Kelebihan selawat ke atas Nabi SAW
Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, | 22 Jan 2013 |
Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat. Selawat malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala. Dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.
Makna selawat dari Allah Ta’ala kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemulian dan keberkatan daripada-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398].
Ada juga yang mengatakan ia bererti taufik daripada Allah Ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya:
“Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman”. (Surah al-Ahzab: ayat 43).
Hukum berselawat
Para ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sepakat (ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya. Antaranya:
1. Wajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
2. Membaca Tasyahud (tahiyyat).
3. Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
4. Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.
Arahan Membaca Selawat
Dalam semua perintah mengerjakan ibadat, Allah SWT menyuruh hamba-Nya beribadat. Sebagaimana dalam firman-Nya di atas tadi, Allah sendiri memulakan selawat ke atas Nabi, diikuti malaikat kemudian dianjurkan kepada Muslimin mengamalkannya. Hal ini bermakna membaca selawat itu sangat utama.
Kelebihan Selawat
Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.
Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang muslim kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.
Selawat Paling Afdhal
Membaca selawat untuk Nabi SAW adalah ibadat yang agung dan merupakan salah satu tanda kecintaan kepada Nabi SAW sekaligus menjadi faktor utama untuk mencapai syafaat Nabi SAW di hari Kiamat kelak. Perintah kepada umat Islam untuk membaca selawat untuk Nabi SAW datang setelah Allah Ta’ala memberitahu bahawa Dia berselawat kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan.” (Surah al-Ahzab: ayat 56).
Ayat di atas tidak menjelaskan satu bentuk nas selawat tertentu untuk dibaca apabila seorang Muslim hendak membaca selawat kepada Nabi Muhammad SAW.
Namun demikian, terdapat beberapa riwayat yang menukilkan bahawa beberapa orang sahabat Nabi saw telah bertanya Rasulullah SAW cara atau kaifiyat untuk berselawat ke atas Baginda SAW, maka diajarnya kepada mereka.
Antaranya ialah riwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 daripada Ka’ab bin ‘Ujrah RA. Sahabat yang mulia ini menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau.
Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah: (*rujuk laman web asal)
Inilah antara kaifiyat berselawat yang diajarkan Nabi SAW kepada para sahabat RA sebagai jawaban kepada pertanyaan mereka mengenai cara berselawat untuk Baginda. Maka adalah logik untuk dikatakan lafaz ini sebagai lafaz paling afdhal dalam berselawat.
Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan:
“Yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada para Sahabat RA tentang kaifiyah (dalam membaca selawat) ini setelah mereka menanyakannya, menjadi petunjuk bahawa itu adalah nas selawat yang paling utama kerana Baginda SAW tidaklah memilih bagi dirinya kecuali yang paling mulia dan paling sempurna.” [Fathul Bari: 11/66].
Menurut Kitab Mestika Hadis 1/259: “Dan yang seafdhal-afdhalnya ialah selawat yang biasa dibaca selepas tasyahud akhir setiap solat. Hal ini kerana para ulama telah menetapkan bahawa sesiapa yang bersumpah atau bernazar hendak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dengan seafdhal-afdhal selawat, tidak dihukum terlepas daripada wajib menepati sumpah atau nazarnya itu melainkan dengan membaca selawat itu.”
Maka adalah lebih baik apabila lafaz selawat ini yang diamalkan dalam membaca selawat untuk Nabi SAW, bukan lafaz-lafaz selawat susunan seseorang, meskipun bukan larangan untuk menyusun bentuk teks selawat sendiri. Selawat-selawat selain yang diajarkan oleh Nabi SAW kadang-kadang tidak terlepas daripada kekeliruan, baik dalam pemilihan bahasa, mahupun –dan ini yang paling parah– kesalahan dalam akidah.
Lafaz Selawat yang sahih
Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil-dalil yang sahih adalah:
Dari hadis: [An-Nasae’i: 1292, sahih] (*Lihat web asal)
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Kemudian terdapat riwayat-riwayat yang sahih dalam lapan riwayat, iaitu:
1. Dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA:
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan Muslim]
2. Dari Abu Humaid As Saa’diy RA:
“Ya Allah,berilah selawat kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri beliau dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan isteri-isteri beliau dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan Muslim].
3. Dari Abi Mas’ud Al-Ansori RA:
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim atas sekalian alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Muslim]
4. Dari Abi Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amr Al-Ansori RA (jalan kedua):
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad nabi yang ummi dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberi selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad, nabi yang ummi sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Abu Daud no. 981, sahih]
5. Dari Abi Sa’id Al-Khudri RA:
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad hamba-Mu dan Rasul-Mu, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim.” [HR Bukhari]
6. Dari seorang lelaki, sahabat Nabi SAW:
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada ahli baitnya (keluarganya) dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan kepada ahli baitnya dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Ahmad, sahih].
7. Dari Abu Hurairah RA:
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat dan memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR At-Tohawi dalam "Musykil al-Athar" 3/75, An Nasa-i dalam "Amalul Yaum wal Lailah" no 47. Sahih]
8. Dari Tolhah bin ‘Ubaidullah RA:
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Imam Ahmad, sahih].
Waktu Afdhal Berselawat
•Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi SAW.
•Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
•Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.
•Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
•Di akhir qunut dalam solat.
•Di dalam solat jenazah.
•Ketika masuk dan keluar dari masjid.
•Setiap waktu pagi dan petang.
•Hari Khamis malam Jumaat.
•Sepanjang hari Jumaat.
•Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.
Demikianlah perbincangan ringkas tentang lafaz selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang dapat dikumpulkan, berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih. Sebagai panduan untuk beramal dengan Sunnah dan selawat yang mempunyai kekuatan sanad yang benar dan sahih daripada Nabi SAW.
http://www.abuanasmadani.com
Kelantan fail injunksi ke atas Petronas
Muhammad Faizal, | 22 Jan 2013 |
(Husam bersama rakan-rakannya menunjukkan salinan injunksi yang difailkan hari ini)
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Kelantan melalui Exconya, Datuk Husam Musa memfailkan permohonan ke mahkamah bagi menyekat (injunksi) Petronas dari membuat sebarang bayaran royalti 5% yang sepatutnya dibayar kepada negeri itu.
Husam, peguam kanan, Tommy Thomas, memfailkan permohonan injunksi itu di Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini.
Turut serta bersama beliau adalah ngo 'R' yang selama ini berkempen untuk mendapatkan hak rakyat negeri Kelantan itu.
Permohonan ini dibuat untuk menyekat Petronas dari terus mengeluarkan bayaran kepada mana-mana pihak hak yang sepatutnya diterima Kelantan berasaskan perjanjian yang dibuat antara Kelantan dengan Petronas di bawah Akta Pembangunan Petroleum, 1975 itu.
Latar belakang kes
Kelantan sedang menuntut bayaran tunai yang jumlahnya bersamaan dengan 5% nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di pantai dan di luar pantai Negeri Kelantan berikutan daripada suatu Perjanjian bertulis dan Geran yang kedua-duanya bertarikh 9 Mei 1975 yang dimasuki di antara Kelantan dan Petronas.
Berikutan daripadaperjanjian ini, Petronas perlu membayar 10% bayaran tunai kepada 2 kerajaan bagi nilai petroleum yang didapati dan diperolehi di pantai dan di luar pantai melalui suatu formula spesifik yang telah dipersetujui oleh semua pihak.
Daripada 10% tersebut, 5% akan dibayar kepada negeri pengeluar minyak yang berkenaan, dan baki 5% dibayar kepada Kerajaan Persekutuan. Petronas menyimpan baki sebanyak 90%.
Namun sehingga hari ini Petronas gagal membuat bayaran itu walaupun mendapat petroleum dari dalam dan luar pantai Kelantan.
Akibatnya, pada 30 Ogos 2010, suatu Writ Saman dan Penyataan Tuntutan telah difailkan dalam guaman ini bagi pihak Kelantan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Petronas
Minta tahan
"Kerajaan Negeri hari ini memfaikan satu afidavit kehakiman bagi tujuan menyekat Petronas membuat apa-apa pembayaran yang sepatutnya dibayar kepada Kerajaan Kelantan daripada dibayar kepada Kerajaan Malaysia.
"Kita bimbang jika wang tersebut dibayar, apabila kita masih menang di Kelantan, Petronas tidak boleh lagi membayar wang tersebut," jelas beliau di lobi mahkamah.
Menurut beliau lagi yang mengaitkan kenyataan dari Pengerusi Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas pada tahun lepas yang mengatakan Petronas ada membayar kepada kerajaan persekutuan bahagian negeri-negeri dan kerajaan akan membuat pembayaran kepada negeri-negeri atas nama wang ehsan.
"Jadi oleh kerana masalah tersebut, pertikaian di antara Kelantan dan Petronas masih belum selesai di peringkat mahkamah.
"Atas sebab itu untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku pada hadapan kita memfailkan afidavit untuk menahan pembayaranm tersebut," sambung beliau lagi.
Tambah beliau lagi, selain dari penahanan tersebut pembayaran perlu dimasukkan ke dalam satu akaun khusus yang akan dikendalikan oleh pihak peguam mengikut arahan mahkamah.
Turut hadir di mahkamah adalah Presiden Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R), Nazri Deraman.
Nyawa di kerongkong baru nak buat janji
Rizal Tahir, | 22 Jan 2013 |
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar), berkata demikian di pejabatnya tengah hari tadi, ketika diminta mengulas janji Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika melawat negeri ini semalam.
”Kenapa baru sekarang setelah nyawa BN berada di keronkong, baru nak tunjuk duit ada.
“Orang Kelantan dah faham. Jambatan Sultan Yahya ke dua pun sudah berapa lama tak siap.
“Tiada kerajaan di dunia ini yang tidak membuat projek. Komunis ada projeknya, kapitalis ada projek cara dia.
“Dalam PRU 12, Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR) dari Barisan Nasional (BN). Selangor bermacam-macam projek ada, bermacam-macam universiti ada, bermacam-macam orang kaya ada, tetapi BN tetap kalah di situ,” ujarnya lagi.
Tuan Guru menambah, rakyat kini cerdik untuk menilai semua janji yang dibuat oleh Umno dan tidak akan termakan dengan umpan yang ditaburkan lebih-lebih ketika menghampiri PRU 13 yang akan menjelma tidak berapa lama lagi.
Utusan gelapkan berita
Sementara itu, ketika diminta mengulas kejayaan saman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas akhbar Utusan Melaysia, Tuan Guru menyatakan rasa seronoknya dengan kerjayaan berkenaan
“Saya yang dengar lebih seronok dari dia yang menyaman Utusan Malaysia. Bukan masalah Anwar, tetapi saya benci kepada pengelapan berita.
“Tiada hak manusia untuk menyekat maklumat yang sebenarnya. Apabila digelapkan berita manusia tidak akan berkembang,” tegasnya
Ujarnya lagi, setiap manusia perlu didedah pelbagai maklumat khususnya pelajar university bagi menghadapi persaingan.
“Islam tidak pernah sekat maklumat. Orang yang tidak mahu mendedahkan maklumat mereka ingin menjadi tuhan dengan mengambil alih kerja tuhan, ini celaka besar. Kerana itulah timbul fahaman komunis dan kapitalis,” ujarnya lagi.
Lubang mana lagi Umno BN gali sebelum PRU13
Lim Kit Siang, | 22 Jan 2013 |
Saya merujuk kepada kalahnya lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia di dalam saman fitnah, kali ini kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendapat teguran daripada Hakim V.T. Singham yang mendapati Utusan Melayu (M) Bhd dan ketua editornya Abdul Aziz Ishak bersalah merosakkan reputasi Anwar dan mendedahkan dirinya kepada cemuhan.
Di dalam penghakimannya, Singham menekankan bahawa wartawan dan editor perlu berhati-hati dengan apa yang mereka tulis supaya tidak memasukkan komen yang mungkin menimbulkan keraguan kepada seseorang.
Hakim berkata: “Akhbar sepatutnya tidak mempunyai kuasa yang lebih besar dalam menarik perhatian atau mengelirukan fikiran rakyat apabila dibandingkan dengan reputasi individu.
“Adalah penting bagi wartawan, editor dan penerbit mengambil langkah berhati-hati sebelum sebarang artikel yang cenderung merosakkan reputasi individu diterbitkan. Rencana sebarangan yang mengandungi sindiran atau tohmahan tanpa pengesahan hendaklah dielakkan.”
Akan tetapi nasihat hakim tidak mempunyai sebarang kesan kepada media perdana UMNO/BN dan begitu juga permintaan saya agar diakhiri segala politik penipuan dan pembohongan , terutamanya media perdana UMNO/Barisan Nasional sepatutnya memelihara peraturan dan etika kewartawanan dan berhenti menjadi “Akhbar Tipu”.
Ini ditunjukkan oleh satu lagi penipuan dan pembohongan melampau media perdana UMNO/BN hari ini – kali ini New Straits Times dan laporan palsunya bertajuk “Wife of ailing MP angry at DAP” (ms. 6) yang tidak lain hanyalah penipuan tanpa secubit pun kebenaran.
Memetik daripada satu lagi portal berita yang jahat, NST mendakwa Irene Chang, isteri kepada Ahli Parlimen DAP Sibu dan Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng, “dikatakan mengkritik parti kerana gagal memberikan bantuan kewangan kepada suaminya, yang menghidap tumor otak” malahan memetiknya sebagai berkata “kepimpinan parti tidak berhati perut” dan memarahi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Menerbitkan penipuan dan pembohongan telah pun melanggar kebanyakan etika dan peraturan asas kewartawannan, akan tetapi untuk mereka-reka penipuan dan pembohongan bagi memperoleh keuntungan politik dan tidak mempedulikan kesengsaraan yang mereka wujudkan kepada individu yang telah pun berada dalam keadaan tertekan seperti mana yang dilakukan NST kepada Wong Ho Leng dan Irene Chang adalah perbuatan yang durjana dan hina, hanya mereka yang tidak berperikemanusiaan atau bukan manusia saja mampu membenarkan tindakan sedemikian.
Apa yang menjadikan tindakan NST tidak dapat dimaafkan adalah Irene Chang telah meletakkan penjelasan berikut di Facebooknya semalam:
“Saya telah dimaklumkan mengenai rencana tertentu yang diposkan secara atas talian yang melaporkan saya merungut terhadap kempimpinan parti kami.
“Saya benar-benar marah. Tiada kebenaran di dalam artikel itu.
“Saya tidak pernah diwawancara atau merungut terhadap parti kami atau sesiapa pun. Lebih penting lagi, tidak pernah saya rasa, walau sesaat bahawa saya mempunyai sebab untuk merungut berkenaan parti kami atau sesiapa khususnya.
“Hakikatnya, selepas keadaan kesihatan suami saya didiagnosis, saya begitu risaukan keadaan kesihatannya berbanding merisaukan sama ada parti akan memberikan bantuan kewangan atau tidak.
“Sungguhpun begitu, saya ingin jelaskan bahawa semenjak pemimpin parti kami dimaklumkan tentang keadaan suami saya, setiap seorang daripada mereka, benar-benar memberikan sokongan dan mengambil berat.
“Suami saya dan saya, sebenarnya merasakan kami benar-benar bertuah mengenali mereka, yang melangkaui peranan sebagai rakan seperjuangan politik menjadi sahabat yang sangat mengambil berat.
“Keluarga saya dan saya begitu amat tersentuh dengan seruan mendapat sokongan untuk suami saya oleh Setiausaha Agung, YAB Lim Guan Eng, sebuah penghargaan mengenainya telah diposkan oleh anak sulung kami, Suzanne Gail Wong, di dalam facebooknya pada 14 Januari 2013.
“Oleh itu, adalah tidak adil untuk membiarkan rencana itu disebarkan supaya orang ramai menghakimi pemimpin parti kami, parti kami dan diri saya, tanpa sebarang asas langsung. Saya dengan itu mengecam sekeras-kerasnya rencana itu kerana setiap ayatnya adalah penipuan.”
Soalan yang saya ingin tujukan kepada pemimpin UMNO/BN hari ini ialah ke dasar tanpa etika dan lubang mana lagi yang pemimpin UMNO/BN dan media perdana mereka akan gali sebelum PRU13?
Dahlah dipaksa datang, pakai baju BN pula
Harakahdaily, | 22 Jan 2013 |
(Kad jemputan yang sebenar kad paksaan supaya datang)
MELAKA: Semua kakitangan kerajaan khas guru-guru Melaka dipaksa datang ke Himpunan rakyat 1Malaysia gelombang biru negeri Melaka malam ini.
Yang lebih hebat lagi, kesemua mereka dipaksa memakai baju korporat BN yang berwarna biru.
Tujuannya untuk menunjukkan kebiruan majlis itu untuk dipanggil kemudiannya 'gelombang biru' rakyat Melaka.
Majlis itu akan diadakan mulai jam 7.45 malam ini di Kawasan Parkir Kompleks PKNM, Ayer Keroh, Melaka.
Timbalan Pedana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin dan Ketua Menteri Melka akan bersama-sama dalam program ini.
Setiap orang diberikan satu kad jemputan dengan di bawahnya tertera ruang untuk tulis nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon yang bakal digunakan sebagai kupon cabutan bertuah.
Ekoran itu, beberapa orang guru yang menghubungi Harakahdaily bertanya, "Mengapa perlu ada paksaan dalam majlis anjuran Umno/BN?"
"Mengapa majlis para hadirin dipaksa pakai baju korporat BN?"
"Ini dinamakan sudahlah dipaksa hadir, dipaksa pula menyamar sebgai menyokong Umno dan BN pula," kata mereka.
7 janji: Najib hina rakyat Kelantan
Rizal Tahir, | 21 Jan 2013 |
Menurutnya, meletakkan syarat kemenangan BN Kelantan dalam PRU 13 untuk melaksanakan tujuh projek mega Kerajaan Persekutuan amat tidak wajar kerana hak wajib yang patut mereka perolehi melebihi tujuh projek pembangunan.
Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri berkata demikian dalam sesi wawancara dengan Harakah dan Harakahdaily di pejabatnya petang ini.
Menurutnya, Kelantan sebahagian daripada Malaysia dan menjadi tanggungjawab Persekutuan menyediakan kemudahan sebagaimana negeri-negeri lain.
“Kemenangan tidak seharusnya dijadikan syarat sekiranya Kerajaan Persekutuan jujur dan menghormati rakyat Kelantan kerana apa yang dijanjikan adalah hak rakyat Kelantan dalam negeri berdaulat di Malaysia.
“Tujuh projek mega yang dijanjikan juga sebagai pengulangan kepada janji terdahulu sebelum PRU 12. Jika royalty Petroleum Kelantan diberikan sebagaimana tuntutan sebanyak RM12 billion, Kerajaan Negeri boleh laksanakan sendiri apa yang dijanjikan,”ujarnya.
Tambahnya, sebagai contoh dengan RM50 juta kos pembinaan masjid ikonik, RM2 billion untuk lebuh raya dan lain-lain janji yang disenaraikan yang jumlahnya tidak sampai RM12 billion berbanding tuntutan Kelantan terhadap royalty Petroleum.
Sambungnya rakyat Kelantan tidak harus diberikan hak yang lebih rendah dari apa yang sepatutnya mereka dapat.
Beliau menambah hak pemberian royalti petroleum langsung tidak disebut dalam ucapannya untuk negeri ini, selain Jawatankuasa Khas yang sengaja dicipta untuk dilengahkan pemberian royalty Petroleum atau bayaran tunai kepada Kelantan.
Malangnya, menurut beliau lagi dalam kes Terengganu dan Pahang tidak ada Jawatankuasa Khas ditubuhkan, namun negeri itu telah mendapat hak masing-masing.
“Terengganu mendapat hak royalty Petroleum dan Pahang diumumkan untuk diberikan royalty sekalipun hasil minyak belum dikeluarkan,”ujarnya.
Husam yang juga Naib Presiden PAS seterusnya berkata, janji pembinaan Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai amat memalukan kerana dalam RMK-9 telah disebut dan kemudiannya dibatalkan.
Janji-janji tersebut sebenarnya telah diciplak dari Kelantan khususnya pembangunan Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai dan Stadium yang telah dijadikan projek Kerajaan Negeri.
Katanya, Cadangan projek yang seharusnya diberikan keutamaan oleh Kerajaan untuk kebaikan penduduk Kelantan dan bukan hanya menyebut tujuh projek ulangan yang berskala kecil.
Sambungnya, kerajaan Pusat seharusnya memberi tumpuan pada pembinaan Benteng Sungai Golok untuk mengelak banjir yang sering berlaku di kawasan berdekatan ekoran limpahan Sungai Golok.
Selain itu, katanya pemberian status Lapangan Terbang Antarabangsa kepada Kelantan misalnya boleh menjadi katalis kepada pemacuan ekonomi Kelantan.
Bagaimanapun, menurutnya hak pemberian status ini sehingga ke hari ini tidak diberikan.
Beliau bagaimanapun yakin, rakyat Kelantan matang dan tidak mudah termakan janji-janji politik sebegitu.
Janji Najib di Kelantan sekadar 'nyayi lagu lama'
Muhammad Yusri Amin, | 22 Jan 2013 |
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa kunjungannya ke Kelantan baru-baru ini mendakwa kerajaan akan melaksanakan ‘tujuh’ program pembangunan sekiranya Barisan Nasional menang dalam PRU-13 di Kelantan.
Bagaimana pun rakyat berterusan membantah sikap Najib itu yang didakwa bermain dengan ‘rasuah politik’ menjelang pilihan raya.
Setiausaha Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti), Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata janji Najib itu hanya 'ulangan' janji lama yang tidak ditunai.
“Beliau menabur pelbagai janji baru sedangkan janji lama belum ditunaikan.
“Kini menjelang pilihan raya, PM Najib datang ke Kelantan menabur janji lagi,” dakwa Hisyamuddin.
Hishamuddin mendakwa ini termasuklah pemberian royalti 5 peratus sejak 37 tahun lalu, yang dimeterai 9 Mei 1975 antara Kerajaan Kelantan dengan Petronas, yang kini tertunggak sebanyak RM10.4 bilion.
Kerajaan BN dipimpin Najib juga, dakwa Hishamuddin, menafikan pendaratan gas ke Kelantan melalui projek terbaru Petronas bernilai RM16 bilion.
“Merompak gas Kelantan khususnya di peraiaran Kelantan Blok PM302, PM325 dan PM 326B dengan mendaratkan di Kerteh, Trengganu," dakwanya.
Bawani tidak minta berdebat dengan Sharifah
Salmiyah Harun, | 22 Jan 2013 |
Katanya, kehadirannya dalam forum pada malam ini semata-mata memenuhi undangan pihak penganjur bukannya untuk berdebat dengan Sharifah Zohra.
"Untuk berdebat dengan Sharifah pada malam ini bukan tuntutan saya, ini adalah permintaan pihak yang menganjurkan forum ini, " katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Beliau berkata demikian, sebagai mengulas keengganan Sharifah Zohra bersemuka dengan Bawani dalam forum nanti.
Bagaimanapun, Bawani akan akan menghadiri forum ‘Kebebasan Akademik dan Hak Asasi’ yang akan berlangsung jam 8 malam ini di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur.
Forum ini diteruskan sekalipun tanpa kehadiran Sharifah Zohra Jabeen.
Sehubungan itu, beliau akan mengeluarkan transkrip semasa forum 'Seiringkah mahasiswa dan politik?' di UUM bulan lalu memandangan ada pihak cuba membuat andaian kehadirannya di dalam forum itu untuk mencetuskan provokasi.
"Ada orag lihat saya bersikap pentingkan diri sendiri dan mengatakan saya cuba timbulkan provokasi, saya akan keluarkan transkrip dalam laman Facebooknya nanti," katanya.
Program itu juga akan dihadiri pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Dr Maszlee Malik dan seorang bekas profesor kampus tersebut, Dr Abdul Aziz Bari.
Dua individu ini menjadi hangat di Facebook dan twitter ekoran tersebarnya klip video di forum UUM bulan lalu sehingga wujudnya fenomena 'listen' di kalangan pengguna laman itu.
Jangan jual undi hanya kerana 7 janji Najib
Harakahdaily, | 22 Jan 2013 |
Beliau yang juga bekas Menteri Penerangan berkata, seluruh rakyat Kelantan harus sedar bahawa janji yang dicanang Datuk Seri Najib Razak itu sebenarnya hanya janji politik semata-mata.
Menurut Abdul Kadir, ini kerana semua projek yang dijanjikan itu adalah sepatutnya sudah dilaksana sejak lama dahulu, tetapi oleh kerana Kelantan diterajui PAS, maka ianya hanya kekal sebagai janji yang diulang-ulang setiap kali menjelang pilihan raya.
"Projek ini kerajaan negeri mintak sudah terlalu lama. Kelantan itu 97 peratus adalah orang Melayu Islam.
"Kalau Umno (berjuang) untuk membela bangsa (Melayu), projek ni sudah tentu lama siap dah. Kenapa nak tunggu 50 tahun, dan sekarang masih berjanji lagi," katanya dalam temubual dengan Harakah dan Harakahdaily semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas janji pilihan raya perdana menteri itu kepada rakyat Kelantan ketika program Jelajah Janji Ditepati di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, kelmarin.
Antara janji itu termasuk untuk membina lebuhraya bagi menghubungkan kawasan Kuala Krai dan Kota Bharu di negeri itu yang tertangguh sejak Rancangan Malaysia ke-5 (1986-1990) sehingga hari ini.
Enam lagi projek termasuk pembinaan stadium baharu, masjid terbesar dan perumahan rakyat dengan peringkat permulaan melibatkan 3,000 unit, mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Baharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan projek menyelesaikan masalah air.
Mengulas lanjut, Abdul Kadir yang juga Presiden Protem Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mengingatkan rakyat Kelantan agar tidak 'menjual' undi mereka hanya kerana janji yang ditabur itu.
"Kepada rakyat (Kelantan) jaagan jual undi kita. Jangan bagi mereka hina kita. Undi hak kita," katanya.
Beliau turut mengulangi dakwaannya sebelum ini bahawa Umno kini sudah lari dari matlamat asal untuk membela rakyat khsusnya Melayu.
Apa yang berlaku kini katanya lebih kepada untuk membela keluarga beberapa kerat pemimpin atasan dan kroni.
"Inilah antara sebeb saya kecewa sangat dengan Umno sampai saya terpaksa tinggal Umno.
"Perjuangan Umno dah jadi untuk orang Umno, merosot lagi untuk pimpinan Umno, dan sekarang jadi untuk keluarga mereka dan kroni," katanya.
Pemantau Kelantan serah resolusi kepada polis
Harakahdaily, | 22 Jan 2013 |
KOTA BHARU: Pemantau Kelantan telah mula melaksanakan tugas ke arah Pilihan raya Umum ke-13 dengan menyerahkan resolusi kepada pihak Polis Kota Bharu, petang kelmarin.
Koordinator Pusat Rakyat CP, Mohammad Faizal Che Yusof berkata, resolusi Pemantau Kelantan itu telah dikeluarkan hasil daripada seminar sehari pemantau PRU13 Kelantan pada 19 Januari lalu.
Katanya, antara 7 resolusi tersebut termasuklah menuntut pihak polis mampu bersikap berkecuali setiap waktu tanpa memihak kepada mana-mana parti politik sekaligus meletakkan harapan ke arah penambahbaikan integriti pasukan PDRM dalam suasana PRU13.
Menurutnya lagi, sikap profesional PDRM amat penting bagi menjamin kelangsungan suasana yang membolehkan rakyat menikmati hak-hak dalam sistem demokrasi termasuklah hak untuk bersuara, berhimpun dan menyatakan pandangan sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Negara.
“Apatah lagi dalam suasana pilihan raya umum ini, rakyat amat perlu dibekalkan dengan maklumat-maklumat tepat dari parti-parti politik,” ujarnya.
Katanya, apabila suasana semasa begitu melihatkan parti-parti BN diberi liputan meluas dalam media-media elektronik, tiada pilihan lain kepada parti-parti PR selain turun padang dan mengadakan himpunan seberapa kerap bagi menerangkan pelbagai isu kepada rakyat.
“Dalam situasi sebeginilah peranan pihak PDRM amat signifikan bagi memastikan keamanan dikekalkan bagi membolehkan rakyat mendapat cukup penerangan dari parti-parti politik negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya meyakini kerajaan yang baik hanya lahir dari pilihan raya yang bebas dan adil tanpa dikotori oleh pelbagai anasir yang tidak sihat.
Pampasan peneroka: Mazlan akan saman minggu depan
Hazayani Zakaria, | 21 Jan 2013 |
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menuduh beliau melarikan wang pampasan yang dimenangi peneroka Felda Kemahang 3 selepas menang saman ke atas Felda.
Mazlan berkata, beliau melalui peguamnya, Harris Abdullah akan memfailkan saman tersebut minggu depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Saman itu akan difailkan ke atas Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Manap, Ketua Penerangan Majlis Belia Felda Kelantan, Wan Zawawi Wan Zain, seorang peneroka dan beberapa blogger yang menyiarkan ucapan mereka mengenai Mazlan.
"Saya bukan berdendam tapi saya nak beri pengajaran kepada mereka supaya jangan buat fitnah.
"Sebelum ini saya ambil sikap berdiam diri tapi tuduhan mereka sangat melampau," kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini. (Gambar atas)
Menafikan tuduhan tersebut, Mazlan menjelaskan kes saman Felda Kemahang itu difailkan pada 2002 sedangkan Anak dilancarkan pada 2007.
"Saya tak kenal peneroka-peneroka ini, tak kenal pun peguam Wan Rohimin sebelum ini.
"Macammana nak kata saya larikan duit mereka," katanya.
Sebelum ini seramai 354 peneroka Felda Kemahang 3 melalui peguam Tetuan Wan Rohimin & Asmadi telah menyaman Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd.
Pada 26 Ogos 2010, Mahkamah Persekutuan Malaysia telah bersetuju dengan Mahkamah Tinggi Kota Bahru untuk memberi kemenangan kes saman tersebut dengan jumlah keseluruhan saman termasuk faedah sebanyak RM11,236,983.00.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan