Rabu, 9 Oktober 2013

BILA SESUATU DAH JADI DARAH DAGING....DAH SUSAH NAK UBAH

PAS Balik Pulau, Permatang Pauh kekal pemimpin

Mohd Sabri Said, 08 Okt 2013
GEORGETOWN: Ustaz Fauzi Mohd Yusof dan  Omar Hasan masing-masing kekal sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Balik Pulau dan Permatang Pauh apabila dipilih semula menerajui PAS kawasan dalam mesyuarat agung pemilihan, baru- baru ini.

Perwakilan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Balik Pulau turut memilih Jamaludin Said sebagai Timbalan Yang Dipertua dan Borhan Omar sebagai Naib  Yang Dipertua.

Dalam Mesyuarat Agung sayap parti, Fahmi Ahmad dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS  Balik Pulau; Ketua Urusan Ulamak PAS kawasan disandang Ustaz Zainal Abidin Othman dan Ketua Muslimat pula disandang Mariah Maarof.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS Kawasan Permatang Pauh turut mengekalkan Amir Hamzah sebagai Timbalan Yang Dipertua dan  Naib Yang Dipertua disandang  Asre Jusoh.

Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS kawasan turut memilih Wan Rafaei sebagai teraju baru manakala Mensyuarat Agung Dewan Muslimat PAS kawasan kekal diterajui Suraya Saad.

Bil air 43 peratus pengguna di Kelantan turun

Salmah Mat Husain, 09 Okt 2013
KOTA BHARU: Pelarasan tarif baru sebenarnya memberi impak kepada penurunan bil air bagi 79,216 pemegang akaun atau 43 peratus dari jumlah pengguna domestik di seluruh Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Hanifa Ahmad berkata, penurunan jumlah bil air berlaku disebabkan pemansuhan caj sewa meter kepada semua akaun pengguna.

“Ia selaras dengan peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Bagi pengguna yang saiz meternya ¾ inci dan 1 inci pengurangan bil air akan berlaku sehingga 20 dan 25 meter padu.

“Pengurangan bil lebih besar disebabkan perbezaan caj sewa meternya yang masing-masing sebelum ini RM1.25 dan RM2.50,” katanya di sini.

Oleh itu beliau berkata, peningkatan bil hanya berlaku bagi penggunaan lebih 50m3 dengan kenaikan sehingga 32 peratus.

Sedangkan katanya, jumlah pemegang akaun lebih 50 meter padu hanya 20,923 daripada 181,024 pengguna di seluruh Kelantan.

“Piawaian penggunaan air domestik di Malaysia secara puratanya sebanyak 1m3 sehari atau 30 meter padu sebulan. Di Kelantan 77 peratus pengguna domestik menggunakan bawah 35 meter padu,” ujarnya.

Hanifa juga berkata, kenaikan tarif air terakhir pada 1 Januari 2001 dan penyelarasan baru dibuat bermula 1 September lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan pelarasan tarif baru pada 2010.

Kata beliau kenaikan tarif juga diambil ekoran kenaikan tarif elektrik sebanyak 45 peratus iaitu tiga kali sepanjang tempoh 13 tahun.

Menurutnya, AKSB terpaksa menanggung kos elektrik sebanyak RM2.1 juta sebulan.

Pada masa yang sama berlaku kenaikan Indeks Harga Pengguna (CPI)  sebanyak 28.6 peratus pada 2001-2013 menyebabkan kenaikan kos operasi termasuk bahan kimia dan kos lain.

Beliau juga berkata, Air Kelantan Sdn Bhd masih mengekalkan caj percuma penggunaan sehingga 35m3 bagi masjid dan sekolah agama rakyat.

Katanya juga Kelantan berada pada kedudukan keempat terendah bagi penggunaan air bawah 20 meter padu.

“Kenaikan tarif telah dilaksanakan di Pulau Pinang, Kedah, Melaka dan Johor pada 1 Oktober 2010,” ujarnya.

Rizab besi di Sungai Tuang 2 bilion tan

Salmah Mat Husain, 09 Okt 2013
KOTA BHARU: Kelantan mempunyai rizab besi mentah di Sungai Tuang dianggar sebanyak 50 juta sehingga dua bilion tan, kata Adun Salor, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, kekayaan sumber itu boleh dimanfaat syarikat dari Korea yang dilantik sebelum ini untuk membina lebuh raya rakyat.

Katanya, kerajaan negeri sepatutnya mempertimbang secara saksama kemampuan syarikat terbabit melaksanakan projek pembinaan lebuh raya menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai.

“Kerajaan juga perlu mempunyai kaedah cadangan pembayaran balik projek berkenaan secara jelas.

“Kerajaan tidak seharusnya dengan mudah memutuskan hubungan dengan kontraktor berkenaan yang dikira berkebolehan dan telah dipilih lebih awal,” katanya ketika membahas Belanjawan Kelantan 2014 pada persidangan Dun semalam.

Menurut beliau sekiranya kerajaan negeri menerima pakai cadangan tersebut dan berdasar kepada harga minimum ketika itu iaitu RM50 satu tan, ia dianggar mampu menjanakan hasil sehingga RM2.5 bilion.

Husam sebelum ini penggerak utama projek lebuh raya rakyat. Projek sejauh 68 km itu dilakukan pecah tanah pada 28 Mei 2012, dirancang dibina empat lorong dua hala tanpa tol dengan anggaran kos RM1.8 bilion.

Bagaimanapun syarikat Korea terbabit dikatakan menarik diri sehingga kerajaan negeri menawar pula kepada syarikat lain termasuk dari Emeriah Arab Bersatu yang berminat meneruskan projek berkenaan.

Husam juga memberitahu syarikat dari Korea terbabit mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan mampu meletak deposit sebanyak RM5 juta untuk bayaran lesen eksplorasi dan RM5 juta lagi lesen carigali.

Sehubungan itu beliau mencadangkan kerajaan negeri melantik konsultan antarabangsa untuk menilai anggaran hasil sebenar kawasan bijih besi tersebut.

Menurutnya juga permohonan lebih awal dibuat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bagi mengusaha lombong besi di Sungai Tuang dengan mengajukan permohonan di Pejabat Tanah dan Galian pada November 2011.

“Bagaimanapun permohonan pihak lain pula masuk sehingga menenggelamkan permohonan asal PMBK,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu Majlis Mesyuarat Kerajaan pada Mac 2013 bersetuju menyerah kawasan seluas 3,000 hektar di Sungai Tuang kepada PMBK.

“Malangnya saya difahamkan kelulusan itu telah ditarik balik selepas itu, sedangkan tender terbuka dibuat pada November 2012,” ujarnya.

Husam juga berharap kerajaan negeri tidak melepaskan kawasan berharga tersebut kepada pihak swasta dan persendirian.

Sungai Limau: PKR buka Bilik Gerakan 17 Okt

Harakahdaily, 09 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PKR akan membuka Bilik Gerakan Utama pada 17 Oktober ini, kata Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) parti itu bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau, Ir Zamri Yusoff.

Keadilan Daily melaporkan, beliau berkata bilik gerakan itu akan dibuka di Pekan Sungai Limau dan pelancarannya dibuat serentak dengan jentera Pilihan Raya Kecil Pakatan Rakyat.

Tambahnya, PKR akan menyusun program bersama PAS dan Pakatan Rakyat Kedah dengan menumpukan kepada beberapa kawasan Unit Peti Undi (UPU).

Menurutnya, daripada 19 UPU di seluruh Dun Sungai Limau, Pakatan tewas di tujuh UPU ini pada Pilihan Raya Umum ke-13. Antaranya UPU Sungai Kering, UPU Dulang Kecil dan UPU Dulang Besar.

Justeru, ujarnya PKR  akan bantu menggempur tujuh UPU yang dikenalpasti sebagai kubu BN.

“Beberapa progam sedang diatur dan tumpuan di kawasan-kawasan tadi,” kata Zamri yang mengalu-alukan kehadiran penyokong Pakatan Rakyat dari seluruh negara.

Bohong berlapis pemimpin BN

Zulkifli Yahaya, 08 Okt 2013

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu tiada penyelewengan berhubung kehilangan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentang di Dewan Rakyat, menyatakan bahawa PDRM kehilangan 309 aset bernilai RM1.33 juta dalam tempoh tiga tahun dari 2010 hingga 2012 termasuk 44 unit senjata api. Laporan tersebut turut menyatakan aset tertinggi yang hilang ialah gari iaitu sebanyak 156 unit selain 29 unit kenderaan PDRM.

Hilang dan seleweng mempunyai dua maksud yang berbeza. Tidak semestinya kehilangan aset tersebut kerana berlaku penyelewengan. Namun polis adalah pihak yang memegang amanah menjaga keselamatan negara,  jika berlaku kehilangan yang begitu besar sehingga mencecah nilai RM1.33 juta bermakna mereka sudah melakukan penyelewengan dalam menjaga amanah.  Lalai juga adalah satu bentuk penyelewengan amanah.  Mengapa Menteri Dalam Negeri beriya-iya hendak membohongi rakyat dengan mengatakan tiada penyelewengan?

Lagi fakta menarik dalam laporan Ketua Audit Negara ialah Kementerian Belia dan Sukan telah membazirkan wang rakyat kerana membayar K-Pop pada sambutan Hari Belia Negara sejumlah RM1.6 juta. K-Pop adalah kumpulan penyanyi wanita muda dari Korea yang terkenal dengan persembahan separa bogel.

Perkara ini pernah didedahkan Pakatan Rakyat sejurus selepas program untuk menarik belia menyokong BN itu diadakan. Namun jurucakap KBS sendiri memberitahu kononnya RM1.6 juta dibayar oleh pihak swasta, bukan guna duit kerajaan.

Mustahil untuk Ketua Audit Negara kemudiannya mengemukakan sebuah laporan palsu apabila mendakwa KBS membayar K-Pop menggunakan duit kerajaan. Menteri Belia dan Sukan sekarang, Khairy Jamaludin turut mengesahkan bahawa pembayaran terpaksa dibuat sendiri oleh KBS setelah penaja tidak menepati janji.

Tiba-tiba bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek cuba membuat putarbelit baru dengan mendakwa penaja ada memberi sumbangan. Bagi mempertahankan diri, Shabery mendakwa pihak Ketua Audit Negara sebagai culas.

Sudahlah pembohongan mereka berlapis-lapis, pihak lain pula yang menjadi mangsa. Jabatan Audit tidak fasal-fasal menjadi 'punching beg' para pemimpin kerajaan yang cuba menutup penyelewengan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata negara Israel menciplak slogan 'Endless Possibilities' dari Malaysia. Hujahnya, Israel melancarkan slogan sama pada Mei tahun ini, manakala Malaysia menggunakan slogan tersebut sejak Januari.

Slogan baru yang diperkenalkan untuk mengiringi slogan '1Malaysia' itu menerima kritikan meluas kerana didakwa sebagai “produk ciplak” dari kempen Mongolia dan Israel.

Setelah disiasat rupanya slogan 'Endless Possibilities' digunakan oleh Israel sejak Disember 2011 lagi, bukannya Januari 2013. Dahsyat sungguh pembohongan para menteri BN.

Catatan di atas hanya beberapa contoh pembohongan oleh para pemimpin kerajaan yang sedang memerintah Malaysia di mana sejarah pembohongan mereka terhadap rakyat sudah berlarutan sejak separuh abad. Berbohong dan terus berbohong terhadap rakyat, itulah cara hidup mereka.

Prof. Dr Mohamad Ridhuan Osman telah mendedahkan rahsia kejayaan Firaun memerintah negara dalam tempoh yang terlalu lama. "Rahsianya kerana Firaun berjaya memperbodohkan rakyatnya," ujar beliau.

Antara yang dilakukan Firaun, dedah Dr. Ridhuan adalah menggunakan saintisnya untuk menyukat kedudukan air Sungai Nil. Dengan itu mereka boleh menjangkakan kedatangan banjir. Firaun akan mengarahkan rakyatnya untuk membuat persediaan menghadapi banjir sambil memberitahu, "Aku akan banjirkan bumi Mesir."

Demikianlah BN boleh memerintah dengan lama di Malaysia melalui strategi memperbodohkan rakyat melalui pembohongan. Oleh kerana Malaysia sebuah negara demokrasi maka kuantiti golongan yang boleh dibohongi BN akan menentukan parti tersebut terus memerintah. Semakin ramai golongan yang mempercayai pembohongan mereka, semakin banyak kerusi diperolehi, maka parti tersebutlah yang memerintah.

Tetapi dalam PRU13 lalu, BN cuma mendapat 47 peratus sokongan, mengalahkan Pakatan Rakyat yang mendapat 53 peratus sokongan. BN berkuasa juga. Mengapa? Jawabnya kerana BN bukan hanya pandai berbohong tapi pandai menipu.

Tiada ulasan: