Khamis, 10 Januari 2013

SINGA BOLEH PUPUS...AKIDAH JUGA AKAN PUPUS JIKA TIDAK BERAMAL...TIDAK MENUNTUT ILMU SERTA TIDAK MENINGGALKAN MAKSIAT...KITA HENDAKLAH SENTIASA DEKATKAN DIRI DENGAN ALLAH BUKAN JUARA MAKSIAT SERTA LAWAN ALLAH

Penyebar berita palsu boleh didenda RM50,000


KERATAN laman web yang mendakwa Najib mengalami strok ringan pada 5 Januari lalu.



CYBERJAYA - Orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu melalui internet atau khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana mereka boleh dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang iaitu denda sehingga RM50,000 atau penjara selama setahun atau kedua-duanya sekali.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, hukuman tersebut boleh dikenakan mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan berita palsu melalui SMS atau media sosial kerana berita palsu seperti yang ditulis dalam blog boleh mengganggu gugat keselamatan negara, kesejahteraan masyarakat dan merupakan pengaruh buruk terhadap kedudukan ekonomi masa kini," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai penyebaran berita palsu kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diserang strok ringan.

Lelaki hilang ditemui mati



MOHD. NIZAM menunjukkan sepasang kasut milik Fadzil yang ditemui di tepi telaga di Kampung Padang Halban, Changlun kelmarin. Kawasan dalam bulatan ialah tapak telaga itu yang telah dikambus. Gambar kecil, Allahyarham Fadzil.



CHANGLUN - Misteri kehilangan seorang lelaki lembam sejak lebih dua minggu lalu terjawab apabila mayatnya ditemui dalam keadaan sudah mereput di dalam sebuah telaga tinggal di Kampung Padang Halban di sini kelmarin.
Mayat Fadzil Hussain, 56, ditemui pada pukul 11 pagi oleh seorang pekerja kontrak, Mohd. Nizam Abdul Hamid, 35, yang ingin membuang air kecil di kawasan semak berhampiran telaga tersebut.
Telaga sedalam tiga meter dan mempunyai air paras pinggang orang dewasa itu terletak kira-kira 500 meter dari rumah Fadzil.
Kata Mohd. Nizam, sebelum menemui mayat itu, dia sedang melakukan kerja-kerja memasang pagar sebuah sekolah tidak jauh dari telaga tinggal tersebut.
"Ketika ternampak objek seperti mayat itu, saya sangka ia sampah yang diikat dengan baju tetapi apabila diamati betul-betul ia merupakan mayat tanpa kepala bersandar pada dinding di dalam telaga berkenaan.
"Tengkoraknya pula berada bersebelahan badan lelaki itu dan ia mungkin terjatuh kerana mayat sudah mereput," ceritanya yang terus memaklumkan penemuan itu kepada pihak sekolah dan polis.

Lelaki terjun laut ditemui lemas



ANGGOTA keselamatan mengangkat mayat Kahar yang ditemui lemas di Tawau semalam.



TAWAU – Seorang buruh warga Indonesia yang dilaporkan hilang selepas nekad terjun ke laut sewaktu pemeriksaan Imigresen di Pusat Pemeriksaan Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dekat sini ditemui lemas semalam.
Mayat Kahar Kokok, 37, yang lengkap berpakaian dijumpai terapung di perairan Sabindo kira-kira satu kilometer dari lokasi dia terjun oleh orang awam pada pukul 8.30 pagi.
Ketua Balai Bomba Tawau, Ruzy Fredzek berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.35 pagi daripada orang awam yang memaklumkan penemuan tersebut sebelum mengarahkan anggotanya ke lokasi kejadian.
Menurutnya, mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terapung dan diselaputi lumpur.

Ferrari hangus sebelum dicuci



SEORANG anggota bomba memadamkan kebakaran yang memusnahkan kereta Ferrari di sebuah premis mencuci kereta di Kajang kelmarin.



KAJANG - Seorang pemilik sebuah premis mencuci kereta tergamam apabila melihat sebuah kereta mewah jenis Ferrari 360 Spider bernilai lebih RM1 juta milik pelanggannya tiba-tiba terbakar dalam kejadian di Jalan Putera 3, Taman Putera, Kajang di sini kelmarin.
Kejadian pukul 9.25 malam itu berlaku beberapa minit selepas kereta mewah tersebut diletakkan di situ oleh pemiliknya untuk dicuci.
Namun belum sempat ia dicuci, wanita berusia lingkungan 30-an tersebut terkejut apabila mendapati kereta itu tiba-tiba terbakar menyebabkan kereta itu musnah.
Difahamkan, pemilik kereta itu merupakan seorang lelaki dan dia terselamat kerana telah keluar terlebih dulu sebelum kebakaran berlaku.
"Kami masih menunggu punca sebenar kejadian daripada bomba yang membantu menjalankan siasatan," kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab.

Polis rampas 621 bungkus air ketum di rumah sewa



ANGGOTA polis memunggah bakul berisi bungkusan air daun ketum yang dirampas di sebuah rumah sewa di Batang Tiga Bukit Rambai, Melaka semalam.



MELAKA – Polis merampas 621 bungkus air daun ketum dengan isipadu 493.9 liter dianggarkan bernilai RM6,210 dalam serbuan Ops Tapis di sebuah rumah sewa di Batang Tiga, Bukit Rambai di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 6 pagi itu, seorang lelaki dan dua wanita ditahan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman (gambar kecil) berkata, serbuan dibuat selepas polis mendapat maklumat daripada orang awam mengenai premis tersebut dijadikan tempat memproses daun ketum.

“Serbuan turut membawa kepada penangkapan tiga suspek terdiri daripada seorang lelaki berumur 32 tahun serta dua wanita berumur 18 dan 20 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes ini.

“Turut dirampas perkakas memasak daun ketum mentah iaitu tiga periuk besar, dua tong gas, dapur memasak dan penapis air,” katanya.

Pengalaman artis di sebalik tirai besi





Setiap negara memiliki undang-undangnya sendiri. Apabila telah disabitkan kesalahan, tidak kira siapa pun individu tersebut, semua pasti tidak akan terlepas daripada genggaman undang-undang termasuklah beberapa artis tempatan yang juga pernah menjadi penghuni di sebalik tirai besi.
Walaupun sememangnya tiada siapa pun dalam kalangan mereka yang mahu menjadi penghuni bilik kurungan kecil tersebut, namun kerana kesalahan yang telah dilakukan, mereka harus akur dengan hukuman yang dijatuhkan.
Ikuti pengalaman beberapa orang artis tempatan yang pernah menjadi penghuni di sebalik tirai besi atas kesalahan yang disabit dan dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang.
Mereka termasuklah vokalis kumpulan Iklim, Saleem; penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, penyanyi utama Spring, Ameng dan kes yang terbaharu, model dan pelakon Zarina Anjoulie.
1SALEEM IKLIM
Penyanyi legenda bersuara serak-serak basah, Saleem yang pada asalnya merupakan vokalis sensasi kumpulan Iklim pernah menggegarkan industri muzik tempatan pada era tahun 1990-an.
Dia kini masih lagi bergelar penyanyi tetapi secara solo.
Pemilik nama sebenar, A.M Salim Abdul Majeed suatu ketika pernah melalui detik gelap dalam hidupnya.
Oleh kerana terlalu ketagih dengan najis dadah, Saleem pernah beberapa kali menjadi penghuni di penjara dan pusat pemulihan.
Penyanyi ini juga mengakui kesilapannya memilih kawan pada masa lampau menyebabkan dia terjebak dalam kancah najis dadah.
Pada 12 Mac 2005, anak jati Kampung Permaisuri, Setiu, Terengganu ini didapati bersalah memiliki satu paket plastik yang mengandungi 0.06 gram campuran heroin dan monoacetlymorphine serta satu lagi paket plastik mengandungi 0.06 gram dadah yang serupa pada Julai 2004.
Saleem terpaksa menjalani hukuman penjara selama lapan bulan bermula 13 Disember 2004.
Dia juga diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas dibebaskan.
Menyedari kesilapannya dan ingin berubah, Saleem akui membiarkan dirinya dikawal oleh isteri untuk kebaikan dirinya sendiri.
Walaupun dilihat seperti dikongkong, Saleem kini bahagia bersama isteri, Juriah Bachok dan anak lelaki mereka, Mohd. Amirul Mukminin yang kini telah pun berusia 9 tahun.
"Dia merupakan satu-satunya insan yang datang membantu pada saat tiada siapa di sisi.
"Saya berani katakan begitu kerana sebab dialah saya menjadi manusia semula dan tidak terus terumbang-ambing sehingga orang boleh menganggap saya seumpama sampah," tegas Saleem tentang isterinya itu.
2 AMENG SPRING
Penyanyi terkenal dari kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng, kini sedang menjalani hukuman di penjara.
Sejak tahun 2005, Ameng telah terbabit dengan kes dadah yang mana dia telah beberapa kali dijatuhi hukuman penjara.
Pada Oktober 2005, Ameng mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Besut, Terengganu atas tuduhan menagih dadah jenis methamphetamine di Kampung Batang Gergaji, Besut pada 3 September tahun tersebut.


AMENG ketika ini sedang menjalani hukuman di Penjara Kluang, Johor.



Pada bulan Disember tahun yang sama, Ameng atas kesalahan yang diakuinya, dia dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Besut, Terengganu setelah mengaku salah menagih dadah pada awal September 2005.
Sekali lagi Ameng ditahan dan dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas dia didapati bersalah terhadap tuduhan memasukkan ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sentul, Kuala Lumpur.
Namun, terbaharu, pada 12 April 2011, Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 kali sebatan di Mahkamah Sesyen Melaka manakala isterinya, Sabariah Zakariah pula dibebaskan.
Hukuman sebatan bukanlah mudah untuk diterima. Ini kerana biar pun satu sebatan sahaja sudah memadai untuk membuatkan individu tersebut lemah.
Ameng turut mengakui perkara tersebut dengan mengatakan peritnya hukuman tersebut membuatkan dia insaf dan amat menyesal.
Sehubungan dengan itu, Ameng banyak terlibat dengan aktiviti kerohanian dan keagamaan semasa menjalani hukuman di Penjara Kluang, Johor.
Buktinya, kumpulan Voices of Prison yang diketuai olehnya, muncul johan Pertandingan Nasyid ke-6 Peringkat Penghuni Jabatan Penjara Malaysia 2012 yang berlangsung di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.
Dia bersama empat lagi rakan banduan berjaya menewaskan 11 kumpulan lain menerusi lagu Insafi Diri.
3 RAJA AZMI
Penerbit filem paling kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Raja Azmi, sering menaikkan termometer kontroversi dengan filem-filem terbitannya yang dikatakan berunsur seks dan salah satunya sudah tentu … Dalam Botol. Namun, bukan itu kisah tentang dirinya yang ingin diceritakan.
Oleh kerana gagal menghadirkan diri di mahkamah seperti mana yang diminta iaitu dengan tidak tidak menghadiri prosiding mahkamah sebanyak tiga kali, Raja Azmi telah ditahan ketika dia pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Selangor untuk membuat satu laporan polis.
Dia didapati mempunyai waran tangkap daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana tidak hadir perbicaraan pada 21 Julai 2010 bagi satu kes pertikaian komersial.
Dalam kes tersebut, Raja Azmi didakwa terlibat dengan satu kes tuntutan jual beli tanah beberapa tahun lalu.
Ekoran daripada itu, pada 19 Ogos tahun yang sama, Raja Azmi terpaksa bermalam di lokap Balai Polis Pandan Indah, Kuala Lumpur sehingga keesokan harinya.
Namun hakikatnya, lokap dan penjara merupakan dua perkara berbeza yang mana lokap merupakan tahanan sementara manakala penjara pula, untuk individu yang telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman.
SALEEM kini mengakui sudah insaf dan enggan lagi terbabit dengan najis dadah.


Walaupun hanya ditahan di lokap hanya satu malam, ia sudah cukup untuk membuatkan Raja Azmi serik.
Sementelah, kejadian yang menimpa dirinya itu berlaku pada bulan Ramadan yang mana semua umat Islam termasuk Raja Azmi sedang menjalani ibadah puasa.
Dia juga tidak segan untuk berkongsi kisah hitamnya itu dengan pihak media.
Raja Azmi malah meluahkan betapa dirinya telah mengalami trauma selepas tidur di dalam lokap yang gelap berlantaikan simen sejuk dan tiada sebarang alas.
"Ia suatu pengalaman yang amat menyedihkan," akuinya.
Dia lantas menegaskan selepas ini dirinya akan lebih berhati-hati dan tidak akan mengambil mudah terhadap undang-undang mahkamah lagi pada masa hadapan.
4 ZARINA ANJOULIE
Kes yang masih segar dan panas, iaitu membabitkan pelakon yang saban tahun pasti lekat dengan kontroversi - siapa lagi kalau bukan Zarina Anjoulie.
Mungkin pada awalnya, dia terlibat dengan kontroversi gambar bogelnya, namun terbaharu, dia masuk penjara untuk disiasat selepas dikaitkan dengan satu kes dadah.
Realitinya, ini bukan kali pertama Zarina Anjoulie Lavocah atau nama ringkasnya, Anju terlibat dengan siasatan berkaitan kes dadah.
Pada tahun 2010, pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Anak Pontianak ini pernah ditahan dalam satu operasi yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Sepang, Selangor.
Bagaimanapun, ujian air kencingnya menunjukkan dia negatif dan bebas daripada pengaruh dadah.
Setelah muncul dengan kontroversi lain khususnya percakaran dengan seorang lagi artis yang mirip wajahnya iaitu Lufya AF, dia sekali lagi ditangkap bersama teman lelakinya, Mohamad Fakhruzaim pada 30 Disember lalu atas dakwaan memiliki dua biji pil Eramin 5.
Anju mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin oleh ahli keluarga. Namun kegagalan ahli keluarganya untuk membayar jaminan Anju telah terpaksa dimasukkan ke Kompleks Penjara Kajang, Selangor.
Sehubungan dengan itu, pelakon ini telah direman selama tiga hari di lokap polis. Bagaimanapun, selepas tiga hari, Zarina dibebaskan dengan diikat jamin oleh adik perempuan tirinya sebanyak RM2,000.


KES Raja Azmi masuk lokap pernah menggemparkan negara pada tahun 2010.



Kes itu akan disebut semula 8 Februari nanti. Dakwaan ke atas Zarina dan rakannya dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
"Betul saya ditahan, kena dua malam dalam penjara dan lega sekarang dibebaskan. Maaf saya tak dapat berbual panjang, telefon saya kehabisan bateri," katanya dalam nada biasa.
Ini merupakan beberapa sahaja senarai artis yang pernah melalui pengalaman di dalam penjara mahupun lokap. Apa yang pasti, sesiapa pun individu tersebut, sebesar mana pun nama mereka, jika kesalahan yang dilakukan itu berat, pasti hukuman setimpal juga menanti mereka.

Berlusconi diarah bayar bekas isteri RM791,180 sehari


GAMBAR fail Jun, 2004 menunjukkan Berlusconi (kanan) dan isterinya, Lario tiba untuk makan malam bersama Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush di Rom, Itali.



ROM - Bekas perdana menteri Itali, Silvio Berlusconi mengecam tiga hakim wanita sebagai feminis dan komunis kelmarin kerana memutuskan beliau berhutang AS$260,000 (RM791,180) sehari kepada isterinya berhubung penyelesaian perceraian mereka.
Pada 28 Disember tahun lalu, akhbar Corriere della Sera melaporkan keputusan mahkamah itu dengan Berlusconi diarahkan membayar jumlah tersebut kepada Veronica Lario yang dikahwininya pada 1990.
Ini adalah kali pertama Berlusconi mengeluarkan kenyataan terbuka tentang penyelesaian perceraian mereka. Namun, beliau tidak mendedahkan jumlah sebenar yang perlu dibayar kepada isterinya.
"Mereka mengarahkan saya membayar AS$260,000 sehari dan ini mendedahkan siapa sebenarnya hakim-hakim di Milan itu," kata Berlusconi dalam satu wawancara bersama saluran televisyen La7.
"Mereka ialah tiga hakim feminis dan komunis," tambahnya.
Dalam wawancara tersebut, Berlusconi mengulangi dakwaan sebelum ini bahawa ketiga-ketiga hakim Milan itu telah mendakwanya sejak beliau menceburi politik pada 1994 kerana menentang fahaman politiknya.
Pada Oktober tahun lalu, sebuah mahkamah di Milan menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas Berlusconi kerana menipu cukai dengan beliau merancang merayu hukuman tersebut.
Pemimpin berusia 76 tahun itu kini bertanding untuk penggal kelima dalam pilihan raya Parlimen yang dijadualkan pada 24 dan 25 Februari depan.
Lario mengemukakan perceraian daripada bilionair itu pada 2009 selepas mendakwa beliau menjalinkan hubungan sulit dengan seorang gadis berusia 17 tahun.
Menurut Berlusconi, beliau kini merayu keputusan mahkamah berkenaan. - Reuters

Terselamat daripada maut selepas berlindung di bawah jeti



TAMMY HOLMES (dua dari kiri) berlindung di bawah sebuah jeti bersama cucu-cucunya ketika kebakaran hutan memusnahkan kediaman mereka di bandar Dunalley, Pulau Tasmania pada 4 Januari lalu.



HOBART - Sebuah keluarga di Australia terselamat daripada maut dengan berlindung di bawah sebuah jeti apabila kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran hutan, lapor akhbar MailOnline semalam
Bencana tersebut yang berlaku di Dunalley, Pulau Tasmania baru-baru ini menyebabkan sekitar 90 kediaman di bandar itu musnah.
Dalam insiden itu pasangan suami isteri Tim dan Tammy Holmes terpaksa berlindung di bawah jeti tersebut bersama lima cucu mereka terpaksa berlindung di bawah jeti berkenaan selama lebih dua jam.
Ketika api bertambah marak dan bekalan oksigen semakin berkurangan akibat asap tebal, mereka masih berpaut pada struktur kayu itu sambil memeluk satu sama lain dengan harapan dapat keluar daripada situasi berbahaya itu.
Keluarga tersebut kemudian bergilir-gilir memadamkan api yang mula membakar jeti tersebut dengan mencurahkan air laut.
Selepas berlindung selama dua setengah jam, Tim akhirnya berjaya menemui sebuah perahu yang digunakan oleh mereka untuk keluar dari zon berbahaya itu.
"Kami menerima mesej menyatakan ibu dan bapa serta anak-anak saya dikelilingi api yang marak. Ketika itu, saya dan suami pasrah bahawa kami akan kehilangan mereka," kata anak perempuan Tim, Bonnie Walker dalam temu bual bersama rangkaian televisyen Australia, ABC.
Menurutnya, dia dan keluarganya bersyukur kepada Tuhan kerana mereka terselamat dalam kebakaran hutan itu yang berlaku ketika Australia dilanda suhu panas ekstrem. - Agensi

Telefon pintar paling nipis di dunia



TELEFON pintar Alcatel One Touch Idol Ultra dipamerkan pada pameran CES di Las Vegas, Amerika Syarikat kelmarin.



PARIS - Syarikat peralatan Perancis, Alcatel memperkenalkan model baharu One Touch Idol Ultra yang didakwa telefon pintar paling nipis di dunia, lapor laman web infomobile.
Setebal cuma 6.45 milimeter, gajet tersebut dipamerkan pada hari pertama pameran Consumer Electronics Show (CES) di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Telefon pintar itu mempunyai skrin berukuran 11.9 sentimeter dan dijana pemprosesan dua teras berkapasiti 1.2 giga hertz dan perisian Android 4.1 Jelly Bean.
Model terbaharu itu akan mula dijual di China pada hujung bulan ini sebelum memasuki pasaran lain di dunia termasuk AS dan Eropah. - Agensi

Singa Afrika diancam pupus

SEEKOR singa jantan mengetuai kawanannya di atas sebuah bukit di Afrika Selatan.


ABUJA, Nigeria - Singa Afrika Barat kini berdepan kepupusan dengan jumlah haiwan itu amat rendah apabila cuma terdapat 34 ekor singa berkenaan di Nigeria, lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Menurut pertubuhan bantuan singa, Lion Aid, kini cuma terdapat 645 ekor singa liar di bahagian barat dan tengah benua Afrika.
Tambah pertubuhan tersebut, binatang buas itu tidak lagi ditemui di 25 negara Afrika dengan cuma terdapat sekitar 10 ekor singa di beberapa negara lain di benua tersebut.
Kawanan singa masih dapat ditemui di Burkina Faso, Niger, Republik Afrika Tengah, Cameroon dan Chad tetapi haiwan itu pupus di beberapa negara lain seperti Ghana, Ivory Coast dan Togo.
Keadaan itu berbeza berbanding 30 tahun lalu apabila terdapat 200,000 ekor singa di Afrika dengan kini hanya tinggal kurang daripada 15,000 ekor haiwan tersebu.
Menurut Lion Aid, antara faktor yang menyebabkan kepupusan singa Afrika Barat termasuk kehilangan habitat, pemburuan haram dan konflik peperangan. - Agensi

Tiada ulasan: