Selasa, 29 Januari 2013

FIKIR SENDIRILAH

Nik Aziz: 'Kehilangan' Nasha bukan satu cabaran

29 Januari 2013
Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Pas tidak nampak cabaran yang akan dihadapinya jika bekas Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa meninggalkan parti itu dan menyokong parti politik lain.
 
"Sebagaimana orang bercerai laki bini, tidak apa yang mencabarnya jika sesuatu pasangan itu ditakdirkan berpisah," kata Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada pemberita ketika melawat pusat perusahaan madu lebah kelulut Min House Camp di Kampung Pulau, Kubang Kerian di sini, hari ini.
  
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan diminta mengulas kedudukan bekas pemimpin nombor dua Pas itu jika menyertai parti lain selepas Nasharuddin, yang juga anggota Parlimen Bachok, digugurkan daripada menganggotai Dewan Syura Ulama Pas.
  
Tindakan itu dipercayai diambil selepas Nasharuddin pulang daripada mengikuti rombongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza baru-baru ini.
  
Semalam, dilaporkan Nasharuddin berkata beliau tetap akan terus memperjuangkan Islam walaupun tidak lagi menganggotai Majlis Syura Ulama PAS.

Sementara itu, bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad berkata tindakan terhadap Nasharuddin itu bukan perkara pelik.
  
Wan Ismail berkata Pas kini dilihat semakin lari daripada perjuangan asal mereka untuk menubuhkan negara Islam sejak bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat dan DAP.
  
"Dulu saya pun dibuang, tapi saya bersyukur kena pecat sebab lihat Pas sudah lari daripada perjuangan asal (untuk menubuhkan negara Islam).
  
"Nasihat saya kepada beliau (Nasharuddin), kalau betul-betul nak perjuangkan Islam, buat parti lain," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
  
Wan Ismail yang juga antara pengasas Pas berkata tahaluf siasi yang diamalkan Pas dalam pakatan pembangkang telah lari daripada konsep sebenar apabila dilihat lebih banyak tunduk dengan desakan yang dibuat rakan sekutu mereka.
  
"Konsep tahaluf siasi berlaku masa Nabi Muhammad SAW memerintah Madinah. Masa itu orang bukan Islam ikut apa yang Nabi kata.  Saya lihat Umno yang lebih betul (mengamalkan) konsep tahaluf siasi ini," katanya. - Bernama
Mahathir: Pas utamakan politik lucut Nasharudin

29 Januari 2013
Mahathir bin Mohamad
Tun Dr Mahathir bin Mohamad
KUALA LUMPUR - Pas perlu melihat penyertaan bekas timbalan presiden parti itu, Nasharuddin Mat Isa ke Gaza sebagai model kerjasama antara kerajaan dan pembangkang sebagaimana harapan melihat kerjasama antara Hamas dan Fatah, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pas tidak seharusnya mengutamakan politik sehingga mengambil keputusan memecat Nasarudin, yang juga Anggota Parlimen Bachok, daripada Majlis Syura Pas.

Katanya ia seharusnya dijadikan model kerjasama untuk orang melihat umat Islam Malaysia walaupun pembangkang tetapi boleh bekerjasama dengan kerajaan demi membawa mesej keamanan sejagat.

"Sebaliknya Pas tak suka lihat ada orang Pas bekerjasama dengan BN (Barisan Nasional) untuk jadi contoh dua pihak (Fatah dan Hamas)...kalau kita sendiri tak boleh berdamai macam mana kita nak suruh orang berdamai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku 'Malaysia-Thailand Joint Authority (MTJA)-Strength In Collaboration' di sini, hari ini.

Ditanya jika Nasharudin perlu mengubah platform perjuangan iaitu keluar daripada Pas, Mahathir berkata: "Itu terpulang kepada dia."

Ahad lepas, Setiausaha Majlis Syura Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, Nasharuddin digugurkan kerana didapati melanggar peraturan berjamaah seperti ditetapkan Majlis Syura, dan keputusan dibuat pada 13 Januari lepas dalam mesyuarat yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.- Bernama
Pas: Lucut Nasha bukan tindakan politik
JAMILAH HAMZAH
29 Januari 2013
Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
SHAH ALAM - Pas menafikan tindakan dikenakan terhadap bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa - dilucutkan sebagai anggota Majlis Syura - bermotifkan politik dan ada kaitan dengan lawatan ke Gaza bersama rombongan kerajaan.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan melucutkan Nasharudin sebagai ahli Majlis Syura tidak melibatkan politik seperti yang digembar-gemburkan media.

Menurutnya, Pas telah membuat keputusan melalui mesyuarat Majlis Syura pada 13 Januari lalu untuk menggugurkan Nasharudin berikutan komitmennya yang tidak baik.

Beliau berkata, jadi perkara tersebut tidak mempunyai sebarang unsur politik, walaupun ada yang cuba mengaitkan tindakan Nasharudin bersama rombongan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Gaza minggu lalu.

"Tak ada kena-mengena dengan politik.

"Kita mengambil keputusan itu pada 13 Januari lalu, namun saya tak pasti bila surat rasmi dihantar kepada Nasharudin.

"...seperti kita katakan sebelum ini, kita ambil tindakan sedemikian disebabkan komitmennya yang kurang memuaskan," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Semalam, Najib mendakwa tindakan melucut Nasharudin lebih bermotifkan politik.

Ini berikutan tindakan itu diambil selepas Nasharudin pulang dari rombongan Najib dari Gaza.

Bagaimanapun, Najib berkata, Pas sepatutnya menghargai lawatan Nasharudin ke sana demi kepentingan umat Islam.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, Nasharudin sering mengadakan lawatan bersama kerajaan sebelum ini.

Namun, beliau berkata Majlis Syura tidak pernah mengambil tindakan terhadap Nasharudin yang mengikuti lawatan tersebut.

"Tak ada kena-mengena dengan lawatan, dulu pun Nasharudin pergi juga.

"Namun kita tak pernah pula ambil tindakan, kalau sebab ini yang dikatakan kita ambil tindakan sebegitu padanya," katanya lagi.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas Datuk Mustaffa Ali turut mengakui punca pengguguran Nasharudin bukan disebabkan faktor politik.

Beliau berkata, tindakan Majlis Syura itu dibuat berdasarkan prestasi Nasharudin yang kurang memuaskan.

"Saya memang bukan ahli Majlis Syura, tapi saya diberitahu Nasharudin digugurkan pada 13 Januari lalu sebelum beliau pergi ke Gaza.

"Jadi bukan faktor politik lah, Majlis Syura ambil tindakan sebegitu, tapi prestasi beliau," katanya lagi.
Nik Aziz tidak halang Nasha sertai parti lain
ROSMIZA KASIM
29 Januari 2013
Nik Aziz
Nik Aziz
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini tidak menghalang bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa daripada menyertai mana-mana parti lain dan dengan rela hati melepaskannya.

Di sebalik apa yang berlaku terhadap Nasharudin, Nik Aziz berkata, terpulang kepada beliau untuk menyertai parti lain.

“Itu dia punya pasallah, saya sebut kelmarin kepada wartawan orang laki bini lagikan bercerai. Padahal kita nak sambut bini (isteri ) itu dengan sembelih lembu, palu gong gendang lah, selawat kepada Nabi, tetapi  boleh bercerai. Ini kerana parti (Ini kan pula dalam parti).

“Dalam syarikat ekonomi dia (pengurusan) buang rakan kongsi dan apa sekali, kita hidup atas dunia ini ada peraturan. Islam adalah disiplin seratus peratus dunia akhirat. Islam adalah cara nak selamatkan dunia,” katanya kepada media.

Terdahulu beliau merasmikan Bengkel Pakar Ternakan Lebah Kelulut di Min House Camp, Kubang Kerian yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Desa dan Bioteknologi negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
Ada lagi pemimpin kanan Pas dijangka dipecat dari Majlis Syura Ulama

29 Januari 2013
KUALA TERENGGANU - Seorang pemimpin kanan Pas dijangka dipecat sebagai Ahli Majlis Syura Ulama parti itu, kata bekas pengikut setia parti itu Zainon Ismail.
Katanya beliau difahamkan antara nama yang disebut-sebut berada dalam senarai pemecatan oleh Majlis Syura Ulama Pas ialah Ketua Dewan Ulama parti itu Datuk Harun Taib.
Beliau berkata tidak mustahil perkara itu berlaku selepas bekas Timbalan Presiden parti itu Nasharudin Mat Isa digugurkan sebagai ahli majlis itu pada 13 Januari lalu.
"Majlis Syura Ulama Pas adalah badan tertinggi parti itu dan apabila keputusan dibuat oleh majlis itu, maka ia tidak perlu dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak dalam parti berkenaan," kata Zainon yang juga seorang penulis buku dengan nama penanya, C.N.Al-Afghani.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program diskusi 'Dilema dan Ranjau Perjuangan Islam di Malaysia' yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.
Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan pemecatan Nasharudin sebagai Ahli Majlis Syura Ulama parti itu berikutan tindak tanduknya yang didakwa boleh merugikan parti itu. - Bernama
Isu Nasha tidak rugikan parti
Wartawan Sinar Harian
29 Januari 2013
Isu Nasha tidak rugikan parti
Kenyataan akhbar Sinar Harian kelmarin berhubung kenyataan Nik Zawawi.
RANTAU PANJANG – Tindakan Majlis Syura menggugurkan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dilihat tidak merugikan parti walaupun ada pemimpin bimbang dengan keputusan itu, sebaliknya dilihat usaha terbaik untuk mengelak tindak tanduknya diikuti pemimpin Pas yang lain.

Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun berkata, tindakan tersebut juga dianggap tepat pada masanya, melihatkan kepada banyak tindakan Nasharudin yang dianggap mengguris hati pemimpin parti itu.

Katanya, beliau melihat keputusan ini tidak akan menjejaskan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi, memandangkan perbincangan sudah dibuat berhubung kesan tindakan ke atas pemimpin tersebut.

Menurutnya, Majlis Syura Ulama telah mengambil kira perkara itu, kerana jika dibiarkan lebih banyak perkara bakal dilakukan Nasharudin seperti mengiringi kepimpinan parti pembangkang ke luar negara tanpa memaklumkan kepada kepimpinan parti.

“Sepatutnya sudah lama beliau dipecat disebabkan tindakan yang dilakukannya selama ini mampu merugikan parti.

“Sebagai contohnya, kita tidak mengalang beliau untuk mengiringi pemimpin parti lain ke luar negara, tetapi beliau perlu terlebih dahulu memaklumkan perkara itu kepada kepimpinan parti untuk mengelak timbulnya fitnah.

“Tindakan itu hanya disedari pemimpin parti Pas, setelah melihatnya gambar beliau bersama pemimpin berkenaan,” katanya, semalam.

Abdul Fatah berkata, Nasarudin agak rapat dengan pemimpin Umno dan itu dianggap bahaya kerana bimbang segala ‘mesyuarat rahsia’ akan dibocorkan kepada mereka.

Menurutnya, Majlis Syura tidak beremosi dalam membuat keputusan, malah dilaksanakan secara matang bagi mengelak dianggap membuat keputusan mengikut perasaan.

Ketika ditanya Sinar Harian kemungkinan Nasharudin akan menukar parti berikutan keputusan tersebut Abdul Fatah berkata, itu tidak mustahil kerana baginya segala kemungkinan boleh terjadi terutama menjelang musim pilihan raya.

Menurutnya, kemungkinan tersebut bukan akan berlaku terhadap Nasharudin sahaja, sebaliknya pemimpin yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti kebiasaannya menggunakan waktu sebegini untuk menunjukkan perasaan sebenar mereka.

“Pada ketika ini mereka ‘berharga mahal’ semuanya bernilai, apatah lagi jika seseorang itu berjawatan tinggi dalam parti.

“Ketika ini tidak mustahil mereka akan lompat parti kerana akan diterima parti pembangkang, termasuk Nasharudin sudah semestinya Umno akan menerimanya jika berbuat demikian,” katanya.

Abdul Fatah berkata, Nasharudin akan diterima Umno kerana dia tidak lantang bersuara seperti Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dianggapnya sukar diterima Umno berikutan kelantangan beliau.

Semalam, Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh mengesahkan keputusan pengguguran Nasharudin dari Majlis Syura dan memaklumkan keputusan itu diambil pada mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Isu Nasha: Majlis Syura buat keputusan tepat
ANITA ABU HASAN
28 Januari 2013
Mustafa Ali
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
SHAH ALAM - Majlis Syura Pas telah membuat keputusan tepat apabila menggugurkan keanggotaan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dari menganggotai badan tertinggi parti itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, Majlis Syura tahu apa yang pihaknya putuskan kerana keputusan yang dibuat adalah berdasarkan alasan kukuh selepas membuat kajian menyeluruh.

“Majlis Syura sudah membuat kajian dan tahu mengapa Nasharudin perlu dilucutkan. Justeru keputusan pengguguran ini sangat wajar. Semua pihak perlu menerimanya dengan terbuka,” katanya.

Ketika ditanya adakah di sebalik keputusan ini Pas melabel Nasharudin sebagai duri dalam daging dan membahayakan parti, beliau enggan memberikan komen lanjut. 

“Saya tidak mahu komen hal itulah.  Apa yang pasti pengguguran Nasharudin ini tidak akan menggugat parti.

“Bahkan Insya-ALLAH tidak akan mengganggu persediaan Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti,” tegas beliau.

Semalam, Majlis Syura Pas mengesahkan  menggugurkan keanggotaan Nasharudin yang juga  Ahli Parlimen Bachok kerana didakwa telah melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura.

Keputusan mengenainya dibuat pada mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan surat mengenai perlucutan Nasharudin sebagai anggota Majlis Syura sudah diserahkan selepas mesyuarat tersebut.

Justeru Nasharudin kini hanya sebagai ahli biasa Pas tanpa sebarang jawatan. Sebelum ini beliau pernah digugurkan sebagai ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat.

 

Tiada ulasan: