Ahad, 5 Ogos 2012

SEBAB POLITIK PERKARA INI BERLAKU....ALLAH LEBIH MENGETAHUI SERTA ALLAH LEBIH TAHU BAGAIMANA NAK MENGHUKUM...KITA TUNGGU HUKUMAN DARI ALLAH...KELEBIHAN MEREKA SEBAB ADA KUASA...TAPI ALLAH BOLEH TARIK KUASA ITU...BILA2 MASA...SENDIRI MAU INGATLAH

Royalti: Exco Kelantan bincang surat PM Rabu ini
MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
5 Ogos 2012
Logo Isu Royalti
Isu Royalti Minyak
KOTA BHARU - Kerajaan Negeri Kelantan akan menghantar wakil untuk menyertai jawatankuasa khas mengkaji isu bayaran tunai seperti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam suratnya, kelmarin.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bagi tujuan tersebut, beliau akan membawa isu tersebut kepada mesyuarat Exco Rabu ini untuk membincangkan tindakan susulan yang perlu diambil oleh pihaknya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ijtimak Pondok Nusantara di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke V di sini, pagi ini.
Tengku Mahkota Johor tutup akaun twitter, media sosial
Wartawan Sinar Harian
5 Ogos 2012
Tengku Mahkota Johor tutup akaun twitter, semua media sosial
Tengku Mahkota Johor tutup akaun twitter, semua media sosial
SHAH ALAM - Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim bertitah memaklumkan bahawa baginda memutuskan untuk menutup akaun twitternya dan kesemua media sosial mulai hari ini.
Dalam satu mesej yang dihantar kira-kira 4.30 petang tadi, Tunku Ismail berkata, baginda mahu mulai sekarang memfokus kepada kehidupan dan perkara-perkara yang baginda lakukan "secara peribadi."
Tunku Ismail bertitah bahawa baginda percaya bahawa "tindakan-tindakan saya, kecintaan dan dedikasi terhadap Johor lebih bermakna berbanding perkataan (tulisan dan mesej); daripada tugasan, tanggungjawab saya dan apa yang saya lakukan bagi Johor dan rakyat Johor."
"Saya mengucapkan anda semoga berjaya dalam hidup anda. Semoga Tuhan berkati anda semua," kata baginda yang menggunakan akaun @HRHJohor2 sejak 13 November lalu.
Berikut ialah mesej penuh Tunku Ismail:
"I would like to take this opportunity to tell You all that I will be closing my twitter account and all social media. Its has been a Pleasure sharing my thoughts, Ideas, Principles and activities with You All. I would like to focus on my Life and the things I do, Privately from now on. I Strongly believe that my Actions, Love, and Dedication towards Johor will speak louder than words; from my Duties, Responsibilities and what I do for Johor and its People. Thank You once again for all the Support. I Wish You All the Best and Success in Life. May GOD Bless You All."
Keputusan Tunku Ismail menerima reaksi bercampur-campur daripada pengikut baginda sebaik sahaja entri itu diposkan.
Setakat petang ini baginda mempunyai 54,622 pengikut dan telah pun mengeluarkan 6,763 mesej.

Berikut reaksi beberapa pengikut baginda:

CikSitiZueBee: "@HRHJohor2 All The Best in whatever u do for ur rakyat in Johor.. even I'm not johorian..just wanna say that u r the coolest crownprince :-)."

Imam Abuja: "@HRHJohor2 all the best tuanku!"

Shakila Ezam: "@HRHJohor2 wish you all the best Tuanku! Goodluck! Allah bless you always... Aminnnn. I'm gonna miss you."

Honeyazlan: "@HRHJohor2 My pleasure Tunku...is there any other way to stay in touch wt You, ur highness?"

Noor Azam Shairi: "Better late than never."

Syahidah Adibah: "@HRHJohor2 gonna miss your quotes. May Allah always be with u! Take care."


Umno: Jangan politikkan panel khas isu royalti
HAZELIN LIANA
5 Ogos 2012
Logo Isu Royalti
Isu Royalti Minyak
KOTA BHARU - Kerajaan Pusat telah mengadakan pelbagai peringkat perbincangan sejak enam bulan lalu sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas royalti semalam, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Muhamad.

Mustapa yang juga Pengerusi Umno Kelantan memberitahu, dalam perbincangan itu beliau sendiri mengemukakan pandangan dan ada darinya  dipersetujui Perdana Menteri.

"Alhamdulillah, ia menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri terhadap rakyat Kelantan, saya harap perkara ini tidak dipolitikkan," kata beliau berucap pada majlis Makan Colek di sini, semalam.
Dalam pada itu, laporan Bernama hari ini memetik Mustapa berkata, Barisan Nasional (BN) Kelantan mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri
di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Pengerusi BN Kelantan berkata, adalah wajar isu tuntutan bayaran tunai itu diserahkan kepada jawatankuasa khas itu kerana ia dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri
berkenaan.
"Kita serahkan kepada jawatankuasa khas ini kerana mereka pakar undang-undang berdasarkan terma rujukan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri dalam kenyataannya semalam, mereka tidak berpihak kepada mana-mana maka kita tunggu hasil daripada jawatankuasa ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mustapa mengulas pengumuman Najib mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur.
Najib berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.
Jawatankuasa Khas itu akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan.
Mustapa berkata, jawatankuasa itu juga akan mengambil kira pandangan daripada rakyat Kelantan kerana wakil dari negeri ini yang diperkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V akan menganggotai jawatankuasa tersebut.
"Kita berpandangan kita perlu serahkan isu tersebut kepada pakar-pakar yang menganggotai jawatankuasa tersebut, kita harap tidak ada pihak yang beremosi, dipolitikkan, kerana seperti yang ditekankan Perdana Menteri jawatankuasa ini akan bertindak secara adil dan telus," katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa khas tersebut juga akan mengkaji adakah wajar pemberian wang ehsan kepada Kelantan diteruskan, dimana sejak tiga tahun lalu sebanyak RM61.8 juta disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) untuk membantu rakyat negeri ini termasuk kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Mengenai lawatan Perdana Menteri ke negeri ini petang ini, Mustapa berkata, lawatan Najib itu akan meningkatkan semangat kepada BN Kelantan dalam membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRu13).
Sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 4.25 petang, Najib akan mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin BN Kelantan dan kemudiannya beliau akan menghadiri program penyampaian bantuan kepada Penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Berbuka Puasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Perdana di Bachok.
Perdana Menteri akan menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersama penduduk di Masjid Naim, Jelawat, Bachok dan sebelum berlepas pulang, beliau akan ke Yayasan Kemiskinan Kelantan di Melor untuk bersama penduduk.
MP Kuala Langat: 'Saya tak pernah halau isteri saya'
Wartawan Sinar Harian
5 Ogos 2012
MP Kuala Langat: 'Saya tak pernah halau isteri saya'
Abdullah Sani bersama isteri pertamanya, Halimah ketika hadir majlis perasmian Parlimen. - Foto ihsan
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - Ahli Parlimen PKR kerusi Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid menafikan beliau pernah bertindak kasar dan menghalau Halimah Mohd Sahat, 48, dari rumahnya sebagaimana dilaporkan oleh beberapa blog dan laporan polis dibuat oleh isteri pertamanya itu.
Wakil rakyat penggal pertama itu menegaskan, beliau sendiri terus membuat bayaran bulanan sebanyak RM2,000 sehingga sekarang selain membenarkan Halimah menggunakan kereta serta rumah mereka di Desa Pandan dekat ibu negara.
"Jadi, bagaimana boleh kata saya halau dia dari rumah saya. Sebenarnya, saya membuat bayaran bulanan dan membenarkan dia tinggal di rumah di Desa Pandan dan menggunakan kereta, sebagaimana dipersetujui, sehingga kes mahkamah selesai," kata beliau.

"Saya menafikan apa yang disebut oleh isteri pertama saya, apa yang dilaporkan oleh blog-blog. Itu tidak benar, dia bohong," kata beliau lagi sambil menambah, "saya akan mengambil tindakan ke atas blog-blog terbabit selepas ini."
Kata Abdullah Sani, beliau meminta isterinya agar menggunakan rumah mereka di Desa Pandan dan tidak menyema rumah lain sehingga kes mahkamah selesai.
"Buat apa perlu sewa rumah lain. Jadi, saya juga minta dia gunakan rumah kami di Desa Pandan. Kalau saya halau, mengapa saya perlu minta dia menggunakan rumah di Desa Pandan," kata beliau yang juga pemimpin kesatuan sekerja.

Laporan blog menyebut ahli politik itu melakukan penderaan secara mental terhadap Halimah. Malah, laporan itu memetik Halimah mendakwa dia telah diusir dari rumahnya di Banting pada 1 Ramadan lalu.

Katanya, pada hari pertama Ramadan dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumahnya di Banting tetapi tidak dibenarkan.

"Beg-beg dia ada di rumah. Saya sendiri telah memberitahu bahawa saya akan hantar ke rumahnya di Desa Pandan, tetapi dia tidak mahu.

"Kalau betul saya halau dia dari rumah, buat apa saya tawar hantar dia ke rumah kami di Desa Pandan," kata beliau lagi.
Dalam laporan polis bulan lalu, Halimah antara lain mendakwa bahawa suaminya tidak membenarkan dia balik rumah wakil rakyat tersebut di Banting.
Abdullah Sani juga menjelaskan bahawa isterinya itu hanya sanggup balik ke rumah mereka di Banting dan tinggal bersama sekiranya ibunya tidak lagi berada bersama mereka.
"Saya tidak halang dia tinggal di Banting. Tetapi dia (Halimah) meletakkan syarat bahawa dia hanya akan balik ke rumah saya di Banting jika ibu saya tidak lagi tinggal bersama saya.
"Saya kata tidak boleh. Mana boleh saya minta ibu saya tinggalkan saya, dia ibu saya, ibu saya menjadi keutamaan saya... lebih-lebih lagi dia uzur, sakit.
"Sebagai anak sulung, saya bertanggungjawab menjaga dia. Saya kata saya tidak boleh terima syarat dia," kata Abdullah Sani yang sekali lagi menegaskan, "laporan yang dibuat itu satu pembohongan... itu semua bohong."
"Saya tiada cara lain. Saya kena buat pilihan. Saya mengambil emak saya, saya kena jaga dia (ibu saya)," kata beliau.
55 yang penuh kontroversi
TOK PERAK
5 Ogos 2012
*TIDAK syak lagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 hujung bulan ini mencatat satu sejarah baru. Sejak awal kontroversi telah tercetus, berhubung tema dan logo yang dipilih Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Kementerian memilih ‘55 Tahun Merdeka Janji Ditepati’ sebagai tema, dan pihak pembangkang menganggap itu sebagai paling tidak sesuai, sebab berbaur politik dan seperti kempen pilihan raya untuk BN.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mempertahankan tema tersebut, dan menegaskan: “Apabila kita buat sesuatu yang baik kita mengatakan komitmen kita sudah selesai, sudah dibuat, jadi (tema itu) tidak salah...” Mengenai dakwaan pembangkang tema itu sebagai kempen pilihan raya untuk BN, beliau berkata, seperti yang disiarkan media: “Jadi kalau pembangkang merasakan ini adalah slogan yang bawa kepada pilihan raya saya fikir memang tak salah jika disebutkan begitu.”

Oleh sebab tidak berkenaan dengan tema tersebut, PR akan menyambut perayaan 31 Ogos nanti dengan tema sendiri, sekali gus mencatat sejarah kerana buat pertama kali dalam tempoh 55 tahun perayaan merdeka menggunakan dua tema.

*PEMBANGKANG menetapkan ‘Sebangsa Sejiwa Senegara’ sebagai tema sambutan hari merdeka yang akan diadakan di negeri-negeri yang ditadbir PR iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, jawatankuasa khas yang dipengerusikan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said telah menerima kira-kira 300 tema dari orang ramai, dan memilih yang terbaik.

PR menghantar memorandum kepada Putrajaya meminta tema, logo, lagu yang dipilih kementerian berkenaan supaya ditukar. Oleh sebab tiada maklum balas dari Pusat, PR memutuskan untuk menyambut merdeka dengan tema sendiri.

Setakat rencana ini ditulis, tidak ada bantahan dari Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengenai hasrat PR menggunakan tema sendiri untuk sambutan hari penting itu. Maka teringat saya pepatah lama, ‘lain padang, lain belalang.’

Siapa sangka setelah lebih setengah abad menyedut udara kemerdekaan, pepatah lama itu masih relevan!

*LOGO sambutan merdeka kali ini pun dihentam teruk oleh banyak pihak. Ramai yang tidak setuju penggunaan lambang 1Malaysia, bendera Malaysia dan ungkapan ‘55 Merdeka Janji Ditepati’.

Lebih tidak memuaskan lagi ialah logo tahun ini dianggap pakar grafik sebagai langsung tidak seperti logo, tidak mempunyai seni, macam dibuat sambil lewa @ cincai. Setelah beberapa hari dihentam, Rais akhirnya memberitahu bahawa perayaan tahun ini tidak ada logo khas.

Dalam satu kenyataan menjawab kritikan, menteri itu berkata: “Bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi.” Lagu sambutan merdeka tahun ini, ‘Janji Ditepati’ pun mencetuskan kontroversi. Ada pihak berpendapat liriknya yang ditulis sendiri oleh Rais lebih merupakan propaganda dan kempen untuk BN.

Malah menimbulkan tanda tanya juga mengenai kesahihan melodi lagu tersebut, sebab ada yang mendakwa melodi lagu merdeka kita mirip sebuah lagu kerohanian Kristian Indonesia yang berjudul ‘Serukan Namanya’.

Menurut pengkritik dan beberapa pemuzik lagu Kristian itu dibawakan oleh kumpulan True Worshippers dalam album ‘All Things New’ yang diterbitkan 2008, diketuai oleh Sydney Mohede.

Mengulas mengenai dakwaan tersebut Rais meminta pihak yang mendakwa sedemikian tampil ke hadapan dan mengemukakan bukti. Rais rapat dengan Indonesia, kalau betul lagu hari kemerdekaan kita meniru melodi seberang tentu dia tahu.

Apa pun perkara tiru-meniru ini kena segera dijelaskan. Kalau tidak orang seberang akan buat demonstrasi di pejabat kedutaan kita di Jakarta, sambil menjerit: “Malaysia ciplak lagu Indonesia!”

*AKHIR kalam, kecoh mengenai logo, tema dan lagu merdeka 55 sengaja dicetuskan pihak tertentu untuk menghangatkan lagi bahang pilihan raya yang dirasakan semakin hampir walaupun tarikhnya belum diketahui.

Selama ini orang tidak kisah pun logo, tema, lagu dan lain-lain mengenai sambutan merdeka.

Kalau ditanya 100 orang sekarang, pasti tidak ada seorang pun ingat apa tema hari merdeka kita tahun lalu?

Rakyat hendak fikir banyak benda lain yang lebih penting dan mendesak, mereka tidak ambil port pun soal logo dan tema!

TOK PERAK
MB: Tawaran Selangor untungkan pemilik saham Syabas
TUAN NURSUHAILA RAJA MUHAMMAD
5 Ogos 2012
MB: Tawaran Selangor untungkan pemilik saham Syabas
Abdul Khalid (tengah) bersama sebahagian penduduk Taman Murni Sepang yang menerima hak milik tanah selepas lebih 20 tahun menunggu.
SEPANG - Kes mahkamah difailkan akan ditarik balik sekiranya Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (Puncak Niaga) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menerima tawaran Kerajaan Negeri Selangor untuk menjual dan memperoleh keuntungan daripada pengambilalihan operasi Syabas dengan tawaran RM933 juta, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid berkata, selepas itu, tiada lagi sebab untuk halang Kerajaan Negeri mengambil alih Syabas seperti dinyatakan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sebelum ini.

Menurutnya, tawaran tersebut membuktikan kepada rakyat bahawa Kerajaan Negeri bukan ingin merugikan pemilik saham Puncak Niaga dan Syabas, sebaliknya menguntungkan mereka.

“Kita tidak mahu rakyat tertipu lagi kerana mengikut perjanjian, apabila diswastakan pengurusan air, perkhidmatan akan bertambah baik dan sekiranya sebaliknya, tarif air tidak boleh dinaikkan.

“Mengikut perjanjian, tarif air akan dinaikkan 30 peratus pada 2008, 25 peratus pada 2012 dan 25 peratus untuk dua tahun akan datang di mana rakyat perlu bayar lebih 75 peratus kenaikan harga air namun Kerajaan Negeri tidak benarkan,” katanya selepas Majlis Pemberian Hak Milik Tanah Individu kepada penduduk Taman Murni, Sepang.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai merangkap Adun angkat Sepang, Janice Lee.

Abdul Khalid berkata, mengikut perjanjian, jika Syabas tidak tunaikan beberapa janji, harga air tidak boleh naik malah Kerajaan Negeri tidak membenarkan kenaikan supaya rakyat Selangor tidak terbeban.

“Kita faham, oleh kerana bil air tidak dapat dinaikkan,  pihak Syabas hilang pendapatan dan rugi. Sebab itu kita cadangkan supaya Kerajaan Negeri ambil alih operasi air dengan tawaran yang memberikan keuntungan namun ia tidak mahu diterima.

“Jadi kita serah kepada rakyat untuk menilai sama ada mahu sokong kerajaan yang tolong rakyat supaya harga air tidak naik atau sokong kerajaan yang tolong Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail. yang mempunyai gaji lebih RM400,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memperjuangkan hak rakyat kerana hak air adalah hak negeri.

Mengulas mengenai penyerahan hak milik tanah kepada 80 penduduk Taman Murni Sepang, beliau berkata, mereka menunggu lebih 20 tahun disebabkan pemaju yang menjalankan pembinaan tidak tunaikan tanggungjawab membayar premium dan dapatkan kelulusan pecahan tanah.

Katanya, kes itu berterusan dan Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk menyelesaikannya.

"Hari ini 60 peratus daripada pemilik sekitar 300 unit dapat pemilikan dan selebihnya akan dapat diselesaikan dalam tempoh satu ke dua bulan lagi.

“Pemilik yang masih belum memberikan maklumat tentang tanah diharap dapat berbuat demikian bagi mengelakkan tanah tersebut menjadi hak milik Kerajaan Negeri,” katanya.
Jamil: Bukan Islam tidak boleh sebar agama lain kepada Muslim

5 Ogos 2012
 Datuk Seri Jamil Khir Baharom
DaMenteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
YAN - Majlis Agama Islam negeri melalui peruntukan enakmen sedia ada boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pendakwah agama lain yang cuba menyebarkan fahaman mereka kepada umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata melalui enakmen itu, penganut agama lain tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada orang Islam.

"Penyebaran dalam bentuk bahan bercetak, video dan penulisan tidak dibenarkan kerana akan menimbulkan rasa kurang senang umat Islam terhadap kegiatan mereka," katanya ketika mengulas isu pelancong asing yang menyebarkan fahaman Kristian di Pulau Pinang yang dilaporkan akhbar Khamis lepas.

Menurut laporan itu, dua lelaki yang dipercayai pelancong asing cuba menyampaikan ajaran agama mereka ketika umat Islam bersiap sedia untuk berbuka puasa.

Jamil Khir menasihati mereka yang menjalankan kegiatan itu agar memahami terlebih dahulu peraturan majlis agama di negara ini dan perlu mematuhinya agar tidak dikenakan tindakan undang-undang.
  
Beliau berkata terdapat satu kes yang mengguna pakai enakmen berkenaan dan tertuduh dikenakan denda serta penjara di Pahang pada 2002 dan ini perlu dijadikan sebagai iktibar.

Terdahulu, Jamil Khir menyampaikan sumbangan peribadinya iaitu sebuah mesin hemodialisis bernilai RM65,000 kepada Hospital Yan bagi menampung kekurangan mesin tersebut untuk merawat 37 pesakit sekitar daerah Yan.

Beliau berharap syarikat korporat, swasta serta individu lain turut menyumbang mesin tersebut untuk pesakit bagi memudahkan mereka menjalani rawatan tanpa perlu menunggu terlalu lama. - Bernama
Pas ajak bukan Islam bincang Negara Berkebajikan
Jamilah Hamzah
5 Ogos 2012
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
GOMBAK - Pas mempelawa pemimpin parti lain terutama bukan Melayu untuk berganding membincangkan dasar Negara Berkebajikan - pendekatan yang diketengahkan parti itu Jun tahun lalu, secara menyeluruh.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, orang bukan Melayu atau bukan Islam diberi peluang untuk bersama membangunkan dasar pembangunan Negara Berkebajikan melalui konsep keadilan dibawa pihaknya - komponen Pakatan Rakyat (PR).

Menurutnya, kaum-kaun lain selain Melayu yang menjadi sebahagian komposisi negara ini akan bersama menjadi pendukung bagi menggerakkan sesebuah negara terutamanya Malaysia.

"Kita buka peluang kepada orang bukan Melayu untuk turut serta berbincang tentang dasar-dasar Negara Berkebajikan ini.

"Mereka juga adalah segmen masyarakat yang akan jadi pendukung dalam pembentukkan sesebuah negara," kata beliau pada program pelancaran Seminar Prof. Zulkifli Muhammad Membangun Negara Berkebajikan di markas Pas di Taman Melewer di sini, hari ini.

Sebelum ini, pesaingnya Barisan Nasional (BN) mengecam idea lanjutan yang dikemukakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar presiden pada muktamar Jun 2011.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pas memerlukan sokongan orang bukan Islam untuk mendirikan kerajaan disebabkan kemampuan orang Melayu masih lagi kurang mampu.

"Pas memerlukan sokongan golongan bukan Islam kerana orang Melayu tak mampu dirikan kerajaan tanpa kaum lain.

"Kita akan buat juga buku Negara Berkebajikan dengan pelbagai bahasa supaya rakyat lebih mudah memahami," katanya lagi.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata, tiga aspek akan dimasukkan ke dalam buku Negara Berkebajikan, sekali gus menjadikannya sebagai sebahagian intipati manifesto PR.
Tiga aspek itu ialah pemilikan rumah oleh rakyat, implimentasi sistem percukaian dan dasar hiburan di kalangan anak muda.
Menurutnya, hasil daripada komunikasi dua hala antara rakyat dan pemimpin akan diperhalusi dan dijadikan polisi untuk menjadikan panduan bagi menjalankan ketiga-tiga dasar itu.
"Kita ada tiga cadangan dasar baru yang bakal dimasukkan ke dalam buku Negara Berkebajikan itu.
"Kita ada selenggara dan buat kemasan dalam masa tiga bulan supaya sesuai dengan keadaan negara yang mempunyai masyarakat majmuk tapi perbincangan semula antara masyarakat diperlukan untuk diperhalusi keperingkat tinggi," katanya.
Salahuddin berkata, dasar yang dinyatakan itu akan dibahas secara umum antara rakyat dan pemimpin dengan adil supaya keperluan rakyat boleh didengari.
"Keadilan yang dibawa oleh Pas akan dilakukan dalam membahaskan dasar serta polisi-polisi yang akan dijadikan bahan rujukan oleh semua rakyat di dalam buku Negara Berkebajikan nanti.
"Segala yang dibahaskan akan diperhalusi dan masalah rakyat akan didengari," katanya lagi.
Kelantan ragui penubuhan jawatankuasa khas
Wartawan Sinar Harian
5 Ogos 2012
Logo Isu Royalti
Isu Royalti Minyak
Kelantan ragui penubuhan jawatankuasa khas
Nik Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan masih ragu-ragu dengan penubuhan jawatankuasa khas untuk mengkaji pembayaran royalti atau bayaran tunai petroleum yang dituntut mereka selama ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tuntutan itu ia dilihat masih samar-samar kerana ia sebenarnya akan ditentukan dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Beliau yang baru tiba dari Makkah semalam ketika memberitahu Sinar Harian turut menyifatkan, tindakan tersebut  hanya langkah politik menjelang pilihan raya untuk meredakan perasaan rakyat Kelantan.

“Adakah Barisan Nasional (BN) menggunakannya sebagai ‘jambatan’ untuk menyeberangi pilihan raya ini dengan selamat, khususnya dalam konteks Kelantan?

“Jelas dari inti pati kenyataan Najib berkenaan, keadaan masih samar-samar. Ketika ia seakan membawa satu sinar harapan kepada rakyat Kelantan,” katanya semalam.

Husam berkata, sekarang bulan Ogos, jika pilihan raya diadakan dalam tempoh sebelum jawatankuasa itu membuat laporan dan seterusnya menunggu pertimbangan Kabinet atas rekomendasi mereka, keputusannya boleh menjadi seribu kemungkinan.

“Ia mungkin berakhir sebagai sebuah latihan akademik semata-mata. Sehingga ia tidak dilihat tidak melayani harapan rakyat Kelantan dan pada masa yang sama, tidak pula memenuhi tuntutan itu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri turut mempersoalkan tempoh yang diambil oleh jawatankuasa itu iaitu dalam masa enam bulan.

 “Kenapa enam bulan, kenapa tidak tiga bulan, dan kenapa ia diumumkan ketika  menjelang pilihan raya dan bukannya sebelum ini?” katanya.

Meskipun mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa itu atas kedudukan sekurang-kurangnya tuntutan Kelantan telah memaksa Jawatankuasa ini ditubuhkan, namun Husam berkata, Kerajaan Negeri, tidak menarik balik samannya ke atas Petronas yang dijadualkan, satu dari prosidingnya akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada Oktober ini.

Tiada ulasan: