Rabu, 16 Januari 2013

TAK KAN KITA TAK KENAL...KAKI BODEK...KAKI TEMBERANG...KAKI MENGHARAP PANGKAT DAN STATUS DIDUNIA...DIA FIKIR DIA SAJA BETUL...ORANG LAIN TAK BETUL...DENGAN KATA LAIN RASA DIRI HEBAT DAN SYOK SENDIRI

Ulama berserban hingga punk berserabut, semua sokong Pakatan

http://kedahla.blogspot.com, 15 Jan 2013

Dari ulamak yang berserban hingga punk yang berserabut semuanya menyokong Pakatan

Kejayaan terbesar #KL112 ialah menyatukan kepelbagaian


Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Hakikat sedia dimaklumi bahawa Pakatan Rakyat hanya wujud selepas PRU12, iaitu pakatan perkongsian kuasa antara ketiga-tiga parti PAS, KeADILan dan DAP setelah BN dikalahkan di lima buah negeri. Sebelum PRU12, yang terjalin hanya persefahaman untuk menjatuhkan BN dengan mengelak pertandingan sesama sendiri.


Dalam PRU13 diadakan nanti, semua parti komponen Pakatan akan berkempen untuk pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat di Putrajaya. Ramai tertanya-tanya akan model atau rupabentuk Pakatan yang akan ditonjolkan kepada rakyat jelata. Maka pada 12 Januari lalu, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur rakyat dipertontonkan dengan rubentuk Pakatan yang dijangka akan mengambil alih kerajaan daripada BN nanti. Jika ada yang bertanya, apakah kejayaan besar Pakatan menganjurkan Himpunan Kebangkitan Rakyat maka itulah jawapannya... kejayaan menyatukan kepelbagaian.

Daripada jumlah kehadiran yang besar itu, majoritinya orang Melayu yang merupakan kira-kira 60 peratus kehadiran. Ia diikuti oleh kaum Cina dan India. Kaum etnik orang asal turut hadir walau dalam jumlah yang kecil tapi terserlah. Kehadiran orang ramai adalah dari seluruh negara, termasuk dari Sabah dan Sarawak. Semuanya hadir melengkapkan sokongan.



Di atas pentas utama, semua pihak yang berkaitan dengan negara Malaysia, berpeluang berucap. Kesatuan sekerja, mahasiswa, OKU, jawatankuasa ad-hoc pelbagai tuntutan serta parti-parti politik yang bakal memimpin Malaysia berpidato menyampaikan wawasan dan harapan. Penyanyi dan pemuisi juga diberi ruang.

Gelagat kehadiran juga pelbagai. Dalam stadium laungan takbir bergema tanpa halangan meskipun ramai non Muslim turut serta. Kelihatan umat Islam bersolat di mana-mana, asal ada ruang. Daripada ulamak yang berserban hinggalah kumpulan punk yang berserabut. Semuanya boleh duduk bersama dalam satu himpunan besar, menzahirkan sokongan terhadap Pakatan. Ia benar-benar sebuah himpunan berwajah Malaysia hasil kejayaan Pakatan menyatukan kepelbagaian. Ramuan himpunan seperti inilah sebenarnya yang sangat menakutkan BN.


Terlalu lama BN berkuasa, antara faktornya ialah kerana pembangkang tidak dapat menyaingi BN dari aspek menyatukan kepelbagaian. Selepas 57 tahun, kini baru pembangkang dapat melakukannya. Dalam sistem demokrasi, formula untuk menang sangat mudah – mendapat sokongan paling besar berbanding pesaing, menanglah! Bukan mudah pula untuk mendapat sokongan dari kalangan rakyat yang masing-masing berbeza. Ia hanya boleh dilakukan dengan persefahaman antara parti yang mewakili pihak masing-masing. Pentas Himpunan kebangkitan Rakyat menyerlahkan keteguhan persepakatan itu.


Hari ini situasi sedang jadi terbalik. Dahulu PAS hanya mampu tarik sokongan pengundi Melayu/Islam, kini sewaktu PAS disokong oleh semua kaum dan kalangan, Umno pula sedang berhempas pulas untuk memenangi hati orang Melayu semata-mata. Bukan kerana undi bukan Melayu sudah tidak penting bagi Umno, tetapi mereka sudah tidak mampu untuk mendapatkannya secara lumayan seperti dahulu. Pilihan yang ada ialah; bersikap lunak pada semua kaum tetapi undi Melayu belum pasti dikuasai atau memperalatkan habis-habisan sentimen perkauman Melayu untuk mendapat undi Melayu walaupun menimbulkan kebencian dari bukan Melayu. Umno secara nekad membuat pilihan kedua sekalipun pilihan kedua itu belum tentu lebih baik baginya.
Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka adalah peristiwa besar yang memberi impak sangat besar kepada rakyat Malaysia. Kali pertama juga dalam siri himpunan-himpunan besar yang diadakan di Kuala Lumpur, tiada gas pemedih mata atau air kimia yang jadi hidangan peserta himpunan. Tidak seperti dahulu, para peniaga membuka perniagaan seperti biasa dan mendapat pulangan yang sangat lumayan dari kehadiran besar rakyat yang datang dari seluruh negara. Media-media talibarut BN langsung tidak dapat mengeksploit isu keganasan dan kerugian peniaga seperti sebelum ini. Tiada lagi bantahan dan saman dari para peniaga kerana kerugian. Media BN hanya mampu mengeksploit cerita kehadiran seorang dua kanak-kanak di himpunan tersebut walhal dalam himpunan Perdana Menteri kerahan tenaga dibuat terhadap pelajar sekolah untuk menyertainya.




Himpunan sangat berjaya, cuma masalahnya ialah bagaimana mesej kejayaan ini hendak dikhabarkan ke setiap pintu rumah rakyat Malaysia. Semua media utama yang dikuasai BN menyembunyikan sama sekali kejayaan besar ini. Bukan semua pula kalangan rakyat yang mengakses internet untuk melihat peristiwa besar ini.


Maka tugas semua pendokong Pakatan ialah menyebarkan berita besar ini kepada rakyat, selain dari media maya. Himpunan penerangan pasca Himpunan Kebangkitan Rakyat mesti diadakan di setiap lokasi. Gambaran himpunan berserta informasi secara bercetak, risalah, banner, billboard dan cakera padat mesti diperbanyak dan disebarluaskan. Rakyat umumnya akan sentiasa bersama dengan pihak yang kuat dan disokong ramai orang kerana psykologi manusia akan merasa selamat untuk berada dalam kelompok yang besar. Himpunan Kebangkitan Rakyat dapat menceritakan perihal tersebut. PRU13 akan berlaku dalam tempoh tiga bulan ini sahaja, maka bertindaklah melalui apa cara pun sehingga semua rakyat Malaysia mendapat maklumat mengenainya.




R yang terpinggir dari lindungan keselamatan

Mohammad Faizal Che Yusof,
DALAM siri-siri himpunan awam yang melibatkan penyertaan rakyat besar-besaran, himpunan kebangkitan rakyat KL112 telah mencatatkan sejarah tersendiri.

Mulai November 2007, himpunan aman Bersih 1 telah membangkitkan kesedaran berterusan kepada rakyat Malaysia tentang hak berhimpun yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Nyatanya semangat era pasca reformasi 1998 terus meledak di minda rakyat. Keberanian rakyat pelbagai lapisan umur dan bangsa untuk turun menyatakan pendirian mereka terhadap pelbagai isu dan kepincangan dalam Negara kini tidak lagi dapatdisekat.

Berbeza dengan siri-siri himpunan sebelum ini, KL112 telah menyaksikan tiadanya provokasi yang sering dikaitkan kepada pihak berkuasa. Tiada lagi semburan gas pemedih mata, tiada lagi rakyat dipijak dan tiada lagi pelbagai ugutan dan serangan.

Bukti yang paling nyata ditunjukkan oleh peserta himpunan KL112 adalah jelas. Rakyat sekali-kali tidak membuat kacau atau kerosakan dalam himpunan sebsar mana jumlahnya. Siapa yang membuat kacau dan onar dalam siri-siri himpunan aman sebelum ini biarlah terus menjadi tanda Tanya.

KL112 juga dirasakan unik di mana pihak berkuasa khususnya PDRM dan DBKL begitu dilihat mesra kepada rakyat. PDRM yang sebelum ini dikaitkan dengan keganasan tidak lagi menunjukkan kegarangannya kepada rakyat yang hadir. Justeru mulalah terdengar di sini sana betapa polis Malaysia telah berubah. Adakah ia benar?

Selaku mendokong aspirasi rakyat untuk bersuara, berhimpun dan menyatakan pendirian sebagaimana dijamin oleh undang-undang, uniknya KL112 tidak terhenti di situ saja.

Setelah rakyat gembira dengan penertaan mereka di Stadium Merdeka yang dianggarkan kehadiran antara 500 ribu hingga 700 ribu, rakyat disentak dengan kejadian yang menimpa Hishamuddin Ghazali penggerak utama aktivis R yang cermin keretanya dipecahkan di Greenwood, Gombak, baru-baru ini.

Sebagaimana kejadian-kejadian ganas yang menimpa aktivis-aktivis R sebelum ini, laporan polis terus dibuat sebaik menyedari pengkhianatan yang berlaku.
Dalam hal inilah kewibawaan polis yang dikatakan Berjaya mengendalikan KL112 yang begitu gah terus tercalar.

Di manakah kesungguhan pihak polis dalam memberi perlindungan kepada hak rakyat untuk bersuara sebagaimana yang dialami oleh aktivis-aktivis R?

Pengkhianatan pihak-pihak terntentu terhadap Hishamuddin Ghazali bukanlah kejadian pertama. Bahkan ia merupakan siri-siri ugutan yang dilihat begitu terancang.

Dalam memastikan hak-hak rakyat yang dijamin oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan inilah kami menyeru kepada semua pihak untuk menghormati segala hak yang dijamin untuk dinikmati oleh seluruh rakyat.
Kami juga menggesa untuk pihak berkuasa terutamanya pasukan PDRM supaya bertindak tanpa melindungi pihak-pihak tertentu bagi memastikan kesentosaan hidup rakyat dapat terus dinikmati.

Harus diinsafi, pendedahan terhadap kepincangan operasi dan Pengurusan PDRM sebagaimana dinyatakan oleh mantan ketua polis Negara tidak boleh dikesampingkan dengan kejayaan polis mengendalikan KL112 yang penuh gemilang.

Kami sedia menerima dan mengenegahkan sebarang aduan demi mendokong aspirasi rakyat yang dijamin oleh undang-undang. Terus cakna dan prihatin.




* Koordinator Pusat Rakyat Cakna Prihatin, pusatrakyatcp@gmail.com – 3 Rabiul Awal 1434H.

Kalimah Allah tenggelam isu lebih besar – NGO Pondok

Muhammad Yusri Amin, 15 Jan 2013
KOTA BHARU: Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) yang menaungi seluruh institusi pondok di Kelantan menjelaskan isu kalimah Allah sengaja ditimbulkan bagi menutup isu lebih besar.

Setiausahanya, Ahmad Shairazi Atiqullah berkata, tindak tanduk pihak yang berterus terang menolak hukum hudud sepatutnya dibincang secara serius orang Islam.

“Isu kalimah Allah dilihat berselindung di sebalik agenda politik. Mereka seolah-olah mahu menutup isu yang lebih besar.

“Begitu juga isu murtad patut diberi perhatian utama. Di negara kita tiada hukuman dan undang-undang dikuatkuasa secara jelas untuk menyekat gejala murtad.

“Selain itu kami juga melihat tidak ada usaha serius dilakukan kerajaan memperkasakan pengajian Islam sehingga menular gejala tersebut,” katanya di sini.

Kebelakangan ini isu kalimah Allah menjadi senjata utama media Umno, dilihat banyak pihak semata-mata bagi mengelirukan rakyat, selepas isu amanat Haji Hadi gagal menarik simpati terhadap Umno.

Shairazi berkata, isu kalimah Allah yang dibangkitkan media massa sekarang jelas bermotifkan politik.

“Seolah-olah mereka mahu menjadi juara bagi menutup isu lebih besar berlaku dalam negara.  Banyak isu dibangkit. Seolah-orang orang mencuri sudah masuk dalam rumah baru hendak berusaha menangkapnya,” kata beliau.

Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Abdullah Abdul Razak berkata, Umno sengaja mengitar semula isu lama selepas ketandusan isu untuk diketengahkan kepada rakyat.

Kata beliau isu tersebut sengaja diapi-apikan menjelang detik pilihan raya umum ke-13 bagi menanam kebencian rakyat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

“Sekarang ramai orang Cina menyokong PAS dan Pakatan Rakyat sehingga menimbulkan rasa sangat bimbang MCA. Oleh itu Umno mencungkil semula isu yang dikitar semula.

“Tapi percayalah isu itu timbul sebentar sahaja dan akan hilang Insya-Allah. Sebenarnya kita sudah 50 tahun lebih berada dalam kongkongan dan tipu daya Umno-BN,” ujarnya.

Tindakan Sharifah canggah konsep hak asasi

Salmiyah Harun, 15 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyifatkan penalis Sharifah Zohra Jabeen cuba untuk memberi mesej songsang tentang hak asasi dan kebebasan kepada mahasiswa.

Penyelaras Suaram E.Nalini berkata, tindakan Sharifah itu juga bercanggah dengan konsep hak asasi negara ini apabila beliau tidak membenarkan KS Bawani menghabiskan pandangannya.

Bukan itu sahaja, jelas Nalini, Sharifah seolah-olah bersikap kebudak-budakkan apabila mengarah Bawani keluar dari Malaysia ketika membandingkan negara ini dengan negara lain berhubung pendidikan percuma.

"Semua rakyat mempunyai kebebasan bersuara dan Sharifah seharusnya membenarkan Bawani untuk menghabiskan pandangan beliau dan bukannya mendiskriminasi seorang mahasiswa yang mempunyai pandangan berbeza," katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, tegas Nalini, pihak Universiti Utara Malaysia sepatutnya  bertanggungjawab dalam membetulkan semula persepsi yang salah.

Malah katanya, insiden itu sebenarnya menggalakkan perbincangan lebih meluas tentang kekurangan dan kelemahan dalam pentadbiran kerajaan.

Dalam pada itu, Suaram mengucapkan tahniah kepada Bawani kerana berani memberi pandangan yang berbeza dalam forum tersebut.

Suaram secara sukarela dan berbesar hati memberi khidmat  kepada semua universiti untuk memberikan kesedaran hak asasi yang betul kepada semua," katanya.

Isu ini mendapat perhatian ramai selepas satu klip video yang dirakam dalam sebuah forum suara mahasiswa di mana penalis Sharifah Zohra enggan memberi ruang kepada Bawani untuk memberi pandangan termasuklah berhubung pendidikan percuma.

Ekoran klip video itu juga, hashtag "listen" kini ibarat fenomena di laman sosial Facebook dan twitter.

Malaysia hilang kepentingan pada mata Jepun

Harakahdaily, 15 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Malaysia disifatkan telah hilang kepentingan pada pandangan gergasi ekonomi dunia iaitu Jepun apabila tiada dalam pilihan lawatan pertama Perdana Menteri Jepun yang baru, Shinzo Abe (gambar).

Demikian kata Datuk Kamarudin Jaffar dalam kenyataanya kepada Harakahdaily ketika mengulas langkah PM baru Jepun yang tidak menyenaraikan Malaysia dalam negeri pertama yang hendak di lawati.

Bagi beliau, selaion hilang kepentingan, boleh jadi juga tindakan ini diambil ekoran Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112) baru-baru ini.

"Mungkin himpunan yang sangat hebat baru-baru ini menyebabkan Jepun tidak mahu membuat apa-apa komitmen dengan kerajaan yang ada sekarang," kata Kamarudin, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS.

PM Jepun yang baru, Shinzo Abe memilih untuk melawat Asia Tenggara berbanding Amerika Syarikat minggu depan sebagai negara pertama yang hendak dilawatinya.

Beliau memilih Indonesia, Thailand dan Vietnam dan mengenepikan Malaysia dalam senarai negeri pertama yang hendak dilawatinya.

Bagi Kamarudin, hilangnya Malaysia dalam senarai negeri pertama yang hendak dilawati membayangkan kepentingan negara ini pada mata gergasi ekonomi dunia itu.

Johor perlu panggil Ustaz Hadi sebelum sekat bukunya

Anis Nazri, 15 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Pihak berwajib perlu mengikut prosedur tertentu sebelum mengambil sebarang tindakan untuk menghalang mana-mana penerbitan.

Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed (gambar), berkata antara prosedur yang perlu dipatuhi ialah memanggil pihak yang berkaitan untuk memberikan penjelasan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Perkasa Johor bagi mengharamkan kemasukan semua buku 'Amanat Haji Hadi' di negeri itu.

"Kalau 'gentleman', panggil Tuan Guru Haji Hadi untuk beri penjelasan mengenai isu tersebut, baru adil," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga berkata isu amanat itu sudah tidak menjadi isu di kalangan ahli PAS kerana ia perkara lama, namun sengaja diungkit pihak lain.

Katanya, mereka bercakap tentang perkara yang tidak ada, yang hanya untuk menambahkan kekeliruan di kalangan rakyat.

"Mereka mahu sekat, tak guna.  Mereka cakap benda yang tidak ada. Sengaja mahu timbulkan polemik," tegas beliau lagi.

Sebelum ini, pelbagai pihak dalam Umno mendesak agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memberikan penjelasan mengenai isu 'Amanat Haji Hadi' itu.

Ekoran itu, Tuan Guru Abdul Hadi meminta Umno memberikan masa satu jam siaran secara langsung dalam RTM 1 atau TV3 untuk memberikan penjelasan.

Namun ia ditolak oleh kerajaan BN.

Sehubungan itu, baru-baru ini beliau melancarkan kembali buku yang pernah ditulis oleh beliau pada tahun 2002 bertajuk 'Amanat Haji Hadi, Antara Fitnah dan Fakta' dengan pengemasan fakta terbaru.

Buku setebal 74 muka surat itu juga mengandungi fakta selain tajuk kecil di bawahnya yang menyebut Penghuraian dan Penjelasan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang disusun oleh Muhammad Khalil Abdul Hadi iaitu anak Presiden PAS itu.

TG Nik Aziz minta 'R' teruskan perjuangan

Rizal Tahir, 15 Jan 2013
PENGKALAN CHEPA: Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengingatkan aktivis R dan rakyat Kelantan meneruskan perjuangan menuntut hak royalti walaupun sering berhadapan dengan perkara di luar jangkaan.

Menurutnya, orang yang sering berhadapan dengan serangan akan mendapat ganjaran pahala yang besar kerana kesabarannya berbanding mereka yang sering mengancam orang lain.

Tegasnya, golongan ini akan mendapat balasan yang pedih di akhirat nanti.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kejadian cermin kereta Setiausaha R dipecahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, di kediamannya di Pulau Melaka petang semalam.

Cermin kereta milik Setiausaha Gabungan Profesional Menuntut Royalti Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R), Hishamuddin Ghazali dipecahkan di Greenwood, Gombak, baru-baru ini.

Beberapa dokumen penting berkaitan R, plak R dan beberapa beg aktivis R dicuri.

“Sekiranya sabar, kita akan mendapat ganjarannya, kerana itu bersabar ni payah kita nak lakukan, seperti juga berjihad, bukan mudah untuk kita laksanakan,”ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Cyling 4 R, Jeming Hassan, yang patah bahu sebelah kanannya akibat terjatuh sewaktu menunggang motosikal bermula dari Kota Bharu ke KLCC baru-baru ini.


(Jaming jatuh dari basikal [kanan] dipakaikan baju selepas bahunya patah)

Tuan Guru bagaimanapun terharu di atas usaha anak muda Kelantan yang berjuang untuk menuntut hak rakyat melalui royalti.     

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Kelantan turut bangkit menuntut hak berkenaan kerana ianya harta kerajaan negeri Kelantan dan bukannya hak individu.

Hadir sama Presiden R, Nazri Deraman.

"Minta penjelasan, bila diberi tak nak dengar"

Harakahdaily, 15 Jan 2013



(Gambar Utusan yang menunjukkan Ustaz Hadi melancarkan bukunya)


KUALA LUMPUR: "Mula-mula minta penjelasan. Bila kita beri penjelasan, tak nak dengar pula," kata Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Politik Presiden PAS.

Dr Samsuri (gambar bawah kanan) mengulas sikap Umno dan para pengikutnya ekoran pelancaran semula buku  buku 'Amanat Haji Hadi, Antara Fitnah dan Fakta' oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Akhbar Umno, Utusan melaporkan, NGO Umno,  Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Johor meminta Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) menyekat kemasukan buku kecil itu ke negeri tempat lahirnya Umno itu kononnya bagi mengelakkan umat Islam terus berpecah-belah disebabkan amanat tersebut.

Ahli Jawatankuasa Perkasa negeri, Saharuddin Kamijan berkata, selain sekatan, mereka yang membeli, menyimpan mahupun mengedar juga perlu dikenakan tindakan berdasarkan kepada undang-undang sedia ada.

Sebelum ini, pelbagai pihak dalam Umno mendesak agar Presiden PAS itu memberikan penjelasan mengenai isu 'Amanat Haji Hadi' itu.

Ekoran itu, Tuan Guru Abdul Hadi meminta Umno memberikan masa satu jam siaran secara langsung dalam RTM 1 atau TV3 untuk memberikan penjelasan.

Namun ia ditolak oleh kerajaan BN.

Sehubungan itu, baru-baru ini beliau melancarkan kembali buku yang pernah ditulis oleh beliau pada tahun 2002 bertajuk 'Amanat Haji Hadi, Antara Fitnah dan Fakta' dengan pengemasan fakta terbaru.

Buku setebal 74 muka surat itu juga mengandungi fakta selain tajuk kecil di bawahnya yang menyebut Penghuraian dan Penjelasan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang disusun oleh Muhammad Khalil Abdul Hadi iaitu anak Presiden PAS itu.

Buku itu adalah cetakan kedua. Ia telah dikemaskini bagi memperjelaskan amanat tersebut dan diterbitkan oleh Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia.

HKR112: Muhyiddin pun macam blogger Umno

Harakahdaily, 15 Jan 2013


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajar rakyat berbohong kerana masih mengatakan Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari lalu sebagai Himpunan Shamsidar.

“Rakyat tidak hairan jika yang bercakap itu blogger upahan Umno yang tidak takut dosa dan pahala sedangkan Muhyiddin ialah Timbalan Presiden Umno merangkap Menteri Pelajaran,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Justeru, katanya tidak hairan jika murid sekolah bercakap bohong kerana menterinya seorang pembohong dan lebih memalukan lagi Muhyiddin adalah anak seorang tuan guru.

“Adakah layak seorang menteri terikut-ikut rentak Utusan Malaysia dan akhbar pro Umno yang menamakan Himpunan Shamsidar?

“Apakah otak seorang yang bertaraf Timbalan Perdana Menteri boleh berbohong walaupun satu dunia sudah maklum ini adalah Himpunan Kebangkitan Rakyat, tidak ada kaitan langsung dengan Himpunan Shamsidar?

“Apakah pemimpin yang pembohong seperti ini boleh dipercayai untuk menjaga harta rakyat,” tanya Idris.

Baginya, jika perkara yang jelas seperti itu pun Muhyiddin boleh berbohong, cuba bayangkan perkara yang rakyat tidak mengetahuinya.

Katanya, patutlah nasib Melayu di Johor tidak terbela semasa beliau menjadi Menteri Besar Johor.

“Pemimpin yang pembohong ini mesti dinyahkan daripada terus memegang kuasa, kerana ia amat merbahaya kepada negara,” ujarnya.

Syabas Bawani: Teruskan keberanian demi kebenaran

Harakahdaily, 15 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada KS Bawani, seorang mahasiswi Universiti Utara Malaysia yang berani tampil ke depan menyatakan pandangannya mengenai isu politik negara ini di satu forum yang dianjurkan di universiti tersebut.

KS Bawani bangun memberikan pandangan mengenai Bersih dan penerajunya, Datuk S Ambiga dan Datuk A Samad Said serta mengenai pendidikan percuma yang baginya wajar diadakan di negara ini.

“Keberanian dan kelantangan KS Bawani menunjukkan mahasiswa sekarang sudah berani tampil di pentas terbuka untuk menyatakan pandangan mereka mengenai sesuatu isu politik tanpa takut,” kata Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al Hiss dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mahasiswa adalah golongan intelektual dan semakin matang dalam menelaah isu-isu politik negara.

Katanya lagi, mahasiswa bukan kelompok yang boleh dibodohkan sesuka hati kerana mereka bijak menilai sesuatu dan menegur sekiranya ada kepincangan tanpa pengaruh mana-mana pihak.

“Keberanian beliau menjadi contoh kepada anak-anak muda supaya bangkit membela kebenaran walau di aman juga tanpa gentar terhadap tindakan yang akan dikenakan,” ujarnya.

Beliau menambah, anak-anak muda seperti Bawaii yang diharapkan untuk membela masyarakat dan negara ini dan pemimpin negara di masa hadapan.

Dalam pada itu, kata beliau DPPM merasa kesal kerana pihak penganjur forum terbabit tidak bersikap terbuka dalam menerima kritikan.

Katanya, sikap ahli panel yang hanya bercakap tetapi tidak mahu mendengar pandangan penonton menggambarkan keangkuhan penganjur serta memalukan semua pihak.

Sepatutnya, kata beliau dalam program yang bersifat akademik seperti itu, semua pihak dibenarkan memberi dan menerima pandangan.

“Ia adalah untuk kebaikan semua dan bagi memperbaiki kekurangan dan kesilapan yang berlaku.

“Adalah diharapkan penganjur mengambil iktibar dari kejadian ini dan pastikan kejadian seumpama ini tidak berulang di masa akan datang,” katanya lagi.

Listen: Sharifah didesak mohon maaf kepada Bawani

Harakahdaily, 15 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Ameerah Malaysia menggesa Presiden Suara Wanita 1 Malaysia Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) Bawani KS.

Pengerusinya Fareedah Samad berkata, tindakan Sharifah bukan sahaja menyekat soalan Bawani, malah telah memalukan pelajar itu di hadapan khalayak ramai.

"Kita menggesa Saudari Sharifah untuk memohon maaf secara terbuka kepada Saudari Bawani seperti mana beliau telah memalukan saudari Bawani secara terbuka.

"Tindakan Saudari Sharifah ini menunjukkan seolah-olah beliau tidak menghormati institusi pendidikan negara yang mendokong kebebasan akademik dalam berhujah dan berbeza pendapat," kata pengerusi NGO anak muda yang bernaung di bawah Dewan Muslimat PAS Pusat itu dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada rakaman insiden Sharifah yang menegur Bawani KS dalam satu forum di UUM yang dimuat naik dalam Youtube beberapa hari lalu yang kini menjadi bualan anak muda ketika ini.

Klip selama 24 minit itu memaparkan Sharifah selaku panel Sharifah turun dari pentas dan
berdiri di depan Bawani yang sedang mengajukan soalan.

Belum habis Bawani bercakap, Sharifah kemudian berkata "dengar" kira-kira 10 kali sebelum bertindak mengambil mikrofon, sambil menghulurkan tangannya bersalam dengan Bawani dan mengucapkan terima kasih kepadanya.

Mengulas lanjut, Fareedah berkata dalam mana-mana diskusi mahupun forum, ahli panel dan juga audien mempunyai ruang dan hak untuk menyuarakan pandangan masing-masing, malahan ia perlu ditangani secara professional, bukan dengan memotong percakapan atau soalan yang diajukan.

Katanya, tindakan Sharifah yang menarik pembesar suara sebelum sempat soalan habis diajukan dilihat agak janggal malah menunjukkan beliau tidak langsung menghormati hak pengaju soalan.

"Tindakan Sharifah agak keterlaluan dan tidak menunjukkan contoh yang baik sebagai seorang pemimpin NGO di depan lebih 2000 mahasiswa yang berada di dalam dewan tersebut.

"Beliau dalam menjawab soalan yang dikemukakan, bukan sahaja tidak memberi jawapan yang relevan malah memberi analogi yang langsung tidak berkaitan dengan soalan dan fakta yang dibentang oleh Saudari Bawani," katanya.

Orang lain tidak boleh, Awang Adek boleh?

Muhammad Yusri Amin, 15 Jan 2013
KOTA BHARU: PAS Kelantan menegaskan kerajaan diterajui BN kini sepatutnya lebih menghargai keilmuan rakyat yang mempunyai pandangan dan kepakaran masing-masing.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Dr Mohd Fadhli Hassan mendakwa walau pun rakyat itu tidak aktif dalam politik, namun mereka mempunyai pandangan politiknya sendiri, bahkan peka kepada masa depan negara.

“BN sepatutnya bukan hanya mendengar orang mengampunya sokmo," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri  mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin yang dipetik media mempertikaikan pandangan Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) Azrul Azwar Ahmad Tajuddin.

Ketua Ekonomis itu seperti laporan media Singapura mendakwa BN akan kalah tipis pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Azrul mendakwa, BN hanya memenangi  antara 97 ke 107 kerusi sahaja, sedangkan ‘pembangkang’ menang sekitar 115 hingga 125 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Sehubungan itu Pengarah Urusan Bank Islam Datuk Seri Zukri Samat mendakwa pandangan itu bersifat peribadi dan bukan melambangkan pendirian Bank Islam.

Menurut maklumat terkini, Azrul telah digantung tugasnya oleh Bank Islam untuk membolehkan satu siasatan dalaman (DI) dibuat ke atas beliau ekoran kenyataannya itu.

Media memetik Awang Adek (gambar kiri) mendakwa tidak sewajarnya Ketua Ekonomis itu bercakap tentang politik kerana pakar itu bertugas pada bank berkonsepkan Islam di Malaysia.

Timbalan Menteri Kewangan itu percaya dan mendakwa pengurusan Bank Islam sudah arif kedudukan perkara itu.

“Dan biarlah mereka menentukan tindakan ke atas kakitangannya," kata Awang Adek

Bagi Dr. Fadhli, kenyataan Azrul itu sebagai pandangan peribadinya.

“Kenyataan disifatkan Awang Adek sebagai ‘panas’ khususnya dalam konteks politik negara terkini itu sebenarnya pandangan peribadi pakar itu.

“Sepatutnya pandangan peribadi dan analisa pakar yang ada pengalaman dan kepakaran dalam bidang ekonomi serta dasar-dasar negara itu dialu-alukan  mengeluarkan kenyataan sebegitu.

“Kenyataan pakar itu bukan kenyataan main-main dan mengambil kira semua segi," katanya.

Beliau yang juga bekas Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mendakwa dalam sebuah negara demokrasi moden,  semua orang boleh memberi pandangan terutama orang yang mempunyai kepakaran di bidangnya

“Apabila mereka pergi ke luar negara pula, orang akan bertanya pakar berkenaan, dan kalau tidak diberi respon terhadap persoalan yang ditimbulkan, seolah-olah menggambarkan negara Malaysia begitu sekali mengongkong rakyatnya.

“Justeru negara mesti  memberi kebebasan kepada pakar berkenaan untuk mengeluarkan pandangannya termasuk dalam isu semasa," kata Fadhli.

Dalam hal ini, kata Dr Fadhli, PAS dan Pakatan Rakyat (PR) membuka peluang kepada mana-mana pakar dan penganalisis untuk mengeluarkan pandangan akademik mereka.

Beliau mendakwa, sepatutnya BN mendengar dan akur dengan kenyataan pakar dan penganalisis itu, bahkan memberi peluang mereka menyampaikan pandangan secara bebas.

“BN sepatutnya bukan hanya (mahu) mendengar orang mengampunya sokmo.

“Sebuah negara yang menghargai keilmuan rakyatnya, walau pun rakyat itu tidak aktif berpolitik, namun mereka mempunyai pandangan politiknya dan peka kepada masa depan negaranya,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim (gambar) ketika bercakap kepada wakil Harakahdaily mendakwa sikap Awang Adek mempertikaikan Ketua Pakar Ekonomi itu sebagai menggambarkan demokrasi diamalkan di Malaysia tidak sepenuhnya.

“Menggambarkan hak untuk individu bercakap di Malaysia cukup terbatas.

“Sedangkan ahli ekonomi itu bercakap berdasarkan kajian dan andaiannya," kata Zaki.

Beliau yang juga Timbalan Speakar Dewan Negeri Kelantan mendakwa sekiranya suasana politik yang ada di negara ini ditadbir parti yang tidak mempunyai masa depan yang baik kepada suasana ekonomi dan politik, maka akan menjejaskan ekonomi negeri atau negara.

“Justeru pandangan pakar itu mungkin kesan dari suasana ekonomi dan politik Malaysia yang ada kini," katanya.

Dalam hal ini, dakwa Zaki,  ia menunjukkan kedangkalan Awang Adek (dalam memahami kenyataan  pakar ekonomi itu) sedangkan dia (Awang Adek) dahulu pun semasa memegang jawatan di Bank Negara, aktif berpolitik khususnya di Parlimen Bachok.

“Kalau orang lain tidak boleh,  kenapa dia boleh? Awang Adek tidak boleh ‘menipu sejarah,” ujarnya.

Listen: Siswi PMIUM cabar Sharifah Zohra

Salmiyah Harun, 15 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) mencabar Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin untuk berdiskusi di kampus mereka.

Presiden Hal Ehwal Mahasiswi Persatuan Mahasiswa Islam UM Noor Afifah Jamaluddin (gambar) berkata, kehebatan mahasiswi seperti Bawani harus dipuji dan dibanggakann apabila berani membangkitkan pandangan begitu lantang demi mempertahankan hak mahasiswa dan rakyat.

"Tiada seorang pun mahasiswa yang berani mempertahankan siswi tersebut apabila beliau diasak oleh Presiden Suara Wanita 1 Malaysia (Sharifah).

"Ini agaknya bila mahasiswa yang dijanjikan Nota Galaxy, mahasiswa terus diam membisu?

"Mahasiswa tidak sewenang-wenangnya terus diperbodoh sedemikian teman-teman," tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan apakah motif sebenarnya penganjuran “Forum Wanita & Politk” ini, bukankah untuk melahirkan Mahasiswi yang cakna mengenai isu semasa.

"Saya kira ini kalilah kebangkitan suara anak muda mahasiswi di Utara" katanya.

Justeru, beliau mencabar Sharifah Zohra datang ke UM dan berdiskusi secara 'respect' sesama mahasiswa di sini.

Sementara itu, menurut Naib Presiden 1 Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Nur Afifah Abd. Rahim kesal dengan tindakan memperlekehkan keberanian seorang siswi untuk memberi pandangan dan kritikan.

"Saudari Bawani tidak sewajarnya diaibkan di hadapan khalayak sementelah dia memberi pendapat dengan wadah yang disediakan sendiri oleh program terbabit."

"Sebagai seorang yang lebih berpendidikan, saudari Sharifah Zohra seharusnya bersikap profesional dan memberi respon yang positif dan menyambut baik pandangan dari mahasiswa," kata beliau.

Listen: Bawani cetus harapan baru mahasiswa

Muhammad Faizal, 15 Jan 2013


KUALA LUMPUR: Soladiriti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyifatkan keberanian Bawani KS pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam melontarkan kebenaran, harus dicontohi mahasiswa lain dalam negara ini.

Pengerusinya, Safwan Anang dalam satu kenyataan berkata, keberanian Bawani mencetus kebangkitan baru buat mahasiswa.

"Bawani telah memberikan suatu harapan baru dalam usaha mengembalikan kewibawaan mahasiswa dewasa ini.

"Tanpa menghiraukan sebarang risiko, beliau telah bangkit untuk bersuara bukan sahaja bagi diri beliau, sebaliknya juga buat mahasiswa dan rakyat kebanyakan," katanya.

Menurut beliau lagi Bawani juga telah berjaya menunjukkan fungsi dan sifat sebenar sebagai golongan mahasiswa yang berani mempertahankan hak sebagai pelajar.

Beliau pada masa sama menyelar sikap moderator forum yang dianjurkan UUM tersebut Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin.

Katanya, sikap Sharifah Zohra itu kurang matang, tidak profesional, serta memperbodohkan mahasiswa yang turut ikut serta dalam majlis tersebut.

Tiada ulasan: