Rabu, 8 Ogos 2012

SENJATA NI AKHIRNYA MAKAN TUAN... KONSEP 1 MALAYSIA KITA DICABULI...KITA SEPATUTNYA MELUPAKAN DETIK HITAM...NI MENIMBUL KECELARUAN KAUM...MAKA KEBENCIAN RAKYAT AKAN BERTAMBAH...JANGAN LUPA KUASA ALLAH SWT MENGATASI SEGALA2NYA

Pakatan siap sedia, jangka PRU13 September

Muhammad Faizal, 07 Ogs 2012
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat hari ini menyatakan kesediaan mereka untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dijangkakan akan diadakan pada September akan datang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata isu pilihanraya turut dibincangkan pada pada  mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat hari ini, dan yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib akan menggunakan kesempatan hari Merdeka ini untuk mengumumkannya.

"Saya yakin Umno-Barisan Nasional akan mengambil kesempatan pada hari Kemerdekaan kali ini untuk memulihkan imej mereka," jelasnya pada sidang media di Pejabat PKR hari ini.

"Kita berkeyakinan ia akan diadakan pada September nanti dan paling lewat adalah pada bulan November. Segala perancangan telah kita aturkan sebaik mungkin," sambung beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke menyatakan Umno-Barisan Nasional akan terus menggunakan skrip lama dengan memburuk-burukkan DAP dengan tanggapan negetif.

"Skrip lama akan terus digunakan, memburukkan DAP dengan pandangan-pandangan negetif bagi tujuan menakut-nakutkan pengundi Melayu.

"Mereka berharap tindakan tersebut akan memberi kesan undi kepada PAS dan PKR kerana pengundi Melayu akan beralih kepada mereka," jelasnya.

Menurutnya lagi, selain Umno dengan skrip lama, rakan mereka MCA juga akan menakut-nakutkan pengundi Cina dengan isu Hudud akan tidak menyokong Pakatan dan seterusnya memberikan gambaran yang buruk kepada PAS.

"Bagi mengatasi tomahan yang tidak berasas ini, kita diperingkat Pakatan telah merangka strategi untuk menangkis tomahan tersebut.

"Apa yang kita harapkan nanti rakyat akan tertumpu kepada agenda yang kita akan bawakan untuk kebaikan seluruh rakyat negara ini," sambungnya lagi.

Katanya lagi, Pakatan akan terus menfokuskan kepada rakyat tentang agenda besar yang telah dipersetujui bersama di dalam dasar Pakatan Rakyat.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad dan Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen PKR.

‘Tanda Putera’ boleh gugat pepaduan - Kit Siang

Anis Nazri, 07 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Gagasan 1Malaysia yang diterapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat menyemai benih ketegangan di antara kaum, selain menyumbang kepada fitnah yang boleh menggugat perpaduan negara.

Trend fitnah seperti yang dapat dilihat dalam pembohongan dan pemalsuan insiden 13 Mei melalui filem tajaan kerajaan, 'Tanda Putera' itu boleh dianggap menggugat perpaduan negara.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya berkata menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 dan Hari Malaysia Ke-49, Najib harus berfikir sejenak mengapa polisinya yang terkenal, 1Malaysia dalam tempoh tiga tahun ini telah menyemai benih ketegangan di antara kaum.

"Tidak lain, ianya daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menekankan bahawa pilihan raya umum yang akan datang ini akan bersasarkan “perkauman" kerana “keadaan negara kini bersifat amat rasis berbanding dengan sebelum ini","dakwa ahli parlimen Ipoh Barat itu, kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah Kit Siang, dengan berlandaskan agenda program 1Malaysia, Najib telah merekrut angkatan tentera seramai 10,000 ‘cybertrooper’ Umno dan BN melalui Konvensyen Media Sosial 1Malaysia yang dijalankan di seluruh negara, bukan untuk menyampaikan mesej 1Malaysia tetapi untuk memutarbelitkan kebenaran dan fakta.

"Apa yang jelas kelihatan adalah akibat buruk tindakan Najib merekrut angkatan tentera seramai 10,000 ‘cybertrooper’ Umno dan BN apabila menyemai benih prasangka buruk di antara kaum.

"Ia jelas berdasarkan kepada rusuhan 13 Mei 1969, di mana angkatan ‘cybertrooper’ ini menyebarkan dakwaan palsu, tidak masuk akal, karut dan berbaur fitnah terhadap saya kononnya saya telah mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 dengan membunuh orang Melayu, selain insiden kononnya saya telah kencing di bawah tiang bendera di rumah Menteri Besar Selangor, walhal saya tidak berada pun di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969," tegas beliau lagi.

Begitu juga dengan beberapa dakwaan lain yang telah diputarbelikan angkatan Media Sosial 1Malaysia, yang menyatakan Setiausaha Agung DAP, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut terlibat memprovokasi dan mencetus rusuhan 13 Mei sebagai Ketua Pemuda DAP, sedangkan beliau berumur lapan tahun ketika itu.

Selain beliau dan Guan Eng, dakwa Kit Siang, mendiang Timbalan Setiausaha Agung DAP, P. Patto,  juga tidak terlepas dari tuduhan memprovokasi rusuhan 13 Mei 1969 apabila Patto sendiri tidak berada di Kuala Lumpur pada masa itu.

"Lebih-lebih lagi, mendiang hanya terjun dalam dunia politik pada 1973 apabila meletakkan jawatan sebagai seorang guru sekolah dan menerima tawaran saya untuk dilantik sebagai setiausaha politik saya," kata Kit Siang.

Beliau menambah 43 tahun selepas tragedi 13 Mei, sudah sampai masanya untuk menutup insiden tersebut, bukan sahaja untuk menggunakan titik hitam rusuhan 13 Mei sebagai taktik intimidasi terhadap mana-mana komuniti.

Sebaliknya, tegas Kit Siang ia harus digunakan sebagai satu teladan dan pengajaran yang amat penting bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, negeri, status, umur atau jantina untuk menyatukan semua rakyat Malaysia satu perubahan bagi kebaikan negara ini dan rakyatnya, samada BN atau Pakatan Rakyat.

Malah, tambah Kit Siang, tiada ruang untuk insiden 13 Mei berulang sekiranya kedua-dua gabungan parti-parti politik – Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat memberi jaminan secara ikhlas bahawa mereka akan bekerja bersama untuk menghalang kejadian ini berulang dengan mengambil kira kepentingan dan kedaulatan negara.

"Saya telah menekankan dan menjelaskan secara terbuka bahawa DAP dan Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk memberi kerjasama penuh dengan Umno dan BN untuk memastikan tiada ulangan peristiwa 13 Mei dalam pilihan raya umum yang akan datang ini.

"Persoalannya, adakah Umno dan BN akan memberi komitmen yang sama terhadap usaha ini seperti kesediaan Pakatan Rakyat melalui PKR, PAS dan DAP?" soal beliau.

Haram jadah: 8 peneroka saman Najib

Khairil Abdul Rahim, 07 Ogs 2012
TEMERLOH: Seramai lapan orang peneroka dari sekitar Jengka hari ini memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Temerloh kerana ungkapan menghina ‘haram jadah’ terhadap mereka.

Saman tersebut difailkan setelah notis tuntutan maaf dan minta ditarik balik perkataan tersebut yang telah diserahkan kepada Najib selaku defendan, tidak diindahkan dan tiada sebarang respons.

Dalam writ saman tersebut Samat Yusof, Alias Ibrahim, Idris Mat Sah, Syed Jamaluddin Muhamed, Abdul Rahim Abdul Rahman, Rosdi Ismail, Abdullah Mohd dan Rakiah Sulong selaku plaintif mendakwa Najib mengeluarkan perkataan menghina itu pada 8 Mei lalu di Jengka 8.

Sedangkan Najib mengetahui ungkapan menghina yang dibuat di hadapan lebih 40 ribu yang hadir di majlis mengumumkan durian runtuh itu dan liputan media boleh mempengaruhi memandangkan beliau pemimpin tertinggi negara.

Bagi mereka ungkapan haram jadah itu amat mengaibkan kerana membawa maksud mereka anak luar nikah, pengkhianat dan tidak bermaruah sehingga dianggap tidak layak menerima durian runtuh.

Ungkapan bermaksud menghina itu turut menyuburkan perasan buruk sangka dan permusuhan sesama masyarakat Felda mengakibatkan plaintif telah dipulaukan, dicemuh dan menjadi sasaran berita negatif oleh media sepanjang agihan durian runtuh.

Akibatnya, kredibiliti, reputasi dan nama baik plaintif telah tercemar teruk dan dibenci ramai sehingga membuatkan plaintif membuat laporan polis pada 7 Jun yang lalu.

Sehubungan dengan itu, melalui saman hari ini, plaintif menuntut ganti rugi am dan khas seperti mana ditaksirkan mahkamah, ganti rugi teruk, faedah lima peratus dan kos guaman.

Semua plaintif diwakili oleh peguam Mohd Harris Abdullah dari The Law Office of Mohd Harris.

Sementara itu Harris berkata, pihaknya akan menunggu untuk tindakan lanjut dalam tempoh 14 hari sama ada pihak defendan akan memfail mengenepikan saman atau meneruskan pebicaraan.

Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka (Anak) Mazlan Aliman turut hadir bersama kira-kira 50 peneroka menyokong tindakan saman ke atas Najib hari ini.

Mazlan berkata, jarang berlaku rakyat menyaman Perdana Menteri atas ungkapan bahasa yang kesat dan menghina jadi kes ini merupakan satu catatan sejarah, katanya.

Kos FGVH meningkat, saham mungkin merosot

Salmiyah Harun, 07 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Penganalisis ekonomi mengunjurkan bahawa prestasi Felda Global Venture Holding (FGVH) pada pasca penyenaraian akan lebih lemah berbanding tahun-tahun lepas.

Menurut Dr Rosli Yaacob, prestasi ini adalah penentu utama harga pasaran FGVH.

Ini kerana, katanya, kos penanaman semula akan berlaku di mana akan menyebabkan kos operasi FGVH akan meningkat.

Tambahnya, akibat daripada operasi penanaman dan kenaikan kos tanam semula kelapa sawit  menyebabkan keuntungan terjejas sekali gus akan menjejaskan harga saham FGVH di pasaran berkemungkinan akan merosot lagi.

"FGVH masih lagi dalam proses mecari rakan kongsi strategik yang akan memiliki sekurang-kurangnya 20 peratus saham dalam FGVH," katanya ketika ditemui.

Ini bermakna, katanya usahasama di antara aktiviti hiliran dan huluan tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuh selagi rakan strategik antarabangsa tidak ada.

Tegasnya, ketiadaan rakan strategik ini akan menyukarkan FGVH untuk menembusi pasaran minyak (makanan) dan lain-lain produk di peringkat antarabangsa, sekali lagi akan menyebabkan harga saham akan jatuh.

Bagaimanapun beliau akan menunggu laporan tahunan FGVH yang mungkin dikeluarkan tahun depan supaya dapat melihat sejauhmana prestasi keuntungan atau kerugian FGVH.

Beliau berkata demikian mengulas, saham FGVH yang dilihat tidak stabil dan ada kala merundum kepada RM5 seunit walaupun baru sebulan lebih disenaraikan dalam Bursa Malaysia.

Hantar kad ucapan kepada tahanan ISA

Anis Nazri, 07 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Bagi menjayakan kempen anti-ISA, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menyeru rakyat yang prihatin untuk terus sama-sama menuntut pembebasan semua tahanan ISA.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata selain NGO-NGO yang bernaung di bawah badan itu, orang ramai yang prihatin boleh terlibat sama dengan menghantarkan kad ucapan kepada tahanan yang masih merengkok di Kamunting.

"Kita telah melancarkan kempen bagi menuntut pembebasan semua tahanan, antaranya menghantar kad ucapan kepada tahanan ISA.  Kita sasarkan sebanyak 50 000 kad ucapan dapat dihantarkan kepada tahanan bagi menunjukkan solidariti kita," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Bagaimanapun, kata beliau kad ucapan yang berada di tangan GMI setakat ini masih belum berada di tahap 'memuaskan' untuk dihantar ke Kem Tahanan Kamunting.

"Kempen ini agak perlahan, mungkin dipengaruhi bulan puasa.  Yang ada di tangan, belum sampai lagi 1,000.  Tapi kita masih meneruskan kempen ini sehingga 3 September ini," kata beliau lagi.

Syed Ibrahim berkata pihaknya percaya ramai rakyat di luar sana yang inginkan pembebasan semua tahanan ISA selaras dengan pemansuhan akta tersebut, namun tidak mempunyai capaian untuk mendapatkan kad tersebut.

Justeru, beliau berkata kad ucapan untuk tahanan ISA boleh didapati daripada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) sehingga 3 Sept ini.

Mana-mana yang berminat mendapatkan kad ucapan berkenaan boleh menghubungi Suaram di talian 03-77843525 atau melalui emel righttotrial@suaram.net.

Dalam pada itu, GMI juga dalam fokus memberikan kebajikan kepada keluarga-keluarga tahanan ISA, khususnya yang dibebaskan baru-baru ini.

Kelantan juga guna 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'

Harakahdaily, 07 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kelantan telah bersetuju untuk menggunakan tema Hari Kemerdekaan yang dicadang Pakatan Rakyat iaitu “Sebangsa, Senegara, Sejiwa” berbanding tema “Kelantan Menerajui Perubahan” yang diputuskan kerajaan negeri sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Sekretariat Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan lewat petang ini.

"Kami merujuk kepada kenyataan Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat hari ini mengenai Tema Hari Kebangsaan.

"Pihak Sekretariat Pakatan Rakyat dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan telah bersetuju untuk mengambil tema “Sebangsa, Senegara, Sejiwa” sebagai tema Hari Kebangsaan ke 55 disamping tema Kerajaan Negeri iaitu “Kelantan Menerajui Perubahan”," kata Setiausaha Eksekutif, Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek.

Petang tadi, Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat memaklumkan semua ngeri Pakatan Rakyat akan menggunakan tema sama seperti yang dicadang Pakatan Rakyat kecuali Kedah dan Kelantan yang telah membuat keputusan lebih awal.

Bagi Negeri Kelantan, mesyuarat kerajaan negeri telah memilih 'Kelantan Menerajui Perubahan', dan Kedah pula dengan tema 'Terus Berbakti'.

Bagaimanapun, terbaru Kelantan telah memaklumkan bahawa mereka juga akan menggunakan tema “Sebangsa, Senegara, Sejiwa”.

Selain tema, kesemua empat negeri Pakatan ini juga akan menggunakan logo Merdeka yang sama yang akan dimumkan Ketua Pembangkang pada Khamis ini.

Cameron Highlands: khazanah negara yang perlu dilindungi

Huzir Sulaiman, 07 Ogs 2012
Tinjauan wakil NGO, Green Clean World (GCW) baru-baru ini bersama-sama wakil daripada Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang serta wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Cameron Highlands tidak menolak kemungkinan berlakunya bencana alam sekitar, jika tiada tindakan drastik diambil oleh pihak berkuasa termasuklah daripada Kerajaan Persekutuan dan Negeri terhadap pembangunan lereng bukit yang dilihat tidak terkawal.

“Pemantauan yang dilakukan oleh kami dari Ringlet ke Blue Valley jelas menunjukkan kerja-kerja pembangunan dilereng bukit sedang rancak dijalankan oleh pihak tertentu di sana”, ujar Zulkefly Mohamad Omar selaku AJK PAS Pusat/Pengerusi Lajnah Alam Sekitar merangkap Pengerusi GCW.

Beliau menekankan betapa pentingnya seluruh pihak yang berkepentingan di Cameron Highlands bangkit untuk sama-sama membantu di dalam usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar di sana untuk mengelak berlakunya lagi tragedi yang tidak diingini khususnya kerosakan harta benda awam dan nyawa manusia.

“Pada tahun 1961, 16 orang terkorban dalam Tragedi Ringlet dan pada tahun 2011 pula, 7 orang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Brinchang. Sepatutnya kejadian ini menjadi pengajaran berharga buat kita, terutamanya Kerajaan Umno-BN sama ada peringkat Negeri dan Persekutuan. Mereka sepatutnya mengambil inisiatif segera untuk mengawal dan mencegah pembangunan lereng bukit yang dilihat tidak terkawal itu. Namun, tinjauan kami beberapa hari yang lalu membuktikan sebaliknya, seolah-olah kerakusan mengejar keuntungan ekonomi dijadikan keutamaan mereka berbanding pemuliharaan alam sekitar,” ujar Zulkefly.

Zulkefly juga kecewa dengan kondisi sungai di sana khususnya di Tringkap yang dipenuhi sampah sarap walaupun papan tanda “Cintailah Sungai Kita” terpampang jelas di sebelah sungai itu.




“Jelas wujud kelemahan dari aspek pemantauan dan penguatkuasaan pihak tertentu khususnya Kerajaan Negeri Pahang. Pencemaran sungai khususnya di negeri Pahang seharusnya dapat dielakkan,” ujar Sdr.Zulkefly dengan nada kecewa.

Menurut Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang, Andansura Rabu (gambar), pencemaran sungai bukan sahaja berlaku di Cameron Highlands, tetapi juga di Sungai Bentong yang disyaki berpunca daripada salah sebuah kilang di Kawasan Industri Bentong. Malah, insiden yang sama telah dilaporkan di Sungai Semantan Temerloh yang telah menyebabkan kematian hampir 1 tan metrik ikan patin, kelah, baung, lampam, tengalan dan talapia. Pencemaran sungai ini juga berlaku di Sungai Tanum di Kuala Lipis sehingga menjejaskan sumber air bersih penduduk di Kampung Chegar Perah.

“Jelas, Kerajaan Negeri Pahang yang dipimpin oleh Dato’ Sri Adnan Yaakob sentiasa memandang remeh aspek pemuliharaan alam sekitar termasuklah keselamatan dan kesihatan rakyat Pahang kerana rakus dengan projek ekonomi semata-mata. Berlaku banyak ketirisan dari aspek kelulusan projek di Pahang. Lihatlah sahaja kepada insiden banjir lumpur yang berlaku di Maran tahun lalu akibat pecahnya takungan air lombong bijih besi di kawasan tadahan yang diluluskan,” ujar Andansura.




Menurut Pengerusi NGO People’s Green Coalition (PGC), Dr T Jayabalan, yang juga seorang Pakar Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan, terdapat 1,200 sungai, aliran, dan mata air di Cameron Highlands. Kajian awal ke atas sungai dan kawasan tadahan air yang dibuat jelas menunjukkan peningkatan tahap pencemaran e-coli dan salmonella Hal ini membuktikan berlakunya pembangunan ekonomi yang tidak seimbang serta pengabaian pihak tertentu terhadap kepentingan keselamatan dan kesihatan penduduk serta pemuliharaan alam sekitar. Isu pelepasan sisa buangan manusia terus ke sungai serta penggunaan racun dan baja kimia merupakan punca utama kepada pencemaran itu.

Di sebalik pembangunan lereng bukit yang tidak terkawal dan pencemaran sungai, penduduk Cameron Highlands dikejutkan pula dengan pembangunan Loji Rawatan Termal Sisa Pepejal (Insinerator) di Blue Valley pada tahun 2009. Projek ini mendapat bantahan meluas penduduk melalui Jawatankuasa Anti-Insinerator Cameron dan Majlis Perwakilan Rakyat Cameron(MPRCH). Bantahan ini kerana kesan secara lansung pusat Insinerator itu terhadap kesihatan penduduk setempat serta pekerja pusat itu khususnya pendedahan kepada pembebasan metals, dioxin dan bahan pencemar lain ke udara, tanah dan tumbuh-tumbuhan serta organisma, serta sungai yang mengalir di bawah tapak incinerator itu.

Suresh Kumar, Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cameron Highlands, menegaskan bahawa pendedahan gas yang mutagenik itu mampu merosakkan DNA manusia dan seterusnya menyebabkan kanser.

“Projek insinerator ini sudah siap sepenuhnya tetapi masih belum operasi. Hal ini jelas merupakan satu projek yang tidak selamat dan membazir apabila wujud alternatif yang lebih selamat dan murah.”

“Malah kelulusan Kajian Terperinci Alam Sekitar (DEIA) yang diluluskan jelas bercanggah dengan fakta sebenar dan tidak memenuhi syarat-syarat kelulusan yang telah ditetapkan Jabatan Alam Sekitar. Pihak kami juga kecewa dengan sikap angkuh menteri yang bertanggungjawab kerana tidak memberikan maklum balas yang sewajarnya kepada wakil penduduk walaupun satu surat rasmi bantahan telah pun di sampaikan kepada wakil kementerian semenjak tahun 2010 lagi,” ujar Suresh dengan nada kecewa.



Kenyataan Suresh Kumar ini disokong oleh Zulkefly yang pernah memimpin bantahan penduduk Broga bersama-sama S Arutchelvan (PSM) dan Ronnie Liu (DAP) terhadap pusat insinerator di sana sehinggalah berjaya dibatalkan pada tahun 2006.

Lawatan wakil GCW baru-baru ini bersama-sama wakil dari Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang, serta wakil PSM Cameron Highlands, berakhir di lokasi Projek Hidroelektrik Ulu Jelai di antara Pos Betau dan Ringlet. Projek ini melibatkan kawasan seluas 388 hektar serta 2.5 peratus kawasan tadahan hujan meliputi pembinaan dua Terowong Pengalihan Air, Empangan Susu, Stesen Janakuasa Bawah Tanah, Terowong Tenaga, Lapangan Suis, Bangunan Kawalan dan Jalan Masuk.

Satu pemandangan yang menyedihkan apabila hutan dan sebahagian bukit terpaksa dikorbankan untuk memberi laluan kepada projek yang bernilai RM 2.15 Billion itu.

Zulkefly menegaskan bahawa masa hadapan alam sekitar di Cameron Highlands kini diambang kehancuran jika keadaan seperti ini berterusan. Umum mengetahui betapa pentingnya penggantungan sektor pelancongan dan pertanian tehadap kestabilan elemen Alam Sekitar ini kepada penduduk setempat dan pengaruhnya kepada ekologi di sekelilingnya.

Malah kesan buruk daripadanya mampu memberi kesan secara langsung kepada Negara kerana Cameron Highlands adalah ‘public interest’ atau kepentingan umum di peringkat nasional. Rakyat Malaysia adalah ‘stakeholder’ kepada Cameron Highlands dan tanggungjawab itu terletak di bahu semua pihak khususnya pembuat dasar khususnya Kerajaan Umno-BN yang gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka untuk memelihara Khazanah Negara yang unik ini.

(Artikel ini adalah susulan pendedahan PAS pada 28hb Jun yang lalu bagaimana beberapa keluarga di Cameron Highlands terpaksa tidur di khemah selama 32 hari. Artikel tersebut boleh dicapai di http://bm.harakahdaily.net/ index.php/ berita-utama/11315-32-hari-tidur-di-khemah-bimbang-dihempap-batu)

(Liputan susulan berkenaan isu incinerator dan isu pencemaran sungai di Cameron Highlands akan dipaparkan selepas ini)

-------------------------------------------------------------------
Penulis adalah setiausaha Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang dan AJK Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat

Pakatan umum logo, lagu Merdeka Khamis ini

Muhammad Faizal, 07 Ogs 2012
PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan logo dan tema Hari Kemerdekaan bagi negeri-negeri Pakatan Rakyat pada Khamis ini.

Keputusan pemilihan logo akan diputuskan pada Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat yang akan diadakan pada Khamis sebelum pengumuman itu dibuat.

Namun bagi Negeri Kelantan dan Kedah telah diputuskan menggunakan tema berlainan setelah perkara tersebut diputuskan lebih awal pada mesyuarat kerajaan negeri masing-masing.

"Kita telah memutuskan apa logo yang sesuai kita gunakan, namun perkara tersebut akan diputuskan pada mesyuarat pimpinan Pakatan pada Khamis ini.

"Namun untuk tema telah kita putuskan sebelum ini, pengumuman tentang logo itu akan dilakukan sendiri oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis ini," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Lagu Merdeka

Menurutnya lagi, selain tema dan logo, lagu sambutan hari Kemerdekaan versi Pakatan Rakayat juga telah dicipta oleh komposer terkenal, namun ia juga turut akan diumumkan nanti.

"Pakatan turut menyediakan sebuah lagu bagi sambutan hari Kemerdekaan dan ia telah cipta oleh komposer terkenal.

"Bagaimana bentuk lagu dan komposer akan kita maklumkan nanti," jelas beliau.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyatakan pemilihan tema ini terpaksa dilakukan apabila melihat ketidak bertanggungjawaban kerajaan yang menjadikan tema Kemerdekaan milik mereka.

"Kita ubah kerana melihat sikap tidak tanggungjawab kerajaan yang menjadikan tema tersebut milik mereka," katanya.

Sebelum itu, kerajaan Umno-Barisan Nasional telah memilih tema 'Janji Ditepati' namun ia dikritik pelbagai pihak sebagai tema kempen politik mereka.

Bagi menjadikan tema tesebut lebih umum untuk semua rakyat, Pakatan Rakyat telah memutuskan menggunakan tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa', manakala bagi Negeri Kelantan telah memilih 'Menerajui Perubahan', dan Kedah pula dengan tema 'Terus Berbakti'.

98% terima 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'

Harakahdaily, 07 Ogs 2012


(Keputusan poll yang dibuat oleh The Malay Mail hingga jam 4.20 petang Selasa)

KUALA LUMPUR: Setelah lima hari berlalu, poll yang dibuat oleh akhbar The Malay Mail menunjukkan 98 peratus rakyat Malaysia memilih 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' sebagai tema merdeka tahun ini.

Hanya 2 peratus atau 163 peserta undian ini memilih tema 'Janji Ditepati' dari 6,791 peserta yang menyertai poll ini.

'Janji Ditepati' adalah tema yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Rais Yatim selaku pengerusi jawatankuasa sambutan Hari Kemerdekaan ke 55.

Tema ini telah dibantah oleh pelbagai pihak sehingga Pakatan Rakyat memperkenalkan tema berlainan iaitu 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.

Ia dipilih oleh satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Sastrawan Negara, Datuk A Samad Said.

Selain membantah tema 'Janji Ditepati' yang dilihat sama dengan tema kempen pilihan raya BN, lagu dan logo Hari Merdeka ke 55 juga dibantah.

Lagu itu juga dibantah kerana mempunyai persamaan yang ketara dengan sebuah lagu gereja di Indonesia.

Lyriknya pula terlalu kasar dalam menyampaikan mesej kempen BN dan bukan untuk semua rakyat negara ini.

Sehingga kini, Rais hanya menarik balik logo Hari Merdeka tetapi masih mengekalkan lagu dan tema sambutan tahun ini.

Tiada ulasan: