Rabu, 8 Ogos 2012

KETELUSAN DIUJI...JANGAN SAMPAI HILANG KEPERCAYAAN RAKYAT...JANGAN MASIH MEMILIH BULU...SERTA MELINDUNGI SESUATU..MAKA JANGAN TUNGGU HUKUM ALLAH MENIMPA DIRI.....

‘Rakan sekelas saya adalah penjenayah perang’

Ted Regencia diterjemah Mohamad Yahya, 07 Ogs 2012

(Bashar al-Assad yang dipanggil 'Donkey' oleh jurulatihnya tiba-tiba berubah menjadi penjenayah perang)

CHICAGO: Ini adalah kisah tentang seorang pelajar perubatan yang menuntut di University of Damascus, sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka Syria pada tahun 80-an.

Ketika dalam salah satu senaman latihan fizikal, pelajar tersebut telah menimbulkan kemarahan jurulatihnya, dan jurulatih tersebut menghinanya dengan panggilan “anak keldai”.

Namun, jurulatih yang telah merah padam mukanya mula menyedari siapa yang baru dimarahinya, dan lekas-lekas meminta maaf.

Pelajar tersebut adalah Bashar al-Assad, anak kedua dan pewaris utama presiden Syria ketika itu, Presiden Hafez al-Assad.

Tetapi, Bashar Assad “tidak terasa hati” dengan hinaan jurulatihnya.

Sedang Dr Zaher Sahloul mengingat kembali kejadian yang melibatkan rakan sekelasnya selama enam tahun itu, pakar sakit paru-paru Chicago itu terfikir bagaimana “seorang yang begitu biasa dan merendah diri” berubah menjadi dalang kepada pertumpahan darah yang berlaku di Syria, yang telah membunuh lebih dari 17,000 orang, mengikut kiraan United Nations. 

“Kamu tidak akan pernah terlintas bagaimana seorang yang pernah menjadi rakan sekelas kamu di fakulti perubatan, akan mampu melakukan jenayah perang sebegini terhadap manusia,” ujar Sahloul, yang berasal dari Homs, Amerika dan merupakan presiden untuk Persatuan Perubatan warga Amerika berbangsa Syria (Syrian American Medical Society).

Era gelap yang baru

Bagi Sahloul dan rakan-rakan warga Amerika berketurunan Syria yang menyambut Ramadhan, bulan suci pada tahun ini menandakan bermulanya era gelap yang baru dalam komuniti kecil mereka, yang kebanyakannya mempunyai rakan-rakan dan ahli keluarga yang ditangkap dalam 17 bulan pemberontakan bersenjata.

Doa mereka dari perlindungan untuk ibubapa mereka yang memilih untuk terus menetap di kota Homs yang tandus angkara bom, hinggalah kepada pengusiran rejim Assad dari Damaskus, mencerminkan kesakitan sebuah bangsa yang terluka, di mana seorang presiden menyerang rakyatnya sendiri.

“Ia amat sulit untuk meraikan kedatangan bulan Ramadham, kerana menyedari ahli keluarga kita berhadapan dengan ancaman pembunuhan pada setiap masa,” ujar Sahloul. “Apa yang berlaku sekarang adalah krisis kemanusiaan yang amat serius.”

Dua minggu lalu, Sahloul kembali dari misi perubatan yang ke-empat untuk kem pelarian rakyat Syria di Kilis, Turki.

Di sana, Sahloul bekerja bersama 45 doktor sukarela warga Amerika berketurunan Syria bergilir di beberapa kem pelarian, walaupun ramai ahli keluarganya yang terkorban dalam taufan keganasan yang melanda Syria.

Kawasan Chicago adalah tempat tinggal untuk sekurang-kurangnya lapan bekas rakan sekelas Bashar al-Assad.

Selain Sahloul, Dr Hassan Alzein, seorang pakar pediatrik, adalah salah seorang dari 800 rakan sekelas Bashar. Seperti Sahloul, Alzein mengganggap Bashar dulunya sebagai seorang yang biasa sahaja.

“Kami cuba menjauhkan diri darinya,” ujar Alzein. “Ayah dia adalah seorang diktator yang kejam dan kami selalu mengingatkan satu sama lain, jika kami rapat dengan Bashar, lama-kelamaan kami akan dijadikan target oleh rejim.”

Seorang penduduk Chicago yang pernah rapat dengan Bashar al-Assad adalah Maher Basatneh, seorang yang berasal dari Damaskus. Tokoh perniagaan Chicago ini berkata dia mula berkawan dengan Presiden Syria itu ketika mereka masih remaja, di sebuah kem terjun udara.

“Dia seorang yang peramah,” ungkap Basatneh berkenaan Bashar al-Assad. “Dia makan bersama dengan kami semua dan kami berbual dengannya seperti rakan biasa. Dia tidak tahu apa-apa berkenaan politik.”

Basatneh dan Assad menjadi teman rapat dan mereka selalu meluangkan masa di kediaman Assad. Di sana, Basatneh berkata, beliau selalu menyaksikan Maher al-Assad mencemuh abangnya, Bashar al-Assad, dengan memanggilnya “bodoh”.

Kemudian, Basatneh melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan bersama Assad, yang menyokongnya sebagai ketua Majlis Pelajar.

Tetapi Basatneh, yang kemudiannya keluar dari fakulti perubatan, tidak percaya bahawa Assad mempunyai keupayaan untuk memimpin Syria, dan dia menyifatkan Bashar sebagai remaja yang mempunyai perangai pelik yang menjengkelkan.

“Saya telah mengenali lelaki ini untuk bertahun lamanya, dan jawatan presiden bukanlah untuk dirinya,” ujar Basatneh, sambil menambah bahawa beliau tidak akan mempertaruhkan nyawanya dengan melantik Assad menjadi doktornya.

Basatneh mendakwa bahawa Assad bukanlah seorang pelajar perubatan yang serius, dan hanya mendapat ijazah kedoktoran kerana dia adalah anak kepada presiden.

Kematian abang Bashar, Bassel al-Assad, yang telah dipersiapkan untuk menjadi presiden, dan selepas itu kematian bapa Bashar, Hafez al-Assad, telah memaksa Bashar mengambil tugas kepemimpinan yang beliau sendiri tidak bersedia untuk memikulnya, jelas Basatneh, dan menambah bahawa krisis Syria adalah kesan langsung kegagalan kepemimpinan Bashar al-Assad.


Menghitung hari


Sahloul berkata dia sendiri tidak pernah terlintas bahawa bekas rakan sekelasnya itu akan menjadi seorang presiden, dan pemerintahan Bashar al-Assad sebenanrya hanya menghitung hari untuk jatuh.

Walaupun mereka tidak rapat, dia selalu melihat Assar di Univesity of Damaskus dari tahun 1982 hingga 1988.

“Beliau bukanlah seorang yang sombong,” kata Sahloul. “Tetapi, dari apa yang saya lihat, beliau bukanlah seorang yang pintar ataupun terhormat.”

“Saya fikir beliau telah membuktikan bahawa beliau adalah seorang presiden yang tidak bagus bila berhadapan dengan krisis, sama ada krisis di Iraq, atau di Lebanon selepas pembunuhan (bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafiq) al-Hariri,” ujar Sahloul.  “Keputusan-keputusan beliau sangat teruk dan kerana itulah akibat-akibatnya amat teruk.”

Sahloul mengimbas kembali bahawa, selepas bekas rakan sekelasnya menjawat jawatan presiden, dia bersama rakan-rakan doktornya warga Amerika berketurunan Syria, berpeluang bertemu Assad di satu persidangan di Damaskus.

Ketika beramah mesra, Sahloul teringat Assad ada menyebut bahawa tentang keinginannya untuk menjadi seorang doktor dan bukannya seorang presiden.

Dalam pertemuan yang sama, Sahloul bertanya kepada Assad tentang kesediaan Syria untuk menerima pakai sistem demokrasi. Assad menjawab tidak, dengan memberikan budaya berpuak-puak dan politik sektarian Syria sebagai alasan utama penolakannya.

Sekarang, setelah Assad enggan untuk mengiktiraf permintaan rakyat untuk pemerintahan yang lebih demokratik, peristiwa itu mungkin kembali menghantui dirinya.
Namun, Sahloul memberi amaran bahawa, rejim Assad sanggup untuk jatuh bersama-sama dengan seluruh rakyat Syria.

“Rejim itu masih kuat,” ujar Sahloul. “Pihak tentera masih berpihak kepada rejim dan ia akan mengakibatkan banyak kemusnahan dan kacau bilau sebelum rejim ini runtuh.”

“Sudah pasti rejim ini akan berakhir,” kata Sahloul. “Tiada siapa di Syria yang akan membiarkan rejim ini terus memerintah. Rakyat telah tidak takut lagi, amat mustahil untuk Bashar al-Assad terus memerintah Syria.”

“Ia bukannya soal berapa kebarangkalian ia berlaku, ia adalah soal bila ia berlaku,” ujar Sahloul.

Laporan asal dalam:

http://www.aljazeera.com/indepth/features/2012/08/201281141339576130.html

PM Syria sertai pembangkang

Terjemahan Mohamad Yahya, 07 Ogs 2012
SYRIA: Perdana Menteri Syria, Riad Farid Hijab (gambar), melalui jurucakapnya telah mengumumukan bahawa beliau telah menyertai kumpulan pembangkang.

Pengumuman itu dibuat selepas satu laporan televisyen nasional melaporkan bahawa beliau telah dipecat dari jawatannya.

Isnin lalu, pihak berkuasa Jordan mengesahkan kepada Al-Jazeera bahawa bekas Perdana Menteri itu telah selamat tiba di Jordan selepas diseludup masuk melalui sempadan Syria-Jordan,

“Hari ini, saya mengumumkan bahawa saya tidak akan lagi bersama dengan rejim pembunuh dan pengganas, dan saya mengumumkan bahawa saya telah menyertai revolusi yang memperjuangkan kebebasan dan maruah.

"Saya juga ingin mengumumkan bahawa bermula pada hari ini, saya adalah seorang tentera dalam revolusi ini,” kata Hijab di dalam satu kenyataan yang dibaca jurucakapnya Muhammad el-Etri.

Etri juga turut menyangkal dakwaan bahawa Hijab telah dipecat, dan mengatakan bahawa kerajaan hanya membuat pengumuman tersebut sejurus selepas mereka menyedari bahawa Hijab telah melarikan diri ke Jordan.

Etri berkata bahawa rancangan untuk menyertai pembangkang telah dibuat berbulan lamanya, dan rancangan itu hanya dilaksanakan serentak dengan penubuhan Tentera Pembebasan Syria (Free Syrian Army).

Bekas Perdana Menteri itu turut menggalakkan pegawai-pegawai tinggi kerajaan Syria yang lain untuk turut menyertai pembangkang selepas pengumumannya menyertai pembangkang.

‘Tiada lagi alasan untuk tidak menyertai pembangkang’ kenyataan Hijab yang ditujukan kepada pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang jawatannya lebih rendah dari beliau.


Menuju ke Qatar
Bagaimanapun, Hijab memberi peringatan bahawa, kerajaan Syria berkemungkinan akan “memberi tindak balas yang rawak dan bersifat histeria."

"Mereka akan melakukan lebih banyak pembunuhan dan setiap pegawai tinggi kerajaan yang mahu menyertai pembangkang perlu bertindak dengan bijak dan menjaga keselamatan diri dan keluarga.

“Rejim ini hanya menggunakan satu bahasa, dan bahasa itu ialah bahasa pembunuhan,” kata Etri kepada Al-Jazeera.

Hijab akan meninggalkan Jordan dan berlepas ke Qatar dalam masa beberapa hari lagi, mengikut jejak langkah pimpinan berprofil tinggi lain yang turut menyertai pembangkang.

“Hijab akan pergi ke Doha, kerana media internasional berpusat di situ. Dia akan bertolak ke Qatar, mungkin pada esok hari, atau hari-hari yang berikutnya,” Etri memberitahu agensi berita AFP di ibukota Jordan.

Seorang ahli pembangkang Syria di Jordan berkata bahawa Hijab akan bertolak ke Qatar “dalam tempoh beberapa jam sahaja lagi.”

“Kami sedang melakukan persiapan untuk menguruskan ketibaan Hijab di Doha dalam tempoh beberapa jam sahaja lagi, berkemungkinan besar pada pukul 2200 GMT (5 pagi Malaysia, Selasa) Tujuh dari adik beradiknya akan tinggal di Jordan,” kata beliau kepada AFP.

“Kami faham betapa sensitifnya isu ini kepada Jordan. Kami tidak mahu menimbulkan masalah kepada kerajaan Jordan, yang sudah mempunyai hubungan yang tegang dengan rejim Syria,” kata ahli pembangkang tersebut yang enggan namanya disebarkan.


‘Tidak diberi pilihan’


Presiden Bashar al-Assad telah melantik Hijab, bekas Menteri Pertanian pada 23 Jun lepas, ekoran pilihanraya pada bulan Mei.

Etri mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak diberi pilihan apabila dilantik memegang jawatan tersebut.

“Rancangan untuk menyertai pembangkang ini telah bermula sejak lebih dari dua bulan. Hijab diberi dua pilihan, sama ada menjadi Perdana Menteri, ataupun dibunuh. Namun, Hijab ada pilihan ketiganya sendiri, iaitu untuk menyertai pembangkang dan menjatuhkan rejim dari dalam,” kata Etri kepada Al-Jazeera.

“Saya percaya bahawa dia adalah pegawai kerajaan yang mempunyai jawatan paling tinggi (untuk menyertai pembangkang), dia adalah satu-satunya (yang mampu melakukannya) dan ini akan memberi kesan-kesan yang amat buruk dan teruk kepada rejim, dan implikasi yang signifkan kepada keruntuhan rejim sekaligus kepada kejayaan revolusi”.

Omar Ghaliwanji, Timbalan Perdana Menteri Syria, telah dipilih untuk memangku jawatan Perdana Menteri, lapor sebuah media nasional Isnin lepas.

Pihak berkuasa mewar-warkan bahawa pilihanraya Mei adalah satu langkah besar untuk reformasi politik Syria, tetapi pembangkang menolak dakwaan tersebut dan menyelarnya sebagai satu janji kosong.

Hijab telah menjadi pimpinan parti Baath dari tahun 1998, dan telah dilantik menjadi ketua kerajaan Latakia ketika tercetusnya rusuhan anti kerajaan yang pertama di Latakia tahun lalu.

Rula Amin, wartawan Al-Jazeera yang melaporkan dari Beirut, berkata walaupun Hijab bukanlah individu penting dalam lingkungan kecil Assad, tetapi penglibatannya dalam pembangkang akan menjadikan beliau pegawai kerajaan yang paling berprofil tinggi untuk menolak autoriti Assad.

George Jabbour, penasihat kepada bekas Presiden Syria, Hafez al-Assad, menyifatkan penglibatan Hijab dalam pembangkang sebagai “sesuatu yang tentunya amat signifikan.”
Laporan asal
http://www.aljazeera.com/news/middleeast/2012/08/20128691725705233.html

Pemuda PAS mahu SPRM siasat Awang Adek

Hazayani Zakaria, 07 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok berhubung dakwaan rasuah membabitkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin.

Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar) berkata, selepas tempoh seminggu diberikan kepada Awang Adek untuk membuat penjelasan berhubung dua keping cek bernilai RM80,000 yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau, Awang Adek hanya mendiamkan diri.

"Seseorang pimpinan utama rakyat mestilah menepati kualiti dan kriteria seorang pimpinan. Skandal yang melibatkan Senator Datuk Dr Awang Adek adalah satu isu yang berkaitan dengan integriti seseorang pimpinan," kata beliau dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, DPPP akan ke SPRM di Putrajaya jam 10 pagi esok untuk membuat laporan agar SPRM menjalankan siasatan segera ke atas Awang Adek.

"DPPP berharap agar pihak SPRM dapat membuat siasatan sebaik mungkin mengenai isu yang melibatkan integriti seseorang pimpinan ini," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Pada 12 Julai 2012, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mendedahkan 2 keping cek yang berjumlah RM80,000 secara keseluruhannya atas nama Datuk Awang Adek dan didepositkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Datuk Awang Adek diminta untuk menjelaskan apakah terdapat skandal rasuah daripada transaksi wang yang sebegitu besar ke dalam akaun beliau pada ketika beliau memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Skim Jejak Jaya Bumiputera dan merangkap Timbalan Menteri Kewangan Malaysia oleh sebuah syarikat yang berkepentingan.

Pada 31 Julai 2012 yang lalu, DPPM sekali lagi tampil membuat pendedahan yang lebih terperinci beserta beberapa dokumen penting.
Dokumen yang berada di pihak DPPP menguatkan lagi dakwaan bahawa Awang Adek terlibat dalam skandal rasuah kerana kedua cek yang bernilai RM80,000 sebagai dorongan untuk melanjutkan kontrak pengurusan kemudahan di Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral oleh Syarikat Advance Maintenance Precision Management Sdn Bhd. (AMPM).

CIJ lancar Hari Internet Blackout

Harakahdaily, 07 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia hari ini mengumumkan hasratnya untuk melancarkan Hari Internet Blackout pada 14 Ogos 2012.

Ia merupakan sebahagian daripada kempen menentang Seksyen 114A yang merupakan pindaan terbaru terhadap Akta Keterangan 2012 yang diwartakan pada 31 Julai lalu.

Kempen ini bertujuan untuk menyedarkan para pengguna Internet tentang kesan negatif pindaan ini terhadap kebebasan berinternet.

Hari Internet Blackout ini mengambil contoh usaha yang dilakukan aktivis-aktivis di Amerika Syarikat dan New Zealand untuk memperjuangkan kebebasan berinternet di negara masing-masing.

Untuk tempoh 24 jam, para pengguna Internet yang berkunjung ke laman-laman web yang mengambil bahagian akan dapat melihat paparan yang mempunyai mesej kempen tersebut.

CIJ menyeru para pengguna Internet di Malaysia untuk menyertai kempen ini dengan memaparkan paparan yang direka khas tersebut pada laman web serta blog mereka.

Pengguna Facebook dan juga Twitter juga digalakkan menukar gambar profil dan avatar dengan warna hitam atau gambar yang boleh dimuat turun melalui CIJ.

Pegawai Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas, Masjaliza Hamzah berkata objektif pelaksanaan kempen tersebut ialah untuk menggesa Kerajaan untuk menarik semula pindaan terbabit yang dipercayai telah diluluskan secara tergesa-gesa di parlimen empat bulan lalu.

Sebelum ini, pemerhati media tersebut telah melancarkan e-petisyen untuk menggesa pihak Kerajaan menarik semula Seksyen 114A Akta Keterangan 2012 kerana pindaan tersebut dikatakan mengancam kebebasan berinternet dan mengandaikan kesalahan di pihak tertuduh tanpa dibuktikan kesalahannya terlebih dahulu.

Petisyen yang ditandatangani oleh lebih daripada 3300 pengguna Internet tersebut kemudiannya diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew di parlimen.

CIJ juga telah menganjurkan forum terbuka bertajuk ‘Seksyen 114A: Pencegahan Jenayah atau Tapisan Internet?’ untuk membincangkan kesan-kesan pindaan terbabit.

Pindaan kedua terhadap Akta Keterangan itu telah menarik perhatian ramai pihak termasuk para peguam dan juga pemilik restoran yang menyedia kemudahan Wi-Fi.

Seksyen 114A bukan sahaja mengandaikan kesalahan di pihak tertuduh, bahkan juga menjadikan individu-individu yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan berkaitan Internet seperti ruang forum, blog dan pengehosan web bertanggungjawab terhadap segala bahan yang terkandung dalam perkhidmatan mereka.

Di bawah pindaan terbaru ini, seseorang pengguna Internet yang akaun atau komputernya digodam dianggap bertanggungjawab terhadap segala bahan yang dimuat naik atau turun oleh penggodam.

Kempen untuk Hari Internet Blackout ini telah menerima sambutan yang positif daripada kalangan pengguna Internet.

Laman-laman web popular seperti laman jual beli lelong.com.my, komuniti forum cari.com.my, dan portal hiburan gua.com.my telah menyatakan hasrat untuk menyertai kempen ini.

Selain itu, laman berita seperti Malaysiakini, Harakahdaily, Free Malaysia Today, The Nut Graph dan Digital News Asia turut sama menunjukkan minat.

Blogger seperti Niki Cheong dan Nat Tan juga akan turut serta dalam kempen ini.

Pengguna Internet yang ingin mengambil bahagian boleh menghubungi CIJ melalui emel cijmalaysia@gmail.com atau telefon di talian 03-4024 9840.

Untuk keterangan lanjut sila berkunjung ke blog rasmi kempen di www.stop114a.wordpress.com atau laman Facebook di https://www.facebook.com/evidenceamendmentact.

Pulau Pinang beri RM100,000 kepada Chong Wei

Harakahdaily, 07 Ogs 2012
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberi anugerah insentif RM100,000 kepada Datuk Lee Chong Wei atas kejayaan menjadi rakyat Malaysia pertama untuk memenangi 2 pingat perak Olimpik dan usaha gigihnya dalam Sukan Olimpik London 2012.


Ketua Menteri, Lim Guan Eng (gambar) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini berkata, insentif itu juga sebagai galakan kepada Lee untuk meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik 2016.

“Anugerah insentif ini akan diberi melalui program ganjaran Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd (PBA) untuk olahragawan Pulau Pinang yang bertaraf dunia,” katanya.

Katanya, walaupun terkecundang kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir, Lee telah berusaha dengan gigih dan menimbulkan rasa bangga setiap rakyat Malaysia.

Akhirnya, kata beliau Lin Dan dan Datuk Lee Chong Wei telah menitis air mata.

Bagi pemenang, kerana berjaya mengalahkan seorang lawan yang sangat layak iaitu Lee yang hanya kalah dengan 2 mata untuk meraih pingat emas Olimpik pertama Malaysia.

Walaupun gagal memenangi pingat emas Olimpik pertama Malaysia, Lee telah menjadi juara Olimpik dalam hati setiap rakyat Malaysia.

“Negeri Pulau Pinang berasa bangga dengan kejayaan juara badminton daripada Bukit Mertajam ini.

“Walaupun semua rakyat Malaysia turut berkongsi kekecewaannya, semangat perjuangan dan keupayaan bertaraf dunia beliau memberi inspirasi kepada kita dan telah menyatukan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa, satu semangat dan satu jiwa,” kata Guan Eng lagi.

Katanya, Pulau Pinang akan memberi sokongan penuh kepada  Lee untuk mencapai pingat emas dalam Sukan Olimpik 2016, yang akan juga membantu mempersiapkan pengganti yang layak.

Baru seminggu pencen, pegawai kanan sertai PAS

M Faqih | Foto Zamani Mohd Zain, 07 Ogs 2012
KETEREH: Baru seminggu pencen, bekas Ketua Penolong Pengarah (KPP) Jabatan Kesihatan Kelantan, Azmi Awang, 55 malam tadi secara rasmi menyertai PAS.

Sebelum itu pernah berkhidmat sebagai KPP di Jabatan Pembangunan Persekutuan dan pelbagai lagi jabatan persekutuan, mulai pencen pada 1 Ogos lalu.

Lepasan bidang ekonomi di Universiti Malaya memilih pencen awal bagi melengkapkan dirinya dengan ilmu-ilmu agama.

Malam tadi beliau mencatat sejarah apabila muncul di pentas ceramah Ghazwatul Badar di padang Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam.

Beliau diiringi Penyelia Dun Kok Lanas, Nik Mahadi Nik Mahmood menyerah borang menyertai PAS kepada Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hadir sama di majlis  tersebut Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Zulkifli Mamat, Ketua Penerangan, Dr Muhammad Fadzli Hassan dan Pengerusi PKR negeri, Abdul Aziz Kadir.

“Sebenarnya saya sudah lama mengikuti kuliah Musyidul Am di Medan Ilmu setiap pagi Jumaat. Jarang benar saya tidak hadir.

“Kesedaran agama sudah lama berputik. Ini tidak pelik bagi setiap pegawai kerajaan di Kelantan. Ketika berkhidmat di sebuah pejabat kerajaan di Kuala Krai saya mulai menghafal ayat-ayat suci al Quran,” katanya ketika ditemui.

Beliau yang menyertai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1982 berkata, mahu menzahirkan secara rasmi sebagai ahli PAS selepas tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan.

“Insya-Allah kehadiran saya mungkin boleh memberi sedikit nilai tambah kepada perjuangan PAS di sini,” katanya yang kini menetap di Ketereh. Berasal dari Tendong, Pasir Mas.

LRT Ampang: PM wajar buat penjelasan rasmi

Harakahdaily, 07 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan wajar membuat penjelasan rasmi terhadap tatacara penganugerahan tender projek tambahan LRT Aliran Ampang yang bernilai RM955,840,000.


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpandangan penjelasan itu untuk dinilai oleh rakyat dan seterusnya kepada penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen bagi mendengar pandangan pakar dan suara rakyat selaku pihak berkepentingan utama (key stakeholder) di dalam projek infrastruktur mega tersebut.

Naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss (gambar) menyatakan demikian merujuk kepada laporan akhbar The Edge bertarikh 6 Ogos lalu yang berkongsi kerisauan yang dibangkitkan beberapa pakar dan profesional industri pembinaan terhadap tatacara penganugerahan kontrak dan sub-kontrak yang dipraktikkan oleh kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, secara prinsipnya, setiap pemerolehan (procurement) kerajaan dibuat demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Kepentingan ini dapat dijamin melalui pelaksaaan sistem tender secara terbuka untuk mendapatkan pilihan kos yang optima (best pricing) oleh kontaktor yang paling layak dari aspek teknikal dan kewangan (technically and financially competent),” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, DPPM melahirkan rasa kesal terhadap tatacara penganugerahan tender projek tambahan LRT Aliran Ampang, yang bernilai RM960 juta oleh kerajaan Pusat terhadap Konsortium George Kent (Malaysia) – Lion Pacific yang dipersoalkan nilai integritinya, selepas Konsortium George Kent dilaporkan berjaya mengalahkan pembida-pembida lain yang ternama.

Lebih merisaukan, ujarnya DPPM turut berkongsi pandangan dengan beberapa pakar dan profesional di dalam sektor pembinaan infrastruktur teknikal yang berskala besar ini terhadap proses sub-kontrak yang akan dilaksanakan pihak Konsortium George Kent selepas ini.

Katanya, difahamkan daripada laporan akhbar The Edge, hampir 70% - 80% kerja-kerja yang terlibat dalam projek mega ini akan disub-kontrak kepada syarikat-syarikat lain, khususnya pakej-pakej teknikal yang agak rumit.

Beliau menambah, tidak dapat dinafikan, proses sub-kontrak adalah amalan biasa di kalangan kontraktor utama namun ia biasanya dilaksanakan pada kadar 30%-40% daripada skop kerja.

Namun, ujar beliau apabila pemberian subkontrak melebihi 50% daripada skop kerja terlibat, ia akan membawa risiko terhadap penyampaian projek (project delivery) dari aspek peningkatan kos, kelewatan masa, dan kualiti akhir projek.

“Ini dilihat seperti mengesahkan persoalan pakar dan rakyat terhadap kemampuan Konsortium George Kent untuk melaksanakan projek mega ini, selain menafikan usaha transformasi kerajaan yang mahu menghapuskan budaya ‘kontraktor alibaba’ yang mengaut keuntungan percuma.

“Budaya ‘know-who, not know-how’ adalah punca utama ketirisan kewangan negara yang menjurus kepada defisit tahunan berturut-turut Kerajaan Persekutuan hampir 14 tahun,” ujarnya.

Justeru, kata beliau DPPM menggesa semua pihak yang terlibat, khususnya Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, SPAD dan  Prasarana untuk mengambil langkah segera bagi memastikan tatacara tender terbuka dipatuhi semua pihak terlibat, tanpa menggadaikan risiko keselamatan pengguna LRT Aliran Ampang apabila siap kelak.

Komen terhadap Chong Wei, Manoharan mohon maaf

Harakahdaily, 07 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Selepas dikritik banyak pihak termasuk pimpinan Pakatan Rakyat sendiri, Adun Kota Alam Shah, M. Manoharan akhirnya memohon maaf kepada pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

"Saya secara ikhlas berharap permintaan maaf saya akan diterima," kata beliau menerusi Twitter tengahari ini.

Permohonan maaf itu ekoran tindakan beliau sebelum ini mengeluarkan komen berhubung kekalahan tipis Chong Wei itu kepada Lin Dan di temasya Olimpik 2012 kelmarin yang kemudiannya dikritik hebat.

Dalam kenyataan yang juga dibuat melalui twitter itu kelmarin, dia mengatakan Lin Dan telah menang dan dia bermain lebih baik daripada "Lee Chong AWAY...".

Kenyataannya itu menimbulkan kemarahan peminat sukan badminton tanah air yang kemudian tampil mengkritik sikap wakil rakyat itu.

"Saya amat menyesal dengan komen-komen yang saya keluarkan dan menghulur permohonan maaf sepenuh hati kepada Datuk Lee Chong Wei dan keluarganya," kata beliau lagi.

Pagi ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut mengecam kenyataan Manoharan semalam yang menyifatkannya sesuatu yang sangat tidak sensitif.

Kecaman sama turut diutarakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui twitternya hari ini yang menyifatkan ulasan wakil rakyat DAP itu sebagai tidak bijak.

'BN masih hidup kerana ada bajet kerajaan'

Harakahdaily, 07 Ogs 2012

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) sudah kehabisan modal untuk menarik sokongan rakyat sebaliknya hanya menggunakan tiket sebagai pemerintah untuk terus bertahan.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad mendakwa, dengan kapasiti sebagai parti pemerintah, BN menggunakan segala kemudahan awam dan dana setiap kementerian untuk mengumpan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib razak pula katanya dilihat sebagai tokoh transformasi yang 'tiada isi'.

"Mungkin pada permulaan orang agak teruja dengan laungan transformasi. Tetapi setelah sekian lama beliau bercakap, maka terserlah wajah sebenar Najib sebagai pemimpin yang hanya pandai melaungkan tranformasi sahaja," katanya.

Beliau berkata, hal ini dapat dibuktikan apabila Najib membelanja hampir RM5.77 bilion untuk enam bulan pertama tahun 2012 untuk membeli sokongan rakyat agar memilih BN dengan pelbagai janji.

"Ini semua perbelanjaan luar jangka. Sebanyak RM2.2 bilion untuk bonus kakitangan kerajaan seramai 1.4 juta.

"Termasuklah juga pelbagai pengumuman Projek  “one-off” yang memakan belanja hampir  RM3.57 billion. Seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Bantuan Kembali Ke Sekolah 1Malaysia and Bantuan Buku 1Malaysia," katanya.

Tambah beliau, tahun ini sahaja sudah dua kali bajet tambahan diluluskan di Parlimen, iaitu pada bulan Mac sebanyak RM10,290,243.800 (Lebih RM10.2 bilion) dan RM13.8 bilion pada Jun menjadikan bajet tambahan sejumlah lebih RM23 bilion bajet tambahan.

"Peruntukan segera sebanyak RM609 juta dilulus dalam 11 minggu (Januari-Mac 2012) ketika  lawatan perdana menteri dan timbalannya ke seluruh negara dengan Perak merekodkan kelulusan tertinggi sebanyak RM220.38 juta untuk 34 projek.

"Apakah Umno BN boleh hidup, jika kuasa di peringkat pusat jatuh ke tangan Pakatan Rakyat?" soalnya.

Bafia: Rafizi jumpa Tun Salleh selepas raya

Muhammad Faizal, 07 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli memberitahu beliau akan bertemu dengan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas selepas cuti hari raya bagi mendengar khidmat nasihatnya berhubung pendakwaan Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) 1989, yang dikenakan terhadapnya.

Rafizi yang ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur semalam mengesahkan beliau menerima panggilan daripada Salleh Jumaat lalu yang memaklumkan kesediaan beliau memberi pandangan terhadap tuduhan Bafia.

"Tun Salleh ada menghubungi saya dan menyatakan sokongan serta menyatakan ada ruang yang boleh dihujahkan dalam mahkamah melalui Bafia.

"Beliau berpendapat apa-apa undang-undang kerahsiaan tidaklah boleh mengenepikan kepentingan awam," jelasnya.

Tambahnya lagi, Tun Salleh berpendapat itulah sudut yang perlu dihujahkan.

"Dalam mengatasi soal itu, Tun Salleh meminta saya dan peguam dapat duduk berbincang dengannya supaya beliau dapat memberi pandapat dan khidmat guaman mana yang perlu.

"Kita sudah bersetuju dan lepas raya kita akan cari satu tarikh yang sesuai untuk berbincangan, pertemuan ini lebih kepada khidmat nasihat dari sudut perundangan bukannya terlibat secara langsung dalam kes tersebut," sambung Rafizi.

Untuk makluman, Rabu lalu, Rafizi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap pertuduhan  mendedahkan butiran perbankan berkaitan dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Rafizi dituduh di bawah Seksyen 97(1) Akta Bank dan Intitusi Kewangan 1989, yang menetapkan hukuman maksimun 3 tahun penjara atau denda RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Syarikat itu dikendalikan oleh suami dan anak-anak bekas menteri kabinet Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Abby Abadi dibawa santuni gelandangan

Salmiyah Harun, 07 Ogs 2012

KUALA LUMPUR:
Di kesempatan mengimarahkan bulan Ramadan Abby Abadi bersama Dewan Pemuda PAS Wangsa Maju dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Wilayah berkesempatan menyantuni golongan gelandangan di ibu kota Kuala Lumpur, pada 4 Ogos lalu.

Perasaan hiba turut dikongsi oleh Abby Abadi apabila bertemu dengan golongan kurang bernasib baik dan tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap.

Walaupun berjalan hampir lima kilometer melibatkan laluan Dataran Merdeka – Menara Maybank – Kompleks Wilayah – Kompleks Pertama dan berakhir di pasar Chowkit, semua peserta program termasuklah Abby Abadi begitu bersahaja seolah-olah keinsafan dari aktiviti menyantuni gelandangan kota ini memberi semangat yang luar biasa.

Dalam menyantuni golongan gelandangan sambil mengagihkan makanan, rombongan SMM Wilayah sempat berinteraksi dengan sepasang suami isteri yang terpaksa tidur di kaki lima bersama anaknya yang berusia lima tahun.

Menurut SMM Wilayah, pasangan tersebut datang dari negeri pantai timur dan tidak mempunyai pilihan untuk menginap di tempat lebih selesa apabila dihalau keluar oleh tuan rumah kerana kesempitan hidup.

Mereka turut mendapatkan butiran pasangan terbabit untuk diserahkan kepada badan kebajikan agar nasib pasangan tersebut lebih terbela.

Bagi anak muda seperti SMM Wilayah, walaupun aktiviti hanya berlangsung antara lima hingga enam jam namun ianya cukup menginsafkan.

Mahkamah Rayuan ketepi samanTimbermine RM800 juta terhadap Kelantan

Aslani M, 07 Ogs 2012

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berjaya mengenepikan tuntutan saman RM800 juta sebuah syarikat pembalakan, Timbermine Sdn Bhd atas dakwaan melanggar beberapa perjanjian yang ditandatangani 35 tahun lalu.

Ketiga-tiga Hakim Mahkamah Rayuan pada persidangannya 23 Julai lalu menolak tuntutan saman tersebut dengan kos sebanyak RM300,000.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa (gambar atas) berkata, kerajaan negeri diwakili peguam terkenal, Datuk Sulaiman Abdullah bersama seorang lagi peguam, pada awal perbicaraan lagi sudah berjaya mengenepikan tuntutan syarikat berkenaan.

“Ini berita yang cukup menggembirakan kita di tengah-tengah bulan Ramadan yang penuh berkat ini,” katanya pada program ceramah Ghazwatul Badar di padang Majlis Daerah Ketereh malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Dr Muhammad Fadzli Hassan.

Program tersebut bermula jam 5 petang dengan tazkirah disampaikan Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Mohamad Mustafa. Solat Maghrib diimamkan Menteri Besar.

Bagaimanapun ketika mahu menunaikan solat Isya hujan turun dengan lebat sehingga menyebabkan tempat solat dipindahkan ke pentas di astaka padang.

Mereka yang solat di padang di bawah khemah basah kerana air hujan melimpah ke bawah khemah. Biar pun begitu mereka tetap meneruskan solat tarawih.

Pada awal tahun lepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan kerajaan negeri membayar membayar RM800 juta kepada Timbermine sebagai ganti rugi termasuk RM560 juta bagi 30 peratus pemilikan syarikat dalam kawasan pembalakan seluas 112,000 hektar.

Selain itu ganti rugi khas RM13.6 juta, bayaran gaji pekerja yang diberhentikan (RM1.74 juta), faedah lapan peratus sejak 2004 berjumlah RM240 juta dan kos sebanyak RM200,000.

Syarikat mengemukakan saman ekoran perjanjian yang dibuat pada 1964 dibatalkan pada Mac 1975 oleh Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohamed Nasir.

Ekoran itu kerajaan Kelantan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

KPT didesak perjelas masalah MUST

Muhamad Faizal, 07 Ogs 2012
PETALING JAYA: PKR mendakwa Malaysia University of Science and Technology (MUST) masih terumbang-ambing untuk meneruskan operasi sekalipun menerima geran kerajaan sebanyak RM100 juta di antara tahun 2001 hingga 2006.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tahun lepas MUST mencatat hanya sekitar 200 orang mahasiswa yang berdaftar iaitu jauh di bawah sasaran 5000 orang mahasiswa.

Namun, Presiden MUST, Dr Leong Choon Heng telah menegaskan sebelum ini bahawa MUST di dalam proses memulakan pemasaran yang agresif termasuk memindahkan kampus dari Kelana Jaya ke The Strand, Kota Damansara.

"MUST masih lagi terumbang-ambing dan pemindahan yang dimaklumkan masih lagi belum berjalan.

"Lebih penting lagi, pertemuan dengan mahasiswa dan pensyarah MUST, mereka membangkitkan pelbagai persoalan tentang kebajikan dan masa depan mereka yang dirasakan tidak dilindungi oleh MUST," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Sebelum itu, MUST ditubuhkan pada tahun 2000 oleh MUST Ehsan Foundation, yang diketuai bekas menteri kabinet, Datuk Seri Effendi Norwawi, yang telah bekerjasama dengan Universiti Amerika Syarikat yang berprestij, Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Tiga tahun sebelum itu MIT menerima sebanyak AS$25 juta untuk menubuhkan MUST, walaubagaimanapun perjanjian dengan MIT luput pada tahun 2005.

Menurut Nik Nazmi lagi, kemasukan pertama mahasiswa peringkat asasi pada 2008 terdiri daripada dua orang mahasiswa manakala kemasukan pertama mahasiswa peringkat sarjana muda pada 2009 hanya tingga empat orang mahasiswa.

"Kami menuntut penjelasan penuh dan memuaskan daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan MUST memandangkan sebanyak RM100 juta wang rakyat sudah dilaburkan di dalam MUST dan nasib mahasiswa dan pensyarah di institusi tersebut.

"Gaji pensyarah dibayar lambat dan kini mereka enggan mengajar termasuk juga staf-staf lain yang diberi kontrak tiga bulan sahaja yang memudarkan semangat kerja mereka," sambungnya.

Menurutnya, kerjasama MIT dengan institusi lain termasuk Singapore-MIT Alliance (SMA) antara MIT, National University of Singapore dan Nanyang Technological University dan Masdar Institute of Science and Technology di Emiriah Arab Bersatu lebih berjaya.

"SMA muncul apabila rombongan MIT datang ke Malaysia untuk menandatangani perjanjian dengan MUST dan singgah di Singapura.

"Namum SMA telah mencatat satu demi satu kejayaan sementara MUST terus terumbang-ambing," kata Adun Seri Setia itu lagi.

Tiada ulasan: