Rabu, 1 Ogos 2012

KEPINCANGAN TERUS SUBUR...KEYAKINAN RAKYAT BERTAMBAH MEROSOT...TINDAKAN KITA BUKAN MENYELAMAT MALAH MENJERUT LEHER BALIK...RAKYAT DAH TAHU YANG TERSURAT SERTA YANG TERSIRAT

Pemuda PAS cabar agihan wang ehsan diaudit

Harakahdaily, 01 Ogs 2012
KOTA BHARU: Jika benar wang ehsan yang diagihkan oleh kerajaan pusat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) adil, Pemuda PAS Kelantan mencabar agar ia diaudit dan dibentangkan kepada rakyat.

Demikian kata Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman (gambar) dalam kenyataannya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Bendahari Pemuda UMNO Kelantan, Datuk Bazlan Baharuddin yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian hari semalam.

Bazlan dalam kenyataan tersebut menyifatkan bahawa PAS hanya berlakon membela rakyat dalam isu tuntutan royalti minyak.

Menurutnya, tujuan kerajaan Pusat menukar wang royalti tersebut kepada wang ehsan dan tidak disalurkan melalui kerajaan negeri ialah kerana tidak mahu ia diagih secara tidak adil oleh kerajaan negeri.

"Saya menyifattkan kenyataan Bazlan ini sebagai satu kenyataan yang sangat mengarut dan tidak benar apabila mempertahankan langkah kerajaan pusat mengubah royalti menjadi wang ehsan hanya semata-mata kerana bimbang ia tidak dapat diagihkan dengan adil.


"Sedarkah Bazlan bahawa pembahagian yang dilakukan oleh kerajaan Pusat itulah yang tidak adil?" soal beliau.

Hakikatnya, kata Latif, pembahagian wang ehsan ini tidak pernah diaudit dengan telus.
Juteru, jika Bazlan mendakwa bahawa wang ehsan yang diagihkan oleh kerajaan pusat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) adil, beliau mencabar agar ia diaudit dan dibentangkan kepada rakyat.

Abdul Latif mengingatkan bahawa perjanjian yang dimeterai antara kerajaan negeri Kelantan dan Petronas itu adalah perjanjian untuk mengeluarkan lima peratus wang royalti minyak kepada negeri dan wang itu pula sepatutnya diserahkan kepada kerajaan negeri tersebut untuk diurus tadbir dan dimasukkan dalam Wang Disatukan.

Ia menjadi hak kerajaan dan rakyat negeri secara undang-undang, katanya.

Inilah juga yang ditegaskan oleh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang sendiri, Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah, tambah Abdul Latif.

Bazlan, kata beliau, sepatutnya menyedari bahawa di negeri-negeri yang diperintah oleh UMNO dan Barisan Nasional, tahap kemiskinan masih teruk sekalipun menerima wang royalti minyak.

Inilah yang berlaku di Sabah dan Sarawak yang jauh lebih terkebelakang berbanding Kelantan.

"Adakah ini bukti kebijaksanaan kerajaan Barisan Nasional menguruskan duit?" soalnya.

Justeru, beliau mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Bazlan.

"Pada saya, beliau tidak layak bercakap tentang membela nasib rakyat Kelantan," katanya.

Adalah lebih baik beliau menumpukan perhatian kepada mempertahankan kerusi Ketua Pemuda UMNO Gua Musang yang diperolehinya secara kontroversi empat tahun yang lepas di samping belajar menghormati tokoh pemimpin yang lebih senior di Gua Musang sendiri iaitu YBM Tengku Razaleigh Hamzah, tambahnya.

'Polis arah saya padam gambar Bersih 3.0'

Hazayani Zakaria, 01 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Seorang petugas media memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa beliau terpaksa mengikut arahan polis agar memadamkan gambar yang diambil ketika Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu kerana bimbang keselamatan dirinya.

Jurugambar akhbar The Star, P. Puspanathan, 41, berkata, sekumpulan polis memberi amaran kepadanya agar berhenti mengambil gambar polis yang sedang mengarahkan peserta Bersih 3.0 bersurai di sekitar Masjid Jamek.

"Saya ada bagitahu saya daripada media dan tunjukkan kad media saya tapi polis tidak endah. Mereka mengelilingi saya dan arahkan saya delete semua gambar yang saya ambil.

"Saya risau saya diapa-apakan, jadi saya delete gambar dari memori kad. Sebelum itu polis pukul peserta, jadi tidak mustahil polis akan pukul saya juga kalau tidak ikut arahan," kata beliau pada pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Puspanathan berkata, beliau sudah membuat liputan di beberapa perhimpunan sebelum ini namun pertama kali berhadapan dengan situasi demikian.

"Sebelum ini saya sudah bertugas di beberapa perhimpunan tapi ini kali pertama polis arahkan saya delete semua gambar," katanya yang sudah 22 tahun menjadi jurugambar.

Diminta memberi pandangan sebab polis bertindak demikian, beliau tidak menolak kemungkinan polis mengarahkan demikian kerana tidak mahu gambar mereka memukul peserta disiarkan di akhbar.

"Polis tidak beritahu saya tidak boleh ambil gambar tapi mungkin mereka tidak mahu gamabr yang nampak mereka pukul peserta," katanya.

Tambah beliau lagi, pada perhimpunan tersebut, beliau lebih takutkan polis daripada peserta yang disifatkan sebagai tidak ganas.

"saya lebih takut polis. Saya tidak nampak peserta bertindak ganas. Mereka cuma mahu ke Dataran Merdeka tapi polis halang, jadi mereka berkumpul di Masjid Jamek," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Saman bukan niaga tapi didik pengguna jalan raya

Harakahdaily, 01 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) membantah cadangan Suruhanjaya Khas untuk mengkaji perkhidmatan awam yang mencadangkan supaya semua pemandu dan penunggang motosikal yang melakukan kesalahan trafik perlu menyelesaikan saman mereka serta-merta atau kenderaan mereka akan ditahan.
“DPPWP menganggap cadangan ini amat keterlaluan serta tidak sesuai dilaksanakan kerana menganiaya pengguna jalan raya,” kata Timbalan Ketuanya, Mohd Suhaimi Abdul Aziz (gambar).

Menurutnya, meskipun DPPWP bersetuju pesalah trafik dikenakan hukuman, namun untuk membayar serta merta saman yang dikenakan ke atas mereka merupakan cadangan yang tidak relevan.

Ini, ujarn ya kerana bukan semua pengguna trafik terdiri daripada kalangan mereka yang berkemampuan untuk membayar saman serta merta.

Katanya, kemungkinan mereka mempunyai urusan penting yang perlu diselesaikan dengan segera, dan jika kenderaan mereka ditahan kerana gagal membayar saman tersebut, ia dianggap telah menzalimi pengguna jalan raya.

“Cadangan ini juga dibimbangi akan menggalakkan gejala rasuah antara polis trafik dengan pengguna jalan raya.

“Jika selama ini, tiada bayaran dikenakan oleh polis trafik semasa menyaman pengguna, namun masih rasuah berleluasa, bagaiman pula jika bayaran terpaksa dibuat serta merta dengan kos tambahan terpaksa diselit di celah-celah bayaran tersebut bagi mengurangkan atau menghapuskan saman mereka,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Gejala ini, katanya mungkin akan menjadi bertambah parah dan sukar dikesan jika ianya benar-benar dilaksanakan nanti.

Sepatutnya, kata beliau suruhanjaya perlu melihat kepada keperluan dan kemampuan rakyat.

Baginya, saman adalah suatu hukuman dan pendidikan kepada pengguna supaya patuh kepada peraturan jalan raya.

Beliau berkata, dengan saman pengguna akan lebih berdisiplin, dan ini sudah tentu akan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Tambah beliau lagi, saman diadakan bukan untuk berniaga antara kerajaan dengan rakyat, ia hanya alat bagi mengajar pengguna erti peraturan yang perlu dipatuhi di jalan raya.

“Bagi pengguna jalan raya yang tidak mampu membayar saman serta merta, mereka perlu diberi peluang untuk menjelaskan saman di kemudian hari dalam tempoh yang diberikan,” katanya lagi.

Selain dari itu, ujarnya kerajaan juga perlu melihat kepada alternatif lain dalam mendidik pengguna jalan raya selain daripada saman.

“Yang penting adalah ianya dapat meningkatkan kesedaran pengguna terhadap aspek keselamatan jalan raya,” ujarnya.

Beliau berpandangan, jika mekanisme lain mampu mendidik dan mendisiplinkan pengguna jalan raya tentang peri pentingnya mematuhi peraturan jalan raya, ia amat baik untuk dilaksanakan selain dari saman.

“Justeru, DPPWP meminta suruhanjaya khas mengkaji balik cadangan tersebut dan menggantikannya dengan cadangan yang lebih relevan, sesuai serta menyenangkan semua pihak supaya tidak ada pihak yang merasa dizalimi oleh kerajaan,” katanya lagi.

Pendakwaan Rafizi politik dendam Najib - Anwar

Harakahdaily, 01 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendakwaan terhadap Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (Bafia) bermotif politik.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, penangkapan Rafizi adalah berkaitan dengan isu skandal National Feedlot Cooporation (NFC) dan juga Georg Kent yang baharu sahaja diberikan kontrak jutaan ringgit.

"Ini menggambarkan politik dendam yang ditunjangi PM Najib Razak dan menggunakan agensi-agensi kerajaan yang dikawal penuh.

"Motif penangkapan yang amat jelas berunsurkan politk semata-mata bertujuan untuk memastikan Rafizi untuk berdiam daripada terus mendedahkan pelbagai lagi dokumen-dokumen yang melibatkan pimpinan kerajaan Umno BN," katanya sambil mengecam keras penangkapan itu.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata, sejak pendedahan NFC akhir tahun lalu sehinggalah kini, dan beberapa lagi skandal penyelewengan, Rafizi telah mendapat ramai seteru yang berkuasa dan akan menggunakan apa saja cara untuk mendiamkannya.

"Ini hanyalah satu cara bagi mereka untuk terus menakutkan rakyat yang mahu mencari kebenaran disebalik kontrak dan kronisme yang berkaitan dengan pimpinan Umno BN," katanya.

Dakwa Rafizi: Sah transformasi Najib bohong

Muhammad Faizal, 01 Ogs 2012
SHAH ALAM: PAS menyifatkan segala janji-janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan tranformasi politik hanya cakap politik semata-mata.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar yang ditemui di Mahkamah Shah Alam berkata, segala janji Najib itu terbatal dengan hanya tindakan pendakwaan terhadap Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli hari ini.

"Kes pendakwaan hari ini membuktikan segala janji kerajaan di bawah Najib dalam membawa perbaharuan selaras dengan demokrasi semuanya terbatal.

"Apa yang dijanjikan oleh beliau itu hanya sekadar cakap-cakap politik Umno-Barisan Nasional sahaja," jelasnya ketiaka ditemui di Mahkamah Shah Alam hari ini.

Beliau yang hadir memberi sokongan kepada Rafizi berkata, sempena bulan Ramadhan ini sepatutnya kerajaan menggalakkan rakyat meningkatkan ibadat serta meningkat amalan kebaikan.

Namun katanya, tindakan pendakwaan terhadap individu yang menegakkan kebaikkan telah mencemar kesucian bulan Ramadhan.

"Kesucian bulan Ramadhan akhirnya tercemar apabila tiba-tiba orang yang ingin membawa perubahan kebaikan dalam menonjolkan penyelewengan dan rasuah akhirnya didakwa.

"Pendedahan penyelewengan dilakukan kerana ia melibatkan ratusan juta wang rakyat dan wang negara namun kerajaan di bawah Najib tetap meneruskan pendakwaan," katanya.

Kamarudin turut menyatakan, ini bukti yang jelas bahawa semua rakyat mesti memahami bahawa kerajaan di bawah Najib seperti mahu melindungi mereka-mereka yang terlibat dalam rasuah serta penyelewengan.

"Kita melihat tidak ada sedikit pun unsur-unsur yang dilakukan oleh Najib dalam mengambil tindakan serta menghukum mereka yang melakukan jenayah terutamanya rasuah walaupun bukti yang jelas telah didedahkan.

"Malah Najib masih lagi mahu melindungi mereka-mereka ini serta memberi peluang untuk mereka-mereka yang terlibat membersihkan nama," tambahnya.

Beliau yang ketika ditanya tentang peluang kemenangan dalam kes hari ini memberitahu bahawa pendakwaan hari ini memberi peluang untuk melakukan pendedahan yang lebih mendalam.

"Bagi kes ini telah memberi ruang kepada kita membuat lebih pendedahan dan kita berpeluang untuk menang.

"Selain itu juga peluang kepada kita menjelaskan lagi kepada rakyat bahawa tidak ada penyelesaian terhadap masalah hari ini jika berada di bawah Umno-Barisan Nasional kecuali melakukan perubahan melalui pilihanraya umum yang akan datang," tegasnya.

AES: Janji Ditepati, ini masa balas budi

Datuk Mahfuz Omar, 01 Ogs 2012
Utusan Malaysia Online bertarikh 31/07/2012 menyiarkan laporan bahawa Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri menyatakan Sitem Penguatkuasaan Automatik [AES] kini sedang dalam fasa ujian dan akan dilaksanakan sepenuhnya pada 12/08/2012 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mengesan kesalahan memandu melebihi hadlaju dan melanggar isyarat lalulintas.
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE] mengalu-alukan perlaksanaan apa saja bentuk penguatkuasaan undang-undang lalulintas yang bertujuan menjamin keselamatan pengguna jalanraya keseluruhannya. Walau bagaimana pun KASE menegaskan bahawa apa jua bentuk penguatkuasaan undang-undang dan peraturan lalulintas, tujuan utamanya ialah untuk keselamatan pengguna dan bukannya berasaskan keuntungan kewangan yang akhirnya akan terus memberikan masalah kepada pengguna jalanraya dan seterusnya membebankan mereka dari segi ekonomi dan sebagainya.

Pengumuman mengejut perlaksanaan AES oleh Timbalan Menteri Pengangkutan semalam masih tidak menjawab beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini oleh KASE mahupun oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat Ahli Parlimen samada di Dewan Rakyat mahupun di Dewan Negara. Justeru KASE mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Pengangkutan berkaitan beberapa isu yang masih tidak dijawab secara telus dan terbuka.

Pertama: Siapakah pengendali kamera AES?

Tinjauan di dalam laman sesawang (website) Jabatan Pengangkutan Jalan [JPJ] mendapati terdapat penerangan berbentuk “Soalan Lazim [FAQ]” telah dimuatnaik. Soalan nombor 7 – Agensi manakah yang akan bertanggungjawab terhadap perlaksanaan AES? Jawapan yang diberikan ialah Kementerian Pengangkutan sebagai tuanpunya manakala JPJ bertanggungjawab melaksanakan secara langsung dan merupakan “end user” kepada sistem AES. Miros bertanggungjawab dalam menentukan lokasi kamera manakala JKJR bertanggungjawab dalam advokasi dan kempen kesedaran.

Jawapan soalan 7 ini menyembunyikan beberapa perkara yang perlu diperjelaskan. Kenapa pihak Kementerian tidak menyebutkan dua (2) syarikat yang terlibat menyediakan perkhidmatan AES ini? Timbalan Menteri Pengangkutan semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012 di Dewan Negara pada 17/07/2012 yang lalu menyatakan bahawa dua (2) syarikat iaitu Beta Tegap Sdn Bhd. dan ATES Sdn. Bhd. telah diberikan hak oleh Kerajaan untuk memasang dan menyediakan perkhidmatan AES kepada Kerajaan. Syarikat Beta Tegap Sdn Bhd akan menggunakan teknologi RedFlex buatan Australia manakala ATES Sdn Bhd menggunakan teknologi Genoptik Robot dari Jerman. Persoalan yang perlu diperjelaskan oleh Kerajaan ialah berapakah nilai kontrak yang diperolehi oleh kedua-dua syarikat ini?

Melalui suatu kenyataan kepada Bursa Saham Australia bertarikh 19/12/2011, Redflex Traffic Systems Pty Ltd telah mengumumkan bahawa mereka telah memeterai suatu perjanjian untuk menyediakan 450 unit kamera statik, 140 kamera bergerak dan perkhidmatan susulan kepada Beta Tegap Sdn Bhd yang keseluruhannya bernilai $50 juta. Kontrak antara Redflex Traffic Systems Pty Ltd dengan Beta Tegap Sdn Bhd bernilai $50 juta, berapa pula nilai kontrak di antara Kerajaan dengan Beta Tegap Sdn Bhd? Bagaimana pula nilai kontrak di antara Kerajaan dengan ATES Sdn Bhd. Kerajaan perlu jelaskan perkara ini.

Perlu diambil perhatian bahawa kedua-dua syarikat ini akan mendapat pulangan hasil daripada kutipan saman yang dikeluarkan melalui AES. Pada September 2009 sebelum AES dimaktubkan di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987, kedua-dua syarikat ini telah bersetuju dengan Kerajaan melalui suatu Modul Kewangan yang memperincikan kadar keuntungan yang akan mereka perolehi hasil perkhidmatan AES yang mereka sediakan. KASE berpendapat bahawa hasil Modul Kewangan inilah yang menjadi faktor utama Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda pada sesi Parlimen yang lepas dengan menetapkan kadar minima denda tidak kurang RM300 bagi kesalahan lalulintas. KASE sekali lagi memohon penjelasan pihak Kerajaan berkaitan perkara ini.

Kedua: Berapakah bilangan kamera yang terlibat di dalam AES dan di mana lokasi kamera dipasang?

AES melibatkan penggunaan kamera samada statik, bergerak (mobile) dan juga statik bergerak. Timbalan Menteri Pengangkutan di dalam Dewan Negara semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012 pada 17/07/2012 yang lalu berkata sejumlah 1,093 unit kamera terdapat di dalam AES. Walau bagaimana pun melalui Soalan Lazim di nombor 10 yang dimuatnaik di laman JPJ menyatakan bahawa jumlah kamera ialah sebanyak 1,081 di mana 566 kamera untuk mengesan hadlaju, 265 kamera untuk lampu isyarat manakala 250 ialah kamera mudah alih. KASE memohon Kementerian perjelaskan perbezaan jawapan ini.

Pengumuman oleh Redflex Traffic Systems Pty Ltd bahawa mereka menyediakan 590 unit kamera kepada Beta Tegap Sdn Bhd justeru dapat disimpulkan bahawa kamera yang akan digunakan oleh ATES Sdn Bhd yang menggunakan teknologi Genoptik Robot ialah sebanyak samada 491 unit atau 601 unit. Jawapan Timbalan Menteri semasa di Dewan Negara ialah Beta Tegap Sdn Bhd akan memberikan perkhidmatan AES di zon selatan iaitu antara Kuala Lumpur ke Johor Bharu manakala Ates Sdn Bhd bagi zon utara daripada Kuala lumpur ke Perlis.

KASE mohon Kementerian menjelaskan kenapakah dua (2) syarikat ini perlu menggunakan dua (2) sistem yang berbeza dan kenapa Kerajaan tidak terus memasuki perjanjian dengan pembekal perkhidmatan tersebut tetapi melalui Beta Tegap Sdn bhd dan ATES Sdn Bhd?.

Seterusnya KASE memohon pihak Kementerian supaya menyiarkan lokasi di mana kamera-kamera tersebut dipasang di seluruh negara. Kerajaan menyatakan bahawa lokasi kamera bukan rahsia kerana akan diletakkan papan tanda amaran, justeru KASE mendesak Kerajaan supaya menyiarkan di dalam Akhbar Perdana samada Berita Harian, Utusan Malaysia, The Star, The New Straits Times dan akhbar-akhbar lain di manakah lokasi setiap kamera dipasang. Penyiaran lokasi kamera ini perlu dibuat sebelum penguatkuasaan AES dilaksanakan pada 12/08/2012 nanti sebagai amaran kepada pengguna jalanraya supaya lebih berhati-hati sesuai dengan pendapat Kerajaan bahawa perlaksanaan AES ini adalah untuk meningkatkan perasaan “perception of being caught”.

Ketiga: Apakah peranan PDRM di dalam AES.

Soalan Lazim nombor 8 menjawab bahawa PDRM akan menggunakan AES untuk mengesan jenayah dan tugas-tugas trafik malah kamera bergerak AES juga akan dikendalikan oleh PDRM dan juga JPJ. Persoalan yang timbul di sini ialah apakah status kamera-kamera yang dimiliki oleh Polis Cawangan Trafik yang kerapkali digunakan di dalam operasi hadlaju? Adakah semua kamera yang dimilik oleh PDRM tersebut tidak akan digunakan, dilupuskan atau diserap ke dalam AES? Adakah PDRM masih akan terus menggunakan kamera milik mereka dan jika perkara tersebut masih berlaku, adakah saman-saman yang dikeluarkan oleh PDRM masih sah sedangkan kesalahan lalulintas untuk memandu laju dan melanggar isyarat lampu isyarat tertakluk di bawah AES.

Keempat: Penerangan berkaitan peraturan dan undang-undang lalulintas.

Kementerian Pengangkutan meletakkan tanggungjawab khusus kepada Jabatan Keselamatan Jalanraya [JKJR] untuk advokasi dan kempen bagi memastikan pemahaman dan penerimaan rakyat. KASE mendesak Kementerian menyatakan sehingga pengumuman AES akan dilaksanakan pada 12/08/2012 berapa kalikah JKJR mengadakan siri kempen penerangan berkaitan AES kepada masyarakat khususnya pengguna jalanraya. Kementerian sendiri pula berapa kali telah diadakan siri ceramah penerangan atau hebahan di media berkaitan AES ini untuk makluman awam? Jika jawapannya negatif, KASE memohon supaya perlaksanaan AES ini ditangguhkan terlebih dahulu sehinggalah seluruh pengguna jalanraya diberikan maklumat yang berkaitan. Maklumat-maklumat ini juga sepatutnya dimasukkan di dalam sukatan pembelajaran di sekolah-sekolah memandu bagi menimbulkan kesedaran pengguna berkaitan pematuhan undang-undang dan peraturan jalan raya.

KASE tidak menolak setiap perlaksanaan peraturan dan undang-undang bagi tujuan keselamatan pengguna dan orang awam tetapi menyimpan hak untuk tidak bersetuju dengan beberapa perkara dan tindakan kerajaan dalam proses perlaksanaan peraturan dan undang-undang tersebut. Perlaksanaan peraturan dan undang-undang secara semberono demi keuntungan pihak-pihak tertentu adalah dikesali malah akan ditentang sehingga prinsip keadilan sejagat dipertahankan. Setiap orang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Adakah janji untuk menyediakan perkhidmatan AES telah ditepati dan sekarang masa kerajaan membalas budi? Tepuk Dada Tanya Akal. Pandu Cermat Jiwa Selamat. Saman Kurang Kroni Kecundang.

Mahfuz ialah Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE]

Rakyat perlu celik mata isu genosid Rohingya

Muhammad Nuruddin Bashah, 01 Ogs 2012
Rakyat Malaysia digesa untuk mencelikkan mata melebarkan telinga terhadap isu genosid yang melanda kaum Rohingya di Arakan. Sejak 3 Jun yang lalu selepas satu kontroversi gadis Burma yang dituduh dirogol oleh 3 lelaki Rohingya di Sittwe Myanmar, walaupun tanpa bukti dan perbicaraan, puluhan ribu nyawa Rohingya telah melayang tanpa harga.


Mereka secara mendadak menerima lonjakan genosid semula walaupun sebelumnya kelihatan mulai reda sejak sinar demokrasi dikatakan kian muncul di negeri Buddha tersebut. Mereka mengalami bentuk genosid atau penghapisan jejak bangsa yang cukup dahsyat, dikepung, tiada muamalah jual beli dibenarkan, dibunuh oleh orang awam Buddha dengan lesen wewenang diberikan oleh tentera Burma serta aktiviti pemerkosaan yang cukup sadis.

Rakyat Malaysia juga digesa menyokong tindakan pro-aktif yang dijalankan oleh Mapim sebuah ikatan NGO-NGO Islam Malaysia yang ke Myanmar 1 Ogos 2012.

Menurut Setiausaha Agung Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid, antara agenda pertemuan itu ialah untuk mendesak Presiden Thein Sein membenarkan misi kemanusiaan masuk ke Myanmar untuk membantu pelarian Rohingya tanpa gangguan ala barbarian seperti misi Mavi Marmara suatu ketika dahulu ke Palestin.

Mereka  juga akan berjumpa dengan pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan Aung San Suu Kyi bagi membincangkan isu yang sama memandangkan ikon demokrasi itu telah berkempen sekian lama isu kemanusiaan dan kebebasan.

Lebih bermakna, Mapim akan membawa surat daripada para sami Buddha di Alor Setar yang menolak keganasan dan kezaliman kerana ia bercanggah dengan semangat ajaran Buddha. Sebelum ini Mapim dan Persatuan Ulama’ Kedah telah berjumpa dengan salah seorang Ketua Sami Buddha Malaysia iaitu Ketua Wad Nikhotaram En Ai Lap a/l Tim di Wad Buddha  di Alor Setar , Kedah dalam rangka memohon pemimpin agama itu mengadakan perbincangan bersama ketua-ketuanya yang lain mengenai isu penghapusan etnik Rohingya Muslim di Myanmar.

Sebenarnya Aung Syu Kyi telah dihubungi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui panggilan telefon sejurus selepas Mapim mengutus surat untuk menggesa pemimpin itu bertindak atas isu genosid ini.

Sebelumnya Mapim telah menghantar surat kepada OIC, ASEAN, Setiausaha PBB, malah kepada Perdana Menteri Malaysia tetapi bagaikan anjing menyalak bukit. Tiada respons!

Malah yang menjadi kemarahan rakyat Malaysia yang prihatin adalah apabila usul mengenai kezaliman ini dibawa oleh Datuk Kamarudin Jaafar ke dalam parlimen ia ditolak mentah-mentah oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Datuk Seri Utama Pandikar Amin Mulia atas alasan tidak penting dan tdak relevan! Adakah nyawa umat islam di luar sana tidak penting sehingga berdiskusi pun dianggap membuang masa oleh kerajaan yang mengaku hebat di mata dunia Islam? Lebih menyedihkan, saat usul itu ditolak, telah 29,000 nyawa Rohingya melayang di Myanmar sejak 3 Jun 2012 yang lalu.

Perhatian isu ini secara teliti. Bayangkan jika Gaza dikepung da dibedil, sekurangnya mereka memiliki roket dan kerajaan HAMAS yang tegar menyerang balas. Rohinga tiada senapang malah tiada pedang pun untuk mempertahankan nyawa mereka. Mereka disembelih hidup-hidup!

Mereka tiada doa daripada umat islam selazim yang diterima oleh pejuang Chehnya, Afghanistan dan Palestin. Mereka tiada pengenalan diri, kad identiti  sehingga mereka dianggap tidak wujud dalam sejarah bangsa. Sekalipun rakyat patani dihimpit, mereka masih boleh bersekolah dan bebas ke bumi Malaysia, sedangkan Rohingya bakal menerima maut jika menyeberangi sungai sempadan ke Bangladesh.

Bersama kita doakan misi Mapim ke sana serta menantikan kejayaan kapal pertama yang bakal mengangkut bantuan ke Arakan melalui jalan laut insya Allah.

Guru Kafa berkhidmat 20 tahun tapi masih kontrak

Harakahdaily, 01 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpandangan diskriminasi terhadap guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) tidak sewajarnya berlaku kerana sumbangan mereka bukanlah satu usaha yang boleh dipandang remeh.

(Para pelajar Kafa yang perlu mendapatkan guru yang terbaik - gambar hiasan)

Sehubungan itu, DPPM meminta agar kerajaan Malaysia mengkaji dan mempertimbangkan cadangan yang telah dibuat oleh Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sejak 16 Mei 2009 lagi sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia yang meminta agar 33,000 guru (Kafa) diserap ke jawatan tetap supaya kebajikan guru-guru Kafa lebih terbela.

“Pada masa ini guru Kafa di Malaysia berkhidmat secara kontrak. Mengambil kenyataan daripada Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman, pihak beliau telah menerima banyak rungutan dan keluhan berhubung isu taraf jawatan kontrak dan kebajikan guru Kafa yang tidak terbela,” kata Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Malah, katanya terdapat juga aduan yang menyatakan mereka telah berkhidmat selama lebih daripada 20 tahun tetapi secara kontrak.

“Perkara ini sewajarnya diberikan perhatian oleh pihak kerajaan,” ujar Khairul Faizi (gambar kanan) dalam satu kenyataan.

Bahkan, tambah beliau lebih teruk kerana ada guru Kafa yang tidak disambung kontrak perkhidmatannya sedangkan dirinya dibebani dengan pelbagai jenis ansuran seperti kenderaan atau rumah yang perlu mereka jelaskan.

Katanya lagi, diskriminasi terhadap guru Kafa tidak sewajarnya berlaku kerana sumbangan mereka dalam memberi pendidikan dan pembentukan generasi rabbani dan madani bukanlah satu usaha yang boleh dipandang remeh dan kecil.

Justeru, ujarnya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan tahniah ke atas Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas keperihatinan mereka terhadap masalah yang melanda guru Kafa di negeri tersebut.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilihat konsisten dalam membantu untuk meringankan bebanan guru-guru Kafa terutama apabila kerajaan pusat mengumumkan “duit raya” kepada penjawat-penjawat awam.

“Pada tahun 2011, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan lebih RM500 ribu sebagai bonus kepada guru-guru ini.

“Terkini pada tahun 2012, sebanyak RM RM3.9 juta telah diperuntukkan untuk pemberian bonus hariraya Aidil Fitri kepada penjawat awam dan guru Kelas Fardhu Ain (Kafa) seluruh negeri itu mulai 9 Ogos depan,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi membela kedudukan dan masa depan guru-guru Kafa, kerajaan perlu menyerapkan mereka ke dalam jawatan tetap.

“Tindakan kerajaan ini akan dilihat bijak bahkan seolah-olah hadiah istimewa buat mereka yang telah berkhidmat lama di dalam bidang ini terutamanya,” katanya.

Tambahnya lagi, bukan sahaja kehidupan mereka lebih terjamin bahkan mereka juga dapat memberikan perhatian yang lebih di dalam pengajaran mereka.

“Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia, kami bersedia untuk menerima apa jua pandangan dan keluhan yang sedang menimpa guru-guru Kafa pada masa ini kerana kami percaya bahawa banyak lagi isu yang perlu diberikan perhatian terhadap guru-guru ini,” katanya.

Rafizi dibebas dengan jaminan RM15,000

Muhammad Faizal, 01 Ogs 2012
SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan jaminan sebanyak RM15 ribu kepada Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dan bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad sebanyak RM15 ribu tiap seorang dengan seorang penjamin.

(Kanan: Rafizi dan Johari bergari di Mahkamah Sesyen Shah Alam.)

Mahkamah juga menetapkan 10 September depan bagi perbicaraan.


Hakim Aslam Zainuddin menetapkan jaminan dan tarikh tersebut setelah mendengar keterangan daripada pihak plantif dan defenden.

Sebelum itu, peguam pihak plantif yang mewakili Bank Negara meminta wang jaminan sebanyak RM100 ribu beserta pasport antarabangsa mereka berdua ditahan.

Namun, peguam defenden, N.Surendren meminta wang tersebut dikurangkan dan tidak melebihi RM5 ribu serta pasport mereka tidak ditahan.

Beliau menjelaskan penahanan pasport antarabangsa tidak wajar kerana Rafizi memerlukan passport tersebut bagi urusan rasmi beliau terhadap parti yang memerlukan beliau ke luar negara.
Rafizi dituduh di bawah Seksyen 97(1) Akta Bank dan Intitusi Kewangan 1989, manakala Johari pula di bawah Seksyen 112 (1)(c) juga di bawah akta yang sama, yang menetapkan hukuman maksimun 3 tahun penjara atau denda RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bertindak sebagai penjamin kepada Rafizi, manakala Johari pula dijamin oleh abangnya.

Kedua-dua mereka telah digari dan dibawa ke bilik tahanan bagi menunggu urusan membayar wang jaminan selesai.

(Rafizi dan rakan-rakannya di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini)
Sebelum itu, Rafizi yang ditahan di rumahnya awal pagi tadi kira-kira jam 6.50 pagi.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli pagi ini ditahan oleh pihak polis berhubung dengan pendedahan butiran perbankan berkaitan dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Rafizi telah disiasat di bawah BAFIA kerana didakwa mendedahkan butir-butir perbankan NFC dan pengarahnya.

Syarikat itu dikendalikan oleh suami dan anak-anak bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Mahkamah hari ini penuh dengan penyokong PKR yang hadir memberi sokongan kepada Rafizi.

Tarik balik lesen disewa kepada warga asing wajar

Harakahdaily, 01 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menarik balik lesen perniagaan rakyat tempatan yang menyewakannya kepada warga asing.
“Langkah ini dilihat sangat bertepatan kerana Malaysia kini mengalami situasi lambakan warga asing,” kata Ketua Penerangannya, Yusapiza Yaacob (gambar).

Ini juga, katanya dilihat dapat memberikan suatu pengajaran yang berguna kepada mana-mana pihak yang menyalahgunakan lesen perniagaan yang diberikan.

“Sikap suka mengambil 'untung atas angin' seharusnya perlu dikikis dari minda rakyat Malaysia. Semakin hari semakin ramai warga asing yang telah membuka perniagaan mereka sendiri tanpa diketahui dari manakah lesen diperolehi,” katanya.

Akhirnya, kata beliau mereka ini dilihat seolah-olah mendominasi perniagaan runcit yang sepatutnya dmiliki oleh rakyat tempatan.

DPPWP juga, ujar beliau ingin menyeru PBT dan juga Suruhanjaya Pencegarahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat rakyat-rakyat tempatan yang memberikan lesen perniagaan ini.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata ini kerana mereka terdedah dengan gejala rasuah dalam menawarkan lesen perniagaan mereka.

Tambahnya, terdapat ramai rakyat Malaysia yang kesempitan hidup yang ingin berniaga namun ada juga yang lebih rela melihat rakyat Malaysia sengsara dengan memberikan lesen kepada warga asing.

Selain lesen perniagaan, ujarnya SPRM juga diseru untuk menyiasat penyelewengan petak-petak bazar Ramadhan yang dilihat mengaut keuntungan yang melampau.

Menurutnya, petak-petak bazar yang dibeli daripada PBT dengan harga yang murah namun dijual kepada peniaga dengan harga yang melampaui batas.

Yusapiza berkata, ini dapat menjejaskan periuk nasi peniaga-peniaga yang ikhlas ingin berniaga.

Malah, katanya ada tempat yang mengenakan sewa sehingga RM3,000 sehari di bulan Ramadhan sedangkan bayaran kepada PBT hanyalah RM200 setahun

“Justeru, DPPWP mengharapkan agar PBT dan SPRM lebih peka dalam menangani isu-isu penjualan lesen dan tapak perniagaan ini.

“DPPWP percaya ianya akan lebih segera dapat dibendung sekiranya tiadanya penglibatan 'orang dalam',” katanya lagi.

Lagu tema hari kebangsaan akan ditarik?

Harakahdaily, 01 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim yang meminta pandangan berhubung lagu tema Hari Kebangsaan dilihat memberi bayangan kemungkinan lagu itu juga akan ditarik.

Rais melalui Twitter semalam meminta pandangan umum mengenai lagu tema sambutan tersebut ekoran ianya yang dimuat naik ke Youtube menerima kritikan hebat dari penonton.

"Apa pandangan saudara tentang lagu Janji Ditepati? Di Youtube dah cecah 140k lebih. Tapi yg 'ibu jari ke bawah' ada juga," tulisnya sebagai mengakui bahawa lagu ciptaannya itu tidak disukai penonton.

Sehingga pagi ini, video di Youtube bertajuk Lagu Tema - Janji Ditepati (Hari Merdeka ke-55) tersebut ditonton 229,000 orang dengan 28,377 dislike berbanding hanya 395 yang memilih like.

Dalam konem-komen mereka, penonton kebanyakannya mencemuh lirik yang berbunyi "Janji telah ditepati, kini masa balas budi" yang dilihat sebagai kempen politik.

Tidak kurang juga yang menganggap pemberian bantuan oleh kerajaan kepada rakyat selama ini adalah tidak ikhlas dan bersifat memancing undi sehingga memaksa rakyat membalas budi.

Lagu dengan melodi yang dihasilkan oleh Aye, Jasnie dan Arman E 6 itu juga turut memuatkan selingan rap yang menggariskan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak seperti 1Malaysia kedai dan Bantuan Rakyat 1Malaysia.

Bukan asal

Sebenarnya lagu tema yang dimuat naik ke Youtube itu adalah berbeza dengan yang pernah diperdengarkan kali pertama pada himpunan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA) bulan lalu.

Dalam lagu yang dipersembahkan itu, turut diselit lirik memerli pihak tertentu dengan menggunakan perkataan sinis seprti "Orang sana pandai cakap tapi tak boleh buat,' serta 'Orang sana pandai auta tapi budi tak ada'.

Difahamkan terdapat arahan agar rangkap tersebut diubah mungkin kerana terlalu jelas kritikannya.

Rangkap asal yang dibuang
"Orang sana pandai cakap, tapi tak boleh buat
"Orang sana pandai janji..... pada yang tak peduli
"Orang sana pandai auta, tapi budi tak ada".

Video lagu asal di http://www.youtube.com/watch?v=Jmy2dS-GfFQ

45 anak yatim, armalah sertai Iftar Amal Persada

Harakahdaily, 01 Ogs 2012

(Banner program Iftar Amal Persada)

KUALA LUMPUR: 45 orang yang terdiri dari 15 ibu tunggal dan 30 anak yatim akan diraikan oleh Persatuan Anak Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (Persada) Sabtu ini.

Mereka akan diraikan dalam majlis Iftar Amal Persada bersama Anak Yatim dan Armalah di hotel Vistana.

Yang menariknya, 15 armalah yang mereka bakal raikan adalah dari kalangan saudara baru Islam yang terbiar dan menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan.

"Majlis ini dianjurkan dengan kerjasama sebuah syarikat yang membantu untuk menjayakan program ini," kata Alex Ong, koordinator program.

Menurut Alex, tiga tetamu utama dijangka akan menyertai majlis ini iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Husam Musa dan Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau menjangkakan 400 ahli Persada bersama keluarga masing-masing agar menyertai majlis ini di hotel berkenaan.

Kepada anak Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor yang belum mendaftar dan ingin menyertai majlis ini boleh menghubungi Razali (017-6242252) atau Zainuha (012-5619259).

Kerajaan Selangor sedia biayai kos guaman Rafizi

Khaulah Azwar, 01 Ogs 2012
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri  Selangor bersedia membiayai kos guaman bagi membantu bekas CEO Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Mohd Rafizi Ramli ekoran dakwaan ke atas beliau berkaitan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim  dalam  Twitternya pagi tadi menyelar tindakan penahanan tersebut selepas Rafzi  mendedahkan beberapa skandal utama yang melibatkan pemimpin Umno-BN termasuk Projek Tambahan LRT Ampang.

“Insya-Allah, kerajaan negeri telah menyediakan dana khas untuk menolong membiayai kos guaman  Mohd Rafizi Ramli.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mengecam penangkapan dan pendakwaan terhadap Rafizi Ramli kerana membongkar kes penyelewengan NFC & George Kent,” katanya.

Mahkamah Seksyen Shah Alam hari ini menetapkan bayaran ikat jamin sebanyak RM15,000 kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Johari Mohamad serta menetapkan tarikh perbicaraan kes ini pada 10 Septermber 2012.

Rafizi Ramli menerusi laman Twitternya Awal pagi tadi, menyatakan bahawa beliau ditahan polis atas pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989.

Menerusi paparan twitter itu juga, Rafizi menjelaskan rumahnya diserbu kira-kira jam 7 pagi tadi sebelum dibawa ke balai polis Hulu Klang.

Sekitar jam 8 pagi, Rafizi menyatakan beliau sedang dibawa polis ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan proses pertuduhan ke atasnya dipercepat, kepada 9 pagi.

Turut ditahan Johari Muhamad merupakan bekas kerani Public Bank yang dikatakan salah seorang pemberi maklumat mengenai pembelian hartanah mewah keluarga Shahrizat di KL Eco City, Bangsar.

NFC: Rafizi, Johari ditahan di bawah Bafia

Muhammad Faizal, 01 Ogs 2012

(Rafizi bercakap kepada Nurul Izzah, Dr Dzulkefli Ahmad, Peguam N Surendran, Nik Nazmi dan Haniza Talha di perkarangan mahkamah Shah Alam)

SHAH ALAM: Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli pagi ini ditahan oleh pihak polis berhubung dengan pendedahan butiran perbankan berkaitan dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Beliau yang tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam pada jam 9.20 pagi ini menjelaskan pihak polis datang kerumahnya kira-kira jam 6.50 pagi tadi.

(Rafizi, Dr Dzulkefli dan N Surendran di perkarangan mahkamah)

"Pihak polis dan juga pegawai Bank Negara datang ke rumah saya pagi ini kira-kira jam 6.50 pagi.

"Lebih kurang 10 orang pegawai yang datang iaitu lima daripadanya adalah pegawai dari Bank Negara," jelasnya.

Tambahnya lagi, beliau ditahan di bawah Akta Istitusi Perbankan dan Kewangan (BAFIA).

"Selepas ditahan, saya dibawa ke Balai Polis Hulu Kelang untuk buat laporan polis berhubung penahanan saya sebelum dibawah ke mahkmah.

Turut ditahan pagi tadi  dan hadir di mahkamah seorang lagi individu, Johari Mohamad yang didakwa bertanggungjawab mendedahkan dokumen berkenaan kepada Rafizi.


(N Surendran bercakap dengan Johari Mohamad di perkarangan mahkamah)

Rafizi telah disiasat di bawah BAFIA kerana didakwa mendedahkan butir-butir perbankan NFC dan pengarahnya.

Syarikat itu dikendalikan oleh suami dan anak-anak bekas menteri kabinet Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Sebelum itu turut hadir di mahkamah pagi ini adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefli Ahmah, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Sementara itu, Peguam N Surendran bertindak sebagai peguam yang mewakili beliau pagi ini.

Kes Rafizi: Rakyat tambah benci pemimpin korup

Harakahdaily, 01 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius penahanan Rafizi Ramli, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah BAFIA (Akta Institusi Perbankan dan Kewangan) hari ini.

(Rafizi bersama Dr Dzulkefly Ahmad dan N Surendran di perkarangan mahkamah hari ini)

“Bagi DPPM tangkapan ke atas Rafizi membuktikan kerajaan bersikap tidak ikhlas dan telus dalam memastikan negara ini bebas dari rasuah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara,” kata Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss.

Katanya, DPPM menganggap tindakan ke atas Rafizi lebih dilihat sebagai tindakan politik pihak tertentu yang tersepit dan cemas dengan pelbagai pendedahan berani serta sensasi oleh beliau.

“Tindakan ini juga seperti suatu ancaman ke atas beliau ekoran kejayaan beliau mendedahkan skandal National Feedlot Corporation (NFC) serta ugutan kepada pemberi-pemberi maklumat lain supaya jangan memberi kerjasama kepada ‘whistle blower’ skandal pemimpin negara ini.

“Malah beliau juga mempunyai siri-siri pendedahan skandal pemimpin negara yang mempunyai kepentingan terhadap projek tertentu serta terlibat dalam pelbagai penyelewengan,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya melihat isu yang ditimbulkan oleh Rafizi jauh lebih utama dan penting berbanding tindakannya membocorkan maklumat.

Tambahnya, tindakan Rafizi wajar dipuji kerana usahanya memastikan negara ini bebas daripada penyangak-penyangak rasuah oleh pemimpin-pemimpin negara.

DPPM menegaskan, ujarnya negara ini menuju kemusnahan jika jenayah rasuah dibiarkan berleluasa manakala pemberi maklumat diambil tindakan.

“Politik dendam dan hasad dengan menghukum seseorang hanya kerana individu tersebut bercakap benar adalah tindakan keji golongan yang menolak kebenaran,” ujarnya.

Bagi rakyat, tegasnya tindakan itu bukan melunturkan semangat mereka mahukan perubahan, malah menambah lagi sentimen kebencian mereka melihat kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin yang korup dan mementingkan diri sendiri.

NFC: Usaha Rafizi patut dipuji tetapi dihukum

Harakahdaily, 01 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: DAPSY mengecam sekeras-kerasnya pendakwaan terhadap Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (BAFIA) kerana mendedahkan akaun kewangan berkenaan National Feedlot Corporation (NFC) pada pagi ini.
Ketuanya, Loke Siew Fook (gambar) berkata, tindakan pendakwaan terhadap Rafizi yang membongkarkan skandal kewangan NFC memberikan mesej yang salah kepada rakyat Malaysia bahawa pemberi maklumat yang membantu memerangi rasuah adalah sesuatu yang salah dan perlu dihukum.

Menurutnya, pendakwaan tersebut juga bertentangan dengan semangat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang diluluskan Parlimen yang bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai orang berani tampil memberikan kerjasama dan bukti dalam kes-kes rasuah.

“Ini jelas menunjukkan bahawa pentadbiran Najib langsung tidak serius dalam usaha memerangi rasuah dan segala slogan transformasi kerajaan adalah janji-janji kosong,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, Rafizi sepatutnya dipuji kerana kelantangan dan keberaniannya membongkarkan skandal kewangan NFC dan membantu usaha ke arah sistem pentadbiran yang lebih telus dan bersih.

“Namun, peranan beliau bukan sahaja tidak dihargai tetapi dihukum pula dengan pendakwaan yang dihadapinya sekarang,” katanya lagi.

Justeru, katanya DAPSY menggesa pihak Peguam Negara menimbang semula kes tersebut dan menggugurkan pendakwaan terhadap Rafizi kerana tindakan mendakwa beliau di mahkamah hanya akan menimbulkan lebih banyak perasaan tidak puas hati terhadap sistem keadilan negara kita di kalangan rakyat Malaysia.

Kerabat mahu nasib bekas tentera dibela

Salmiyah Harun, 01 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: NGO Kebajikan Rangkaian Vateran Angkatan Tentera (Kerabat) menyifatkan sambutan Hari Pahlawan yang diadakan saban tahun pada 31 Julai bukan sekadar perayaan tradisi semata-mata sebaliknya ia adalah pengharapan baru ratusan ribu anggota tentera yang sedang berkhidmat mahupun bersara.

Penasihat Kerabat Mazlan Aliman berkata, masalah kebajikan bekas tentera dari dahulu hingga sekarang masih belum selesai dan sering menjadi perdebatan hangat.

Katanya, sejak tertubuhnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hingga kini direkodkan 300 ribu anggota tentera yang telah menamatkan perkhidmatan, 80 peratus tidak berpencen kerana tidak melepasi 21 tahun perkhidmatan.

Tambahnya, nasib bekas tentera yang tidak berpencen di pernah dijanjikan untuk diberi lot tanah tapak rumah dan peluang pekerjaan masih menjadi isu terpenting yang diremehkan kerajaan.

"Bayangkan, perajurit kita pertaruhkan nyawa mereka, ramai yang gugur terkorban semasa ancaman komunis, keluar masuk hutan, berada di sempadan negara, memerangi penyeludupan, terkena serang hendap dan mangsa periuk api hingga cacat seumur hidup; sebahagian anggota menyertai misi keamanan Bangsa-bangsa Bersatu di negara bergolak sekurang-kurangnya berpisah selama 6 bulan dengan anak isteri.

"Sejauh mana kerajaan benar-benar serius menangani kebajikan anggota tentera kita khususnya yang berpangkat rendah dan tidak menikmati pencen," katanya dalam satu kenyataan.

Tegasnya dalam beberapa pertemuan dengan bekas tentera, ada yang hidup menjual air tebu, pisang goreng di tepi jalan untuk menyara anak yang ramai, tidak kurang juga yang menjadi pengawal keselamatan dan buruh binaan.

Jelas Mazlan, yang mengakui perlumbaan dari sudut anggota dan kelengkapan pertahanan sangat penting demi menghadapi apa juga kemungkinan pada masa depan.

Yang pasti, katanya pemimpin negara nampaknya hanya berlumba mendapatkan komisyen daripada pembelian kelengkapan pertahanan negara semata-mata, misalnya  isu komisyen Kapal Selam Scorpene sampai sekarang tidak selesai.

Katanya, tawaran Pakatan Rakyat mesti merumus kepada penyusunan semula ATM yang berwajah baru, masa depan perajurit lebih terarah, kebajikan bekas tentera yang menjanjikan nikmat kehidupan ceria.

Justeru, Kerabat menuntut agar sebuah  Bandar Baru Veteran Tentera di atas tanah seluas seribu ekar yang menjadi model sebuah perkampungan bekas perajurit yang lengkap perumahan moden, pusat latihan serba guna ala tentera, pusat kemahiran dan kemudahan asas serba lengkap.

Angaukan Selangor, Sabah pula terlepas

Anis Nazri , 01 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Dalam keghairahan untuk merampas Selangor, BN diingatkan agar tidak menjadi seperti peribahasa 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran'.

Sebaliknya BN perlu meneliti suasana politik di Sabah yang muktahir ini meniupkan gelombang perubahan pimpinan BN, sekaligus rakyat negeri di bawah bayu itu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli, berkata BN sebelum ini begitu yakin untuk merampas Selangor, namun 'terlepas pandang' terhadap Sabah yang dianggap sebagai 'fix deposit' mereka selama ini.

"Jadi, saya nasihatkan BN agar tidak membuang masa untuk mengubah suasana harmoni di Selangor hari ini, tetapi selesaikan kemelut di Sabah hingga menyebabkan dua pimpinan BN bertindak keluar parti," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing yang mengumumkan keluar dari BN dan menyokong Pakatan Rakyat, baru-baru ini.

Dr. Hatta yang juga ahli parlimen Kuala Krai itu berkata gelombang perubahan di Sabah itu bukan sahaja membabitkan kedua-dua pimpinan terbabit, sebaliknya ia juga merupakan satu gelombang rakyat.

Beliau juga menjangkakan BN tidak dapat membendung gelombang perubahan tersebut, malah yakin akan ada beberapa lagi nama lain di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan mengambil keputusan sama seperti Lajim dan Wilfred.

Ditanya sama ada suasana tersebut akan membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menangguhkan lagi pilihan raya, Dr. Hatta berkata ia sesuatu yang tidak mustahil.

"Kita harap, pilihan raya dipanggil segera. Tapi, perkiraan saya Najib akan mengambil masa yang lebih lama untuk berbuat demikian.  Dia masih resah dan mengharapkan adanya perbalahan di kalangan Pakatan Rakyat untuk diambil kesempatan," tegas beliau lagi.

Pada 29 Julai lalu, Lajim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno mengumumkan perletakan semua jawatannya dalam parti dan BN berkuat kuasa serta-merta, untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat di Sabah.

Perlantikan Lajim sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dibatalkan serta-merta setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 43A yang dibacakan bersama Fasal(5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Wilfred yang mengisytiharkan keluar dari Barisan Nasional (BN) dan menyertai Pakatan Rakyat melalui parti Angkatan Perubahan Sabah yang baru diumumkan penubuhannya.

Ahli Parlimen Tuaran itu juga berkata beliau akan menjelajah ke seluruh negeri Sabah untuk membantu Pakatan Rakyat memenangi negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Gambar fitnah MB Kedah dicekup SPRM tersebar

Harakahdaily, 01 Ogs 2012

KUALA LUMPUR: Sebuah akaun di Facebook yang menggelarkan dirinya Anti PKR Club telah membuat fitnah jahat dan jijik kononnya Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak ditahan pihak SPRM kerana menerima rasuah jutaan ringgit.
Blog http://omakkau.blogspot.com mendedahkannya.
Berikut petikan daripada blog tersebut.
Sebuah akaun di Facebook yang menggelarkan dirinya Anti PKR Club telah membuat fitnah jahat dan jijik kononnya Menteri Besar Kedah YAB Datuk Seri Azizan Razak dan Setiausaha Politiknya ditahan pihak SPRM kerana menerima rasuah jutaan ringgit.

Wang kononnya dirampas itu telah dipamirkan kepada umum.

Sila lihat cara pencacai UMNO membuat gambar yang telah diedit semata-mata mau membuat fitnah.

Memperlihatkan berasa bangga apabila melakukan fitnah sedemikian rupa.

LAGI DIFITNAH.. LAGI RAMAI RAKYAT AKAN BERHIJRAH.

Tiada ulasan: