Rabu, 16 Januari 2013

NAK KIRA HARAM ORANG...AQIDAH ORANG...ADAKAH DIA TAK BUAT YANG HARAM...DAN AKIDAH SENTIASA BETUL DAN BENAR....JANGAN PILIH2LAH MELONTAR HUKUM

Noh Gadut perlu selamatkan akidah ahli Umno

Ahmad Tajdid, 14 Jan 2013
SELEPAS berminggu-minggu isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam dijadikan polemik oleh media massa konvensional pro-BN, Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang 13 Januari lalu telah mengeluarkan kenyataan berikut:

1)    Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

2)    Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah yang menjadikan alam ini.

3)    Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.

Kenyataan media yang ditandatangani Mursyidul Am PAS, Tuan GUru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din itu diharap dapat meredakan sentimen umum berhubung isu ini sekaligus menjernihkan persepsi mereka terhadap kenyataan yang dikeluarkan para pemimpin PAS sebelum ini.

Tatkala ulama PAS menyarankan agar terjemahan kalimah 'God' atau 'Lord' dari kitab agama lain dicegah tetapi tidak menghalang kalimah Allah disebut oleh orang bukan Islam, Penasihat Majlis Agama Islam JOhor, Dato' Nooh Gadut muncul dengan pandangan yang lebih keras. Menurutnya, pihak yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan masyarakat bukan Islam dan kitab Bible bahasa Melayu "boleh jatuh kufur dan murtad" (Sinar Harian, 13 Jan 2013, muka 12).

Jika pandangan Nooh Gadut itu dijadikan pegangan, nampaknya akidah para penguasa Islam di negara ini yang membenarkan penggunaan nama Allah dalam kitab terjemahan Bible atau Alkitab seumpama telur dihujung tanduk.

Apatah lagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz pernah mengeluarkan kenyataan bahawa, "penganut Kristian di Sabah dan Sarawak dibenar menggunakan kalimah Allah dalam upacara sembahyang dan keagamaan..." (Utusan Malaysia, 16 Jan 2010).

Dan jika sejarah penterjemahan Bible ke bahasa Melayu diambil kira, sudah terlalu ramai orang Islam khususnya para penguasa di Malaysia dan Indonesia yang "jatuh kufur dan murtad". 

Sejarah penterjemahan Bible

Wikipedia menyebut di antara tulisan-tulisan Kristian terawal di tanah Nusantara adalah Kitab Salat as-Sawai (ataupun Kitab Doa dan Tafakur) yang disusun seorang mubaligh Portugis bernama Gregorio de Gregorus pada 1514.
Buku yang diterbitkan di Fano, Itali itu ditulis dalam tulisan Jawi dan mengandungi beberapa petikan daripada Alkitab (Bible) Vulgata yang diterjemahkan dari bahasa Latin ke bahasa Melayu. Malah tokoh-tokoh seperti Francis Xavier, seorang pendeta Kristian Katolik yang pernah sampai ke Melaka, telah menyusun beberapa buku soal-jawab agama di dalam bahasa Melayu.

Namun demikian, kerja penterjemahan seluruh Alkitab ke dalam bahasa Melayu cuma bermula setelah orang Belanda yang bermazhab Protestan mula bertapak di tanah Nusantara.

Dan tidak perlu disebutkan lagi bahawa hampir kesemua terjemahan teks Kristian itu menggunakan perkataan "Allah" bagi menggantikan "Lord" atau "God".

Malah dari tahun 1612 hingga 2002, terdapat 45 versi terjemahan Bible ke bahasa Melayu klasik, bahasa Melayu Maluku, bahasa Melayu Surabaya, bahasa Melayu Semarang, bahasa Melayu Moden dan bahasa Indonesia dilakukan.

Wikipedia seterusnya menyebut:

Pada mulanya, Alkitab di dalam Bahasa Melayu diguna pakai oleh umat Kristian di seluruh rantau Nusantara tanpa mengira sama ada Alkitab itu diterjemah, dicetak dan diedarkan oleh pihak Gereja di Tanah Melayu, Borneo ataupun Hindia Timur. Setelah kemerdekaan Indonesia (1945) dan Tanah Melayu (1957), perkembangan Bahasa Melayu mengambil halatuju yang tersendiri di kedua-dua negara tersebut.

Pada awal zaman kemerdekaan kedua-dua negara tersebut, versi Alkitab yang lazimnya dipakai oleh umat Kristian di rantau ini adalah Alkitab Shellabear (1912) dan Alkitab Terjemahan Lama (1958) yang menggabungkan Perjanjian Lama Klinkert (1870) dan Perjanjian Baru Bode (1938) di dalam satu edisi.

Alkitab Ende (1968) yang diterbitkan oleh Gereja Katolik Rom Indonesia dan Alkitab Terjemahan Baru (1974) yang diterbitkan oleh Lembaga Alkitab Indonesia antara usaha yang pertama untuk menyemak dan menerbitkan penterjemahan Alkitab di dalam Bahasa Indonesia moden.

Pada masa yang sama, Persatuan Alkitab Singapura, Brunei dan Malaysia menerbitkan Perjanjian Baharu Berita Baik (1974) di dalam Bahasa Malaysia moden yang kemudiannya disusuli dengan penerbitan edisi Alkitab Berita Baik yang merangkumi teks penterjamahan baru Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru di dalam Bahasa Malaysia moden pada tahun 1987.


Daripada maklumat di atas, jelaslah bahawa penterjemahan teks Kristian termasuk Bible ke bahasa Melayu telah pun dibuat sejak awal penjajahan Portugis di Melaka dan berterusan sehinggalah ke hari ini dengan penggunaan Bahasa Melayu moden.

Versi bahasa Melayu moden Bible inilah yang banyak digunakan oleh para penganut Kristian di Sabah dan Sarawak termasuk puluhan ribu ahli Umno di Sabah.

Maka Noh Gadut perlu menjelaskan kepada umum berhubung hukum membenarkan ahli Umno beragama Kristian menggunakan Bible bahasa Melayu moden yang di dalamnya terkandung kalimah Allah. Ini untuk mengelakkan pemimpin Umno daripada menjadi "kufur dan murtad".
---------

caption:

Naskah awal terjemahan teks Kristian ke bahasa Melayu klasik dalam tulisan Jawi, Kitab Salat as-Sawai direkod pada 1514.

Salute untuk wanita berani

Adam Adli, SAMM,


Solidariti Mahasiswa Malaysia dengan ini mengucapkan tahniah, dan menyatakan sokongan dan dokongan penuh kepada mahasiswi Universiti Utara Malaysia, Saudari Bawani yang telah menzahirkan suatu keberanian luar biasa dalam mempertahankan kebenaran, keadilan berhujah, dan prinsip tegas beliau berkaitan hak mahasiswa dan perjuangan rakyat.

Seharusnya, tindakan matang yang dipamerkan oleh Bawani ini dicontohi oleh seluruh mahasiswa. Kesedaran tinggi dalam memahami isu berkaitan mahasiswa, masyarakat, dan negara adalah asas penting yang seharusnya dimiliki oleh lebih ramai lagi mahasiswa, sesuai dengan takrifan sosial yang melihat mahasiswa sebagai golongan berilmu dan kritis. Fungsi dan sifat mahasiswa sebagai golongan berilmu dan kritis dalam kalangan masyarakat berjaya ditampilkan dengan cemerlang oleh mahasiswi bernama Bawani ini.

Tindakan Saudari Bawani telah memberikan suatu harapan baru dalam usaha mengembalikan kewibawaan mahasiswa dewasa ini. Tanpa menghiraukan sebarang risiko, beliau telah bangkit untuk bersuara bukan sahaja bagi diri beliau, sebaliknya juga buat mahasiswa dan rakyat kebanyakan.

Solidariti Mahasiswa Malaysia pada masa yang sama turut ingin menyatakan kejengkelan terhadap aksi kurang matang, tidak profesional, dan tidak cerdik yang ditunjukkan oleh moderator dalam majlis forum yang dianjurkan UUM tersebut.

Tindakan moderator tersebut boleh dianggap sebagai biadap, mengelirukan, serta memperbodohkan mahasiswa yang turut ikut serta dalam majlis tersebut.

Seorang pengampu dan penyamar seperti moderator tersebut ternyata tidak sesuai dan tidak layak menjadi pengemudi majlis ilmu seperti itu.

Sekali lagi, kami menyatakan pujian, dan tahniah kepada Bawani yang berani. Semoga keberanian beliau menjadi contoh dan pedoman kepada golongan mahasiswa lain.

Salut untuk mahasiswa yang berani!
Hentikan pembodohan mahasiswa!

Corat coret HKR #KL112

Dr Azman Ibrahim, 14 Jan 2013


Seorang pemandu teksi berusia awal 50-an yang saya tumpangi dari Stesen Monorel Bukit Nenas untuk ke Central Market pada petang Jumaat 11 Januari 2013 begitu rancak bercerita tentang kebanjiran ramai orang di sekitar Kuala Lumpur hari tersebut. Lumayan sungguh pendapatannya hari ini, dari awal pagi sehingga hampir jam 4.30 petang, kira-kira RM1,000 telah masuk ke poketnya.

Saya hanya memberi komentar ringkas dalam rangka mahu menguji sejauh mana minatnya untuk bercakap tentang himpunan yang bakal berlangsung keesokannya, “Alhamdulillah… syukur atas rezeki kurnian Allah.”

Pak Cik teksi itu bertanya lagi, “Agak-agak esok ada gas tak?” Juga jawapan ringkas saya berikan. “Entahlah Pak Cik, dengar khabarnya himpunan esok mendapat permit polis.”

“Ada permit pun, bukan boleh percaya sangat dengan polis ni! Esok dia buat perangai gila, habisss..” Bebelnya dengan nada penuh kekesalan atas perlakuan dan tindakan polis semasa himpunan-himpunan yang telah lepas.

“Himpunan Bersih yang terakhir baru ni, Pak Cik pun kena gas. Aduh! Pedih sekali…”

Dengan nada bergurau saya menyampuk, “Pak Cik tahu dah kawasan tu ada demonstrasi, buat apa pergi bawak teksi kat situ?”

Sambutnya…“Ha…ha…ha… bukan Pak Cik pergi bawak teksi kat situ, Pak Cik pun hadir sekali himpunan tu, kena kejar polis, kena air kimia, kena gas…”

“Ha…ha…ha… Kalau begitu, kita senasiblah Pak Cik, saya pun kena kejar, kena gas sama macam Pak Cik jugak…”

“Jadi… adik mari KL ni, nak hadir himpunan esoklah?” soal Pak Cik tu lagi.

“Sudah semestinya!” jawab saya lagi.

“Ha…ha…ha… kita serupa rupanya…” ketawa Pak Cik tu lagi.

“Itulah Pak Cik ni… Polis tak bagi pergi, Pak Cik degil! Pergi jugak… Kan dah boleh rasa ubat resdung.” Gurau saya lagi sehingga Pak Cik teksi itu terus ketawa besar.

Ketika sampai ke destinasi Pasar Seni dan bersalaman dengannya, sempat saya memaklumkan bahawa saya adalah salah seorang pimpinan PAS Terengganu yang pernah bertanding mewakili PAS dalam pilihanraya, tangannya mengenggam erat tangan saya sambil berkata, “Insya Allah kita kuburkan BN dalam pilihanraya akan datang!”

Jam 12.30 tengah hari, Sabtu 12 Januari 2013. Ketika pintu Stadium Merdeka mula dibuka, saya diantara peserta awal yang memasuki stadium, berjemur panas di tempat duduk terbuka ketika tempat duduk stadium hanya sekitar ¼ dipenuhi orang ramai.

Dalam ingatan, kali pertama dan terakhir saya menjejakkan kaki ke dalam Stadium Merdeka sebelum ini adalah pada tahun 1992 ketika menuntut di Universiti Malaya. Sekadar untuk melepaskan tekanan belajar, dengan motosikal cabuk Honda Cup buruk, saya datang ke Stadium untuk menyaksikan satu perlawanan Liga Semi Pro ketika itu antara pasukan Brunei dan Tentera.

Kalau tak kerana himpunan HKR KL #112 ini, mungkin benar itulah kali pertama dan terakhir saya mengunjungi tempat di mana kemerdekaan negara diistiharkan oleh Tunku Abdul Rahman.

Duduk bersebelahan dengan seorang lelaki Cina yang rancak bercerita. “PAS sekalang ini bagus woo… talak macam dulu lagi. Tengok… itu Melayu, Cina, India semua boleh pakai baju PAS! Termasuk saya juga.” Ujarnya dengan sedikit nada bangga apabila memakai t-shirt bertulis ‘Pas Untuk Semua’.
“Dalam isu itu tuhan Allah… saya tengok itu Tok Guru sangat cerdik..” Komennya lagi mungkin mengulas isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

“Saya pun agama kristian, tapi saya boleh terima itu penjelasan Tok Guru.”

Sebagaimana biasa, saya suka menjadi pendengar setia dan cuba untuk menangkap butir-butir bernas yang boleh dijadikan bahan penulisan sambil berfikir bahawa mungkin dia telah meneliti kenyataan akhbar Tuan Guru Presiden dalam isu penggunaan kalimah Allah.

“Uncle agak penuh tak stadium ni hari ni?” soal saya untuk menyambung topik perbualan. “Mesti penuh sesak woo… you tengoklah sendiri nanti!”

“Uncle asal dari mana?” saya ingin mengenalinya lebih lanjut sambil menghulurkan bisness kad saya kepadanya.

“Saya orang KL… Wah! You keleja doktor yaa..! manyak bagus…” “Itu olang-olang cerdik tarak mau sokong BN lagi!”

“Ya lah uncle… saya dah sokong PAS semenjak dalam perut mak saya lagi.” Gurau saya. “Oooo… itu macam kaaa?”

“Ha… ha… ha…!” kami sama-sama ketawa.

“Lepas pilihanraya nanti, kita kasi masuk itu BN dalam nuseum.” Gurau apek itu lagi dengan penuh kemesraan sehingga kehangatan cuaca pada petang itu tak begitu terasa.

Melihat jam masih awal, stadium pun masih banyak kekosongan, saya mengajak uncle Cina tersebut keluar mencari minuman dahulu. Kebetulan yang terdekat ditemui hanyalah minuman dalam tin 100 plus.

“O.k uncle! Hari ni tak ada gas, mari kita minum air gas!”

“Ha… ha… ha…” Apek tu ketawa besar.

Penulis ialah Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, Terengganu.

'Memang bersih sungguh kali ini'

-, 14 Jan 2013



Alhamdulillah. Terbukti acara kemuncak Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari lalu bertaraf grand finale yang mencipta sejarah.

Stadium Merdeka menjadi saksi bahawa gemuruh suara rakyat tidak boleh diremehkan. Mereka benar-benar mahukan perubahan! Dan ia tidak boleh ditangguh lagi.


Lebih penting, ada amaran tersirat: "Pastikan tiada penipuan dan manipulasi dalam PRU13. Hormati segala tuntutan Bersih selama ini."

Segalanya berjalan teratur, lancar dan aman sekali. Malah, ramai berasa selesa dengan ketiadaan kelibat FRU. Ratusan ribu rakyat prihatin bergerak tanpa gangguan. Tekad polis untuk menjadi fasilitator atau pemudahcara boleh dikatakan berjaya.

Tanpa provokasi dan gangguan seperti siri perhimpunan raksasa sebelumnya, Kuala Lumpur tidak bingit lagi dengan tembakan gas pemedih mata atau pertembungan langsung dengan pasukan keselamatan.

Tiada keganasan direkodkan. Harmoni. Menyenangkan. Penuh muhibah dan toleransi.

Walaupun jumlah kehadiran cuba dikecilkan pihak polis, saya kira umum dapat memahami situasi terdesak itu. Ya, apa lagi yang mahu diputar-belitkan untuk memberi gambaran jelek kepada publik, khususnya melalui siaran berita RTM dan TV3 pada malam Ahad lalu?

Strategis dan tukang propaganda Umno-BN kehilangan idea untuk 'spin' isu ini. Selepas memberi gelaran tidak masuk akal -- "Himpunan Shamsidar" -- Utusan Malaysia dan TV3 terpaksa menelan muntah sendiri. Maka terpaksa diselongkar (sebenarnya direka-reka) bahan yang boleh memaparkan kegagalan perhimpunan yang memecah rekod itu.

Harapan pengarah himpunan, Mohamad Sabu, seperti dilafazkan selepas berjumpa Ketua Polis Negara beberapa hari lalu, agar peserta datang beramai-ramai, membawa keluarga bersama, berjalan santai beriringan, dengan mood festival, bernar-benar tercapai.

Setiap lapisan masyarakat, dengan pelbagai latar belakang,  tua dan muda (juga kanak-kanak), lelaki dan wanita, mewakili segenap sektor yang membawa tuntutan berbeda tetapi dengan roh dan semangat yang sama, biarpun penat berhimpit-himpit dan letih mengatur langkah, namun wajah mereka membayangkan kegembiraan dan kepuasan.

Saya hampir terlepas menyaksikan himpunan bersejarah itu selepas keletihan berjalan agak jauh pada malam sebelumnya, untuk bersama-sama memeriahkan acara "countdown" di Kampung Baru.

Hasrat awal untuk berkereta sehampir mungkin dengan stadium, tetapi terpaksa berpusing-pusing sekitar ibukota apabila banyak laluan, termasuk Jalan Sultan berhampiran hotel penginapan saya dekat Pudu Sentral ditutup. Selepas setengah jam "sesat jalan" dan balik semula ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, kami tersekat pula di persimpangan Dataran Merdeka, apabila Jalan Tun Perak ditutup bagi memberi laluan kepada perarakan.

Apa pun, terima kasih kepada pemandu teksi yang bersedia membantu (ada buku "Kebangkitan Rakyat" oleh Yusuf Qaradawi atas dashboard keretanya; bayangkan dia hanya menerima RM3 untuk perjalanan yang saya kira bayaran miternya melepasi RM15), selepas jalan dibuka jam 2.30 petang.

Dapat juga saya  menapak perlahan-lahan sehingga ke tangga stadium, untuk naik memerhati lautan manusia, yang juga sabar memberi giliran dan peluang kepada orang lain  menyaksikan acara terhebat itu. Pemandangan di sekitar stadium begitu menakjubkan. Limpahan manusia tertib berdisiplin.

Masing-masing senyum hormat, menebarkan salam, mengangkat tangan, menunjukkan tanda "bagus". walaupun saling tidak mengenali. Seorang anak muda bukan Melayu, yang tersinggung sedikit tangan saya, ketika berjalan turun tangga stadium, dengan nada sopan, menundukkan kepala, memohon maaf berkali-kali.

Tidak sempat lama mendengar amanat pemimpin, saya terpaksa berjalan balik ke hotel. Bimbang "kelemasan" dalam suasana sesak dan padat. Secara peribadi, saya cukup berpuas hati dan melafazkan syukur berulangkali kerana dapat sama-sama berdiri di antara ratusan ribu yang lain, menyaksikan "sejarah Malaysia baru dalam pembikinan".

Ramai rakan-rakan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sengaja memilih untuk tidak masuk ke stadium. Semasa berselisih dengan  Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad, selepas berakhir acara "countdown" di Kampung Baru, jam 12.30 malam sebelumnya, dia menyatakan seeloknya masyarakat Lembah Klang memberi peluang kepada orang luar untuk menghayati kemeriahan Stadium Merdeka.

Agak lama juga saya menunggu teksi untuk balik ke hotel. Tak mampu lagi mengheret kaki walaupun perjalanan menuruni bukit. Alhamdulillah, seorang pemandu teksi,  kali ini rakan Tionghua yang baik hati, bersedia menempuh kesesakan.

"Memang bersih kali ini, ya?" katanya, ketawa kecil, merujuk suasana aman walaupun lebih ramai berarak berbanding siri demonstrasi Bersih sebelumnya. "Tak takut bawa teksi hari ini?" tanya saya. "Biasa saja, jalan pun tutup taklah lama, sekarang sudah lancar," balas pemandu yang ramah dan tidak lokek dengan senyuman itu.

"Kalau polis tak kacau, dan jalankan tugas secara profesional, keadaan akan jadi baik macam hari ini," pintas rakan saya, yang menemani sejak pagi. "Mungkin peniaga Jalan Tuanku Abdul Rahman merungut, sebab laluan mereka tidak sesak seperti demonstrasi Bersih sebelum ini, dan pelanggan tak ramai," tambahnya. Kami serentak ketawa.

Anak lelaki saya pula mengingatkan ada peserta himpunan yang mengagihkan minuman ringan kepada anggota polis di hadapan pintu stadium. "Baguslah, kalau semua bertimbang rasa, saling memahami, dan jadi bukti bahawa demonstrasi tidak perlu ditakuti," kata saya, mahu melihat reaksi pemandu teksi tadi. Dia mengiayakan.

Namun, saya tidak akan lupa wajah bersih seorang anak muda, awal 20-an, yang baru saja pulih dari koma selepas lebih setahun kemalangan, tetapi masih uzur di atas kerusi roda, datang bersama keluarganya, dari Johor. Semangat keluarga ini cukup luar biasa. Dan saya pasti blogger Umno akan memanipulasikan suasana hebat itu daripada perspektif sempit mereka.

Riak muka anak muda itu membayangkan tingginya harapan dan tulusnya impian rakyat Malaysia untuk melihat perubahan besar selepas PRU13 nanti

Di atas padang sejarah

A Samad Said, 14 Jan 2013


Di dataran sejarah suara kita sesubur rumput,
bisik kalbu bergaung garang tanpa resah tanpa takut.
Lagu kita rindu demokrasi darjat awan tertinggi
mengindah ufuk senja merai kemerdekaan diri.

Rumput di kaki, awan di kepala, gah iringi murba,
seramainya, sederapnya, setulusnya,

kita bersama menjulang panji negara,
bangga dicium angin jati
di tengah gelora kita sebangsa dan sejiwa murni.

Di atas padang sejarah pantang kita mungkiri janji
setiap tapak dan langkah mengisi rindu demokrasi.
Diri kita amat padu maruah senandung setulus hati
melunturkan wewarna zalim, menyuburkan kuning berseri.

Kita tenaga jati gah berjuang demi keadilan;
kita terbang sederas sinar julang panji kebenaran.

2—3, Oktober, 2012. A. SAMAD SAID.

Lihat http://www.youtube.com/watch?v=3YCbnKTruI4&feature=player_embedded

Yang kalah PRU13 terimalah keputusan!

Subky Latif, 14 Jan 2013
TUN Dr. Mahathir beberapa bulan lalu mengingatkan supaya parti yang kalah dalam PRU13 nanti menerima keputusan rakyat itu.
Jika dia seorang negarawan yang tidak partisan, ia adalah pesan yang baik yang perlu dihormati oleh siapa saja yang kalah. Tetapi ada tanda-tanda ia ditujukan kepada Pakatan Rakyat gara-gara kecenderungannya mengadakan beberapa  kebangkitan raksasa satu dua tahun akhir-akhir ini.

Seolah-olah ditafsirkannya, dengan momentum itu, Pakatan Rakyat tidak akan bersabar kiranya ialah gagal merebut Putrajaya.

Pakatan Rakyat adalah parti pembangkang yang dipercayai dapat mengekalkan tradisi bersabarnya kerajaan berparlimen diperkanalkan. Ia adalah parti yang amat berpengalaman menghadapi kekalahan. Justeru itu ia tidak merosakkan rekod sabarnya. Justeru itu tidak luar biasa baginya menghormati pesan Dr. Mahathir.

Tetapi yang belum dapat dipastikan bersedia untuk menghormatan  pesan itu ialah pihak tidak pernah kalah dan tiada pengalaman kalah. Adakah mereka boleh bersabar dan dapat belajar menjadi orang sabar.

Dr.  Mahathir sendiri yang partinya tidak pengalaman kalah, apabila dia sendiri kalah dalam PRU 1969 di  Kota Setar Selatan, sabarnya hilang. Berlaku pembocoran surat-surat peribadi antaranya dengan Tunku Abdul Rahman hingga dia dipecat dari UMNO.

Mengapa? Segala-galanya dipercayai tidak belajar menerima kekalahan.

Saya bimbang kesabaran ini tidak ada pada UMNO dan penyokong. Ajaran demokrasi itu tidak benar-benar ditetapkan ke akar umbi UMNO.

Dalam jelajah bas Anwar Ibrahim ke  serata  tempat menjelang PRU13 banyak bertembung dengan simbahan cat di basnya  dan kejadian tegang balik objek keras serta ganguan fisikal terhadap perhimpunan pembangkang. Hingga ada kecederaan.

Jika kembali ke era Pemuda UMNO tahan lasak  sebelum tahun 1969, ia ada sejarah samseng dan seolah-olah itulah yang cuba dikembalikan oleh petualang yang mengganggu bas dan ceramah pembangkang sekarang.

Malah kejadian 13 Mei, 69 mulai tersebar khabar ia angkara orang penting UMNO menimbulkan huru-hara untuk merebut kuasa dan bagi memastikan Perikatan yang hilang majoriti di Perak dan Selangor untuk terus berkuasa. Kata Tamrin Ghafar yang baru menyertai PAS, rombongan  Pemuda UMNO pimpinan Anwar Ibrahim mengunjungi Tun Ghazali Shafie mendengar dari padanya bahawa 13 itu adalah satu mini kudeta.

Semua keterangan ini mengingatkan kita, yang mudah tidak dapat menerima kekalahan bukan angkara pembangkang, tetapi orang lain.

Banyak contoh orang yang  tidak pernah kalah merampas kemenangan pembangkang dalam pilihanraya. Semasa BN Sabah kalah pilihanraya pada PBS, kerajaan  yang kalah bersekutu mengangkat sumpah jadi  Ketua Menteri. Nasib baik Pemangku Perdana Menteri masa itu Tun Musa Hitam menolak rampasan kemenangan itu.

Regim Algeria yang tidak pernah kalah sejak merdeka yang kalah pada parti Islam, FIS pimpinan ulama Abbasi Madani merampas kemenangan FIS dalam pilihan raya demokrasi yang bebas.

Mana-mana parti kerajaan yang menang semula melalui pilihan raya bersih tidak pernah dicabar oleh pembangkang yang kalah. Kebangkitan orang ramai membantah keputusan pilihan raya apablia jelas  dan terbongkar penipuannya.

Mereka yang menolak kemenangan semula kerajaan bukan kerana kalahnya, tetapi menentang penipuan pilihan  raya itu. Inilah yang berlaku di beberapa negara Afrika termasuk Zimbabwe.

Dr. Mahathir akan dikira orang berjiwa besar kiranya dia mengingatkan anak buahnya, kiranya kalah nanti jangan menggunakan tukang silat dan tukang tomoi untuk membuat kekacauan bagi menghalang parti lain yang menang membentuk kerajaan.

Listen...Listen to Me ! Let Me Speak ..

Nasrudin Hassan, 15 Jan 2013
Listen..Listen..Listen...
Listen to Me ! Let Me Speak ..

Negara kita banyak masaalah
Kucing bermasaalah
Anjing bermasaalah
Ikan Jerung bermasaalah
Lembu juga bermasaalah
Pemimpin negara lagi bermasaalah

Listen..Listen..Listen...
Listen to Me ! Let Me Speak ..

Negara ini sarat dengan masaalah
NFC bermasaalah
FELDA bermasaalah
Daftar pemilih bermasaalah
Undi pos bermasaalah
Royalti bermasaalah
Sekatan Media bermasaalah
ISA bermasaalah
Indeks jenayah bermasaalah
Gejala sosial bermasaalah
Menteri bermasaalah

Listen..Listen..Listen...
Listen to Me ! Let Me Speak ..

Kalau masaalah dikira nilai
Kenapa masaalah siswa diabai

Listen..Listen..Listen...
Listen to Me ! Let Me Speak ..

Memo sudah menimbun dihantar
Dialog telah diatur menjajar
Tegur dan nasihat kepalang ajar
Malang BN sukar nak dengar

Listen..Listen..Listen...
Listen to Me ! Let Me Speak ..

Rakyat jangan dipandang hina
Siswa pantang diperlaku durjana
Ada aqal bangunlah menjana
Kenapa biar ummah merana

Siswa siswi kian berani menegur
Tahniah ! agar ilmu tidak dilacur
Asal salah mesti hancur
Asal benar mesti akur

Listen..Listen..Listen...
Listen to Me ! Let Me Speak ..

PR tekad menghapuskan PTPTN
Rakyat tekad menjatuhkan BN

PR tekad Ubah Sekarang
Rakyat bangkit cipta gelombang

PR telah bersiap siaga
Rakyat gigih mengerah jiwa raga

Bawani ! Listen to me
I'm proud of you!

Ini Kalilah !

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPPM

Tiada ulasan: