Ahad, 27 Mac 2011

Balasan Meninggalkan Solat Jumaat.

Balasan Meninggalkan Solat Jumaat.

Bersabar Apabila Dicaci

Ahmad


Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa satu ketika seorang lelaki sedang mencaci Abu Bakar r.a sedangkan Nabi s.a.w sedang duduk di hadapannya. Orang itu terus mencacinya sedangkan Abu Bakar r.a dan Nabi s.a.w terus bersabar mendengarnya. Lantas Nabi s.a.w tersenyum. Apabila orang itu mencacinya dengan keterlaluan, lantas Abu Bakar r.a menjawab akan caciannya. Mendengarkan akan jawaban itu, Nabi s.a.w begitu marah, bangun, lalu meninggalkannya. Abu Bakar r.a menyusul Nabi s.a.w dibelakangnya dan berkata: Ya Rasulullah s.a.w, apabila orang itu terus mencaciku engkau masih tetap duduk dan apabila aku menjawabnya, tuan nampaknya marah dan bangun? Nabi s.a.w menjawab: Semasa kamu diam dan bersabar mendengarnya, seorang malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci maki orang itu bagi pihakmu, tetapi apabila kamu menjawabnya semula, malaikat itu meninggalkanmu, dan syaitan telah datang di antara kamu, dan aku tidak mahu duduk bersama dengan syaitan; oleh kerana itu aku meninggalkan kamu. (Hadis Riwayat Ahmad)

Sebagai umat Islam kita telah diajar oleh Rasulullah saw supaya sentiasa bersabar dan menahan kemarahan kerana dengan tidak bersabar dan marah membuka ruang kepada syaitan untuk menghasut kita. Berdasarkan hadis di atas jelas menceritakan bagaimana malaikat membalas setiap cacian orang terhadap kita. Namun apabila kita membalas cacian tersebut maka syaitan telah mengambil alih dalam usaha untuk menghasut dan memburukkan lagi keadaan.


Berbuat Baik Dan Bersabar

Muslim


Seorang lelaki bertanya : “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar menghadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh”. Kemudian Baginda menjawab, “Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu”. (Riwayat Muslim)

Islam mengajar umatnya supaya banyak bersabar di dalam semua keadaan sama ada ketika senang atau pun susah kerana ia merupakan pengukur darjat keimanan seseorang. Islam mengajar umatnya supaya jangan membalas keburukan orang sebaliknya menambahkan lagi kebaikan terhadap mereka, mudah-mudahan dengan itu hati mereka menjadi lembut dan baik. Allah sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang sentiasa sabar dan benar dalam bertindak. Setiap umat Islam wajib menghubungkan silaturrahim dan haram memutuskannya.


Amalan Setelah Bangun Dari Tidur

Muslim


Dari Abu Hurairah ra katanya, Nabi saw bersabda : “Apabila kamu bangun dari tidurmu, hendaklah kamu istintsar (membersihkan lubang hidungmu) tiga kali kerana syaitan tidur di dalamnya”. (Muslim)

Sebagaimana kita semua maklum, tidur merupakan suatu kerehatan untuk tubuh manusia dan Islam menggalakkan kita mementingkan kesihatan demi menjamin kesegaran tubuh badan sepanjang hari. Namun begitu jangan pula kita terlajak tidur sehingga meninggalkan solat-solat yang wajib untuk kita tunaikan terutamanya solat Isya’ dan Subuh yang kebanyakan manusia seringkali lalai dan malas daripada mengerjakannya dek kerana terlalu mengantuk atau sayangkan tidur sehingga terlepas waktu. Oleh itu setiap Muslim dianjurkan agar membaca doa setiap kali hendak tidur dan juga doa selepas bangun daripada tidur supaya dengan itu diri terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan yang sentiasa memujuk manusia agar lalai daripada mengerjakan perintah Allah SWT. Kita juga diajar oleh Rasulullah saw supaya membersihkan lubang hidung setelah bangun dari tidur sepertimana hadis di atas.

Curian Syaitan

Bukhari


Dari Aisyah r.a katanya : “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW perihal menoleh atau berpaling di dalam solat”. Jawab baginda : “Hal itu adalah suatu kecurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seseorang”. (Bukhari)

Tidak khusyuk dan banyak gerakan dalam solat seperti memandang ke langit (atas) atau menoleh ke kiri dan ke kanan ketika solat adalah mempamerkan sifat tidak berdisiplin seseorang itu ketika bersolat. Hal ini amat ditegah kerana Rasulullah SAW pernah memperkatakannya dalam sabda baginda yang bermaksud : “Apabila kamu solat, janganlah kamu menoleh (ke sana sini iaitu tidak memfokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajah-Nya ke wajah hamba-Nya yang sedang bersolat selagi mana hamba-Nya tidak menoleh ke arah lain”. (al-Bukhari dan Abu Daud ; fath al-Bari, 2/304 ). Juga sebuah hadis lain ada menyebut yang maksudnya : “Dan jauhilah orang yang menoleh dalam solat kerana sesungguhnya ia adalah suatu kebinasaan”. (at-Tirmidzi). Justeru, difahami dari tegahan ini bahawa kita disuruh agar menumpukan hati dan minda kepada Allah SWT semasa solat dan tidak lalai atau dilalaikan oleh sesuatu yang lain kerana itu adalah satu helah syaitan (curian syaitan) untuk menyesatkan manusia daripada mengingati Allah SWT.


Balasan Meninggalkan Solat Jumaat

Muslim


Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya: “Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?” (Muslim)

Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat Jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim (apabila memenuhi segala syarat-syaratnya). Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain. Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar’i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain daripada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah SWT, ia juga merupakan satu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

Di Atas Hamparan Sejadah

Abu Hurairah r.a


Nabi s.a.w bersabda: “Malaikat sentiasa berdoa untuk seseorang kamu selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas, iaitu mereka memohon dengan berkata: “Ya Tuhan kami! Ampunilah dosanya, ya Tuhan kami! Berilah rahmat kepadanya.” (Abu Hurairah r.a)

Sembahyang (solat) dan tempat solat mempunyai nilai yang sangat besar di sisi Allah S.W.T. Orang yang tidak segera meninggalkan tempat ia bersolat selagi ia tidak berhadas dan tidak melakukan perkara yang mendatangkan dosa akan sentiasa didoakan oleh malaikat agar diampuni dosanya dan diberikan rahmat kepadanya. Islam menyeru umatnya agar sentiasa menjaga solatnya dan mengerjakannya dengan sempurna kerana hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah S.W.T.

Tiada ulasan: