Ahad, 5 Ogos 2012

BERLAKONLAH..BERPURA2LAH...APA PUN KITA BUAT SUSAH NAK MENJADI...KERANA HELAH ITU RAKYAT DAH BOLEH BACA...USAHLAH MAIN2KAN RAKYAT...RAKYAT AKAN HUKUM DALAM PRU13...JIKA BERJAYA MAKA SEMUA ITU DENGAN IZIN ALLAH...BERTAUBATLAH...BERTAQWALAH...INGATLAH MATI...INGATLAH NERAKA ALLAH API YANG MENJULANG2...YANG PANAS MEMBARA ITULAH HABUAN UNTUK MANUSIA YANG DERHAKA KEPADA ALLAH SWT

Dakwa Wan Ahmad ahli Umno, polis siasat Saifudin

Harakahdaily, 05 Ogs 2012
PETALING JAYA: Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail disiasat oleh polis dari Balai Putrajaya hari ini ekoran dakwaan beliau Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar adalah ahli Umno.


Beliau disiasat atas tuduhan fitnah jenayah kerana mendedahkan kononnya SPR tidak adil atau bias.

Turut serta bersama beliau adalah Latheefa Koya yang bertindak sebagai peguam dalam soal siasat tersebut.

"Polis tidak cukup sibuk," kata Saifudin dalam Twitternya ketika memaklumkan perkara tersebut.

Latheefa pula dalam Twitternya menulis, "Laporan polis dibuat oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad terhadap Saifudin kerana memberitahu media dia anggota Umno!"

Saifudin dalam kenyataannya mendakwa Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga adalah ahli Umno.

Dalam kenyataannya, Saifuddin menjelaskan nombor keahlian Abdul Aziz ialah 113804 dan berdaftar di Cawangan Sri Ampang Baru dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dalam Parlimen Ampang, Selangor.

Manakala nombor keahlian Umno bagi Wan Ahmad pula ialah 2374564 dan beliau berdaftar dalam Cawangan Kubang Bunggor DUN Chetok bagi Parlimen Pasir Mas di Kelantan.

Namun, Wan Ahmad menafikan dakwaan yang kononnya beliau adalah ahli UMNO.

Beliau berkata, dakwaan itu adalah satu pembohongan dan fitnah yang berat bertujuan merosakkan nama dan integritinya sebagai Timbalan Pengerusi SPR.

"Perbuatan itu bermotifkan politik bertujuan untuk merosakkan kredibiliti SPR sebagai sebuah badan bebas dan berkecuali. Dia (Saifuddin Nasution) perlu bertanggungjawab atas pembohongannya serta memohon maaf secara terbuka," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Ahmad berkata, beliau juga tidak pernah mendaftar sebagai ahli Umno dan dakwaan itu sebenarnya berniat jahat untuk menjatuhkan maruahnya serta merosakkan kredibiliti SPR.


Bazir masa
Sementara itu, Lathefa Koya (gambar) dalam Twitter mendakwa polis telah membazirkan waktunya yang amat berharga apabila membuat siasatan terhadap Saifudin.

Bagi beliau, polis sepatutnya menggunakan masa mereka untuk menyiasat dan menyelesaikan kes jenayah yang sebenar.

Ini kerana, masalah kejadian jenayah menjadi masalah sebenar rakyat negara ini apabila ia dilaporkan saban hari dalam media.

"Masa yang berharga dan sumber telah dihabiskan oleh polis untuk menghadapi jenayah.

"Kerajaan pula menghabiskan masa polis untuk menyiasat pemimpin pembangkang," tulis beliau dalam Twitternya.

Lebuhraya Rakyat: Lebih RM4 juta sudah terkumpul

Hazayani Zakaria, 05 Ogs 2012
SHAH ALAM: Lebih RM4 juta sudah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai bagi membina Lebuhraya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK).



(Tuan Guru Nik Aziz melancarkan kempen tabung amanah pembinaan lebuhraya di Komplek Karangkaraf semalam)

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, sumbangan masih diperlukan kerana kos keseluruhan adalah RM1.8 bilion dan ia masih berkurangan.

"Orang ramai masih boleh terus memberikan sumbangan terus kepada tabung  Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd," katanya kepada pemberita selepas pelancaran tabung amanah pembinaan KBKK di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, dekat sini malam itu.

Pelancaran tersebut disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri dengan disaksikan kira-kira 1,000 anak Kelantan yang hadir.

Berucap di majlis anjuran Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan) itu, Husam berkata, penubuhan dana itu akan membuktikan kepada kerajaan pusat bahawa rakyat Kelantan mampu berusaha mendapatkan prasarana terbaik walaupun tanpa bantuan kerajaan pusat.

"Bila kita buka wakaf lebuh raya mereka (kerajaan pusat) ejek dengan perbuatan dan perkataan.

"Tapi tunggu mereka bagi peruntukan mereka tak bagi. Pembinaan ini bukan bererti membina sekaligus di luar kemampuan kita," katanya.

Husam menjelaskan kerajaan negeri telah mendahulukan wang untuk pembinaan lebuh raya empat lorong dua hala sepanjang 73 kilometer itu

Hasil sumbangan orang ramai  katanya akan turut digunakan untuk membina lebuh raya jajaran bertingkat dari Kota Bharu ke Wakaf Che Yeh yang menelan belanja RM500 juta.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Majlis dimulakan dengan taklimat wakaf dan majlis berbuka puasa dan solat terawih berjemaah.

JK Royalti: Kenapa sekarang - TG Nik Aziz

Harakahdaily, 05 Ogs 2012
SHAH ALAM: Walaupun bersyukur dengan keputusan Kerajaan Pusat mahu mengkaji bayaran royalti petroleum untuk Kelantan namun Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Aziz mempersoalkan 'kenapa sekarang'.

Ini kerana, ia sudah lama patut diberikan dan bukannya memberikan janji pula menjelang pilihan raya ini.

"Mengapa Perdana Menteri baru sekarang mahu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran royalti?" soal beliau kepada media petang semalam.

Jumaat lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghantar surat kepada Tuan Guru Nik Aziz meminta beliau menamakan wakil Kelantan untuk membincangkan isu royalti/bayaran tunai kepada negeri itu.

"Kerajaan Pusat sepatutnya telah lama menubuhkan jawatankuasa khas berhubung isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung," kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Malah menurut Menteri Besar Kelantan, jawatankuasa khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewajarnya selesai membincang dan merunding isu berbangkit itu dalam tiga bulan lalu.

Sehubungan itu, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mempersoalkan tindakan Perdana Menteri yang baru sekarang mahu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran royalti.

"Jawatankuasa ini patut ditubuhkan sejak dulu lagi.

"Semasa perjanjian di antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas dibuat pada 9 Mei 1975, tapi mengapa baru sekarang mahu tubuhkan?” katanya ditemui sebelum pelancaran Tabung Amanah Lebuhraya Rakyat dan majlis berbuka puasa di Kompleks Media Karangkraf di sini semalam.

Tengah hari tadi, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung.

Menurut Najib, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Jawatankuasa itu akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan, kata Najib.

Nik Aziz turut membidas keputusan Najib yang mahu kajian menyeluruh dilakukan dalam tempoh enam bulan yang sepatutnya mengambil jangka masa lebih pendek sekurang-kurangnya tiga bulan sahaja.

Beliau  berkata,  pihaknya belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai nama wakil Kelantan yang akan mewakili negeri itu dalam jawatankuasa khas berkenaan.

“Belum ada lagi sebarang perbincangan. Saya sendiri akan mengadap Sultan Kelantan bagi menghantar nama wakil dan hanya pada masa itu akan diumumkan nama wakil bagi negeri Kelantan,” jelas beliau.

Beliau turut bertegas yang Kelantan mempunyai hak sepenuhnya ke atas royalti minyak kerana kedudukan pelantar cari gali minyak berdekatan dengan pesisiran pantai negeri Kelantan.

'Kritiklah kami untuk sebab yang betul'

Lim Guan Eng, 05 Ogs 2012
Saya ingin berterima kasih kepada Penang Forum kerana menjemput saya untuk membentangkan wawasan saya untuk Pulau Pinang sebagai Bandaraya Pintar Dan Sesuai Untuk Didiami.

Saya rasa kedaya tahanan Penang Forum dalam usaha menganjur dan menggerakkan rakyat Pulau Pinang untuk mengambil kepentingan dalam menentukan masa depan bandaraya dan negeri selama beberapa tahun ini melambangkan semangat masyarakat sivil yang sihat.

Saya diberitahu bahawa saya akan memasuki sarang serigala tetapi salah satu filem kegemaran saya adalah “Dancing With Wolves”. Walaupun saya bersedia untuk dikritik dan dimaki, ini adalah sebahagian daripada demokrasi penyertaan, dan merupakan sesuatu yang diterajui dengan bangga oleh kerajaan negeri PR yang berusia 4 tahun ini. Malah Lim Mah Hui yang sangat kritikal pun masih lagi berkhidmat dalam Penang Institute dan sebagai ahli majlis MPPP, dan ini tidak akan ditemui dalam negeri-negeri kawalan BN.

Walaubagaimanapun, kritiklah kami untuk sebab yang betul dan bukan untuk sebab yang salah. Kami mengakui kesilapan-kesilapan kami tetapi kami tidak akan menanggung dosa-dosa masa lalu. Kami akan bertindak terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa tetapi kami juga akan bertindak dengan tegas terhadap dakwaan palsu yang melibatkan integriti kami. Kami kerajaan bersih dan kami bangga dengan integriti kepimpinan yang diiktiraf ramai.

Kami bangga bukan sahaja kerana berjaya menjadi negeri pertama di Malaysia yang menikmati kebebasan bersuara tetapi juga kebebasan selepas bersuara di Sudut-sudut Pidato di Pulau dan juga di Seberang Perai. Sebagai Ketua Menteri, pintu saya senantiasa terbuka kepada ahli-ahli masyarakat sivil Pulau Pinang, dan saya mengalu-alukan peluang untuk mendengar dan berdiskusi dengan rakyat Pulau Pinang.

Pulau Pinang memang tidak senang untuk ditadbir, apatah lagi untuk memerintah. Saya pernah diberitahu oleh seorang bekas Ketua Setiausaha Negara bahawa sekiranya seseorang penjawat awam dapat mengendalikan rakyat Pulau Pinang dengan berjaya, maka beliau berupaya untuk mengendalikan apa-apa jawatan di mana jua di Malaysia. Saya rasa ini adalah kerana 2 faktor kejayaan yang cukup mencerminkan jiwa Pulau Pinang.

Pertama, untuk menjalin masyarakat sivil yang kuat, masyarakat itu seharusnya bertamadun. Dalam hal ini, Pulau Pinang mendahului atas asas pendidikan serta institusi demokratik yang kuat. Kedua, Pulau Pinang boleh berbangga kerana menghasilkan modal insan yang paling hebat dan pandai di Malaysia.

Pada tahun 1951, A.S.M. Hawkins, Penyelia Pilihan Raya British untuk pilihan raya tempatan George
Town, iaitu pilihan raya pertama di Malaya, telah melaporkan bahawa:
“Pulau Pinang merupakan tanah yang subur untuk pertumbuhan institusi demokratik ... rekod prestasinya yang lama dan mulia dalam sektor pendidikan telah menghasilkan tahap celik huruf yang lebih tinggi berbanding bandar-bandar lain. [Institusi-institusi tempatan] membantu untuk menggembleng rakyat untuk mewujudkan masyarakat yang bukan sahaja mempunyai kepentingan bersama tetapi juga ideal bersama. Terdapat juga kebanggaan tempatan dan semangat patriotisme tempatan yang tidak berpecah akibat skizofrenia sebuah bandar mentropolitan. Sebuah bandar yang melaungkan cogan kata “Pulau Pinang Mendahului” sepertimana Birmingham menggunakan “Mara Ke Depan”, di mana cogan kata tersebut bukanlah satu doa atau aspirasi, bukan juga kebanggaan tetapi satu hakikat, dengan jelasnya merupakan satu tempat yang bermutu tinggi.”

Pulau Pinang masih lagi bermutu tinggi. Namun dalam 18 tahun yang lepas, cogan kata “Pulau Pinang Mendahului” sudah pun tidak kedengaran, dan sebaliknya diberi jenama baru iaitu “Pulau Pinang Darul Sampah” oleh seorang doktor daripada Kubang Pasu. Kita telah menjadi mangsa pengabaian dan salah urus.

Pelabuhan Pulau Pinang yang bersejarah yang pada suatu masa dahulu merupakan pelabuhan utama Persekutuan, dua setengah kali ganda lebih besar daripada Pelabuhan Kelang pada tahun 1950, kini hanya nombor 5 di Malaysia, di belakang Bintulu dan Johor. Kerajaan Persekutuan sudah pun berputus asa dan sekarang ingin menswastakannya atau menlanunkannya memandangkan tiada tender terbuka. Pengabaian infrastruktur fizikal seperti jalanraya yang telah berlaku adalah begitu teruk sampai Lee Kuan Yew pun telah memberi amaran pada tahun 2009 bahawa kita mungkin akan ketinggalan berbanding Ipoh dan Seremban.

Oleh itu, kita harus kembali kepada yang asas – kepada rahsia kejayaan Pulau Pinang pada masa lalu, iaitu untuk menjadi sebahagian daripada komuniti antarabangsa. Kita harus mentransformasikan Pulau Pinang kepada bandaraya pintar dan antarabangsa dengan standard antarabangsa, dengan amalan terbaik untuk menarik modal insan.

Pulau Pinang sebagai bandaraya pintar dan antarabangsa dapat dicapai melalui pembangunan bandaraya yang sesuai untuk didiami yang dapat menarik modal insan serta menyediakan dasar-dasar berjiwa rakyat yang mentransformasikan Pulau Pinang kepada sebuah ekonomi yang maju, mampan dan inklusif tanpa kemiskinan. Ini membabitkan 3 sektor utama iaitu membangunkan ekonomi yang inklusif, menubuhkan pusat-pusat kecemerlangan dalam kecekapan-kecekapan teras serta menjadikan Pulau Pinang lebih sesuai untuk didiami.

Kami mempunyai Penang Blueprint yang ditangguhkan untuk memberi peluang kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Pelan Induk Greater Penang. Saya baru sahaja bercakap dengan Datuk Seri Idris Jala minggu lepas yang telah memberitahu saya bahawa beliau sedang menunggu tarikh daripada Perdana Menteri untuk membentangkan hasil kajian bersama. Saya harap kita tidak akan menunggu sehingga selepas pilihan raya umum.

Bandaraya antarabangsa tidak bermaksud kita harus mengikuti bandaraya-bandaraya seperti Singapura atau Hong Kong ataupun KL. Pulau Pinang harus mencari pengkhususannya sendiri berdasarkan kekuatan dan kelebihannya. Selagi KL menjadi pusat pentadbiran dan kewangan negara, Pulau Pinang harus memainkan peranan sekunder.

Namun begitu, bandaraya sekunder tidak bermaksud kita harus menjadi kelas kedua. Bandaraya-bandaraya sekunder seperti Barcelona, Melbourne dan Edinburgh boleh menjadi kaya dan setanding di peringkat antarabangsa seperti bandaraya-bandaraya utama di negara masing-masing. Bandaraya sekunder yang diurus tadbir dengan baik boleh menjadi alternatif yang segar berbanding tekanan masa, jenayah dan kekotoran sebuah metropolis yang besar.

Semestinya kita memerlukan peruntukan yang lebih adil daripada Kerajaan Pusat. Tetapi kita juga memerlukan perubahan kepada satu cara pemikiran yang menuntut standard antarabangsa dalam pentadbiran dan pembangunan, dan satu yang mengiktiraf Pulau Pinang sebagai bandaraya bertaraf antarabangsa yang dapat menarik modal insan antarabangsa.
Kita mahukan Pulau Pinang yang mempunyai ruang dan peluang untuk semua. Salah satu isu yang dihadapi Pulau Pinang hari ini adalah kekurangan peluang untuk anak-anak muda. Rungutan yang selalu dibangkitkan di kalangan ibu bapa Pulau Pinang hari ini adalah bagaimana mereka menyimpan rumah besar untuk Tahun Baru Cina dan Hari Raya apabila seluruh keluarga akan berkumpul bersama, tetapi sepanjang tahun rumah mereka berada dalam keadaan kosong kerana anak-anak mereka sudah memulakan kerjaya dan kehidupan di KL dan Singapura.

Walaupun kami mengalu-alukan dan menghormati warga emas kita, Pulau Pinang harus menjadi lebih daripada tempat persaraan. Pulau Pinang yang berjaya harus membangun dari segi populasi untuk mencapai ketumpatan yang diperlukan untuk menjana pekerjaan-pekerjaan pendapatan tinggi, prasarana kebudayaan dan pengangkutan awam yang cekap.

Ada yang menentang strategi ini kerana takut dengan kenaikan harga hartanah dan kesesakan trafik. Namun hakikatnya adalah Pulau Pinang telah kehilangan anak-anak yang paling cerdik sementara dalam dua puluh tahun yang lepas populasi bandar-bandar di Lembah Kelang dan Singapura telah berganda akibat penghijrahan ekonomi anak-anak muda kita.

Jika pertumbuhan akan mengakibatkan tekanan ekonomi, maka kita harus mengendalikan tekanan-tekanan ini supaya rakyat Pulau Pinang tidak akan dipaksa keluar daripada negeri sendiri. Kami percaya bahawa kerajaan negeri harus memainkan peranan yang aktif dalam perumahan mampu milik serta dari segi pemajuan dan kewangan. Oleh itu, kami telah menubuhkan Lembaga Perumahan Negeri dan telah mengumumkan peruntukan RM500 juta untuk membiayai 18,000 unit perumahan mampu milik, termasuk 1,328 unit di Jalan SP Chelliah (Lines Road) di George Town, 12,000 unit di kawasan industri baru Batu Kawan dan yang selebihnya di kawasan-kawasan lain.

Kami sudah pun menaikkan harga minima untuk pembelian hartanah oleh warga asing kepada RM2 juta untuk hartanah di kawasan Pulau, [dan kami kini sedang dalam proses mengkaji semula caj dan yuran pendaftaran bagi pemindahan milik hartanah mewah untuk memastikan pemajuan hartanah tidak hanya pencong kepada pembangunan mewah]. Pada masa yang sama, kami harus menggunakan tanah kita dengan lebih bijak melalui perancangan yang lebih bijak. Kami juga mahu meningkatkan kesalinghubungan antara Pulau dan Seberang Perai untuk mengurangkan tekanan tanah di Pulau dan juga untuk menyebarkan manfaat pembangunan kepada populasi majoriti yang mendiami Seberang Perai.

Pulau Pinang hari ini mendapat manfaat bukan sahaja daripada populasi yang mahir dan berpendidikan tetapi juga daripada bukit-bukau, pantai, makanan dan warisan sosial dan fizikal yang pelbagai. Ini semua merupakan khazanah Pulau Pinang yang menarik orang, pelabur dan pelancong ke Pulau Pinang dan menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar paling sesuai didiami di Malysia dan ke-8 paling sesuai didiami di Asia.

Anda mempunyai jaminan saya bahawa Kerajaan ini akan melindungi khazanah tersebut. Kami sedang dalam proses menyediakan Rancangan Khas Kawasan untuk memelihara, menaik taraf dan melindungi Kawasan Warisan Dunia George Town, Kebun Bunga dan Bukit Bendera, di mana beberapa pusingan rundingan awam sudah pun dijalankan. Kami juga telah mengumumkan rundingan awam bagi cadangan-cadangan kami untuk menubuhkan taman awam yang baru, dataran awam dan pusat kesenian dan budaya di sebelah Prangin Canal sebagai Fasa 5 KOMTAR, dan kami harap dapat menubuhkan dan memulihkan lagi kawasan-kawasan awam untuk Pulau Pinang di masa depan.

Walaupun Kerajaan Persekutuan ingin melindungi kuasa mereka atas pengangkutan awam, Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang akan cuba mendapatkan sokongan dan kerjasama Kerajaan Persekutuan. Tidak membuat apa-apa itu bukanlah satu pilihan. Kami telah memulakan pembangunan infrastruktur yang bercita-cita tinggi. Sama ada kami berjaya atau gagal itu akan ditentukan oleh rakyat Pulau Pinang.

Janganlah dikatakan bahawa kami tidak berani mencuba. Saya lebih rela gagal kerana mencuba daripada gagal untuk mencuba. Kerajaan Negeri ini telah dipilih oleh rakyat Pulau Pinang untuk menamatkan keadaan tidak berkembang dan menyampaikan pembangunan yang bersih, cekap dan saksama. Kami akan membuat demikian berdasarkan kepercayaan bahawa Pulau Pinang mampu mendahului sekali lagi, dan mampu menjadi perintis untuk seluruh Malaysia.
---------------------------
Ucapan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Penang Forum di Kompleks Masyarakat Penyayang, George Town pada 4.8.2012

'Mula-mula pulangkan, sekarang beratur paling awal'

Mohd Sabri Said, 05 Ogs 2012
TASEK GELUGOR: Negeri Pulau Pinang berjaya mengumpul 135,000 warga emas yang layak menerima sumbangan RM100 setahun kepada mereka sebagai penghargaan sumbangan bakti pada negeri ini.

(Lim Guan Eng menyampaikan sumbangan - gambar fail)

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, ia adalah hasil usaha cemerlang semua pihak dan merupakan 95 peratus dari jumlah warga emas yang ada di negeri ini.

Ia sekaligus menunjukan sokongan padu golongan terbabit untuk melincinkan pentadbiran yang cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) serta menyokong langkah bijak Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menjagai hak mereka.

"Pertambahan bilangan pendaftaran warga emas di negeri ini menunjukan sokongan golongan terbabit terhadap usaha kerajaan negeri.  Tindakan Umno yang melemparkan fitnah kononya pemberian itu hasil sumber wang haram tidak releven lagi, " katanya di hadapan penerima sumbangan warga emas dan ibu tunggal Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Dewan Besar Sungai Dua pagi semalam.

Kenyataan Setiusaha Umno Negeri, Datuk Azhar Ibrahim memburuk-burukan usaha kerajaan negeri memberikan wang RM100 kepada warga emas pada permulaan memperkenalkan dasar menghapuskan kemiskinan tegar berlalu begitu sahaja.

Bahkan ada antara kumpulan yang memulangkan wang itu sebelum ini awal-awal lagi sudah beratur panjang mendapatkan wang berkenaan di tahun berikutnya.

Dasar kebajikan terutamanya penghargaan kepada warga emas sambung Lim, sudah lama diamalkan di Thailand dan lain-lain negara membangun.
Tetapi, di Malaysia dasar itu tidak dipraktikkan, berkemungkinan kekayaan negara tidak mahu diagihkan kepada rakyat kembali sebaliknya mahu diboloti oleh pemimpin yang tidak bertanggunjawab.

"Masa memperkenalkan dasar itu bukan main lagi Umno memperlekehkan dengan fitnah. Tetapi, lama kelamaan apa yang mereka burukan makan diri dan akhirnya pengikut yang sama-sama memulangkan wang kononya wang judi awal-awal lagi bertindak beratur panjang tidak mahu lepas mendapatkan bantuan tersebut, " jelasnya.

Kepada semua rakyat, Lim yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan menegaskan, sudah sampai masanya rakyat menolak kepimpinan yang tidak telus, banyak penyelewengan, perasuah, tidak hormati keadilan dan bertindak zalim terhadap pendemo yang aman.

Keadaaan politik yang tidak condong kepada BN mengusarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib untuk mengistiharkan tarikh pilihanraya umum ke 13, katanya.

Merdeka: Masih ada masa kabinet bincang semula

Mohd Sabri Said, 05 Ogs 2012
PULAU PINANG: PAS menegaskan, masih ada masa lagi isu tema Hari Kemerdekaan Malaysia  Ke 55 'Janji Ditepati' dibawa berbincang dalam kabinet semula kerana tema tersebut tidak sesuai dengan hasrat rakyat yang mahu melihat Malaysia terus utuh dipersada dunia.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, tema 'Janji Ditepati' lebih kepada slogan kempen Barisan Nasional (BN) untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat tambahan lagi senikata lagunya juga menjurus kepada memuja langkah BN yang memperkenalkan dasar-dasar baru bukan bersifat patriotik.

"Rais Yatim usah mendabik dada dengan alasan ia adalah keputusan Kabinet.  Dia tak akan berganjak kononnya tema tersebut sesuai sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Kali Ke 55.

"Masih ada masa berbincang semula dalam Kabinet sebab tema itu menimbulkan kontraversi dan tidak disukai kebanyakan rakyat memandangkan ia tidak langsung mengambarkan slogan patriotik, " katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Tekanan semakin kuat terhadap Rais ekoran slogan, lagu dan logo sambutan Merdeka ke 55 yang disifatkan banyak pihak tidak sesuai.

Ekoran kedegilan Rais Yatim mengubah tema sambutan kali ini membuatkan negeri di bawah Pakatan Rakyat memilih tema sendiri iaitu ' Sebangsa Sejiwa Senegara' hasil pencarian yang diambil dari nukilan rakyat sendiri.

Sehingga kini, Rais telah menarik balik logo Hari Merdeka tetapi masih mempertahankan slogan "Janji Ditepati' dan lagu Hari Merdeka tahun ini.

Sejak dulu Malaysia tidak pernah lari dari memperkenalkan slogan berbentuk patriotik antaranya ialah Muhibbah dan Perpaduan, Masyarakat Budaya Bangsa, 20 tahun Bersatu Maju, Berdisplin Berharmoni, Setia Bersatu Maju, Negara Tanggungjawab Kita, Malaysiaku Gemilang dan sebagainya.

Bagi Mujahid yang juga anggota Parlimen Parit Buntar, seandainya Rais Yatim dan kerajaan mengekalkan tema Janji Ditepati bermakna di era pemerintahan Datuk Seri Najib merupakan satu-satunya kejadian yang memalukan apabila rakyat mempertikai tema yang dicadangkan.

Katanya, dulu isu ini tidak timbul disebabkan  tema yang diguna pakai tidak berbaur politik tetapi lebih kepada mengajak rakyat menghayati perpaduan, kemakmuran, keadilan atau mempertahankan maruah bangsa Malaysia.


"Saya menyeru di atas nama baik negara jawatankuasa kabinet yang menetapkan tema tersebut menilai semula agar tema sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke 55 selari dengan semangat patriotik sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, " pohon beliau.


 Kalau Allah Itu Maha Baik, Kenapa Buat Neraka?

Ini kisah benar.. Kisah seorang gadis Meayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama.

Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berke
naan menutup aurat.

Saya tidak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan.
Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di sebuah pasaraya telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat.

Maka dia pun kena denda.

Setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "lepas ini diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan.

Peraturan ni bukan semata-mata peraturan Majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga.

Kalau derhaka tidak mematuhi perintahNya, takut nanti tidak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah.
Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tidak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka."

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka?
Kenapa tidak sediakan syurga sahaja? Macam itu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia sudah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz. Sudah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung.

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia.

Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz.
Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.
Hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga.
Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur.
Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga. Kan Tuhan tu baik?"
Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu?

Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:
"Perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga.
Maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma.
Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga. Perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga.
Selepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak. Tak ada siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'.
Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?" Tanya ustaz.

"Mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas macam tu je." Rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"

Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya:
"Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil.
Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain.

Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji di atas dunia ni.

Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan hak kita untuk berpakaian sesuka hati kita.
Ingatlah, semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian.

Semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita juga."

----

Royalti: Kenapa menjelang pilihan raya?

Husam Musa, 05 Ogs 2012

Saya mendarat di KLIA sekitar jam 3 petang ini, pulang dari mengerjakan umrah. Satu dari niat saya mengerjakan umrah ialah untuk mendoakan perjuangan rakyat Kelantan mendapatkan royalti petroleum menjadi kenyataan.

Setiba di KLIA, saya menerima panggilan dari pemberita memintakan komen mengenai pengumuman PM mengenai penubuhan sebuah jawatankuasa khas mengkaji pembayaran royalti/bayaran tunai petroleum yang akan dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tun Abdul Hamid Mohamad boleh dilihat positif dan juga sebaliknya.

Saya memohon tempoh untuk meneliti kenyataan PM sepenuhnya sebelum memberikan komen saya.

Sebelum saya memberikan ulasan selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum Kerajaan Negeri Kelantan, saya ringkaskan apa yang tertera dari pengumuman PM;

- Jawatankuasa ini akan membuat kajian dalam tempoh enam bulan
- Jawatankuasa ini akan mengenal pasti Negeri yang layak menerima pembayaran
- Jawatankuasa ini akan memutuskan tuntutan Negeri akan ditentukan secara adil, telus dan saksama
- Bahawa tuntutan Kelantan selama ini dikira tidak terhak kerana pendirian Kerajaan Pusat sebelum ini adalah pengeluaran petroleum di luar 3 batu nautikal tidak menjadi hak Negeri-Negeri
- Kerajaan Pusat membuat pembayaran wang ihsan dari hasil pengeluaran petroleum di Kelantan di luar 3 batu nautikal melalui JPP

Jelas, dari intipati kenyataan PM di atas, keadaan masih samar-samar. Ketika ia seakan membawa satu sinar harapan, keadaan sebenar hanya akan ditentukan enam bulan dari sekarang.

Kini Ogos, jika pilihanraya diadakan dalam tempoh sebelum Jawantakuasa ini membuat laporan dan seterusnya menunggu pertimbangan Kabinet atas rekomendasi Jawatankuasa ini, keputusannya boleh menjadi seribu kemungkinan.

Ia mungkin berakhir sebagai sebuah latihan akademik semata-mata.

Adakah penubuhan Jawatankuasa ini hanya sebuah langkah politik menjelang pilihanraya untuk meredakan perasaan rakyat Kelantan dan BN menggunakannya sebagai sebuah 'jambatan' untuk menyeberangi pilihanraya ini dengan selamat, khususnya dalam konteks Kelantan?

Sehingga ia tidak dilihat tidak melayani harapan rakyat Kelantan dan pada masa yang sama, tidak pula memenuhi tuntutan itu.

Kenapa enam bulan? Kenapa tidak tiga bulan, umpamanya?

Kenapa menjelang pilihanraya? Kenapa tidak sebelum ini?

Tuanku Al Sultan Kelantan telah bertitah dua tahun yang lepas lagi, menerusi titah perasmian sidang DUN Kelantan dan dititahkan sekali lagi sewaktu perasmian DUN juga awal tahun ini, mengenai isu ini.

Kerajaan Kelantan telah menfailkan saman di Mahkamah Tinggi pada 30 Ogos  2010 lagi.

Kenapa begitu lama masa yang diambil untuk PM mempertimbangkan penubuhan sebuah jawatankuasa seumpama ini?

Dalam tempoh tersebut, Kerajaan Pusat telah mencapai persetujuan dengan Kerajaan Terengganu dan Terengganu telah dibayar dengan bayaran tunai sekalipun pengeluaran petroleum di Terengganu juga berada di luar kawasan 3 batu nautikal.

Kenapa tuntutan Kelantan tidak mengguna pakai penyelesaian dengan Terengganu sahaja?

Lebih-lebih lagi fakta-fakta dari para penggubal Akta Petroleum telah wujud dengan nyatanya seperti dikemukakan oleh YBM Tengku Razaleigh, Tun Salleh Abbas dan bekas Penasihat Undang-Undang Petronas sendiri, En Nik Mohd Saghir.

Sekalipun saya mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa ini atas kedudukan sekurang-kurangnya tuntutan Kelantan telah memaksa Jawatankuasa ini ditubuhkan, namun suka saya mencadangkan perkara berikut;

- Kerajaan Kelantan tidak menarik balik samannya ke atas Petronas yang dijadualkan, satu dari procedingnya akan didengar di Makhamah Persekutuan pada Oktober ini

- Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat bersidang dan memberikan tawaran yang lebih konkrit terhadap tuntutan Kelantan termasuk pendaratan hasil gas dari perairan Kelantan yang baru memulakan pengeluarannya ke pantai Kelantan.

Isu ini langsung tidak disentuh dalam kenyataan PM padahal MB Kelantan telah pun menulis surat rasmi kepada PM

- Tempoh Jwatankuasa ini menyiapkan laporannya dipendekkan kepada tiga bulan

- Penegasan PM bahawa Jawatankuasa ini ditubuhkan bertujuan membuat pembayaran bayaran tunai kepada Kelantan

- Penegasan bahawa pembayaran mestilah mengikut metod yang diguna pakai untuk Negeri-Negeri lain yang terlibat

- Menerima permohonan Kelantan untuk gas didaratkan di Kelantan

- Membekukan pembayaran wang ihsan

- pemimpin UMNO yang lantang menyatakan tuntutan Kelantan selama ini adalah khayalan di awangan, pengeluaran petroleum di Kelantan tidak wujud dan Kelantan tidak terhak terhadap sebarang pembayaran tunai, menarik balik kenyataan mereka secara terbuka dan memohon maaf kepada rakyat Kelantan.

Sekian

Husam Musa
15 Ramadhan 1433
4 Ogos 2012

Ahli Exco Kerajaan Kelantan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan

Abby berbuka dengan Memey, Norman terhangat

Harakahdaily, 05 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Gambar Abby Abadi berbuka dengan dan solat Maghrib bersama Memey Suhaiza dan Norman Hakim paparan blog http://bulanpurnama89.blogspot.com ialah artikel paling popular di Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke 31.


Di tangga kedua, ialah artikel blog http://addin77.blogspot.com yang menceritakan kritikan pembaca Sinar Harian terhadap Datin Paduka Umie Aida ekoran komennya terhadap Abby.

Kenyataan bekas mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin tentang isu penangkapan Ketua Pengarah Strategik Rafizi Ramli yang dipaparkan blog http://kerabubersuara.blogspot.com pula menduduki tangga ketiga.

Jawapan Tengku Mahkota Johor Tentang Dakwaan Neo Satria WWW1 kemalangan paparan blog http://blog-hangit.blogspot.com pula menduduki tangga keempat.

Di tangga kelima, ialah artikel blog http://shalehudin.blogspot.com mengenai pembongkaran fitnah jahat dan jijik blog pro Umno kononnya Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak ditahan pihak SPRM kerana menerima rasuah jutaan ringgit.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu, 29 Julai hingga 4 Ogos, 2012.

1
Gambar Abby Abadi berbuka dengan Norman, Memey
2
Lihat nih.. Pembaca Sinar Harian belasah Umie Aida
3
Kenyataan Dr Asri tentang isu penangkapan Rafizi
4
Eksklusif! Jawapan Tengku Mahkota Johor Tentang Dakwaan Neo Satria WWW1 kemalangan
5
Gambar fitnah MB Kedah dicekup SPRM tersebar
6
Gambar ini menyebabkan Najib jadi lembut pada negeri Kelantan?
7
Bukti! Abby Abadi tidak pernah lagi mencukur kening
8
Polis patut minta izin sebelum periksa A&W
9
Inilah gambar-gambar palsu pembunuhan umat Islam Rohingya
10
Panas dari Sabah! Senarai YB yang akan keluar parti BN

Tiada ulasan: