Rabu, 9 Januari 2013

MASA TETAP BERJALAN...BEGITU JUGA TAKDIR ALLAH...MAKA TERIMALAH KEPUTUSAN DARI ALLAH...ALLAH TAHU SAPE YANG BERSALAH...DAN ALLAH TAHU SAPE YANG AKAN MENANG

Saman Felda: Mazlan sedia kemuka bukti di mahkamah

Salmiyah Harun, 08 Jan 2013

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman bersedia menghadapi tindakan saman oleh Felda dengan hujah dan bukti yang beliau ada.


Ketika dihubungi Harakahdaily, Mazlan berkata, sekiranya saman Felda ini dibawa ke mahkamah beliau akan dedahkan apa yang dinyatakan bukan fitnah tetapi kenyataan berdasarkan bukti yang ada.

"Bukan itu sahaja, saya bersedia tampilkan mereka yang akan menjadi saksi-saksi dalam kes ini," katanya.

Mazlan yang menerima notis saman daripada Felda sejak empat minggu lalu pada awalnya meminta beliau memohon maaf dan membayar ganti rugi, malah mahunya menarik balik artikel mengenai penjualan minyak kepada Israel.

Bagaimanapun beliau tetap mempertahankan bahawa kenyataannya itu bukan fitnah dan tidak perlu ditarik balik.

"Selagi mana perbicaraan belum bermula, saya akan terus memperkatakan isu penjualan minyak kepada Yahudi, "katanya.

Semalam Felda memfailkan saman terhadap Mazlan dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan lima lagi berhubung kenyataan penjualan minyak sawit mentah ke Israel.

Felda memfailkan writ saman itu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Felda (plaintif) menamakan Mazlan dan Mustafa sebagai defendan pertama dan kedua manakala Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman, Pengarang Harakah Taufek Yahya, penulis artikel Mohd Arif Atan, pencetak Harakah Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd serta Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution Ismail, masing-masing sebagai defendan ketiga hingga kelima.

Kalimah Allah: Islam benarkan tapi jangan salah guna

Abdul Hadi Awang, 08 Jan 2013
1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah mempunyai pendirian yang konsisten dalam isu ini, seperti dalam kenyataan media saya pada 4 januari 2010 dan saya juga telah mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada tahun 2010 yang telah diterbitkan sebagai buku kecil yang bertajuk: "Allah: Kalimah yang Benar, Tujuan yang Salah" pada bulan januari 2010 yang lalu.

2. Kalimah "Allah" adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

3. Kalimah "Allah" tidak wajar disalah gunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan. Oleh itu pengganut Islam berbagai bangsa tetap menyebut perkataan Allah (tanpa terjemahan) apabila menterjemah al-Quran dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.

4. Walau bagaimanapun Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Aallah" dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

5. Al-Quran menyebut penggunaan kalimah Allah oleh kalangan bukan Islam (ahli kitab) dengan penjelasannya:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan sengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain (Para paderi, sami dan pemimpin) untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". kemudia jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam." (Ali-imran:64)

6. PAS merasa sangat kesal terhadap Umno yang mewakili pihak Melayu Islam dan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara kerana menjadikan kalimah Allah sebagai satu isu yang dipolemikkan sebebasnya oleh pihak media arus perdana dalam kempen politik pilihan raya, tanpa peduli terhadap salah faham dan ketegangan penduduk berbagai-bagai agama dalam masyarakat majmuk.
Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
8 Januari 2013

Pertandingan menulis dapat sambutan hangat

Harakahdaily, 08 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Sejak dilancarkan pada 4 Januari yang lalu, 'Peraduan menulis esei berdasarkan ayat al-Quran' mendapat sambutan memberansangkan dan dijangka berterusan sehingga tarikh akhirnya. Pada hari pertama sahaja, pihak penganjur telah mula menerima penyertaan.

Sambutan ini belagi tawaran hadiah yang begitu lumayan iaitu hadiah utamanya wang tunai bernilai RM10,000, kedua RM5,000 dan ketiga RM3,000 serta 17 tulisan lain akan diberikan hadiah sagu hati berupa wang tunai bernilai RM100.

Peraduan ini meminta peserta menulis artikel berdasarkan ayat al-Quran surah an-Nisa, ayat 58 yang bermaksud;

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.

Tujuan peraduan ini diadakan ialah untuk mengajak rakyat agar berfikir dan menuntut kerajaan yang adil dibentuk di negara ini; mendekatkan rakyat dengan ayat al-Quran; dan mengajak rakyat agar berhujjah dengan al-Quran.

Peraduan yang terbuka kepada semua warga Malaysia ini (berdasarkan syarat tertentu) berakhir pada 18 Januari 2013 ini. Kepada yang berminat masih belum terlambat untuk menyertainya dengan menghantar artikel mereka ke  emel budayaharakahdaily@gmail.com

Sonamu: Rakyat Kelantan jangan panik

Salmah Mat Husain, 08 Jan 2013
KOTA BHARU: Masyarakat Kelantan diminta bertenang serta tidak panik berhubung penyebaran ribut tropika Sonamu.


Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan, belum menerima sebarang kenyataan berhubung perkara itu apa lagi meminta masyarakat membuat persediaan keselamatan.

Pengerusinya, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, ketika memberitahu media berkata, belau sendiri telah menghubungi pihak Jabatan Meteorologi Kelantan untuk bertanyakan berhubung perkara itu.

Beliau juga turut mengingatkan masyarakat Kelantan supaya tidak mengambil ‘maklumat’ dari pihak luar, sebaliknya melalui stesen radio atau alat sebaran yang sah.

“Jabatan metereologi hanya meramalkan sahaja, bukan sesuatu perkara yang pasti, kita kena faham,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya ia berlaku, pihak MKN telah mempunyai kaedahnya untuk menangani masaalah itu.

“Jadi kita seru orang ramai jangan panik, jangan ambil maklumat dari pihak yang tidak sah, melainkan melalui radio, media massa yang diiktiraf,” ujarnya.

Setuju kalimah Allah untuk tujuan dakwah - TG Nik Aziz

Salmah Mat Husain, 08 Jan 2013
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bersetuju kalimah ‘Allah’ digunakan oleh golongan bukan Islam, walaupun ianya menjadi ‘hak’ orang Islam.

Beliau berpendapat, penggunaan kalimah itu dikalangan bukan Islam memudahkan mereka mengenali agama suci itu dengan lebih mudah.

“Kita perlu buka ruang kepada mereka dan semoga dengan cara itu memberi peluang kepada golongan berkenaan mengenali Islam dengan lebih mudah.

“Di mana ruang yang dibolehkan itu kita sama-sama bincang nanti,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyampaian watikah perlantikan Ahli-Ahli PBT Negeri Kelantan, di sebuah hotel di sini, tengahari tadi.

Menurutnya, masyarakat di zaman jahiliah sejak awal lagi menggunakan kalimah itu walaupun mereka menyembah berhala.

Ditanya sekiranya PAS Pusat tidak bersetuju dengan pendapatnya itu, Tuan Guru berkata, beliau tidak menjadi masaalah.

Menurutnya, pada 12 Januari ini mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS Pusat akan diadakan di Kuala Lumpur dan akan turut menyentuh perkara itu.

“Waktu itu sekiranya anggota parti tidak bersetuju, saya akur, saya mesti ikut keputusan ramai, jika PAS Pusat ada hujahnya, saya menerimanya,”ujarnya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan masyarakat bukan Islam dalam Pakatan Rakyat khususnya di Kelantan sudah biasa dengan sebutan Masya Allah, Alhamdulillah, Insya Allah.

Sambungnya, moga dengan cara itu mereka akan mendapat hidayah Allah untuk menerima Islam.

PAS akan pohon injunksi halang projek Rapid

Anis Nazri, 07 Jan 2013

(Sidang media Salahudin dan rakan-rakannya di Pejabat Agung PAS hari ini)

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Membela Pengambilan Tanah Pengerang (Mantap) akan memfailkan permohonan injunksi bagi menghalang Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid) Pengerang diteruskan.

Pengerusi Mantap, Salahuddin Ayub berkata permohonan injunksi itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 9 Januari ini.

Selain itu, satu siasatan perlu dilakukan memandangkan terdapat pihak yang menerima kesan hasil projek tersebut.

Salahuddin berkata, ini kerana projek Rapid itu dikaitkan dengan isu kematian tiga sekeluarga di Kampung Jawa, Pengerang yang membunuh diri minggu lalu.

Katanya, satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan bagi menyiasat punca sebenar kematian tiga beranak itu yang dipercayai akibat tekanan perasaan.

“Satu jawatankuasa khas mesti ditubuhkan siasat apa punca sebenar kematian tiga beranak itu supaya mereka dapat pembelaan sepenuhnya,” tegas beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin turut mendedahkan proses penggalian semula dan pemindahan kubur di empat perkampungan yang disifatkan beliau tidak dilakukan mengikut prosedur.

Sebaliknya, kata Naib Presiden PAS itu, ia melanggari prosedur sepatutnya yang menimbulkan kemarahan kepada waris si mati dan penduduk.

Beliau mendakwa kontraktor yang bertanggungjawab memindahkan kubur tersebut sanggup melanggar prosedur untuk mengejar habuan kontrak RM8,000 bagi satu kubur.

Tambah beliau, kontraktor di bawah kelulusan kerajaan negeri Johor melakukan kerja tersebut secara senyap-senyap tanpa kehadiran pihak berkuasa.

“Proses pemindahan sepatutnya dilakukan di bawah pemantauan polis, pejabat agama, dan waris. Namun sepanjang proses pihak yang sepatutnya memantau tidak dimaklumkan kontraktor dan ini satu pelanggaran prosedur yang serius,” katanya.

Sehubungan itu, PAS bertindak merujuk kepada Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin mengenai perkara tersebut dan mendapat maklum balas yang positif.

Difahamkan, mufti turut tidak berpuas hati dengan pengendalian mayat tersebut, serta memohon untuk menangguhkan proses tersebut.

Antara kawasan perkuburan yang terjejs ialah Tanah Perkuburan Kampung Sungai Rapat, Kampung Jawa Darat, Kampung Jawa Laut, dan Kampung Sebong.

Umno Titiwangsa dicabar debat isu tanah Kg. Baru

Harakahdaily, 08 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Penyelaras Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa (PKWR), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi mencabar Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani untuk berdebat tentang isu 'Umno gadai tanah Kg. Baru'.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) melontarkan cabaran debat itu di dalam satu ceramah di perkarangan pejabat PKWR Titiwangsa di sini Kelmarin.

"Saya cabar Umno Titiwangsa untuk berdebat, kamu bentangkan fakta kamu dan kita akan kemukakan segala fakta bahawa Umno sedang menggadaikan tanah orang Melayu di Kuala Lumpur untuk kaut keuntungan kepada kroni," jelas beliau yang juga merupakan Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM), Pemuda PAS Malaysia.

Menurut beliau, Umno sengaja membodohkan orang Melayu di Kampung Baru dengan memutar belitkan fakta sebenar.

Menurutnya lagi, Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2012 (APPKB) telah diluluskan secara tergesa-gesa, dibahas hanya dalam masa 4 jam sebelum diluluskan di Parlimen.

Zamri mengulangi pendirian bahawa Pakatan Rakyat akan memastikan satu-satunya tanah orang Melayu di tengah kota Kuala Lumpur ini akan dipelihara sepenuhnya hak pemilik dan pewaris yang asal. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan penduduk Melayu di Kampung Baru agar tidak termakan penipuan Umno dalam usaha merampas tanah warisan mereka.

"Kita tidak mahu tanah milik orang Melayu di Kampung Baru menerima nasib sama seperti tanah Kg. Abdullah Hukum dan Kg. Kerinchi.

"Orang Melayu merempat di tanah sendiri, kononnya mahu dibuat  pembangunan. Walhal ia adalah gedung-gedung mewah untuk golongan kaya," ujar beliau.

Terdahulu, Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan bahawa jika Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, APPKB 2012 akan dibatalkan dan tanah warisan itu akan dikembalikan kepada penduduk, pemilik dan pewaris yang asal.

Turut sama dalam program ceramah itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Cabang Titiwangsa, Zahir Hasan, Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Ustazah Nuridah Salleh dan Ketua Penerangan PAS Titiwangsa, Abdul Hadi.

Maaf: Khalid ucap tahniah kepada Dr Novandri

Harakahdaily, 08 Jan 2013

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengucapkan tahniah kepada Dr Novandri kerana berani mengakui kesilapan, memohon maaf dan membayar ganti rugi di atas fitnah terhadap beliau.

“Ini merupakan tindakan yang wajar dan waras memandangkan fitnah memfitnah itu adalah satu amalan terkutuk dan perlu dihentikan,” tulis beliau yang juga AJK PAS Pusat di dalam blognya http://www.khalidsamad.com.

Berikut tulisan penuh beliau.

Kenyataan Maaf Dr Novandri

Saya ingin ambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Dr Novandri kerana berani mengakui kesilapan, memohon maaf dan membayar ganti-rugi di atas fitnah beliau terhadap diri saya. Ini merupakan tindakan yang wajar dan waras memandangkan fitnah memfitnah itu adalah satu amalan terkutuk dan perlu dihentikan.

Malaysia memerlukan corak kepimpinan politik yang menjauhkan diri dari budaya politik fitnah di mana hak rakyat dihormati dan diakui. Rakyat perlu diberikan peluang untuk mendengar penjelasan dari semua pihak, menilainya dan membuat keputusan secara bebas berdasarkan maklumat yang tepat. Budaya politik fitnah dan penguasaan maklumat di mana rakyat dihalang dari mendapat penjelasan dari semua pihak secara terus adalah corak politik yang ingin menguasai dan mengongkong rakyat. Ianya budaya politik lapuk yang tidak mempunyai tempat lagi di Malaysia.

Saya mengharapkan bahawa kesediaan Dr Novandri untuk mengakui kesilapannya, memohon maaf, membayar ganti rugi dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi adalah langkah ke arah corak dan budaya politik yang lebih matang dan bertamaddun bagi negara kita.

Budaya politik lapuk yang selama ini mencorakkan politik UMNO/BN perlu dikuburkan dan inilah apa yang perlu dilakukan rakyat dalam PRU ke 13 ini. Melalui kemenangan PR dalam PRU ke 13 ianya akan membuka lembaran baru ke arah politik baru yang akan menjamin terhentinya budaya politik fitnah dan monopoli maklumat, insyaAllah.

Berkaitan:

Shah Alam MP Khalid and blogger reach settlement (The Star)
Blogger apologises to Khalid Samad for crucifix caricature (The Malaysian Insider)
Pro-Umno blogger apologises to Khalid Samad (Malaysiakini)
Blogger Umno minta maaf kepada Khalid Samad (HarakahDaily)

Mangsa AES kesal seolah dipermainkan kerajaan

Harakahdaily, 08 Jan 2013

TANJONG MALIM: Perbicaraan kes saman mangsa Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Majistret Slim River hari ini tidak dapat dijalankan apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mendaftarkan kes tersebut di mahkamah.

Seramai lebih 100 Orang Kena Saman (OKS) daripada 34 980 kes hadir untuk mengikuti perbicaraan namun ianya tidak dapat dilaksanakan.

Mangsa saman AES dibenarkan pulang selepas mengisi nama dan memaklumkan kehadiran kepada pegawai JPJ yang bertugas.

Beberapa mangsa yang hadir menyatakan kekesalannya apabila merasakan diri mereka dianiaya serta dipermainkan oleh pihak kerajaan.

Ramai mangsa yang hadir daripada jauh termasuklah Johor, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor berasa terkilan kerana terpaksa menghabiskan wang ringgit untuk hadir ke mahkamah namun ianya tidak dapat dijalankan seperti yang tertulis dalam surat saman.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki (gambar) yang turut hadir ke mahkamah berkata, pihak JPJ seharusnya memaklumkan kepada OKS agar tidak menimbulkan kesukaran kepada mereka.

Menurutnya, proses saman ini dilihat kelam kabut dalam prosuder mengendalikan proses ini dan beliau hairan kenapa saman tersebut masih dikeluarkan walaupun ia tidak dapat dibicarakan.

"Kerajaan mesti bertanggungjawab dalam hal ini kerana tidak memberi penyelesaian yang kongkrit.

"Sepatutnya kerajaan serius kerana ianya melibatkan kepentingan rakyat di negara ini dan kerajaan tidak sepatutnya berniaga dengan rakyat dalam isu ini," katanya kepada Harakahdaily.

Ditanya tentang jumlah mangsa saman yang tinggi iaitu 34 980 kes, beliau berkata, ianya membuktikan bahawa syarikat kroni akan mendapat keuntungan yang sangat tinggi jika sistem ini diteruskan.

Misbahul menjelaskan, kamera AES ini beroperasi 24 jam tanpa henti sehinggakan berjaya menangkap 34 980 pesalah di Slim River sahaja.

Sementara itu, Peguam PAS, Zamri Ibrahim ketika dihubungi berkata, perbicaraan kes turut berlangsung di beberapa tempat di Perak termasuklah di Mahkamah Majistret Tapah, Mahkamah Majistret Ipoh, Mahkamah Majistret Sungai Siput dan Mahkamah Majistret Taiping.

Beliau berkata, setakat ini tiada makluman Jabatan Peguam Negara untuk melakukan pendakwaan terhadap penerima-penerima notis saman tersebut.

Sehubungan itu katanya, peguam-peguam PAS yang terlihat hanya bersedia dan akan ke mahkamah jika adanya pendakwaan untuk memberikan khidmat guaman percuma sebagaimana telah dinyatakan sebelum ini.

"Kami bagi pihak peguam PAS sentiasa bersedia memberi khidmat guaman kepada mangsa saman AES dan mengajak rakyat terus berjuang menentang sistem ini," tegas beliau.

Hadir sama ke mahkamah ialah Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Nuri Al-Amin dan Penolong Setiausaha Pemuda PAS Perak, Safarizal Saleh.

Himpunan 12 Jan: ‘Game over’ untuk Umno BN

Harakahdaily, 08 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Dengan ketibaan tahun baru 2013 maka kita telah memasuki fasa pecutan terakhir di dalam persiapan PRU13 untuk mempertahan dan meluaskan kemenangan khususnya bagi menawan Putrajaya.
Demikian kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan.

Fasa terakhir ini, katanya bermula dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 yang akan diadakan pada hari Sabtu, 12 Januari dari jam 2.00 hingga 5.00 petang di Stadium Merdeka.

Kenyataan penuh beliau sebagaimana di bawah.

Dengan ketibaan tahun baru 2013 maka kita telah memasuki fasa pecutan terakhir di dalam persiapan PRU13 untuk mempertahan dan meluaskan kemenangan khususnya bagi menawan Putrajaya.

Fasa terakhir ini bermula dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 yang akan diadakan pada hari Sabtu - 12 Januari 2013, dari jam 2.00 pm hingga 5.00 petang di Stadium Merdeka.

Dari soal Lynas, Felda, Royalti, Pengerang, tuntutan Bersih, pembelian kapalselam dan banyak lagi isu rasuah dan penyelewengan; himpunan gergasi ini akan menjadi tanda jelas penolakan rakyat terhadap kejelekan dan sikap semberono pemerintah Umno BN merompak hak Rakyat. Penolakan ini kita akan muktamadkan dalam PRU13 kelak.

Saya juga percaya terdapat usaha sistematik pemerintah dan media arus perdana dengan membangkitkan isu-isu lapuk seperti Amanat Haji Hadi yang telah berusia lebih 30 tahun bagi mengalih perhatian masyarakat dari acara terbesar dalam sejarah tanah air kita ini.

Memandangkan kerajaan takut untuk menjemput Tuan Guru Presiden untuk bermuzakarah secara live, kami berpandangan isu ini telah gagal dieksploitasi oleh Umno dan boleh diisytihar sebagai game over.

Saya ingin mengajak semua pihak untuk meninggalkan permainan media pemerintah, kembali fokus kepada PRU13 dan menggunakan semua ruang yang ada  - facebook, twitter, emel, banner dan sebagainya untuk merancakkan hebahan Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 ini lantas melipat-gandakan penyertaan.

Dewan Pemuda PAS Malaysia telah pun mengeluarkan arahan kepada seluruh saf pemuda untuk turun beramai-ramai menjayakan himpunan ini.  Kita menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 pemuda PAS untuk bersama-sama warga Malaysia yang lain membanjiri dataran Stadium Merdeka kelak. Suara Sejuta Rakyat akan bergema merayakan perubahan, Insya Allah!

Sehingga setakat ini kami dimaklumkan rakyat Malaysia di London, Taiwan dan Sydney telah pun bersedia untuk mengadakan himpunan yang sama bagi meraikan himpunan rakyat di Kuala Lumpur ini. Oleh itu, kita juga telah meminta pendokong PAS luar negara di lokasi-lokasi utama lain untuk mengadakan himpunan yang sama sebagai tanda sokongan.

Pada masa yang sama, DPPM telah pun menjemput wakil-wakil kepimpinan pemuda di dalam Pakatan Rakyat untuk mengadakan mesyuarat koordinasi.  Ianya bertujuan untuk memperhebat promosi dan menjayakan himpunan ini sebagai himpunan terbesar dan paling aman di dalam sejarah Malaysia.

Unit Amal Malaysia juga telah siap siaga untuk memainkan peranan penting mengawalselia perhimpunan itu kelak. Pada masa yang sama, kita berharap pihak keselamatan khususnya PDRM dapat menghalang mana-mana anasir jahat yang cuba untuk membuat provokasi bagi mengganggu kesusilaan himpunan.

Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan muda untuk  turun beramai-ramai menjayakan himpunan ini. Ayuh kita jadikan Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 suatu pengalaman yang menakjubkan lalu mencatat lakaran penting dalam lipatan sejarah negara untuk menuntut perubahan. Mari bersama kita mencorak masa depan yang lebih gemilang untuk Malaysia.

TG Hj Salleh ketuai 50,000 penyokong PAS Kedah ke HKR

Izwan Halim, 08 Jan 2013
ALOR SETAR: Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) yang akan berlangsung di Stadium Merdeka Kuala Lumpur 12 Jan ini bukan sahaja akan disertai ahli dan penyokong politik, malah juga golongan guru pondok.

Antaranya Mudir Pondok Ar Rahmaniah Sik Tuan Guru Salleh Musa yang juga bakal mengepalai 50,000 rakyat Kedah ke perhimpunan itu nanti.

Setiausaha PAS Kedah, Musoddak Ahmad berkata, seluruh ahli PAS Kedah yang akan ke himpunan itu menganggap Tuan Guru Salleh telah mengetuai kontinjen ini.

“Kita anggap Tuan Guru Salleh telah mengetuai seluruh kontinjen PAS Kedah dan kita ambil semangat kesediaan beliau turun untuk menggembleng 50,000 ahli kita turun ke sana,” ujarnya pada sidang media selepas Mesyuarat Mobilisasi HKR di Kompleks PAS Kedah, di sini semalam.

Sebelum ini, tokoh ulama berusia 85 tahun itu telah membuktikan komitmennya dalam menuntut keadilan apabila turut serta dalam himpunan Bersih 3.0 tahun lalu.

Sementara itu Musoddak berkata, seluruh ahli PAS Kedah akan pergi secara konvoi berkenderaan mengikut PAS Kawasan masing-masing termasuk lebih 200 bas yang ditempah khas.

Cetak Bible: DAP desak Puad kemuka bukti

Salmiyah Harun, 08 Jan 2013
KUALA LUMPUR: DAP menuntut supaya Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi mengemukakan bukti atau menarik balik dan meminta maaf atas fitnah bahawa DAP akan mencetak 100,000 naskhah Bible Bahasa Malaysia yang menggunakan kalimah 'Allah'.

“Fitnah Mohd Puad tidak masuk akal dan tidak berasas sama sekali,” ujar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

Katanya, fitnah Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran langsung tidak masuk akal kerana DAP tidak pernah terlibat dalam hal ehwal agama.

Tegasnya, pendirian parti menganggap agama itu adalah hal peribadi dan tidak harus dipergunakan atau dipolitikkan.

Malah, ujarnya DAP tidak mempunyai sumber kewangan atau keupayaan untuk mencetak dan mengedar 100,000 naskhah Bible Bahasa Malaysia.

“Malangnya, fitnah yang tidak masuk akal oleh pemimpin Umno ini disiarkan dalam semua akhbar kawalan Umno iaitu New Straits Times, Berita Harian dan Utusan Malaysia,” kata beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Puad telah dipetik sebagai berkata dalam sidang akhbar di Putrajaya bahawa “Parti pembangkang (DAP) bercadang untuk mencetak sekurang-kurangnya 100,00 naskhah Bible dan mengedarkannya secara percuma di beberapa negeri, termasuk Kedah dan Kelantan”.

“Di ambang pilihan raya umum, adakah Umno akan meneruskan fitnah yang tidak masuk akal terhadap DAP demi memenangi undi dengan mendakwa bahawa DAP sebenarnya yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan model Mongolia Shaariibuugiin Altantuya?” tanya beliau.

Justeru, katanya DAP berasa meluat dengan taktik Umno yang bertujuan untuk membangkit kebencian terhadap DAP di kalangan masyarakat Islam dan juga di kalangan masyarakat agama-agama lain di Malaysia.

“Saya akan mengarahkan pemimpin-pemimpin DAP untuk membuat laporan polis terhadap Puad dan ketiga-tiga akhbar kawalan Umno esok kerana menyebarkan fitnah yang tidak masuk akal dan bertujuan untuk mengacau ketenteraman awam.

“DAP juga akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Puad dan ketiga-tiga akhbar kawalan Umno tersebut,” tegasnya.

Menurutnya, DAP bukan parti yang tidak jujur dan bersikap ‘baling batu, sembunyi tangan’ seperti Umno dan BN yang suka main kotor dan tidak mengaku kesilapan.

RM160 juta LTAT: Kerabat sedia himpun 40,000 ahli

Anis Nazri, 08 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Seketariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (Kerabat) akan menggerakkan satu himpunan besar-besaran sekiranya tiada sebarang siasatan dilakukan berhubung dakwaan penyelewengan dana RM160 juta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Pengerusi Kerabat, Leftenan Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, berkata himpunan tersebut akan dilakukan di hadapan pejabat LTAT yang menghimpunkan pelbagai peringkat anggota tentera.

Katanya, Kerabat sendiri mempunyai keahlian seramai 40,000 ahli, maka himpunan itu tidak mustahil untuk diadakan.

Beliau yang memandang serius pendedahan Pakatan Rakyat sebelum ini, berkata isu ini perlu diberi perhatian segera memandangkan ia membabitkan dana para pencarum tentera.

"Kita mahu siasatan segera dilakukan.  Jika tidak, kami akan menggerakkan himpunan bagi menyatakan bantahan tentang perkara ini," kata beliau pada satu sidang media, di sini.

Tambah beliau, dana dari tabung tersebut sepatutnya digunakan bagi kebajikan anggota tentera, lebih-lebih lagi ketika terdapat anggota tentera dan bekas tentera yang tidak terbela nasib mereka.

Nazari berkata pihaknya turut bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Panglima Tentera bagi membincangkan perkara tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa anggota tentera, bekas tentera dan ahli keluarga tentera untuk bersama-sama membuat laporan polis di seluruh negara agar satu siasatan dilakukan berkenaan pendedahan isu tersebut.

"Inilah masanya, anggota tentera, bekas tentera dan ahli keluarga tentera bangkit untuk menyatakan hak mereka untuk membuat laporan polis di seluruh negara," tegas beliau yang bercadang membuat laporan polis bermula dari 13 hingga 16 Januari ini.

Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendedahkan wang pencen itu digunakan dalam urus niaga melibatkan bayaran RM30 juta untuk membeli 80 peratus saham terbitan Astacanggih dan RM130 juta untuk membeli 200 ekar tanah dari Awan Megah Sdn Bhd (Awan Megah).

Urus niaga itu, katanya, dibiayai sepenuhnya oleh Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah miliki penuh Boustead Holdings Berhad, milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Sedangkan, modal dan aktiviti Boustead Holdings Berhad banyak bergantung kepada caruman dari potongan gaji anggota tentera yang disalurkan melalui LTAT,” katanya pada sidang media, sebelum ini.

Rafizi berkata, bayaran RM130 juta terhadap 200 ekar tanah yang statusnya masih belum dipindah milik kepada Awan Megah sekaligus bermakna Zahid Hamidi mengambil RM130 juta dari caruman anggota tentera.

Wang itu kemudian digunakan untuk membayar syarikat milik seorang pimpinan Umno tanpa sebarang tukaran aset kerana tanah berkenaan belum dipindah milik kepada Awan Megah.

“Nilaian RM130 juta bagi 200 ekar tanah itu pula dibuat semata-mata atas dasar persetujuan antara penjual dan pembeli tanpa menggunakan penilaian bebas,” katanya.

HKR: Pemimpin Pakatan Rakyat jumpa KPN hari ini

Hazayani Zakaria, 08 Jan 2013
PETALING JAYA: Pimpinan Pakatan Rakyat akan bertemu dengan Ketua Polis Negara jam dua petang ini bagi mendapatkan jaminan keselamatan polis sepanjang Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) pada 12 Januari ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat mahu pihak polis memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kelancaran HKR.

"Jam 2.30 petang ini pimpinan Pakatan Rakyat akan bertemu dengan Ketua Polis Negara di Bukit Aman bagi memastikan himpunan aman dan mendapat kerjasama plis dari jam dua hingga lima petang hari tersebut," kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, dekat sini hari ini.

Turut bersama ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Timbalan, Mohamad Sabu dan Penasihat DAP, Lim Kit siang.

Mohamad yang juga Pengarah HKR berkata, pihaknya sedang menunggu jawapan daripada pihak pengurusan stadium Merdeka hingga jam 12.30 tengah hari esok.

Jika tiada sebarang jawapan, sekretariat akan mengumumkan perkembangan terbaru jam 4 petang esok.

"Pihak pengurusan stadium tak kata bagi (guna stadium), dan tak juga kata tak bagi.

"Kita tunggu hingga 12.30 esok. Kalau tak ada, kita akan buat pengumuman keputusan kita empat petang esok," katanya.

Usaha sekat media lapor jika polis ‘mengganas’

KeadilanDaily, 08 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Polis mesti telus menjaga keselamatan wartawan pada Himpunan Kebangkitan Rakyat Sabtu ini, bukan menyekat kebebasan mereka membuat liputan, kata Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).
Ia ekoran wartawan yang akan membuat liputan HKR diarah memakai pas khas yang disediakan polis supaya mudah dikenalpasti.

Langkah itu menurut polis sebagai usaha untuk mengelak berulang kejadian petugas media dipukul anggota polis seperti yang berlaku semasa perhimpunan Bersih 3.0.

“Kita harap dengan pas itu, polis akan mengenal pasti para petugas media dan ini bermakna tiada lagi alasan untuk mereka kata tersilap pukul seperti yang terjadi dalam Bersih 3.0,” kata Presidennya, Chin Sung Chew.

Justeru, beliau berharap agar tujuan ‘mudah dikenalpasti’ bukan alasan untuk menyekat kebebasan wartawan membuat liputan.

“Tindakan itu tidak patut. Kita harap polis telus dalam mengeluarkan arahan tersebut, khusus untuk menjaga keselamatan wartawan,” katanya.

Dalam himpunan Bersih 3.0 pada 28 April tahun lalu, selain orang ramai, turut menjadi mangsa keganasan polis adalah di kalangan wartawan.

Polis juga memaksa jurugambar memadam gambar yang dirakam malah ada juga bertindak merampasnya.

NUJ turut menerima 12 laporan daripada petugas media mengatakan mereka diserang polis semasa perhimpunan tersebut.

Segera siasat skandal jalan termahal di Malaysia

Harakahdaily, 08 Jan 2013
KOTA KINABALU: PAS Sepanggar mendesak agar SPRM menyegerakan siasatan terhadap isu kos pembinaan jalan ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah yang hanya berjarak 900 meter namun menelan belanja RM 14.9 juta.

(Jalan dari Menara Yayasan Sabah ke DUN Sabah hanya 0.9 km tetapi harga pembinaannya RM14.9 juta)

Sebelum ini, Harakahdaily pernah melaporkan isu ini dan ahli Parlimen Gombak Azmin Ali juga pernah mempersoalkannya di Dewan Rakyat pada 1 Oktober 2012 lalu.

Memorandum juga telah dihantar oleh NGO Jingga 13 pada 17 Disember 2012 di pejabat SPRM Sabah.

"Setakat ini, pihak SPRM belum memberikan sebarang respon berhubung isu ini walaupun telah tiga minggu menerima memorandum daripada Jingga 13.

"Malah, pihak kerajaan negeri juga masihterus membisu daripada membuat sebarang kenyataan berhubung isu ini," kata Julfikar Abd Mijan selaku Koordinator Pusat Aduan Rakyat PAS Sepanggar.

Beliau turut mempersoalkan mengapa SPRM mengambil masa yang terlalu lama untuk memberikan maklum balas berhubung isu ini.

Katanya, kelewatan SPRM membuat siasatan melibatkan skandal wang rakyat ini menjejaskan kredibiliti SPRM dimata rakyat.

Selain itu, beliau turut mencabar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman supaya memberikan penjelaskan berhubung isu tersebut.

Menurut beliau lagi, pihaknya telah membuat tinjauan dibeberapa jalan raya di kawasan Sepanggar dan mendapati masih terdapat banyak jalan di kampung-kampung yang berada dalam kondisi yang teruk.

Ianya termasuk jalan di Kampung Numbak yang terletak hanya bersebelahan dengan bangunan 1 Borneo.

Katanya, jalan ini digunakan setiap hari oleh penduduk kampung berbanding jalan ke DUN yang hanya digunakan beberapa kali sahaja.

"Kita melahirkan kekesalan terhadap pihak kerajaan kerana seolah-olah wujud “Double Standard” antara jalan raya yang digunakan rakyat dengan jalan raya yang digunakan oleh menteri," katanya.
Komentar yang diutarakan melalui laman

Saya sihat, kata Najib

Harakahdaily, 08 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan beliau diserang angin ahmar ringan (minor stroke) sebagaimana khabar angin yang bertiup kencang sejak minggu lalu.

"Bursa Malaysia sihat, pasaran juga sihat, pasaran sukut juga sihat, saya juga sihat. Jadi jangan dengar laporan blog, tolonglah," kata Najib ketika memberikan ucapan semasa merasmikan pelancaran the Exchange Traded Bonds and Sukuk (ETBS) hari ini.

Sejak seminggu lalu, khabar angin kencang bertiup kononnya Najib terkena minor stroke ekoran serangan bertalu-talu Deepak Jaiskishan ke atas beliau dan keluarganya.

Laman web Sarawak Report adalah yang pertama menyiarkan secara bertulis tentang khabar angin ini.

Najib telah tidak keluar dalam media sejak beberapa minggu lalu dan negara seolah-olah dipimpin oleh timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin.

Beliau dikatakan membuat lawatan keluar negara termasuk dua hari ke India bagi menyertai satu persidangan di sana.

Ketika negara dilanda banjir buat kali pertamanya, ada media menyiarkan gambar kononnya Najib melihat banjir itu dari udara namun ramai tidak percaya kerana ketika itu dia dikatakan berada di luar negara.

Pengarang Malaysia Chronicle, Wong Choon Mei dalam tulisannya bertajuk 'NEW PM FOR MALAYSIA? Najib to be forced to step down on 'health reasons'? mendakwa, besar kemungkinan negara akan mendapat perdana menteri baru tidak lama lagi.

Ini berikutan ada usaha yang dibuat oleh pihak tertentu mahu mengenepikan Najib dengan alasan kesihatan apabila tersebarnya berita angin beliau terkena minor stroke itu.

Menurut laporan itu, asasnya adalah kerana dakwaan Deepak yang sehingga kini tidak diberikan sebarang reaksi oleh Najib.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi berjanji akan menjawab penyataan Deepak apabila serangan pertama dibuat ke atas Najib melalui Harakahdaily dan beberapa media online yang lain.

Namun, tidak ada sebarang kenyataan lagi dari Zahid mengenainya selepas itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa memberikan tempoh 48 jam kepada Najib untuk membuat penjelasan.

Tempoh 48 itu sudah berlalu dan media sedang menunggu kenyataan dari Husam mengenainya selepas masa itu berlalu.

Deepak bukan sahaja membuat kenyataan kepada media online tetapi juga membuat buku kecil yang kini sedang hangat beredar.

Antara dakwaan Deepak adalah, beliau terlibat memujuk P Balasubramanian membuat Akuan Bersumpah (SD) kedua atas permintaan rakannya, Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Najib.

SD pertama PI Bala disifatkan sebagai masalah besar kepada Najib dan ia perlu diselesaikan.

Bertam PM307: Rakyat T'ganu serah memo Jumaat ini

Harakahdaily, 08 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Sekumpulan rakyat Terengganu dan pihak yang perihatin dengan isu royalti minyak akan menghantar memorandum kepada Petronas berhubung dengan tuntutan bertindih blok Bertam PM307.

Memorandum itu akan dihantar kepada Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan Jumaat, 11 Januari ini.

Mereka akan menunai solat Jumaat dan bakal berhimpun di masjid KLCC sebelum berarak ke menara KLCC untuk menyerahkan memorandum itu.

Sidang media juga akan diadakan kira-kira jam 2 petang oleh mereka sempena penyerahan memorandum itu.

Ia akan dianjurkan oleh 'Gabungan tuntutan Royalti dan Hak Bertam' dan NGO 'R' Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Rombongan ini akan diketuai oleh Naib Presiden PAS,  Datuk Husam Musa dan Dr. Syed Azman Syed Ahmad, Adun Batu Burok, Terengganu.

Blok Bertam P307 menjadi pertikaian apabila Perdana Menteri yang juga anggota Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak berkata, ia akan terletak dalam wilayah negeri Pahang.

Namun, sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu diberitahu, ia terletak dalam kawasan negeri Terengganu.

Ekoran itu, usaha untuk mempastikan ia menjadi milik Terengganu diusahakan oleh  sekumpulan rakyat Terengganu yang diketuai oleh Dr Syed Azman, yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini membuat kenyataan meminta Najib membuat penjelasan mengenai hal ini apakah kenyataannya benar atau tidak.

Erat hubungan, Pemuda PAS lawan bolasepak dengan artis

Anis Nazri , 08 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Setelah kejayaan mengadakan pertandingan futsal bersama kumpulan artis sebelum ini, Pemuda PAS Malaysia sekali lagi menganjurkan program hampir sama.

Pada 5 Januari lalu, satu perlawanan bola sepak persahabatan dianjurkan Lajnah Sukan, Seni dan Budaya (DACS) Pemuda PAS Pusat bersama Kelab Sukan Artis Malaysia (MASC) yang melibatkan beberapa artis terkemuka.

Bertempat di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Seksyen 21, Shah Alam, pertembungan di antara kedua-dua pasukan begitu sengit, namun harmoni.

Menurut Pengarah DACS, Halim Ahmad, perlawanan pada malam itu berlangsung dalam suasana meriah dan santai, di mana ramai penyokong dan peminat artis turut menonton perlawanan tersebut.

"Kebanyakan exco pemuda menyertai perlawanan ini, termasuk Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan.  Selepas perlawanan, ada majlis bertukar-tukar cenderamata dan juga jamuan," kata beliau kepada Harakahdaily.

Antara artis yang turut turun padang ialah Danny X-Faktor, Syed Aiman, Zahid AF, Fiq F, Fizo Omar dan beberapa artis lain.

Perlawanan bola sepak itu berakhir dengan Pemuda mengalahkan MACS 3-2.

Tiada ulasan: