berjumlah seramai 100 orang. Bermakna kos untuk satu kepala adalah RM60. Sama ada seramai 50 orang atau 100 orang, caj RM6,000 yang dikenakan masih tersangat mahal kerana ianya hanya sebuah restoran, bukannya hotel lima bintang.
Yang ketiga, maaf kalau saya sebutkan, biasa berlaku kes pelanggan minta tuan kedai tulis jumlah yang besar dalam bil untuk tujuan dibuat tuntutan atau claim walaupun jumlah sebenar yang dibayar adalah jauh lebih sedikit dari yang tercatat. Orang panggil mark up harga. Di klinik saya pun biasa ada pelanggan yang minta begitu. Biasanya saya jawab dengan lembut, “Apa sahaja yang bukan hak kita, haram untuk kita makan. Maafkan saya kerana tak dapat membantu dalam hal sebegini.”
Yang keempat, tahniah saya ucapkan kepada Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang bertindak cepat membuat serbuan. Mengikut yang dilaporkan dalam sebuah akhbar harian, tuan punya restoran tersebut dikenakan kompaun 175k. Hampir 30 kali ganda dari apa yang telah dicaj dalam bil ‘pelanggan malang’ tersebut. Entah apa peribahasa yang tepat untuk kes ini. Mungkin peribahasa ‘untung semangkuk rugi sebelanga’.
Yang kelima, apakah tuan punya restoran ini belajar dari tindak-tanduk sebahagian dari Jabatan Kerajaan sebagaimana yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, ada jam dinding yang harga pasarannya cuma RM100 tetapi dibeli dengan harga lebih RM3,000. Kalau penguatkuasaan undang-undang begitu cepat dikenakan terhadap tuan punya restoran ini, yang beli jam ini bagaimana pula?
Yang keenam, saya juga ingin sekali singgah dan merasai kelazatan sarapan pagi di restoran yang menjadi kontroversi ini. Tetapi tentu saja saya akan mempastikan dulu harga makanan sebelum menikmatinya. Bimbang nanti saya terpaksa buat kerja part time sebagai pencuci pinggan mangkuk di restoran itu sebab tak cukup duit nak bayar.
Dari Taman Melewar ke Shah Alam
Abdul Shukur Harun, | 08 Okt 2013 |
Walaupun dilingkungi suasana kampung, dengan derai kokok ayam, burung-burung dan segalanya, tetapi Taman Melewar telah mengukir sejarah penting, termasuk politik tanah air. Walaupun ia dibenci musuh politiknya, tetapi ia dikasihi dan dirindui oleh pendukungnya.
Hampir tiap kali Muktamar Tahunan PAS diadakan di situ dan walaupun dalam keadan serba sederhana, serta suasana kampung, tetapi di Taman Melewar itu telah lahir idea dan gagasan besar PAS yang hingga kini idea dan gagasan itu diteruskan oleh pemimpin dan pendukung PAS masa kini.
Antara idea besar itu ialah supaya PAS berada di bawah kepimpinan ulama. Idea ini dicetuskan oleh Dewan Pemuda PAS di mana saf pimpinannya, antara lain, Datuk Haji Mustafa Ali, Datuk Abu Bakar Chik, Haji Muhamad Sabu, Haji Khalid Samad dan lain-lain. Kemudian idea itu diterima oleh PAS yang mengadakan muktamarnya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 21 Oktober 1982.
Maka sejak itu, secara rasmi, PAS di bawah kepimpinan ulama dan berikutnya ditubuhkan ‘Majlis Syura Ulama’ yang bersifat mengawal dan memandu dasar parti hingga kini.
Idea lain dicetuskan di Taman Melewar ialah PAS membuka ruang berinteraksi dengan non-Muslim melalui CCC (Majlis Perunding Cina) di mana yang menjadi penghubungnya ialah saudara baru, Kamal Koh dan Ridhwan Abdullah dan kawan-kawannya.
Selanjutnya idea dan gagasan besar lain ialah PAS bekerjasama dengan Parti Semangat 46, pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Semua ini berlaku ketika PAS di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Yusuf Rawa dan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor di mana kedua tokoh ini membawa PAS sebagai parti inclusive, terbuka dan perubahan ini berterusan hingga kini di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang apabila menyertai Tahalluf-Siasi dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.
Ertinya di sini, Taman Melewar mempunyai sejarahnya yang penting bukan saja di arena gerakan Islam, tetapi juga di pentas politik tanah air.
Taman Melewar juga menjadi tempat pertemuan pelbagai tokoh gerakan Islam sedunia, bukan saja di rantau ini bahkan dari Asia Barat, Asia Tengah, Afrika, malah dari Amerika dan Eropah.
Saya bertemu dengan seorang ulama terkenal dari benua kecil India, Abol Hasan Ali An-Nadawi ketika beliau berkunjung ke Taman Melewar dan berkata: “Allah telah mengurniakan kamu negeri yang sangat Indah.” Demikian juga saya bertemu dengan Sheikh Mehdi Aqib, pemimpin tertinggi Ikhwanul-Muslimun yang kini dalam tahanan tentera Mesir, Almarhum Pak Hussein Omar, pimpinan Dewan Dakwah Indonesia dan beberapa pemimpin gerakan Islam lagi.
Tetapi jauh lebih mendalam ingatan saya ialah kepada para kakitangan PAS di Taman Melewar – Saudara Zubir, Taufik, Noriah, Anuar, Almarhum Syed Muhamad, Ustaz Rahim Saidin dan ramai lagi yang bekerja bertungkus lumus di belakang tabir untuk melicinkan pentadbiran PAS. Mereka ini, kata Almarhum Ustaz Fadzil Noor, adalah ‘jundullah yang tidak dikenal’.
Kini pusat pentadbiran PAS berpindah ke Jalan Raja Laut, di tengah jantung Ibu Kota beberapa tahun lalu, namun roh dan semangat Pusat Tarbiyah Taman Melewar tetap utuh dalam hari nurani setiap pendukung PAS. Kerana di sanalah jatuh bangunnya, kalah dan menangnya PAS dalam pertarungan politik pilihan raya. Adapun Pusat Tarbiyah kini dijadikan Kolej Islam Zulkifli Muhamad (KUIZM).
Demikianlah dalam keadaannya yang serba sederhana itu, Pusat Tarbiyah Taman Melewar itu rupanya mempunyai kekuatan penting dan tarikan luar biasa.
Maka itu, Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor dari 22 hingga 24 November ini walaupun bukan di Taman Melewar, tetapi roh dan semangat perjuangannya kiranya di bawah bersama oleh muktamirin.
Negeri Selangor, tuan rumah Muktamar, adalah sangat dinamik, kosmopolitan, kepelbagaian kehidupan, pusat ilmu, pusat kegiatan ekonomi, kaya dan ternama telah diperintah oleh Pakatan Rakyat di mana PAS memenangi 15 kerusi Dun di sana dan mendapat enam kerusi exco.
Ini adalah hasil Tahalluf-Siasi PAS dalam Pakatan Rakyat dan ini adalah hasil new politic, keterbukaan PAS yang ideanya dicetuskan oleh Almarhum Tuan Guru Yusuf Rawa, Almarhum Datuk Fadzil Noor, kemudian diteruskan oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abd Hadi Awang.
Benar, kuasa bukan segala-galanya, tetapi dengan kuasa yang ada, PAS telah dapat menebarkan dakwah seluas-luasnya bukan saja kepada Muslim dan Non-Muslim di Selangor tetapi juga di seluruh negara. Antara lain, melalui hubungan rapat dengan DAP dan PKR. Di samping itu, ahli PAS juga berpeluang berkhidmat di pelbagai agensi di negeri yang diperintah oleh Rakyat Pakatan. Justeru bersama Pakatanlah PAS menyerlahkan kemampuannya memerintah negeri yang dinamik itu.
Ini menguatkan lagi hujah bahawa PAS sama sekali tidak rugi berada dalam Pakatan Rakyat khususnya dari aspek Islam. Sebagai bukti, sejak berkuasa di Selangor bersama Pakatan Rakyat, PAS telah menebarkan dakwahnya dengan amat luas dan berkesan. Masjid dan surau di Selangor sentiasa dipenuhi dengan pelbagai program agama, baik di waktu malam, mahupun di siang hari.
Malam-malam Ramadhan, masjid dan surau terang benderang dengan ribuan Muslim beriftar bersama, bertarawih, berqiamul-lail, mendengar tazkirah. Imam-imam hafiz dengan getaran suara mereka menambah hebat lagi Ramadhan di Selangor. Wang zakat merimpah ruah, faqir miskin dibantu. Malah pelbagai program keagamaan berkembang subur di mana saja. Orang PAS sendiri turut mengambil peranan penting menghidupkan program agama.
Semuanya ini adalah hasil strategi pimpinan PAS yang memandang jauh ke depan, tidak melayan pemikiran sempit yang tidak menguntungkan perkembangan Islam sendiri. Dengan itu, hasil pemikiran pemimpin PAS yang dinamik ini dapat disaksikan secara dekat oleh muktamirin apabila bermuktamar nanti di Shah Alam.
PCA - Guantanamo versi Malaysia
Mohamed Hanipa Maidin, | 08 Okt 2013 |
Mesej di dalam Al Quran bahawa ramai manusia yang tidak mengetahui atau tidak menggunakan akal dapat saya rasakan wujud di Parlimen Malaysia semasa berbahas PCA. Sebab itu tidak pelik ada Ahli Parlimen BN yang boleh mencadangkan mana mana orang yang dikatakan melakukan jenayah layak ditembak sahaja.
Mengapa Pakatan Rakyat menentang PCA? Jawapannya mudah iaitu kita menentang apa sahaja undang undang yang membenarkan penahanan seseorang tanpa bicara. Bukankah , sepertimana hujah Ahli Parlimen BN, yang ditahan itu adalah penjenayah ? Ya , benar tapi siapakah yang menentukan seseorang itu penjenayah ? Bukankah itu peranan Mahkamah ? Bagaimanakah Mahkamah dapat menjalankan tugas dan peranannya jika peranan itu ditiadakan dalam PCA?
Mengapa kita harus berikan keadilan kepada penjenayah, hujah Ahli Parlimen BN. Jawapan itu, saya jawab semasa berbahas , wujud dalam Al Quran. Al Quran menyatakan secara jelas " Janganlah kerana kebencian kamu pada sesuatu kaum menyebabkan kamu berlaku tidak adil, berlaku adil lah kerana ia lebih dekat kepada ketaqwaan." Ayat ini saya kata kepada Parlimen menunjukkan bahawa Islam mempromosi keadilan yang mutlak - keadilan perlu ditegakkan dalam apa keadaan dan kepada sesiapa pun hatta kepada musuh.
Benci macam mana sekalipun kita kepada mana mana penjenayah ia tidak memberi lesen untuk kita tidak berlaku adil kepada mereka. Sebab itu pernah wujud dalam sejarah Islam manifestasi sebenar ruh ayat ini iaitu apabila Syaidina Umar r.a ditikam oleh orang yang ingin membunuhnya Umar r.a masih melarang penjenayah itu diperlakukan dengan kejam dan zalim. Sebab itu juga pernah wujud dalam sejarah Islam apabila orang Islam iaitu Tu'mah Ibnu Ubayriq yang mencuri baju besi dan diletakkan di rumah orang Yahudi turun ayat Al Quran dalam surah Al Nisa' ayat 105 yang membebaskan orang Yahudi dari tuduhan palsu yang dibuat oleh orang Islam. Ya, Yahudi jahat namun apabila mereka dizalimi hatta oleh otang Islam, Islam membela Yahudi dan mencela tindakan orang Islam sendiri.
Atas ruh ajaran Al Quran itu, sebenci mana pun kita pada penjenayah kita tidak boleh sama sekali menafikan keadilan kepada mereka. Sebab itu saya katakan dalam Parlimen meskipun Altantuya dibunuh dengan ngeri dan kes pembunuhan itu mencalarkan imej negara kita mereka yang dituduh membunuh Altantuya masih kita bicarakan. Mengapa ? Jawapannya kerana mereka yang ditahan atau dituduh adalah dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah. Inilah prinsip asas dalam undang undang jenayah sama ada dalam undang undang Islam mahupun undang undang manusia.
Prinsip asas itu bukan benda yang baru dan kewujudan prinsip asas itu adalah suatu yang amat amat diperlukan . Dalam kes jenayah , seseorang yang ditahan berlawan dengan sebuah negara. Negara ada segala-galanya seperti polis, pendakwa, penjara dan sebagainya. Maka satu satunya pelindung kepada mereka yang ditahan oleh negara adalah prinsip asas itu. Malangnya PCA sepertimana ISA memadamkan atau memansuhkan prinsip asas itu.
Seperti yang saya katakan dalam kes jenayah adanya beberapa prinsip asas yang telah wujud begitu lama . Antaranya prinsip bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan sebaliknya.Juga wujud prinsip lebih baik seorang hakim tersilap melepaskan 10 orang yang bersalah daripada tersilap mensabitkan seorang yang tidak bersalah sebagai bersalah. Sebab itu juga dalam kes jenayah beban membukti dikenakan ke atas pendakwa. Sebab itu juga dalam kes jenayah tahap pembuktian atau standard of proof adalah amat tinggi iaitu melampaui keraguan munasabah.
Semua prinsip di atas bukan sengaja direka- reka. Kewujudan prinsip prinsip tersebut mempunyai alasan tersendiri . Malangnya PCA hapuskan prinsip prinsip asas itu dengan dihapuskan peranan dan tugas Mahkamah. PCA melarang seseorang dibicarakan di Mahkamah meskipun ia dikatakan melakukan jenayah. Larangan bicara menukar prinsip asas undang undang jenayah. PCA menganggap seseorang yang ditahan adalah dikira bersalah dan tidak perlu dibuktikan mengapa mereka bersalah.
Ya, PCA menghapuskan kuasa Menteri untuk mengeluarkan perintah tahanan tanpa bicara. Kuasa itu kini dipindahkan ke atas suatu Lembaga. Persoalannya apa bezanya jika Lembaga juga diberi kuasa seperti Menteri untuk menahan orang tanpa bicara. Yang lebih teruk lagi kuasa Lembaga untuk menahan orang tanpa bicara tidak boleh disemak oleh Hakim melalui semakan kehakiman kecuali dalam perkara yang dikatakan pelanggaran prosedur. Secara mudahnya jika sekalipun dibuktikan Lembaga mempunyai niat jahat ( mala fide ) tidak boleh dicabar kuasa drakonian itu. Jika sekalipun pelanggaran prosedur boleh disemak oleh Mahkamah hakikatnya jika Mahkamah membebaskan seseorang yang ditahan kerana pelanggaran prosedur melalui perintah habeas corpus orang itu masih boleh ditahan semula melalui perintah tahanan yang baru.
Apabila Kerajaan Tony Blair membenarkan tahanan tanpa bicara dalam kes yang melibatkan pengganas yang hanya dikenakan ke atas bukan warganegara British , Amnesty International menyifatkan undang undang di England itu sebagai " Guantanamo Bay of England". Di Parlimen saya katakan jangan pula Malaysia nanti digelar oleh "Guantanamo of Malaysia " jika sekiranya PCA ini berjaya dijadikan undang undang di negara ini.
Wanita Umno tidak mahu integriti?
Subky Latif, | 08 Okt 2013 |
Ia terus menyenaraikan Shahrzat Jalil sebagai salah seorang calon ketuanya dan dilihat dia adalah calon yang berada di depan sekali.
Tidak nampak dia akan kalah. Jika dia kalah ia adalah suatu yang ajaib.
Umno dikatakan punya ahli tiga juta. Jika separuh adalah wanita, maka Wanita Umno ada 1.5 juta ahli.
Tiadakah di antara 1.5 juta itu dapat menggantikan Shahrizat yang politiknya sudah tercemar.
Mungkin Shahrizat seorang wanita paling pintar mengalahkan jauh ke belakang Puteri Gunung Ledang yang menolak dengan bijak rombongan meminangnya diketua Laksamana Hang Tuah untuk Sultan Melaka. Atau mendiang Perdana Menteri Britain, Margret Thatcher, wanita besi yang mempelopori dasar penswastaan di negaranya.
Kepintaran yang hebat saja tidak menjadikannya pemimpin yang integriti dan jauh sekali dari menjadikan Wanita Umno sayap politik yang integriti.
Shahrizat telah diruntuhkan oleh perniagaan suami dan anak-anaknya tidak dapat memenuhi sasaran pada waktu yang sepatutnya. Kepincangan perniagaan keluarganya didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara.
Walaupun dia mengaku tidak terlibat dan tidak banyak menngetahui peniagaan suaminya dan bagaimana suaminya dalam pinjaman kerajaan beratus juta, tetapi orang tidak lagi dapat terima dia ada integriti. Tiada yang percaya dia tidak tahu sekalipun betul dia tidak tahu. Politik dan integriti ditentukan oleh persepsi, maka persepsi mengira dia sudah hilang integriti.
Orang Umno sendiri seperti Bung Mukhtar, MP BN dari Sabah menasihatkannya berundur saja kerana Umno tidak dapat jawap bahana persepsi atas perniagaan keluarganya itu.
Perdana Menteri Najib sendiri, malah tidak menyambung senatorshipnya menyebabkan dia hilang kelayakan untuk menjadi menteri. Dia ada sepenggal lagi untuk jadi senator. Kiranya Najib menyambung lagi kerusi senatornya dia boleh terus jadi menteri lagi sehinggalah tamat tempoh penggal kedua itu.
Jika Najib tidak peka integriti itu dipersoal, Najib sambung sambung senatorshipnya. Jika Najib tidak bertindak terhadapnya Shahrizat tentunya masih jadi menteri sekarng.
Walaupun Najib beri dia jawatan lain, tetapi dia adalah menteri yang Najib pilih dan Najib tamatkan perkhidmatannya.
Apabila integriti sebagai menteri terlucut, maka tiada lagi maruah politik baginya dan tidak pantas lagi untuk memimpin sebuah sayap politik terpenting seperti Wanita Umno itu.
Jika Shahriat bermaruah dia tidak tunggu lama sebagai menteri. Dia patut berundur semasa Bung Mukhtar dan Datuk Kamila Ibrahim, Naib Ketua Wanita pertamanya menyeru dia meletakjawatan.
Jika dia ketika itu mengosongkan kerusi Ketua Wanita Umno itu, maka dia dilihat bermaruah dan Wanita Umno sendiri bermaruah. Apabila dia ennggan berundur, sekali gus integritinya dan integriti Wanita Umno tercabut.
Mungkin keengganannya itu merasakan dia perlu menjadi Wanita Umno yanag dipimpinnya itu terus kuat. Mungkin betul Wanita Umno boleh bertambah kuat dengan pimpinannya. Tetap kekuatan itu sama seperti kuat gajah, boleh tarik apa saja, tetapi integriti Umno yang kuat itu seperti integrti gajah. Integiriti yang tidak berotak.
Jika mahukan Wanita Umno ditingkatkan integritinya, Shahrizat jangan bertanding lagi. Biar ada antara 1.5 juta wanita itu boleh menggantikannya. Apabila dia terus menjadi calon, maka dia tidak mahu sayap Umno ada integriti dan apabila Wanita Umno terus menyokongnya, maka Wanita Umno seandiri mahu hidup tanpa integriti.
Kenapa aku?
Nasrudin Hassan, | 07 Okt 2013 |
1-Kenapa aku diuji?
Surat Al-Ankabut: 2-3
“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka akan dibiarkan (saja) hanya dengan mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia pasti mengetahui orang- orang yang dusta.”
2-Kenapa aku tidak mendapatkan apa yang aku idam-idamkan?
Surah Al-Baqarah ayat 216
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
3-Kenapa ujian seberat ini?
Surah Al-Baqarah ayat 286
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
4-Bagaimana menghilangkan rasa kekecewaan?
Surah Al-Imran ayat 139
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”
5-Sungguh, aku tak dapat bertahan lagi…!
Surah Yusuf ayat 87
“Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan orang-orang yang kafir."
6-Bagaimana aku harus menghadapi persoalan hidup?
Surah Ali-Imran ayat 200
“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah kamu beruntung.”
7-Apa jawapannya?
Surah Al-Baqarah ayat 45-46
”Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan shalat. Dan (shalat) itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk, (yaitu) mereka yang yakin, bahwa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahwa mereka akan kembali kepada- Nya.”
8-Siapa yang menolong dan melindungiku?
Surah Ali-Imran: 173
“Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung.”
9-Kepada siapa aku berharap?
Surah At-Taubah ayat 129
“Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Ilah selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy (singgahsana) yang agung.”
10. Baca, amal dan hayati pada setiap saat dan detik kita berasa hidup ini payah dan sukar ...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan