Khamis, 24 Januari 2013

YANG PENTING JAWAB APA DALAM HATI KITA DAN ORANG HANYA ALLAH YANG TAHU

Pakatan lonjakkan sokongan melalui janjinya

Muhammad Faizal, 24 Jan 2013

(Sokongan terhadap janji mansuh PTPTN)


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat terus mendapat sokongan terhadap janji-janji yang dibuatnya berdasarkan satu kajian baru-baru ini.

Ia berlaku ketika Barisan Nasional (BN) terus memperlekehkan janji itu melalui slogan 'Janji ditepati'.

Kajian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL) Universiti Malaya melalui 1409 responden itu mendapati sebanyak 57 peratus menyokong cadangan Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak.

Hanya 28 peratus tidak bersetuju dan 15 peratus pula tidak pasti.

Dalam pada itu menurut Pengarah UMCEDEL, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, persepsi pengundi kali pertama pada pilihan raya umum ke-13 dengan soalan dan janji yang sama mendapati 62 peratus bersetuju, 24 peratus tidak bersetuju dan 14 peratus masih tidak pasti.

"Kita melihat janji Pakatan dalam memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan penyediaan pendidikan secara percuma, sebanyak 60 peratus bersetuju dengan janji itu.

"Dalam pada itu hanya 26 peratus tidak bersetuju dan 14 peratus tidak pasti," sambung beliau.

Tambah, Dr Mohammad Redzuan lagi, janji penurunan harga kereta juga turut mendapat sokongan iaitu 50 peratus bersetuju setuju, 33 peratus tidak bersetuju manakala 17 peratus tidak pasti.

Selain itu juga, sokongan kepadanya lebih tinggi di kalangan pengundi kali pertama iaitu sebanyak 59 peratus setuju berbanding 26 peratus tidak bersetuju dan 15 peratus tidak pasti.

"Kita juga mendapati janji Pakatan dalam mewujudkan kerajaan yang bersih dan amanah juga menunjukkan peningkatan iaitu 57 peratus dari hasil kajian bersetuju.

"25 peratus pula tidak bersetuju dan 18 peratus tidak pasti, saya pasti Pakatan akan terus mendominasi sokongan jika perkara ini terus diketengahkan oleh mereka," sambung beliau ketika perbentangan hasil kajian di Jabatan Sejarah Universiti Malaya semalam.

Kajian yang difokuskan kepada isu-isu yang boleh meningkatkan sokongan kepada Pakatan Rakyat itu dilakukan oleh 43 orang enumerator dan 4 orang penyelia melibatkan kaedah bersemuka dan juga melalui telefon.
 
Peguam: Polis kawal rapi bedah siasat Sugumar
 
Sekumpulan polis mengawal ketat kawasan rumah mayat Hospital Serdang hari ini ketika bedah siasat dijalankan ke atas seorang lelaki yang ditemui mati dalam keadaan bergari pada malam semalam.
NONESeorang peguam PKR Latheefa Koya berkata, kira-kira 20 orang termasuk empat anggota polis bersenjatakan M-16 mengawal kawasan tersebut yang dipenuhi anggota keluarga si mati.

Katanya, anggota keluarga berkenaan menunggu untuk mengecam mayat Sugumar Chelliah, 40, sejak pagi ini setelah diberitahu mengenai kematian lelaki tersebut, lewat malam semalam.

Latheefa mendakwa, saksi melihat sekumpulan individu memukul Sugumar sehingga membawa kepada kematian lelaki tersebut dalam kejadian pada kira-kira jam 6.30 petang semalam.
NONEKatanya, beliau menuntut agar individu yang terlibat dalam kejadian yang membawa kepada kematian Sugumar itu dikenakan tindakan tegas.
Turut hadir bersama keluarga mangsa hari ini ialah naib presiden PKR N Surendran dan MP Kapar M Manikavasagam.

Surendran berkata, Manikavasagam yang turut masuk ke bilik bayat untuk mengecam mayat Sugumar mendapati tangan si mati masih bergari.
Sementara itu, ketua polis daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau akan mengadakan sidang media pada malam ini.
Beliau dijangka akan menjelaskan rentetan kejadian yang berlaku pada malam semalam, sehingga membawa kepada kematian Sugumar di satu kawasan taman perumahan di Hulu Langat.
Bekas ketua bahagian: Apartmen untuk kepentingan awam
 
Bekas ketua Umno Kota Raja Datuk Amzah Umar menjelaskan wujud salah laku dalam perolehan tanah di Seksyen 25, Shah Alam dan mendakawa apartmen kos sederhana berkenaan adalah untuk kepentingan awam.
Amzah menjelaskan, ia menyediakan perumahan kepada rakyat dan ahli Umno boleh mendapatkan diskaun 12 peratus untuk membeli apartmen tersebut.

"Kita beri tujuh peratus diskaun untuk pembeli bumiputera dan 12 peratus untuk ahli Umno, jika saya tidak silap," katanya ketika dihubungi hari ini.

Amzah yang juga ADUN Sri Muda semasa urusniaga tanah tersebut mengulas dakwaa oleh pengerusi jawatankuasa tanah dan pejabat tanah, Ng Suee Lim dan anggota jawatankuasanya, Shuhaimi Shafiei.

Ia merupakan salah satu daripada usaha Ng untuk mendedahkan 24 keping tanah yang didakwa dijual dengan harga murah kepada parti komponen BN semasa menguasai Selangor.
ADUN dakwa Umno guna PBT untuk dapat tanah murah
 
Kerajaan negeri Selangor hari ini mendedahkan satu lagi dakwaan skandal tanah murah melibatkan Umno, dengan dakwaan bahawa parti berkenaan menggunakan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk mempercepatkan kelulusan tanah.
Pengerusi satu jawatankuasa kerajaan negeri berhubung tanah dan pejabat daerah Ng Suee Lim mendakwa Umno bahagian Kota Raja dan MBSA membuat permohonan bersama untuk tanah seluas tujuh ekar itu pada 2006,  kononnya untuk membina kompleks sukan dan rekreasi serta pusat masyarakat.

Seramai 11 orang pemohon lagi merupakan pemaju persendirian yang didakwanya berhasrat untuk menggunakan tanah berkenaan bagi projek komersial dan kediaman.

Jawatankuasa Tanah Daerah Klang, yang bertanggungjawab ke atas tanah berkenaan di Seksyen 25, Shah Alam, mengesyorkan agar empat ekar diberikan kepada MBSA dan tiga lagi kepada Umno bahagian pada harga pasaran, dakwa Ng.

Bagaimanapun, pengagihan milikan itu dipinda apabila majlis kerajaan negeri yang dipengerusikan menteri besar pada masa itu Dr Mohd Khir Toyo, bertemu untuk meluluskan permohonan tanah berkenaan, dakwanya.

Dakwanya, Umno kemudiannya mendapat empat ekar dan MBSA tiga ekar.

Ng juga mendakwa bahawa Umno Kota Raja hanya perlu membayar premium tanah serendah RM1,000, walaupun tanah di kawasan tersebut dianggarkan bernilai RM700,000 seekar.

Permohonan untuk mendapatkan kebenaran merancang tanah itu kemudiannya menyatakan cadangan pembinaan apartmen dan lot kedai, serta dewan kecil untuk MBSA, dakwanya.

Lim yang juga ADUN Sekinchan, mendakwa ini merupakan kes paling "hangat" yang dibangkitkannya setakat ini kerana ia menunjukkan bahawa Umno menggunakan pihak berkuasa tempatan untuk kepentingan parti.
Polis: Jangan percaya khabar angin acara bakar Bible
 
Polis Pulau Pinang menggesa orang ramai jangan mempercayai khabar angin kononnya ada acara membakar Bible versi bahasa Melayu di Padang Bandaran Bagan Luar, Butterworth Ahad ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata berikutan isu itu polis menerima laporan seorang paderi menemui risalah bertulis 'jom bakar...pesta bakar bible melayu demi masa depan cucu kita' yang diletak di dalam peti surat di sebuah gereja 20 Jan lepas.

"Kita minta jangan ada pihak yang percaya dan mensensasikan isu ini kerana ia boleh mengugat ketenteraman awam dan mengundang perpecahan masyarakat," katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.

Beliau berkata polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur dan peserta perhimpunan itu sekiranya benar-benar diadakan.

Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebut perkataan berniat melukakan perasaan agama seseorang yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengenai isu pengedaran Bible kepada pelajar Islam di hadapan sebuah sekolah di Jelutong Khamis lepas, Abdul Rahim berkata polis telahpun merekodkan keterangan 17 individu.

"Kertas siasatan telah lengkap dan diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata siasatan polis mendapati kesemua Bible itu dicetak dalam bahasa Inggeris dan tidak mempunyai sebarang kalimah Allah.

"Setakat ini polis menerima tujuh laporan mengenai isu itu, iaitu empat daripada pelajar dan selebihnya daripada orang awam," katanya.

- Bernama
Umno beri amaran pada jentera Pasir Gudang
 
Ketua Penerangan Umno Malaysia, Datuk Ahmad Maslan memberi amaran kepada pemimpin akar umbi di Pasir Gudang yang didakwa menutup bilik gerakan masing-masing dengan alasan kecewa dengan tindakan menteri besar Datuk Abdul Ghani Othman.

Ahmad berkata tindakan tegas akan diambil terhadap ahli Umno yang melakukan sabotaj ke atas parti dalam pilihan raya umum akan datang.

NONE"Pada sesiapa yang membuat kerja memboikot begini, mereka akan diambil tindakan. Kita akan ambil tindakan keras.

"Saya ulangi, kepada sesiapa yang hendak buat cerita boikot ini, tidak ada tempat untuk mereka dalam Umno, pergilah cari NGO lain.

"Kita serius dalam pilihan raya, ia berkenaan masa depan negara," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa bilik gerakan pusat daerah mengundi hanya diarahkan untuk dibuka selepas 1 Februari akan datang.

"Itu maksudnya bukanlah ditutup, cerita ditutup ini apabila setelah penamaan calon.
"Kita belum berkempen pun lagi, jadi yang ini belum dibuka sahaja," katanya lagi ketika ditanya mengenai tindakan pemimpin akar umbi tersebut.

Laporan Sinar Harian Online hari ini mendakwa, sebahagian besar cawangan parti di Pasir Gudang menutup bilik gerakan kerana kecewa dengan tindakan menteri besar Datuk Abdul Ghani Othman yang masih belum memberi hak milik tanah kepada penduduk setinggan.

Laporan berkenaan memetik kenyataan pegerusi tetap Umno bahagian tersebut, Abu Bakar Alibi yang mendakwa lima bilik gerakan ditutup dan empat lagi dijangka mengambil tindakan sama menjelang pilihan raya.

Isu hak milik tanah
Abu Bakar dalam laporan itu juga menegaskan, Umno cawangan berkenaan tidak akan menjalankan aktiviti untuk menghadapi pilihan raya dan tidak akan bertanggungjawab sekiranya tindakan pengundi menjejaskan BN.

“Apa sahaja tindakan pengundi dan apa sahaja yang bakal berlaku kepada calon BN pada PRU13 nanti, kami selaku Ketua Umno Cawangan tidak akan bertanggungjawab.

“Sekarang sudah lima bilik gerakan ditutup, kami difahamkan empat lagi bilik gerakan di kampung setinggan akan menyusul tanpa sebarang persiapan berdepan PRU13,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Laporan berkenaan juga memetik kenyataan daripada tiga ketua Umno cawangan di kawasan tersebut - Yacob Sahadan (Kampung Senibong), Mohd Saleh Arsad (Kampung Plentong Baru) dan Nordin Kasri (Kampung Seri Makmur).

Yacob berkata menteri besar berjanji untuk memberi hak milik tanah itu sejak 13 tahun lalu.
Pemimpin berkenaan juga antara lainnya bimbang isu tersebut akan menjejaskan sokongan orang Melayu di negeri yang didakwa sebagai kubu kuat Umno itu.
Polis bongkar sindiket jual bayi, kanak-kanak
 
Polis membongkar sidiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak.
Mereka yang ditahan dalam operasi hasil risikan dan maklumat awam sejak awal Disember hingga minggu ini, berusia antara 23 dan 52 tahun, dan antaranya ialah penjawat awam di Jabatan Pendaftaran Negara serta doktor pusat perubatan swasta.

"Kami percaya lapan bayi seawal usia dua bulan dan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang diselamatkan itu adalah untuk dijual," kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi kepada pemberita di Georgetown hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai operasi dan lokasi serbuan kerana kes itu masih disiasat.

Siasatan awal polis mendapati bayi dan kanak-kanak itu dijual dengan harga antara RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina, lengkap dengan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan.

"Polis merampas lima keping MyKid, 14 sijil kelahiran, 18 rekod perubatan dan kesemuanya adalah dokemen asli serta wang tunai sebanyak RM15,000," katanya.

Abdul Rahim berkata tujuh daripada bayi yang diselamatkan itu dipercayai rakyat Thailand, manakala yang lain campuran Bangladesh dan Indonesia serta seorang rakyat tempatan.

Kesemua bayi dan kanak-kanak yang diselamatkan itu kini ditempatkan di sebuah pusat perlindungan di bawah seliaan polis.

Beliau berkata sindiket yang aktif sejak tahun 2009 itu juga didapati menawarkan wang tunai antara RM2,500 dan RM4,500 kepada wanita asing yang melahirkan anak luar nikah serta mereka yang kesempitan wang dan mahu menjual anak mereka.

- Bernama
Noh: Tindakan beku Capex Syabas tak munasabah
 
Tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor membekukan perbelanjaan modal (Capex) kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) disifatkan sebagai mengetepikan masalah rakyat.

Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata kerajaan negeri itu sepatutnya berusaha menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi rakyat bukannya mengambil tindakan yang jelas berkaitan politik semata-mata.

"Rakyat perlu menilai sendiri sikap kerajaan pakatan pembangkang ini yang ambil tindakan tidak munasabah bekukan Capex dan salahkan Syabas," katanya pada sidang akhbar selepas menyertai sambutan Maulidur Rasul Peringkat Tanjong Karang di Tanjung Karang hari ini.

Noh berkata kerajaan persekutuan telah memperuntukkan RM606 juta untuk program mitigasi air serta kerja baik pulih paip dan membina loji air tambahan.

Malah, katanya kerajaan persekutuan turut memberi pinjaman kepada kerajaan Selangor untuk program mitigasi air bagi menyelesaikan isu air di negeri itu.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata bagaimanapun, kerajaan Selangor terus berdolak dalih dalam isu itu dan cuba menyalahkan kerajaan persekutuan.

Anggota Dewan Undangan (Adun) Permatang Sulaiman Razak berkata isu Capex dibangkitkan sejak 2009 apabila kerajaan Selangor mahu Syabas memastikan supaya air tidak berhasil (NRW) dikurangkan dari 34 ke 15 peratus membabitkan pembaikan 2,000 kilometer paip sehingga 2014.

"Bila bekukan Capex bagaimana kerja ganti paip mahu dilakukan, bila kerja paip tidak dapat diteruskan akan menyebabkan usaha untuk mengurangkan NRW gagal dicapai, kalau betul kerajaan Selangor mahu selesaikan isu air mengapa bekukan Capex," katanya.

Pada sidang akhbar selepas mesyuarat exco semalam, Abdul Khalid berkata kerajaan Selangor akan mempertahankan pendirian mereka untuk mengambil alih perkhidmatan industri air daripada syarikat konsesi air di Selangor.

Berikutan itu kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan Pembekuan Perbelanjaan Modal (Capex) yang didakwa mereka untuk menjaga kebajikan rakyat.

- Bernama
Najib jawab dakwaan presiden Palestin
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata lawatan beliau ke Gaza semalam adalah lawatan kemanusiaan dan bukan mahu campur tangan dalam urusan dalaman Palestin.

Sekaligus lawatan itu mempamerkan sokongan yang cukup kuat daripada rakyat dan kerajaan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin termasuk di Gaza yang mendapat tekanan hebat daripada keganasan Israel selama lapan hari pada November tahun lepas.

Keganasan yang dilakukan oleh Israel di Gaza amat menyayat hati rakyat Malaysia dan dengan perkembangan terkini yang melibatkan rakyat Malaysia dalam menghulurkan bantuan, Najib berkata adalah amat wajar beliau melawat wilayah Palestin itu bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangan mereka.

Najib berkata demikian dalam sidang akhbar di hari terakhir lawatan kerja tiga hari beliau di Mesir yang bermula Isnin lepas sebelum berangkat menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

Najib juga berkata lawatan semalam memberi peluang kepada beliau menyatakan sokongan kepada Fatah dan Hamas untuk menubuhkan kerajaan perpaduan secepat mungkin.

Kewujudan kerajaan perpaduan antara Fatah dan Hamas penting bagi rakyat Palestin iaitu pra-syarat untuk mereka mendapatkan kejayaan yang diidam-idamkan dalam perjuangan mereka, katanya.

"Saya telah tegaskan kepada (Perdana Menteri Palestin) Ismail Haniyeh dan saya ulangi dengan (Presiden Mesir Mohamed) Morsi dalam pertemuan malam tadi supaya Mesir menjadi broker atau orang tengah," katanya.

Najib berkata Morsi telah menetapkan jadual untuk dua pihak iaitu Fatah dan Hamas untuk meneruskan rundingan sehingga dapat menubuhkan kerajaan perpaduan dalam masa terdekat dan Morsi optimis mengenai rundingan itu.

Ditanya mengenai dakwaan Presiden Palestin Mahmoud Abbas tidak senang hati dengan lawatan beliau, Najib berkata mungkin ada salah faham tetapi beliau telah menjelaskan kepada wakil Fatah bahawa isu terkini Palestin ialah mengenai penderitaan rakyat di Gaza bukannya Tebing Barat.

"Saya tidak dapat lawat Ramallah (Tebing Barat yang dikuasai Fatah) yang ruang udaranya di bawah kawalan Israel dan Israel tidak akan memberikan kebenaran melainkan kita ada hubungan diplomatik dengan Israel,"  katanya.

Najib berkata rancangan asal beliau untuk melawat kedua-duanya, Tebing Barat dan Gaza, tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana sekatan yang sedia ada di Tebing Barat.

Justeru, Najib berkata lawatan beliau ke Gaza jangan disalah tafsir di mana  ia tidak memberikan kelebihan dan kekurangan kepada Hamas mahupun Fatah,  sebaliknya Malaysia menggesa kerajaan perpaduan yang dianggotai Hamas dan Fatah menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

Najib juga berkata kerajaan perpaduan di Palestin adalah amat penting supaya keputusan pilihan raya Israel yang berlangsung semalam dikhuatiri akan membentuk kerajaan yang mengamalkan dasar yang lebih keras terhadap Palestin.

Beliau juga berkata isu Palestin amat dekat di hati beliau di mana semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran dan Pertahanan beliau sendiri telah menaja dua kanak-kanak Palestin.

- Bernama

Janin lima bulan ditemui dalam longkang
 
Janin bayi lelaki cukup sifat ditemui dalam sebuah longkang besar di belakang pejabat Jabatan Kerja Raya, Jalan Sentul Manis di Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata janin tersebut ditemui oleh seorang pekerja pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kira-kira pukul 1.14 tengah hari.

"Janin cukup sifat itu dijumpai semasa kerja pembersihan dilakukan," katanya dalam khidmat pesanan ringkas.

Zakaria berkata janin berkenaan ditemui di atas plastik sampah yang tersangkut kerana air cetek dan tidak mengalir deras.

Beliau berkata janin itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat pada pukul 3.30 petang.

- Bernama
Populariti: Anwar makin hampiri Najib
7:27PM Jan 23 2013  
dikemaskini Hanya satu peratus sahaja yang memisahkan Perdana Menteri, Najib Tun Razak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kajiselidik menjelang pilihan raya umum dijangka diadakan beberapa minggu lagi.

Hasil kajiselidik yang dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) menunjukkan Najib ke depan sedikit dengan memperolehi 43 peratus berbanding 42 peratus untuk Anwar 'sebagai paling layak menjadi perdana menteri'.
NONE
Dua lagi pemimpin turut dimasukkan dalam kajiselidik itu, dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di tempat ketiga (26 peratus) manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di tempat terakhir (22 peratus).
Bagi undi tidak bersetuju pula, Abdul Hadi menduduki tempat tertinggi (46 peratus), diikuti oleh Muhyiddin (42 peratus).
Di Kalangan Melayu, Najib adalah yang paling popular (46 peratus), diikuti oleh Abdul Hadi (36 peratus), Anwar (34 peratus) dan Muhyiddin (26 peratus).

Keputusannya adalah berbeza di kalangan kaum Cina di mana Anwar muncul paling popular (61 peratus), diikuti oleh Najib (35 peratus), Muhyiddin (15 peratus). Abdul Hadi adalah yang paling kurang popular, meraih hanya dua peratus.

Ketua Kajiselidik Umcedel itu, Prof Mohd Redzuan Othman berkata rating penerimaan terhadap Najib merosot kepada 54 peratus daripada 61 peratus pada kajiselidik Mac-April 2012 dan 58 peratus pada September tahun lepas.

Kajiselidik terbaru ini dijalankan antara 26 Disember dan 11 Januari, dengan 1,409 responden di semenanjung yang ditemuramah secara bersemuka.

Pengundi baru, Anwar lebih popular
Sementara itu, kajiselidik itu mendapati Anwar lebih popular berbanding dengan Najib di kalangan pengundi baru dan kali pertama.
NONE
Anwar memperolehi 52 peratus penerimaan dari kumpulan ini,

manakala Najib menerima 30 peratus, dengan Abdul Hadi di tempat ketiga (24 peratus) dan Muhyiddin lepas (15 peratus).

Terdapat lebih dua juta pengundi baru dalam pilihan raya umum yang akan datang, yang mewakili kira-kira 20 peratus daftar pemilih, membuat mereka mempunyai kuasa yang kuat.

Responden terbahagi hampir sama rata dalam pilihan antara parti atau calon, dengan 48 peratus meletakkan calon dahulu dan 47 peratus memberikan keutamaan kepada parti.

Bagaimanapun, responden wanita dalam kajiselidik tersebut memberi penekanan yang lebih besar kepada calon - 54 peratus mengatakan calon lebih penting, berbanding dengan 46 peratus sebaliknya.
KJ: Nasruddin iri hati PM disambut warga Palestin
 
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan tidak sepatutnya memperlekeh lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Palestin bagi memberi sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin membebaskan negara mereka daripada Israel.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata Nasrudin sebenarnya iri hati kerana lawatan Perdana Menteri mendapat sambutan luar biasa rakyat Palestin dan pemimpin Hamas.

Beliau berkata Nasrudin sepatutnya mengetepikan kepentingan politik dengan memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri kerana lawatan itu menunjukkan rakyat negara ini sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin.

"Sikapnya itu amat tidak matang apabila mencampurkan soal politik dalam negara dengan perjuangan kemanusiaan bagi membebaskan bumi Palestin dan rakyatnya yang dizalimi Israel sejak puluhan tahun lalu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua Pemuda Umno Pahang dalam siri lawatan kerjanya bagi meninjau persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 di Temerloh hari ini.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nasrudin dalam blognya yang mencemuh lawatan Perdana Menteri ke Gaza dengan perkataan kesat.

Dalam perkembangan lain, Khairy malahirkan rasa hairan dengan sikap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kekal dengan pendirian membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Katanya Anwar sepatutnya tidak menunjukkan sikap percanggahan dengan keputusan Majlis Syura PAS pada 13 Jan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu.

"Kenyataan bercanggah antara PAS dan Anwar menyebabkan umat Islam terutamanya mereka yang tidak berparti merasa kecewa dan PAS sepatutnya perlu memikirkan semula kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Pemuda Umno akan memberi tumpuan untuk menawan pengundi muda yang masih tidak mempunyai parti dan akan mengundi kali pertama pada pilihan raya umum akan datang bagi menyokong BN.

Beliau berkata Pemuda Umno akan memberi fokus memikat 40 peratus pengundi muda atas pagar daripada keseluruhan pengundi muda semua kaum di seluruh negara.

Sehubungan itu, katanya, jentera pilihan raya pemuda BN perlu mendekati seramai mungkin pengundi muda dengan menggunakan rangkaian media sosial seperti Facebook dan Twitter.

"Selain menggunakan hujah berfakta, Pemuda BN perlu berkempen 24 jam menerusi akses media sosial terutamanya bagi mengesan mereka yang berada di luar kawasan serta melalui aktiviti sukan, masjid, ceramah, kebajikan dan sebagainya," katanya.

Khairy berkata sokongan golongan muda terhadap BN dan kepimpinan Najib semakin meningkat setiap hari.

"Walaupun kita berpuas hati terhadap respons yang ditunjukkan oleh pengundi muda, namun kita akan terus tingkatkan lagi sokongan golongan itu kepada BN," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: