Isnin, 14 Mac 2011

JUDI PATUT DIHARAM SELURUH NEGARA....YANG KAYA TAUKEH BUKAN YANG MAIN JUDI...

Nik Aziz tunggu MCA tanpa syarat
Mac 14, 11 4:34pm


Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat bersedia menerima kunjungan pemimpin MCA bagi membincangkan pengharaman jualan loteri di negeri itu tanpa sebarang syarat, kata setiausaha akhbarnya.

Ahmad Fadli Shaari berkata, tarikh dan tempat pertemuan itu bagaimanapun akan ditentukan kemudian, dijangka lusa (Rabu), apabila beliau pulang daripada menghadiri program di Kedah.

"Kita mengalu-alukan kesediaan MCA untuk bertemu dengan Tok Guru (Nik Aziz). Beliau terbuka, tak ada masalah," kata Ahmad Fadli yang juga ketua penerangan Pemuda PAS negeri.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad Fadli berkata, pihaknya dimaklumkan oleh MCA semalam berhubung perkara itu.

Semalam, setelah ditimbulkan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat MCA, presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata pihaknya mahu bertemu Nik Aziz bagi mendapatkan penjelasan berhubung tindakan kerajaan Kelantan itu.

Katanya, kecuali Nik Aziz, MCA tidak beminat berjumpa dengan sesiapapun bagi mendapatkan penjelasan kenapa pengharaman dibuat itu dibuat selepas 20 tahun PAS berkuasa di Kelantan.


Wanita PKR: Kod protokol istimewa untuk isteri PM?
Mac 14, 11 4:12pm


Baru beberapa jam membuat penjelasan berhubung kedudukan isteri perdana menteri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz didakwa "play-safe, penuh niat putar belit dan berunsur manipulasi terhadap Perlembagaan Persekutuan".

bukit antarabangsa landslide 071209 zuraida kamaruddin"Jawapan beliau yang mendakwa bahawa penggunaan gelaran Wanita Pertama hanyalah sebagai kod amalan menunjukkan bahawa beliau sebenarnya dangkal dan cuba menghina perlembagaan negara...," kata Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin (kiri).

Anggota parlimen Ampang itu mendakwa, kenyataan itu di parlimen sebentar tadi bertentangan dengan diperuntukkan dalam Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan hak gelaran Wanita Pertama adalah kepunyaan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Jika benar penggunaan gelaran Wanita Pertama oleh Rosmah hanyalah "kod amalan" seperti yang didakwa dan dengan menggapnya sebagai "pegawai" buat perdana menteri, Zuraida juga menggambarkan Rosmah mendapat kelebihan yang lebih istimewa.

"Namun, jika demikian bagaimanakah sejumlah peruntukan sebanyak RM4.5 juta boleh diluluskan buat seorang 'kakitangan' untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Wanita Pertama? Bagaimanakah seorang 'kakitangan' biasa boleh diberikan peruntukan untuk melancong ke seluruh dunia?

"Adakah wujud pula kod protokol istimewa dan khas, yang hanya terpakai untuk isteri perdana menteri? " soal Zuraida bertalu-talu.

Sehubungan itu, Zuraida menggesa Mohamed Nazri "menjawab dengan jujur, berpaksikan fakta dan realiti" bagi membuktikan beliau benar-benar bebas daripada tekanan mana-mana pihak.


Wanita pertama rujuk isteri PM, kata Nazri
Mac 14, 11 12:54pm


Panggilan Wanita Pertama dalam konteks Malaysia merujuk kepada isteri Perdana Menteri, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, panggilan itu adalah satu gelaran tidak rasmi yang tidak berasaskan kepada sebarang peruntukan perundangan tetapi berasaskan kepada amalan dan kelaziman yang biasa.

"Ini adalah amalan lama dalam politik antarabangsa. Sebagai contoh di United Kingdom, Ratu Elizabeth bukan dianggap Wanita Pertama kerana beliau digelar sebagai Ratu.

Wanita Pertama ialah isteri kepada Ketau Eksekutif iaitu isteri Perdana Menteri. Begitulah juga seperti yang berlaku di negara Jepun," katanya.

Justeru, tidak perlu timbul sebarang kekeliruan dari segi penggunaan gelaran tersebut, katanya ketika menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang bertanya mengenai takrifan Wanita Pertama Malaysia, sama ada merujuk kepada isteri Perdana Menteri atau Raja Permaisuri Agong.

Mengenai peruntukan kewangan untuk membiayai kegiatan Wanita Pertama pada 2011, Mohamed Nazri berkata tiada peruntukan kewangan khusus untuk membiayai kegiatan isteri Perdana Menteri.

Menjawab soalan tambahan Johari, Mohamed Nazri turut menegaskan bahawa tidak wujud unit khas untuk Wanita Pertama di Jabatan Perdana Menteri.

Katanya penggunaan panggilan Wanita Pertama juga tidak bercanggah dengan peruntukan 32 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Raja Permaisuri Agong sebagai yang utama.

--Bernama

PAC Perak siasat pembelian barang tak berguna
Mac 14, 11 3:10pm


Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak akan menyiasat aduan mengenai beberapa jabatan berhubung pembelian peralatan yang tidak memenuhi spesifikasi dan tidak dapat digunakan.

Pengerusi PAC Perak Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata PAC menerima banyak aduan berhubung perkara tersebut dan ia melibatkan sejumlah kerugian kepada kerajaan.

"Aduan yang diterima adalah membabitkan pembelian yang tidak mengikut spesifikasi, harga yang jauh lebih tinggi dari pasaran dan tidak berkualiti sehingga menyebabkan peningkatan di dalam perbelanjaan kerajaan," katanya kepada Bernama di Ipoh hari ini.

Beliau berkata peralatan yang dibeli oleh beberapa jabatan dan agensi itu tidak dapat digunakan walaupun diselenggara semula.

PAC akan memanggil ketua jabatan dan agensi yang terlibat untuk siasatan lanjut, katanya.

Raja Ahmad Zainuddin berkata, PAC akan bermesyuarat pada 28 Mac ini dan akan memutuskan tarikh yang sesuai untuk mendengar penjelasan daripada ketua jabatan berkenaan.

"Kita akan membuat teguran terhadap kesilapan tersebut dan PAC mahu semua agensi kerajaan membuat pesanan melalui prosedur yang ditetapkan kerana ia melibatkan wang rakyat," katanya.

Beliau berkata PAC akan menyiasat sejauh mana kesilapan dalam pembelian itu berlaku bagi mendapatkan jumlah sebenar kos yang ditanggung setiap agensi terbabit.

PAC juga akan memanggil semula pegawai kanan Bahagian Pinjaman Pelajaran Negeri bagi memberi penjelasan terperinci berhubung kegagalan jabatan itu mengutip semula tunggakan pinjaman berjumlah RM27.6 juta.

"PAC tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan semasa perjumpaan sebelum ini kerana maklumat yang diberikan oleh pegawai kanan tersebut tidak tersusun," katanya.

Berdasarkan laporan dan siasatan jawatankuasa tersebut, jabatan itu dikatakan tidak mempunyai maklumat dan senarai terkini peminjam berkenaan selain gagal mengambil sebarang langkah untuk menuntut semula bayaran pinjaman tersebut, katanya.

--Bernama



'ISA pada yang persenda azan di Youtube'
Mac 14, 11 12:59pm


Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap pihak tertentu yang mempersendakan laungan azan dan menyiarkannya menerusi laman 'Youtube'.

Pegawai Kerja PPIM Mustaffa Hamzah berkata klip video yang disiarkan itu adalah sengaja dibuat untuk memperleceh dan memperkecilkan amalan agama Islam.

"Laungan azan adalah ibadah bagi umat Islam dan bukan sesuatu yang patut dipersenda serta dijadikan bahan gurauan.

"Justeru PPIM mendesak kerajaan mengenakan hukuman keras termasuk ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) atau sepadan dengannya agar mereka sedar dan menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua bahawa semua agama adalah murni," katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata PPIM juga khuatir jika tindakan itu tidak dibendung akan membawa tindak balas yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum.

Mohd Mustaffa berkata masyarakat boleh melayari laman web PPIM di www.muslimconsumers.org.my untuk menonton contoh penghinaan yang dilakukan terhadap agama Islam itu.

--Bernama


Botol susu Bisphenel A diharamkam
Mac 14, 11 3:16pm


Kerajaan memutuskan untuk mengharamkan penjualan susu botol bayi polikarbonat yang mengandungi 'Bisphenol A' (BPA), berkuat kuasa 1 Mac 2012, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata perkara itu diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 2 Mac lepas sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik yang kukuh menunjukkan botol susu tersebut adalah selamat untuk digunakan oleh golongan berisiko tinggi terutamanya bayi dan kanak-kanak.

"Kementerian tidak akan berkompromi dalam keselamatan pengguna terutamanya bayi dan kanak-kanak. Polikarbonat adalah plastik yang digunakan dalam pembuatan botol susu bayi dan 'bisphenol A' ialah bahan kimia industri yang ditambah dalam botol susu bayi polikarbonat untuk menjadikannya keras dan lutsinar," katanya.

Kerajaan memberi tempoh satu tahun untuk memastikan tindakan pengharaman itu dilaksanakan dengan lancar secara berperingkat, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini hari ini.

"Pihak industri diberi tempoh masa satu tahun untuk membuat persediaan bagi keperluan pertukaran atau pembelian mesin dan penggunaan bahan mentah yang sesuai".

Tindakan pengharaman itu diambil dengan mengambil kira BPA didapati boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekaligus mengganggu sistem fungsi tubuh, katanya dan menurutnya bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang penilaian dijalankan berhubung sistem hormon dalam tubuh bayi.

Liow berkata pengharaman itu juga adalah selaras dengan tindakan beberapa negara yang telahpun mengharamkan penjualan susu botol tersebut antaranya Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan terbaru oleh Kesatuan Eropah.

Menurutnya, sehingga 2010 sebanyak 159 sampel botol susu bayi telah dianalisis dan didapati 85 peratus dikesan mengandungi bahan BPA dalam julat 0 hingga 0.7 mg/kg hasil migrasi daripada botol berkenaan.

Kajian Universiti Malaya juga menunjukkan kadar migrasi BPA meningkat sebanyak tujuh kali ganda pada suhu 80 celsius berbanding pada suhu bilik 25 celsius, katanya.

"Pemantauan secara berterusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati terdapat migrasi BPA daripada botol-botol susu bayi polikarbonat yang telah diuji," katanya.

Beliau meminta pengguna mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada migrasi BPA berdasarkan panduan penggunaan botol susu bayi polikarbonat yang disarankan kementerian.

Liow menasihatkan pengguna supaya menukar botol susu bayi polikarbonat kepada alternatif yang terdapat di pasaran mengikut kemampuan masing-masing.

Pengguna juga dinasihatkan meneliti kod identifikasi di bawah botol sama ada polikarbonat atau tidak sebelum membelinya.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di talian 03-88833652/8883365/88833655 atau melayari laman web http:moh.gov.my/ atau http://fsq.moh.gov.my.

--Bernama



Tiada ulasan: