Himpunan esok tetap di Stadium Merdeka
Hazayani Zakaria, | 11 Jan 2013 |
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) menegaskan himpunan esok akan tetap diadakan di Stadium Merdeka seperti perancangan awal.
Pengerusi HKR, Mohamad Sabu berkata, tidak berlaku perubahan tempat ke Stadium Bukit Jalil seperti yang cuba dikelirukan sesetengah pihak.
"Dalam pertemuan dengan Ketua Polis Dang Wangi petang semalam, persetujuan dah dicapai pihak penganjur dan pihak polis.
"Kita bincang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Jadi tidak timbul sebarang perubahan," kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini. (Gambar atas)
Beliau juga menegaskan, tidak ada sebarang perarakan sebaliknya orang ramai bebas berjalan menuju ke Stadium Merdeka.
Namun, pihak penganjur menyediakan lapan tempat berkumpul bagi memudahkan pergerakan orang ramai.
"Berjalan sahaja macam orang ramai berpusu-pusu nak pergi pasar malam.
"Cuma kita sediakan lapan check point bagi kemudahan peserta berkumpul sebelum berjalan," katanya.
Tengah malam tadi, jawatankuasa penganjur bermesyuarat di Pejabat Agung PAS ekoran cadangan polis agar perhimpunan dipindahkan ke Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Sebelum itu, Polis Kuala Lumpur memaklumkan, perhimpunan itu dicadangkan agar dipindahkan ke Stadium Nasional kerana kapasitinya lebih sesuai.
Ini kerana, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Stadium Merdeka hanya boleh memuatkan 30,000 orang sahaja sedangkan penganjur menjangka penyertaan kali ini mencecah satu juta orang.
Guna pengangkutan awam
Sementara itu, seorang lagi ahli jawatankuasa HKR, Hishamuddin Rais meminta orang ramai menggunakan pengangkutan awam ke ibu kota bagi mengelakkan kesesakan.
"Pihak penganjur minta sangat-sangat, semua orang guna pengangkutan awam.
"Jangan masuk ke pusat bandar dengan kenderaan sendiri kerana ini akan menyusahkan diri sendiri. Kita berjalan kaki sahaja ke stadium dan stadium pun tidak membenarkan kenderaan diletakkan di bahu jalan," katanya.
Para peniaga juga katanya boleh berniaga seperti biasa tanpa sebarang halangan.
2 video: Kereta JPJ dibakar selepas terlibat kemalangan
http://aiyangdisayang.blogspot.com, | 11 Jan 2013 |
Wah ini betul-betul kecoh ni.
# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.
Ustaz Hadi tidak minta buat penjelasan
Subky Latif, | 11 Jan 2013 |
Apabila amanat terpendam itu dibangkitkan Tok Guru lebih selesa berdiam diri. Dibiarkannya semuanya menyalak.
Bukan dia yang gatal mulut minta membuat penjelasan. Yang gatal ialah UMNO dan sekalian kompeninya. Menteri Rais Yatimlah yang galak sangat.
Kerana kompeni-kompeni itu hendak sangat penjelasannya, mahu tak mahu beliau memberikan syarat; beri peluang sejam kepadanya bersiaran secara langsung di TV.
Syarat Ustaz Hadi itu meletup dan mungkin bagi sekalian kompeni lebih bingit dari ledakan letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki hampir 70 tahun lalu.
Yang mahu sangat penjelasannya itu ialah sang kompeni. Orang-orang di sekeliling Ustaz Hadi merendah diri, tidak usahlah khazanah terpendam itu dirong-rongkan. Hadapilah PRU13 nanti dengan isu-isu yang sedia ada.
Undang-undang dan demokrasi memberi pilihan kepadanya untuk tidak menjawab. Ia adalah haknya.
Sekarang tuan badan sudah bersedia memenuhi tuntutan kompeni. Beri satu jam kepadanya muncul di kaca TV. Tidak kurang seminit dan tidak lebih seminit.
Maka kelam kabut UMNO, kerajaan, TV dan pacal-pacal kompeni mencari dalih menolaknya.
Khairy Jamaluddin Ketua Pemuda UMNO membuat penolakan awal. Tidak dipastikan adakah dia termasuk orang yang hendak sangat penjelasan dari pemilik amanah itu?
Tetapi kalau diizinkan Tok Guru bercakap di TV semuanya keliru. Sebenarnya sekarangpun ramai yang keliru. Yang membangkitkan isu itu keliru, yang minta penjelasan memang keliru, habis mufti pun keliru.
Jika semua orang keliru termasuk yang sudah keliru sekarang, mungkin ia baik pada UMNO. Mereka tidak dapat memahami yang Ustaz Hadi cuba sampaikan. Selagi mereka keliru dan tidak memahami, maka mereka selama-lamanya akan Tok Guru itu orang curang dan mereka terus membencinya. Eloklah untuk UMNO jika mereka terus kegelapan.
Khairy dipercayai bimbang Ustaz Hadi dapat memusingkan kekeliruan mereka hingga menjadi orang yang faham. Bila mereka faham, maka mereka menyukai amanah itu. Mereka akan keluar beramai dari kegelapan kepada kebenaran.
Bagi satu jam kepadanya, nescaya ramai yang jelas dengan apa sebenarnya amanah itu. Jika diberi dua jam, bertukar semuanya dari penentang menjadi peminat.
Mereka hendak memerangkap pemimpin PAS itu. Tetapi beliau mempertahankannya tanpa tampil membuat penjelasan. Sekarang beliau sudah bersedia tetapi melalui siaran langsung sejam di TV. Syaratnya itu memerangkap sekalian yang mintanya membuat penjelasan.
Saya teringat kisah Abu Jahal cuba memerangkap Nabi SAW. Dia menggali lubang di hadapan rumahnya. Dimuatkannya barang-barang tajam dan menutup permukaan lubang itu. Diapun mengaku sakit dan minta orang memanggil baginda untuk mengubati penyakitnya, dengan harapan jika baginda datang nescaya terjatuh di lubang dan cedera.
Baginda pun datang. Sebelum baginda mendapat wahyu tentang perangkap yang dipasang untuknya. Baginda berpatah balik. Abu Jahalpun menyinga lalu tak tentu arah. Semasa dia hendak keluar rumah, dia lupa perangkapnya. Dia terperangkap. Dia tidak dapat dikeluarkan dari perangkapnya hingga baginda datang menyelamatkannya.
UMNO yang gatal mahu memerangkap Ustaz Hadi. Ustaz Hadi tidak masuk perangkap tetapi mereka yang terperangkp.
HKR: Hanya rujuk web Pakatan, elak kekeliruan
Anis Nazri, | 11 Jan 2013 |
Pengarah HKR, Mohamad Sabu, berkata sebarang maklumat berkenaan perhimpunan tersebut hanya perlu diperoleh dari web-web Pakatan Rakyat bgi mengelakkan sebarang kekeliruan.
Timbalan Presiden PAS itu berkata demikian sebagai mengulas kemunculan kain rentang yang dipasang di sekitar ibu kota, yang kononnya himpunan esok bertukar ke Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Itu bukan kain rentang kita. Jangan terpengaruh. Sebarang maklumat berkaitan himpunan esok, rujuk Harakahdaily, Suara Keadilan," tegas beliau kepada Harakahdaily.
Selain kain rentang menunjukkan kononnya himpunan itu diadakan di Stadium Bukit Jalil, terdapat juga kain rentang yang menamakan HKR sebagai Himpunan Shamsidar.
40 premis refleksologi diambil tindakan
Harakahdaily, | 11 Jan 2013 |
(MPK mengambil tindakan ke atas salah sebuah pusat reflexsologi di Klang)
KLANG: Sebanyak 40 premis pusat refleksologi sekitar bandar Klang yang melanggar peraturan papan iklan dikenakan tindakan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) sepanjang tahun 2012 lalu.
Premis yang terlibat dikenakan tindakan kompaun serta penurunan iklan serta merta setelah notis yang diberikan pihak berkuasa MPK tidak dipedulikan, lapor akhbar rasmi kerajaan negeri Selangor, Selangorkini.
Pengarah Jabatan Pelesenan MPK, Azhar Samsudin, berkata, tindakan tersebut diambil di bawah Undang-Undang Kecil Iklan MPK 2007 kerana pemilik premis pusat refleksologi gagal mengikut syarat yang ditetapkan.
Kebanjiran pusat refleksologi ini membimbangkan pelbagai pihak kerana ia membawa bersama gejala sosial di kalangan masyarakat.
Ia bukan saja memberikan khidmat urut kaki sebagaimana namanya tetapi urut badan yang berbaur dengan khidmat seks.
Pekerjanya pula dari luar negara termasuk China, Indonesia dan Vietnam yang tidak boleh diambil tindakan oleh kerajaan kerana ia bidang kuasa kerajaan Pusat khasnya polis dan Imigresen.
Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri adalah bidang pengiklanan dan premis sahaja.
Menurut Azhar, tujuan utama pemantauan rapi dan tindakan dilakukan oleh penguatkuasa MPK adalah bagi mempastikan pemilik premis mengikut syarat yang ditetapkan serta bagi membendung isu gejala sosial di kalangan penduduk di sekitar.
Dalam pada itu, sebanyak empat buah premis seperti itu diambil tindakan dengan penurunan iklan serta kompaun dalam satu operasi yang dilakukan pihak berkuasa MPK di kawasan Pandamaran, Klang baru-baru ini.
Kesemua premis tersebut merupakan kali pertama diambil tindakan sepanjang dibuka setelah diberikan notis amaran selama beberapa kali namun masih tidak diendahkan.
Azhar berkata, mulai tahun 2013, operasi pemantauan dan tindakan amaran akan dilakukan dengan lebih kerap bagi membendung perkara seperti ini daripada terus berleluasa.
“Kita minta kerjasama daripadapemilik premis supaya mengikut syarat yang ditetapkan dan orang awam turut diminta tampil membantu MPK supaya ia dapat dikawal,” katanya lagi.
HKR: Betul ke surat dari Kementerian Pengajian Tinggi?
http://darisungaiderhaka.blogspot.com, | 11 Jan 2013 |
Betul ke surat tentang HKR ini dari Kementerian Pengajian Tinggi?.. nampak kurang cerdik saja...
Malang bagi rakyat Malaysia kerana di sebuah Kememterian Kerajaan yang melahirkan cerdik pandai untuk masa hadapan negara, individu yang mentadbirnya terdiri dari manusia yang kurang cerdik..Meskipun beliau sepatutnya bukanlah seorang individu yang kurang cerdik tetapi demi merealisasikan hasrat pemerintah yang takut kehilangan kuasa beliau sanggup menjadikan dirinya kelihatan kurang cerdik di mata masyarakat.
Kurang cerdiknya jelas kelihatan bilamana beliau gagal menjustifikasi apa yang dimaksudkan sebuah perhimpunan haram dan apa pula perhimpunan yang dibenarkan..
Sepucuk surat daripada Kementerian Pengajian Tinggi, KPT yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KPT Datuk Ab. Rahim bin Md Noor yang dihantar kepada semua Naib Chancelor dan Ketua Exekutif IPTA dan IPTS jelas merupakan surat penipu.
Surat itu meminta pihak universiti agak menasihatkan para pelajar supaya jangan terlibat dengan perhimpunan haram, Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka esok.
Namun hakikatnya Himpunan Kebangkitan Rakyat bukanlah himpunan haram.
Ini kerana pihak polis sendiri telah bersetuju untuk bekerjasama dengan penganjur dan peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat.
Malah mereka telah menyediakan pas media, dan marshal untuk membantu melicinkan himpunan esok.
Selain itu pihak Stadium Merdeka juga telah meluluskan permohonan untuk menggunakan Stadium Merdeka bagi tujuan perhimpunan.
Jadi kenapa agaknya surat dari Kementerian Pengajian Tinggi ini menyebut Himpunan Kebangkitan Rakyat sebagai himpunan haram?
Adakah penulis dan juga individu yang menandatanganinya sememangnya bodoh?
Sumber : MiLo SuaM
# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.
Apa tuntutan mustahak daripada kalimah Allah?
Akademi Tarbiyah DPPM , | 11 Jan 2013 |
Saidina Umar al-Khattab radiAllahu anhu pernah bertanya kepada salah seorang Sahabat, “Tahukah kamu perkara yang boleh membinasakan Islam?”. Mereka menjawab, “Tidak wahai Umar”. Lalu Umar berkata, “Islam dibinasakan dengan ketergelinciran intelek (ilmuwan yang mulutnya mendahului akalnya), perdebatan orang munafik terhadap al- Quran, dan undang-undang pemerintah yang menyesatkan” - Riwayat ad Dailami
Kerana citra yang merosakkkan itu berawal daripada kefahaman dan cara berfikir seseorang, maka Allah memberi amaran bahawa soal hukum-hakam bukanlah perkara yang sewenang-wenangnya diputuskan hanya melalui sangkaan, agak-agak, rasa-rasa ataupun sokongan politik penguasa. Firman Allah Taala maksudnya:
"Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: Ini halal dan ini haram, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya." (An-Nahl: ayat 116)
Polemik Kalimah Allah Adalah Perkara Ijtihadiyyah
Sabda Rasulullah SAW, "Sesiapa yang berijtihad, lalu ijtihadnya benar akan dapat dua pahala, Sesiapa yang berijtihad, lalu ijtihadnya salah akan dapat satu pahala." - Riwayat Muslim
Polemik kalimah Allah yang berlaku pada tahun ini memasuki fasa kedua dan apa yang mustahak perlu kita ketahui ialah isu kalimah Allah adalah isu "ijtihadiyyah". - Ijtihadiyyah - iaitu perkara baru, yang tiada nas mengharamkan - penggunaan kalimah Allah kepada non-Muslim - pada masa turunnya wahyu (yakni sebelum kewafatan Rasulullah SAW). Maka ulama Islam hari ini, ada di antaranya yang mengambil jalan - saddu az zarai’e - (menutup kemudharatan), ada juga yang bersifat terbuka dengan matlamat kepentingan dakwah sejagat. Hal ini kerana, risalah Islam yang dibawa oleh Baginda Nabi SAW itu sifatnya universal, bukannya selektif!
Pendekatan ini disuarakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, yang saya rekodkan pada tahun 2010, "Kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah dalam kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan akidah mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh diizinkan sekali-kali, kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci Kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamalkan oleh umat Islam, seterusnya dikira menodai kesucian dan kemurnian Kalimah Allah di hadapan umat Islam..."
Mungkin di antara kita ada yang tidak bersetuju malah mungkin ramai yang sinikal sebelum ini dengan kenyataan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Begitupun apa yang disuarakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang punya nilai keabsahannya, berbeza dengan sikap sebahagian individu yang menyemai kelakuan berdasarkan pepatah, ‘berpatah arang berkerat rotan’, ‘membujur lalu melintang patah’!
Dengan mengambil renungan dan iktibar dari apa yang pernah ditunjukkan oleh para Sahabat kepada Nabi SAW, iaitu peristiwa Baginda bersetuju memberikan kerjasama kepada Kafir Quraisy dalam proses ‘Sulh Hudaibiyyah’. Umum melihat antara isi penting peristiwa itu ialah usaha Nabi SAW untuk mencapai - "apa yang paling diperlukan oleh dakwah" - , iaitu masyarakat yang tenteram dan aman daripada peperangan. Baginda sanggup kehilangan beberapa sub-maslahah demi maslahah yang paling utama iaitu keharmonian masyarakat berbilang kabilah.
Islam mengajarkan umatnya bukan untuk berperang terhadap sesuatu kaum kerana perbezaan agama, ataupun kerana berbeza pendapat dan cara, tetapi umat Islam berperang apabila mereka dimusuhi, dizalimi dan diperangi, ataupun ada sesuatu kaum yang mengisytiharkan pendirian untuk memerangi Islam, baharulah waktu itu tiada lagi bahasa yang lunak kecuali kita semua wajib mengangkat senjata.
Islam menuntut umatnya membela bangsa lain yang dianiaya, dizalimi sekalipun bangsa tersebut tidak beragama Islam. Sebagai bukti Amru bin Al 'As diutuskan Saiduna Umar al Khattab agar membebaskan Mesir daripada kezaliman Rom, sekalipun rakyat Mesir ketika itu tidak memeluk Islam bahkan majoritinya mereka beragama Nasrani (Kristian). Maka, kita tidak dituntut oleh Islam untuk memusuhi agama lain disebabkan berbeza doktrin sembahan.
Malah, Baginda SAW turut menyenaraikan golongan rahib sebagai golongan yang tidak diperangi dan aman daripada pedang-pedang tentera Islam, bahkan Baginda turut melarang tentera Islam memusnahkan tempat-tempat peribadatan mereka. Islam tetap memelihara nyawa mereka sekalipun mereka tidak beriman kepada Allah. Oleh itu, jika kekufuran itu punca mereka diperangi, sudah tentu golongan tersebut juga diperangi atas arahan Rasulullah SAW. Justeru, semasa keamanan Makkah-Madinah berlangsung, Baginda SAW memanfaatkan usaha menyampaikan dakwah, melakukan out-reach kepada kabilah non-Muslim Arab dan juga kepada ketua empayar non-Muslim di sekitar Semenanjung Tanah Arab.
Soalnya pada hari ini, apakah kita telah bertemu dengan ‘bahasa’ yang paling tepat apabila bertemu dengan masalah kalimah Allah di hadapan masyarakat non-Muslim? Jika salah langkah, maka banyak darah yang dihalalkan di atas nama-Nya.
Rasulullah SAW Mengajar Sebutan Allah Kepada Orang Nasrani
Kita tidak menafikan bahawa ada perbezaan pandangan dalam kalangan para ulama tentang hal ini. Ia bukan perkara yang pelik, tetapi adalah perkara yang lazim berlaku dalam dunia akademik sejak zaman-berzaman. Tetapi, kekhilafan atau perbalahan yang berlaku seharusnya ditimbang menurut akal yang waras, akhlak dan adab, hati yang lapang serta menjauhkan sikap merendah-rendahkan individu seperti menuduh konservatif, jumud, "ulamak kepala lutut" dan sebagainya.
Jelasnya, tiada nas yang tepat menghukum tegahan ke atas masyarakat non-Muslim menyebut nama Allah, adapun teguran wahyu terhadap mereka (non-Muslim) ialah kerana kesalahan dari sudut makna dan tuntutan - bukannya sebutan!
Ketika Rasulullah SAW dalam keadaan sedih kerana dakwahnya dipulaukan oleh masyarakat Taif, Baginda telah dijamu buah anggur hasil pemberian seorang hamba beragama Nasrani (Kristian) yang kasihan melihat nasib Baginda di sebuah dusun. Sebelum menjamahnya, Baginda membaca ‘basmAllah’ di hadapan hamba tersebut, "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang". Lantas hamba itu memandang tepat ke wajah Rasulullah SAW dan berkata, "Perkataan ini – ucapan bismiLlah... – tidak disebut oleh penduduk daerah ini..."
Lalu Rasulullah SAW bertanya, "Saudara ini dari negeri mana, dan apa agama pegangan saudara?"
Jawabnya, "Saya beragama Kristian, dari kampung Neynawa (salah satu daerah di Utara Iraq)."
Rasulullah menyambung soalan, "Adakah dari sebuah daerah lelaki soleh yang bernama Yunus bin Mataa?" Maka dia menjawab, "Apa yang kamu tahu tentang Yunus bin Mataa?"
Baginda SAW menjawab, "Beliau adalah saudara saya, beliau adalah Nabi dan saya adalah Nabi."
Lantas lelaki Nasrani itu pun memeluk erat Rasulullah serta mencium kepala, kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki Baginda. – Rujuk Sirah Ibn Hisyam:2/421.
Maka, tuntutan yang paling mustahak perlu diperjuangkan oleh umat Islam, ialah membenarkan sebutan dan tuntutan maknanya walau di tengah-tengah masyarakat non-Muslim. Kerana ketika Allah Taala berfirman bermaksud:
"Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahaya-Nya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmat-Nya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri" (al Zumar:38)
Maka, umat mana yang paling layak menerangkan apa yang mereka (orang musyrik) fikirkan daripada sebutan tersebut? Tidak lain tidak bukan, umat Islamlah (umat Nabi Muhammad SAW) yang paling berhak menerangkannya kepada orang musyrik dengan cara menunaikan tanggungjawab dakwah secara berterusan, matang dan berani, bukannya menutup mulut mereka, membelenggu tangan-tangan mereka dan mengatakan kepada mereka, "Allah itu hanya aku yang punya..."
Sekalipun begini artikel ini ditulis, ia bukanlah satu isyarat setuju agar non-Muslim menggunakan kalimah Allah pada cetakan awam dalam edisi terjemahan "god", kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di khalayak ramai. Sebagai contoh dalam edisi bible - chapter 32:Genesis (Safar Takwin) - ada satu topik yang menceritakan "Jacob Wrestles With God", kalaulah ia diterjemahkan sebagai "Yaakob bergusti dengan Allah..." bukankah ia satu kekeliruan?? Bagaimana seorang Nabi boleh bergusti dengan Allah?!!
http://tarbawi.my
Deepak pohon perlindungan Whistle Blower
Harakahdaily, | 11 Jan 2013 |
KUALA LUMPUR: Ahli Perniagaan, Deepak Jaikishan hari ini berjanji akan mendedah semua salahlaku yang dibuat pemimpin negara ini jika diberikan jaminan oleh Pakatan Rakyat tidak akan diambil tindakan ke atasnya.
(Deepak ketika bercakap kepada Harakahdaily lewat petang hari ini)
Beliau bersedia menjadi saksi negara dan rakyat (State Witnes) terhadap kesemua kebejatan negara yang berlaku khasnya yang melibatkan Perdana Menteri dan keluarganya.
"Saya memohon kepada bakal Perdana Menteri dan Menteri Undang-undang negara yang akan datang untuk tidak mengambil tindakan ke atas saya ekoran pendedahan yang saya buat.
"Jika ini boleh diberikan, saya sedia untuk membuat pendedahan sepenuhnya dan bersama-sama dengan perhimpunan rakyat esok," katanya.
Beliau membuat jaminan ini dalam temubual dengan Harakahdaily hari ini.
Deepak sedikit terganggu dengan beberapa kenyataan akhbar Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli seolah-olah mahu tindakan diambil ke atas beliau bukannya ke atas pendedahan yang beliau buat.
"Saya adalah whistle blowwer macam Rafizi. Saya mahukan perlindungan jika mahu meneruskan pendedahan ini," kata beliau yang mempunyai pelbagai jenis penyelewengan kerajaan yang ada.
Deepak mendedahkan pelbagai ugutan dan amaran yang beliau terima sejak pendedahan yang beliau buat mengenai keluarga Perdana Menteri.
Antaranya dari syarikat guaman adik Perdana Menteri yang bertindak bagi sebuah bank, mahu menutup syarikatnya.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga menghantar surat siasatan cukai pendapatan yang kononnya beliau tidak membayarnya.
[LIHAT VIDEO]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan