Rabu, 9 Oktober 2013

HENDAKLAH KITA MEMPERJUANGKAN ISLAM BUKANNYA BERJUANG DEMI KEPENTINGAN DIRI ...

PRK Sungai Limau: PAS teliti calon 10 Okt

Anis Nazri, 08 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PAS akan meletakkan calon yang diyakini boleh mencapai kemenangan, sekaligus mempertahankan kerusi N.20 Sungai Limau pada pilihan raya kecil itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata PAS juga akan meneliti calon-calon yang disenarai pendekkan PAS Kedah itu bersesuaian serta mampu meneruskan legasi kepimpinan almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.

"Tidak kira calon itu orang muda, profesional atau apapun, yang penting calon itu calon yang boleh menang dan diterima pengundi di kawasan tersebut," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau turut memaklumkan PAS akan meneliti senarai calon-calon bagi kerusi itu ketika mesyuarat PAS di peringkat Pusat yang akan diadakan 10 Oktober ini.

PRK Dun Sungai Limau diadakan berikutan penyandangnya, almarhum Ustaz Azizan kembali ke rahmatullah ekoran komplikasi jantung dan kencing manis di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), 26 Sept lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon pada 23 Okt, manakala hari membuang undi pada 4 Nov.


Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, almarhum Ustaz Azizan mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru yang turut membabitkan sepupunya, Mohd Fazillah Mohd Ali dari BN.

Cuba teka siapa Dr Maza samakan dengan Kasim Baba

http://naimnikmat.blogspot.com, 08 Okt 2013

KALAU KORANG BIJAK BESTARI CUBA TEKA SIAPA YANG DR.MAZA SAMAKAN DENGAN PERANGAI KASIM BABA NI (GAMBAR)


Anwar, Karpal akan saman bekas calon BN dan Utusan

Keadilan Daily, 08 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Karpal Singh akan memfailkan saman terhadap bekas calon BN di Permatang Pauh, Mazlan Ismail dan Utusan Malaysia dalam waktu terdekat.

Karpal dalam kenyataan berkata, langkah itu dibuat jika tiada sebarang maklum balas selepas surat tuntutan guaman dihantar kepada mereka pada 10 September.

Menurutnya, Utusan mengaku menerima surat itu dan akan menjawabnya. Bagaimanapun, katanya, tiada perkembangan sejak itu.

Mazlan sebelum ini mendakwa menerima surat daripada pihak tidak dikenali yang menuduh Anwar membayar RM50 juta kepada firma guaman Karpal dalam bentuk bayaran guaman bagi merasuah timbalan pendakwaraya dan hakim.

Mazlan bagaimanapun enggan memohon maaf atas alasan kononnya beliau hanya meminta penjelasan daripada mereka.

“Pasukan undang-undang saya pada 4 Oktober menghantar surat kepada Utusan dan memberi tempoh tujuh hari.

“Kegagalannya akan menyebabkan Anwar dan Karpal memulakan perkara itu tanpa sebarang notis kepada mereka,” kenyataan itu dipetik.

Tarik balik pindaan Akta Pencegahan Jenayah

Harakahdaily, 08 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menggesa kerajaan menarik balik pindaan Akta Pencegahan Jenayah yang telah diluluskan baru-baru ini dan menghormati prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

“Ini khususnya bagi peruntukan yang menyalahi prinsip keadilan dan kebebasan asasi,” ujar Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam satu kenyataan.


Kerajaan juga, katanya digesa menghormati dan mendengar pandangan rakyat dengan melakukan konsultasi, dialog dan rujukan dengan Majlis Peguam, Suhakam dan NGO dengan berhemat dan tidak tergesa-gesa sebelum melakukan apa-apa pindaan undang-undang terutama yang mengaitkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) amat bimbang dengan pindaan Kerajaan ke atas Akta Pencegahan Penjenayah (PCA) 1959 yang dibentangkan di Dewan Rakyat dan diluluskan dalam keadaan tergesa-gesa pada 4 Oktober 2013.

Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 tersebut mengandungi peruntukan yang menyalahi prinsip keadilan Islam dan maqasid syariah serta tidak selari dengan prinsip asas kebebasan asasi seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Secara khusus, apabila akta berkenaan dipinda dengan meletakkannya di bawah Perkara 149 Perlembagaan,  maka beberapa hak kebebasan asasi di bawah Perkara 5, 9, 10 dan 13 Perlembagaan Persekutuan yang sepatutnya terjamin sekaligus dinafikan. Perkara ini termasuklah hak untuk bergerak secara bebas,  hak untuk bersuara, berhimpun  dan berorganisasi serta hak untuk memiliki harta. Dahulunya,  Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan juga dinaungi di bawah Perkara 149.

Ikram juga memandang serius beberapa peruntukan yang seolah-olah mengembalikan ISA dan Ordinan Darurat (EO) khususnya yang berkait dengan penahanan tanpa bicara dan kuasa semakan mahkamah.  Antaranya ialah seperti berikut:

1.   Pindaan terhadap pengenalan PCA yang memetiknya daripada ISA iaitu “Whereas action has been taken and further action is threatened by a substantial body of persons both inside and outside Malaysia to cause, or to cause a substantial number of citizens to fear, organized violence against persons or property;” Pengenalan atau skop ini bersifat luas dan tidak khusus untuk jenayah berat atau terancang. Ia terbuka untuk disalahguna seperti mana ISA.

2.     Seksyen 19A memberi kuasa mutlak kepada Lembaga Pencegahan Jenayah di bawah akta ini untuk menahan orang yang dituduh selama dua tahun dan boleh dilanjutkan tanpa melalui proses perbicaraan di mahkamah.

3.   Seksyen 15A pula menghalang semakan mahkamah ke atas keputusan Lembaga Pencegahan Jenayah melainkan perkara-perkara yang berkenaan prosedur. Kuasa mutlak terletak kepada Lembaga Pencegahan Jenayah.

4.      Dalam seksyen 9 (5) pindaan terbaru ini juga menafikan hak yang tertuduh untuk ditemani peguam semasa disiasat oleh pegawai penyiasat.

Dalam masa yang sama, Ikram juga menyedari dan memahami kepentingan mencegah jenayah terancang dan berat yang sedang mengancam rakyat.  Islam juga menganjurkan kita untuk melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Cumanya pencegahan jenayah tidak sehingga menggadai prinsip keadilan dan kebebasan diri dengan penahanan tanpa bicara dan kuasa terlalu luas tanpa semakan.

Perdana Menteri sebelum ini pernah mengumumkan bahawa PCA digubal semula untuk membanteras jenayah berat yang semakin membimbangkan.  Beliau juga pernah menolak gesaan sesetengah pihak untuk mengembalikan penahanan tanpa bicara supaya hak asasi individu tidak terjejas di samping kepentingan awam dilindungi.  Namun PCA yang diluluskan bertentangan dengan hasrat Perdana Menteri itu.

Ikram berpendapat selain penguatkuasaan undang-undang, langkah-langkah berikut harus dilakukan untuk mencegah jenayah:

1.     Meramaikan bilangan anggota polis dalam Jabatan Siasatan Jenayah yang mana angkanya kini hanya 9% daripada 112,000 anggota polis seluruh negara.

2.      Bersungguh-sungguh memerangi rasuah dan mendakwa anggota penguatkuasa yang korup bukan hanya di kalangan pihak polis tetapi juga anggota penguatkuasa Jabatan Kastam & Eksais Diraja, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran, Majlis Perbandaran dan lain-lain.  Ini kerana anggota penguatkuasa yang korup mudah dibeli dan dipergunakan oleh sindiket jenayah.

3.  Menggalakkan semua golongan masyarakat berperanan melalui kempen kesedaran anti-jenayah. Sektor Rukun Tetangga yg pernah diwujudkan dahulu wajar dihidupkan kembali.

Ikram melihat pencegahan jenayah bukan dengan memperkenalkan undang-undang yang jelas melanggar prinsip asas keadilan, kebebasan dan kedaulatan undang-undang tetapi dengan memperkuatkan semula Polis dengan kecekapan siasatan, profesionalisme dan ilmu agama serta membebaskan mereka daripada rasuah, salahguna kuasa dan kekebalan.

Justeru, Ikram menggesa kerajaan untuk:

1.    Menarik balik pindaan Akta Pencegahan Jenayah yang telah diluluskan baru-baru ini dan menghormati prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang. Ini khususnya bagi peruntukan yang menyalahi prinsip keadilan dan kebebasan asasi.

2.    Menghormati dan mendengar pandangan rakyat dengan melakukan konsultasi, dialog dan rujukan dengan Majlis Peguam, Suhakam dan NGO dengan berhemat dan tidak tergesa-gesa sebelum melakukan apa-apa pindaan undang-undang terutama yang mengaitkan keselamatan dan ketenteraman awam.

3.  Mencegah jenayah dengan siasatan yang cekap, berintegriti dan profesional bukan dengan memberikan kuasa yang terlalu luas yang membolehkan berlakunya salahguna kuasa dan penyelewengan.

KDNK Kelantan tahun lepas 5.4 peratus

Aslani M, 08 Okt 2013
KOTA BHARU: Sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kelantan tahun lepas.

Biar pun ia menurun tahun lepas kepada 5.4 peratus berbanding 6.5 peratus tahun 2011, namun statistik Jabatan Perangkaan Malaysia masih meletakkan negeri di kedudukan tinggi.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, sektor perkhidmatan menyumbang lebih 80 peratus KDNK Kelantan kebelakangan ini.

Menjawab soalan Azami Md Nor (PAS-Kadok) katanya, kadar KDNK Kelantan pada 2010 sebanyak 4.1 peratus.

Oleh itu beliau berkata, usaha-usaha dilakukan bagi memastikan kadar KDNK tersebut terus dipertahankan termasuk mempergiatkan sektor pelancongan dan pembinaan.

“Pelancongan juga mampu memberi sumbangan besar kepada KDNK Kelantan di samping mengekalkan pencapaian dalam sektor perkhidmatan.

“Melalui pelbagai usaha tersebut diharap kita dapat mempertahankan pencapaian KDNK negeri ini pada tahun-tahun akan datang,” katanya di persidangan Dun hari ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah pula memberitahu jumlah penduduk Kelantan berdasar kepada perangkaan rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2012 ialah 1.639 juta orang.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 875,532 orang atau 53.42 peratus tinggal di kawasan luar bandar.

“Manakala kepadatan penduduk ialah padar kadar 102 orang bagi setiap satu km persegi,” katanya menjawab soalan Abdul Azziz Kadir (PAS-Jelawat).

Menjawab soalan tambahan Wan Ubaidah Omar (PAS-Kijang) Mohd Amar berkata, berdasar kajian dilakukan sebuah syarikat, Kelantan dan Perlis merupakan lokasi terbaik bagi pembangunan industri solar.

Menurutnya berdasar kepada maklumat syarikat berkenaan kadar radiasi solat di Kelantan dan Perlis dianggap terbaik di dunia.

“Syarikat terbabit sedang menyiapkan kertas cadangan bagi membangunkan industri berkenaan di kawasan hulu di Kelantan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Seranta, Datuk Nasuruddin Daud berkata, kadar elaun yang dibayar kepada petugas masjid mukim di negeri ini dianggap sudah memadai.

Katanya, imam tua dibayar elaun RM950 sebulan, imam muda (RM800), bilal dan siak masing-masing RM550.

Bagaimanapun ketika menjawab soalan Mohd Huzaimy Che Husin (PAS-Perupok) katanya, sehingga akhir September lalu bilangan kekosongan jawatan imam tua di Kelantan sebanyak 51 dan imam muda (174).

Tiada ulasan: