Selasa, 1 Januari 2013

JIKA MEREKA MENANG DAN MEREKA ITU PULAK KALAH...ITU SEMUA TAKDIR...MAKA KENA REDALAH...KERANA NEGARA BUKAN SAPE 2 PUNYA....SEMUA MILIK ALLAH

Jakim jangan melatah lah!

Dr Dzulkefly Ahmad, 31 Dis 2012
1. Amat mengejutkan mengapa tiba-tiba Jakim saja bangkitkan hal 'Amanat Haji Hadi'. Mengigau ke Jakim ni?

2. Tak perlu orang macam saya pulak kena peringat orang dalam Jakim termasuk menteri agamanya..bahawa "Al-Ijtihad La Yanqudhu bi al-Ijtihad"..Sesuatu Ijtihad tidak boleh terbatal atau dipadam dengan ijtihad yang lain. Sifat ijtihad ialah 'Maudhu'iy' dan 'Waqi'iy'.. dihasilkan di dalam sesuatu realiti sosio-politik dan kehendak-tuntutan zaman (masa) dan makan (tempat).

3. Lantas menyuruh sesuatu itu ditarik balik adalah menafikan wujud sesuatu realiti dan kehendak yang menuntut 'amanat' itu diterbitkan sedemikian sifat tiga dekad yang lalu!

4. Samalah seperti tidak menyelami perhitungan mengapa wujudnya perbezaan Qaul Qadim (Ijtihad Lama) dan Qaul Jadid (Baru) Imam As Syafi'e di zaman Baghdad dan Mesir atas qadhiah atau maudhu (subjek-kes) yang sama.

5. Wajar bagi Jakim menumpu tugas-salahiyat utamanya mengurus penayaan Islam sekaligus nendepani kebejatan agama-moral ummat akibat pegangan agama secara longgar dan sesetengahnya emosi-jahil-ekstreme-melulu tanpa memahami Maqasid serta Tujuan di sebalik Syariat Islam.

6. Jakim mesti mengekalkan sifatnya yang tidak berpihak dan tidak jugak gelojoh menjatuhkan hukuman terhadap sesuatu atas desakan penguasa politik kalau tidak mahu terus kehilangan wibawa dan integriti.

7. Sebaiknya Jakim mewujudkan wacana ilmiah dan menghimpunkan seluruh tenaga ilmuan agama pelbagai bidang bagi memahami dan mendamaikan qadhiyyah atau isu secara tuntas dan bertanggungjawab. Jakim tidak wajar menjadi alat penguasa politik dalam memudaratkan kemurnian fahaman Islam dan hubungan baik antara agama.

8. Tuan Guru Haji Hadi tentunya mesti diundang sama membentang mengapa beliau terpanggil untuk menerbitkan 'Amanat' setegas dan sekeras itu bagi nenangani waqi' dan realiti ummat yang dilingkungi pemikiran penguasa politik dengan kebejatan fahaman sekularisme 'politik suku agama suku' dan pengkesampingan Islam dalam tadbir-urus serta pemerintahan negara.

9. Meskipun merujuk kepada sebuah parti Melayu yang dibincangkan ketika itu, namun Tuan Guru Haji Hadi tidak sebut pun nama parti itu dalam apa yang dikatakan amanatnya itu.

PAS arah jentera bantu mangsa banjir

Harakahdaily, 31 Dis 2012

KUALA LUMPUR: PAS menyeru semua jenteranya dan orang ramai memberikan bantuan kepada mangsa banjir kerana masalah mereka belum selesai dengan surutnya air banjir ini.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP), Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata,   walaupun ramai yang telah dapat pulang ke rumah masing-masing, cabaran  yang bakal dihadapi  pasca banjir seperti memperbaikii kerosakan rumah dan menggantikan barangan serta peralatan rumah yang rosak sudah tentu menuntut perbelanjaan yang banyak.

Tambahan pula bagi keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, semua persediaan peralatan dan buku sekolah juga mungkin sudah tidak dapat dipakai langsung.

Mengikut anggaran yang diberi oleh pihak kerajaan dan media jumlah mangsa yang terpaksa dipindahkan sudah melebihi daripada 6,000 orang dan mungkin akan mencecah 7,000 orang.

Walaupun ada pelbagai pihak telah memberi sumbangan melalui NGO dan sebagainya, Dr Siti Mariah meminta ahli PAS khasnya untuk menyumbang melalui Dana Kami Prihatin, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat supaya bantuan  dapat disalurkan dan diagihkan kepada mangsa melalui petugas-petugas parti dinegeri-negeri yang terlibat.

Ini juga dapat memastikan pengagihan yang lebih merata dapat dilakukan oleh PAS kawasan atau DUN dan tidak tertumpu kepada tempat-tempat tertentu sahaja.

Dengan cara ini juga ahli-ahli dapat menyumbang kepada amal jamaie yang dipelopori PAS.
Laporan yang diterima beliau memberitahu, ada kampung atau tempat yang tidak mencukupi dana untuk turut membantu mangsa banjir.


(Presiden PAS turut turun padang bagi membantu mangsa banjir)

Sumbangan wang tunai / cash diperlukan untuk memberi bantuan anak-anak  memulakan persekolahan, untuk membaiki rumah dan juga membayar pendahuluan pembelian bahan-bahan makanan  yang telah dibekalkan kepada mangsa semasa banjir melanda.

LKKPP menyarankan setiap keluarga ahli PAS menyumbang untuk membantu pembelian peralatan atau pakaian sekolah untuk satu orang anak mangsa yang dianggarkan dalam RM100 seorang.

Sumbangan-sumbangan lain berbentuk beras, gula dan lain-lain juga diterima dan dihantarkan ke pusat pengumpulan sementara LKKPP  di Pusat Khidmat Masyarakat (DUN Lembah Jaya) di No 47, Jalan Dagang, Taman Dagang Jaya, Ampang atau hubungi Pn Hjh Rohainah (013 3407441).
Sumbangan kewangan boleh dimasukkan terus ke DANA KAMI PRIHATIN, BANK ISLAM 1211 3010 0261 50.

Dr Siti Mariah memohon kerjasama semua LKKPP Kawasan untuk menggerakkan kutipan sumbangan ahli dan penyokong PAS dan sumbangan tersebut dimasukkan terus ke akaun Dana Kami Prihatin dan seterusnya menghantar mesej kepada nombor 019 2361889 (Pengerusi) atau 0193575857 (Bendahari) untuk memaklumkan kemasukan deposit dan seterusnya untuk pengeluaran resit resmi dari LKKPP.

"Kepada yang telah menghulurkan sumbangan LKKPP, bagi pihak PAS  mengucapkan jazakallah hukhairan kathira," katanya.

Pakatan yakin dapat 35 dari 60 kerusi Dun Sabah

Muhammad Faizal, 31 Dis 2012

(Lajim ketika bercakap dengan Harakahdaily semalam)

KOTA KINABALU: Pakatan Rakyat Sabah yakin dapat menawan 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah pada Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Lajim Ukin berkeyakinan penuh selain dari 35 kerusi Dun, Pakatan Rakyat juga turut dapat memenangi 15 kerusi Parlimen di negeri itu.

"Saya berkeyakinan pada PRU13 nanti kita (Pakatan Rakyat) dapat memenangi 32 hingga 35 kerusi Dun dari 60 kerusi yang dipertandingkan dan membolehkan kita mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

"Selain itu juga 15 kerusi parlimen akan turut kita perolehi bagi membantu Pakatan Rakyat menawan Putrajaya," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Lajim yang dalam pada itu turut mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang masih mengganggapkan Sabah sebagai 'fixed deposit' mereka pada pilihanraya nanti.

Malah jelas Lajim lagi, jika Najib yang masih berkeyakinan kenapa sehingga sekarang beliau masih belum yakin untuk membubar parlimen dan memberi laluan kepada PRU13.

"Ketika saya di dalam Majlis Tertinggi Umno sebelum ini, ada agensi melaporkan kedudukan Umno-BN di sabah adalah 52 peratus memihak kepada mereka, manakala 48 peratus pula kepada Pakatan Rakyat.

"Tetapi maklumat tersebut bercanggah dengan  apa yang disalurkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan juga Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang menyatakan Barisan Nasional akan kalah di Sabah," katanya.

Tambah beliau atas sebab percanggahan maklumat itulah menyebabkan Najib dan juga pemimpin tertinggi Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri terpaksa berulang-alik ke Sabah untuk mencari undi mereka.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) juga memberitahu tiada sebab untuk rakyat Sabah menolak Pakatan Rakyat pada PRU13 nanti.

Ini kerana Pakatan Rakyat yang mendahului Barisan Nasional dalam mendengari masalah dan penderitaan rakyat Sabah sebelum ini terutamanya dalam pemberian 20 peratus royalti minyak kepada Sabah dalam usaha meningkatkan kebajikan rakyat.

Kg Padang Bual hadapi 'banjir buatan manusia'

Harakahdaily, 31 Dis 2012


(Adram, Exco Pemuda PAS, menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir)

BESUT: Penduduk Kampung Padang Bual, Besut mendakwa, mereka menghadapi banjir tahun ini yang tidak pernah berlaku dalam sejarah kampung mereka kerana ia adalah 'banjir buatan manusia'.

Inilah yang diberitahu kepada rombongan lima Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang turun padang membantu mangsa banjir kali ini.

Pada 29 Disember 2013 Dewan Pemuda PAS Malaysia menghantar satu rombongan yang diketuai oleh setiausahanya Saudara khairul Faizi Ahmad Kamil bagi menghantar bantuan kepada mangsa banjir.

Rombongan ini juga disertai oleh Bendahari DPPM Ir. Haji Khairil Nizam, Ketua Lajnah kebajikan DPPM Adram Musa, Pengarah Jabatan Penerangan dan Media Baru Nurul Islam Mohamed Yusoff dan Pengarah IPS Syahir Sulaiman.

(Empangan ini didawa punca kepada banjir di Kg Bual)

Setibanya di Besut daerah pertama yang dilawati, PAS Besut membawa rombongan ini melawat Kampung Padang Bual.

Kampung yang tidak pernah dilanda banjir ini dikatakan telah dilanda banjir "buatan manusia" apabila penduduk kampung mengatakan sebuah empangan yang masih dalam pembinaan berdekatan kampung mereka dipecahkan kerana gagal menampung air dan hampir pecah.

Di kampung ini seramai 230 rumah terlibat dengan banjir 'buatan manusia' dan kerugian dianggarkan RM5000 - RM10000 setiap rumah dan RM20000 - RM 30000 setiap premis perniagaan.

Ketika menyalurkan bantuan rata-rata penduduk melahirkan kekecewaan terhadap kerajaan negeri dan agensi agensinya yang dilihat tidak bersedia dalam menghadapi musim banjir kali ini.

Sebanyak RM5000 kepada Unit Amal dan barangan keperluan kepada mangsa banjir telah diserahkan pada hari tersebut oleh rombongan ini.

Projek Pembangunan Empangan Paya Peda ini terletak di daerah Besut kira-kira 17 kilometer dari Bandar Jerteh.


(Papan tanda projek empangan yang menimbulkan masalah kepada penduduk kampung)

Dewan Pemuda PAS Malaysia diberitahu bahawa Jaks Resources Berhad diamanahkan untuk menyiapkan projek ini dengan kerjasama Pembinaan Sujaman Sdn Bhd bermula 19 November 2009 dan dijangka siap pada Julai 2013.

Projek ini mendapat peruntukkan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia sebanyak RM333 juta bagi membiayai projek tersebut. Akan tetapi, catatan CIDB menunjukkan nilai sebenar projek hanyalah RM166,549,799.42.

Pada 25 Disember, Sinar Harian melaporkan ‘Benteng Empangan Paya Peda terpaksa dipecah’. Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said membuat kenyataan bahawa empangan terpaksa dipecahkan demi mengurangkan risiko tekanan.

Akibatnya sejumlah 1000 penduduk dipindah ke pusat pemindahan banjir(sesetengah akhbar melaporkan lebih kurang 2000 penduduk terlibat (230 buah rumah).

Kemaman

Keesokan harinya rombongan DPPM dibawa ke Kampung Pasir Raja, Kemaman untuk menziarahi mangsa banjir disana.

(Jambatan ini putus akibat dari arus air yang deras semasa banjir baru-baru ini)

Seramai 250 buah keluarga menjadi mangsa kali ini.

"Di sini juga kami dapati keluhan sama diluahkan mangsa banjir. Bagaimana agensi kerajaan tidak bersedia menghadapi musim banjir kali ini," kata Mohd Adram Musa,
Ketua Lajnah kebajikan DPPM.

Penduduk juga mengucapkan terima kasih kepada Unit Amal Terengganu yang cepat dalam menghulurkan bantuan dan melaksanakan kerja kerja pemindahan sebelum agensi kerajaan tiba.

Pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menyerahkan sumbangan RM10000 dan barangan keperluan harian kepada pihak PAS KAWASAN Kemaman untuk diserahkan kepada mangsa banjir.

Dewan Pemuda PAS Malaysia juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyumbang Tabung Kemanusiaan Pemuda dan ingin merayu sumbangan tambahan dimana sumbangan ini akan digunakan untuk kerja kerja kemanusiaan dalam dan luar negara.

PAS sedia runding semula kerusi di Sabah

Muhammad Faizal, 31 Dis 2012

(Lajim dan Aminudin Aling dalam sidang media semalam)


KOTA KINABALU: PAS Sabah bersedia berunding semula dalam pembahagian kerusi bagi menghadapi piliharaya umum ke 13 nanti demi kebaikan rakyat di Sabah.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminudin Aling memberitahu, PAS sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan PKR dan DAP serta telah mendapat keputusan kedudukan kerusi bagi parti masing-masing.

Namun tambah beliau lagi, apabila terdapat pengumuman baru mengenai kemasukan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) dan Angkatan Perpaduan Sabah (APS) dalam Pakatan Rakyat di Sabah, maka sekretariat Pakatan peringkat negeri akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan kedudukan kerusi.

"Kita dari awal lagi sudah mengadakan perbincangan dengan parti utama dalam Pakatan Rakyat dan persetujuan telah diperolehi bagi kedudukan kerusi di negeri ini.

"Bila ada pengumuman terbaru mengenai kemasukan PPPS dan APS dalam Pakatan Rakyat maka kita akan mengadakan pertemuan dengan segera bagi memdapat keputusan tentang kedudukan kerusi," jelasnya pada sidang media selepas masjis Pelancaran PPPS di Kota Kinabalu semalam.

Tambah beliau lagi, perkara tersebut telah pun dimaklumkan kepada Pengerusi PKR Sabah, Ahmad Thamrin Jaini bagi mencari waktu yang sesuai untuk perbincangan.

"Keputusan berapa kerusi yang kita bertanding itu biarlah diputuskan oleh pucuk pimpinan utama PAS dan Pakatan Rakyat.

"Kita (PAS) bersedia mengurangkan kerusi bagi memberi laluan kepada dua parti baru, niat kita bukan sekadar untuk bertanding tetapi kita mahu Pakatan memenangi pilihanraya nanti sekaligus dapat membentuk kerajaan di Sabah mahupun di Putrajaya," tambah beliau lagi.

Sementara itu, Datuk Seri Lajim Ukin menjadi calon pertama Pakatan yang diumumkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Parlimen Beaufort.

Anwar turut menyatakan jumlah kedudukan kerusi hanya akan diumumkan apabila keputusan diperolehi melalui perbincangan di peringkat tertinggi parti.

Malah katanya lagi, kesemua parti di dalam Pakatan Rakyat mempunyai kesefahaman dan sentiasa bertolak ansur dalam rundingan tersebut.

"Saya tidak ada apa-apa masalah dengan APS, PAS mahupun DAP. Kita hanya bertanding di kawasan majoriti Islam dan perbincangan dilakukan bersama PAS.

"Manakala bagi kawasan yang bukan majoriti Islam perkara itu antara PKR dan APS, itu persetujuan yang telah kita capai sebelum ini," kata beliau.

Lajim menambah, Pakatan Rakyat Sabah telah mendapat keputusan yang positif dan jelasnya lagi matlamat utama hanya untuk pembentukan kerajaan baru dan juga kebaikan seluruh rakyat Sabah.

PAS cadang henti pecah pengundi ikut kaum

Harakahdaily, 31 Dis 2012
KUALA LUMPUR: PAS hari ini mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak lagi memecahkan pengundi sesuatu kawasan mengikut komposisi kaum semata-mata.

“Cukuplah rakyat dan negara ini di’pakai’kan cermin mata berdasarkan pecahan kaum – Malaysia boleh bergerak ke arah lebih makmur dan berpadu sekiranya kita memakai kacamata yang lebih menjurus ke arah perpaduan,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata sedemikian sebagai cadangan tambahan kepada cadangan bekas Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman agar daftar pemilih disediakan setiap tiga tahun sekali apabila pilihan raya umum baru menjelang tiba.

Beliau berkata pecahan pengundi mengikut kaum semata-mata selama lima dekad telah mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada perpaduan kaum di dalam negara kerana seluruh rakyat Malaysia, kerajaan dan terutamanya ahli-ahli politik akan berbicara segala permasalahan negara daripada sudut kaum semata-mata seperti yang sedang berlaku pada waktu ini.

“Pecahan pengundi mengikut kaum dibuat SPR selama ini juga dipercayai dibuat mengikut selera dan pecahan parti komponen BN, yang semuanya terdiri daripada parti berdasarkan kaum untuk memudahkan setiap parti komponen untuk menjaga undi kaum masing-masing,” tambah beliau.

Sudah tiba masanya, kata beliau, perkara ini dirombak dengan SPR mengeluarkan pecahan pengundi mengikut usia mahupun jantina sebagai data rasmi yang disalurkan kepada media dan rakyat.

Data yang dipecahkan mengikut kaum tidak perlu dikeluarkan secara khusus melainkan ada keperluan, tegas Tuan Ibrahim (gambar).

“Jika pecahan pengundi dilakukan mengikut usia sebagai contoh:

21-34 tahun: 35%

35-50 tahun: 40%

50-60 tahun: 15%

60 tahun ke atas: 10%


"Berdasarkan data-data sedemikian, parti-parti dan ahli-ahli politik akan berbicara mengenai keperluan masyarakat mengikut usia, dan secara automatik isu-isu yang dibangkitkan akan meliputi semua kaum,” terang Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Bekas Adun Jengka ini juga berhujah bahawa cara sedemikian boleh mengurangkan risiko berlakunya keadaan masa kini di mana ada pihak-pihak yang sengaja menggunakan sentimen agama dan bangsa untuk meraih undi dan melaga-lagakan kaum demi mendapat keuntungan politik murahan.

Tuan Ibrahim juga berpendapat bahawa pecahan undi mengikut perspektif jantina juga boleh mengurangkan risiko ahli politik menggunakan isu perkauman dan agama untuk merai undi.

"Sambil SPR membersihkan daftar pengundi, pecahan pengundi baru mengikut usia boleh dilaksanakan kerana ia tidak susah kerana segala maklumat sudah ada pada kad pengenalan pengundi,” terangnya lagi.

Selain itu, Tuan Ibrahim berkata PAS juga mencadangakan agar sistem pilihanraya dirombak untuk memastikan pembangkang sentiasa wujud dan efektif untuk manfaat rakyat dengan kerajaan menyediakan satu dana bagi parti-parti politik yang bertanding.

“Kaedah ini diguna di beberapa buah negara bagi mengelak parti tersebut mendapat dana dari pelbagai pihak dalaman dan luaran, sehingga menyebabkan parti akan 'terhutang budi' dengan penyumbang tersebut.

Peruntukan kewangan boleh ditentu berdasarkan undi popular yang diterima semasa pilihanraya umum.

"Harus diingat persaingan politik menyebabkan rakyat akan lebih mendapat perhatian daripada parti pemerintah, dan komentar lebih baik dari parti  pembangkang,” hujah beliau.

Selain itu, katanya, PAS juga mencadangkan agar sistem pilihanraya dirombak mengikut peratusan undi yang diperolehi oleh setiap parti.

Jumlah peratusan undi akan mewakili parti tersebut di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Kaedah ini ternyata lebih adil bagi parti yang bertanding, di mana jumlah kerusi parlimen dan DUN adalah berdasarkan peratus undi popular yang diterima keseluruhannya, kata Tuan Ibrahim.

“Ini mengelakkan manipulasi persempadanan semula yang memboleh parti pemerintah terus memerintah walaupun tewas undi popular di seluruh negara kerana kerusi-kerusi strategik dengan jumlah pengundi yang rendah dimenangi dengan banyak,” tambah beliau lagi.

YDP majlis agama bersama sambut tahun baru

Mohd Sabri Said, 31 Dis 2012
BUTTERWORTH: Buat pertama kalinya Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (YDP MAIPP) diundang khas untuk bersantai bersama rakyat ketika sambutan tahun baru 2013 di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam, Butterworth pada malam 31 Disember 2012 malam ini.

Demikian kata pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Generasi Pewaris MAIPP, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamuden kepada Harakahdaily.

Menurutnya, kehadiran YDP MAIPP, Datuk Saleh Man sekitar pukul 11.00 malam ini semata-mata untuk mendekatkan MAIPP dengan orang ramai di samping menyampaikan sedikit ucapan sebagai buah tangan setelah dilantik menerajui MAIPP baru-baru ini.

"Kita buat kelainan terhadap sambutan tahun baru 2013 dengan menampilkan buat pertama kalinya YDP MAIPP, Datuk Saleh Man (gambar kanan) ketengah kemeriahan rakyat menunggu detik jam 12.00 tengah malam menandakan tibanya tahun baru 2013.  Kehadiran Datuk Saleh tidak disia-siakan sebaliknya memberikan sedikit ucapan kepada rakyat yang ada di tempat berkenaan," ujarnya yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang.

Antara pengisian program di malam berkenaan ialah konvoi motosikal berkuasa tinggi dan ARC yang berkumpul jam 8.00 malam di Masjid Permatang Janggus, Permatang Pauh, Persembahan Qasidah, slot H.E.M.O.I Anak Muda, edaran risalah, count down 2013, tayangan multimedia, solat berjemaah, kaunter pendaftaran PEWARIS dan sebagainya.

Program yang dinamakan Operasi Sayangi Masyarakat itu dilaksanakan dengan kerjasama 11 buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Pulau Pinang.

Ianya bertujuan menyedarkan masyarakat tentang kedatangan tahun baru di samping berusaha mengerakkan dakwah  dalam bentuk santai sesuai dengan kehendak remaja masa kini.

"Kita akan buat yang terbaik malam itu Insya Allah.., " katanya bersemangat.

Bertam: Apakah rakyat Terengganu terlalu naif?

Pendapat Dr. Syed Azman Syed Ahmad, 31 Dis 2012
Isu  kawasan medan minyak yang baru di temui di Blok PM 307 Bertam kini sedang menjadi pertikaian hebat antara kerajaan negeri Terengganu dan kerajaan Pahang.

Setakat ini, belum ada apa-apa kenyataan resmi yang dikeluarkan oleh pihak Petronas bagi menjelaskan kedudukan sebenar kawasan telaga minyak Bertam itu, samaada ia benar-benar berada didalam perairan negeri Pahang atau Terengganu.

Sementara itu, Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dalam titahnya berhubung kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, mengenai status kawasan minyak itu, baginda telah meminta semua pihak supaya menghormati keputusan kerajaan berkaitan hak milik kawasan minyak Bertam.

Baginda tidak mahu perkara itu diperbesarkan kerana kawasan telaga minyak itu sudahpun diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi milik Pahang;

“Tak apalah, semuanya sudah diputuskan oleh Perdana Menteri sendiri dan beta juga telah dimaklumkan mengenai perkara itu pada Hari Keputeraan beta baru-baru ini. Apa pun, rakyat Pahang perlu bersyukur kepada Allah SWT dengan kurniaan itu”.

Namun kini timbul persoalan besar, apabila syarikat Lundin Oil yang merupakan syarikat carigali bagi melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan Bertam dengan kerjasama Petronas Carigali membuat 'pengesahan'.

Syarikat  yang berpangkalan di Sweden itu telah mengesahkan ‘secara bertulis’ kepada kerajaan Terengganu bahawa penemuan telaga minyak baru itu adalah terletak di kawasan perairan Terengganu.

Negeri Terengganu juga dijangka akan memperoleh royalti tambahan sebanyak RM100 juta setahun atau pertambahan sebanyak lima peratus.

Di sini timbul persoalan besar, soal perlembagaan negara dan kedaulatan sesebuah negeri yang berada dibawah sistem Federalisma sepertimana yang wujud dinegara kita.

Hak dan kepentingan negeri Terengganu yang berdaulat semestinya tidak boleh dinafikan dengan sewenang-wenangnya kerana ia mempunyai implikasi yang amat besar terhadap perlembagaan negara.

Sebarang tindakan yang bertentangan dengan perlembagaan sudah pasti akan menghilangkan keyakinan rakyat Terengganu terhadap sistem pemerintahan serta kredibiliti pemimpin negara.

Ini ditambah lagi dengan kedudukan Terengganu sekarang ini ‚terumbang-ambing‘ dan dinafikan hak “royalti minyak“ oleh Kerajaan Persekutuan sejak lebih dua-belas tahun yang lalu.

Sumber hasil minyak dan gas yang terdapat di perairan Terengganu hanya di salurkan melalui ‘Dana Khas‘  dengan ‘mengehsankan’ royalti minyak Terengganu di bawah Dana Khas Persekutuan.

Tindakan ini jelas bertentangan dengan semangat Federalisma serta menzalimi rakyat Terengganu yang majoritinya Melayu dan beragama Islam.

Jika  dilihat dari sudut perlembagaan negara dan semangat Federalisma, timbul pula persoalan perjanjian asal ‘Perjanjian Petroleum 1974’  diantara kerajaan-kerajaan negeri dengan Petronas yang ditandatangani pada tahun 1975.

Perjanjian ini jelas menjamin hak royalti sebanyak 5 peratus kepada negeri-negeri yang ditemui hasil minyak dan gas di perairan sempadan negeri masing-masing.

Apakah segala perjanjian yang termeterai ini kini boleh dicabul dengan begitu mudah oleh kerajaan Persekutuan tanpa menghormati mana-mana kerajaan negeri yang berpegang kepada semangat Federalisma?

Apakah kedudukan negeri Terengganu sekarang ini boleh dianggap sebagai sebuah negeri yang ‘tidak berdaulat’ kerana setiap perjanjian antara negeri dan Persekutuan dengan begitu mudah boleh di cabuli?

Dan apakah Perdana Menteri sekarang ini mempunyai ‘Kuasa Mutlak’ sehinggakan tidak perlu lagi menghormati semangat Federalisma yang menjadi tunjang bagi mengikat setiap negeri termasuk Terengganu di bawah sistem Persekutuan?

Sudah cukup dengan ‘royalti minyak’ Terengganu yang ‘diehsankan’. Lihat sahajalah bagaimana rakusnya dan tidak beramanahnya ia dibelanjakan dengan semewah-mewahnya oleh ‘penyangak-penyangak politik’ yang berkepentingan.

Berapa banyak wang rakyat yang di bazirkan dengan projek Monsoon Cup, projek Stadium yang runtuh, pojek bebas cukai di Kenyir, projek lebuhraya LPT 2 yang kesemuanya menelan belanja berbilion ringgit hasil dari royalti minyak’ Terengganu yang ‘diehsankan’?

Apakah rakyat Terengganu yang terkenal dengan sifat kesantunannya yang tinggi kini dilihat terlalu lemah sehingga tidak mampu lagi mempertahankan maruah mereka sendiri walaupun jelas hak rakyat dan kedaulatan negeri Terengganu kini sedang tercabar hebat?

Dan dimanakan pula maruah dan harga diri kepimpinan Menteri Besar dan kepimpinan kerajaan negeri sekarang ini yang dilihat oleh kalangan rakyat sebagai ‘boneka‘ dan ‘kuda tunggangan‘ yang tidak berani mempertahankan hak dan kedaulatan negeri Terengganu?

Ya, maruah dan hak negeri ‘Darul Iman’ ini mesti dipertahankan oleh setiap rakyat tanpa mengira fahaman politik dan agama; negeri Terengganu adalah negeri yang berdaulat, negeri yang berpayung dibawah Tuanku Al-Sultan, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud.

Justeru itu, hak Bertam dan royalti minyak mesti dipertahankan..



* Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS yang juga Adun Batu Burok, Terengganu. Email: syedazmans@yahoo.co.uk, Twitter; @syedazman

Isu Deepak, Kementerian Pertahanan dan LTAT pula menjadi hangat

Aspan Alias, 30 Dis 2012
Pilihan raya semakin hampir. Najib dan kumpulannya dalam UMNO sedang berperang menutup keterlaluan perbuatan dan Deepak sedang menjadi orang yang sedang menggemparkan negara sekarang ini. Isu Altantuya dan Scorpene kini merebak kepada isu bagaimana Kementerian Pertahanan, LTAT dan Raja Ropiah telah diketahui umum. Semua pihak yang bergaduh akan mendapat habuan, jika dicampur-campurkan ia melibatkan ratusan jutaan ringgit.

Dalam isu yang terkini, bekas anggota tentera yang jumlahnya ratusan ribu orang pula yang menyelamatkan mereka (pemimpin) padahal mereka melakukan jenayah dan salah laku ekonomi ini. Sesungguhnya isu sekarang terbukti, jika melakukan konspirasi kerja kotor dan jenayah akhirnya ia akan terbongkar juga dan rakyatlah yang menjadi mangsa di atas salah laku mereka itu. UMNO dan BN tidak habis-habis dan serik dengan perlakuan kotor yang bersifat jenayah ini.

LTAT dikaitkan dengan isu ini apabila koperasi untuk bekas anggota tentera ini diminta untuk membeli 80 peratus saham syarikat Astacanggih yang dipunyai oleh Deepak dan syarikat-syarikat kepunyaan Deepak. Kerana apa ini berlaku? sedangkan syarikat ini tidak mempunyai nilai walaupun satu sen! Syarikat yang mempunyai liabiliti sebegitu besar dibeli dengan harga yang tinggi? Astacanggih Sdn Bhd mempunyai hutang dengan Kuwaiti Finance House sebanyak RM90 juta. Jawapannya mudah: ia adalah cara untuk menutup mulut Deepak yang sangat merbahaya bagi Perdana Menteri suami isteri.

Satu persoalan yang perlu dijawab oleh ramai terutamanya kepada penyokong-penyokong membabi buta UMNO di seluruh negara ini ialah, apakah yang mereka dapat untuk bergaduh-gaduh dengan penyokong Pakatan Rakyat sehinggakan mengganggu kegiatan Pakatan Rakyat di mana-mana? Kita semua tidak sepatutnya bergaduh dan sebaliknya kita semua sepatutnya bersatu menentang segala kemungkaran politik dan ekonomi yang dilakukan oleh pimpinan-pimpinan tertinggi parti UMNO itu.

Mereka bergaduh mendapat hasil yang berpuluh-puluh juta ringgit malahan sampai ratusan juta. Yang di bawah ini bergaduh-gaduh itu apa yang mereka dapat? Itulah sebabnya kita meminta semua rakyat khususnya orang Melayu bersatu di luar UMNO kerana sekarang sahajalah masanya untuk melakukan pembaharuan dan pembersihan terhadap kekotoran yang dilakukan oleh UMNO itu.

Kita mesti juga persoalkan kenapa Muhyiddin dan kumpulannya hanya berdiam diri dalam isu Deepak dengan syarikat Astacanggihnya itu? Sebabnya kumpulan ini ada agenda tersendiri dalam UMNO itu. Kalau hendak tahu cerita sebenarnya tanya Dr Mahathir kerana beliau adalah orang yang berpengalaman memporak-perandakan UMNO itu yang akhirnya mendapat kepentingan peribadi dan keluarga beliau.

Kita sebut satu persatu. Hari ini kita sebut tentang Astacanggih, besok lusa kita cerita pasal tanah Kementerian Pertahanan yang dua ratus ekar pula jika umur saya sampai sehingga besok lusa.

Tetapi dalam pada itu kita harus bertanya kepada diri kita sendiri. ‘yang kita bergaduh sesama kariah dan mukim ini kenapa?’ Kita bersatu sahaja di luar UMNO itu. Selagi UMNO mendapat kuasa, selagi itulah kejahatan ini tidak akan berhenti. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Siasat siapa paksa LTAT beli syarikat Deepak

Abdul Aziz Mustafa, 30 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Satu siasatan menyeluruh mesti dibuat untuk mengenal pasti siapa yang memaksa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) membeli syarikat milik Deepak Jaikishan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.


"Bukan sahaja mesti dibuat siasatan menyeluruh untuk mengenalpasti siapa paksa Deepak jual syarikatnya, Astacanggih Sdn Bhd, tetapi lebih dari itu, mesti juga disiasat siapa yang memaksa LTAT membeli 80 peratus saham syarikat Deepak itu.

"Siasatan juga mesti dibuat bagaimana kedua-dua pihak dipaksa termasuk sejauh mana ia melibatkan penyalahgunaan kuasa mana-mana pemimpin negara," kata beliau.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Deepak yang membuat pelbagai pendedahan yang dilihat akan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui beliau dipaksa menjual syarikatnya itu kepada sebuah agensi di bawah Kementerian Pertahanan.

Deepak berkata, penjualan syarikat tersebut hanya untuk menampung wang yang telah dibelanjakannya dalam urus niaga tanah dengan Awan Megah Sdn Bhd yang tidak menjadi.

"Ianya benar bahawa saya dan pemegang saham saya telah menjual saham kami dalam Astacanggih untuk RM30 juta yang merupakan harga kos sebenar kami RM13 juta untuk Raja Ropiaah, RM8 juta untuk sumbangan politik, RM7 juta kos kewangan dan RM2 juta untuk kos guaman dan pelbagai kos.

"Ini adalah kata dua yang telah dipaksa ke atas kami," Malaysiakini memetik beliau.

Mahfuz mempersoalkan, adakah paksaan ke atas Deepak sama seperti paksaan ke atas penyiasat persendirian, P Balasubramaniam untuk membuat akuan bersumpah (SD) kedua bagi membatalkan SD beliau yang pertama yang mengaitkan Najib dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Bagi Ahli Parlimen Pokok Sena itu, rakyat terutama tentera dan bekas tentera berhak untuk tahu semua yang berlaku dalam skandal itu terutama termasuk siapakah yang menerima sumbangan politik dari urusniaga itu.

"Ia tidaklah terlalu kompleks kepada rakyat untuk membuat kesimpulan bahawa kepentingan anggota tentera dan bekas tentera diperjudikan untuk menutup mulut Deepak yang membuat pelbagai pendedahan mengenai Najib termasuk pendedahan bagaimana pakatan dibuat untuk memaksa Bala menandatangani SD keduanya," kata beliau.

Urusniaga mengejut itu bukan sahaja melibatkan pembayaran RM30 juta untuk membeli 80 peratus saham terbitan Astacanggih malah ia juga melibatkan RM130 juta untuk membeli 200 ekar tanah dari Awan Megah.

"Bagaimana orang seperti (Ketua Wanita Umno Selangor, Datuk) Raja Ropiaah (Raja Abdullah) membuat pelbagai keuntungan dengan transaksi Astacanggih dan tanah 200 ekar tanah milik Kementerian Pertahanan yang masih belum lagi dipindahmilik kepada Awan Megah itu.

"Saman Deepak ke atasnya digugurkan dan duit pula dapat berpuluh juta.

"Yang peliknya keuntungan dibuat dengan transaksi jual beli tanah milik Kementerian Pertahanan dan kesemua ini mewajibkan satu siasatan menyeluruh dibuat," kata Mahfuz.

Jika rakyat tidak yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) berani dan bersedia membuat siasatan ke atas skandal tutup mulut Deepak itu, kerajaan baru mestilah dipilih untuk membongkar penganiayaan ke atas hasil titik peluh anggota tentera itu.

Selangor akan siasat tanah milik Raja Ropiah

Harakahdaily, 30 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor akan menyiasat bagaimana tanah yang dikatakan telah diberikan kepada syarikat Awan Megah Sdn Bhd yang mana pengarahnya adalah Ketua Wanita Umno Selangor, Senator Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah.

“Kerajaan Selangor sangat hairan bagaimana tanah yang telah digazetkan untuk kem tentera boleh diurusniaga secara komersil melainkan dengan arahan dan campur tangan pihak yang benar-benar berkuasa,” ujar Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin (gambar) dalam satu kenyataan.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

YAB Dato’ Menteri Besar Selangor memandang serius laporan susulan pendedahan oleh Deepak Jaikishan bahawa usaha sedang giat dilakukan untuk menjual lebih 200 ekar tanah milik Awan Megah Sdn Bhd bernilai RM130 juta kepada Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah yang dimiliki sepenuhnya oleh Boustead Holdings Berhad, milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Dato’ Menteri Besar yang kini berada di luar negara telah mengarahkan Pengarah Tanah dan Galian Selangor untuk memantau sebarang bentuk transaksi yang melibatkan hartanah-hartanah ini.

Semakan awal yang dilakukan, tanah-tanah di Bukit Raja tersebut telah diberi milik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan melalui proses pengambilan tanah pada tahun 1980-an bertujuan  sebagai tapak Kem 9 Briged.

Kerajaan Selangor juga akan menyiasat bagaimana tanah tersebut dikatakan telah diberikan kepada syarikat Awan Megah Sdn Bhd yang mana pengarahnya adalah Ketua Wanita Umno Selangor, Senator Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah.

Kerajaan Selangor sangat hairan bagaimana tanah yang telah digazetkan untuk kem tentera boleh diurusniaga secara komersil melainkan dengan arahan dan campurtangan pihak yang benar-benar berkuasa.

Kerajaan negeri juga akan meneliti sama ada benar telah berlaku proses jual beli tanah tersebut kepada Raja Ropiah pada harga RM7 kaki persegi atau RM72 juta yang akhirnya Raja Ropiah juga didakwa telah menjual sebahagian daripada tanah di Bukit Raja itu kepada syarikat lain dengan harga RM16 kaki persegi bagi mendapat untung atas angin. Kita akan melihat semula dokumen-dokumen yang berkaitan.

Sekiranya kita dapati berlaku perlanggaran prosedur dan urus niaga yang menyalahi peraturan sebelum 2008, kita tidak akan teragak-agak untuk menghentikan sebarang urus niaga yang melibatkan tanah tersebut sama ada urusan pindah milik atau penjualan yang sedang dirancang.

Semakan juga akan dilakukan terhadap semua permohonan pembangunan yang bercanggah dengan matlamat pengambilan tanah tersebut yang dilakukan seawal tahun 1980-an.

Kerajaan negeri berpandangan bahawa semua urus niaga ini perlu dipandang serius kerana melibatkan dana awam yang datangnya dari wang pencen anggota tentera.

Kerajaan Selangor tidak akan membenarkan niat UMNO untuk menyalahgunakan dana awam ini  bagi menyelamatkan pemimpin-pemimpin mereka yang menyalahguna kuasa demi kepentingan politik dan peribadi.

Nampaknya UMNO tidak serik dengan aib yang mereka hadapi setelah kehilangan dana awam RM250 juta menerusi projek NFC yang melibatkan pemimpin tertinggi mereka. Kini wujud pula pengkhianatan yang melibatkan bukan sahaja dana awam tetapi hartanah yang dikhususkan untuk Angkatan Tentera, juga oleh pimpinan kanan dan pemimpin wanita UMNO Selangor.

Selama ini Raja Ropiah cuba menonjolkan watak seorang pemimpin yang membela hak rakyat dengan sering hadir setiap kali ibu tunggal mengadakan perhimpunan menuntut hak dari kerajaan Selangor setelah dilantik sebagai Senator menggantikan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang pelantikannya tidak disambung semula. Rupa-rupanya beliau tidak jauh beza dengan mentornya.

Deepak mungkin mempunyai agendanya tersendiri tetapi apa yang lebih penting bagi rakyat Malaysia khususnya rakyat Selangor, pendedahan Deepak telah membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan barisan kabinetnya terlalu kotor dan bergelumang dengan skandal dan salah guna kuasa pada setiap peringkat.

Wajarkah kita beli buku Rosmah? Ini saranan Dr Asri..

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 30 Dis 2012

Awal Disember lalu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan menyempurnakan majlis memperkenal dan melancarkan buku biografi Datin Seri Rosmah Mansor di Hotel Grand Hyatt.

Buku setebal 164 muka surat itu dan berharga RM150 senaskhah ditulis oleh Siti Rohayah Attan dan Noraini Abdul Razak. Ia akan dilancarkan dan diedar untuk jualan bulan depan.

Dan menurut Tun Mahathir buku biografi Rosmah Mansor yang bakal berada di pasaran dalam waktu terdekat, merupakan wadah yang betul untuk beliau menangkis tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.

"Beliau (Rosmah) bukannya berprofil tinggi. Hanya orang-orang tertentu menjadikan beliau seorang individu berprofil tinggi dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan beliau berhak untuk menjawab.

"Walaupun beliau adalah isteri perdana menteri, ini tidak bermakna yang beliau perlu berdiam diri terhadap pelbagai tuduhan," kata Dr Mahathir.

Itu kata Mahathir yang perlu membodek Rosmah untuk memastikan nama anaknya kekal sebagai calon dalam PRU13 nanti..

Dan ini pula adalah pendapat atau saranan Dr. Maza yang dipetik dari laman Twitter miliknya..

Mapim saran jadikan 2013 ‘Tahun Rakyat’

Harakahdaily, 30 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru agar tahun 2013 dijadikan ‘Tahun Rakyat’.

Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, ini penting kerana bukan sahaja tahun ini rakyat  akan melalui Pilihan raya Umum ke-13, malah ia juga adalah detik perubahan untuk rakyat mengembalikan fikrah politik dan pembangunan negara yang lebih baik.

Malangnya, kata beliau media arus perdana menjadi pembentuk cara berfikir rakyat  yang sangat terkongkong, lebih parah lagi media yang mengguna wang rakyat diguna untuk merosakkan pemikiran rakyat.

Menurutnya, salah satu pemikiran negatif yang sedemikian lama dipupuk oleh media arus perdana ialah sikap hidup bergantung.

Jelas, ujarnya jika rakyat terus berfikir terbelenggu dalam pemikiran bahawa kerajaan adalah penentu segalanya, maka ciri rakyat yang matang tidak akan dapat direalisasikan.

Justeru, kata beliau rakyat harus berani keluar dari faham kewarganegaraan yang bergantung semuanya kepada kerajaan dan membiarkan kerajaan memaksakan rakyat patuh hanya kerana kerajaan menabur bantuan untuk mengikat kesetiaan rakyat.

“Kami menyeru agar rakyat tidak melepas peluang untuk menjadikan tahun 2013 sebagai tahun yang akan membawa lembaran baru dalam politik negara,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, rakyat patut menegaskan  azam yang kuat untuk membasmi segala penyelewengan yang telah sarat menjadi amalan dalam urus kelola pemerintahan.

Rakyat juga, ujar beliau perlu sedar bahawa kepimpinan yang bersih dan bertanggungjawab serta kuat berpegang kepada prinsip agama sangat diperlukan untuk menerajui pemerintahan negara.

Katanya, jika tahun 2013 masih melanjutkan kerajaan yang sarat dengan pemimpin yang menyalahguna kuasa, kuasa diguna untuk berlindung dari menghadapi pendakwaan akan meletakkan negara pada posisi yang pincang, tidak dihormati di kaca mata dunia.

“Jika tahun 2013 tidak menjadi tahun rakyat melonjakkan kuasanya untuk memperbetulkan kepincangan dalam negara ini, masa depan negara akan malap,” katanya.

Mohd Azmi menambah, Mapim menegaskan sistem demokrasi bukan sempurna, namun dengan ruang yang ada untuk rakyat menterjemahkan sikap menolak kerajaan yang mengkhianati rakyat dalam pilihan raya yang mendatang, maka rakyat tidak harus mengenepikan peluang ini untuk menunaikan tanggungjawabnya  memperbetulkan keadaan.
 
 

[Video] Ustaz Hadi sudah lama jawab isu kafir mengkafir

http://greenboc.blogspot.com, 30 Dis 2012

Ulama PAS hanya menerangkan tentang batas-batas iman dan kufur. UMNO terasa dan terus menuduh PAS mengkafirkan UMNO. Terbaik TG Haji Hadi.
 
 

Tiada ulasan: