Jumaat, 3 Ogos 2012

DAH MEMANG NAMPAK SANGAT DALAM LOGO SERTA LAGU KEMPEN PILIHANRAYA...KALAU DAH DITAKDIR KALAH BUAT MACAM MANA PUN KALAH...BEGITU JUGA SEBALIKNYA

94% tolak tema Merdeka: Poll Malay Mail terus menekan Rais

Harakahdaily, 03 Ogs 2012

(Poll yang dibuat The Malay Mail pagi tadi. Ketika dimasuki sekali lagi, ia sudah 'off-line')

KUALA LUMPUR: Satu pungutan suara Malay Mail untuk meninjau kesukaan pembacanya antara tema Merdeka ‘Janji Ditepati’ dan ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ bakal membawa tekanan pada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Setakat ini, pungutan suara yang berumur sehari itu telah menunjukkan satu keputusan yang jelas bahawa tema Merdeka, yang juga slogan kempen Barisan Nasional ditolak hampir sepenuhnya oleh pembaca Malay Mail.

Pagi tadi, daripada 265 undi, 94 peratus atau 248 undi memilih tema Pakatan Rakyat sebagai tema yang lebih disukai untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Ketika cuba dimasuki sekali lagi pada jam 4.00 petang, laman The Malay Mail di alamat http://www.mmail.com.my didapati laman itu 'off-line'. (gambar kanan bawah)

Apakah ia benar-benar bermasalah teknikal sehingga menyebabkan ia 'off-line' tidak dapat disahkan.

Sehingga kini, Rais masih bertungkus-lumus mempertahankan slogan “Janji Ditepati” walaupun diserang daripada pelbagai pelusuk.

Logo Kemerdekaan yang terlalu simplistik yang dipertahankan Rais dulu telahpun ditarik balik dengan alasan yang dilihat amat tidak munasabah dan logik.

Rais, yang sebelum ini mempertahankan logo tersebut telah bertukar nada menyatakan bahawa tiada logo rasmi untuk sambutan Merdeka tahun ini selain logo 1Malaysia.

Bukan itu sahaja, laju tema sambutan Merdeka tahun ini – ‘Janji Ditepati’ yang liriknya ditulis Rais turut mengundang kritikan ramai.

Ramai yang berpendapat bahawa lagu tersebut dengan lirik berbunyi, “Janji telah ditepati, kini masa balas budi” amat menyinggung perasaan.

Selain itu, lagu tersebut kini turut dituduh menyamai lagu kerohanian Kristian Indonesia yang dipopularkan oleh kumpulan True Worshippers semenjak tahun 2008.

Dakwaan itu memaksa penggubahnya Jasnie Mohd Yaakub untuk tampil memberikan penjelasan bahawa lagu ‘Janji Ditepati’ masih di peringkat pengolahan dan belum dimuktamadkan.

"Lagu ini belum finalise lagi. Kami olah dari peringkat ke peringkat sehingga ke tahap terakhir. Jika sudah diluluskan untuk ke peringkat final, baru kami akan muktamadkan.

"Ilham lagu ini datang secara tiba-tiba, (kami) tak ikut mana-mana lagu pun," tegas Jasnie yang dipetik Sinar Harian.

Jawapan itu jelas bercanggah dengan Rais, yang sebelum ini bertanyakan kepada rakyat di Twitter, apakah pandangan mereka kepada lagu tersebut yang sudah ditonton 304,276 kali dan mendapat 32,902 yang mengundi ‘Tidak Suka’ berbanding ‘523’ yang mengundi suka.

Apakah ini penghujung kareer politik Rais jika ketiga-tiga logo, tema dan lagu Merdeka hasil usaha kementerian ditarik balik kerana memalukan keseluruhan BN dan khasnya perdana menteri Datuk Seri Najib Razak?

Kelantan lulus bonus setengah bulan

Harakahdaily, 03 Ogs 2012
KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan meluluskan bonus Aidilfitri setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 bagi kakitangan awam.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, beliau bersetuju dengan pemberian bonus itu bagi menampung keperluan sempena hari raya.

“Saya baru sahaja bersetuju dan mendatangi surat tersebut,” katanya ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini pagi ini.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas RM500 untuk pesara kerajaan yang dibayar pada 9 0gos ini.

Kerajaan negeri Selangor pula menambah RM200 dari bonus dengan memasukkan wang itu sebagai simpanan.

“Bagi yang beragama Islam, wang ini akan dimasukkan dalam Simpanan Tabung Haji manakala bukan beragama Islam akan diberikan dalam bentuk Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN),” umum Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan pada Khamis lepas.

800 ulama nusantara berhimpun di Qaryah Ramadan

M Faqih, 03 Ogs 2012
KOTA BHARU: Qaryah Ramadan di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke-IV bukan sekadar tempat ihya Ramadan dengan ibadat tarawih dan qiamulai, sebaliknya bakal menghimpunkan ulama-ulama nusantara pada satu ijtimak Ahad ini.

Program itu dikenali sebagai Ijtimak Pondok Nusantara akan menghimpunkan kira-kira 800 ulama dan pelajar aliran agama dari Thailand, Indonesia dan tuan rumah.

Program dua hari itu bermula esok dengan solat Asar berjemaah diikuti halaqat al Quran dan iftar jamaie.  Dan selepas solat sunat tarawih diadakan ceramah oleh wakil Persatuan Ulama Fathoni.

Ijtimak berkenaan diadakan sempena Tahun Melawat Kelantan 2012 dimulakan dengan pembentangan kertas kerja oleh Dr Abdul Basit Abdul Rahman dari Pondok Sungai Durian, Kuala Krai dan akan diulas Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Ramli dari Kedah.

Kertas kerja kedua dibentang Tuan Guru Salleh Musa dari Kedah dan diulas Ustaz Zulkifli Ismail (Melaka).

Perasmian ijtimak yang julung kali diadakan di bulan Ramadan akan disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada sebelah tengahari Ahad.

Jurucakap program Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, pada sebelah petang akan diadakan liqa ulama nusantara dan merumuskan resolusi.

“Pada sebelah petang akan diadakan program bacaan qasidah dan Majlis Zikir Ratib Hadaad, manakala selepas solat tarawih akan diadakan ceramah khas oleh ulama dari Indonesia,” katanya.

Program tersebut juga terbuka kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi di Kelantan dan pelajar-pelajar sekolah pondok.

Yusof Taiyyob sumbang zakat melalui kerajaan negeri

Mohd Sabri Said, 03 Ogs 2012

(Lim Guan Eng menyumbangkan duit raya dari Yusof Taiyyob)


BUTTERWORTH: Seramai 500 orang masyarakat Islam sekitar Parlimen Bagan, Butterworth menerima sumbangan 'duit raya' dari Kerajaan Negeri hasil sumbangan zakat Syarikat Kurma terkenal Yusof Taiyyob di Dewan Haji Ahmad Badawi, Butterworth pagi tadi.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir menyampaikan sumbangan bersama ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Jermal, Lim Hock Seng dan Adun Bagan Dalam, Thanasekharen a/l Autherapady berharap sumbangan RM100 seorang itu memberikan sedikit keringgan kepada mereka yang patut menerimanya.

Mereka dipilih oleh Jawatankuasa Kemajuam dan Keselamatan Komuniti (JKKK) melibatkan beberapa buah kampung iaitu Mak Mandin, Telaga Air, Bagan Jermal, Bagan Dalam dan PPRT jalan Tamby Kechil.

Tahun ini buat pertama kalinya Kerajaan Negeri Pimpinan Pakatan Rakyat memberikan  wang ringgit berbanding hamper tiga tahun lalu.

Kesemua kos sumbangan hari ini berjumlah RM50,000.

Seorang penerima dari Bagan Jermal, Puan Rasidah Ismail 65 berkata, sumbangan tersebut memang satu harapan bagi keluarga yang kurang mampu atau sering sakit sepertinya.

Beliau yang menghidap penyakit kencing manis memang memerlukan kos rawatan setiap masa maka sumbangan sempena Hari Raya Aidil Fitri sekurang-kurangnya memberi keringanan.

"Mak Cik ucap terima kasih pada Kerajaan Negeri dan Yusof Taiyyoob kerana prihatin terhadap keluarga yang memerlukan, " jelasnya ketika ditemui.

Che Mat Said 73 pula menyifatkan bantuan RM100 kepada masyarakat Islam kurang mampu adalah kerja amal yang tiada galang gantinya.

Beliau yang bertindak sebagai wakil kepada jiran yang cacat tetap bersyukur mendapat sebuah kerajaan yang prihatin kepada masyarakat kurang upaya.

"Saya yakin Kerajaan Pakatan Rakyat dapat kekal memerintah di Pulau Pinang ekoran sikap yang lunak dengan masyarakat, " ujar beliau.

Sementara itu, Puan Fatimah Kadir 72 (gambar) bersyukur kerana walaupun sumbangan tidak seberapa namun besar ertinya bagi golongan yang susah.

"Terima kasih Kerajaan Pakatan Rakyat yang mengingati kami yang daif.  Sekurang-kurangnya wang itu dapat menampung perbelanjaan sambutan Hari Raya nanti, " katanya bangga.

NGO bantah JKM tahan OKU penglihatan cari rezeki

Aslani M, 03 Ogs 2012
KOTA BHARU: Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia membantah cara dan pendekatan dilaksanakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menguatkuasa Akta Orang Papa 1977 dengan penahanan individu-individu OKU.

Ahli Majlis pertubuhan itu, Mohamad Faizal Che Yusof berkata, golongan OKU penglihatan melakukan aktiviti menjaja yang didakwa sebagai pengemis telah disalah tanggap melalui kempen dan penguatkuasaan akta berkenaan.

“Saya berharap semua pihak termasuk JKM, pihak swasta dan seluruh masyarakat benar-benar faham apa yang dinyatakan dalam muqadimah Akta Orang Kurang Upaya 2008,” katanya di sini.

Semalam JKM dilaporkan menahan individu-individu OKU cacat penglihatan di Kuala Lumpur dalam satu operasi membasmi kegiatan pengemisan.

Mohamad Faizal yang juga seorang peguam bagaimanapun berkata, beliau menyokong langkah kerajaan membasmi kegiatan pengemisan sebenar yang begitu berleluasa dalam kalangan pendatang-pendatang asing.

Katanya, peruntukan Akta Orang Papa 1977 tidak seharusnya digunakan sewenang-wenangnya terhadap OKU terutamanya yang cacat penglihatan.

Kata beliau sepatutnya OKU diiktiraf sumbangan mereka dan potensi yang bernilai kepada kesejahteraan serta kepelbagaian komuniti.

Selain itu OKU berhak kepada peluang dan perlindungan serta bantuan sama rata dalam segala hal tanpa tertakluk kepada apa-apa batasan sebagaimana diperuntukkan Akta 685 Perlembagaan Persekutuan.

Mohamad Faizal berkata, Seksyen 29 menyebut OKU hendaklah mempunyai hak untuk akses kepada pekerjaan atas asas kesetaraan dengan orang upaya.

Oleh itu beliau berharap suatu jaminan untuk OKU penglihatan yang menjalani aktiviti penjaja secara bebas dan perlu diberi peluang pekerjaan atau perniagaan yang mampu menyara kehidupan seharian.

“Suatu perancangan pembangunan OKU yang lebih menyeluruh hendaklah dilaksanakan.

“Telah tiba masanya pembangunan OKU diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri supaya program yang dirancang tidak terputus dan salin melengkapi,” ujarnya.

Bantu Rafizi guna geran pembasmian rasuah

Khaulah Azwar, 03 Ogs 2012
SHAH ALAM: Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari,  menafikan dakwaan Datuk Seri Noh Omar kononnya Kerajaan Negeri menyalahgunakan wang rakyat untuk membiayai kos guaman Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Menurut Dr Yaakob, dana itu diperolehi menerusi peruntukan Geran Selangorku bernilai RM5 juta bagi Program Pembasmian Rasuah dan Penyelewengan.

“Noh tidak layak berbicara soal wang rakyat kerana beliau sendiri tidak mampu menyelamatkan penyelewengan dana Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) berjumlah RM250 juta oleh pemimpin Umno-BN,” kata Sapari.

Sejak kepincangan itu didedahkan, katanya, selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Noh  tidak mengambil sebarang tindakan bagi mendapatkan semula wang rakyat yang disalahgunakan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Salleh.

“Selaku menteri, Noh gagal menunaikan tanggungjawab untuk berkhidmat dan menjaga amanah rakyat termasuk memastikan tiada penyelewengan melibatkan dana kerajaan.

“Walaupun pinjaman RM250 juta diluluskan sebelum Noh memegang kementerian itu, beliau sepatutnya mengambil langkah-langkah tertentu untuk memastikan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil mengembalikan semula dana itu kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau lagi, Geran Selangorku sememangnya diperuntukan untuk kegunaan rakyat antaranya, Pengenalan Gaji Minima, Program Memperkasakan Wanita, Pembinaan Infrastruktur Sukan, Pembaikan Infrastruktur dan Program Pengukuhan Demokrasi.

Katanya, bantuan yang disalurkan Kerajaan Negeri bukan untuk membantu kroni, sebaliknya sebagai sokongan terhadap usaha dan keberanian Rafizi mendedahkan kepincangan pengurusan dana rakyat.

“Rafizi adalah mangsa ketidakadilan sistem di negara ini apabila pelapor kes rasuah dan penyelewengan dilayan seperti pengganas dengan tangannya digari ketika dibawa ke mahkamah manakala suspek rasuah pula diberi layanan VIP.

“Rakyat Selangor dan Malaysia dapat menilai ketidakadilan yang berlaku di bawah pemerintahan Umno-BN.

"Kita yakin  bahawa penilaian ini akan membawa kepada perubahan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU-13) akan datang,” kata Dr  Yaakob.

Ramadanku Bermakna di Kampung Delek, Klang

Harakahdaily, 03 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor akan menganjurkan Program Ramadhanku Yang Bermakna selama seminggu bermula Ahad ini di kampung Delek, Klang.

Program yang akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali itu merangkumi aktiviti untuk kanak-kanak, belia dan dewasa.

Pada 5 Ogos, sebelah paginya diadakan kelas memasak dan membuat kuih raya serta kelas menjahit bersama selebriti, program khatam al-Quran berkelompok oleh pelajar-pelajat KITTIS, Komtas/Sekolah Al Farabi dan Sekolah Wahidah dan majlis pelancaran program pada sebelah malam di Masjid Nurul Amin, Kg. Delek, Klang.

Forum Nuzul Quran akan diadakan pada hari Isnin manakala pada hari Rabu dan Khamis akan berlangsung seminar GeMS Daerah kelang di KITTIS.

Dr Halimah akan menyampaikan taklimat dan konsep kampung Delek sebagai Mini Serambi Mekah diikuti majlis berbuka puasa mahasiswa bersama penduduk kampung di Masjid Nurul Amin.

Pada Sabtu iaitu hari terakhir program, Exco Kerajaan Negeri, Dr Rani pula akan merasmikan Seminar Mengehsankan Insan di Selangor pada hari Sabtu disusuli program motivasi remaja (SPIES).

Sementara itu, program mewarna dan melukis disediakan untuk kanak-kanak pada hari tersebut.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan program sepanjang minggu tersebut sebagai mengimarahkan bulan Ramadan.

Anak muda tolak logo & lagu kemerdekaan ke-55

Shara Shazana,
Usia 55 Tahun Kemerdekaan seharusnya melahirkan satu tempoh kematangan yang unggul. Namun menelusuri paparan pelbagai blog, facebook dan twitter, menampakkan wacana perbincangan yang gamat memperkatakan mengenai kritikan terhadap lagu dan logo kemerdekaan yang ke-55 tahun ini.

Kematangan minda dan gaya fikir serta definisi patriotik telah mula dijiwai oleh segenap lapisan masyarakat yang ingin turut sama membaikpulih imej yang telah mencalarkan mood sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ke-55.

Pertama kali dalam sejarah, Ameerah melihat dangkalnya pemikiran pemerintah yang cuba membawa propaganda dalam nada yang agak keterlaluan dalam tema kemerdekaan. Namun pastinya hal ini tidak disambut baik oleh generasi media baru kini dan jelas dizahirkan dalam kritikan di media baru yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan layaknya.

Facebook Portal Malaysia Merdeka milik kerajaan juga dipenuhi komen-komen rakyat Malaysia yang mengkritik pilihan logo dan lirik untuk tema kemerdekaan tahun ini. Sejumlah “1,075 people likes” untuk portal seperti itu adalah satu angka yang sedikit.

Lagu tema Hari Kemerdekaan Ke-55 yang dimuatkan di youtube oleh Khairil Husni pada 27 Julai 2012 hanya mendapat 297 likes, 20,538 dislikes. Sejak artikel ini ditulis. Angka dislike bertambah setiap waktu.

Pereka bentuk logo kreatif bertalu-talu berkongsi logo lukisan mereka demi semangat kemerdekaan yang sebenar.

Masyarakat kini semakin cerdik. Bukan lagi sekadar menerima bulat-bulat apa yang dipersembahkan walaupun hanya pada lagu dan logo.

Ameerah melihat unsur kematangan dan jiwa patriotik yang lahir serta keberanian masyarakat Malaysia yang harus dicontohi.

Selaras dengan misi patriotisme yang dibawa Ameerah, kami menyeru semua anak muda menghayati dan memaknakan erti kemerdekaan sebenar dalam membangun jiwa generasi baru.

Kita bukanlah pewaris perjuangan kemerdekaan yang hanya mampu menuruti tanpa berfikir!

Kitalah pewaris yang bakal melakari dan mencoret kanvas sejarah kemerdekaan untuk tahun yang akan datang. Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Yang Ke-55

*Penulis ialah anak muda daripadaAmeerah, Dewan Muslimat Pas Pusat

Tiada ulasan: