Rabu, 30 Januari 2013

KERJA UGUT-MENGUGUT NI KERJA BUDAK2 ATAU ORANG YANG TAK BERFIKIRAN MATANG

200 ahli baru berhimpun dalam Ummah Bersama PAS

Harakahdaily, 30 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Lebih 200 ahli baru PAS dari pelbagai latar belakang akan menyertai Himpunan Perdana Ummah Bersama PAS 3 Februari ini di Hotel De Palma, Ampang.

Mereka akan berhimpun sebagai tanda sokongan kepada perjuangan PAS bersama pimpinan parti menjelang pilihan raya umum akan datang ini.

Selain mereka yang telah lama menyertai PAS, himpunan yang akan diadakan di Hotel De Palma, Ampang ini akan memperkenalkan beberapa tokoh yang baru menyertai PAS.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Himpunan ini, Salahudin Ayub, setiap negeri telah diminta menghantar lima ahli baru mereka yang berupa tokoh-tokoh masyarakat untuk menyertai himpunan ini.

Di peringkat pusat pula, kira-kira 100 tokoh dari pelbagai segmen masyarakat akan menyertai himpunan ini.

Ia termasuklah tokoh politik, agamawan, budayawan, artis, korporat, pegawai kerajaan, polis, tentera, penulis, blogger, sastrawan dan lain-lain lagi.

"Kita mahu memberitahu semua rakyat khasnya orang Melayu, PAS kini menjadi pilihan semua pihak dan tidak ada sebab mereka tidak bersama dengan kita dalam memperjuangkan hak kita bersama.

"Kita yakin, dengan masalah intergriti yang ada pada Barisan Nasional khasnya di kalangan pemimpin Umno ini, rakyat bijak membuat penilaian, BN tidak ada tempat lagi di hati rakyat," katanya.

Para pemimpin PAS serta rakan-rakan Pakatan yang lain, katanya, akan menunjukkan "kita bersatu dalam perbezaan yang ada untuk kepentingan rakyat."

Majlis yang bermula jam 9 pagi hingga tengahari di hotel De Palma, Ampang ini akan disertai oleh semua pimpinan kanan PAS termasuk Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Benarkah guru Sejarah tidak faham sejarah?

Dr Rajiee Abdul Hadi, 30 Jan 2013
LAPORAN sebuah akhbar harian tempatan ada menyebut bahawa Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak bersetuju dengan kenyataan yang mendakwa ramai guru Sejarah tidak faham sejarah negara.

Presidennya, Hashim Adnan menegaskan, adalah tidak mungkin guru Sejarah kabur dalam memberikan penerangan tentang sejarah negara kerana perkara tersebut adalah pengkhususan yang ditekankan ketika berada di universiti.

Justeru beliau telah mengukuhkan sangkalannya benar berdasarkan keputusan para pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan awam saban tahun. Adakah andaian ini benar? Saya yakin, Hashim Adnan tersilap menafsir apa yang dimaksudkan guru sejarah tidak faham sejarah.


Sebenarnya tidak faham sejarah; tidak tahu cara penyampaian ilmu sejarah adalah dua situasi berbeza. Namun tidak dinafikan isu ini bersangkut-paut dengan kemahiran bahasa yang mana jelas menimbulkan banyak kekeliruan

Oleh itu kaedah komunikasi yang berkesan  guru tersebut perlu pertingkatkan lagi. Dan tidak mustahil ada juga guru yang terbawa-bawa dengan 'ideologi pemikiran'nya yang negatif kerana diselaputi oleh sikap perkauman yang songsang.

Saya sendiri mendapat respons daripada seorang guru/pensyarah pendidikan yang pernah berpengalaman sebagai guru di sekolah selama 15 tahun (selebihnya sebagai pensyarah/pendididik guru di IPGM). Beliau pernah menempuh pengalaman sebenar.

Suatu tengah hari beliau secara kebetulan lalu di koridor sebuah kelas; tingkatan 4.Kebetulan seorang guru sejarah keturunan bukan Melayu sedang berdiri mengajar di hadapan kelas dengan suara lantang yang jelas kedengaran ke cuping telinganya.Ya, antara isi pelajaran yang beliau  terdengar ialah begini..."Malaysia telah dibuka oleh Parameswara ketika menemui Melaka....."

Sekilas dengar seperti tidak ada silapnya. Ya, sebagaimana frasa yang diujarkan begini: 'Bilakah Malaysia mencapai kemerdekaan'? lnilah yang boleh mengelirukan jika ada guru sejarah 'tidak jujur' menerangkan tentang sejarah.

Sayugia  apabila mengaitkan mengenai pembukaan Melaka oleh Parameswara (ingat Parameswara bukan  orang Keling dari benua Keling: istilah fakta dari buku SEJARAH MELAYU tetapi ialah seorang yang beragama hindu (kerana ketika itu pengaruh hindu mendahului selepas animisma)yang mana anak raja dari dinasti Saleindra di Palembang,Sumatera yang mana sudah tentulah daripada rumpun mahawangsa Melayu)sudahlah tentulah belum ada nama Malaysia (bermula 1963).

Melaka  walaupun disebut negeri tetapi berstatus sebuah negara yang berkerajaan dan berpelembagaan (Kanun Melaka). Sebab itu dalam buku sejarah Melayu disebut 'Negeri China', Negeri Arab' dan sebagainya bagi merujuk negara yang berkerajaan.

Begitu juga jika ditanya 'Bilakah Malaysia mencapai kemerdekaan'? Harus diingat bahawa kemerdekaan yang dicapai pada 31 0gos 1957 pada ketika itu ialah sebuah kerajaan yang bernama Persekutuan Tanah Melayu yang mana lnggeris menyebutnya 'Malaya'. lstilah 'Malaysia' hanya l;ahir pada tahun 1963 atas idea sebuah gagasan penggabungan Sabah,Saarawak,Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu.

Bahkan tidak salah jika guru Sejarah tersebut menyebut tokoh-tokoh yang dikatakan 'kiri'oleh penjajah lnggeris seperti lbrahim Yaakob, Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, lshak Haji Muhammad dan seumpamanya sebagai pejuang kemerdekaan bangsa dan tanah air di samping tokoh-tokoh yang sedia ada. pokoknya guru sewajarnya bijak main peranan dan berhemah dalam komunikasi.

INILAH realiti sejarah yang sepatutnya guru Sejarah atau sesiapa pun tidak menjadi kabur atau berpura-pura kabur. Kesilapan ini bukan hanya ditujukan kepada guru Sejarah sahaja tetapi kepada orang awam keseluruhannya. Kebenaran itu pahit tetapi kesilapan itu menghancurkan!


Dr Rajiee bin Abdul Hadi, kini tinggal di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.

Notis pindah dari Pasar Siti Khadijah palsu

Harakahdaily, 30 Jan 2013

(Gambar: Husam menyantuni Che Omar, 94 tahun seorang pengayuh beca di kawasan Pasar Siti Khadijah pagi ini)

KOTA BHARU: Notis berupa arahan perpindahan kepada para peniaga Pasar Siti Khadijah di sini yang ditemui sekitar pasar itu sejak semalam merupakan notis palsu dari pihak yang tidak bertanggungjawab.

Exco Kelantan Datuk Husam Musa berkata, beliau yakin notis palsu itu sengaja dibuat pihak tertentu dengan niat mahu menimbulkan suasana tidak elok antara Para Peniaga Pasar Siti Khadijah dengan Pihak Kerajaan Negeri Kelantan.

"Ianya ditampal di beberapa lokasi di Pasar Siti Khadijah dipercayai untuk menimbulkan masalah antara peniaga dengan Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz," coretnya dalam Facebook.

Difahamkan sejak semalam, notis itu dikesan bertaburan di pasar tersebut.

Antara lain notis itu berbunyi "peniaga dan penjaja Pasar Siti Khadijah dan kawasan sekitarnya hendaklah mengosongkan kawasan ini di dalam tempoh 60 hari. Arahan ini bagi membolehkan bangunan ini dirobohkan supaya aktiviti mencarigali minyak dapat berjalan lancar. Arahan Yang Dipertua Kota Bharu Bandar Raya Islam ".

Notis itu dipercayai dibuat sebagai mengambil kesempatan di atas pengumuman Husam beberapa hari lalu berhubung penemuan minyak di atas daratan di beberapa buah lokasi di bandar Kota Bharu dan Tumpat.

Ekoran penyebaran notis palsu itu , Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan hari ini turun bertemu peniaga di pasar itu pagi tadi.

"Hari ni sempat luang masa ke Pasar Siti Khadijah sambil "mengintai" Notis Perpindahan yang disedarkan oleh Pihak tak bertanggungjawab.

"Alhamdulillah para peniaga tidak terpengaruh dengan tektik jahat pihak tak bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu - Banda Raya Islam (MPKB-BRI) telah mengadakan sidang media pagi ini memberi penjelasan dan menafikan pihaknya mengeluarkan notis tersebut.

Satu laporan polis juga akan dibuat dalam masa terdekat bagi menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap dalang yang terlibat.

MPKB nafi cari gali minyak di Pasar Siti Khadijah

Harakahdaily, 30 Jan 2013
KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MBKB-BRI) menafikan kenyataan mengenai notis perpindahan peniaga di Pasar Siti Khadijah.

Yang Dipertuanya, Fauzi Mat menjelaskan sebelum ini beliau telah diberitahu bahawa satu notis meminta peniaga dan penjaja di Pasar Siti Khadijah mengosongkan kawasan itu dalam tempoh 60 hari bagi melancarkan aktiviti mencari gali minyak di situ.

Sehubungan itu, beliau meminta peniaga dan penjaja di Pasar Siti Khadijah dan kawasan-kawasan sekitarnya mengabaikan notis palsu tersebut dan meneruskan aktiviti perniagaan seperti sedia kala tanpa ragu-ragu.

Baca http://jeminghassan.blogspot.com/2013/01/mpkb-nafi-aktiviti-carigali-minyak-di.html

Imuniti: Mahfuz sedia jumpa Deepak 6 Feb

Muhammad Faizal, 30 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar akan mengadakan pertemuan dengan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan pada 6 Februari nanti jam 11 pagi di Pejabat Agung PAS.

Dalam pada itu, Mahfuz juga turut memberitahu mengenai jaminan imuniti, perkara tersebut belum diputuskan olehnya dan ia bergantung kepada penerangan yang akan dilakukan oleh Deepak pada pertemuan nanti.

"Saya hari ini menyatakan kesediaan saya untuk bertemu dengan Deepak pada 6 Februari nanti, dan turut hadir pada pertemuan tersebut adalah penasihat undang-undang (peguam).

"Saya harap Deepak akan bersedia sepenuhnya untuk memberi segala keterangan berhubung dengan apa yang ingin beliau dedahkan, mengenai imuniti perkara tersebut akan dibincangkan setelah mendapat khidmat nasihat dari pihak guaman," jelas beliau.

Jelasnya lagi, tarikh pertemuan tersebut akan dimaklumkan pada hari ini dan beliau akan menunggu persetujuan dari Deepak.

Tambah beliau, Deepak harus tampil untuk membuat pendedahan terhadap semua maklumat yang beliau ketahui kerana perkara ini melibatkan masa depan negara.

"Deepak harus tampil membuat segala pendedahan yang beliau ketahui mengenai apa yang berlaku selama ini.

"Perkara ini tidak boleh dilengah-lengahkan kerana ia melibatkan masa depan negara," sambung beliau.

Mahfuz ketika ditanya mengenai bentuk imuniti yang dikehendaki oleh Deepak itu, menjelaskan pihaknya tidak mengetahui bentuk imuniti yang dihendaki oleh ahli perniagaan itu.

Perkara tersebut hanya akan diputuskan setelah Deepak memberi keterangan dan mendapat nasihat dari peguam-peguam yang akan hadir nanti.

Sebelum ini, Deepak Jaikishan menyatakan bersedia bertemu dengan Mahfuz  berhubung permohonannya mendapatkan jaminan imuniti daripada Pakatan Rakyat.

Namun pertemuan tersebut ditangguhkan kerana beliau terlalu sibuk dengan majlis hari ulang tahun Tuanku Sultan di Alor Setar.

Harakahdaily kerjasama dengan radio Suara Rakyat FM

Harakahdaily, 30 Jan 2013

(Pegawai kanan Harakahdaily dan radio Suara Rakyat FM bertukar dokumen di Pejabat Harakahdaily pagi ini)


KUALA LUMPUR: Harakahdaily mencapai kata sepakat dengan radio internet, Suara Rakyat FM untuk bekerjasama.

Melalui kerjasama ini, Harakahdaily akan membekalkan berita untuk diperdengarkan dalam radio internet ini melalui suararakyat.blogspot.com.

Tiga pegawai kanan radio internet ini yang diketuai oleh Ketua Penyelarasnya, Ripin Samat datang ke pejabat Harakahdaily hari ini bagi membincangkan bentuk kerjasama yang hendak dibuat.

Selepas perbincangan dibuat, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalinkan kerjasama ini.

"Kami bersetuju untuk membekalkan berita Harakahdaily secara berkala setiap hari kepada radio internet ini," kata Zulkifli Sulong, Ketua Pengarang Harakahdaily.

(Zulkifli dan Ripin bertukar dokumen hari ini)

Beliau menjangkakan, berita-berita dari Harakahdaily akan mula berkumandang dalam radio internet ini mulai minggu depan.

"Untuk permulaan ini, kita jangkakan tiga slot berita sehari akan kita bekalkan iaitu tengahari, petang dan malam," katanya lagi.

Mulai minggu depan, ikon radio Suara Rakyat FM akan ada di laman Harakahdaily.

Ia membolehkan, semua pelayar Harakahdaily boleh klik ikon ini untuk mendengar radio sambil melayar berita-berita Harakahdaily.

Ripin pula melahirkan kegembiraannya dengan kerjasama yang bakal terjalin ini.

"Dengan adanya berita ini, saluran radio kami akan lebih bermutu dan memberikan manafaat besar kepada pendengar kami," katanya.

Sekarang ini, radio ini berkumandang 24 jam sehari melalui laman internet, radiorakyatfm.blogspot.com.

Ia juga boleh didengar melalui telefon bimbit android menerusi  Tunein Radio.

Kenapa hantar IC, Mykid tidak dituntut ke Keningau?

Muhammad Faizal, 30 Jan 2013
KUALA LUMPUR: PAS menggesa kerajaan menjelaskan berhubung arahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengembalikan semua kad pengenalan atau Mykid yang tidak dituntut dalam masa 18 bulan dan dihantar ke Keningau, Sabah terlebih dahulu sebelum dihantar ke JPN, Putrajaya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar merujuk kepada satu surat arahan dari Ibu Pejabat JPN di Putrajaya bertarikh 14 Disember 2012 yang dihantar kepada semua Pengarah JPN peringkat negeri dan daerah.

Kata beliau, surat yang meragui itu juga turut menyatakan alamat yang perlu digunakan bagi tujuan penghantaran kad pengenalan dan Mykid.

"Saya minta kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) tampil buat penjelasan berhubung dengan satu surat dari JPNM yang amat meragui.

"Surat tersebut telah mengarahkan semua JPN di peringkat negeri dan daerah mengembalikan kesemua kad pengenalan dan Mykid yang tidak dituntut dalam masa lapan belas bulan dihantar ke Keningau," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS sebentar tadi.

Tambah beliau lagi, alasan kad pengenalan dan Mykid tersebut perlu dihantar di Keningau sebelum ia dihantar semula ke Unit PC, JPNM adalah kerana auditor JPNM sedang berada di Keningau.

Malah, kad pengenalan tersebut perlu dihantar ke Taman Adika 8, Lot 17, 89000 Keningau Sabah dan turut mengarahkan agar tidak menggunakan pos biasa bagi mengelakkan kelewatan tiba di Unit PC.

"Apa tujuan sebenarnya perlu di hantar ke Keningau, jika betul auditor sedang berada di sana kerana tugas, saya pasti beliau sendiri tidak mempunyai masa untuk membuat pemeriksaan ke atas kad pengenalan dan Mykid yang dihantar itu.

"Ini jelas akan ada manipulasi terhadap kad pengenalan tersebut apatah lagi bila pilihanraya umum yang semakin hampir," tambah beliau lagi.

Surat yang ditandatangi oleh Pengarah Bahagian Kad Pengenalan, Md Solehan Omar itu juga memberitahu penggunaan beg berkunci tidak dibenarkan dengan alasan pegawai pendaftar di Keningau tidak mempunyai kunci untuk setiap beg.

Mahfuz yang juga turut meminta kerajaan terutamanya JPNM turut memberitahu jumlah sebenar kad pengenalan dan Mykid yang tidak dituntut dalam tempoh tersebut serta memaklumkan bila dan di mana akan dihapuskan.

Berulang 13 Mei, tak wajar keluar dari mulut SPR

Muhammad Faizal, 30 Jan 2013
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membayangkan aktiviti membantah dan meraikan kemenangan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) boleh mencetus kembali Tragedi 13 Mei 1969 sebagai tidak bertanggungjawab.

Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Dr Mohd Hatta Ramli berkata kenyataan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof itu sangat tidak wajar seolah-olah SPR cuba turut menakut-nakutkan pengundi.

“Bagi saya kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab sebagai sebuah agensi yang dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan pilihanraya yang adil dan telus.

“SPR perlu memastikan pilihanraya kali ini berlangsung dalam keadaan yang lebih telus dan adil, malah kenyataan Abdul Aziz itu seolah-olah mereka mengambarkan bahawa pilihanraya kali ini berlangsung secara tidak adil serta menyebelahi pihak tertentu,” jelas beliau.

Mohd Hatta menegaskan, SPR atau mana-mana pihak tidak boleh menyalahkan rakyat jika mereka bangkit menentang ketidakadilan yang terang-terangan berlaku dalam pilihanraya.

Malah menurut beliau, SPR perlu lebih telus dan bukannya bertindak sebagai sebuah organ parti di dalam Barisan Nasional.

“Banyak isu yang perlu diselesaikan oleh SPR terutamanya dalam pembersihan nama-nama dalam daftar pemilih.

“Perkara ini bukan sahaja berlaku di Sabah tetapi juga turut berlaku di semenanjung seperti mana yang telah didedahkan oleh kita selama ini, bukannya menakut-nakutkan pengundi dengan perkara-perkara seperti 13 Mei," katanya.

Umno Titiwangsa sahkan salah guna dewan orang ramai

Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi, 30 Jan 2013
Saya membaca respons Datuk Johari Abdul Ghani, Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa di dalam akhbar Sinar Harian kelmarin apabila kenyataan saya mengenai penyalahgunaan dewan orang ramai di Parlimen Titiwangsa oleh UMNO bahagian disiarkan. Kenyataan Datuk Johari menyebut bahawa dewan-dewan itu hanya digunakan untuk Majlis Perasmian Gerak Kerja Pilihanraya di Zon Kampung Bharu, Zon Datuk Keramat, dan Zon Kampung Pandan dan bukannya bilik gerakan.
Kenyataan Datuk Johari telah mengesahkan bahawa UMNO sememangnya telah menggunakan dewan-dewan tersebut untuk kegiatan parti mereka. Jika dewan tersebut digunakan hanya untuk majlis perasmian Gerak Kerja Pilihanraya, sudah tentu perasmian tersebut hanya memakan masa beberapa jam atau paling lewat sehari sahaja. Tetapi mengapa sehingga sekarang bendera UMNO-BN masih terpasang sekitar dewan-dewan manakala banner tertulis perasmian Bilik Gerakan masih digantung di depan dewan? Dalam erti kata lain, mengapa sehingga sekarang UMNO masih tidak kosongkan kesemua dewan-dewan orang ramai yang digunakan mereka?

Tambahan pula, jika mereka menggunakan premis awam ini untuk majlis Perasmian Gerak Kerja Pilihanraya sahaja, mengapa pula dewan ini telah digunakan sejak bertahun dahulu?

Isu penggunaan dewan oleh UMNO bukan sehari dua ini muncul, tetapi telah berbangkit sejak sekian lama. Malah Almarhumah Dr Lo’ Lo’ Datuk Ghazali selaku Ahli Parlimen Titiwangsa pernah membangkitkan perkara ini tetapi tiada reaksi apa-apa dari UMNO Bahagian. Saya mengambil inisiatif mendedahkan perkara ini kerana terlalu banyak rungutan daripada penduduk mengenai penyalahgunaan dewan orang ramai oleh UMNO Bahagian. Apakah Datuk Johari tidak menyedari perkara ini dan apakah beliau tidak merasa malu dengan tindakannya?

Jika UMNO Titiwangsa dikatakan banyak membantu membiayai kos penyelenggaraan dewan-dewan orang ramai, sepatutnya mereka menjadikan dewan tersebut benar-benar diduduki oleh orang ramai untuk kepentingan rakyat, bukannya untuk UMNO. Banner, bendera serta dan sepanduk  yang terpacak di depan dewan-dewan ini menjadikan orang ramai semakin takut untuk menghampirinya. Ini bukannya untuk membantu rakyat, tetapi lebih menyusahkan rakyat. Rakyat pasti merasa kesal kerana dewan komuniti yang sepatutnya digunakan untuk aktiviti masyarakat seperti kenduri kendara tidak dapat digunakan kerana diambil alih oleh UMNO.

Saya ingin mengingatkan UMNO Titiwangsa bahawa penyalahgunaan mana-mana premis awam untuk kepentingan parti politik dalam pilihanraya adalah suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954. Mengikut tafsiran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), penyalahgunaan premis awam untuk kepentingan parti politik dianggap sebagai salahguna kuasa dan boleh diambil tindakan.

Justeru, saya sekali lagi mencabar Datuk Johari dan UMNO Titiwangsa supaya segera mengosongkan dewan komuniti atau dewan orang ramai untuk kegunaan orang ramai. Carilah mana-mana premis eksklusif dengan biaya parti sendiri sebagaimana PAS lakukan. Mari kita bertanding di pentas politik pilihanraya  di atas padang yang sama rata, baru kenal langit itu tinggi atau rendah.

Penulis ialah Penyelaras Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa.

Tiada ulasan: