Rabu, 9 Oktober 2013

KELEBIHAN MENJAGA AKIDAH KENA DIPERKATAKAN....KERANA ROSAKNYA AKIDAH@ROSAKNYA IMAN LEBIH MUDAH DARI MENELAN AIR LIUR

51 terbunuh dalam demonstrasi anti-kudeta Mesir

http://greenboc.blogspot.com, 07 Okt 2013

Lagi 51 Orang Terbunuh Dalam Demonstrasi Anti-kudeta Mesir



Peringatan 40 tahun kemenangan Mesir melawan pasukan Israel berubah menjadi tragedi berdarah yang menyebabkan 51 orang terbunuh. Demonstran anti-kudeta Mesir kembali turun ke jalanraya seamalam, Ahad (6/10) waktu tempatan untuk peringatan tersebut.

Menteri Kesihatan Mesir menyatakan, seramai 268 orang dilaporkan cedera dalam pertempuran di seluruh negara. Pada Ahad malam, kementerian mengumumkan 408 demonstran ditangkap sepanjang Ahad.

Polis telah melepaskan tembakan gas pemedih mata dan serta tembakan amaran ke udara untuk membubarkan demonstrasi massa antikudeta yang cuba memasuki Bundaran Tahrir . Di Delga, utara Kairo, polis diberitakan telah menembakkan peluru aktif kepada demonstran.

Seorang peserta demonstrasi ditembak mati dan lainnya cedera, demikian menurut saksi kejadian kepada pejabat berita Anadolu. Dalam laporan Al-Jazeera, massa diperkirakan mencapai 4,000 orang.

Massa tersebut ingin menuju Bundaran Tahrir sekalipun terdapat ancaman halangan dan kekerasan. Pasukan keamanan sendiri terdiri dari tiga lapis di jalan-jalan tersebut.

Demonstran dari Ikhwabul Muslimin telah melakukan sejumlah protes sejak Muhammad Mursi digulingkan dari kerusi presiden pada 3 Juli.

Aksi protes pada hari semalam merupakan sebahagian dari demonstrasi nasional yang diselenggarakan oleh pendukung pro Mursi untuk memperingati ulang tahun ke-40 kemenangan perang tahun 1973 atas Israel dan mengecam penggulingan tentera terhadap Presiden terpilih Muhammad Mursi.

Acara ini secara luas itu juga dianggap sebagai hari kebanggaan bagi tentera Mesir.

Bulan lalu, pasukan gabungan polis-tentera menyerbu Dalga dan membubarkan aksi protes yang telah berlangsung selama 75-hari yang dilakukan oleh pendukung Mursi.

Al-Munafiqun: Membongkar sisi kaum munafiq

Ustaz Mohd Azmir Maideen, 08 Okt 2013
Kearifan Allah Taala meliputi apa yang tersembunyi di langit dan dibumi sekalipun ia tersimpan dalam anotomi seorang manusia bernama “hati”. Firman Allah Taala;
“Dan dalam kalangan manusia ada yang berkata mereka beriman kepada Allah dan hari Akhirat, sedangkan mereka sebenarnya tidak beriman.” (Surah al-Baqarah : ayat 8)

Hal ini diperincikan dalam al-Quran, dalam surah yang khusus, bertemakan keperibadian golongan yang mengelabui kejahatan dengan menampilkan keimanan, iaitu surah “Al-Munafiqun” (Kaum Munafiq). Kebanyakan ulama tafsir menyebut bahawa surah “Al-Munafiqun” diturunkan selepas peperangan Mustalaq iaitu pada tahun ke-6 Hijrah. Hal ini dikuatkan dengan redaksi tokoh munafiq, Abdullah bin Ubay dalam ayat ke-8 surah ini;
“Sungguh jika kita kembali ke Madinah, nescaya orang-orang mulia mengusir orang-orang yang hina darinya.” (Surah al-Muhafiqun : ayat 8)


Berkata Syeikh Mohamad Ali as-Sobuni di dalam “Sofwatu at-Tafasir”, “Nifaq" (kemunafiqan) tidak dikenal ketika marhalah Makkiyah, tetapi mula dikenal ketika marhalah Madaniyah (selepas penghijrahan Nabi ke Yathrib) iaitu ketika Islam mula bertapak kukuh dan bertambah jumlah penganutnya.”

Sungguhpun surah “Al-Munafiqun” mendedahkan kepada kita tokoh antogonis bernama Abdullah bin Ubay, pengajaran ayat di dalam surah ini masih bersifat umum. Sebenarnya hampir setiap surah Madaniyah, Allah mendedahkan tembelang mereka yang berhati busuk, kerana orang munafiq suka berpura-pura, pada lahirnya mengaku Islam dan beriman sedang batinnya tetap kufur yang disembunyikan. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam beberapa fasal, antaranya yang dapat disenaraikan;
1.Surah Al-Baqarah ayat 8 hingga 20 : Golongan munafiq.
2.Surah Al-Baqarah ayat 204 hingga 210 : Perbuatan orang-orang munafiq.
3.Surah Ali-Imran ayat 165 hingga 168 : Beberapa sifat orang munafik.
4.Surah An-Nisa’ ayat 137 hingga 147 : Beberapa keburukan orang munafiq.
5.Surah At-Taubah ayat 62 hingga 66 : Tuduhan orang munafiq terhadap Nabi Muhammad s.a.w.
6.Surah At-Taubah ayat 67 hingga 70 : Hasutan-hasutan orang munafiq dan ancaman Allah terhadap mereka.
7.Surah At-Taubah ayat 75 hingga 78 : Pengakuan orang munafiq tidak dapat dipercayai.
8.Surah At-Taubah ayat 79 hingga 80 : Kemunafiqan adalah dosa yang tidak diampuni Allah.
9.Surah At-Taubah ayat 84 hingga 85 : Larangan mensolatkan jenazah orang munafiq.
10.Surah At-Taubah ayat 86 hingga 90 : Keengganan orang munafiq untuk berjihad dan pahala orang yang berjihad.
11.Surah Muhammad ayat 20 hingga 30 : Ancaman terhadap orang-orang munafiq.
12.Surah Al-Munafiqun ayat 1 hingga 8 : Sifat-sifat orang munafiq.

Surah “Al-Munafiqun” membataskan hanya pada tema “munafiq” kecuali ayat 9, 10 dan 11 yang menutup surah ini sebagai kesimpulan agar orang-orang yang beriman tidak terjebak dengan gejala nifaq, yang rata-ratanya berpunca daripada sikap rakus, tamak dan lalai dengan perintah Allah. Hal  ini kerana, gerakan kemunafiqan telah banyak mengganggu kelancaran dakwah baginda SAW, lantaran sikap mereka yang sering melakukan makar pengkhianatan di tengah-tengah kehidupan jamaah orang beriman.

Oleh sebab itu, Rasulullah SAW ketika solat Jumaat baginda akan membacakan surah “Al-Jumu’ah” dalam rakaat pertamanya, sebagai anjuran agar kaum beriman rajin beribadat. Manakala pada rakaat kedua pula baginda membaca surah “Al-Munafiqun” sebagai paluan, herdikan dan tamparan kepada golongan munafiq.

Pada ayat pertama surah “Al-Munafiqun”, Allah membongkar sifat munafiq kerana apa yang diungkapkan berbeza dengan apa yang dihasratkan. Mereka dengan megah menyungguhkan kerasulan Nabi Muhammad SAW, disebabkan adanya kepentingan duniawi. Firman Allah Taala;
“Apabila orang-orang munafiq datang kepadamu (wahai Muhammad) lantas mereka berkata; Kami naik saksi sesungguhnya engkau sememangnya utusan Allah. Dan Allah sungguh mengetahui bahawa engkau memanglah utusan-Nya. Dan Allah naik saksi sesungguhnya orang-orang munafiq itu sememangnya para pendusta.” (Surah al-Munafiqun : ayat 1)

Menurut Ibnu Ishak, seorang tokoh ulama sirah meriwayatkan bahawa setiap hari Jumaat sedang Rasulullah SAW duduk untuk berkhutbah, Abdullah bin Ubay akan bangun membuat peringatan kepada kaum Muslimin dengan berkata;

“Wahai manusia! Ini dia Rasulullah SAW yang masih berada di kalangan kamu, dengannya Allah memuliakan kamu dan mengagungkan kamu, untuk itu bantulah Baginda, sokonglah Baginda, dengarlah dan taatilah Baginda.”

Selepas itu, baharulah Rasulullah SAW berdiri untuk berkhutbah. Maka, Allah menyedarkan umat beriman tentang penipuan yang dilakukan kaum munafiq yang pada hakikatnya mereka menipu diri sendiri, kerana segala bentuk kesamaran yang disembunyikan kelak akan terungkap di hari pembalasan. Firman Allah Taala;
“Mereka menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanyalah menipu diri sendiri tanpa mereka sedari.” (Surah al-Baqarah : ayat 9)

Lebih dari itu, sebenarnya hati mereka sakit kerana tradisi kemunafiqan yang diperanankan dalam hati mereka.
“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambah penyakitnya itu.” (surah al- Baqarah : ayat 10)

Mereka membuat pengakuan dan pengisytiharan bahawa amalan-amalan mereka adalah demi kemaslahatan makhluk di bumi, padahal semuanya hanyalah kepulan asap yang menutup kerakusan dan kerosakan yang dilakukan mereka. Allah Taala berfirman;
“Dan apabila dikatakan kepada mereka; ‘janganlah berbuat kerosakan di bumi!’ Mereka menjawab, ‘sesungguhnya kami justeru orang-orang yang melakukan perbaikan.” (Surah al- Baqarah : ayat 11)


Bahkan golongan munafiq ini sanggup menggunakan “syahadah” mereka sebagai sumpah palsu demi menghalang manusia daripada jalan Allah (syariat-Nya). Mereka mengikrarkan bahawa Nabi Muhammad SAW itu Rasul Allah dengan sumpah yang bohong.
“Mereka itu menjadikan sumpah sebagai topeng (perisai), lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah al-Munafiqun : ayat 2)

Firman Allah;
“Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka telah beriman. Kemudian menjadi kafir (semula) lalu hati mereka dibelenggu (dikunci), maka mereka pun tidak dapat memahami.” (Surah al-Munafiqun : ayat 3)


Maka, sebetulnya orang-orang munafiq sudah pun mengenal batasan iman dan kufur tetapi mereka lebih cenderung memilih jalan kebinasaan. Mereka telah pun mengenali Islam sepanjang bersama Rasulullah SAW, tetapi mereka tetap menolak kebenarannya kerana mengharapkan nilaian-nilaian itu berbentuk material, bukannya janji pahala dan ganjaran syurga. Firman Allah;
“Ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang di dalam hatinya berpenyakit berkata; Tidak adalah janji Allah dan Rasul-Nya kepada kami, melainkan penipuan semata-mata.” (Surah al-Ahzab : ayat 12)


Firman Allah seterusnya;
“Dan apabila engkau melihat mereka engkau akan dikagumkan oleh (potongan) badan mereka. Dan sekiranya mereka bercakap pasti engkau (tertarik) mendengar perkataan mereka. Mereka itu seolah-olahnya tunggul yang tersandar yang menyangkakan teriakan yang keras itu ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka. Allah laknat mereka. Ke mana mereka akan memalingkan muka (dari kebenaran).” (Surah al-Munafiqun : ayat 4)


Ayat di atas menggambarkan sikap luaran kaum munafiq yang indah-indah, mengkagumkan pandangan manusia. Sedangkan hakikat mereka itu ibarat kayu yang tiada daya hidup, tidak memiliki akar yang kukuh, apatah lagi menghasilkan buah yang ranum. Kata Ibnu Hayyan, “Golongan munafiq ini ibarat kayu yang menunggu saatnya menjadi arang.”

Ibnu Abbas RA menceritakan tentang Abdullah bin Ubay ini memiliki tubuh yang sasa, lidah yang fasih, wajah yang tampan. Begitu juga khalayak lain yang seiring dengan watak kemunafiqan Abdullah bin Ubay, turut memiliki kelebihan yang sama. Mereka sering hadir di majlis Rasulullah, sambil bersandar di dinding-dinding. Mereka gemar melekehkan orang-orang yang berada di luar ‘kumpulan’ mereka, sedangkan mereka adalah orang-orang yang buta “mata dan hatinya”, tuli “pendengarannya daripada petunjuk” dan bisu “mulutnya daripada kebenaran”.

Mereka bagaikan orang berjalan di dalam kegelapan dengan suasana ribut hujan disertai gegar gemuruh guruh, petir dan kilat yang sambar-menyambar. Mereka berhati-hati melakukan aksi kemunafiqannya, sedangkan Allah tidak buta melihat apa yang disembunyikan dalam hati mereka.

Mereka juga angkuh untuk memohon keampunan daripada Allah sungguhpun yang mengajak seruan itu adalah Rasulullah SAW.
“Dan apabila dikatakan kepada mereka; ‘Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu’, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya; dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.” (Surah al-Munafiqun : ayat 5)


Para mufassirin mengatakan selepas surah ini diturunkan, maka sebahagian kerabat Abdullah bin Ubay datang menemuinya serta menyedarkan bahawa surah ini diturunkan berkenaan sikapnya. Mereka berkata kepada Abdullah bin Ubay, “Temuilah Nabi Muhammad SAW dan akuilah dosamu agar Rasulullah meminta daripada Allah agar dosamu diampunkan.”

Lantas seruan mereka disindir Abdullah bin Ubay;

“Sesungguhnya kamu telah memujukku beriman, aku pun beriman. Kamu memujukku memberikan zakat harta, aku pun menunaikannya. Tidak ada lagi yang tertinggal (segala perintah kamu telah dilaksana) melainkan kamu suruh supaya aku sujud kepada Muhammad!”

Kemudian Allah berfirman;
“(Tiada faedahnya) kepada mereka (kaum munafiq), sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.” (Surah al-Munafiqun : ayat 6)


Ibnu Ishak memperincikan lagi kisah kemunafiqan Abdullah bin Ubay, ketika kembalinya tentera Islam daripada peperangan Mustalaq. Dalam perjalanan menuju Madinah, orang ramai menyerbu kawasan air di Al-Muraisi’ di perairan Bani Mustalaq di daerah Qadid. Keadaan sesak menyebabkan berlakunya pergaduhan antara dua orang lelaki bernama Jahjah ibn Usaid, orang suruhan Umar al Khattab RA dengan salah seorang suku kabilah Juhainah daripada kaum Ansar iaitu Sinan al-Juhani, yang bersekutu dengan kabilah Abdullah bin Ubay.

Tatkala mereka sedang bergaduh, Sinan al-Juhani berteriak meminta pertolongan kaum Ansar, “Wahai kaum Ansar, bantulah aku”. Mendengar teriakan tersebut lalu Jahjah turut melaungkan sentimen perkauman yang sama dengan meminta pertolongan kaum Muhajirin.

Kejadian ini sampai ke pengetahuan Abdullah bin Ubay yang pada ketika itu bersama sekumpulan orang-orangnya termasuklah Zaid bin Arqam. Kata Abdullah bin Ubay, “Sudahlah mereka ketepikan kita setelah berasak-asak di negeri kita, mereka tidak ubah seperti melepas anjing tersepit. Demi Allah apabila kita pulang ke Madinah nanti, golongan yang mulia akan menghalau keluar golongan yang hina.”

Kemudian berkata lagi, “Inilah akibat tindakan kamu sendiri yang telah membenarkan mereka memasuki negeri kamu, kemudian berkongsi harta pula dengan mereka. Demi Allah sekiranya pada hari ini kamu tidak menyedekahkan kemakmuran kamu itu nescaya mereka akan berpindah ke negeri lain.”

Allah kembali menempelak perkataan Abdullah bin Ubay;
“Mereka mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan kaum Muhajirin); ‘Janganlah kamu membelanjakan harta kepada orang-orang yang bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya)’. Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapa yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendak-Nya); akan tetapi orang-orang yang munafiq itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Munafiqun : ayat 7)

Ugutan hina yang disuarakan Abdullah bin Ubay itu dilaporkan Zaid bin Arqam RA kepada bapa saudaranya sehinggalah diketahui oleh baginda Nabi SAW. Lalu Umar al-Khattab meminta izin Rasulullah SAW agar memerintahkan Ubadah bin Bishr memenggal kepala Abdullah bin Ubay. Tegas Rasulullah SAW;

“Bagaimana wahai Umar, jika nanti orang akan bercakap bahawa Muhammad membunuh sahabatnya sendiri?”


Untuk mengelakkan para sahabat terus bercakap-cakap mengenai niat busuk Abdullah bin Ubay itu, Rasulullah mengarahkan pasukan tenteranya melakukan perjalanan luar biasa kembali ke Madinah. Mereka berjalan sepenuh hari dari pagi hingga lewat ke petang, dari malam hingga ke pagi hari, dan hanya berhenti untuk menunaikan solat. Ketika itulah mereka terasa lapang, mereka keletihan dan terus tertidur maka tiada masa para sahabat berfikir tentang konspirasi jahat Abdullah bin Ubay.

Ketika rehat itulah Rasulullah SAW mengambil peluang bertanya kepada Usaid ibn Khudair RA, anak kepada Khudair al-Kata’ib seorang pahlawan terkenal suku kaum ‘Aus, mengenai perancangan Abdullah bin Ubay. Jawab Usaid;

“Wahai Rasulallah berlembutlah dengannya (Abdullah bin Ubay), demi Allah yang telah mentaqdirkan tuan Rasul kami, dan sesungguhnya pengikut Abdullah bin Ubay telah mengatur kemewahan (batu permata) untuk dikalungkan kepadanya (sebelum kedatangan Rasul). Lantaran itu, dia memandang kedatangan baginda Rasulullah SAW sebagai perampas haknya sebagai raja.”

Pendirian Rasulullah SAW ketika mendengar penjelasan Usaid ibn Khudair RA adalah sebagaimana yang digambarkan dalam firman Allah Taala;
“Tiada kebaikan daripada bisikan (perkataan manusia itu) kecuali seruan untuk bersedeqah, perintah melakukan perkara kebaikan ataupun perbaikan sesama manusia (mendamaikan manusia yang berselisih).” (Surah aAn-Nisa’ : ayat 114)


Abdullah bin Ubay menyedari bahawa rancangan busuknya itu telah sampai ke pengetahuan Nabi. Ketika perjalanan berbaki hampir ke Madinah, Abdullah bin Ubay berjalan bersama Nabi dan bersumpah bahawa dia tidak pernah berbicara seperti yang dilaporkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah mengiyakan penjelasan tersebut dan berhujjah barangkali Zaid bin Arqam tersalah dengar.

Keputusan yang diambil Rasulullah menyebabkan Zaid bin Arqam menjadi resah sehinggalah kemudianmya Allah menurunkan surah al-Munafiqun. Ibnu Ishak menjelaskan ketika surah ini diturunkan Rasulullah SAW menunjukkan jari ke telinga Zaid bin Arqam. Sabda Rasulullah;

“Inilah orangnya yang memenuhi amanah kepada Allah dengan telinganya.”


Sayyid Qutb membahaskan ayat ini bahawa arahan Abdullah bin Ubai di sini ada persamaannya dengan apa yang dilakukan oleh musuh-musuh syariat di dalam lapangan politik hari ini. Mereka ibarat golongan Sekular Kapitalis yang menguasai ekonomi dengan menyekat sumber kehidupan komuniti masyarakat yang tidak dipersetujui oleh mereka. Mereka berselindung di bawah kapasiti seorang penganut Islam tetapi dalam jiwa mereka penuh dengan rancangan kebatilan.

Firman Allah;
“Mereka berkata lagi; Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia (pihak kita) akan mengusir keluar orang-orang yang hina (orang yang berhijrah ke Madinah). Padahal bagi Allah jualah kemuliaan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan munafiq tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Munafiqun: ayat 8)

Abdullah bin Ubay menyimpan hasad yang mendalam terhadap Islam, kerana kehadiran Nabi Muhammad SAW telah memalapkan peluangnya menjadi pemimpin pilihan bagi masyarakat di Madinah. Abdullah bin Ubay membahasakan dirinya “orang yang lebih mulia” dan membahasakan Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya “orang-orang yang lebih hina”, sedangkan pada neraca Allah ia adalah sebaliknya.

Kata Imam al-Qurtubi r.hm, “Pada perkiraan orang munafiq mereka menyangka “orang yang lebih mulia” adalah orang yang banyak harta dan ramai para pengikutnya. Lalu diterangkan Allah bahawa kemuliaan adalah kurniaan yang hanya diberi kepada Rasul-Nya dan umatnya yang beriman.” (Tafsir al-Qurtubi:18/129)

Ibnu Ishak menjelaskan lagi, akibat rancangan nista Abdullah bin Ubay itu menyebabkan anaknya yang juga bernama Abdullah bertemu Rasulullah SAW seraya menuturkan kata, “Ya Rasulallah, saya mendengar tuan ingin membunuh ayah saya. Seandainya itulah arahan tuan maka perintahkanlah saya membunuhnya.”

Rasulullah SAW lalu menjawab;

“Tidak! Sebaliknya kita berlemah lembut dan bersahabat baik dengannya selagi dia tinggal bersama-sama dengan kita.”


Surah ini secara keseluruhan menemukan kita dengan perjalanan sirah, manhaj tarbiyah Ilahiyah dan takdir Allah dalam mengatur sesuatu urusan. Orang-orang munafiq hidup dalam barisan orang-orang beriman sehinggalah penghujung hayat baginda Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tidakpun mengeluarkan mereka daripada kelompok orang-orang beriman, walaupun baginda mengenal mereka melalui perangai, ragam, bahasa dan ciri-ciri mereka.

Sabda Rasulullah SAW;
“Sesungguhnya ada tanda-tanda pada orang munafiq yang dapat dikenali, penghormatan mereka (terhadap orang lain) adalah laknat, makanan mereka adalah hasil rampasan, ghanimah (harta rampasan perang) mereka adalah kecurangan, mereka tidak mendekati masjid kecuali menjauhkan diri darinya, tidak menunaikan solat kecuali setelah selesai, sombong, tidak mahu bersahabat dan tidak mahu diajak bersahabat, berkumpul pada malam hari dan bergaduh pada siangnya.” (Riwayat Ahmad)

Sungguhpun sifat munafiq itu nyata disebut di dalam Al-Quran, ia bukanlah tugas umat yang beriman untuk menghukum kepura-puraan kaum munafiq selagi belum nyata pengkhianatan mereka dalam bentuk tindakan. Tugas utama umat yang beriman adalah menyampaikan saranan-saranan yang terkandung di dalam al-Quran demi kelancaran risalah dakwah yang ditinggalkan baginda Rasulullah SAW. Kepada orang yang munafiq ini cukuplah kita katakan;
“Allah laknat mereka. Ke mana mereka akan memalingkan muka (dari kebenaran).” (Surah al-Munafiqun : ayat 4)

Berdasarkan amalan politik Rasulullah SAW, baginda tidak pernahpun mengambil tindakan terhadap kaum munafiq selama mereka menampakkan keislaman dan menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim. Hal itu kerana Allah tidak menyandarkan hati manusia kepada manusia. Apa yang terkandung dalam hati manusia itu adalah milik Allah semata-mata, dan Dia-lah yang akan menghisabnya pada hari kemudian. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqallani menyebutkan;
“Kami adalah kaum yang berhukum kepada perkara-perkara yang zahir, kepada Allah diserahkan (segala hukuman) melibatkan perkara-perkara batin (yang melibatkan hati).”

Allah tidak menjadikan syariat dan hukum kepada manusia berdasarkan firasat. Kerana itu, Rasulullah SAW hanya menyenaraikan nama-nama golongan munafiq kepada Huzaifah al-Yamani RA sahaja dan melarang laporan itu disensasikan. Umar al-Khattab RA sering bertemu dan bertanya kepada Huzaifah agar merasa tenang dari unsur kemunafiqan. Kata Huzaifah yang terkenal dengan gelaran “Penyimpan Rahsia Nabi” – Sohib Sirr Ar-Rasul – itu, “Wahai Umar, kamu tidak termasuk di kalangan mereka (yang munafiq). Aku dilarang Rasulullah berlebih-lebihan membicarakan hal ini.”

Allah melarang Rasulullah SAW mendirikan solat jenazah ke atas orang-orang munafiq ketika kematian Abdullah bin Ubay sebagaimana firman-Nya;
“Dan janganlah kamu sekali-kali mensolatkan (jenazah orang munafiq) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.” (Surah at-Taubah : ayat 84)

Setelah baginda wafat perbuatan Huzaifah-lah yang menjadi isyarat kepada para sahabat jika beliau tidak melakukan solat jenazah ke atas seseorang yang dikenalnya. Sungguhpun demikian Huzaifah tidak mengatakan apa-apapun atas tindakannya itu, ini kerana maklumat sulit yang diterima adalah amanah Rasulullah SAW yang tiada sesiapapun yang boleh mengetahuinya.

http://www.tarbawi.my

Q&A: Aqiqah untuk anak angkat

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 08 Okt 2013
Soalan;
Saya ada mengambil anak angkat sejak kecil. Bolehkah saya buat aqiqah untuknya? terima kasih.

Jawapan;

Aqiqah anak pada hukum asalnya dituntut dari orang yang menanggung nafkah si anak (iaitu bapa atau datuknya. Bagi anak luar nikah, aqiqahnya dilakukan oleh ibu kerana ibunya yang wajib menanggung nafkahnya). Jika hendak dilakukan oleh orang lain, hendaklah dengan keizinan mereka. Tanpa keizinan mereka, aqiqah itu tidak dikira. Itulah yang menjadi pandangan jumhur ulama termasuk mazhab Syafiie.

Ada juga ulama berpandangan; asalkan berlaku sembelihan untuk si anak dengan niat aqiqah sudah dikira aqiqah untuknya tanpa diambil kira siapa melakukannya. Ini berdalilkan sabda Nabi SAW; “Anak kecil dipertaruhkan dengan aqiqahnya, iaitu disembelih (ternakan) untuknya pada hari ke 7, diberi nama dan dicukur kepalanya” (Jami’ at-Tirmizi; 1522, hasan soheh). Dalam hadis ini Nabi SAW hanya menyebutkan ‘disembelih (ternakan) untuknya’ tanpa Nabi menentukan siapa sepatutnya melakukannya, maka dengan berlakunya sembelihan dengan niat aqiqah, terhasillah aqiqah untuk si anak sekalipun dilakukan orang asing (Fathul-Bari; 9/595. Subulussalam; 2/542).

Merujuk kepada soalan saudara, jika bapa atau datuk anak itu masih hidup, seeloknya saudara meminta keizinan mereka untuk melakukan aqiqah untuknya. Jika mereka sudah tiada, tidak dapat dikesan atau sukar dihubungi sekalipun masih ada, bolehlah saudara melakukan aqiqah untuknya dengan memakai pandangan kedua tadi. Insya Allah ia menambah lagi amal kebajikan saudara untuk anak itu selain kesudian saudara menjaga dan membelanya.

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Kelebihan 10 hari awal Zulhijjah

Imam muda Asyraf, 08 Okt 2013
Apabila tibanya Zulhijjah akan tergambar dalam pemikiran umat Islam ibadah cukup besar dalam syariat iaitu ibadah haji, rukun Islam terakhir wajib dilaksanakan bagi setiap Muslim yang berkemampuan.

Pada bulan ini juga hati umat Islam semakin terpanggil untuk menunaikan ibadah haji di Baitullah dengan penuh rasa perhambaan kepada-Nya. Sesungguhnya Zulhijjah adalah bulan mulia kerana ia bulan ibadah bagi mereka yang menunaikan haji mahupun tidak.

Jika pada Ramadan, Allah SWT menyediakan 10 malam terakhir untuk hamba memperbanyak ibadah qiyam, maka pada 10 awal Zulhijjah adalah sepuluh hari (siang) terbaik untuk setiap Muslim memperhambakan diri kepada-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Demi waktu fajar dan demi 10 malam.” Al-Hafiz Ibnu Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim berpendapat ‘10 malam’ disebutkan Allah SWT bermaksud 10 hari awal Zulhijjah. Ini juga pandangan sahabat dan tabiin antaranya Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair dan Mujahid.

Lafaz pujian 10 hari awal Zulhijjah


Sepuluh hari awal Zulhijjah juga hari-hari mulia untuk melafazkan puji-pujian kepada Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) Mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.” (Surah al-Haj, ayat 27-28)

Ibn ‘Abbas menyatakan, hari tertentu dimaksudkan dalam ayat ini ialah 10 awal Zulhijjah. Pada hari itu syiar Islam terserlah dengan pengucapan lafaz pujian kepada Allah SWT terutama lafaz tahmid dan takbir.

Pada 10 awal Zulhijjah ini umat Islam digalakkan memperbanyakkan kalimah takbir (Allahu Akbar), tahlil (La ilaha illallah) dan tahmid (Alhamdulillah). Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabda: “Tiada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan tiada amalan yang lebih disukai-Nya kecuali pada 10 hari ini (awal Zulhijjah). Maka perbanyakkanlah padanya takbir, tahlil dan tahmid.” (Riwayat Imam Ahmad)
Maka perbanyakkanlah lafaz pujian kepada Allah SWT dengan mengucapkan ketiga-tiga zikir ini. Sahabat dan salaf al-soleh akan memperbanyakkan zikir pada sepuluh hari ini dengan takbir sehingga ia kedengaran jelas di pasar dan premis perniagaan.

Diriwayatkan, Nabi SAW menerangkan secara jelas kelebihan 10 hari awal Zulhijjah. Daripada Ibnu ‘Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Tiada amalan pada siang hari yang lebih mulia berbanding hari-hari ini (iaitu 10 awal Zulhijjah). Sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah? Jawab Baginda SAW: “Walaupun berjihad di jalan Allah kecuali lelaki yang keluar (berjihad) dengan nyawa dan hartanya dan tidak pulang dengan sesuatu pun (daripada kedua-duanya).” (Riwayat Abu Daud)
Detik manis ditunggu jemaah haji

Bagi mereka yang menunaikan ibadah haji, hari-hari terakhir pada 10 awal Zulhijjah adalah detik manis dan amat ditunggu-tunggu. Pada 8 Zulhijjah yang juga dikenali sebagai hari Tarwiyah, jemaah haji akan memulakan perjalanan sama ada ke Mina mahupun Arafah dalam memenuhi tuntutan manasik haji.

Mereka akan mula berangkat daripada tempat penginapan di Makkah al-Mukaramah dengan berpakaian ihram serba putih untuk menyahut seruan Ilahi dengan laungan talbiah memenuhi langit Makkah.

Hari Arafah pada 9 Zulhijjah dipenuhi amal ibadahkepada Allah SWT, tidak kira bagi mereka yang menunaikan haji atau tidak. Hari Arafah antara hari kebesaran bagi umat Islam.

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Hari Arafah, Hari al-Nahr (Aidiladha) dan hari-hari Tasyrik adalah hari perayaan kita sebagai umat Islam. Ia hari untuk makan dan minum.” (Riwayat Abu Daud)

Antara kelebihan hari Arafah ialah umat Islam yang tidak menunaikan ibadah haji disunatkan berpuasa. Nabi SAW bersabda: “Dengan berpuasa pada hari Arafah aku berharap padanya supaya Allah ampunkan dosa-dosa tahun yang lepas dan juga tahun akan datang.” (Riwayat Muslim)

Hari Arafah juga diterima setiap doa hamba-Nya yang memohon permintaan dan keampunan. Malah doa dipinta kepada Allah SWT pada hari itu adalah sebaik-baik doa dan semulia-mulia waktu untuk diperkenankan oleh-Nya. Sabda Nabi SAW: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Riwayat Imam al-Tirmizi).

Gunakanlah sebaik-baiknya sama ada bagi mereka yang menunaikan haji mahupun tidak untuk berdoa menadah tangan kepada Allah SWT dengan penuh rasa perhambaan kepada-Nya.

Hajjatul wada’


Pada hari Arafah juga berlakunya hajjatul wada’, Rasulullah SAW menerima wahyu daripada Allah SWT menandakan lengkapnya risalah yang dibawa Baginda kepada seluruh umatnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari ini Aku telah lengkapkan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan ke atas kamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam sebagai deen (agama) kamu.” (Surah al-Maidah, ayat 3)

Aidiladha yang diraikan pada 10 Zulhijjah pula hari kebesaran dan kegembiraan bagi umat Islam. Pada hari itu umat Islam disunatkan melakukan ibadah korban bermula sehingga hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Ibadah korban syiar perhambaan kepada Allah SWT. Malah ibadah korban membuka ruang amal kebajikan bagi mereka yang berkemampuan dengan menyalurkan daging sembelihan kepada fakir miskin, anak yatim, jiran tetangga, rakan taulan dan sanak saudara.

http://imamudasyraf.com

Tiada ulasan: