Ahad, 13 Mac 2011

MANA PULAK TAK DIPEGARUH MANA2..KENALAH AMBIK DAN WAJIB HUKUM@PENGARUH DARI QURAN DAN HADIS

PAS ucap takziah kepada rakyat Jepun
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Mac: PAS merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Jepun ekoran gempa bumi paling kuat berukuran 8.9 skala Richter yang mengakibatkan ombak tsunami setinggi 10 meter menghentam timur laut Jepun semalam.

Difahamkan, tragedi paling buruk dalam tempoh 140 tahun itu mengorbankan sekurang-kurangnya 1,000 orang yang mati akibat lemas.

"Saya merakamkan takziah dan simpati kepada rakyat Jepun di atas musibah tsunami yang menimpa.

"Semoga mereka dapat bersabar dan menghadapinya dengan tabah," kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sehubungan itu juga beliu menyeru masyarakat seluruh duni khususnya rakyat Malaysia untuk sama-sama menghulur bantuan bagi membantu rakyat Jepun yang terlibat dalam tragedi itu.

"Harapan saya agar seluruh masyarakat dunia dapat menghulurkan bantuan dan bersama-sama rakyat Jepun menghadapi musibah ini," gesanya.

Sementara itu, pemerintah Jepun mengisytiharkan darurat di lima kawasan loji nuklernya di wilayah Fukushima selepas sistem penyejukan loji berkenaan termasuk sistem sokongan gagal berfungsi selepas gempa semalam.

Arahan berpindah juga turut dikeluarkan ekoran kebimbangan berlaku kebocoran dan peningkatan kadar radiasi ke kawasan sekitar yang dihuni puluhan ribu penduduk negara itu.

Difahamkan sekurang-kurangnya 20,000 penduduk telah pun dipindahkan dari kawasan berhampiran oleh pihak keselamatan negara itu.



Selangor mahu projek penempatan ikut jadual
Khaulah Azwar

GOMBAK, 12 Mac: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad berharap agensi-agensi kerajaan yang terbabit melaksanakan projek-projek penempatan semula setinggan perlulah prihatin dan memastikan bahawa setiap projek berjalan dengan lancar dan siap mengikut jadual serta berkualiti.

Ini, katanya kerana kelewatan menyiapkan projek akan melewatkan perpindahan penduduk.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Town House di Kampung Kemensah, hari ini yang telah mendapat kerjasama dengan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor.

Turut hadir Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor (PNSB), Ahmad Omar serta Pengerusi Pemaju Perspektif Masa Sdn Bhd (PMSB), Datuk Samad Maharuddin.

Iskandar berkata, PNSB adalah sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor yang telah diberikan tanggungjawab untuk menempatkan semula penduduk-penduduk asal Kampung Kemensah Hilir menerusi Program Penempatan Semula Setinggan Negeri Selangor.

Menurutnya, penempatan baru yang dibangunkan oleh pemaju Perspektif Masa Sdn Bhd telahpun menyiapkan 72 buah unit town house yang merangkumi Block A, B, C, D berkeluasan 850 Kaki persegi seunit dengan harga RM50,000.

Pembangunan itu, ujarnya telahpun siap sepenuhnya dan 72 buah keluarga daripada penempatan asal telahpun menerima kunci rumah masing-masing.

Menurutnya lagi, pembangunan projek Kemensah Hilir yang meliputi tanah seluas 15.6 ekar dan antara kompenan-kompenan lain yang bakal dibangunkan secara berfasa adalah rumah teres, rumah kelab dan dewan dan kawasan itu akan dinamakan Bukit Kemensah Indah.

“Besar harapan saya semoga pihak pemaju dapat menunaikan janji yang dinyatakan bersama penduduk agar tidak berlaku perselisihan faham.

"Kerajaan Negeri juga bercadang untuk terus mengurangkan bilangan setinggan di Negeri Selangor untuk membebaskan mereka daripada kitaran kemiskinan dan menjamin hak asasi rakyat bagi mendapatkan rempat kediaman yang lebih selesa,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 72 orang penduduk telah menerima kunci rumah masing-masing.

Seramai 3 orang wakil bagi mewakili 72 orang pembeli setinggan telah menerima kunci tersebut.

Seorang penerima kunci, Mohd Manan, 69, bersyukur kepada Allah kerana rumah yang diidamkan selama ini telahpun dimiliki.

“Bagaikan sebuah penyeksaan bagi saya sekeluarga menanti rumah yang sangat diidamkan sehingga isteri saya telah pulang ke rahmatullah 4 bulan yang lalu.

“Rasa sedih kerana isteri saya tidak dapat merasakan rumah yang dinginkan selama ini. Berbagai ujian yang telah kami lalui selama menanti rumah ini siap,” ujarnya.

Sebelum ini, beliau menduduki rumah setinggan yang dikenali sebagai Kampung Kemensah Hilir yang bermula 1962 sehingga 2005.


Pantun untuk rakyat Malaysia
Husam Musa

Pantun untuk rakyat Malaysia, dibaca di PUTIK , 12 Mac 2011:

SAMAN EKOR BERULANG LAGI
KERAJAAN UNTUNG RAKYAT RUGI
DAPAT WANG BERGUNI-GUNI
BOLEH DIGUNA MEMBELI UNDI

KUPON TUISYEN DIBAHAGI-BAHAGI
DEKAT PILIHANRAYA DUIT DIBERI
JUDI DILESEN DULU LAGI
ISLAM HADHARI KINI TAK BERBUNYI

PENGKALAN TUDM SUNGAI BESI
TANAH LUAS BERNILAI TINGGI
UNTUK KRONI DIBERI FREE
KHAZANAH NEGARA DIBAHAGI SAMA SENDIRI

BUKAN RAKYAT SENANG HATI
HARGA BARANG NAIK SETIAP HARI
BAWANG MINYAK TAMBANG LORI
SURATKHABAR PUSING JADI LALI

KAPAL SELAM MAHAL SANGGUP DIBELI
500 JUTA BARU DUIT KOPI
SIAPA TERIMA JADI MISTERI
HANYA TERBONGKAR KALAU BN CABUT LARI

KAWAN DAP, MUFTI TAK BERI
JUAL MELAYU, JUAL NEGERI
BERTAUKEHKAN MCA SAMPAI MATI
ITULAH AJARAN, ISLAM SEJATI

RAKYAT DITEMBAK ADA YANG MATI
MAHKAMAH KITA LUCU DAN NGERI
HAKIM LENA/MENGGIGIL DALAM POKET MENTERI
ALTANTUYA KUGAN BENG HOCK AMINURASYID BIARLAH/TERUS DIINGATI

TOK GURU DIHINA DICACI MAKI
ISLAM DIPERSENDA SETIAP HARI
SURATKHABAR TV NYANYI LAGU BASI
ASAL UMNO BERKUASA LAGI

PERDANA MENTERI DITIPU MENTERI SENDIRI
ISTERI PERDANA MENTERI LAGI DIGERUNI
SILAP HARIBULAN TERJUAL NEGERI BELAKANG TABIR SENDIRI
MENGAKU FIRST LADY

PEMIMPIN MEWAH HARTA LUAR NEGERI
ISYTIHAR HARTA SUDAH DICABARI
SEMUA MEMBISU BUAT TAK RETI
KERETA BERSUSUN HARTA BERPETI

SAMPAI KIAMAT TAK NAK BN DIGANTI
UNDILAH BN UNDILAH DACING
HIDUPLAH HIPOKRIRASI SUKANYA HATI
HAMBA DUNIA ATAU HAMBA ILAHI?

HIDUP DI DUNIA DITUKAR GANTI
HIDUP AKHIRAT KEKAL ABADI
KALAU INSAF BANGUNLAH BERDIRI
MENJUNJUNG ISLAM SELAMATKAN NEGERI

ADIL MAJU - PALING PENTING DIRIDHAI
RABBUL JALIL DI AKHIRAT NANTI

- Husam Musa -



Masalah yang dicetuskan oleh First Lady
Mohd Rashidi Hasan

BERDASARKAN jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamad Nazri Aziz di Parlimen 9 Mac lepas, suatu division baru yang dinamakan FLOM memang wujud pada asalnya.

Ia dipaparkan dalam laman web www.pmo.gov.my (Prime Minister Office), tetapi ia kemudiannya ditarik balik kerana dipertikaikan wakil Pakatan Rakyat.

Nazri dalam jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke, menafikan kewujudan FLOM, tetapi mengakui paparan mengenainya ditarik balik kerana beliau mendakwa 'pembangkang keliru'.

Tetapi Nazri tidak sedar, kekeliruan itu sebenarnya dicetuskan oleh kerajaan sendiri. Jika tidak mahu 'pembangkang' atau rakyat keliru, mengapa paparan mengenai FLOM, dibina menggunakan alamat website rasmi kerajaan Malaysia yang menggunakan singkatan gov.my di internet?

Nazri juga memperakui bahawa Datin Seri Rosmah Mansor dan rombongannya membelanjakan wang rakyat sebanyak RM134,317.76 wang negara (wang rakyat) untuk lawatan ke Arab Saudi, Oman dan Bangladesh.

Rosmah melakukan lawatan dari 6-10 Januari ke Riyadh, 16-18 Januari ke Muscat dan 20 Januari 2011 ke Dhaka.

Ahli rombongan yang telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri adalah terdiri daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta isteri Menteri-Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri serta beberapa pegawai kerajaan yang terliba, kata Nazri.

Ada beberapa persoalan besar yang harus ditimbulkan di sini. Jawapan Nazri ini adalah jawapan rasmi kerajaan, selepas beberapa bulan isu berkaitan isteri PM dibangkitkan rakyat.

Sebelum ini, kerajaan dan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri diam membisu.

Membangkitkan isu Rosmah bukan isu peribadi. Mempersoalkan kewajaran peranan Rosmah, juga bukan bertujuan menyentuh hal-hal peribadi PM Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri.

Dalam pertemuan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan karyawan Harakah di Pejabat Agung PAS 3 Mac lepas, beliau mengingatkan para wartawan agar tidak menyerang peribadi Rosmah.

Menyerang peribadi yang dimaksudkan beliau ialah, sebagai pengerak Harakah Islamiyah, kita tidak harus melabel Rosmah dengan gelaran yang menghina peribadi beliau.

Antara yang disebarkan dalam emel, facebook, blog dan sebagainya, ada pelayar internet menggelarkan beliau sebagai 'bik mama' (big mama), ada yang kata 'the fat lady'. Semua gelaran ini tidak wajar dan tidak menepati kehendak Islam.

Namun masalah timbul, apabila Rosmah menggelarkan dirinya First Lady of Malaysia (Wanita Pertama Malaysia), atau singkatannya FLOM (FLOM).

Sebelum ini, isu berkaitan Rosmah menjadi serius apabila kerajaan tidak menjawab tentang kewujudan jabatan baru yang dinamakan sebagai FLOM di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Khabarnya dalam perancangan sebelum ini, FLOM ditempatkan pada aras yang sama dengan pejabat PM. Mempunyai pegawai yang tersendiri. Kewujudan FLOM disahkan melalui paparan dalam laman web rasmi JPM. Bagaimanapun, paparan tersebut dibuang selepas didedahkan media.

Namun hanya paparan yang dibuang. Lain-lain persoalan mengenai kewujudan FLOM, dana mana yang digunakan untuk membiayai perjalanan Rosmah ke luar negara, siapa yang membayar gaji pegawai-pegawai FLOM, semuanya didiamkan kerajaan.

Namun daripada jawapan Nazri di Parlimen, jelas menunjukkan Rosmah menggunakan wang kerajaan untuk memenuhi undangan negara terbabit. Yang lebih teruk sekali ialah apabila Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga menjadi anggota delegasi. Bila Menteri jadi anggota delegasi, maka sudah tentu Rosmah menjadi ketua rombongan.

Persoalannya, atas kapasiti apa seseorang yang tidak menjawat jawatan rasmi dalam kerajaan, boleh menjadi ketua rombongan, jika ianya majlis rasmi yang dibayar sepenuhnya oleh kerajaan.

Persoalan lain yang harus dibangkitkan, jika undangan tersebut khusus untuk Rosmah berucap atau menghadiri seminar, mengapa harus dibawa anggota rombongan yang besar? Mengapa harus diangkut seluruh isteri Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dan pegawai-pegawai kerajaan?

Atas kapasiti apa kerajaan meluluskan peruntukan sebesar ini?

Mengenai FLOM, gelaran First Lady memang biasa digunakan, bagi merujuk kepada isteri Ketua Negara, sama ada dalam sistem beraja mahupun dalam sistem negara republik.

Namun, diterima juga gelaran First Lady bagi negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti di Malaysia.

Apa pun, ramai di kalangan rakyat yang mempertikaikan hasrat Rosmah menjadi FLOM kerana dalam sistem perundangan negara, Malaysia mempunyai Yang di-Pertuan Agong, manakala Raja Permaisuri Agong seharusnya menjadi First Lady.

Dalam konteks kuasa eksekutif berpusat kepada PM, mungkin Rosmah mahu First Lady dirujukkan kepada beliau.

Bagaimanapun, lima PM Malaysia sebelum ini, dari Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj hingga Tun Abdullah Ahmad Badawi, isteri mereka tidak pernah menggelarkan diri sebagai First Lady.

Justeru, apa yang dilakukan Rosmah adalah menyalahi precedent atau menyalahi amalan biasa yang diamalkan oleh isteri lima PM sebelum ini.

Tidak dinafikan wanita yang menjadi isteri kepada PM ada peranan tertentu yang harus dimainkan, untuk mendukung kerjaya suaminya.

Tetapi peranannya membantu suami (PM) harus dikhususkan. Isteri PM, isteri Menteri, isteri MB dan KM sama sekali tidak harus terbabit dalam business dealing, tender dan sebagainya.

Rosmah sudah pergi lebih jauh daripada lima isteri PM sebelumnya. Beliau pergi berkempen ke PRK Kerdau dengan menaiki helikopter. Masuk ke Felda dan berkempen untuk BN.

Harus dipersoalkan helikopter yang digunakan beliau milik siapa? Jika kos penerbangan tersebut dibiayai oleh ahli politik atau ahli perniagaan pro Umno-BN itu kita tidak persoalkan. Kita cuma mahu memastikan wang rakyat tidak disalahgunakan.

Masalah yang ditimbulkan oleh Rosmah bukan sahaja tidak disenangi Pakatan Rakyat, malah orang-orang Umno sendiri pun tidak menyenanginya.

Harus diingat, semasa PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkuasa dahulu, bloggers Umno sendiri yang melabel pemerintahannya sebagai 'kerajaan tiga beranak'.

Hari ini bloggers Umno sendiri yang melabel pemerintahan Najib sebagai 'kerajaan suami isteri'.

Kita tidak mahu menuduh lebih daripada itu, tetapi yang harus diperhatikan ialah kecenderungan kerajaan untuk membenarkan pihak tertentu terlalu berkuasa sehingga semua peraturan tatacara kerajaan dilanggar. Malah wang rakyat dibelanja sewenang-wenang untuk keperluan First Lady juga tidak wajar.

Kita mencabar kerajaan, jika apa yang dilakukan Rosmah tidak menyalahi peraturan, sila kemukakan bukti, butiran perbelanjaan beliau yang telus. Sila buktikan beliau tidak menggunakan wang rakyat sewenang-wenangnya.

Jika bukti-bukti ini tidak dikemukakan, hanya dijawab dengan mengatakan 'itu fitnah pembangkang', maka jangan sesekali dipersoalkan jika wujud persepsi buruk terhadap isteri PM.

Jika persepsi buruk ini tidak diatasi, apakah bezanya Rosmah dengan Leila Tablisi, Suzanne Mubarak dan Imelda Marcos?

Jangan-jangan FLOM bakal jadi flop!



Kedai ekor: Selangor dapatkan nasihat ulama, pakar
Harakahdaily
SHAH ALAM, 12 Mac: Kerajaan negeri Selangor akan merujuk isu penjualan tiket loteri di negeri itu kepada ulama, pengamal undang-undang, dan pakar dalam bidang berkaitan sebelum merumuskan sebarang keputusan.

Exco agamanya, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali berkata kerajaan negeri akan mencari pendekatan sendiri agar sebarang keputusan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Bagaimanapun kata Hassan yang dipetik TV Selangor, keadaan di Selangor tidak boleh disamakan dengan di Kelantan.

Namun, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, orang Islam di Selangor tetap diharamkan daripada membeli nombor ekor dan tiket loteri seperti yang termaktub dalam Enakmen Undang-Undang Islam kerajaan negeri.

Katanya, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) juga boleh mengambil tindakan terhadap orang Islam yang berjudi, meminum arak atau pun melakukan maksiat di tempat terbuka.

Ditanya mengenai kegiatan pihak tertentu mengedar risalah tilik nasib dan nombor ekor yang memaparkan pengalaman orang Islam yang kononnnya memenangi hadiah, Hassan berkata perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat Jais tidak lama lagi bagi mengenal-pasti bentuk tindakan.



Anak sahut cabaran Ahmad Maslan, dialog 3 hari 3 malam
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 12 Mac: Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman semalam menyerahkan surat kesediaan berdialog isu felda dengan Datuk Ahmad Maslan.

Surat itu diserahkan wakilnya Razman Zakaria yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah negeri Pahang kepada setiausaha sulit kanan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, di Ibupejabat Felda, Jalan Semarak di sini.

Surat tersebut sebagai menjawab cabaran Ahmad yang sebelum ini mengajak Mazlan berdebat ketika berkempen pada pilihan raya kecil Kerdau.

"Saya telah mengemukakan dua kali cabaran debat kepada Datuk (Ahmad Mazlan) pada 17 Julai 2010 di Lobi Parlimen dan pada 25 Januari 2011 di Tenang, Johor. Kedua-duanya ditolak dengan pelbagai alasan.

"Dalam kempen PRK Kerdau, Datuk mencabar saya berdialog dan menuduh saya takut dan melakukan pembohongan.

"Sayugia diperjelaskan, saya hanya takut kepada Allah dan tiada sebab untuk saya takut kepada manusia. Saya bersedia berdebat atau berdialog dengan sesiapa sahaja demi kebenaran," kata Mazlan melalui surat itu.

Jelasnya lagi, penolakan beliau untuk berdebat secara tertutup dengan Ahmad sebelum ini kerana bimbang di ekspoitasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan namun untuk kali ini beliau menyatakan bersedia tanpa sebarang halangan.

"Saya menyarankan Datuk memilih mana-mana tarikh serta lokasi dalam bulan April dan saya bersama 20 Ahli Jawatankuasa Anak bersedia untuk datang.

"Ini semua saya lakukan untuk membangkitkan pelbagai persoalan yang berlegar dalam kehidupan warga Felda.

"Saya menuntut janji Datuk; tiga hari tiga malam pun boleh berdialog!," katanya mengulangi ayat yang pernah dinyatakan Ahmad sebelum ini.

Sebagai penutup pada surat itu, beliau menzahirkan harapan agar Ahmad tidak lagi menggunakan pelbagai alasan untuk menggagalkan pertemuan yang dianggap penting demi masa depan jutaan warga Felda.



Tiada ulasan: