Khamis, 17 Januari 2013

BILA TIDA RASA MALU...TIADA RASA BERSALAH BUAT KENYATAAN TAK BENAR...MAKA MANA MARUAH ISLAM SERTA MANA YANG DIKATAKAN TAAT PERINTAH ALLAH...MAKA ADAKAH KITA NAK MENJADI ORANG MUNAFIK

HKR112: Kehadiran 500,000 amaran akhir kepada BN

Hazayani Zakaria, 16 Jan 2013


KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112) menegaskan kehadiran 500,000 ke himpunan Sabtu lalu merupakan amaran akhir rakyat kepada kerajaan BN.

Pengerusi HKR, Mohamad Sabu berkata, himpunan tersebut jelas menggambarkan amaran rakyat agar kerajaan menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan telus.

"Himpunan baru-baru ini merupakan amaran kepada BN agar melakukan pilihan raya dengan telus dan adil.

"Kalau berlaku penipuan, rakyat akan keluar ke jalan raya lagi untuk humban mereka," kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini. (Gambar atas)
Mohamad juga berkata, pihaknya sudah membuktikan bahawa mereka memberikan kerjasama kepada pihak polis dan bersedia untuk terus bekerjasama dengan pihak keselamatan.

"Pihak sekretariat beri kerjasama sebelum, semasa dan selepas himpunan ini pun kita akan terus bekerjasama dengan polis," katanya sambil merakamkan ucapan penghargaan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan semua pihak yang terlibat menjayakan HKR.

Menjawab tuduhan sesetengah pihak bahawa HKR bertujuan menggulingkan kerajaan, beliau berkata perkara itu akan dilakukan dalam PRU ke-13.

"Ya, memang kita mahu menggulingkan kerajaan. Kita akan gulingkan kerajaan melalui peti undi dalam PRU ke-13," katanya.

HKR berjaya membuat kutipan derma dari rakyat berjumlah RM268,802.10.

Wang itu  akan digunakan bagi menampung perbelanjaan HKR yang telah dianjurkan di seluruh negara.

"Dengan ini saya merayu orang ramai agar terus menghulurkan sumbangan kepada kami ke akaun "Tabung Impian Rakyat Malaysia" Maybank 562106235615," katanya.

Inikah video pendatang boleh mengundi di Sabah?

Harakahdaily, 17 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Isu pendatang asing diberi kewarganegaraan supaya boleh mengundi menjadi hangat ekoran pendedahan yang dibuat oleh bekas orang kanan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Portal berita semalam melaporkan dua bekas orang kanan mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dikaitkan oleh saksi-saksi yang memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah.

Sehubungan itu, bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin mahu lebih ramai saksi tampil membuat pendedahan berhubung projek IC Sabah.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily semalam berkata, pendedahan bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mohd Nasir Sugip itu membuktikan sememangnya wujud penyelewengan dalam pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah untuk tujuan mengundi.

Sementara itu, terdapat sebuah klip video di dalam Youtube bertajuk ‘Siapa kata mereka bukan pendatang asing yang diupah UMNO’ yang dicatatkan dipublish pada 6 Ogos 2012.

Dicatatkan juga SK Pekan Keningau 1995, mungkin ia merujuk kepada video itu dirakam di sekolah tersebut sewaktu pilihan raya.

Lihat http://www.youtube.com/watch?feature=player_detailpage&v=zBOhYGkEhio

 


Kantoi! Apa kata Mahathir

http://www.pencacai-semalaysia.com, 17 Jan 2013

KANTOI! Kita Tunggu Apa Kata Mahathir!

Posted by Pencacai SeMalaysia® Wednesday, January 16, 2013


Dua bekas orang kanan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad hari ini dikaitkan oleh saksi-saksi yang memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah.
Bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah memberi keterangan bahawa dia dan yang lain-lainnya menginap di rumah Abdul Aziz Shamsuddin (kanan), yang ketika itu merupakan setiausaha politik kepada Dr Mahathir, untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.

Lihat http://www.pencacai-semalaysia.com/2013/01/kantoi-kita-tunggu-apa-kata-mahathir.html

Akhbar Cina, Sinar Harian wajar dipuji; TV3, Utusan kekal primitif

Ahmad Lutfi Othman, 17 Jan 2013
Harakah edisi Isnin lalu terpaksa dilewatkan penerbitannya bagi mendapatkan liputan terkini Himpunan Kebangkitan Rakyat, 12 Januari 2013. Lazimnya deadline kami, pada Jumaat malam; ada kalanya terlajak sekitar jam 3 pagi Sabtu, malah kadang-kadang sehingga azan Subuh.

Himpunan bersejarah paling aman itu berakhir lebih kurang jam 5 petang Sabtu. Kami perlu bergegas menyiapkan bahan untuk  proses percetakan tidak boleh melewati tengah malam. Saya masih di hotel dekat Pudu Sentral, sehingga jam 6 petang. Mengambil masa berehat sebentar sebelum memulakan tugasan. Malangnya, seorang editor jatuh pitam semasa berjalan balik dari Stadium Merdeka dan proses editing dan rekabentuk tersangkut sehingga 2 pagi.

Rakan-rakan di bahagian pengedaran berhak untuk khuatir jualan merosot jika pembeli menunggu lama sehingga senja Ahad, apatah lagi jumlah cetakan sengaja ditambah.
Alhamdulillah, sambutannya laris, mengulangi terbitan Harakah untuk siri demonstrasi Bersih, yang juga kami lewatkan percetakannya. Ramai mahu mengabadikan foto besar yang menghiasai dari muka depan ke back cover itu sebagai poster untuk tatapan awam.

Pagi-pagi Ahad, 13 Januari,  ketika lenguh seluruh badan menapak ke Stadium Merdeka belum terubat, kolumnis A Shukur Harun menelefon: "Lutfi, dengar suara pun sudah maklum anta tak sihat, tapi harap dapat beli akhbar-akhbar Cina hari ini dan bandingkan dengan surat khabar Melayu. Jangan tunggu sampai tengahari, nanti habis!"

Tidak lagi kemudian, seorang lagi rakan SMS: "Pagi ini aku cari Sinar Harian di lima kedai, semua habis. Masa minum di kedai tadi, aku tengok orang sebelah baca, memang menarik. Laporannya seimbang."

Selain lidah rasmi PAS dan KeADILan, Sinar Harian dikira akhbar yang berani mencarik adat. Ia bukan sahaja  bersedia melaporkan dengan penuh tanggungjawab, tetapi dapat membantu pembaca melihat sesuatu isu secara lebih menyeluruh.

Pastinya semua sudah maklum akan "tabiat dan kelakuan pelik" media yang dikawal ketat Umno-BN -- khususnya Utusan Malaysia dan TV3 -- dalam menyorot HKR ini ... ya, sejak awal lagi.

Tentulah rakan-rakan wartawan di media berkenaan berhak membuat liputan yang menguntungkan bos politik mereka, tetapi usahlah sengaja menurunkan martabat diri, misalnya dengan membuat gelaran yang bukan-bukan seperti "Himpunan Shamsidar".

Lebih bebal lagi, momokan yang dimulakan oleh seteru ketat Anwar Ibrahim, Nallakaruppan itu, turut dilafazkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan bekas PM, Dr Mahathir Mohamad. Saya belum mendengar PM Najib Razak mengulanginya.

Mendengar Buletin Utama TV3, yang merujuk semua liputannya tentang HKR sebagai Himpunan Shamsidar, awalnya saya rasa marah dan panas telinga, tetapi selepas diulang-ulang istilah itu,  terbetik perasaan kasihan bercampur lucu, terutama kepada kawan-kawan di sana.

Terbukti Umno dan segala jentera propagandanya tidak pernah berubah, malah makin mengarut, tersasar dan terbabas, walaupun menyedari kuasa BN terancam. Rakyat yang semakin cerdik dan matang terus diperbodoh tanpa segan. Kalau bukan kerjaya sebagai wartawan, saya sendiri sudah lama melupakan Utusan, tetapi terpaksa juga mengikuti tohmahan dan fitnah terhadap pembangkang.

Pagi Ahad itu, anak saya terpaksa berpusing-pusing juga sekitar Ampang mencari akhbar Cina. Rupanya bukan saya seorang, bahkan ramai lagi yang bergegas membelinya hanya untuk melihat gambar-gambar menarik -- bukan hanya di muka depan tetapi menempati empat lima halaman penuh di dalam -- tanpa  memahami walaupun satu kalimat!

Ketiga-tiga naskhah akhbar Cina yang saya tatap pagi hujung minggu itu memaparkan foto sama  di muka depan -- pemandangan dari udara, menunjukkan bukan saja Stadium Merdeka penuh sesak hingga tiada ruang kosong di tengah padang, malah ia melimpah keluar, bersesak-sesak, dalam lingkaran beberapa kilometer di sekitarnya.

Prof Dr Shaharir Md Zain, anak Melayu pertama memperolehi PhD dalam matematik, melalui kaedah pengiraan tersendiri, menganggarkan hampir 700,000 orang menyertai HKR. Manakala Pengerusi HKR, Mohamad Sabu -- berdasarkan kutipan sumbangan hadirin, khususnya di dalam stadium, iaitu sekitar RM280,000 -- meletakkan angka setengah juta peserta.


Daripada himpunan gambar-gambar yang dipilih akhbar Cina itu, laporannya cukup positif, menggambarkan suasana harmoni peserta HKR pelbagai kaum, dengan gaya santai dan mimik muka ceria. Ada foto di muka depan menunjukkan tiga orang, pertengahan umur, rasanya dari kalangan Melayu, India dan Cina, tersenyum girang sambil memegang banner mendokong tuntutan bersihkan proses pilihan raya.

Sementara itu, Malaysiakini membuat analisis ringkas kandungan akhbar hujung minggu yang dikawal Umno-BN itu. New Sunday Times, yang meletakkan tajuk utama "Simply Irresponsible" (Memang Tak Bertanggungjawab) menyiarkan gambat besar tiga wanita, termasuk seorang darinya mengintai dari celah pagar besi kedai yang hampir ditutup.

Mingguan Malaysia menggunakan tajuk utama "Penganjur langgar syarat" dan tajuk kecil "Polis berjaya kawal himpunan pembangkang" di muka depan.

Dalam intisarinya, akhbar tersebut menyebut polis bertindak dengan "bijaksana" namun peserta melanggar syarat dengan membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun dan juga "sepanduk menghasut dan boleh membawa kepada perpecahan dan permusuhan". Ia juga menyebut dakwaan satu blog bahawa peserta dibayar RM200 hingga RM700.

Muka depan itu dihiasi gabungan tiga gambar ibu bapa bersama anak masing-masing dengan kapsyen "Undang bahaya".

Berita Harian pula langsung tidak menonjolkan apa-apa berhubung perhimpunan berkenaan di muka depannya.

Berdasarkan respons dalam FB saya, ramai kenalan yang sudah lama tidak membaca akhbar-akhbar berkenaan. Mereka menyifatkan "membuang masa" saja saya memberi perhatian istimewa kepada kandungan "akhbar tali barut" Umno itu.

Sebagai pengamal media, saya menghormati dasar editorial akhbar masing-masing, tapi janganlah sampai menghina diri ke tahap pencacai yang tidak bermaruah. Boleh saja menggelapkan berita dan gambar perhimpunan raksasa tetapi mengapa perlu menggelarnya Himpunan Shamsidar?

II.

Sejak lebih sebulan, Pengerusi HKR, Mohamad Sabu, merupakan orang paling sibuk menjelajah seluruh negara. Himpunan yang bermula di Seremban Jaya, 3 November lalu dan melintasi semua bandar-bandar besar membawa mesej penting dan kritikal, khususnya bagi memastikan PRU13 berjalan bebas, bersih dan adil.

Mulanya kami menetapkan temujanji pada petang Selasa lalu, tetapi sehari sebelumnya, iaitu tengahari Isnin, Timbalan Presiden PAS itu menelefon minta segera berjumpa. Saya di Restoran Haslam, tidak jauh dari pejabat, baru menjamah hidangan. Disebabkan tidak dapat menunggu lama, kerana banyak urusan penting yang perlu dibereskan, Mat Sabu terpaksa mencari saya di restoran.

Beliau minta disiarkan iklan semuka penuh, menzahirkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada peserta HKR, termasuk petugas daripada Jabatan Amal, AMK dan DAPSY yang bertungkus-lumus memastikan kelicinan program, selain pihak polis yang berjaya menunaikan janji untuk bertindak sebagai pemudahcara (bukan lagi provokator ataupun menganggu majlis!).

Semasa kami bersembang, dua rakan wartawan Harakah, Roy Rasul dan Nyza Ayob datang untuk bertanya lebih lanjut hal HKR. Memang tidak selesa berbicara semasa restoran penuh tetapi Mat Sabu tidak mempunyai masa terluang petang itu kerana perlu ke Kota Bharu. Lebih mendesak, deadline Harakah untuk sisipan Fikrah mesti disiapkan malam itu juga.

Perbualan kami kerap tertangguh apabila banyak panggilan masuk. Hampir semuanya mengucapkan tahniah di atas kejayaan mengendalikan himpunan Ahad lalu. Beberapa  pengunjung restoran kelihatan menyapanya, bersalam atau sekadar menunjukkan tanda bagus; pastinya merujuk acara kemuncak HKR yang menarik perhatian semua pihak itu.

Beliau nampak lega dan selesa. Saya cuba membayangkan perasaannya ketika Stadium Merdeka penuh sesak petang Ahad lalu dan Mat Sabu merupakan penganjurnya. Pastinya pertimbangan utama beliau ialah keselamatan orang ramai yang memenuhi setiap inci stadium.

Dia menceritakan hubungan baiknya dengan pihak polis dan sentiasa berinteraksi dengan OCPD Dang Wangi semasa program berlangsung. Timbul juga soal ugutan yang diterimanya melalui SMS bagi menakutkan beliau.

Ternyata pasukan keselamatan dalam bertindak profesional dan independen sekiranya tidak diganggu elit penguasa yang lebih mementingkan survival politik daripada keselamatan awam.

Mungkin teguran berbisa bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan -- walaupun menyinggung penggantinya, Ismail Omar -- turut menyumbang ke arah formula praktikal yang melegakan semua pihak.

Teringat saya kos sia-sia yang terpaksa ditanggung apabila siri himpunan Bersih digempur polis. Bayangkan, di peringkat awal dahulu, memakai baju kuning pun menjadi satu kesalahan besar sehinggakan pembantu restoran Bangladesh pun ditangkap disebabkan baju seragam oren mereka.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) pada persidangan Dewan Rakyat 11 Jun 2012, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Husseein menjelaskan kerajaan menanggung RM1.8 juta daripada Bersih 3.0 pada 28 April.

Hishamuddin juga memberitahu sidang Dewan Rakyat, menjawab  soalan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh), kos keseluruhan yang dibelanja oleh PDRM bagi menangani Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 adalah sebanyak RM2,018,850.06.

Selain itu, tambah Hishamuddin, sejumlah 11,046 pegawai dan anggota polis terlibat mengawal keselamatan di Lembah Klang termasuk 2,600 yang dikerah untuk siap sedia di kontinjen-kontinjen seluruh negara.

Sepanjang berjalan dan kemudiannya menyusuri Jalan Sultan dengan teksi apabila sukar mengheret kaki lagi, sehinggalah ke pintu stadium, saya perasan tidak ramai polis yang berkawal.

Begitu juga semasa saya berpusing-pusing di sekitar ibu kota pada sebelah paginya, polis trafik pun jarang-jarang kelihatan.

Rupanya tanpa kelibat polis, apatah lagi FRU, kita menjadi lebih selesa. Pelik juga 'kan?

Najib memilih jalan selamat apabila tidak melanjutkan konfrontasi dengan peserta himpunan, sebaliknya mengucapkan terima kasih di atas kerjasama baik melicinkan aturcara program, berbeda dengan timbalannya, Muhyiddin dan mentornya, Dr Mahathir.

Sebenarnya Najib tidak banyak pilihan. Sekiranya pasukan polis dikerah untuk menggempur rakyat -- seperti lazimnya -- saya yakin kehadiran tetap melimpah. Rakyat tidak takut lagi dengan gertakan dan ancaman, malah sebahagiannya mungkin lebih bersemangat jika meraka cuba dihalang.

Dan imej PM dan BN sendiri akan menjunam lebih teruk; situasi cukup berbahaya di saat-saat akhir menjelang Parlimen terpaksa dibubarkan.

Ketika ini, saya tidak mahu menghitung untung-rugi politik kepada Najib dan juga Pakatan Rakyat ekoran HKR. Yang penting, kita telah menunjukkan tradisi yang baik.

Pendekatan konfontasi dan bermusuhan tidak membawa manfaat, sebaliknya amalan rundingan dengan fikiran terbuka, tanpa terlalu terikat dengan peraturan yang sedia mengongkong dapat memberi laluan kepada "politik baru" untuk berkembang.

Terbukti sudah, perhimpunan aman, biarpun melibatkan ratusan ribu orang pada Ahad lalu -- termasuk kanak-kanak dan juga bayi, juga OKU dan orang-orang tua --  seperti juga siri pertemuan yang sering dihadiri Perdana Menteri, yang dihadiri pelbagai lapisan umur, termasuk anak-anak kecil yang masih didukung, dapat berjalan lancar, harmoni dan tenteram sekali. Alhamdulilah.

Gantung Azrul: Bank Islam mungkin ditekan

Anis Nazri, 16 Jan 2013
KUALA LUMPUR: PAS percaya penggantungan Ketua Ekonomis Bank Islam, Azrul Azwar Ahmad Tajudin sebagai satu keputusan politik.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, mendakwa pihaknya percaya pengurusan bank menerima tekanan daripada pihak kerajaan yang merupakan pemegang saham terbesar di Bank Islam melalui Tabung Haji.

Beliau yang kesal dan kecewa dengan tindakan penggantungan itu, berkata adalah tidak wajar hukuman itu dikenakan hanya bertitik tolak kepada kenyataan Azrul pada satu persidangan di Singapura.

"Ia sesuatu yang tidak wajar yang menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak bersedia mempunyai kakitangan dan pegawai swasta yang berpandangan jauh.

"Sebaliknya, hanya mahu memiliki pegawai yang menjadi penglipur lara untuk mendodoikan pemimpin kerajaan supaya boleh tidur lena," kata beliau pada satu sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Kenyataan Azrul itu, kata Mahfuz tidak dilihat sebagai mengkritik kerajaan hingga membolehkan tindakan penggantungan diambil, sebaliknya berpegang kepada unjuran ekonomi semasa yang bergantung kepada persekitran politik pasca pilihan raya umum.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengurusan Bank Islam menarik balik penggantungan tersebut demi kepentingan negara dan pendeposit di kedua-dua bank tersebut, Bank Islam dan Tabung Haji.

Minggu lalu, Azrul Azwar ketika bercakap dalam satu seminar di Singapura, meramalkan BN akan kalah dalam PRU13 nanti.

Beliau berkata, BN akan kalah tipis dalam pilihan raya yang dijangka sengit itu.

Azrul berkata, hasil kajian maklumat menggunakan data analisisnya mendapati BN hanya mampu memperolehi antara 97 ke 107 kerusi sahaja dalam pilihanraya umum akan datang, jauh jika dibandingkan dengan prestasi 140 kerusi yang dimenangi pada pilihanraya umum lalu.

Bagaimanapun, dengan keputusan hasil maklumat ini, Pakatan Rakyat juga hanya menang antara 115 ke 125 kerusi sahaja dan ia sesuatu yang tidak stabil dari segi ekonomi sesebuah negara.

AKSB: Mahkamah tolak permohonan Presiden MTRK

Aslani M, 16 Jan 2013
KOTA BHARU: Usaha Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Che Azmi Mohd Ali untuk mendapatkan dokumen berkaitan perjalanan dan pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) ditolak Mahkamah Tinggi.

Hakim Datuk Azman Abdullah menolak permohonan tersebut dengan kos.

Peguam Hisham Fauzi yang mewakili AKSB berkata, Che Azmi tidak berhak mendapatkan dokumen tersebut bagi menyokong pembelaannya.

Malah menurutnya, defendan boleh memanggil saksi berkaitan ketika bicara penuh sekiranya berhasrat meneruskan pembelaan.

Permohonan penzahiran dokumen oleh Che Azmi didengar dalam kamar hari ini. Oleh itu mahkamah mengarahkan kos prosiding sebanyak RM2,000 dibayar defendan.

Hisham juga berkata, mahkamah menetapkan 20 dan 21 Mac hadapan sebagai tarikh perbicaraan penuh kes terbabit.

Pada prosiding hari ini Hisham turut dibantu peguam Farah Helmy, manakala Natasya Khairunnisa' mewakili Che Azmi dan Bhag Singh (akhbar The Star).

Sebelum ini AKSB memfail saman terhadap lima defendan iaitu Che Azmi, dua wartawan akhbar The Star, Datuk Lourders Charles dan Rahimy Rahim.

Selain itu Ketua Pengarang The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai dan Star Publications (M) Bhd berhubung artikel berunsur fitnah terhadap plaintif.

Artikel berunsur fitnah disiarkan akhbar terbabit pada 26 April 2012 antara lain menyiarkan tajuk  “Murky waters over a million Kelantanese drink water that looks like this” (lebih sejuta rakyat Kelantan minum air keruh, lihat ini).

AKSB menyifatkan tulisan yang disiarkan akhbar tersebut jelas berunsur fitnah dan berniat jahat.

Dalam pernyataan tuntutannya sebelum ini AKSB menuntut gantirugi sebanyak RM5 juta. Selain itu ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif.

Projek IC: Lajim seru ramai lagi buat pendedahan

Muhammad Faizal, 16 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin mahu lebih ramai saksi tampil membuat pendedahan berhubung projek IC Sabah.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily berkata, pendedahan bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mohd Nasir Sugip itu membuktikan sememangnya wujud penyelewengan dalam pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah untuk tujuan mengundi.

"Saya menyokong penuh tindakan berani bekas kakitangan JPN yang telah membuat pendedahan bahawa ada arahan pihak tertentu dalam pemberian kad pengenalan dalam usaha untuk mendapat undi.

"Selain itu juga saya minta semua pihak yang pernah terlibat perlu tampil untuk membuat pendedahan jika mempunyai bukti penyelewengan dan perkara ini amat penting untuk keselamatan rakyat negara ini dan Sabah," jelas beliau.

Beliau mengulas pendedahan Nasir kepada Suruhanjaya Diraja (RCI) hari ini berhubung kerjasama pihak berkuasa untuk mengubah demografi pemilih Sabah pada tahun 1990-an.

Nasir berkata, jabatanya pernah menerima arahan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri untuk memberi kad pengenalan kepada pendatang asing bagi membolehkan mereka mengundi

Nasir yang pernah ditahan bawah ISA sebelum ini mendakwa operasi yang digelar "Ops Durian Buruk" itu dijalankan antara tahun 1992 hingga 1995.

Dakwanya, pengarah SPR Sabah pada masa itu, Wan Ahmad Wan Yusof menyerahkan senarai 16,000 nama untuk diklasifikasikan sebagai pengundi "Bumiputera Islam".

Menurut Lajim lagi, beliau tidak pernah menolak pemberian kad pengenalan kepada mana-mana individu jika ia menepati perundangan yang sedia ada, tetapi jika pemberian itu diberikan untuk mepentingan politik dan melalui proses yang salah tindakan tersebut perlu ditentang sepenuhnya.

Pada masa sama, beliau menyambut baik penubuhan RCI ini dalam menyelesaikan masalah imigrasi Sabah, namun mendesak agar kerajaan menghentikan segera pemberiaan kad pengenalan melalui proses yang bertentangan sistem perundangan.

"Kita desak agar kerajaan menghentikan segera pemberian kad pengenalan tanpa proses yang betul.

"Penubuhan RCI tidak akan berkesan jika aktiviti sedemikian masih diteruskan," sambung beliau lagi.

Tiada ulasan: