Ahad, 5 Ogos 2012

BETULKE TELUS DAN ADIL...JANGAN SEMBANGLAH

Royalti: Rakyat Kelantan tidak goyah tukar k'jaan

Salmiyah Harun, 05 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Sikap drastik Perdana Menteri Najib Tun Razak yang dilihat agak berlembut apabila mahu menubuhkan jawatankuasa mengkaji bayaran royalti petroleum untuk Kelantan, tidak sekali-kali akan mengubah pendirian rakyat negeri itu.

Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Prof Datuk Dr Nik Mohd Zain Nik Yusof berkata, rakyat Kelantan tidak mudah untuk menukar kerajaan, jika selepas ini ditakdirkan Najib Tun Razak membayar royalti kepada negeri itu.

"Tidak mustahil, Najib boleh membuat pengumuman sebelum pilihan raya, manalah tahu, beliau nak bagi 20 peratus royalti pada kerajaan Kelantan," katanya ketika ditemui.

Beliau yang merupakan pensyarah sambilan di sebuah IPTA berkata, rakyat Kelantan cukup terkenal dengan sifat istiqamahnya menyokong kepimpinan PAS sejak sekian lama justeru sokongan itu tidak mungkin akan goyah.

Malah beliau menyifatkan kesediaan Najib terhadap tuntutan negeri Kelantan itu ekoran tercabar dengan tawaran sebanyak 20 peratus royalti akan diberikan kepada negeri Sabah dan Sarawak oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengambil alih negeri itu.

Mengulas lanjut, berhubung keengganan kerajaan pusat memberi royalti, katanya ia merupakan satu kerugian kepada orang Melayu sendiri khususnya di Kelantan.

"Kerana fahaman politik yang berbeza, kerana Kelantan diperintah oleh PAS maka Najib bertindak menafikan hak rakyat negeri itu, siapa yang rugi? Orang Melayu juga," katanya yang juga merupakan anak jati Kelantan. 

Pinjaman: Yayasan T’ganu wajar berlapang dada

Harakahdaily, 05 Ogs 2012
KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) melahirkan rasa simpati kepada 9 pelajar di Mesir yang menjadi mangsa penamatan pinjaman oleh Yayasan Terengganu.
“Bagi pihak DPPNT, tindakan tersebut adalah suatu kezaliman kerana para pelajar ini tidak diberi ruang yang luas bagi diadili secukupnya,” kata setiausahanya, Mohd Zaidan Abdullah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Justeru, ujarnya DPPNT menyambut baik tindakan Muhamad Hasyim Che Ngah yang membuat rayuan bagi mendapatkan semula hak beliau yang telah dinafikan Yayasan Terengganu.

Tambahnya, tindakan tersebut diharap dapat menyelesaikan kesulitan yang dihadapi beliau dan keluarga ekoran kos pengajian yang tinggi bagi pelajar perubatan.

DPPNT juga, katanya berharap Yayasan Terengganu sedar atas kesilapan keputusan pihak mereka membatalkan pinjaman sebelum ini dengan memberikan semula pinjaman terhadap pelajar terbabit.

“Sifat berlapang dada yang ditunjukkan tersebut akan membuatkan badan tersebut lebih dihormati dan dipercayai,” ujarnya.

Menurutnya lagi, menyedari kesulitan yang dihadapi oleh 9 pelajar berkenaan selepas ditamatkan pinjaman, DPPNT dan PAS Terengganu telah mengambil langkah segera bagi membantu pelajar terbabit.

“Alhamdulillah, setakat ini setiap pelajar sudah menerima kira-kira RM3,500 yang diserahkan melalui keluarga masing-masing secara berperingkat,” jelasnya.

Selain DPPNT, katanya pelbagai pihak dalam PAS turut telah menyerahkan sumbangan kepada pelajar terbabit.

Sehubungan itu, ujarnya pihak DPPNT masih terus berusaha bagi mendapatkan sumbangan pelbagai pihak bagi disalurkan kepada pelajar-pelajar terbabit.

“Insya Allah, di hujung Ramadhan ini sebanyak RM1,000 lagi akan diserahkan bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Sumbangan terhadap pelajar terbabit boleh dilakukan melalui akaun MAYBANK ISLAMIC bernombor 5630 6411 3873 atas nama DANA TA'AWUN DPPNT (Sila SMS ke 0139277330 – Ustaz Faizul, butiran sumbangan)

AKSB kerja keras atasi gangguan air di Pasir Mas

Mohd Nor Yahya, 05 Ogs 2012

PASIR MAS: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kini bekerja keras bagi mengatasi masalah  kesurutan air yang begitu ketara di Loji Rawatan Air (LRA) kesan kemarau yang berlaku sekarang.

Keadaan itu menyebabkan pengguna di Pasir Mas dan Tumpat mengalami gangguan bekalan air kebelakangan ini.

Pengurus Teknikal AKSB, Iskandar Abdul Rahman berkata, kebiasaannya LRA Kelar boleh menampung 60 MLD sehari, namun sekarang hanya 45 MLD sahaja disebabkan penurunan paras air.

“AKSB telah berusaha mengambil beberapa tindakan segera termasuk merendahkan muka sauk dan membina telaga tiub.

“Insya-Allah apabila siap nanti telaga tiub, pengeluaran air akan meningkat semula ke tahap 60 MLD sehari,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di LRA Kelar dekat sini hari ini.

Sebelum ini orang ramai merungut masalah tekanan air begitu rendah di Pasir Mas dan Tumpat sehingga ramai menyalahkan AKSB kerana tidak bertindak segera menanganinya.

Iskandar berkata, AKSB sudah berusaha menyelesaikan masalah tersebut dan tentunya ia mengambil sedikit masa untuk diatasi sepenuhnya.

Malah AKSB juga menyalurkan bekalan air mentah melalui tangki-tangki bergerak ke kawasan-kawasan yang dianggap kritikal.

“Kemarau yang berlaku sekarang belum pernah terjadi dalam masa 25 tahun sehingga menyebabkan berlakunya pengurangan air yang begitu mendadak,” ujarnya.

LRA Kelar dibina pada 2003 dan mula beroperasi dua tahun kemudian merupakan punca utama bekalan air bersih di jajahan Pasir Mas dan Tumpat.

Menurutnya juga AKSB membelanja RM300,000 bagi mengubah rekabentuk operasi pam air bersih dan memasang tiga pam dalam sungai bagi pemindahan air ke muka sauk.

“Insya-Allah pelbagai usaha dijalankan AKSB akan dapat menyelesaikan masalah tekanan rendah tidak lama lagi,” ujar beliau.

Pakatan: Beri Kelantan royalti, panel tak perlu
NURUL AINI MOHAMED ALI
5 Ogos 2012
Logo Isu Royalti
Isu Royalti Minyak
SHAH ALAM - Rakan-rakan Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) berpendirian penubuhan panel khas royalti petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung tidak perlu ditubuhkan, sebaliknya pembayaran sepatutnya diberi secara terus kepada Kelantan.

Naib Presiden PKR, N. Surendran berkata, kerajaan pusat hanya menggunakan nama jawatankuasa khas sebagai taktik Barisan Nasional (BN) membuat persiapan dalam minit-minit terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Hak negeri Kelantan harus diberi secara adil. Jika benar mahu tubuh jawatankuasa khas, kenapa tidak dari dulu saja? Mengapa baru sekarang?" kata beliau.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung.

Menurut Najib, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Jawatankuasa itu akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan, kata Najib.

Surendran yang juga seorang peguam membidas kajian enam bulan, yang akan dijalankan oleh jawatankuasa itu, atas alasan ia tidak masuk akal.

Jelas beliau, PKR menjangkakan tempoh enam bulan akan melepasi tarikh PRU13 dan jelas langkah menubuhkan jawatankuasa dimaksdukan hanya mainan politik BN.

“Jika mahu kaji selama enam bulan, PRU sudah selesai.

"Jawatankuasa hanya berpura-pura mahu selesaikan konflik ini dan bayaran royalti belum tentu lagi akan diberikan secara terus kepada negeri Kelantan,” tegas beliau.

Sehubungan itu tegas, beliau yakin yang Kelantan tidak akan tertipu kerana taktik BN ini tidak akan memberi impak yang besar dan tidak akan mempengaruhi undi dalam PRU kelak.

Tambah beliau, penubuhan jawatankuasa khas ini tidak lagi menjadi satu isu kerana apa yang penting, Kelantan mesti mendapatkan semula hak mereka yang selama ini dinafikan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Royalti tetap milik Kelantan. Jadi ia mesti diberikan secara adil,” tegasnya.

DAP turut berpendapat yang penubuhan jawatankuasa khas yang diumumkan Najib semalam tidak menjadi satu isu jikapun ia tidak ditubuhkan.
Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, pemberian royalti sememangnya hak Kelantan sejak dulu lagi.

“Selama ini hak Kelantan dinafikan oleh Kerajaan Pusat, jadi saya amat berharap mereka dapat kembalikan semula hak Kelantan yang selama ini tidak pernah dirasai oleh rakyatnya,” kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Menurutnya lagi, bayaran royalti kelak mesti diberikan secara adil dan saksama kepada Kelantan, bukan menggunakan wang ihsan.

“Saya sendiri berasal dari Kelantan. Perjuangan untuk mengembalikan hak ini sudah terlalu lama. Jadi permainan apa yang ingin dimainkan BN dengan tubuhkan jawatan kuasa ini?” kata Ahli Parlimen Kepong.


Najib: Kerajaan Pusat adil, telus tidak nafikan hak rakyat Kelantan

5 Ogos 2012
Najib: Kerajaan Pusat adil, telus tidak nafikan hak rakyat Kelantan
Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak melihat kain rentang yang disediakan mahasiswa Universiti Tekonolgi Malaysia (UiTM) Kelantan ketika tiba di Lapangan Terbang.-Foto Bernam
BACHOK - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Pusat tidak pernah menafikan hak rakyat Kelantan dalam apa jua perkara termasuk dalam isu tuntutan bayaran tunai daripada hasil petroleum.
 
Perdana Menteri berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa  berlaku adil dan telus kepada semua rakyat Malaysia termasuk rakyat Kelantan.
 
"Sebagai kerajaan pimpinan BN, kita mesti ikut perintah Allah. Antaranya kita mesti berlaku adil bila kita memerintah, kerajaan BN memang berlaku adil kepada rakyat Malaysia," katanya semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Penyampaian Bantuan Kebajikan Masyarakat di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Perdana di sini, malam ini.
 
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Barisan Nasional Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ketua Umno Bachok Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin.
 
Berucap di hadapan lebih 20,000 orang penduduk Bachok, Najib menegaskan kerajaan pusat sememangnya berlaku adil dan telus dengan tidak memilih "bulu" dan membezakan fahaman politik, dalam memenuhi kepentingan rakyat.
Kita berlaku adil kepada rakyat Malaysia. Kita takut kepada Allah, kita tidak takut kepada yang lain. Kita tidak tipu sebab itu bila timbul isu royalti minyak, isu petroleum...isu ini tidak dapat kita selesaikan sehingga ini.

"Datuk Pa (Mustapa) jadi sasaran, Awang Adek jadi sasaran, saya juga jadi sasaran, kononnya kami ini tipu rakyat Kelantan. Di bumi Kelantan ini, bulan Ramadan, kami tidak menafikan hak rakyat kelantan.
  
"Kita nak berlaku adil, telus, nak buka buku baru kepada rakyat Kelantan bahawa kerajaan pusat tidak menafikan hak walau satu tong minyak pun," katanya.
  
Perdana Menteri berkata bagi menyelesaikan isu tuntutan bayaran tunai itu kerajaan Pusat menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi mengkaji secara adil dan telus berhubung isu itu kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang.

 "Bertindak mesti berdasarkan Perlembagaan Negara, mengambil kira telaga minyak di mana, Petronas akan beri penjelasan, telaga minyak ada di lautan luas milik kerajaan pusat. Tapi kita memutuskan lima peratus dibayar sebagai bayaran tunai supaya rakyat Kelantan, Terengganu dan Pahang dapat," katanya.

Najib berkata beliau sudah mengutus surat kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk memilih seorang wakil bagi menganggotai jawatankuasa itu.
  
Beliau mahukan wakil itu seorang yang tidak berpihak kepada mana-mana parti sebaliknya mempunyai semangat dan jiwa rakyat Kelantan.
  
Perdana Menteri gembira dengan kehadiran begitu ramai rakyat Kelantan dalam majlis yang dihadirinya sebelum ini dan juga hari ini, yang menunjukkan sokongan mereka kepada BN.
  
Beliau berkata rakyat Kelantan mahukan perubahan dan BN sudah bersedia untuk melakukan tranformasi termasuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih.

Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan pembinaan Hospital Bachok yang akan dimulakan pada tahun depan. - Bernama

Tiada ulasan: