Ahad, 6 Januari 2013

FATWA KENA MENYELURUH...ISU MURTAD@ROSAK AKIDAH TEGUR SEMUA...WALAUPUN PEMIMPIN TERNAMA ATAU PEMIMPIN TERTINGGI NEGARA JANGAN PILIH BULU DAN PENAKUT SEBAB ADA KEPENTINGAN DIRI

WWW1:TV3 setuju perlu buat rujukan dari Nizar

Muhammad Faeez Azahar, 05 Jan 2013


KUALA LUMPUR:
Timbalan Pengarang Berita Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Mohd Ashraf Abdullah bersetuju bahawa pihaknya perlu membuat rujukan daripada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi memastikan berita yang dilaporkan tidak lari daripada maksud sebenar sesuai dengan prinsip adil dan tepat.

Katanya, pihaknya mengakui tidak membuat rujukan serta tidak mendapatkan kenyataan daripada Nizar (plaintif) tentang kesahihan berita tersebut sebelum menyiarkannya di Buletin Utama.

Bagaimanapun beliau tidak bersetuju bahawa TV3 bersikap tidak adil dan tepat dalam mengeluarkan berita dalam Buletin Utama berhubung isu WWW1 pada 30 mei tahun lalu itu.

Bercakap dalam perbicaraan kes saman itu semalam, Ashraf sebagai defendan bagaimanapun berkata, TV3 menepati prinsip adil dan dalam memaparkan berita tersebut.

Peguam Nizar, Mohd Fitri Asmuni turut mempersoalkan kenapa pihak defendan tidak memaparkan Twitter asal Ahli Parlimen Bukit Gantang itu dalam berita tersebut.

Ashraf yang lebih 30 tahun dalam bidang tersebut menjawab ianya tiada keperluan untuk dipaparkan sebaliknya katanya kenyataan Nizar itu telah diolah menjadi menjadi berita.

Peguam Nizar mengatakan kepada defendan adakah tindakan tidak memaparkan twitter asal plaintif adalah bertujuan untuk meyakinkan penonton tentang berita TV3 namun ianya tidak dipersetujui oleh defendan.

Mohammad Nizar sebelum ini telah mengambil keputusan menyaman media tersebut setelah memfitnahnya dengan mengatakan beliau menuduh Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk membida plat kenderaan WWW1.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur itu akan bersambung 11 Januari depan jam 10 pagi.

Urus Hutan: Malaysia ketiga tercorot di dunia

Harakahdaily, 05 Jan 2013
KUANTAN: PAS mempertikaikan sikap hipokrit Umno/BN dalam aspek pengurusan hutan negara apabila mereka sendiri yang bertanggungjawab mengheret Malaysia ke kedudukan ketiga tercorot di dunia berbanding 132 buah negara dari aspek pengurusan hutan.

Perkara ini telah dicatatkan dalam Laporan Indeks Prestasi Alam Sekitar Dunia yang diterbitkan Universiti Yale Amerika Syarikat baru-baru ini.

Demikian kata Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar PAS Pahang (LPPAS), Andansura Rabu (gambar atas) dalam satu kenyataannya.


Media Umno sejak akhir-akhir menyerang Kedah dan Kelantan kononnya gagal mengawal penebangan hutan di negeri masing-masing.

Padahal apa yang cuba dibuat Umno adalah menyekat pembangunan di negeri berkenaan khasnya menyekat sumber kewangan bagi negeri-negeri Pakatan itu.


(Kemusnahan hutan di Pahang)

Menurut Andansura, laporan tersebut juga menggambarkan betapa teruknya prestasi negara selama 1 dekad ini (2002-2012) dalam mengurangkan kesan kepada Daya Tahan Ekosistem dan Sumber Asli Negara.

Bagi Andansura, Umno sudah kehabisan modal politik sehingga sanggup menuduh Kedah dan Kelantan, sedangkan pada hakikatnya, merekalah yang sebenarnya gagal dalam menguruskan hutan di negeri yang ditadbir mereka sendiri dengan baik.

"Seperti juga isu Air, mereka menghentam Kelantan dan Selangor tetapi pada hakikatnya di Pahang sendiri Krisis Air masih tak selesai-selesai, merujuk kepada memorandum Krisis Air Pahang yang diserahkan wakil PAS Negeri ke MB Pahang baru-baru ini," katanya.

Di Pahang sendiri, katanya, boleh lihat banyak penerokaan hutan yang gagal diuruskan dengan baik contohnya di Hutan Simpan Kemasul (sebelah Felda Kemasul, Kempung Cemomoi Mancis) yang melibatkan 3000 hektar kawasan hutan.

Projek Empangan Kelau yang melibatkan 1057 hektar Hutan Simpan Lakum, Mukim Hulu Lepar di Kuantan, manakala Hutan Simpan Tekai, Kg. Bantal, dan Kg. Mat Daling yang melibatkan 700 hektar kawasan hutan.

"Tidak ketinggalan juga kawasan pelancongan di negeri itu khususnya di Mukim Hulu Jelai Cameron Highlands dan di Tasik Chini," katanya.

Bagi beliau, bukan sahaja pencemaran kepada alam sekitar akibat penerokaan hutan yang tidak terkawal ini serta kelemahan aspek penanaman semula hutan, kehidupan masyarakat Orang Asli juga terjejas.

Andansura berharap Umno khususnya Kerajaan Persekutuan dan di negeri-negeri yang ditadbir mereka tidak hipokrit dalam isu ini kerana banyak pendedahan penyelewengan pengurusan hutan di bawah Umno/BN akan didedahkan dengan lebih banyak lagi selepas ini.

 

 


 

 

Jangan terheret dengan isu ‘Amanat Haji Hadi’

Muslim Profesional Network, 05 Jan 2013

Serangan demi serangan untuk menjatuhkan kredibliti Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melalui media masa dan cetak. Terbaru adalah isu ‘Amanat’ yang sebenarnya petikan ceramah beliau pada 7 April 1981 lalu.

Kisah 31 tahun yang lalu diungkit dan diperhangatkan kembali oleh semua media milik Umno BN.

Jaringan Profesional Muslim (MPN) melihat isu ‘Amanat Haji Hadi’ ini adalah siri saraf dan serangan politik Umno BN bagi menjatuhkan musuh politik mereka. Mereka tiada modal lain untuk menjatuhkan kewibawaan dan kredibiliti kepimpinan PAS.

Jika PKR mereka momokkan dengan kononnya skandal seks pemimpin utama, DAP dengan isu komunis dan PAS mereka akan mengheretnya dengan isu keagamaan.

MPN menyeru seluruh pemimpin dan pengikut Pakatan Rakyat jangan leka dengan isu yang dicipta oleh Umno BN ini. Tumpukan sepenuh perhatian dengan membongkar dan mendedahkan kepincangan pemerintahan Umno BN.

Isu pendedahan Deepak yang perlu diambil serius kerana ianya melibatkan keselamatan negara. Isu yang berkaitan dengan lapan tuntutan Bersih, Anti-Lynas, Anak dan sebagainya perlu diperhangatkan dengan lebih giat lagi.

Pemimpin dan pengikut Pakatan Rakyat jangan mudah terpedaya dengan tarian dan mainan Umno BN dalam pelbagai isu yang sengaja di timbulkan demi menutup keaiban yang sudah jelas di depan mata.

MPN juga menyeru pertubuhan-pertubuhan yang sengaja mencari publisiti murahan atas isu ‘Amanat Haji Hadi’ ini seperti Isma, Perkasa supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang dangkal dan tidak melihat kepada sejarah.

Dr Ghazali Hasbullah

Dr Wan Jihan Wan Din

Sulaiman Akhlakan

Ahli Majlis Muslim Profesional Network

Umno Kelantan sudah mula gaduh

http://msomelayu.blogspot.com, 05 Jan 2013
SUSUPAN SENJA

Barang kali tidak ada berita lain paling panas di Kelantan hari ini dalam padang politik melainkan cerita tunjuk perasaan di lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, Kota Bharu oleh beberapa orang ahli Umno yang meminta supaya Dali Hussin tidak dipilih menjadi calon.

Salah satu baner yang desak agar Dali tak jadi calon.
Dali ialah bekas ketua pemuda Umno Kelantan dan kini adalah Ketua Bahagian Umno Pengkalan Chepa.

Dengar khabar banyak juga sepanduk dan kain rentang diangkat semasa tunjuk perasaan berkenaan. Di sebuah kain rentang terpampang tulisan antara lain menyebut "ketua-ketua cawangan". Bermakna yang tunjuk perasaan itu terdiri dari ahli Umno sendiri.

Tidak jelas lagi apakah sebab musababnya. Khabarnya tunjuk perasaan itu mahukan agar Dali tidak dipilih menjadi calon. Satu memorandum juga hendak diserahkan kepada Pengerusi Umno Kelantan Mustapa Mohamed tetapi gagal.


Apa yang terdengar Dali dikatakan mengamalkan kronisme di Pengkalan Chepa. Kronisme apa tidak pula dijelaskan lanjut. Sikap kronisme itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ketua-ketua bahagian.

Menurut maklumat dalam usaha melaporkan perkara itu kepada pihak tertinggi dalam parti termasuk presiden dan timbalan presiden juga telah dibuat tetapi tidak ada apa-apa tindakan. Selalu berlaku begitu (ketidakpedulian) di dalam Umno dimana laporan orang bawahan tidak dipedulikan yang kemudian menimbulkan masalah.

Contohnya apa yang berlaku dalam Umno Bahagian Tanah Merah. Segelintir ahli tidak senang dengan politiking ketua bahagiannya, Ikhmal Hisham yang dikatakan memaslukan keahlian. Ekoran itu laporan dibuat kepada Pejabat Setiausaha Agung namun ia dibekukan begitu saja. Apa jadi, akhirnya maslaah keahlian palsu di dalam Umno Kelantan terpaksa diheret ke mahkamah ekoran itu juga menyebabkan Umno Tanah Merah berkucah.

Tampaknya begitu juga apa yang berlaku di Pengkalan Chepa. Sebelum ini Umno Pengkalan Chepa adalah bahagian yang agak lantang dan kerap mencabar Nik Abdul Aziz Nik Mat. Segala tindakan Umno Pengkalan Chepa seolah-olah menunjukkan ia berada dalam kekompakan. Tetapi dengan apa yang berlaku hari ini ia memberi gambaran sebaliknya.

Dengan apa yang berlaku di Pengkalan Chepa itu memberi petanda kurang baik kepada Umno Kelantan. Kalau tunjuk perasaan dan desakan ke atas Dali itu merupakan protes dalaman, ini bermakna kejadian cas keting dan sebotaj sesama sendiri tidak dapat dielakkan.

Sebelum ini sudah kedengaran berlaku rasa tidak puas hati di kalangan ahli dan pimpinan Umno di beberapa buah bahagian berhubung masalah calon. Perihal calon boleh menang (winnable candidate) ini sudah merebak perlahan-lahan ia membakar seperti api membakar dalam sekam.

Katanya ada pimpinan bahagian yang merasakan mereka lebih layak dan senior dalam parti kurang senang dengan penampilan beberapa calon boleh menang. Mereka juga mendakwa sudah bertahun menggerak jentera parti serta mendekati ahli serta sudah berbelanja ratusan ribu tiba-tiba bila calon hendak diserahkan kepada orang lain ia kurang disenangi.

Sudah kedengaran desas desus dan cakap-cakap mengatakan sekiranya pihak atasan tetap mengutamakan calon boleh menang dan mengenepikan calon pilihan bahagian, calon berkenaan akan disebatoj. Jika ini berlaku ia boleh merosakan potensi Umno untuk merampas Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.

Justeru apa yang berlaku bakal memeningkan Mustapa Mohamed sebagai ketua Umno Kelantan. Di Kelantan dengarnya sekurang-kurang empat atau lima calon boleh menang akan diletakkan bertanding dalam pilihan raya akan datang. Idea winnable candidate yang cetuskan Najib Razak ini juga katanya telah mencelarukan keadaan.

Ada pimpimpin yang katanya bersetujuan dengan konsep calon boleh menang itu tetapi ianya di depan saja tetapi bersedia melakukan sebotaj di belakang. Insiden yang berlaku di Pengkalan Chepa itu perlu disekat oleh pihak Umno. Kalau ia tidak disekat, aksi-aksi protes calon itu akan berjangkit dan merebak ke kawasan lain.

Sudah pasti tunjuk perasaan di airport itu akan menjadi idea kepada pihak-pihak lain pula yang tidak berpuas hati dengan keputusan atau pemilihan calon di bahagian masing-masing. Tambahan pula berlaku di Kelantan di mana orang Kelantan ia unik dan sedia berpatah arang berkerat rotan dalam apa juga situasi jika mereka kecewa. [wm.kl.6:54 pm 05/01/13]
Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini dan adalah milik peribadi akaun pemilik laman sosial ini. Dengan itu, segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Ustaz Hadi cabar Majlis Fatwa hantar surat rasmi

Khairul Azlam Mohamad, 05 Jan 2013


KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan surat rasmi berkenaan keputusan mengenai ‘Amanat Haji Hadi’.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan turut memutuskan amanat itu bercanggah dengan kepentingan masyarakat Islam dan kemuliaan agama serta prinsip dakwah Islamiah, beliau menafikan menerima sebarang surat daripada mufti tersebut.

“Saya tidak menerima surat dari Majlis Fatwa Kebangsaan. Saya cabar Majlis Fatwa hantar surat kepada saya. Dia (Majlis Fatwa) tak panggil saya.

“Surat rasmi pun tidak ada…atas angin sahaja. Bukan boleh atas angin begitu…bukan ‘meniaga’ ni dan kalau berniaga pun tidak boleh atas angin. Ini soal agama,” tegasnya.

Beliau berkata ‘amanat’ itu merupakan satu petikan daripada ucapan beliau yang dibuat di Banggol Peradong 31 tahun yang lalu.

Ustaz Abdul Hadi menjelaskan beliau tidak pernah menamakan ucapan tersebut sebagai amanat tetapi dibuat oleh pihak lain.

“Amanat itu satu petikan, saya tidak menamakan ‘amanat’ tetapi orang lain yang menamakan ‘amanat’ dan yang beri nama ‘amanat’ itu termasuk Umnolah.

“Bukan saya menamakan ‘amanat’, ia petikan ucapan saya selepas itu dibentang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu. Ketua Biro Agama Umno bentang dan saya bangun (jawab)…betul, itu ucapan saya. Masa itu kenapa tidak hujah, selepas 30 tahun baru hendak hujah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat jenazah allahyarham Tengku Zaliha binti Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Maqam Diraja Masjid Abidin, di sini petang tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan isu penjelasan amanat tersebut bukan sekadar pilihan raya tetapi kerana hari akhirat.

Menurutnya, jika Perdana Menteri atau mufti enggan bersemuka di atas dunia, maka tunggulah pada hari akhirat ketika mengadap Allah SWT.

“Saya akan mati, mufti-mufti juga akan mati, Perdana Menteri mati, saya mati…kita mengadap Tuhan. Tuhan yang akan menentukan betul atau pun salah. Jika tidak atas dunia ini..akhiratlah. Kita bertemu dengan Tuhan jika atas dunia tak mahu bertemu,” tegasnya.

Justeru, Ustaz Abdul Hadi tetap bertegas mahukan ruang penjelasan selama satu jam bersiaran di RTM milik kerajaan kerana PAS tidak memiliki media yang menyeluruh.

“Saya tetap mahukan (siaran langsung) supaya masyarakat berlaku adil. Adil ini kena dengar semua pihak dan dengan cara itulah, sebab kita tiada media.

“Biar rakyat tahu…dia (rakyat) dengar semua barulah (faham). Ini dengar sebelah pihak, macam mana.

“ Kena dengar dulu apa yang saya hendak kata, supaya masyarakat dengar betul atau tidak apa yang saya hendak kata,” ujarnya.
Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini dan adalah milik peribadi akaun pemilik laman sosial ini. Dengan itu, segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Tiada ulasan: