Sabtu, 4 Ogos 2012

DIMANA2 SESAK...LEBIH2 DIBANDAR2...NI KESAN SUAMI ISTERI BEKERJA...PENDAPATAN KELUARGA BERTAMBAH...SELAIN PENDUDUK TELAH MENINGKAT 28 JUTA..DITAMBAH LAMBAKAN KERETA SECONDHAND

Najib hantar surat minta wakil bincang royalti

Rizal Tahir dan Salmah Mat Husein, 04 Ogs 2012
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu, Perdana Menteri telah menghantar surat kepada beliau memintanya menghantar wakil untuk membincangkan pembayaran royalti minyak untuk Kelantan.

Menurut beliau, surat itu dihantar kepada beliau Jumaat semalam dan sampai ke tangan Setiausaha Sulitnya, Rosdi Mohamad.

Perkara ini dimaklumkan oleh Tuan Guru Nik Aziz kepada Harakahdaily sebaik sahaja selesai solat subuh di masjid berhampiran rumahnya di Pulau Melaka pagi ini.

Beliau juga turut memaklumkan berita ini dalam tazkirah Subuh yang disampaikan beliau sebaik sahaja selesai solat Subuh di Masjid Pulau Melaka, bersebelahan rumahnya pagi ini.

Kelantan sejak sekian lama memperjuangkan agar Petronas membayar royalti minyak kepadanya berdasarkan telaga minyak yang ada berdekatan dengan pantai Kelantan.

Namun, kerajaan Pusat hanya membayar wang ehsan kepada wakilnya, Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang ada di Kelantan dan bukannya kepada kerajaan negeri sebagaimana yang tercatat dalam perjanjian.

Ekoran itu, Kerajaan Negeri Kelantan telah memfailkan saman terhadap Petronas namun kerajaan pusat memohon untuk menjadi defendan bersama.

Baru-baru ini, anggota Parlimen Gua Musang yang juga bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah meminta kerajaan pusat menyelesai isu royalti Kelantan ini sebelum pilihan raya umum ke 13.

"Surat ni diterima oleh Setiausaha Sulit saya, Encik Rosdi (Mohamad). Tetapi kerana hari cuti, dia baru bagi kepada saya," kata Tuan Guru Nik Aziz kepada Harakahdaily.

Sebelum menghantar wakil Kelantan untuk berunding, Tuan Guru Nik Aziz berkata, beliau akan menghadap Tuanku Sultan Kelantan untuk membincangkan perkara ini.


(Gambar: Pertemuan terakhir antara Najib dengan Tuanku Sultan Kelantan baru-baru ini)

Yang menariknya, istilah yang digunakan dalam surat ini adalah pembayaran 'bayaran tunai'.

Jawatankuasa ini pula akan bersidang dalam tempoh enam bulan bagi menentukan pembayaran ini.


Reaksi


Sementara itu, Tuan Guru Nik Aziz menyambut baik keputusan kerajaan ini dan menyifatkannya sebagai keberkatan bulan Ramadhan.

"Semoga Allah membuka pintu hati kerajaan Pusat selepas jawatankuasa ini bersidang," katanya.

Beliau juga beranggapan, apa yang berlaku ini sedikit sebanyak adalah berkat doa rakyat Kelantan termasuk 40 orang ulama yang pergi ke Mekah sebelum ini untuk bermunajat kepada Allah agar diselesaikan isu ini segera.

Beliau juga meminta semua rakyat Kelantan terus berdoa agar pembayaran royalti ini menjadi kenyataan.

Tuan Guru Nik Aziz juga berkata, beliau sangat gembira jika bayaran royalti ini menjadi kenyataan tetapi sedar ia adalah satu amanah besar dari Allah.

"Harta kerajaan ini tidak boleh buat pandai-pandai, harta sendiri pun tidak boleh buat ikut sedap je," kata beliau.


Jadi kenyataan

Jika bayaran ini menjadi kenyataan bermakna apa yang dikatakan oleh dua wakil kerajaan Pusat di Kelantan selama ini bercanggah dengan surat Perdana Menteri ini, kata Tuan Guru Nik Aziz.

"PM nak buat jawatankuasa khas, Timbalan Menteri (Datuk) Awang Adek kata sudah bayar wang ehsan.

"Seorang lagi Menteri (Datuk Mustapha Mohamad) pula mengaku dalam DUN, dia yang sekat," kata Tuan Guru Nik Aziz.

Rakyat Kelantan tunggu kejutan PM di Bachok esok!

M Faqih, 04 Ogs 2012
ANALISIS Minggu lepas seorang fanatik PAS dari Ampang, Selangor memberitahu kemungkinan ada suatu kejutan akan diberitahu Perdana Menteri ketika lawatannya ke Kelantan esok. Entah Pak Ali dapat sumber dari mana.

Namun ketika dia menefon, suaranya seperti bersungguh-sungguh. Antara percaya atau tidak menyelinap di jiwa penulis. Apa kejutannya. Beritahu Pak Ali, Datuk Seri Najib Razak bakal mengumumkan royalti kepada Kelantan akan dibayar. Ujarnya lagi mungkin juga berkaitan projek lebuh raya.

Hampir seminggu isu itu bermain di kepala penulis. Tiba-tiba pagi ini dakwaan Pak Ali seperti  hampir menjelma. Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu,  Perdana Menteri menghantar surat kepadanya meminta dihantar wakil untuk membincangkan pembayaran royalti minyak.

Surat itu diterima semalam oleh Setiausaha Sulit Kanannya, Mohd Rosdi Abdullah. Ramai orang menjadi tidak keruan, antara percaya atau tidak.

Hampir empat tahun perjuangan untuk mendapatkan royalti 5 peratus sebagaimana termaktub dalam perjanjian dengan Petronas pada 1975, tersebar ke seluruh bumi Kelantan. Malah, ia juga mendapat dokongan rakyat di negeri-negeri lain.

Mungkin juga perjuangan itu sudah tersebar ke setiap penjuru dunia. Kata Tok Guru Nik Aziz, munajat 40 ulama di Makah, bumi yang penuh berkat tahun lepas, rupa-rupanya mulai nampak sinarnya.

Alhamdulillah, tiada siapa pun menjangka situasi ini boleh berlaku. Cuba kita tengok kesemua kenyataan dikeluarkan pemimpin Umno sama ada di Kelantan atau pusat. Tiada seorang pun yang membayangkan royalti 5 peratus menjadi hak rakyat Kelantan.

Lebih-lebih lagi Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Dr Awang Adek Hussin, seolah-olah mereka menjadi musuh kepada saudara mereka di Kelantan yang berjuang untuk mendapatkan royalti petroleum.

Kenyataan Kelantan tidak layak, perairan bertindih, lebih 2 batu nautika, Ordinan Darurat dan macam-macam lagi alasan diberi. Itulah kenyataan yang diulang-ulang hampir empat tahun lalu.

Semua orang tahun kenyataan tersebut lebih bermesej politik. Namun kepalsuan tidak mungkin bertahan lama. Sesiapa pun tidak mampu menyorok kebenaran ketika dunia semakin hilang sempadan geografi.

Kasihan mereka kerana anutan politik kebendaan yang tidak bergaul dengan unsur agama. Sama ada rakyat Kelantan boleh maafkan mereka di bulan penuh berkat ini, terpulang kepada diri masing-masing.

Lebih-lebih lagi Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti) diketuai Nazri Deraman dan Gerakan Kembalikan Royalti Minyak Rakyat Kelantan (Gegar) dikepalai Dr Abdul Halim Yusoff.

Bahkan Sultan Muhammad V pernah bertitah supaya gas didaratkan di pantai Bachok. Dan plat tuntutan royalti dan pendaratan gas juga ditandatangani baginda.

Malah Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah awal-awal lagi menyatakan sokongan kepada tuntutan royalti petroleum Kelantan. Bekas Presiden Semangat 46 itu begitu konsisten biar pun berdepan dengan pelbagai cemuhan rakan-rakannya sendiri dalam Umno.

Terbaru Ku Li mahukan supaya pemberian royalti kepada Kelantan diselesaikan segera sebelum pilihan raya umum ke-13.

Itu belum lagi diambil kira “Amanat Tun Razak”  berkaitan perjanjian di bawah  Akta Kemajuan Petroleum 1974. Selain itu perjanjian Kelantan dengan Petronas pada 9 Mei 1975.

Royalti petroleum dan gas sebanyak 5 peratus yang dituntut rakyat Kelantan kini tertunggak sebanyak RM7 bilion sejak 2005. Apa pun kita tunggu esok, benarkah bulan akan jatuh ke riba. Selamat Datang Perdana Menteri kita.

Hasil audit daftar pemilih 2 minggu lagi - MB Selangor

Harakahdaily, 04 Ogs 2012


(MB Selangor menyampai sumbangan kepada anak yatim sambil mendukung cucunya di majlis berbuka puasa)

SUBANG JAYA: Kerajaan negeri Selangor dijangka akan mengumumkan hasil audit pendemokrasian daftar pemilih di negeri itu dua minggu lagi.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, sehingga kini lebih 78 peratus telah selesai diaudit dari 490,000 pengundi baru dan pengundi yang baru dimasukkan ke negeri itu.

"Dah 28 DUN yang selesai 100 peratus," kata Khalid ketika berucap di majlis berbuka puasa anjuran pejabat beliau di sebuah hotel malam tadi.

Selain para tetamu jemputan dan media, turut serta di majlis itu adalah anak-anak yatim dari sebuah rumah kebajikan dekat sini.

Dalam operasi itu, Selangor telah menggunakan geran Selangorku untuk membiayai proses pengauditan senarai pemilih di negeri Selangor yang bertambah dengan ketara menjelang pilihan raya umum akan datang ini.

Jentera kerajaan negeri termasuk ahli majlis kerajaan tempatan, ketua kampung dan ahli jawatankuasa kemajuan kampung digunakan untuk membuat kerja-kerja ini.

"Selepas dapat hasil kita akan buat perbincangan dan tentukan keputusannya," kata Khalid kepada media selepas majlis itu.

Khalid tidak menolak tindakan mahkamah jika ternyata daftar pemilih itu tidak bersih selepas mendapat bukti-bukti dari kajian itu.


Talam


Dalam sidang media yang sama Khalid memberitahu, lebih 10 juruodit dari firma audit yang dilantik kerajaan negeri sedang memeriksa perjanjian antara kerajaan negeri dengan Talam Coorporation.

Sehingga proses audit ini selesai, beliau tidak akan memberikan sebarang ulasan terhadap tuduhan mana-mana pihak.

"Tidak lama dah, ia akan selesai. Jadi saya rasa tidak payah bertengkar atau berkempen lah, kita tunggu hasil laporan audit ini," kata Khalid dalam ucapannya itu.

Beliau mengulas serangan-serangan yang disifatkan sebagai kebanyakannya fitnah terhadap pendekatan kerajaan negeri Selangor dalam menyelesaikan isu hutang Talam kepadanya.

Beliau mengambil positif terhadap semua serangan itu kerana, "Sekarang baru orang tahu cara nak kutip hutang," kata beliau sinis.

Talam, pemaju hartanah yang bermasalah, berhutang kepada kerajaan dan anak-anak syarikat kerajaan negeri Selangor sejak sekian lama.

Namun, tiada sebarang usaha yang konkrit dibuat untuk mengutip segala hutang itu.

Apabila Pakatan mengambil alih kerajaan negeri dan beliau menjadi Menteri Besar, Khalid berjaya mengutip hutang syarikat itu dengan mengambil alih hartanah yang dimilikinya.

"Selepas kita dapat kutip hutang, ramai yang mengulas pula," katanya.

Menurut Khalid, standard pengurusan telus ini akan diteruskan dan bakal menjadi nafas baru kepada pentadbiran yang terbuka.

"Ia dapat dinilai melalui keupayaan dan keikhlasan kita dalam membuat kerja," kata Khalid.

Namun, beliau berkata, banyak yang perlu diperbaiki lagi oleh pejawat awam dalam memberikan khidmat kepada rakyat.

Pusat 'whistle blowers' politik alaf baru

Idris Ahmad, 03 Ogs 2012
Penubuhan Pusat Lindungan National Oversight & Whistle Blowers Center (Now) untuk rakyat yang bersuara demi keadilan satu usaha yang baik.  Pejabat yang akan dilengkapi  koordinator dan pendaftaran.


Ini  satu  cadangan yang akan  membentuk satu pemikiran politik alaf baru  yang berani demi kepentingan rakyat di negara ini.


Sesuai dengan cara politik di milinium baru yang perlu dengan maklumat dan berfakta.

Selama ini mungkin rakyat yang mempunyai maklumat takut mendedahkan untuk kepentingan awam kerana mungkin tidak ada pembelaan daripada mana-mana pihak.


Penubuhan pusat ini memberi tamparan kepada pihak kerajaan BN yang telah terhakis keyakinan. Kadang-kadang suatu isu  boleh diselesaikan dengan tindakan politik.

Isu NFC akan mati begitu sahaja kalau dilaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab.

TIndakan berani dengan fakta menyebabkan isu ini telah menggegarkan politik negara, Datuk Seri Shahrizat Jalil terpaksa melepaskan kerusi menteri.


Rakyat bertambah keliru apabila Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 103 (1) (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Persoalannya jika Rafizi mendakwa tanpa bukti ia akan didakwa sebagai membawa fitnah kepada NFC. Apabila membawa bukti dengan fakta beliau didakwa di bawah Akta Bafia.


Sepatutnya akta ini jangan sewenang-wenang digunakan terutama melibatkan dana awam. Rakyat perlu mengetahui isu ini kerana melibatkan wang mereka sebagai rakyat negara ini.

Tindakan yang diambil kepada Rafizi akan menyemarakkan lagi kemarahan rakyat terutama generasi muda. Cara politik kuno yang dimainkan oleh pemimpin BN untuk memaksa rakyat mengikut telunjuk mereka sudah ketinggalan keretapi. Pemimpin BN perlu sedar  zaman perhambaan sudah berlalu.

Atasi segera kesesakan jalan di Pulau Pinang

SM Mohamed Idris Presiden CAP,
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya segera menangani masalah kesesakan di sepanjang jalan-jalan yang sibuk di Pulau Pinang.
Kerajaan negeri baru-baru ini telah mengambil langkah untuk menempatkan semula Bazar Ramadan sepanjang Jalan Penang dengan menyatakan kesesakan lalu lintas sebagai salah satu alasan utama.

Jika kerajaan negeri benar-benar serius dalam menangani isu kesesakan jalan ini, langkah segera yang perlu diambil bagi mengatasi masalah ini ialah di kawasan-kawasan berikut yang mendapat pemerhatian  CAP sebagai kawasan yang mengalami masalah kesesakan:

Semua jalan di mana terdapat sekolah terutama sewaktu tamat sesi persekolahan;

Jalan Burma, di hadapan Kedai Biskut Him Heang yang terkenal, di mana penduduk tempatan dan pelancong meletak kenderaan mereka secara tidak teratur untuk ke kedai tersebut;

Jalan Burma, di hadapan kedai makan terletak jauh sedikit dari kedai Him Heang di mana orang ramai berhenti untuk membeli makanan;

Di Fettes Park, di bahagian hadapan kedai makan;

Di Jalan Penang dan Lorong Keng Kwee berdekatan kedai cendol Jalan Penang;

Jalan utama di mana terdapat pentas opera, sesetengah jalan tidak dapat dilalui sepenuhnya terutama sekali ketika Perayaan Hantu Lapar;

Jalan utama di seluruh negeri Pulau Pinang di mana terdapat gerai makan sementara yang didirikan semasa Perayaan Nine Emperor;

Jalan di kawasan Little India sebelum perayaan Deepavali di mana khemah didirikan menjadikan jalan sempit dan hampir tidak dapat dilalui;

Jalan Masjid Kapitan Keling pada waktu malam di mana ramai orang mengunjungi gerai nasi kandar, meletak kereta dan motosikal secara tidak teratur ketika solat Jumaat dan Tarawih, dan mereka yang berhenti di hadapan kedai tukaran wang;

Meletak kenderaan secara tidak teratur di hadapan Mahkamah di Lebuh Light di mana kereta boleh dilihat diletakkan di atas garisan kuning, kaki lima jalan dan juga di hadapan sekolah.

Melainkan pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menangani masalah yang ada, pulau ini akan menjadi tempat yang tidak lagi sesuai untuk didiami.

Tiada ulasan: