Selasa, 29 Januari 2013

JAHATNYA...INN SAA ALLAH...MEREKA INI AKAN DAPAT BALASAN SETIMPAL DENGAN KEJAHATANYA...SAMA2 KITA TUNGGU

Kifalah: 146,000 berdaftar, RM50j sudah diagih

Harakahdaily, 29 Jan 2013



(Gambar: Jumlah warga emas yang mendaftar setakat September 2012 )

KOTA BHARU: Sejak diperkenalkan kerajaan Kelantan pada tahun 2007, skim bantuan Takaful Kifaalah Warga Emas kini mempunyai lebih 146,000 peserta berdaftar di seluruh negeri.

Sehingga Disember 2012 lalu, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM50 juta dibawah skim itu sebagai bantuan berupa pampasan kepada ahli keluarga atau wasi peserta yang telah meninggal dunia.

(Gambar: Warga Tioghua turut mendapat manfaat dari skim ini)

Pengurus Takaful Kifalah Sdn Bhd, Abdul Syakur Sha'ari berkata, pihaknya sangat komited untuk terus memperkasakan Kelantan sebagai negeri berkebajikan seperti yang digagaskan kerajaan negeri.

"Tahun 2013 adalah tahun keenam program ini berjalan. Dengan moto 'Menggapai keberkatan dan berkebajikan' kita juga telah merancang untuk memperkenalkan beberapa lagi skim bantuan serupa kepada seluh lapisan masyarakat negeri ini bukan sahaja tertumpu kepada warga emas," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Abdul Syakur, pihaknya kini sedang berusaha untuk menawarkan beberapa lagi produk baru termasuk Skim Kifalah As-Syabab untuk anak muda berumur 18 tahun ke atas.

Selain itu, mereka juga akan memperkenalkan Skim Khairat Kematian Takaful Umah serta Skim Takaful Aulad bagi kanak-kanak khususnya murid-murid Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Untuk rekod, Skim Takaful Kifaalah Warga Emas adalah produk skim takaful percuma yang ditawarkan oleh kerajaan Kelantan melalui Kifaalah Sdn Bhd iaitu anak syarikat kepada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Skim ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan terbuka untuk disertai oleh seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira kaum, lelaki dan perempuan yang berumur 60 tahun ke atas.

Rakyat negeri lain yang berumur 60 tahun yang bermastautin di Kelantan juga layak menyertai skim ini.

Kantoi: Kursus pra perkahwinan diedit kononnya gadis Melayu dimurtad

http://omakkau.blogspot.com, 29 Jan 2013

EDISI KANTOI TERBURAI !!!!!...PENCACAI UMNO GUNA GAMBAR PESERTA KURSUS PRA PERKAHWINAN DIEDIT KONONNYA SEORANG PADERI SEDANG MEMURTADKAN GADIS-GADIS MELAYU DI SEBUAH GEREJA DI IPOH, PERAK!!!!!


Akhirnya kebenaran terbongkar jua....Gambar gadis-gadis Melayu sedang asyik mendengar ceramah kursus pra perkhawinan di dalam sebuah dewan telah dioplah, diedit dan disuperimpose dengan menambah salib besar oleh para gurkha siber berjiwa UMNO totok dengan memfitnah kononnya seorang Paderi Kristian sedang asyik memberikan kuliah dalam satu upacara "permurtadan" di salah sebuah gereja di Ipoh, Perak..

Baca http://omakkau.blogspot.com/2013/01/edisi-kantoi-terburai-pencacai-umno.html

Keselamatan kanak-kanak tanggungjawab bersama

Hazayani Zakaria, 29 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Kehilangan dan kematian adik William Yau minggu lalu harus dijadikan iktibar kepada semua pihak khususnya ibu bapa, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof.

Sambil mengucapkan takziah ke atas keluarga mangsa, beliau berkata, ibu bapa selaku orang yang paling dekat dengan anak-anak harus mengawasi pergerakan anak-anak mereka.

"Saya menyeru semua ibu bapa lebih mengambil berat soal keselamatan anak-anak kerana mereka merupakan anugerah yang paling berharga dari Allah dan merupakan amanah.

"Kita tidak mahu kes budak hilang terus berlaku di negara kita," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu juga berkata, selain ibu bapa, pihak-pihak lain seperti jiran tetangga, pihak keselamatan termasuk media massa juga memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

"Pihak polis harus meningkatkan tahap keselamatan di semua tempat bagi mengelakkan kes budak hilang, kena culik.

"Jiran tetangga juga harus lebih prihatin dengan keadaan orang di sekeliling. Lapor kepada pihak yang bertanggungjawab jika ada kes penderaan atau sebagainya dan media massa memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan mesej kesedaran kepada orang ramai," katanya.

Mayat William, 6, ditemui di jeti Kampung Sungai Sireh Pelabuhan Klang 24 Januari lalu yang dilaporkan hilang di Putra Heights seminggu sebelumnya.

Rakyat Pengayuh Perubahan tuntut pembelaan

Anis Nazri, 29 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Setelah pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya, penduduk Cameron Highlands bangkit menyatakan keresahan mereka melalui Kempen Rakyat Pengayuh Perubahan.

Pada 2 Februari ini, sekumpulan penduduk Cameron akan berjalan kaki dan mengayuh basikal secara besar-besaran, bermula di Ulu Jelai, dan berakhir di Tanah Rata pada 4 Februari ini.

Program yang bermula jam 9 pagi itu diadakan bagi mengangkat isu-isu yang selama ini membelenggu kehidupan mereka, yang masih tidak mendapat perhatian dari pihak sewajarnya.

Program yang dianjurkan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) itu akan menyerahkan memorandum dan poskad kepada pegawai tanah di Tanah Rata sebagai acara kemuncak.

Para peserta akan berjalan sejauh lebih 50 kilometer, dengan melalui beberapa bandar untuk mengedarkan risalah kesedaran berkaitan alam sekitar yang menggugat kehidupan mereka.

Menurut wakil penganjur, Suresh Kumar, terdapat dua kumpulan yang akan bergerak ke Tanah Rata, dengan setiap kumpulan akan disertai seramai kira-kira 20 orang.

"Bagaimanapun, jika ada pertambahan peserta yang turut ingin bersama-sama bersolidariti bersama penduduk Cameron Highlands, ia amat dialu-alukan," kata beliau pada sidang media, hari ini. (Gambar)

Tambah beliau, terdapat tujuh tuntutan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri Pahang, yang sehingga hari ini tiada sebarang respons positif mengenainya.

Tujuh tuntutan tersebut ialah menyelesaikan 13 masalah tanah, rumah dan gerai rakyat, menghentikan pemusnahan hutan, menghentikan pencemaran sungai, menyelesaikan masalah kesesakan, membuat perundingan dengan rakyat sebelum membuat sebarang projek, membina skim rumah murah, dan menghentikan insinerator.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar, berkata isu tanah dan alam sekitar di Cameron Highlnds sudah berlanjutan sejak lima tahun lalu.

Namun, katanya tiada sebarang perhatian sewajarnya diberikan melainkan janji-janji kosong bagi menenangkan para penduduk.

Justeru, beliau turut menyeru mana-mana pihak untuk  turun bagi menyatakan solidariti kepada penduduk Cameron Highlands yang sekian lama terhimpit dengan masalah penempatan dan alam sekitar.

Bapa pelajar dipukul di Mesir akan ambil tindakan

Muhammad Faeez Azahar, 29 Jan 2013
IPOH: Bapa kepada mahasiswa yang ditampar oleh pegawai Hal Ehwal Pelajar Perak (HEP) Mesir tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang atas kejadian tesebut.


Ahmad Po’aad berkata, insiden tersebut sangat serius kerana ianya melibatkan soal maruah keluarga beliau.

Menurutnya, keluarga beliau sangat kecewa dengan tindakan tidak profesional oleh pegawai tersebut dan pihaknya tidak akan berdiam diri terhadap isu itu, kemungkinan tindakan selanjutnya akan di ambil.

“Saya mendesak agar Datuk Seri Dr Zambry selaku Menteri Besar Perak yang bertanggungjawab ke atas isu ini segera mengambil tindakan yang tegas hasil siasatan yang dilakukan pihak beliau.

“Saya tidak mahu isu ini dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan terhadap Pegawai HEP tersebut,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas perbincangan dengan Pengarah Institut Pemikir Muda Malaysia (IPMM) di Ipoh, hari ini. (Gambar)

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pihaknya telah menghubungi peguam bagi membincangkan tindakan selanjutnya yang akan diambil kepada pegawai tersebut.

Kata beliau, tindakan tersebut sangat berat dan bukannya perkara biasa kerana ianya turut membabitkan soal keselamatan anaknya yang sedang menuntut di Universiti Al-Azhar.

“ Ini adalah soal maruah keluarga saya, pegawai HEP tersebut tidak ada hak untuk menampar anak saya sedangkan anak saya berada di pihak yang benar ketika itu.

“Sebagai seorang pegawai beliau perlu mempunyai etika yang tinggi dalam menguruskan hal ehwal mahasiswa disana,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Pengarah IPMM, Hafez Sabri berkata, pihaknya akan terus mendapatkan maklumat tentang kejadian itu demi mempertahankan nasib mahasiswa yang dizalimi itu.

Pada 19 Januari lalu, Pegawai Hal Ehwal Pelajar  (HEP) Perak di Mesir dikatakan telah memukul seorang pelajar tanpa alasan dan sebab yang munasabah dan beberapa NGO telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar mendesak menyiasat perkara itu secara terperinci.

PRU13: Agama pula jadi cagaran Umno

Harakahdaily, 29 Jan 2013
KUALA LUMPUR: “Sekarang Umno terpaksa mengikut rentak PAS di dalam memperjuangkan agama,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Katanya, dahulu Umno sering menuduh PAS menggunakan agama untuk kepentingan politik sehingga ada cadangan supaya nama Islam pada parti PAS dibuangkan.

Jelasnya, PAS sememangnya wajib memperjuangkan Islam kerana tertera dengan jelas di dalam Perlembagaan PAS Fasa 3 "Dasar PAS ialah Islam".

Justeru, ujarnya apabila Umno bercakap tentang Islam, ianya agak janggal seperti pepatah "cakap tidak serupa bikin".

Menurutnya, oleh kerana Umno wajib mendapat sokongan Melayu, maka pemimpin Umno terpaksa berlakon untuk menunjukkan mereka pembela agama.

Contohnya, kata beliau dalam isu kalimah Allah, Umno berlagak mempertahankan nama Allah, tetapi Umno melawan hukum Allah dan kempen mereka kepada orang Melayu, kononnya bimbang gejala murtad berlaku.

“Peliknya mana suara Umno ketika Noraishah Bukhari, Hartina Kamarudin, Lina Joy meninggalkan agama Islam. Umno membisu seribu bahasa.

“Mereka mendakwa mereka mempertahan nama Allah, tetapi ulama yang hendak mempertahankan ajaran Allah, Umno hendak tangkap.

“Ini yang terjadi kepada Datuk Dr Harun Din, Almarhum Datuk Ishak Baharom, Datuk Ismail Kamus ketika Umno berkuasa di Selangor,” ujarnya.

Oleh kerana itu, menurutnya lagi, benarlah pemimpin Umno sejenis makhluk yang boleh menyerupai berbagai warna demi kepentingan politik.

Begitu juga, katanya Najib hendak menunjuk juara Palestin sedangkan semua dunia tahu kepimpinan Najib tidak mengiktiraf Hamas.

“Tetapi demi kepentingan undi Melayu, Najib pergi mengadap pemimpin Hamas.

“Apabila balik ke Malaysia, tukang juak Najib mengarahkan untuk menyambut Najib sebagai wira Palestin. Semua dilakukan demi kepentingan undi orang Melayu kepada Umno,” katanya lagi.

5 program berimpak tinggi (S.M.A.R.T) DPPM

Nasrudin Hassan, 29 Jan 2013
1.      Tempoh penantian countdown 100 hari menjelang PRU13 kian berakhir.

2.      Semua pihak semakin rancak mengatur strategi dan langkah untuk menawan hati pengundi yang kini telah melepasi paras 13 juta yang berdaftar dengan anggaran lebih 50% merupakan pengundi muda dan pengundi baru, samada dengan agenda menerang mahupun menyerang.

3.      Hasil dapatan beberapa kajian lapangan memberikan isyarat positif terhadap potensi Pakatan Rakyat dalam PRU13 di samping menuntut komitmen dan iltizam semua peringkat untuk mengekalkan momentum yang ada, khususnya dengan mengemukakan pakej pemulihan terbaik terhadap permasalahan ekonomi dan sosial rakyat, serta memperjuangkan tuntutan rakyat seperti Bersih, Royalti, Anak, Rapid dan seumpamanya.

4. Kajian yang dijalankan oleh pihak UMCEDEL merumuskan 42% rakyat menjangkakan BN akan menang, 37% pula yakin kemenangan berpihak kepada Pakatan Rakyat manakala 21% masih tidak berpihak, dan majoriti golongan pengundi atas pagar ini adalah golongan berumur di antara 21-30 tahun.

5. Merdeka Center pula melaporkan, hasil tinjauan yang dibuat mendapati isu ekonomi dan jenayah merupakan kebimbangan utama pengundi dan menyatakan permasalah rasuah adalah masalah utama yang perlu diselesaikan oleh kerajaan.

6.      Saya tegaskan di sini, kita menyertai PRU13 dengan tujuan untuk mencapai kemenangan, insyaAllah. Hasrat ini bukanlah mustahil walaupun tembok penguasaan BN di Putrajaya masih tebal untuk ditembusi, namun kita berkeyakinan berkat usaha yang penuh iltizam, PAS dan PR mampu mendapat mandat dan kepercayaan rakyat untuk memenangi sekurang-kurangnya 100 kerusi parlimen daripada 165 kerusi Semenanjung dan meningkatkan penerimaan kita di Sabah dan Sarawak.

7.      Justeru, jentera Pemuda PAS di semua peringkat WAJIB menumpukan semua aktiviti lajnah dan jabatan dalam tempoh kritikal ini untuk memenangi PRU13 dengan melaksanakan Program Berimpak Tinggi yang dapat melonjakkan undi gologan muda dan pengundi baru kepada PAS & Pakatan Rakyat.

8.      Program berimpak tinggi yang saya maksudkan adalah program-program yang memenuhi kehendak kumpulan sasar dan menepati objektif parti, dengan apa yang disimpulkan sebagai S.M.A.R.T, iaitu:

a)      SENTUH

Saya mengajak semua jentera Pemuda PAS merancakkan program "Sentuh Pengundi" melalui aktiviti citra anak muda seumpama kegiatan [ contoh ] :

~ sukan dan rekreasi

(futsal, badminton, permotoran, kayuhan basikal, fotografi, kembara),

~ makanan

(BBQ santai, sembang teh tarik)

~ kebajikan

(ziarah kemanusiaan, bantuan bencana).

Secara psikologi, sentuhan merupakan kaedah terbaik untuk menambah keyakinan pihak lain terhadap kita, dan ia merupakan medan terbaik menyantuni kumpulan sasar kita, merentas segmentasi agama, bangsa, dan fahaman politik. Tiada jentera Pemuda PAS yang terkecuali dalam program sentuhan ini, dan pastikan setiap sentuhan disusuli dengan bisikan keramat, “Jom Ubah, Undi Pakatan Rakyat, Selamatkan Malaysia” dan sebagainya yang telah diputuskan oleh parti.

b)      MAKLUMAT

Saya mengarahkan semua jentera Pemuda PAS melipatgandakan peranan Penerangan & Maklumat Segar kepada kumpulan sasar, samada secara media tradisi (kuliah agama, wayang pacak, ceramah kelompok, ceramah umum dan sebagainya) mahupun dengan memaksimakan saluran media baru (Facebook, Whatsapp, Twitter, Youtube, blog dan lain - lain).

Fokus utama aktiviti kempen dan penerangan dalam tempoh kritikal ini adalah untuk memberikan kefahaman terhadap agenda Negara Berkebajikan, Buku Jingga dan Agenda Anak Muda Berkebajikan.

i. Sasaran kita ialah:  Satu Kawasan = Satu Akaun Twitter, Facebook dan Laman Web yang aktif dan dikemaskini;

ii.  Perbanyakkan kumpulan Whatsapp anak muda sebagai saluran maklumat pantas dan bual santai (chatting). Ia bagaikan ‘ceramah kelompok kontemporari’ yang dilunaskan pada laluan siber maya.  Sasaran kita bagi setiap pemimpin Pemuda PAS di semua peringkat hendaklah menyertai 5 hingga 10 kumpulan Whatsapp, samaada bertindak sebagai pengendali (admin) atau ahli dalam kumpulan tersebut.

c)  AGENDA

Agenda Anak Muda Berkebajikan adalah manifestasi  dari dasar dan prinsip Islam yang didokong selama ini.  7 agenda anak muda berkebajikan adalah agenda Islam untuk memelihara agama, nyawa, aqal,  keturunan dan harta.

7 Agenda  Anak Muda Berkebajikan.

i - Pendapatan boleh guna
ii - Keupayaan sara hidup
iii - Keusahawanan belia
iv - Pendidikan berkebajikan
v - Rumah mampu milik
vi - Capaian pengangkutan
vii - Kesejahteraan hidup

Penjelasan setiap satu dari agenda Anak Muda Berkebajikan ini akan di edarkan kepada jentera pemuda dan juga masyarakat awam selepas tarikh pelancarannya  pada awal febuari kelak.

d)      RIBAT

Saya mengarahkan semua jentera pilihanraya Pemuda di Unit Pengundi Muda (JPRU, JPRD, JPRK, JPRN, JPRP) perlu mantap, bersatu, erat dan tangkas bergerak mengikut perancangan serta strategi yang telah disusun, khususnya aktiviti daftar & semak, jejak & khidmat, serta atur & jemput. Di samping kelancaran gerakkerja, dana yang diperlukan untuk mempersiapan kekuatan bagi menggerunkan pihak lawan amat menuntut kepada budaya Infaq dan Sedeqah yang tinggi.

Jentera Pemuda PAS perlu banyak bersabar dan kekal bersiap sedia walaupun terganggu oleh strategi BN melambat-lambatkan PRU, di samping memerangkap kita dengan serangan isu yang menggugat konsentrasi. Teguhlah Bersama Jamaah, nescaya kita akan terus selamat dan mampu menghadapi cabaran ini. Pihak yang paling sedikit melalukan kesilapan akan memenangi pilihanraya umum kali ini, dan pastikan kita adalah golongan tersebut.

d)      TAWAKKAL

Saya menyeru semua jentera Pemuda PAS, marilah sama-sama kita mengeratkan Ukhuwwah sesama kita, sentiasa bertemu dalam sesi usrah dan ziarah, terus memperkukuhkan Hablun Minallah (hubungan dengan Allah) sebagai senjata yang akan menguatkan semangat berjuang, tidak mundur, dan memohon pertolongan dari Allah SWT serta bertawakkal kepada-Nya. Suasana menghadapi pilihanraya janganlah menjadi penghalang daripada memperbanyakkan amal ibadat, solat berjemaah di masjid, mathurat setiap pagi dan petang, puasa sunat dan iftar jama’ie setiap minggu, berqiyamullail, bermunajat dan berdoa dengan penuh pengharapan dan penyerahan. Ini adalah senjata dan benteng paling ampuh dalam perjuangan kita dan yakinlah wahai saudara, Kemenangan Islam adalah kurniaan Allah SWT kepada golongan yang layak menerimanya.

9.    Tahun 2013 bakal menjadi medan penentu kepada golongan muda untuk mencorak peta masa hadapan Malaysia. Justeru, ia bukan lagi suatu pilihan tetapi merupakan satu kewajipan yang sangat mendesak bagi setiap individu Pemuda PAS untuk meyakinkan kepada rakan sebaya betapa ‘malaikat tidak dikenali’ (the unknown angel) ini benar-benar mampu untuk diberikan amanah mencorak masa depan negara.

10.  Selamat berjuang saya ucapkan pada semua. Jangan tangguh kerja, dan bekerjalah dengan S.M.A.R.T. [Sentuh, Maklum, Agenda, Ribat, Tawakkal]

Mencorak Masa Depan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

PRU13: Gerakan siswa perlu fikir ‘what next’

Syukri Razab, 29 Jan 2013
Banyak pandangan yang mengatakan bahawa gerakan mahasiswa perlu mencontohi kegemilangan mahasiswa 60 dan 70-an yang menggempur regim secara revolusi. Contoh yang diberikan adalah seperti revolusi mahasiswa Iran menggulingkan Shah Reza Pahlevi dan juga kebangkitan mahasiswa Indonesia menghambat regim Suharto.


Saya tidak sesekali berani untuk menafikan peranan mahasiswa sebagai penggempur kepada sebuah reformasi. Kerana Gerakan Mahasiswa sememangnya dibarisi pejuang muda yang cukup ideal untuk bersifat radikal dan berani. Bahkan saya tetap yakin hanya mahasiswa mampu memimpin aksi-aksi berani dalam memimpin sebuah reformasi. Berbaring di jalanan, berkhemah di tempat awam, membenteng diri dan menelan sepak terajang balaci regim, semuanya alah bisa tegal biasa bagi aktivis mahasiswa.

Namun pada penulisan ini saya tidak memilih untuk mengenang sejarah. Apa yang lebih penting ialah anak muda mahasiswa perlu memikirkan kaedah untuk memanfaatkan masa depan. Ya, PRU13 semakin hampir. Saya kira sudah tiba masanya mahasiswa memikirkan satu bentuk gerakan konstruktif ke arah pembinaan dan bukan lagi sekadar kritikan. Dalam membicarakan masalah institusi pengajian tinggi negara yang tidak kunjung selesai, mahasiswa perlu tampil dengan satu solusi bersepadu untuk diusulkan kepada kerajaan yang memerintah.

Maka atas faktor inilah mahasiswa perlu berdiri secara lantang dalam parlimen bersama sebuah solusi yang menjamin masa depan pengajian tinggi yang lebih baik. Jika mahasiswa mampu mengetengahkan idea baru ini, maka tidak ada alasan yang boleh meremehkan keinginan mahasiswa untuk menjadi sebahagian daripada anggota penggubal dasar di parlimen.

Oleh itu agenda yang ingin dibawa merupakan pokok pangkal yang perlu dinilai terlebih dahulu sebelum mahasiswa memutuskan sama ada ingin bertanding dalam PRU atau tidak. Sekiranya mahasiswa berjaya mempamerkan agenda yang benar-benar konstruktif, maka idea untuk bertanding dalam PRU akan dilihat relevan.

Sekiranya agenda yang diketengahkan benar-benar konstruktif dan realistik, saya kira mahasiswa perlu menggunakan apa sahaja ruang yang ada untuk menjadi sebahagian daripada anggota parlimen. Saya tidak melihat ada masalah sekiranya mahasiswa terpaksa bertanding atau menumpang di atas tiket parti politik sama ada parti kerajaan ataupun pembangkang. Tidak ada salahnya jika mahasiswa menjalin kerjasama dengan parti yang memiliki agenda sepunya seperti mana yang telah berlangsung sekian lama.

Dalam banyak isu yang diperjuangkan, Gerakan Mahasiswa sering dilihat seiring dengan parti oposisi walaupun tidak pernah wujud hubungan sturuktural antara kedua-dua organisasi ini. Bahkan Gerakan Mahasiswa juga sering berkongsi pentas dengan parti oposisi dalam proses memberi penerangan kepada masyarakat umum. Saya melihat ini bukanlah satu pencabulan kepada konsep Non-Partisan yang menjadi prinsip asas kepada Gerakan Mahasiswa, tetapi ini merupakan satu kematangan Gerakan Mahasiswa dalam menjalinkan kerjasama strategik. Dalam masa yang sama, Gerakan Mahasiswa masih konsisten memberi kritikan secara adil kepada semua pihak tanpa mengira kecenderungan politik.

Banyak pandangan yang meragui kemampuan Gerakan Mahasiswa untuk terlibat secara langsung pada Pru yang akan datang. Antaranya ialah,  jika pun mahasiswa menang, wakil mahasiswa hanya seorang berbanding 221 wakil parlimen lain yang memiliki agenda kepartian. Lebih parah apabila parti yang ditumpangi mahasiswa hanya menjadi pembangkang di parlimen. Biarpun begitu,  keadaan ini jauh lebih baik berbanding keadaan sekarang. Tanpa wakil di parlimen, Gerakan Mahasiswa hanya menjadi sekelompok kecil yang mampu bersuara namun belum pasti suaranya didengar oleh kepimpinan Negara. Bahkan ahli parlimen sebelum ini juga masih tidak mampu mewakili suara mahasiswa secara serius apabila isu yang dibahaskan dalam parlimen bersifat selektif dan tidak menyeluruh. Sebagai contohnya, agenda memansuhkan Auku masih menjadi idea picisan dalam parlimen yang hanya berbunyi apabila berlaku sesuatu isu melibatkan mahasiswa. Begitu juga perjuangan menuntut kebebasan akademik yang sehingga ke hari ini belum ada sebarang deklarasi atau rang undang-undang yang dibahaskan di parlimen untuk melindungi kebebasan intelektual.

Menurut pusat kajian demokrasi UMCEDEL, PRU13 akan memperlihatkan tidak akan ada lagi parti yang menguasai 2/3 kerusi di parlimen.  Keadaan ini sudah pasti akan merintis kepada ruang demokrasi yang sedikit terbuka apabila parti pemerintah tidak lagi boleh melaksanakan pemerintahan secara wewenangan. Ini dapat dilihat melalui perkembangan politik Barisan Nasional pasca PRU12.

Pemansuhan ISA dan Ordinan Darurat, pindaan AUKU, pindaan Akta Polis dan beberapa transformasi politik yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional merupakan hasil daripada kematangan rakyat dalam memilih wakil di parlimen. Keadaan parlimen yang menghampiri keseimbangan ini secara logiknya akan membuka kepada pengamalan politik baru yang lebih menggalakan perkongsian idea berteraskan kepentingan Negara.

Oleh itu di celah peralihan budaya politik ini, mahasiswa boleh mengambil kesempatan untuk turut mengemukakan idea reformasi sistem pengajian tinggi yang menjadi agenda mahasiswa. Perkara ini turut diakui oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Saifuddin Abdullah. Beliau menyifatkan PRU13 akan menyemarakkan  elemen politik baru yang dinamakan beliau sebagai New Conversation yang mendorong kepada perkongsian idea demi memajukan Negara, sekaligus memansuhkan budaya kepartian yang sempit.

Ada stigma yang mengatakan jika Gerakan Mahasiswa bertanding di bawah tiket mana-mana parti politik, maka Gerakan Mahasiswa akan terpesong daripada peranan asal sebagai gerakan Non-Partisan yang menjalankan semak dan imbang kepada politik negara. Kerisauan ini ada asasnya sekiranya dirujuk kepada sejarah Gerakan Mahasiswa Indonesia pasca pemerintahan Presiden Soekarno.  Tetapi lebih sesuai jika stigma itu dihalakan tepat kepada kerisauan yang sebenar iaitu salah guna kuasa  apabila mahasiswa lupa pada objektif asal.

Oleh itu kurang tepat jika stigma ini dijadikan sumber hujah untuk menafikan hak mahasiswa yang ingin bertanding dalam Pilihanraya Umum. Sekiranya disusun dengan agenda dan perancangan yang teliti, saya pasti Gerakan Mahasiswa akan lebih bersedia untuk menjadi wakil rakyat yang berpendirian, sekaligus menafikan risiko untuk dipergunakan parti politik.

Saya optimis dengan kemampuan Gerakan Mahasiswa untuk terlibat secara langsung  dalam PRU13 seterusnya membuka lembaran baru kepada pendidikan politik rakyat. Rakyat perlu dididik bahawa peranan semak dan imbang masih boleh berjalan biarpun mahasiswa menjalin hubungan strategik dengan sesebuah parti politik. Hal ini sama seperti situasi Gerakan Mahasiswa bersetuju dengan agenda Buku Jingga tetapi dalam masa yang sama Gerakan Mahasiswa mengkritik hebat penggunaan Auku di Kolej kelolaan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Oleh itu tidak ada masalah sekiranya dalam hal tertentu Gerakan Mahasiswa mengambil pendirian berbeza atau mengkritik parti politik yang dalam masa yang sama menjalinkan kerjasama atas agenda sepunya. Inilah corak Non-Partisan matang yang sepatutnya ditonjolkan kepada rakyat dan bukannya stigma Non-Partisan yang salah sehingga mendorong rakyat benci kepada politik dan parti politik. Pendidikan demokrasi matang sebegini bukan sahaja akan melahirkan lapis rakyat yang partisipatif dalam agenda politik, bahkan akan melahirkan masyarakat yang kritikal dan vokal walaupun terhadap parti sendiri.

Secara kesimpulannya, saya melihat penglibatan mahasiswa dalam PRU13 bergantung kepada sejauh mana mahasiswa mampu menghadirkan idea yang besar dan rialistik. Idea ini akan merasionalkan sebarang langkah yang diambil oleh mahasiswa sama ada idea tersebut diketengahkan melalui pilihanraya mahupun jalan raya. Jika tidak ada pilihanraya dalam masa terdekat, maka sudah pasti jalan raya menjadi pilihan untuk Gerakan Mahasiswa mengetengahkan idea reform ini.

Namun hakikatnya PRU13 sedang menanti di hadapan dengan hamparan peluang dan manfaat yang boleh digunakan oleh Gerakan Mahasiswa.  Dengan menyertai PRU13, Gerakan Mahasiswa berpeluang untuk melonjakkan agenda reformasi pengajian tinggi di samping menyemarakkan proses pendidikan politik rakyat. Dalam masa yang sama, penyertaan dalam PRU juga akan membuktikan kesungguhan Gerakan Mahasiswa dalam menolak kaedah pemerintahan negara oleh Barisan Nasional.

Tiada ulasan: