Jumaat, 11 Januari 2013

ALLAH MILIK SEMUA MAKHLUK...MAKHLUK SEMUANYA MILIK ALLAH...ALLAH MENYURUH SEMUA MAKHLUK@MANUSIA DAN JIN BERIBADAH KEPADANYA

Pakatan Rakyat Perak kerah 100,000 ke HKR

Muhammad Faeez Azahar, 10 Jan 2013


IPOH: Pakatan Rakyat Perak akan mengerahkan 100,000 orang daripada negeri itu untuk bersama-sama dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Stadium Merdeka Sabtu ini.

Setiausahanya, Dr Khairuddin Abd Malek berkata, pihaknya optimis akan mencapai sasaran tersebut melihat ‘mood’ rakyat ketika ini.

“Dengan semangat yang dibina, kami yakin rakyat Perak akan turun beramai-ramai menjayakan himpunan ini seterusnya mencapai matlamat penganjur untuk menghimpunkan sejuta rakyat,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini, hari ini. (Gambar)

Menurut Khairuddin, pihaknya telah memulakan mobilasi dan momentum sejak sebulan lalu bermula dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat Perak di Seri Iskandar dan ‘road show’ yang diadakan di seluruh negeri Perak ketika ini.

Dengan kelulusan daripada pihak Stadium Merdeka dan jaminan daripada Ketua Polis Negara pula katanya, akan memberi ruang kepada rakyat untuk menyertai himpunan tersebut tanpa sebarang kegusaran.

Hadir sama pada sidang media tadi ialah Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien, Pengerusi DAP Perak, Dato’ Ngeh Koo Ham, Setiausaha PAS Negeri, Dr Muhaimin Sulam, Adun Tronoh, V Sivakumar, Adun Lubok Merbau, Zainuddin Mohd Yusof dan Ketua Mobilasi PAS Perak, Rahim Nordin.

Sementara itu, Ketua Mobilasi PAS Perak Rahim Nordin dilantik mengetuai delegasi dari negeri itu ke himpunan HKR nanti.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Tapah ketika sidang media sama menjelaskan, delegasi Perak akan berkumpul di Masjid Negara bersama-sama pimpinan sebelum bergerak ke Stadium Merdeka.

Katanya, semua peserta daripada negeri itu perlu berdisiplin, menjaga keselamatan diri serta awan dan mengikut segala arahan daripada pihak penganjur.

Kalimah Allah: Kekeliruan boleh dielak dengan jadi demokratik

Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib, 10 Jan 2013
Kekeliruan yang timbul di kalangan rakyat terhadap isu penggunaan kalimah Allah di dalam kitab Bible dan juga kekeliruan ahli-ahli Umno terhadap ”Amanat Haji Hadi” sebenarnya berpunca daripada amalan pentadbiran Kerajaan Umno-Barisan Nasional yang korup dan tidak demokratik.

Isu ini tidak seharusnya diperpanjangkan jika rakyat dan semua pihak yang terlibat menerima penjelasan dan penerangan daripada pihak yang terlibat secara telus dan secara langsung.


Malangnya, pihak yang tidak sealiran dengan Kerajaan akan dipinggirkan malah menjadi mangsa keadaan disebabkan oleh tindakan bias dan tidak demokratik yang diamalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Sebagai negara yang mengamalkan prinsip demokrasi, sewajarnya isu ini boleh diperjelaskan secara terbuka, dengan mengemukakan penjelasan daripada pihak-pihak yang terlibat. Supaya, rakyat boleh membuat pertimbangan yang wajar.

Demokrasi bererti setiap rakyat mempunyai hak untuk bersuara dan menyatakan pendirian masing-masing. Maka, hak ini dikawal oleh perlembagaan dan undang-undang yang berteraskan nilai dan keadilan.

Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang perlu diberikan ruang untuk memberikan penjelasan kerana kekeliruan ini bermula daripada amanat yang beliau keluarkan pada tahun 1991. Maka, beliaulah selayaknya memberikan penjelasan.

Apabila saban hari dan waktu, media memainkan isu “Amanat Haji Hadi”, dan menuduh amanat tersebut “mengkafirkan” orang Umno, Tuan Guru berhak diberikan peluang untuk memberikan penjelasan.

Atas prinsip demokrasi dan keadilan, seseorang itu tidak boleh terus dihukum tanpa terlebih dahulu dibuktikan bersalah. Tindakan dolak-dalik Menteri Penerangan dan JAKIM adalah sangat tidak demokratik dan zalim terhadap presiden parti politik yang berdaftar secara sah mengikut undang-undang tubuh persatuan dan pertubuhan di Malaysia.

Begitu juga isu penggunaan Kalimah Allah di dalam kitab Bible. Penjelasan oleh pihak yang berkepentingan terhadap isu ini perlu diadakan secara terbuka. Hanya dengan cara inilah penilaian yang telus dan tepat dapat dibuat oleh rakyat.

Malangnya, sekali lagi Umno menggunakan isu ini untuk menaikkan emosi umat Islam, secara korup dan tidak demokratik membangkitkan kemarahan dan mengganggu pemikiran rakyat. Rakyat yang masih keliru tidak diberikan penjelasan, sebaliknya mereka yang bertindak secara emosi diberikan liputan yang meluas dalam media arus perdana.

Keadaan ini akan bertambah keruh, sekiranya Umno-Barisan Nasional tidak mahu bertindak secara matang, dan mengembalikan prinsip demokrasi ke dalam kaedah dan amalan pentadbiran negara.



* Penulis adalah Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Malaysia.

Wanita Pakatan Rakyat pakai 'ungu' ke HKR

Harakahdaily, 10 Jan 2013
PETALING JAYA: Wanita Pakatan Rakyat memilih 'ungu' sebagai warna tema mereka ke Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Stadium Medeka Sabtu ini.

Ribuan anggota mereka yang terdiri daripada Dewan Muslimat PAS, Wanita PKR serta Wanita DAP akan turut bersama-sama memeriahkan himpunan itu nanti.

Difahamkan kumpulan mereka akan berkumpul di Pasar Seni, Kuala Lumpur jam 2 petang sebelum bergerak ke Stadium Merdeka.

Kehadiran mereka turut membawa enam tuntutan rakyat antaranya menunut sebuah kerajaan yang bersih dari rasuah, gaji berpatutan kepada golongan wanita dan kualiti hidup lebih baik.

Selain itu, mereka juga menentang keganasan terhadap wanita, pemansuhan Akta Perhimpunan Aman 2012 dan pilihan raya bersih dan adil.

Satu sidang media berkaitan perkara itu dibuat semalam.

Turut hadir Naib Ketua Wanita PKR Haniza Talha, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Dr. Siti Mariah Mahmod, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching serta Pengarah Eksekutif Persatuan Kesedaran Komuniti Malaysia (Empower), Maria Chin.

Di umur 82, TG Nik Aziz pilih Harakah dahulu sebelum makan

Rizal Tahir, 10 Jan 2013


(Tuan Guru Nik Aziz khusyuk membaca Harakah ketika makanan penuh di atas meja)

KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa gembira di atas sambutan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-82, malah mengakui beliau sihat.

Kerana kegembiraannya itu membuatkan beliau tidak berselera untuk makan nasi.

“Tak jadi nak makan, kebetulan pula hari ni keluar Harakah yang terbaru untuk esok, saya kalau ada akhbar Harakah atas meja tak boleh nak buat apa.

“Tak boleh menulis, tak boleh apa apa, kena baca dulu sampai habis, baru boleh buat kerja,”ujarnya.

Tambahnya, beliau sendiri tidak tahu bagaimana Allah memberikan rasa ‘sayangnya’ pada akhbar Harakah itu.

Sempena pentadbirannya sebagai Menteri Besar Kelantan lebih 22 tahun, Tuan Guru berkata beliau berpuas hati dengan sokongan rakyat, begitu juga kakitangan kerajaan negeri dan semua pihak yang sentiasa membantu.

Katanya, telah banyak perubahan yang dilakukan oleh pentadbiran kerajaan negeri untuk mengajak rakyat berpandukan ajaran Islam dalam setiap kehidupan.

Menurutnya, pembangunan juga turut dilakukan oleh kerajaan negeri bagi memenuhi tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan.

Bagaimanapun, katanya ia bukan perkara asas yang wajib dilakukan kerana membangun ‘iman’ manusia lebih penting melebihi segalanya.

“Pembangunan negara komunis buat, pemimpin bukan Islam pun buat, semua orang buat, tetapi mengajak manusia mengikut pada ajaran Islam tidak ada selain dari gerakan Islam,”ujarnya.

Turut hadir pada majlis ini, timbalannya, Datuk Ahmad Yaacob, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar, Datuk Anuar Tan Abdullah, Datuk Che Abdullah Md Nawi.

Hadir sama Speaker Dun Kelantan, Datuk Mohd Nasruddin Daud dan timbalannya, Mohd Zaki Ibrahim, Setiausaha Sulit Khas, Rusdi Abdullah dan lain-lain kakitangan pejabat Menteri Besar.

Campur tangan politik punca majlis Pakatan jadi rusuhan

Rizal Tahir, 10 Jan 2013
KOTA BHARU: Campur tangan orang politik di dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) selama ini didakwa sebagai antara penyebab himpunan anjuran Pakatan Rakyat seperti Bersih bertukar menjadi rusuhan.

Sehubungan itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat mencadangkan, orang-orang politik yang mengganggu kerja polis macam ini  dihalau daripada Malaysia.

Tuan Guru  Nik Abdul Aziz berkata pembongkaran maklumat dari bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang mendakwa orang politik masuk campur dengan urusan kerja polis, menyebabkan ada anggapan rusuhan yang berlaku dalam Himpunan Bersih ketiga baru ini campur tangan mereka (BN).

Bagaimanapun, beliau berharap perkara itu tidak berulang apa lagi dengan jaminan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar, yang memberikan jaminan pihak polis Himpunan Kebangkitan 1 Juta Rakyat, 12 Januari ini, akan berlansung secara aman.

Menurutnya, kenyataan itu suatu perubahan yang baik dalam PDRM.

“Saya sangat cemas dengan rusuhan-rusuhan yang berlaku di Kuala Lumpur seperti himpunan Bersih.

“Tetapi masa himpunan Oren, mari tenang. Saya kata macam mana ni, sekali rusuhan, sekali tenang,” soalnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung perkara itu, sempena majlis ulang tahun kelahirannya yang ke-82, di pejabatnya di sini pagi tadi.

Tuan Guru yang juga Menteri Besar Kelantan, diraikan oleh kakitangan pejabat Menteri Besar Kelantan, sempena sambuatan ulang tahun kelahirannya itu.

Turut hadir dalam majlis sambutan berkenaan, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, ahli-ahli exco kerajaan, pegawai-pegawai dan kakitangan pejabat Block 1, pejabat Setiausaha Kerajaan Kota Darul Naim.

Morsi pengantara rundingan Hamas-Fatah di Kaherah

Terjemahan Mohamad Yahya, 10 Jan 2013

Para pemimpin Palestin akan membincangkan terma-terma perjanjian damai yang telah lama ditangguhkan. [EPA]

Pemimpin Fatah dan Hamas akan mengadakan pertemuan di Kaherah dengan Presiden Mesir dalam pusingan terbaru rundingan perdamaian antara dua kumpulan ini.

Seorang jurucakap Morsi berkata pemimpin Mesir tersebut akan menjadi pengantara pertemuan Rabu ini antara Mahmoud Abbas, Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), dan ketua Hamas, Khaled Meshaal.

Kedua-dua kumpulan menandatangani perjanjian perdamaian di Kaherah pada pertengahan 2011, tetapi perkara utama perjanjian tidak dilaksanakan.

Pegawai dari Hamas dan Fatah berkata pertemuan Rabu ini akan memberi tumpuan kepada penubuhan kerajaan perpaduan, yang akan membuka jalan untuk pilihan raya parlimen dan presiden yang telah lama ditunggu-tunggu.

Kedua kumpulan ini telah berselisih sejak 2006, apabila Hamas memenangi majoriti kerusi dalam pilihan raya perundangan. Hamas mengambil alih Semenanjung Gaza pada tahun 2007.

Hubungan antara kedua kumpulan secara perlahan-lahan mulai pulih, dengan Hamas baru-baru ini membenarkan Fatah mengadakan perhimpunan di Gaza, dan Fatah membenarkan penyokong Hamas untuk melakukan perkara yang sama di Tebing Barat, di bawah kawalan mereka.

Ia adalah terlalu awal untuk mengatakan sama ada konsesi sederhana tersebut membayangkan perdamaian politik yang lebih bermakna.

Delegasi Hamas juga akan bertemu dengan pegawai-pegawai perisikan Mesir untuk membincangkan gencatan senjata di Gaza.

Mesir menjadi pengantara rundingan gencatan senjata yang mengakhiri serangan selama lapan hari  tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza November tahun lalu, yang mengorbankan lebih daripada 150 rakyat Palestin dan enam rakyat Israel.

Pertemuan ini adalah kali pertama Morsi menjadi tuan rumah kepada pertemuan antara kedua-dua pemimpin Palestin tersebut. (aljazeera.com)

'Ustaz Taliban' menang saman RM100,000

Muhammad Faeez Azahar, 10 Jan 2013
IPOH: Mahkamah Seksyen Ipoh hari ini mengarahkan Presiden Pertubuhan Kebajikan Wawasan Kesejahteraan Insan Negeri Perak (Wawasan), Fauzi Muda membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 berhubung fitnah beliau terhadap Ketua Penerangan Dewan Ulama’ PAS Perak, Ustaz Norazli Musa.

Hakim, Roslan Abu Bakar memutuskan, Fauzi bersalah dalam kenyataannya yang disiar akhbar Utusan Malaysia pada 7 Jun 2011 yang menuduh Norazli menjadi jutawan segera semasa pemerintahan Pakatan Rakyat Perak selama 11 bulan dulu.

Dalam kenyataan itu, beliau juga mendakwa Norazli membina rumah banglo besar bernilai RM500,000 semasa pemerintahan 11 bulan Pakatan Rakyat sebelum dirampas oleh BN.

Hakim turut memerintahkan bekas ketua penerangan PKR Perak itu itu memohon maaf secara terbuka di Utusan Malaysia sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu dan membayar kos guaman sebanyak RM10,000.

Norazli yang lebih dikenali sebagai 'Ustaz Taliban' diwakili peguam PAS Perak, Aminuddin Zulkaple.

Norazli ketika ditemui selepas keputusan tersebut berkata, beliau sangat bersyukur dengan kemenangannya itu dan menyifatkan ia adalah kemenangan Pakatan Rakyat.

“Saya bersyukur kepada Allah atas keputusan tersebut dan ini adalah tanda-tanda kemenangan Pakatan Rakyat khususnya di Perak,” katanya yang ternyata gembira dengan keputusan tersebut.

Pada 11 Disember 2011, Norazli Musa,45 atau lebih dikenali dengan panggilan 'Ustaz Taliban' femfaikan saman terhadap  Fauzi dan Utusan Malaysia berikutan fitnah tersebut.

Bagaimanapun akhbar Umno tersebut membuat keputusan menyelesaikan di luar mahkamah dan telah memberikan ganti rugi kepada Norazli.

Kata beliau, wang ganti rugi tersebut akan menjadi dana Pakatan Rakyat khususnya PAS dalam menghadapi PRU13 yang akan menjelma tidak lama lagi.

Hadir sama ialah AJK PAS Pusat, Dr Muhaimin Sulam dan pimpinan serta penyokong Pakatan Rakyat untuk memerikan sokongan.

Tahanan: 48 rakyat Iran tukar 2,000 rakyat Syria

Terjemahan Mohamad Yahya, 10 Jan 2013

Beberapa wanita adalah antara tahanan yang dibebaskan dalam pertukaran untuk 48 tebusan Iran.

Empat puluh lapan rakyat Iran yang ditahan oleh pemberontak Syria selama lima bulan telah tiba di hotel Damsyik selepas dibebaskan dalam pertukaran banduan untuk lebih daripada 2,000 tahanan rejim Assad.

Warga Iran tersebut, yang disifatkan oleh Iran sebagai "jemaah haji" dan oleh pemberontak sebagai ahli Pengawal Revolusi yang menyokong Assad, kelihatan letih Rabu lalu, dengan beberapa dari mereka menangis, lapor agensi berita AFP.

Mereka telah dipeluk oleh diplomat Iran yang menunggu dan diberikan teratai putih.

Pertukaran banduan Rabu lalu adalah pertukaran yang terbesar berlaku dalam konflik Syria yang berusia 21 bulan.

Beberapa sumber, termasuk jurucakap pemberontak dan pegawai Iran berkata, ia telah diatur melalui pengantaraan Turki dan Qatar.

Terdahulu Rabu lalu, agensi bantuan kemanusiaan Turki, IHH berkata bahawa kerajaan Syria akan membebaskan 2,130 tahanan dalam pertukaran dengan tahanan rakyat Iran.

Bulent Yildirim, ketua IHH, berada di Damsyik untuk membantu merundingkan perjanjian itu.

"Ini adalah hasil diplomasi awam selama berbulan-bulan yang dijalankan oleh organisasi kami," ujar Serkan Nergis, jurucakap IHH. (aljazeera.com)

Isu kalimah Allah yang kompleks

Onn Yeoh, 10 Jan 2013
Seperti isu hudud yang sentiasa timbul dari semasa ke semasa, isu kalimah Allah menjadi berita utama lagi.

Ia nampak seperti Pakatan Rakyat telah menjaringkan goal sendiri apabila ada percanggahan kenyataaan yang dibuat oleh Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng dan Ketua Penerangan PAS Pusat Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam mesej Krismas, Lim telah mendesak kerajaan persekutuan untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dan versi Bible Berbahasa Melayu. Tuan Ibrahim telah memberikan respon, perkataan Tuhan adalah lebih sesuai (untuk menggantikan perkataan ‘God’ dalam kitab Bible yang ditranslasikan daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu).

Percanggahan pendapat menjadi senjata untuk musuh Pakatan, yang berkata ini bukti terbaru bahawa gagasan pembangkang ini hanyalah satu perkahwinan mudah dan DAP dan PAS tidak boleh bekerjasama.

Pengerusi DAP Karpal Singh kemudian menjelaskan bahawa Lim merujuk secara spesifik dalam konteks Sabah dan Sarawak, di mana ia telah mempunyai sejarah yang lama dalam menggunakan Allah dalam Bible Bahasa Melayu.

Kemudian, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menjelaskan pendirian PAS bahawa bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah. Bosnya Tuan Guru (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang turut mengesahkan perkara ini (tapi ditekankan ia tidak boleh disalahguna terhadap orang Islam). Begitu juga dengan Anwar Ibrahim.

Melihat isu ini seolah-olah dah selesai, timbul pula perkembangan baru. Sultan Selangor telah memutuskan bahawa Allah hanya boleh digunakan untuk orang Islam. Majlis Gereja Malaysia (Council of Churches of Malaysia yang mewakili Protestant) membuat pengumuman bahawa semua gereja akan terus menggunakan frasa tersebut kerana itu ada hak mereka dari segi perlembagaan.

Selain itu, Majlis Gurdwaras Malaysia (payung untuk tokong-tokong Sikh) masuk ke gelanggang dan berkata sebarang tindakan untuk menghalang bukan Islam dari menggunakan kalimah Allah dalam teks agama adalah halangan kepada Sikh untuk mengamalkan agama mereka kerana perkataan tersebut turut wujud di dalam kitab mereka.

Saya telah bercakap secara private dengan kawan Kristian, orang Islam dan bukan Kristian/bukan Islam mengenai masalah ini dan mendapat pandangan berbeza. Ada yang langsung tidak peduli mengenai hal ini, ada yang rasa isu ini diperbesarkan. Ada pula yang terasa sangat tersentuh dengan isu ini.



Allah biasa dikaitkan dengan Islam


Hujah Kristian yang asas ialah Kristian di Timur Tengah telah menggunakan frasa ini untuk beribu tahun. Satu semakan cepat pada Wikipedia telah menunjukkan bahawa perkataan Allah digunakan oleh Sikhs, Bahais, Mizrahi, Yahudi dan sebelum Islam, pagan-Arabs.

Jadi, ia kelihatan bahawa ada agama lain yang menggunakan frasa tersebut. Namun begitu, ia tidak boleh dinafikan bagi orang biasa, kalimah ‘Allah’ adalah berkait dengan Islam. Jika anda sangsi pada perkara itu, buatlah satu kajian 10 orang, dan bertanya mereka agama mana yang menyatakan Allah sebagai Tuhannya. Saya akan terkejut jika ada yang menjawab, “Kristian di Sabah dan Sarawak”, “Bahais”, “Sikhs”, “Mizrahi Yahudi” ataupun sebelum Islam “pagan Arabs”.

Ini antara sebab ramai orang Islam dan bukan Kristian, merasakan bingung apabila ada sekompolok Kristian yang bertegas untuk menggunakan Allah sebagai Tuhan dalam Bible Bahasa Melayu (terutamanya apabila perkataan Bahasa Melayu untuk God ialah Tuhan) (Komen Harakahdaily: Ini sebagaimana yang ditegaskan Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man).

Saya juga telah mendengar hujah bahawa di Timur Tengah bahawa Allah adalah perkataan umum untuk Tuhan. Saya tidak boleh memastikan perkara itu adalah benar, tetapi di Malaysia ia semestinya tidak. Cuba bayangkan lentingan bukan Islam (termasuk sebilangan Kristian, saya amat pasti) jika Rukun Negara yang pertama ditukarkan dari ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’ kepada ‘Kepercayaan Kepada Allah’.

Fikir, mengapa begitu? Untuk sebab yang saya ketengahkan tadi. Perkataan Allah secara umumnya dikaitkan dengan Allah, dan tidak dilihat sebagai perkataan umum untuk menggantikan ‘God’.

Seorang sahabat bukan Kristian, bukan Islam menyatakan dengan tepat apabila beliau berkata jika seseorang menggunakan perkataan ‘Allah’, ia nampak ia merujuk kepada Tuhan satu agama yang spesifik (dan beliau tidak merujuk kepada Kristian). Sebaliknya, ‘Tuhan’ adalah lebih universal dan sesuai untuk semua orang, termasuk yang tidak percaya pada Tuhan (atheists).

“Ada yang bertuhankan duit, jadi duit boleh jadi Tuhan mereka,” kata beliau secara berseloroh. Hujah beliau ada isi.


Kekeliruan yang timbul



Hujah paling kuat yang diketengahkan oleh golongan yang menentang penggunaan kalimah Allah di dalam Bible Bahasa Melayu ialah ia menjurus kepada kekeliruan.

Secara dasarnya, kebimbangan itu lahir apabila orang Islam mengambil kitab Bible Bahasa Melayu dan menganggapnya sebagai Quran. Itu adalah cara ringan untuk menjelaskannya. Tapi sebenarnya, ada golongan yang risau bahawa Bible Bahasa Melayu yang menggunakan Allah akan digunakan secara rahsia untuk membawa orang Islam ke dalam Kristian.

Walaupun ramai orang Kristian yang menyangkal teori ini, tapi kebimbangan ini tidaklah tidak bersifat rasional. Kristian adalah agama bersifat evangelical (begitu juga Islam). Semua orang tahu hakikat itu.

Dan terdapat cerita yang sama dalam Quran dan Bible yang berkait dengan Old Testament. Nabi Adam, Hawa, Noah, Abraham – semua muncul dalam kedua-dua buku. Nabi Isa juga muncul di Quran, cuma ia digambarkan sebagai Nabi dan bukannya anak Tuhan.

Karpal Singh turut berkata nama Allah muncul 37 kali dalam kitab suci Sikh. Pernah tak terfikir mengapa tiada orang yang memanggil untuk penggunaan di sana diharamkan? Ini kerana tidak mungkin seseorang boleh membuat kesilapan menganggap Guru Granth Sahib adalah untuk Quran.

Tapi Bible Bahasa Melayu dengan perkataan Allah di dalamnya – mempunyai kemungkinan untuk kekeliruan. Cuba bayangkan membawa frasa BM yang menyatakan Nabi Isa ialah anak Allah.

Walaupun begitu, saya tetap berpandangan seseorang harus diberi hak untuk memanggil Tuhan mereka dengan apa nama sahaja yang mereka hasratkan. Jika mereka ingin merujuk Tuhan mereka sebagai ‘Mickey Mouse’, mengapa ada yang perlu membantah (tapi, mungkin syarikat The Walt Disney Company mungkin membantah atas alasan hakcipta).

Jadi, dari aspek kebebasan bersuara, Kristian harus dibolehkan menggunakan perkataan Allah – satu hujan yang dikemukakan oleh Mahkamah Tinggi (walaupun Kementerian Dalam Negeri sedang membuat rayuan terhadap hal ini.).

Apa yang merumitkan keadaan ialah fakta bahawa memurtadkan orang Islam kepada agama lain adalah dilarang di Malaysia. Satu kitab Bible Bahasa Melayu yang merujuk God sebagai Allah akan dilihat dengan syak wasangka, sama ada atau tidak ada sebenarnya apa-apa niat untuk menukar agama seseorang apabila ia digunakan.

* Ini adalah terjemahan dari tulisan asal penulis yang dibuat dalam Bahasa Inggeris. Penulis adalah seorang media specialist. Ia adalah pendapat peribadi beliau untuk dikongsikan bersama pembaca Harakahdaily.

Selamat datang para pencinta perubahan

Harakahdaily, 10 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan kedatangan semua peserta ke himpunan bersejarah bagi rakyat Malaysia pada 12 Januari ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad berkata, Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) bakal menyaksikan jutaan rakyat Malaysia berhimpun bagi menuntut sebuah kerajaan yang adil dan bersih.

Katanya, Himpunan Kebangkitan Rakyat yang menggabungkan 8 tuntutan daripada pelbagai NGO dan organisasi ini merupakan satu himpunan mega yang terakhir sebelum pilihanraya umum 13 nanti.

DPPWP juga, ujarnya mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Negara kerana telah menyatakan komitmen untuk mengawal keselamatan ketika himpunan itu berlangsung.

“Kerjasama yang penuh daripada pihak polis ini perlulah disambut para peserta himpunan dengan memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan himpunan ini.

“Dengan komitmen yang telah diberikan oleh KPN ini maka seharusnya rakyat Malaysia tidak perlu gentar lagi untuk turun berhimpun di Stadium Merdeka pada Sabtu ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, DPPWP ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia khususnya yang berada di Wilayah Persekutuan dan sekitar Lembah Klang untuk bersama-sama hadir ke himpunan aman itu.

Katanya, DPPWP mensasarkan seramai 10,000 orang anak muda WP dan Lembah Klang yang akan turut sama hadir menyertai himpunan bersejarah itu.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang inginkan perubahan dalam arus politik tanah air dan yang inginkan Malaysia bebas dari segala gejala yang tidak bermoral oleh pemimpin Malaysia seharusnya hadir bagi bersama-sama menuntut perubahan.

“Sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia bangkit menyatakan hasrat dan hak kita,” ujarnya.

Justeru, kata beliau DPPWP sekali lagi menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk hadir dengan memakai pakaian sama ada berwarna hijau, merah, jingga dan kuning.

Tambahnya lagi, para peserta juga disarankan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur ini.

“DPPWP juga inginkan mengingatkan kepada para peserta supaya menjaga akhlak semasa berhimpun nanti dan jangan mudah termakan dengan provokasi-provokasi daripada mana-mana pihak.

“Hadirlah dengan jiwa yang aman, dengan harapan yang menggunung dan penuh iltizam kepada Allah SWT agar Umno BN dapat dikuburkan dalam PRU13 akan datang,” ujarnya.

Selamat Datang Para Pencinta Perubahan!

Rakyat Sabah perlu bangkit memperjuangkan hak

Harakahdaily, 10 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Gelombang Kebangkitan Rakyat terutama di kalangan anak-anak muda Sabah dilihat semakin membara, kata Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu.
“Hal ini bukan sahaja menjadi fenomena, malah secara tidak langsung memberi signal kepada kepimpinan negeri yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkonsepkan memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam Gabungan NGO Menuntut Hak Rakyat Sabah (Gegar) yang dinaungi anak muda merupakan sebagai langkah serta capaian terbaik bagi anak-anak muda Sabah untuk merasai denyut nadi perjuangan rakyat yang dihimpit kesukaran dan kepayahan di bumi sendiri.

Justeru, katanya walaupun, Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan diadakan pada 12 Januari ini dilihat lebih tertumpu kepada Semenanjung Malaysia dan Kuala Lumpur, namun pada hari yang sama juga Himpunan Sabah Bangkit yang dianjurkan Gegar perlu diberi tempat dan perhatian yang sewajarnya.

“Inilah anak-anak Sabah yang sedar akan tanggungjawab besar yang bakal menanti mereka kelak.

“Inilah kebangkitan Sabah yang sudah mula terasa kesengsaraan di bawah kepimpinan Kerajaan gabungan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya lagi.

Menruutnya, siapa yang tidak ‘sakit’ apabila melihat bumi tanah airnya yang dahulunya kaya menjadi sekangkang kera.

“Siapa yang tidak terguris hatinya apabila dirampas harta tanah dan kebun serta hasil tanamannya yang diusahakan bertahun lamanya.

“Siapa yang tidak ‘bingung’ melihat telatah kepimpinan negerinya yang mampu melihat setiap harta dan ‘karun’nya diangkut serta dijual ditangan asing. Siapa lagi yang tidak mahukan perubahan,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru seluruh anak muda Sabah perlu bangkit dan bingkas bangun untuk terus memperjuangkan hak miliknya.

“Masa ini bukan masanya untuk kita berpeluk tubuh, menggaru kepala dan mengangguk menggeleng antara setuju dan tidak. Masa ini, merupakan masa kebangkitan rakyat secara besar-besaran,” katanya.

Sehubungan itu, ujar Lahirul dalam Himpunan Sabah Bangkit yang diadakan serentak dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat, Dewan Pemuda PAS negeri sekali lagi mengajak seluruh warga Sabah tanpa mengira peringkat umur, darjat, warna kulit, bangsa dan agama untuk terus bersama kebangkitan rakyat.

“Ini kalilah, berabis kita,” tegasnya.

Kalimah Allah: Penjelasan Ketua Dewan Ulamak PAS

Harakahdaily, 10 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Saya ingin menjelaskan bahawa laporan berita bertajuk ‘Ulama PAS tetap tidak setuju bukan Islam guna kalimah Allah’ yang dikeluarkan oleh MStar pada 9 Januari 2013 adalah telah memetik secara salah apa yang saya sebutkan.

Demikian penjelasan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib berhubung laporan Mstar, semalam.

Berikut ialah penjelasan penuh beliau.

Saya ingin menjelaskan bahawa laporan berita bertajuk ‘Ulama PAS tetap tidak setuju bukan Islam guna kalimah Allah’ yang dikeluarkan oleh MStar pada 9 Januari 2013 adalah telah memetik secara salah apa yang saya sebutkan.

Kenyataan awal saya yang berkenaan adalah ketika saya diminta memberi komen terhadap permintaan pihak-pihak tertentu supaya dibenar penggunaan terjemahan Allah dalam Bible berbahasa Melayu beberapa minggu yang lalu.

Tajuk itu sepatutnya berbunyi seperti ini ‘Ulamak PAS tetap tidak setuju bukan Islam guna kalimah Allah di dalam kitab mereka bagi menggantikan perkataan God'.

PAS sokong R tuntut royalti hingga dapat

Basiron Wahab, 10 Jan 2013
TEMERLOH: Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS menghargai kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh Gabungan Profesional Menuntut Royalti , Pendaratan Minyak dan Gas (Royalti) atau lebih dikenali sebagai ‘R’ diatas komitmen dan kesungguhan memperjuangkan isu berkenaan.

Bercakap kepada media selepas menyabut kedatangan anggota R Kelantan yang berbasikal dari Kota Bahru ke Kuala Lumpur di Darul Amin, Sungai Gau, Tuan Ibrahim berkata, PAS akan bersama R sehingga segala tuntutan itu mencapai kejayaan.

Beliau  turut memuji ketabahan 13 pemuda R Kelantan yang sanggup mengayuh berbasikal beratus kilometer merentasi Terangganu dan Pahang dan akan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 11 Januari 2013.

“Bukan mudah untuk melakukanya (mengayu basikal) tanpa keazaman yang kuat dan semua ia menjadi pemangkin kepada ahli-ahli dalam memperjuangkan isu besar seperti R ini.” katanya.

Sementara itu ketua pasukan berbasikal R Kelantan Mohd Zulhazmi Hassan berkata, mereka berlepas dari Kota Bahru pada 1 Januari dan kini sudah masuk hari ke sembilan dan akan meneruskan perjalanan ke Bentong dan seterusnya ke Kuala Lumpur pada 11 Januari untuk bersama R Pahang, Kelantan dan Terengganu menyerahkan memorendum.

“Kami juga akan bersama-sama rakyat menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Stadium Merdeka pada 12 Januari,” katanya.

Tiada ulasan: