Jumaat, 3 Ogos 2012

SOAL ROYALTI KENA BAGI SEBAB ADA DALAM PERJANJIAN...KENAPA LAIN BAGI...NEGERI DITERAJUI PEMBANGKANG TAK BAGI...JELAS SALAH

Royalti: Umno risau hilang undi orang muda

Hazayani Zakaria, 03 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: PAS Kelantan yakin kesediaan Umno Kelantan untuk menyelesaikan tuntutan royalti minyak sebelum pilihan raya umum ke-13 disebabkan kebimbangan terhadap kebangkitan anak muda yang menyokong tuntutan tersebut.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Wan Yussof berkata, Umno Kelantan berasa ketinggalan dalam menjaga kebajikan rakyat negeri itu dan berusaha mengambil hati mereka semula.

"Umno Kelantan rasa rugi kalau tak turut serta dalam isu ini. Apatah lagi bila melihat mood orang muda yang menyokong NGO menuntut royalti minyak ini dikembalikan. Umno fikir mereka kena beri perhatian isu yang mendapat sokongan pengundi muda," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa Umno Kelantan akan berusaha menyelesaikan isu berbangkit termasuk tuntutan royalti minyak.

Badan-badan bukan Kerajaan (NGO) di Kelantan sebelum ini menubuhkan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Kelantan (GEGAR) dan mendapat sambutan yang hebat daripada golongan muda.

Wan Nik juga berkata, Umno tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil sebarang tindakan berhubung tuntutan ini kerana ianya sudah dibawa ke mahkamah.

"Saya yakin Mustapa mesti sudah berbincang dengan perdana menteri untuk uruskan hal tuntutan ini.

"Masalah tuntutan minyak ini sudah jadi kes mahkmah. Kalau betul Umno nak selesaikan, mereka kena selesai cara mahkmahlah. Hal ini tak mudah walaupun Mustapa cakap macam mudah sahaja," katanya.

Tambah beliau lagi, Mustapa dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain terlebih dahulu perlu menarik balik kenyataan mereka sebelum ini yang menafikan hak rakyat ke atas royalti minyak.

"Sebelum ini Mustapa, Dr. Awang Adek dan pemimpin Umno Kelantan yang lain kata Kelantan tak layak dapat royalti. Jadi kalau nak selesaikan isu ini, mereka kena tarik balik semua kenyataan sebelum ini," katanya.

Ogos 2010, PAS Kelantan mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Petronas berhubung royalti minyak yang didakwa bukan terletak di perairan negeri.

ISA: Mengapa pembebasan terpilih, tidak semua

Harakahdaily, 03 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengalu-alukan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang telah membebaskan tiga orang tahanan ISA pada minggu ketiga Julai yang lepas.


“GMI  percaya ini adalah hasil daripada kempen berterusan GMI dan rakyat Malaysia untuk membebaskan 45 tahanan dan hasil daripada mogok lapar yang dibuat oleh tahanan di Kamunting,” ujar Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dalam satu kenyataan, hari ini.

Penyelaras Suaram yang juga Sekretariat GMI, Syukri Razab turut mengeluarkan kenyataan itu.

Menurut sumber GMI, katanya mereka yang dibebaskan ialah Loganthan a/l Sanmugam, warganegara Malaysia, ditahan pada 2010, P. Valentine Jayakumar, warganegara Sri Lanka ditahan 2010 dan kerana pemerdagangan Malik Rehmat Ali Syakir, warganegara Pakistan, ditahan 2010, semua kerana pemerdagangan manusia.

“Menurut maklumat yang GMI miliki, tempoh tahanan ketiga-tiga mereka sepatutnya hanya akan tamat pada bulan Ogos, September dan Disember ini,” ujarnya.

Kini, kata Syed Ibrahim seramai 42 tahanan masih ditahan di Kem kamunting, 19 warganegara Malaysia, Indonesia (6), Sri Lanka (5), Pakistan (3), India (2), Bangladesh (1), Iraq (2) dan Filipina (3)


“Pembebasan ini juga telah disahkan oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Keselamatan Dan Ketenteraman Awam, Kementerian Dalam Negeri, Aswanjaya Abd Karim.

“Menurut beliau, ketiga-tiga tahanan dibebaskan oleh Menteri Dalam Negeri hasil daripada laporan keselamatan yang diserahkan kepada pihak menteri,” katanya.


Namun, GMI tegasnya tetap mengutuk tindakan menteri yang melakukan pembebasan yang terpilih.

“Persoalannya, bagaimana dengan tahanan yang lain? Bukankah mereka seharusnya dibebaskan sedangkan ISA sudahpun dimansuhkan?” tanya beliau.

Beliau juga mempersoalkan apakah motif pembebasan yang terpilih itu, justeru menteri harus membebaskan kesemua tahanan ISA yang lain dengan serta merta.

“Pembebasan awal ini menunjukkan tuntutan GMI yang mewakili suara rakyat Malaysia sememangnya berasas. Menteri Dalam Negeri memiliki kuasa penuh untuk membebaskan tahanan walaupun perintah tahanan belum tamat,” ujarnya lagi.

Justeru, katanya GMI tidak melihat sebarang sebab yang rasional untuk Menteri Dalam Negeri tidak membebaskan kesemua tahanan yang lain.

Menurutnya, melalui perhubungan pihak GMI dengan keluarga tahanan, rata-rata tahanan ISA tidak mengetahui perkembangan siasatan yang dibuat ke atas mereka.

“Bahkan mereka seolah-olah hanya dikurung tanpa dijelaskan mengenai proses yang sedang dan akan mereka lalui. Mereka sekadar dikurung dan hanya menunggu tarikh tamat perintah tahanan,” katanya.

Justeru, kata beliau GMI menggesa Menteri Dalam Negeri untuk membebaskan semua 42 tahanan yang lain.

GMI juga, ujarnya ingin mengetahui alasan pihak KDN mengapa tahanan yang lain tidak boleh dibebaskan lebih awal.

“Jawapan yang diberikan oleh menteri sebelum ini iaitu semua tahanan perlu mengikuti tempoh perintah tahanan sudah tidak lagi relevan.

“Jika alasan yang diberikan ialah risiko keselamatan, GMI tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang logik memandang tahanan telah dikurung melebihi satu tahun dengan kawalan ketat daripada Kemta,” katanya.

Syed Ibrahim berkata, GMI juga mencadangkan agar menteri membentangkan kepada umum mengenai kayu ukur dan kaedah yang digunakan KDN untuk menilai sama ada seseorang tahanan itu memberi risiko keselamatan atau tidak.

Royalti Kelantan: Mustapa mahu jadi juara pula

Harakahdaily, 03 Ogs 2012
KOTA BHARU: Kenyataan terbaru Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang tiba-tiba berkata kononya akan berusaha menyelesaikan tuntutan royalti negeri itu dianggap sesuatu yang pelik.

Ini kerana sebelum ini, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri adalah antara pemimpin Umno terawal mengeluarkan dua sebab kenapa Kelantan tidak layak menerima bayaran royalti.

Dalam kenyataan pada 27 Jun 2009 beliau menyebut dua sebab itu adalah, pertamanya kerana eksploitasi yang ada ialah di kawasan pertindihan tuntutan antara Malaysia dan Thailand dan antara Malaysia dan Vietnam dan kedua, eksploitasi sekarang dibuat lebih dari 3 batu nautika dari pantai Kelantan.

Mengulas perkara itu, Setiausaha Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti), Muhammad Hisyamuddin Ghazali berkata, kenyataan Mustapa itu tidak lebih dari cuba menjadi hero selepas melihat sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri yang berterusan menuntut royalti.

"Umno Kelantan cuba ingin menjadi hero dalam isu royalti apabila mereka mendapat tahu Kerajaan Pusat berada dalam keadaan tertekan ekoran Tuanku Sultan Kelantan memperkenan menandatangani plak royalti pada 5 Jun 2012 lalu.

"Padahal Umno Kelantan melalui Dato Pa (Mustapa) lah yang mula-mula kata Kelantan tak layak dapat Royalti pada 2009 bila Kerajaan Negeri tuntut royalti daripada Kerajaan Persekutuan," katanya.

Mustapa dalam kenyataan ketika majlis ‘Makan Colek Bersama Media’ semalam dilaporkan berkata Umno Kelantan akan berusaha menyelesaikan isu berbangkit termasuk tuntutan royalti minyak yang kini menjadi modal kempen pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mengulangi pendiriannya supaya Barisan Nasional perlu menyelesaikan segera isu royalti minyak yang dituntut Kelantan sebelum PRU13.

PAS setuju larang ceramah politik dalam Masjid

Anis Nazri, 03 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Rani Osman bersetuju dengan gesaan beberapa pihak supaya tindak menggunakan masjid sebagai medan berpolitik kepartian.

Menurutnya, perkara itu sebelum ini juga pernah dinyatakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang juga tidak bersetuju dengan mana-mana pihak yang menggunakan masjid untuk politik kepartian.

Bagaimanapun, ia tidak mendatangkan sebarang masalah sekiranya tazkirah itu membincangkan soal politik kerana Islam dan politik memang tidak boleh dipisahkan.

"Ia berbeza antara politik kepartian dengan politik semasa. Politik semasa ini memang tidak boleh dipisahkan. Itu tak apa, yang tak bolehnya bila bercakap pasal PAS, pasal Umno," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Tambah beliau, mana-mana kariah masjid dan surau yang mendapati penceramah - sama ada daripada PAS atau Umno yang memberi tazkirah politik kepartian, boleh membuat aduan mengenainya.

"Mana-mana penceramah yang bercakap soal parti politik, kita minta diadukan kepada kita.  Siap dengan bukti. Kalau ada rakaman, video dan sebagainya untuk menyokong dakwaan tersebut.

"Kita tidak mahu hanya ada yang kata penceramah ini bercakap pasal politik, tapi bila ditanya siapa, tidak boleh bagitahu. Jika ada bukti yang jelas dan kukuh, tindakan boleh diambil," tegas beliau lagi.

Ditanya bentuk tindakan yang boleh diambil ke atas penceramah terbabit, Adun Meru itu berkata perkara tersebut akan diadukan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk tindakan lanjut.

LRT-Ampang: George Kent bohong, kata Rafizi

Rafizi Ramli, 03 Ogs 2012
Saya memandang berat kenyataan En Cheong Thiam Fook, Pengarah Eksekutif George Kent yang mendakwa konsortium tersebut lulus penilaian teknikal dan kewangan dalam bidaannya.

Kenyataan itu terang-terang membelakangkan laporan penilaian rasmi yang digunapakai oleh kerajaan dalam menentukan kontraktor bagi kerja-kerja tambahan sistem LRT Laluan Ampang.

Malah, En Cheong Thiam Fook dan George Kent telah berbohong apabila beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan berikut:

1.      Bahawa Konsortium George Kent – Lion Pacific telah LULUS penilaian kewangan

2.      Bahawa Konsortium George Kent – Lion Pacific telah MEMATUHI semua syarat-syarat kontrak

3.      Bahawa Konsortium George Kent – Lion Pacific telah LULUS semua syarat teknikal

Pembohongan ini dibuat dengan tujuan untuk mengabui mata rakyat Malaysia. Konsortium George Kent dan rakan-rakan karib mereka dalam pentadbiran Umno/Barisan Nasional percaya dengan propaganda media yang berterusan, mereka dapat meyakinkan rakyat bahawa tidak ada unsur rasuah dan penyelewengan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam memastikan konsortium itu mendapat kontrak.

Saya sertakan fakta-fakta dan susur galur yang membuktikan bahawa Konsortium George Kent telah berbohong:

Dalam satu surat bertarikh 20 Januari 2012, Dato’ Shahril Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana telah mengemukakan ringkasan penilaian keseluruhan bidaan (penilaian teknikal, penilaian kewangan dan pematuhan kepada syarat-syarat kontrak) kepada Kementerian Kewangan bersama-sama cadangan lantikan untuk diluluskan Kementerian Kewangan;

Bidaan oleh George Kent dibuat melalui Konsortium George Kent-Lion Pacific yang turut melibatkan syarikat-syarikat Wijet dan Thales dari luar negara. Bidaan ini dilabelkan sebagai bidaan 3 dari 8 pembida (3/8);

Ringkasan penilaian keseluruhan bidaan (salinannya disertakan bersama) dengan secara jelas menunjukkan bahawa Konsortium George Kent hanya mendapat markah 8.7 daripada 30 markah keseluruhan bagi penilaian kewangan. Oleh itu, Prasarana telah memutuskan bahawa George Kent GAGAL dalam penilaian kewangan;

Ringkasan penilaian keseluruhan bidaan juga menyatakan bahawa George Kent TIDAK MEMATUHI syarat-syarat kontrak. Malah, ia membuat permohonan agar beberapa syarat seperti “bayaran ganti rugi kerosakan akibat gangguan” (atau Agreed Disruption Damages) disemak kembali;

Pada markah teknikal 38.62 dari 70 markah keseluruhan, George Kent berada di tempat ketiga tercorot dalam penilaian teknikal. Malah, di dalam laporan penuhnya, Perunding Halcrow dengan secara jelas menyatakan bahawa ia tidak yakin Konsortium George Kent boleh melaksanakan projek itu.

Kesemua fakta ini adalah fakta yang sah dan diangkat ke peringkat tertinggi Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan yang dipengerusikan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri. Saya telah disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan dokumen yang sah ini.

Oleh itu, pembohongan yang dibuat oleh George Kent bahawa ia telah lulus semua penilaian dan mematuhi syarata-syarat menghina semua proses dan prosedur yang digunapakai di dalam sistem perolehan negara. Ia juga membayangkan bahawa proses dan prosedur ini tidaklah berfungsi dan berkesan sehingga ia langsung tidak dihormati oleh pembida.

Lebih merunsingkan, ia membayangkan ‘lesen besar’ yang dipunyai oleh George Kent untuk membuat kenyataan yang sewenang-wenangnya membelakangkan keputusan Kumpulan Prasarana. Ini menimbulkan persoalan dimanakah kemampuan Prasarana kelak untuk memantau dan memastikan George Kent akan mematuhi semua syarat dan jadual kerja seperti yang dipersetujui, apabila belum pun kerja-kerja bermula George Kent dengan bongkaknya membohongi keputusan bidaan yang diangkat oleh Prasarana.

Saya yakin kebongkakan George Kent ini berpunca dari sokongan padu Dato’ Seri Najib kepada syarikat itu. George Kent tahu mereka kini sudah kebal dari undang-undang kerana dilindungi sepenuhnya oleh Perdana Menteri, sebab itulah mereka tidak segan silu berbohong walaupun ada fakta dan bukti yang sahih.

Kenyataan Najib melucukan, bercanggah realiti

Harakahdaily, 03 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini sedang berusaha menarik sokongan orang Melayu dengan menggunakan isu agama.

Terbaru Najib menyatakan falsafah dan prinsip beliau mengurus tadbir Negara adalah berpaksikan Al Quran dan Sunnah semasa berucap pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid At Taqwa, Paroi  semalam.

Bagi Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS, Sany Hamzan, kenyataan terbaru Najib itu sangat lucu dan tidak berpijak kepada realiti yang sebenarnya.

"Adakah dengan menzalimi hak negeri Pakatan Rakyat boleh dianggap sebagai pemerintahan yang berpaksikan semangat berteraskan kepada agama?

"Adakah melaksanakan undang-undang yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti ISA, OSA dan sebagainya dituntut oleh Islam?

"Adakah tindakan ‘menangkap dan menggari’ orang yang mendedahkan penyelewengan dan salah laku pemimpin-pemimpin yang korup termasuk di dalam kategori orang yang memperjuangkan Al Quran di dalam pengurusan tadbir Negara," soalnya.

Bagi Sany, kenyataan Najib hanyalah cubaan untuk mempergunakaan isu agama bagi menarik kembali simpati rakyat khususnya pengundi Melayu Islam bagi menyokong Umno dan Barisan Nasional setelah cubaan menyogok dengan isu pembangunan, isu ‘durian runtuh’ serta pelbagai isu lagi masih tidak dapat menepati sokongan yang diperlukan oleh mereka bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13.

"Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia cukup yakin permainan Najib untuk menggunakan isu agama ini akan memberi impak yang buruk terhadap sokongan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional.

"Kita menasihatkan supaya Najib menarik balik kenyataan beliau sebelum ini kerana ianya amat mengelirukan dan boleh menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam di dalam negara ini," katanya.

Tiada ulasan: