Selasa, 29 Januari 2013

HIDUP DIDUNIA IBARAT RODA...SEKALI2 KEBAWAH JUGA...INSYAALLAH...DUNIA DAN KUASA BUKAN MILIK KITA....SEDAR2LAH DIRI...HADIRLAH KE MAJLIS ILMU...JANGAN BERLAGAK DAN HIDUNG TINGGI SENTIASA....TAK INGAT MATI KE...TAK INGAT KUBUR KE..

Umno akan rasa nikmat jadi pembangkang

Harakahdaily, 29 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Jangan berasa terlalu kecewa jika kali ini Umno mengambil giliran untuk membangkang, kerana membangkang itu boleh membina pemikiran dan menajamkan perjuangan mereka.
Demikian tulisan Aspan Alias di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com

“Semasa duduk sebagai pembangkang itu Umno akan lebih mudah untuk menolak pimpinan yang selama ini dianggap tidak baik untuk perjuangan parti itu,” tulisnya.

Menurutnya, semasa itu nanti Dr Mahathir bolehlah menaikkan Muhyiddin dan menurunkan Najib kerana menaikkan dan menurunkan pimpinan itu adalah ‘forte’ dan kekuatan Dr Mahathir.

Di bawah adalah tulisan penuh beliau.

Usaha mengenepikan Najib dan menggantikan pimpinan UMNO dengan Muhyiddin nampakya semakin diketahui umum. Kepulangan Najib dari luar negara dengan sambutan yang agak besar itu adalah usaha pihak penyokong Najib bagi menunjukkan yang beliau (Najib) mempunyai sokongan kuat. Kehadiran ramai itu juga  adalah untuk menunjukkan kepada pihak yang mahu mengalih dan menganjak kepimpinan dalam UMNO itu supaya jangan cuba-cuba untuk melakukan apa-apa terhadap beliau.

Dalam ramai-ramai ahli UMNO yang menunggu itu ada juga beberapa orang yang datang dari kalangan yang melakukan usaha mengenepikan Najib kerana tidak mahu tindakan mereka dihidu oleh pihak yang mempertahankan Najib. Yang jelasnya kumpulan yang datang beramai-ramai menunggu kepulangan Najib itu termasuklah mereka yang telah membaling batu terhadap Najib dan menyorokkan tangan mereka dengan hadir bersama dalam perhimpunan itu.

Itulah yang berlaku di dalam UMNO menjelangnya pilihanraya ini dan persediaan sudah nampak berlaku untuk melakukan apa yang telah dilakukan terhadap Abdullah Badawi dahulu. Jika BN memenangi pilihanraya kali ini dengan majoriti yang lebih kecil dari apa yang di perolehi oleh Abdullah Badawi dalam pilihanraya yang lalu maka Najib akan diminta mengundurkan diri dan memberikan pimpinan itu kepada TS Muhyiddin Yassin. Itulah caranya di dalam UMNO selagi ada seorang yang masih dibiarkan aktif dan menyibuk dalam politik UMNO itu sekarang.

Tetapi kali ini strategi itu akan memudharatkan UMNO itu sendiri. Pilihanraya kali ini akan mengakibatkan bukan sahaja kumpulan Najib terpaksa berundur tetapi yang berkehendakkan Najib berundur itu pun akan diundurkan oleh rakyat. Jika usaha setengah pihak dalam UMNO hendak mengenepikan Najib itu hanyalah untuk mengambilalih peranan sebagai Ketua Pembangkang sahaja kerana keseluruhan UMNO itu nampaknya akan menjadi pihak pembangkang tidak berapa lama lagi.

Sebenarnya jika Pakatan Rakyat mendapat mandat rakyat ia merupakan satu hikmah bagi UMNO kerana semasa menjadi pembangkang itulah UMNO berkesempatan untuk melakukan introspeksi diri dan melihat ke dalam kenapa mereka diketepikan oleh rakyat negara ini. Semasa itu nanti UMNO bolehlah mengambilalih kepimpinan Najib itu dan membetulkan UMNO seperti yang sepatutnya.

Itu sebabnya ulamak yang muktabar sentiasa mengingati kita supaya jangan menerkam yang cantik itu kerana di sebalik kecantikan itu mungkin ada kecelakaannya. Di sebaliknya jika datang musibah dan yang buruk jangan terus ditolak kerana mungkin ada kebaikan di sebaliknya.
Dalam kes UMNO ini mereka (UMNO) mesti jangan gusar menerima kekalahan kerana di sebalik keburukan itu sudah pasti ada hikmah di sebaliknya.Hikmah bukannya dalam bentuk kuasa yang ada di tangan, tetapi hikmah yang sebenarnya ialah berkesempatan bagi memperbaiki diri untuk menjadi parti yang lebih baik dan mempunyai perjuangan yang betul.
Ramai manusia yang takut kepada mati, tetapi apabila mereka mati dalam keimanan mereka akan tahu bahawa hidup di alam yang selepas mati itu adalah kehidupan yang enak dan dan menyejukkan. Itu kata-kata ramai alim ulamak yang mempunyai makam yang tinggi, bukannya kata-kata dari saya.

Jangan berasa terlalu kecewa jika kali ini UMNO mengambil giliran untuk membangkang, kerana membangkang itu boleh membina pemikiran dan menajamkan perjuangan mereka. Semasa duduk sebagai pembangkang itu UMNO akan lebih mudah untuk menolak pimpinan yang selama ini dianggap tidak baik untuk perjuangan parti itu. Semasa itu nanti Dr Mahathir bolehlah menaikkan Muhyiddin dan menurunkan Najib kerana menaikkan dan menurunkan pimpinan itu adalah ‘forte’ dan kekuatan Dr Mahathir.

Semasa itu nanti Dr Mahathir bolehlah menaikkan Muhkriz untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO untuk membantu Muhyiddin mengambil kembali mandat rakyat dalam pilihanraya yang berikutnya. Itu pun jika rakyat mahu UMNO kembali menjadi parti kerajaan.

Tetapi mungkin semasa itu nanti UMNO akan dapat merasakan nikmatnya sebagai parti pembangkang.

 

Mahu jadi YB yang negarawan, hartawan atau jual beli demokrasi!

Ahmad Muhajir, 29 Jan 2013
Pilihan Raya Umum Indonesia tinggal lima belas bulan lagi tepatnya pada  lima April 2014 dan pilihan raya presiden dan timbalannya pada bulan Jun 2014. Namun, dari sekarang sudah mulai kasak kusuk dan hiruk pikuk politik berskala nasional, bahkan banjir besar yang melanda Jakarta minggu lalu, dijadikan peluang oleh parti politik terutama para aktivisnya untuk memasang bendera partinya, memberikan bantuan yang tidak seberapa namun tetap ada nuansa dan iklan politiknya.

Dari 16 parti yang lolos tahap awal dari sudut pentadbiran dan fakta di lapangan tentang keahlian serta aktivitinya, akhirnya hanya 10 parti yang dibenarkan bertanding oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU-semacam SPR), Namun enam parti yang tidak dibenarkan itu, membawa kesnya ke Dewan Kehormatan KPU dan DK KPU ini boleh juga mempertimbangkan untuk membenarkan mereka bertanding atau tidak. Jika tidak parti politik itu boleh membawa kesnya ke mahkamah perlembagaan, kenapa dia tidak dibenarkan bertanding.

KPU yang dipilih sepenuhnya oleh parlimen (DPR), dan tidak ada sedikitpun campurtangan pemerintah di dalamnya dan kesepuluh parti yang bertanding, berhak sepenuhnya menerima dana daripada kerajaan, berkempen di Radio dan TV dengan bebas tanpa sekatan, dan boleh bicara apa sahaja tanpa takut, dengan ugutan dan caci maki, yang penting perlu menjaga adab, jauh daripada memfitnah, apalagi konspirasi dan manipulasi.

Kesepuluh parti itu adalah Parti Demokrat-partinya presiden SBY yang kini dikenal sebagai banknya parti para kuroptor, parti lama Golongan Karya (Golkar) dan Parti Demokrasi Indonesia – Perjuangan (PDI-P), parti Islam dan bernuansa Islam PPP, PKS, PAN dan PKB, parti nasionalis Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Hati Nurani Rakyat (Hanura) serta Parti Nasionalis Demokrat (Nasdem), parti ini dikhuatiri dibelakangnya adalah keluarga Suharto, kerana sudah tidak mendapat tempat dalam Golkar.

Tidak menghairankan kini diiklankan siapa yang bersedia menjadi calon-calon legislatif, untuk duduk di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR-parlimen), Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Tingkat Satu (DPRD 1-DUN) pada peringkat Provinsi (negeri) dan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Tingkat Dua (DPRD 2-DUN) untuk daerah atau bandar. Iklan dibuat kerana kurangnya calon untuk parti berkenaan, atau sebaliknya tanpa iklan sudah ramai berebut untuk menjadi calon.

Apa tidaknya menjadi calon dan menang, majoritinya akan mendapat peluang yang besar untuk mencari kekayaan, untuk diri, keluarga dan kroni. Di sinilah masalahnya yang dipertanyakan apakah nawaitunya menjadi wakil rakyat, betul-betul mewakili rakyat berbuat apa sahaja untuk kepentingan rakyat banyak, jadilah dia menjadi Yang Berhormat yang negarawan atau mencari harta dan kekayaan sebanyak dan seboleh mungkin, maka dia akan menjadi hartawan.

Makanya menurut penyair dan sasterawan terkenal Kyai Mustafa Bisri, dalam sindirannya menyebut, ramai yang berebut menjadi “wakil bupati/wakil walikota (penolong pegawai daerah/timbalan datuk bandar), nanti dia akan naik menjadi DO atau datuk Bandar, jadi wakil gabenur/wakil menteri atau wakil presiden (timbalan menteri besar/timbalan menteri atau timbalan presiden) nanti boleh naik jadi gabenur, menteri atau presiden, tetapi terlalu ramai yang terus mahu menjadi wakil rakyat, tetapi tidak mahu membuang wakilnya untuk menjadi rakyat biasa.

Maka di sinilah akan terjadi kongkalingkong atau terjadinya membeli wakil rakyat atau memperjualbelikan demokrasi. Namun perundangan Indonesia jelas menyebut siapa wakil rakyat yang berpindah ke parti lain, maka automatik dia wajib meletak jawatan sebagai wakil rakyat dan tidak ada yang namanya wakil rakyat bebas. Maka pengundi yang semakin kritis dan sensitif, memang mereka betul-betul mengharapkan calon yang ditampilkan oleh parti-parti politik yang bertanding, hendaklah mereka yang cerdik, cerdas, berpendidikan, mempunyai agama dan akhlak yang baik, yang diharapkan betul-betul mewakili nasib rakyat, dan bukan memperjualkan kerusi yang disandangnya, atau mempermainkan demokrasi dan aspirasi rakyat yang mengundinya.

Jadi tidak seperti selama ini, sebagai wakil rakyat baru jumpa pengundi setahun lima kali, ataupun kalau muncul di media dan kaca TV sibuk memperagakan kekayaan dan kemewahannya yang selama ini mereka tidak mempunyainya, jauh dari sikap sebelumnya yang begitu rapat dengan rakyat, tetapi bila sudah menjadi wakil rakyat, segalanya berubah, jauh dari kawan, meninggalkan kenalan lama, dan merenggangnya persahabatan.

Makanya tidak hairan hari ini, rakyat sudah pandai memilih lebih mengutamakan figur, sebagaimana yang ada pada peribadi gabenur Jakarta yang baru Ir Joko Widodo dan timbalannya Basuki Tjahaja Purnama (Ahok). Siang malam ikut mengharungi banjir bersama penduduk Jakarta yang terkena banjir, dan memimpin langsung perbaikan Empangan Latuharhary ditengah Bandar Jakarta, yang pecah penyebab terjadinya banjir besar, padahal Empangan ini sudah terlalu lama tidak diperbaiki, sejak zaman gabenur Ali Sadikin lagi (tahun 1966-1977). Anehnya bajet banjir untuk Jakarta ini, begitu besar namun kemana wangnya, sedangkan sudah enam kali ganti gabenur setelah almarhum Ali Sadikin.

Jadi selama ini yang diselesaikan bukan “Masalah Banjir” tetapi kerana rasuah, penyalahgunaan kekuasaan yang datang justeru adalah “Banjir Masalah” terhadap rakyat, bangsa dan negara. Sebelum ini banjir tidak pernah selesai, tetapi wang negara dikuras sebanyak yang boleh, terutama wang rehabilitasi banjir.

'Jabatan kerajaan, termasuk SB, melilau berkempen masuk kampung'

Ahmad Lutfi Othman, 29 Jan 2013
Penampilan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir tetap tidak berubah, sama seperti gayanya semasa  menteri kabinet dahulu; kemas dan rapi, masih dengan bow tie, ramah dan ceria.

Ketika berkunjung ke Jabatan Pengarang Harakah, petang 21 Januari lalu, tujuan asalnya hanya untuk "melawat rakan-rakan wartawan", selain bertemu Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS selepas itu.

"Boleh saya melawat pejabat Harakah, nak tengok kawan-kawan di sana bekerja?" suaranya jelas di hujung talian semasa saya makan tengahari Khamis 17 Januari. Tentunya hajat beliau amat saya alu-alukan.

Kadir ternyata cukup mesra, mudah diajak berbicara dan menunjukkan minat yang tinggi terhadap media, khususnya akhbar alternatif seperti Harakah. Tidak lama berada di dalam bilik saya, dia mahu melihat lebih dekat karyawan Harakah bertugas.

Agak segan saya menunjukkan bilik operasi kami yang tidak tersusun, apatah lagi ramai bercuti dan bertugas di luar pejabat, tetapi Kadir tetap bersemangat, dan saya kira ia mampu untuk memberi galakan dan dorongan kepada teman-teman yang lain. Baginya, Harakah mempunyai peranan dan tanggungjawab besar-kritikal berdepan PRU13.

"Sepanjang menjelajah seluruh negara dan turut berceramah di atas pentas PAS, saya terharu melihat komitmen tinggi penyokong dan aktivis akar umbinya. Dah lama mereka terseksa. Saya bertemu dengan ramai pemimpin PAS yang berbakat besar, berketrampilan dan berkebolehan," katanya sambil menjamah "jemput-jemput" yang disifatkannya paling enak pernah ditemuinya.

Sejak pertemuan pertama dengannya di Mines Waterfront Business Park, Seri Kembangan, saya dapat mengesan Kadir bukan sahaja begitu prihatin dengan proses pilihan raya negara kita yang tempang dan pincang, malah beliau melihat kaitan rapat dengan gejala kongkongan terhadap media, terutama yang dibiayai dana awam.

Beliau pernah mencadangkan himpunan sejuta rakyat, dengan fokus utama kepada tuntutan  akses media kepada semua parti-parti yang bertanding dalam PRU13. "Boleh namakan ia Bersih 4.0 atau apa saja, yang penting kita dapat kumpulkan seramai mungkin, di stadium misalnya, tanpa sebarang gangguan dan saya sedia menawar khidmat untuk menjayakannya," kata Kadir kepada saya, Ogos 2012.

Saya kira, idea asal Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari lalu sedikit sebanyak disumbangkan Kadir.

Dalam pertemuan Isnin lalu, minatnya masih sama. Dia juga bimbang rakyat masih terhalang daripada mengikuti maklumat dan perkembangan sebenar mengenai Pakatan. "Kita perlu lipatgandakan usaha mendekati setiap pengundi, di setiap pelosok. Jangan lupa, di zaman internet ini, masih ramai yang mudah dipengaruhi  propaganda media tidak bertanggungjawab," katanya.


"Media bebas bukan bermakna waktu dua tiga minggu kita ada pilihan raya atau kempen pilihan raya yang tak sampai dua minggu itu. Jika hanya waktu itu baru diberi peluang terhad agar  pembangkang menceritakan sedikit sebanyak  manifesto, itu bukan bermakna media yang bebas," tegas Kadir.

"Kita nak bebas sekurang-kurangnya dari sekarang. 'Countdown period' ini. Sepatutnya sepanjang masa. Tapi tak mengapalah kalau media nampak bebas mulai dari sekarang. Bermakna berilah masa kepada semua parti politik memberi hujah menerusi televisyen, radio dan juga akhbar arus perdana.

"Atau diadakan sesi perbincangan seperti sewaktu saya jadi Menteri Penerangan dulu. Adakan debat perdana, kumpulkan wakil parti-parti kerajaan dan pembangkang, berbahas mengenai isu-isu tertentu," tambahnya penuh yakin.


Semasa sesi wawancara yang pada mulanya dijadualkan ringkas dan santai, Kadir menarik perhatian kami dengan isu penyalahgunaan jentera dan kemudahan kerajaan, yang berkempen untuk Umno-BN. Rupanya interviu itu berakhir menjelang solat Maghrib, memakan masa hampir satu setengah jam.

Sekali lalu, isu manipulasi jentera kerajaan itu  seperti persoalan lapuk dan "basi" yang berulang kali disebut ketika menjelang pilihan raya, namun bagi Kadir, kelaziman menjolok mata itu perlu dihentikan.

"Menggunakan duit rakyat, agensi kerajaan seperti Kemas, Jasa, Felda, Risda, termasuk pasukan keselamatan dan polis Cawangan Khas, yang dikerah masuk kampung, tinggal bersama mereka, semata-mata berkempen untuk memenangkan BN," jelasnya lagi.

"Dan hal ini sudah lama berjalan. Berselindung di sebalik program kerajaan, mereka bebas mempengaruhi penyokong pembangkang," tambah Kadir. "Salahguna seperti ini tidak berlaku lagi di negara-negara yang maju dari segi amalan demokrasinya, termasuk di Indonesia."

"Penyokong Pakatan di seluruh negara harus membuat laporan polis jika ada bukti-bukti salahguna jentera kerajaan ini," katanya. Saya bersetuju. Tekanan mesti dipertingkatkan, terutamanya dengan bukti-bukti nyata yang sukar ditolak.

Kadir juga mengkritik keras sikap Suruhanjaya Pilihan Raya, yang dilihatnya, tidak serius dan sering berdolak-dalik daripada melaksanakan tugas asasinya iaitu menjalankan pilihan raya secara adil, bebas dan bersih.

Beliau mahu SPR proaktif menegur, berunding dan menasihati kerajaan agar manipulasi jentera dan kemudahan awam dihentikan, bukan hanya sewaktu kempen, tetapi juga dalam tempoh "countdown" seperti sekarang.

"Saya nampak SPR ini keliru sikit dengan tanggungjawab mereka. Tanggungjawab SPR adalah memastikan pilihan raya diadakan dengan cara adil, telus dan sempurna. Sekarang SPR kata, itu kerja kerajaan, bukan kerja kami," kata Kadir.

"Misalnya bila kita tuntut media bebas waktu pilihan raya, jawapan dia, itu bukan tanggungjawab SPR, itu soal kerajaan. RTM, kerajaan punya; Astro orang lain punya; TV3 syarikat lain pula. Jadi dia tidak bertanggungjawab.

"Tapi SPR lupa, itu tanggungjawab dia, untuk berunding dengan kerajaan. Semuanya prasyarat penting wujudkan pilihan raya  bebas. SPR kena bertanggungjawab berunding dengan kerajaan, memujuk kerajaan supaya buka sikit kebebasan media waktu pilihan raya. SPR tak boleh kata, ini soal kerajaan, bukan di bawah bidang kuasa kami," jelasnya panjang lebar.


Ya, memang menjolok mata sekali daleh SPR -- terutama kenyataan Timbalan Pengerusinya, Wan Ahmad Wan Omar -- seolah-olah mereka begitu daif, lemah dan tiada kuasa sehingga membiarkan saja (sebenarnya turut mendorong dan memudahkan) Umno melakukan "korupsi terbesar" untuk menang PRU13.

Wan Ahmad yang disyaki terbabit langsung menjayakan banyak konspirasi dan komplot bersama Umno itu, tidak harus "dilepaskan" begitu sahaja. Tidak mustahil banyak perencanaan liciknya yang masih belum dapat kita hidu, dan hanya dapat dijejaki selepas keputusan pilihan raya diumumkan nanti. Waktu itu sudah terlambat.

Ada benarnya juga, terkadang kita menganggap remeh dan "lali" untuk berterusan mendesak SPR dan kerajaan, apatah lagi ketika semua sibuk dengan persiapan terakhir pilihan raya. Mungkin kita merasakan lebih baik tenaga dan sumber yang ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendekati pengundi.

Bagi saya, tekanan tidak wajar dikendurkan, malah perlu dipertingkat. Semasa pimpinan Pakatan memasuki fasa kempen menyerlahkan imej dan penampilan sebagai "kerajaan menanti", Najib Razak perlu diasak.

Siapa tahu, atas semangat "transformasi politiknya", Najib bersedia melakukan beberapa pembaharuan di saat akhir, termasuk membersihkan proses pilihan raya berkaitan media dan jentera kerajaan ini.

Rumusan Kadir mengenai tuntutan akses media bebas dan penyalahgunaan segala sumber kerajaan cukup menarik perhatian saya -- sekali gus membimbangkan -- dan seharusnya juga kepada aktivis yang menuntut pilihan raya bersih dan adil:

"Selain media bebas,  bagi saya, inilah 'point' yang cukup-cukup penting, iaitu menamatkan penyalahgunaan kemudahan kerajaan. Pegawai-pegawai kerajaan apabila  turun ke kampung, mereka boleh masuk rumah orang PAS, rumah orang KeADILan. Ya, semua rumah dia boleh masuk. Sebab dia kata dia pegawai kerajaan, dia bukan orang politik.

"Tetapi apabila dia masuk berkampung, maka mulalah secara perlahan-lahan ... berkempen bagi satu pihak (Umno-BN). Dalam waktu itu, mereka ada pula peruntukan yang pelbagai dan mewah. Peruntukan itu wang rakyat, tetapi digunakan untuk kempen, juga buat kenduri dan sebagainya.

"Mereka mungkin dapat masuk rumah sehingga ratusan ribu pengundi, dan mungkin jutaan, di seluruh Malaysia. Jabatan kerajaan (termasuk SB dan anggota tentera) sekarang 'dok melilau' hingga ke Sabah dan Sarawak. Seluruh kampung mereka dah ada. Tiap-tiap hari berkempen, sejak berbulan dah. Ini  bermakna jutaan undi dapat dipesongkan ke arah lain."

Video Cybertrooper Umno bergaduh kerana duit tersebar.. Saksikan!!

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 29 Jan 2013

Cybertrooper UMNO adalah kumpulan IT ahli UMNO dan penyokong UMNO yang dibiayai oleh UMNO untuk berkeliaran dalam Facebook dan Blog.

Sesuai dengan nama trooper, satu jenis ”pasukan” yang dipandu oleh beberapa upahan UMNO untuk meninjau dan mencari serta menyampaikan maklumat untuk tindakan UMNO seterusnya.

Antara tugas mereka ialah membin blog dan berkeliaran dalam Facebook (FB) untuk menyampaikan maklumat tentang kebaikan dan kejayaan UMNO, menyerang PR dan parti dalam PR melalui blog dan FB

Lihat http://darisungaiderhaka.blogspot.com/2013/01/video-cybertrooper-umno-bergaduh-kerana.html

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Cabaran untuk Ahmad Maslan

http://gayapeneroka.blogspot.com, 29 Jan 2013

Datuk Ahmad Maslan tuduh saya pemfitnah bersiri, sebaris dengan perogol bersiri. Dia tohmah pembangkang punca saham FGVH merudum.

Dia hentam saya dalam majlis2 di Felda. Guna Jabatan Seranta memburuk2kan saya dan ANAK.

Ahmad Maslan hasut penduduk Kemahang 3 untuk saman peguam mereka sendiri, Wan Rohaimi.

Dia kata saya fitnah isu pembelian saham FGVH oleh Genting Berhad. Dia kata saya pembohong besar dalam isu penjualan minyak sawit kepada syarikat Yahudi.

Bila ANAK nak buat penjelasan, dia sekat. Kembara Oren dihalang. Ceramah tidak dibenarkan. Peralat Pengurus Felda, kononnya ia di bawah Akta GSA.

Justeru, kalau dia pemimpin yang berani; jom kita berdebat secara terbuka. Buktikan kejantanan kamu wahai Ahmad Maslan.

Buat kali ke 3, saya cabar dia berdebat. Siapa sebenarnya yang menjadi pengkhianat dan petualang Felda.

Oleh kerana sebelum ini, saya minta tarikh dan tempat debat, dia gagal berbuat demikian; kali ini saya pula cadangkan tarikh, masa dan tempat!

Wakil saya akan hantar surat resmi untuk cabaran Debat Terbuka dalam masa terdekat.

Saya akan tunggu dia di Dewan Perdana Felda 16 Februari ini!

Gambar ori puluhan ribu sambut Wira Palestin

http://yongsukakuning.blogspot.com, 28 Jan 2013

GAMBAR ORI PULUHAN RIBU MENYAMBUT KEPULANGAN WIRA PALESTINE

Ini gambar ori. Puluhan ribu menyambut kepulangan wira Palestine! Memang sangat ramai, bersesak-sesak. Ada yang mengibarkan bendera Palestine.


# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Pilihanraya 'predictable'. Umno pembangkang yang baik

http://aspanaliasnet.blogspot.com, 28 Jan 2013
Keputusan pilihanraya 'predictable'. UMNO menjadi pembangkang yang baik

Majlis Bekas Wakil Rakyat, MUBARAK, telah meminta pucuk pimpinan menamakan bakal menjadi Menteri Besar Selangor lebih awal.. Dalam temuramahnya dengan Presiden Mubarak, Tan Sri Aziz Abdul Rahman, Sinaran Harian on-line melaporkan yang Mubarak mencadangkan nama bakal menjadi Menteri Besar Selangor dinamakan lebih awal untuk mengelakkan ada beberapa orang yang berminat untuk jawatan itu tidak berasa hati dan kecewa jika nama calon MB itu diumumkan di saat akhir.

Tan Sri Aziz mengingatkan ini sangat penting diambil perhatian kerana ramai yang berminat untuik menjadi Menteri Besar negeri Selangor itu. Jika diumumkan nama bakal Menteri Besar untuk menyaingi Khalid Ibrahim dari Pakatan Rakyat maka ada banyak masa untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit dari pengumuman bakal MB itu. Pihak pimpinan Persekutuan akan mempunyai masa untuk memberikan jawatan gantian kepada sesiapa yang tidak dapat menjawat jawatan MB itu sebelum pilihanraya diadakan.

Sememangnya isu siapa yang bakal dinamakan sebagai Menteri Besar merupakan isu besar bagi Selangor jika BN berjaya kembali menguasai kerajaan negeri Selangor itu. Isu inilah yang menjadi masalah besar dan itu jugalah isunya kenapa kemungkinan BN gagal untuk merampas kembali kuasa dari PR di negeri terkaya dalam negara ini. Selain dari itu BN menghadapi masalah kerana pentadbiran Selangor yang lebih ‘efficient’ dari pentadbiran BN dahulu amat jelas sejak Selangor diperintah oleh Pakatan Rakyat dengan Menteri Besar nya Tan Sri Khalid Ibrahim sejak lima tahun yang lalu. Tidak payah disentuh kejayaan-kejayaan yang dicapai sejak lima tahun dahulu kerana rakyat Selangor sedang merasainya sekarang.

Menteri Besar Selangor ini merupakan satu jawatan yang banyak memberi masalah kepada BN selama ini dan masa akan datang. Ramai yang berebut hendak menjadi MB Selangor dan banyak pemimpin yang kecundang politiknya kerana berebut jawatan itu dan gagal untuk mendapatkannya. Dr Hasan Ali yang mendapat nama ejekan sebagai Hasan Akidah itu menjadi mangsa kerana kegagalannya untuk menjadi Menteri Besar Selangor. Sesungguhnya yang menjadi penyebab beliau menjadi celaru hari ini ialah kerana kegagalan beliau menjadi Menteri Besar dan tidak pula berjaya menahan perasaan kecewa beliau apabila tindakan dan usaha beliau untuk mendapatkan jawatan itu gagal.

Bagi BN jika kita lihat senarai pemimpin BN yang sibuk bekerja untuk memenangi Selangor itu, tidak nampak pun seorang yang mampu untuk menyaingi Khalid Ibrahim. Itu kenyataan dan sangat tidak adil untuk dinafikan oleh mana-mana pihak dan oleh sesiapa pun. Jika Khalid diperlukan untuk di pusat PK tetap ada pengganti yang sukar disaingi oleh mana-mana calon BN untuk mengetuai kerajaan Selangor itu.

Kalau ada pun nama yang jelas berkemungkinan yang terbaik bagi BN untuk di calonkan sebagai MB, ialah Noh Omar yang menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan Selangor  Tetapi Noh Omar tidak mampu untuk menaikkan imej beliau sebagai pemimpin bersih kerana terlalu banyak isu yang sedang menyelaputi diri beliau sekarang ini. Isu-isu yang berkaitan dengan salahguna kuasa di Kementerian Pertanian menjadi sebutan orang ramai di mana-mana, bukan sahaja di Selangor malahan di seluruh negara.

Mohamad Zain Mohamad, orang Melaka dan beliau merupakan calon MB yang akan ‘jatuh sebelum berlepas’ jika beliau dinamakan sebagai MB untuk menyaing Khalid Ibrahim. Untuk menamakan Mohd Zain merupakan tindakan yang akan membuatkan rakyat Selangor tertawa dan memudahkan rakyat untuk mengekalkan Pakatan Rakyat memerintah negeri Selangor tanpa berfikir lagi setidak-tidaknya sepenggal lagi.

Selain dari nama-nama tadi siapa yang bakal di berikan tanggungjawab yang teramat besar untuk menyaingi Khalid Ibrahim atau sesiapa yang menggantikan beliau (Khalid) jika Pakatan Rakyat berjaya mengambilalih Putrajaya selepas pilihanraya nanti. UMNO ketandusan kepimpinan di mana-mana. Bagi UMNO, parti menghadapi masalah untuk meletak dan menamakan calon MB nya. Keadaan rumit ini bukan sahaja dialami oleh Selangor malahan ia juga di alami di Negeri Sembilan, Perak dan Kedah. UMNO tidak mempunyai pimpinan untuk menjadi peneraju dalam kerajaan di negeri-negeri tersebut.

Oleh itu cadangan yang dikemukakan oleh MUBARAK itu ada sedikit kebenarannya. Tetapi jika dinamakan calon itu lebih awal pun ia tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah kerana UMNO sudah kepupusan kepimpinan yang mampu mendapatkan penghormatan rakyat kerana pimpinan UMNO sejak 3 dekad yang lalu tidak pernah memberikan tumpuan untuk membina barisan kepimpinan yang bakal mewarisi kepimpinan yang sudah tidak lagi diterima rakyat keseluruhannya.

Bagi saya dan ramai yang lain Selangor akan tetap berada di tangan Pakatan Rakyat malahan beberapa negeri lain juga bakal dipimpin oleh Pakatan selepas pilihanraya nanti.

UMNO sudah terlalu lewat untuk memperbetulkan keadaan dan jika ada pun cara lain, caranya ialah untuk kesemua pimpinan UMNO di peringkat tertinggi berhenti dan digantikan dengan seorang yang lain yang tidak pernah terlibat dengan apa yang berlaku di dalam parti itu. DAN jika ia hendak dilakukan ia terpaksa dilakukan dalam tempoh sebulan ini.

Jika tidak dilakukan keputusan pilihanraya adalah ‘predictable’….UMNO akan kecundang….. Seperti yang saya nyatakan dalam tajuk posting saya semalam, ciri-ciri sebagai pembangkang itu sudah mula terbina di dalam BN. Maka lebih elok dilangsungkan sahaja ciri-ciri itu dan jadilah pembangkang yang baik selepas ini.

Selama ini pun UMNO menuduh PAS dan DAP serta PKR itu sebagai pembangkang yang tidak baik, maka elok BN dan UMNO mengambilalih tugas sebagai pembangkang kali ini dan berikan tugas untuk menjadi kerajaan kepada Pakatan Rakyat.

Sememangnya keadaan begitu. Pakatan Rakyat layaknya menjadi kerajaan dan BN pula layaknya menjadi pembangkang yang baik pula. Kerja bergilir ini adalah amalan yang baik. Apabila kerja dan tugas di gilirkan maka akhirnya kita akan dapat mempastikan yang mana satu yang lebih baik di antara dua atau lebih pihak yang ditugaskan menjaga kepentingan rakyat dan negara.

Cinta Nabi, Saranan al-Quran Yang Ditinggalkan

Abdul Muizz bin Muhammad , 29 Jan 2013
Dewasa ini ramai yang membicarakan topik ‘Cinta Nabi’. Satu perkembangan baik yang berlaku dalam kalangan umat Islam. Cuma terkadang, kita tercari-cari kaedah yang tepat bagaimana menyintai Rasulullah SAW. Sehingga kita terlupa al-Quran telah membicarakan soal ini secara jelas dan langsung.

Manhaj Al-Quran

Dalam surah Ali Imran, Allah Taala telah menyatakan ciri-ciri golongan yang layak bersama dengan Rasulullah SAW;

“Dan berapa banyak Nabi yang berjuang bersama-samanya sejumlah besar pengikut yang bertakwa. Sifat mereka tidak menjadi lemah dengan ujian yang menimpa mereka di jalan Allah, dan mereka tidak lesu dan tidak pula menyerah kalah. Allah menyintai golongan yang sabar.” (Surah Ali Imran: ayat 146)

Secara jelas Allah menyatakan sifat utama pencinta Nabi SAW seperti berikut :

i. Al-Quran telah menggazetkan bahawa golongan yang layak bersama dengan Nabi SAW adalah daripada kalangan mereka yang sangat sensitif terhadap maruah Islam. Mereka tidak akan membiarkan Nabi SAW berjihad seorang diri, sedangkan mereka duduk sebagai pemerhati. Sebaliknya mereka ada rasa tanggungjawab terhadap cinta Nabi SAW sebagaimana ikrar para sahabat "Pergilah Engkau SAW bersama Tuhanmu berjuang, sesungguhnya kami bersama-sama denganmu turun berjuang."

ii. Mereka mestilah dalam kalangan orang-orang yang bertakwa. Iman mereka dibuktikan dengan gigih berjuang menegakkan agama Allah. Kembali kepada tugas asal manusia sebagai khalifah iaitu ‘Mendirikan Islam, Memelihara Islam dan Mentadbir Dunia Dengan Islam’.

iii. Jatidiri mereka gagah perkasa, kalis tekanan. Apabila mengisytiharkan diri mereka untuk menyertai jihad perjuangan Islam, mereka bersedia berhadapan dengan risiko serta bersungguh-sungguh menongkah arus kejahilan manusia. Manakala golongan yang bacul dan penakut, Nabi SAW tidak sudi mengaku sebagai umatnya (maksudnya), “Apabila kamu melihat umatku kecut untuk menyatakan kepada sang zalim “Wahai Si Zalim”. Sesungguhnya diucap selamat tinggal kepada mereka” HR Tabarani.

iv. Bahkan di dalam Ayat 142 sebelumnya, Allah SWT mencabar pendukung-pendukung agama Nabi SAW agar jangan mudah perasan masuk syurga selagi mana tidak berjihad. Ingatan itu disertakan isyarat daripada Allah bahawa pencinta-pencinta Nabi SAW mestilah meletakkan misi mati syahid sebagai cita-cita yang tertinggi di dalam ayat 143.

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?” (Surah Ali Imran: ayat 142)

“Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).” (Surah Ali Imran: ayat 143)

v. Golongan pencinta Nabi SAW mempunyai daya tahan yang kuat. Sedikit pun tidak menyerah kalah berhadapan dengan musuh. Dalam konteks realiti Malaysia sekarang yang ujiannya adalah perang pemikiran, mereka mestilah tidak menyerahkan kepercayaan  mereka kepada ideologi lain selain Islam.

Cinta Nabi SAW Gaya Sahabat

Kita perlu kembali meneladani gaya para sahabat menyintai Nabi SAW. Hal ini kerana, mereka merupakan generasi yang diasuh daripada air tangan Nabi SAW. Kelebihan tersebut menjadikan mereka merupakan golongan yang paling menyintai Nabi SAW dan yang paling faham terhadap mesej-mesej wahyu daripada Baginda SAW.

Seperti yang telah dikisahkan oleh Imam Ibnu ‘Asakir di dalam karyanya Tarikh Dimasyq, bagaimana manifestasi cinta Saidina Bilal Bin Rabbah terhadap Rasulullah SAW adalah dengan jihad. Setelah kewafatan Baginda SAW, Bilal tidak mampu meneruskan tugasnya sebagai juru azan. Apabila disebut sahaja nama kekasihnya Muhammad SAW, suara Bilal tersekat dan menangis. Maka bermulalah riwayat hidup Bilal Bin Rabbah berendam air mata sepanjang berada di Madinah selepas kewafatan Baginda SAW. Untuk menyelesaikan derita kerinduan yang amat menebal, akhirnya Bilal meminta izin Abu Bakar untuk keluar dari Madinah menuju ke Syam bergabung dengan tentera Islam dalam misi membebaskan Baitul Maqdis. Bilal pergi berjuang demi mendapatkan cintanya kepada Rasulullah SAW.

Begitu juga kisah dua kanak-kanak yang amat ghairah menyintai Nabi SAW. Ketika perang Badar, Abdul Rahman Bin ‘Auf ditemui oleh dua orang kanak-kanak yang melapor diri lantas menyuarakan hasrat ingin mencari Abu Jahal yang telah mencaci Nabi SAW. Mereka bertekad sekiranya terserempak dengan Abu Jahal, mereka akan pastikan si bedebah tersebut segera dibunuh. Akhirnya  misi tersebut berjaya dan dipuji oleh Nabi SAW.

Begitu juga cinta Khubaib yang diseksa teruk kerana mempertahankan Islamnya. Sehingga musyrik yang menyeksanya menawarkan pelepasan dari seksaan dengan syarat, Khubaib dapatkan Rasulullah SAW sebagai galang gantinya. Maka Khubaib membenarkan cintanya kepada Nabi SAW dengan penegasannya, “Demi Allah, aku benci bersama bersenang-lenang di dunia dengan keluargaku dan anak-anakku sedangkan Rasulullah SAW ditinggalkan diseksa oleh kamu semua...” al-Bukhari

Di sini kita lihat, cara para sahabat berinteraksi dengan cinta Nabi SAW adalah dengan perlaksanaan. Bukan dengan puji-pujian lisan semata-mata. Lebih dari itu, mereka jadikan jalan jihad sebagai cara menterjemahkan rasa cinta kepada Baginda SAW.

Muhasabah

Berdasarkan ayat al-Quran surah Ali Imran ayat 142 hingga 146, kita perlu meneliti dengan penuh insaf di mana kita. Bahkan kita perlu tanya pada diri kita sepanjang kempen Cinta Nabi SAW, adakah kita telah menjalankan beberapa kempen berikut :

i. Syurga tidak diperoleh semata-mata dengan memuja memuji Nabi SAW sahaja. Sebaliknya syurga hanya boleh dicapai apabila seseorang terlibat dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai aqidah dan syariat.
ii. Umat Nabi SAW mesti bercita-cita untuk mati syahid sebagai tanda benar-benar cinta kepada Nabi SAW. Barulah cita-cita tersebut memotivasi umat Baginda SAW supaya gagah mendepani cabaran mendatang.
iii. Tidak ada guna jika setelah kewafatan Nabi SAW, kita hanya merintih dan mengadu nasib bersedih akan pemergian Baginda SAW sedangkan tugas-tugas Baginda SAW kita tinggalkan. Lihat di dalam al-Quran, Allah menegur umat Islam agar jangan berpaling meninggalkan kerja Nabi SAW setelah kewafatannya. Begitu juga Bilal, bukti rindu dan cinta beliau adalah dengan jihad. Ingat, umat Islam sifatnya membina dan maju. Bukan statik dan mandom.

Sekiranya tidak dijumpai kempen-kempen tersebut sepanjang menyambut program Maulid al-Rasul atau seumpamanya, maka sedarlah bahawasanya kita masih gagal memenuhi piawaian Allah SWT dalam menyintai Rasulullah SAW dalam erti kata yang sebenar. Apakah cukup dengan mengingati tanpa melaksana? Cinta adalah tanggungjawab.

http://tarbawi.my

Tiada ulasan: