Rabu, 23 Mac 2011

KAN ELOK SERAH AWAL2 LAGI...SEBENARNYA MUNGKIN RAKYAT DAH BOSAN....ELOK JADI IKTIBAR PEMIMPIN2@PARTI2 LAIN

Pertempuran masih berterusan di Libya
Mac 23, 11 9:09am

Pertempuran dilaporkan masih meletus di antara tentera yang setia dengan pemimpin Libya, Muamar Gaddafi, dan pemberontak di beberapa bandar biarpun zon larangan terbang yang diluluskan PBB sedang dikuatkuasakan.

NONESeorang pegawai kanan Amerika Syarikat berkata tentera Gaddafi masih menyerang orang awam dan keraguan berhubung cara terbaik meneruskan kempen itu dan hala tujunya berterusan.

Menteri Luar Perancis, Alain Juppe, berkata tindakan pada masa depan pakatan Barat yang memulakan serangan udara Sabtu lalu terhadap kemudahan tentera Gaddafi, bergantung kepada tindakan pemimpin Libya itu.

“Tindakan ketenteraan boleh berhenti pada bila-bila masa saja. Apa yang perlu ialah rejim Tripoli mematuhi sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan PBB dan menerima gencatan senjata sebenar,” katanya.

Jalan keluar

Beliau menggesa Gaddafi mengundurkan tenteranya yang sedang mara ke kawasan pemberontak dan membawa "mereka pulang ke berek".

Sementara itu, tembakan antipesawat dilepaskan di Tripoli malam semalam ketika beberapa letupan sayup kedengaran.

NONEDi Washington, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, berkata mereka yang rapat dengan Gaddafi menghubungi sekutu Libya di seluruh dunia untuk melihat bagaimana mereka dapat "keluar daripada kemelut itu".

“Kami mendengar mengenainya...mereka yang rapat dengan beliau menghubungi orang yang mereka kenali di seluruh dunia - Afrika, Asia Barat, Eropah, Amerika Utara dan seterusnya - dengan bertanya: Apakah yang harus kami lakukan? Bagaimana kami keluar daripada kemelut ini? Apa yang akan berlaku kemudian" katanya.

“Saya tidak tahu bahawa Gaddafi sendiri menghubungi pihak luar tetapi saya tahu orang yang dikatakan bertindak bagi pihaknya berbuat demikian," kata Clinton menurut sedutan temubual yang akan disiarkan ABC World News.

- AFP


Pesawat pengebom Amerika terhempas


ORANG ramai melihat rangka pesawat  F-15E Amerika Syarikat yang terhempas berhampiran bandar Benghazi, semalam.
ORANG ramai melihat rangka pesawat F-15E Amerika Syarikat yang terhempas berhampiran bandar Benghazi, semalam.
SEBAHAGIAN serpihan pesawat yang dikatakan terhempas akibat kerosakan teknikal.
SEBAHAGIAN serpihan pesawat yang dikatakan terhempas akibat kerosakan teknikal.

WASHINGTON: Sebuah pesawat pengebom F-15E tentera udara Amerika Syarikat terhempas di Libya malam tadi dan seorang krunya berjaya diselamatkan.

Jurucakap tentera Amerika di Markas Pemerintah Afrika, Vince Crawley berkata, usaha menyelamat seorang lagi kru masih dilakukan.


Menurutnya, kejadian itu mungkin disebabkan kerosakan mekanikal dan bukan kerana tembakan musuh.

Beliau berkata, kejadian berlaku sebelah malam tetapi enggan memberitahu lokasinya dan bagaimana kru pesawat berkenaan diselamatkan. - Reuters


Tiada siapa tahu di mana Gaddafi


GADDAFI...nasibnya jadi tanda tanya.
GADDAFI...nasibnya jadi tanda tanya.

WASHINGTON: Pegawai kanan tentera Amerika Syarikat berkata, tidak banyak maklumat diketahui mengenai keadaan dan lokasi Muammar Gaddafi selepas Barat melancarkan serangan ke atas Libya awal pagi Ahad lalu.

Pegawai pemerintah tentera AS di Afrika, Jeneral Carter Ham, berkata tentera juga tidak melancarkan sebarang usaha bagi mengesan di mana Gaddafi berada.


“Saya tak tahu banyak mengenai lokasi pemimpin Libya itu,” katanya.

Dalam serangan diketuai AS itu, satu daripada peluru berpandu dilancarkan memusnahkan bangunan yang menjadi kubu Gaddafi di Tripoli.


Kemusnahan itu menimbulkan tanda tanya sama ada Barat memang mahu membunuh Gaddafi.


Menurut Carter, serangan udara ke atas Libya disasarkan untuk memusnahkan pusat kawalan tentera Gaddafi.

“Setakat ini serangan itu berkesan,” katanya. - AFP


Kediaman Gaddafi diserang lagi


TRIPOLI: Kompleks kediaman pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dibom sekali lagi awal pagi tadi.

Kubu kuatnya di selatan negara itu dan sebuah pangkalan tentera laut juga menjadi sasaran serangan ketika kecaman antarabangsa mengenai serangan udara terhadap Libya meningkat.


Televisyen Libya melaporkan, serangan terhadap Tripoli dilakukan waktu malam.

Letupan kuat dan tembakan anti pesawat kedengaran berhampiran kediaman Gaddafi pada jam 3 pagi (waktu Malaysia).


Letupan sama menggegarkan Tripoli malam Ahad lalu dengan pegawai pasukan bersekutu berkata bangunan pentadbiran dalam kompleks kediaman pemimpin Libya itu musnah selepas terkena bedilan satu peluru berpandu.


Saksi berkata, pangkalan tentera laut Libya yang terletak kira-kira 10 kilometer ke timur Tripoli turut dibom awal semalam.

Jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim turut mendakwa, Misrata, bandar ketiga terbesar Libya, 214 kilometer ke Tripoli, berjaya dibebaskan tiga hari lalu dan tentera Gaddafi kini melancarkan gerakan memburu ‘elemen pengganas.’ Bagaimanapun, seorang jurucakap pemberontak di Misrata yang dihubungi menerusi telefon berkata, bandar itu tetap dalam penguasaan kumpulan berkenaan meskipun berdepan dengan serangan tentera Gaddafi.


Seorang pegawai perubatan di Misrata mengesahkan, 40 orang terbunuh dan 300 cedera dalam pertempuran.

Dalam pada itu, tentera Libya berundur 100 kilometer dari Benghazi, bandar yang masih dikuasai pemberontak, selepas diserang secara besar-besaran oleh pesawat pengebom tentera bersekutu.


Bagaimanapun, pasukan yang setia kepada Gaddafi itu berjaya menyekat kemaraan di kedudukan baru mereka di Ajdabiya. - AFP

Bandar kabilah Guededfa jadi sasaran

TRIPOLI: Tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat, Britain dan Perancis semalam mengebom bandar Sebha di selatan Libya yang menjadi kubu kuat kabilah Guededfa, suku kaum Muammar Gaddafi.

“Sejak Sabtu lalu, pakatan musuh melancarkan serangan udara dan peluru berpandu terhadap Tripoli, Zuwarah, Misrata, Sirte dan Sebha, dengan menjadikan lapangan terbang sasaran utama,” kata jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim pada sidang akhbar di Tripoli.


“Ya, Sebha diserang hari ini (semalam),” katanya ketika menjawab satu soalan mengenai bandar yang terletak 750 kilometer ke selatan Tripoli.

Menurutnya, tentera bersekutu juga menyerang sebuah ‘pelabuhan nelayan kecil,’ 27 kilometer ke barat Tripoli.


Menurut Ibrahim, serangan semalam menyebabkan beberapa orang awam terbunuh, terutamanya di Sirte, bandar kelahiran Gaddafi, 360 kilometer ke timur Tripoli.


Mussa turut memberi amaran kepada Eropah mengenai kebanjiran pendatang Afrika. - Reuters


Pemandu dakwa 3 wartawan media antarabangsa hilang kini ditahan tentera rejim Libya

TOBRUK: Tiga wartawan Barat yang hilang di timur Libya minggu lalu, ditahan tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi, kata pemandu mereka, semalam.

Petugas media terbabit - termasuk dua daripada Agence France-Presse (AFP), Dave Clark dan Roberto Schmidt - gagal dikesan sejak Sabtu lalu.


Seorang lagi petugas media yang ditawan adalah jurugambar Getty, Joe Raedle.

Pemandu wartawan itu, Mohammed Hamed, berkata dia membawa petugas media terbabit dari Tobruk menuju Ajdabiya bagi mendapatkan laporan pertempuran di antara pemberontak dengan tentera Gaddafi.


“Beberapa kilometer dari Ajdabiya, kami terserempak dengan konvoi tentera kerajaan.


“Kami berpatah balik tetapi dipintas kumpulan berkenaan,” katanya. - AFP

Jet AS terhempas di Libya


ORANG ramai melihat sebuah jet pejuang F-15E yang terhempas dekat bandar Benghazi di Libya semalam.


LONDON – Sebuah jet pejuang Amerika Syarikat terhempas di sebuah kawasan lapang di Libya selepas ia mengalami kegagalan mekanikal lewat kelmarin.

Namun dua juruterbang tersebut telah diselamatkan oleh anggota-anggota pemberontak di kawasan dekat kubu kuat penentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.

Menurut saksi, di tempat kejadian, jet pejuang yang terhempas itu adalah jenis F-15E Eagle.

“Kami baru sahaja menemui jet pejuang Amerika itu di sebuah kawasan lapang dan ia dipercayai mengalami kegagalan mekanikal yang menyebabkan ia terhempas.

“Krew-krew jet itu dipercayai selamat,” kata pemberita akhbar Daily Telegraph, Rob Crilly melalui laman Twitternya.

Jurucakap ibu pejabat perintah di Stuttgart, Karin Burzynski berkata, salah seorang krew telah berjaya diselamatkan dan pembedahan untuk menyelamatkan seorang lagi masih dilakukan.

Mereka hanya mengalami luka kecil selepas keluar dari jet dengan menggunakan kerusi anjal.

Sementara itu, jurucakap tentera Amerika, Vince Crawley mengesahkan nahas itu tetapi menolak untuk memberitahu lokasi sebenar tempat kemalangan.

Dia juga tidak mahu mendedahkan bagaimana dan ke mana krew pesawat telah dibawa.

Crawley menegaskan nahas itu berlaku adalah disebabkan oleh kegagalan mekanikal dan bukan kerana tembakan musuh.

Serangan udara pasukan tentera Barat sudah memasuki malam ketiga yang meletakkan sasaran untuk melindungi orang awam daripada pasukan tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.

Kehadiran jet tentera itu adalah untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya setelah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meluluskan resolusi untuk mengenakan larangan tersebut.

Pergolakan di Libya bermula sejak 15 Februari lalu apabila sejumlah penunjuk perasaan membuat tunjuk perasaan bagi menentang kepimpinan Gaddafi yang sudah memerintah hampir 42 tahun.

Tunjuk perasaan itu kemudian bertukar menjadi pertempuran antara para pemberontak dengan askar-askar Gaddafi.

Para penentang itu menganggap Gaddafi gagal memerintah dengan baik dan membazirkan wang negara. – Agensi



Warga Tripoli mula kecam Gaddafi


TENTERA Libya melepaskan tembakan penangkis pesawat ke arah je-jet pejuang tentera Barat di Tripoli kelmarin.


TRIPOLI - Beberapa hari selepas Barat melancarkan serangan udara, sebahagian penduduk di ibu kota Libya, di sini semalam semakin berani mengecam pemimpin mereka, Muammar Gaddafi dengan menyatakan, mereka mahukan beliau mati.

Sebahagian penduduk yang diwawancara beberapa wartawan Reuters di sini bagaimanapun, masih takut untuk mendedahkan nama mereka dan kembali memuji Gaddafi sebaik sahaja dihampiri oleh askar-askar yang setia kepadanya.

Namun, keberanian mereka untuk membuat kecaman terbuka terhadap pemimpin yang telah menerajui Libya selama empat dekad itu memberi isyarat bahawa perubahan sedang berlaku di bandar ini.

Sebelum ini, penduduk di sini takut untuk bercakap dengan pemberita kerana bimbang nyawa mereka melayang.

"Di sini, setiap orang sedang menunggu (penyingkiran Gaddafi). Ia tidak seperti masa lalu," kata seorang lelaki, yang mengajak wartawan menjauhkan diri daripada seorang tali barut kerajaan dengan menuju ke sebuah kedai kopi di bandar lama di sini supaya dia bebas bercakap.

"Anak-anak saya ketakutan tetapi saya tahu semua itu akan berubah. Kerajaan tidak berdaya untuk menguasai kami lagi," katanya.

Seorang ahli perniagaan tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Isa memuji Gaddafi apabila didekati seorang pemberi maklumat, tetapi mengecam pemimpin itu sebaik sahaja tali barut itu beredar.

"Inilah masanya. Keadaan kini getir. Bom-bom meledak sepanjang malam. Namun, apabila kami mendongak ke udara kami sedar bahawa dunia kini cuba membantu kami" katanya.

Menguasai pendapat umum supaya berpihak kepadanya adalah penting kepada Gaddafi untuk terus berkuasa di bandar ini yang merupakan kubu terkuatnya selepas dua bandar utama lain di Libya jatuh ke tangan pemberontak. - Reuters


Serangan di Libya diperhebat


Penduduk Libya berkumpul untuk melihat bangkai pesawat F-15 milik Amerika Syarikat (AS) yang terhempas selepas mengalami kegagalan mekanikal di Ghot Sultan, tenggara Benghazi, semalam. Ketika kejadian pesawat itu dalam misi menyerang pertahanan udara pemimpin Libya, Muammar Gaddafi. - AFP


ZWITINA, Libya 22 Mac - Tentera Bersekutu membedil Libya untuk tiga malam berturut-turut malam tadi, dengan menyasarkan sistem pertahanan udara dan tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi serta kompleks kediamannya di Tripoli.

Serangan sejak Sabtu lalu itu berjaya menyekat kemaraan askar Gaddafi dan mengembalikan sedikit momentum kepada pemberontak yang berada di ambang kekalahan pada minggu lepas.

Namun unit-unit tentera pemberontak yang tidak tersusun belum memanfaatkan kempen bedilan kuasa Barat itu, sekali gus meningkatkan kebimbangan konflik di negara ini boleh membawa kepada kebuntuan berlarutan.

AS menolak tindakan khusus untuk menggulingkan Gaddafi, meskipun Perancis semalam berkata, Paris berharap kerajaan Libya akan runtuh dari dalam.

Dalam pada itu, komander tentera AS dalam operasi Libya, Jeneral Carter Ham berkata, tentera bersekutu mungkin mengurangkan serangannya.

"Saya merasakan kita mungkin melihat kekerapan serangan berkurangan kecuali berlaku sesuatu yang luar biasa atau di luar jangkaan," kata Ham.

Presiden AS, Barack Obama berkata, Washington akan menyerahkan kuasa pemerintahan ke atas operasi Libya dalam masa beberapa hari lagi.

Beliau tidak menyatakan negara atau pertubuhan mana yang akan mengambil alih kuasa itu, tetapi Britain dan Perancis telah memainkan peranan utama dalam menuntut campur tangan ketenteraan di Libya.

Serangan peluru berpandu dan pengeboman itu cukup meluas sehingga memusnahkan sebahagian besar sistem pertahanan udara Libya.

Sementara itu, sebuah jet pejuang F-15 milik AS terhempas hari ini selepas mengalami kegagalan mekanikal di tenggara Benghazi, bagaimanapun juruterbangnya berjaya keluar dari pesawat sebelum ia terhempas. - AP/AFP

AS terus desak pengunduran Gaddafi


Seorang lelaki memerhatikan senjata milik pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang musnah selepas dibedil tentera Bersekutu di sepanjang jalan antara Benghazi dan Ajdabiyah, kelmarin. - Reuters


SANTIAGO 22 Mac - Amerika Syarikat (AS) memberi mesej bercanggah mengenai objektifnya di Libya, apabila Presiden Barack Obama berkata Muammar Gaddafi mesti berundur, tetapi berikrar tentera AS akan tetap mematuhi mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terbatas.

"Tindakan ketenteraan kita adalah untuk menyokong mandat antarabangsa daripada Majlis Keselamatan PBB yang khusus tertumpu kepada ancaman kemanusiaan yang ditimbulkan oleh Kolonel Gaddafi terhadap rakyatnya," kata Obama pada sidang media di ibu negara Chile ini semalam.

Katanya, serangan udara dan peluru berpandu yang dilancarkan pada hujung minggu lalu adalah untuk menyokong Resolusi 1973 Majlis Keselamatan yang khusus memperkatakan usaha kemanusiaan dan Washington akan memastikan tenteranya berpegang pada mandat itu.

Obama bagaimanapun menegaskan, menjadi 'dasar AS bahawa Gaddafi mesti berundur' dan beliau menuduh pemimpin veteran yang memerintah Libya selama lebih empat dekad itu membunuh penduduk awam dalam usahanya untuk mematahkan pemberontakan.

Pentadbiran AS menghadapi tekanan kerana tidak menjelaskan matlamat perangnya di Libya, meskipun Obama selaku panglima angkatan bersenjata AS memberi jaminan tiada askar AS akan dihantar ke Libya.

Pemerhati berasa bimbang kesudahan campur tangan tentera Barat itu tidak dinyatakan dengan jelas dan tentera AS yang sudah pun terbeban dengan kempen perang di Iraq dan Afghanistan, tidak memiliki keupayaan untuk menangani satu lagi konflik berlarutan.

Komander AS yang mengetuai operasi Libya, Jeneral Carter Ham berkata, fokus tentera bersekutu adalah untuk menguatkuasakan zon larangan terbang dan melindungi penduduk awam, dan Gaddafi tidak menjadi sasaran dan tidak juga diketahui di mana beliau berada.

"Kami tidak mempunyai misi untuk menyokong tentera pemberontak sekiranya mereka melancarkan operasi serangan," kata Ham di Pentagon. - AFP


Bekas Presiden Israel dipenjara


Bekas Presiden Israel, Moshe Katsav (tengah) diiringi pengawal peribadi dan ahli keluarganya di luar bangunan mahkamah daerah di Tel Aviv, semalam. - Reuters


TEL AVIV 22 Mac - Bekas Presiden Israel, Moshe Katsav hari ini dikenakan hukuman penjara tujuh tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan merogol dan melakukan serangan seksual.

Panel hakim juga menjatuhkan hukuman penjara tergantung selama dua tahun ke atas Katsav dan mengarahkan bekas Presiden itu membayar ganti rugi 100,000 shekel (RM84,000) kepada mangsa utama yang hanya dikenali sebagai 'Aleph'.

Hukuman itu diputuskan oleh dua daripada tiga hakim mahkamah daerah Tel Aviv, yang diketuai oleh Hakim George Kara.

Katsav didapati bersalah pada Disember lalu atas tuduhan merogol, melakukan gangguan seksual, perbuatan tidak senonoh dan menghalang proses keadilan berikutan skandal selama empat tahun yang menggemparkan rakyat Israel.

Beliau mula menjerit ke arah hakim selepas keputusan dibacakan.

"Awak salah! Ini kemenangan untuk pembohong!" teriak Katsav yang mendakwa beliau tidak bersalah sepanjang prosiding itu.

Bekas Presiden itu dituduh merogol 'Aleph' dua kali semasa beliau menjadi Menteri Pelancongan, serta melakukan serangan dan gangguan seksual terhadap dua wanita lain sewaktu beliau menjadi Presiden. - AFP

AS mahu Gaddafi lepas kuasa

2011/03/23

PENDUDUK Benghazi meninjau keadaan pesawat F-15E Amerika yang terhempas semalam tetapi juruterbangnya selamat.
PENDUDUK Benghazi meninjau keadaan pesawat F-15E Amerika yang terhempas semalam tetapi juruterbangnya selamat.
Jet pasukan tentera bersekutu serang pertahanan Libya, lindungi pemberontak

TRIPOLI: Presiden Amerika Syarikat mahu Muammar Gaddafi menyerah kuasa tetapi mengakui tidak ada mandat untuk menggulingkan ketua negara itu ketika serangan diteruskan terhadap pertahanan Libya buat hari ketiga bagi mewujudkan zon larangan terbang meliputi bandar dikuasai pemberontak hingga ibu negara, Tripoli.

Pada masa sama, Obama berharap ‘senjata’ lain yang digunakan termasuk membekukan aset Libya bernilai berbilion dolar dapat membantu menjatuhkan Gaddafi.
Bedilan senjata antipesawat terus kedengaran di ibu negara Libya buat hari ketiga, ketika serangan udara dilaporkan di timur Libya.
Dalam tempoh 24 jam lalu, tentera Amerika dan Britain melancarkan 12 peluru berpandu Tomahawk terhadap pangkalan tentera Libya termasuk markas pelancaran Scud. Kira-kira 80 serangan udara dilakukan kelmarin.

Stesen televisyen Libya berkata beberapa kawasan di Tripoli diserang kelmarin.
Serangan peluru berpandu bagaimanapun sudah cukup memusnahkan kebanyakan pertahanan udara Libya.

Stesen televisyen Libya melaporkan, beberapa kawasan di Tripoli menjadi sasaran serangan baru oleh apa yang disifatkan ‘musuh tentera salib’.
“Serangan ini tidak akan menakutkan rakyat Libya,” kata stesen televisyen itu. Stesen televisyen al-Jazeera melaporkan dua sistem radar di dua pangkalan udara di timur terkena serangan itu.

Sementara itu, penduduk yang terkepung di dua bandar yang dikuasai pemerontak di Misrata dan Zintan di selatan Libya berkata mereka diserang tentera Gaddafi.

Penganalisis keselamatan berkata mereka percaya tentera kerajaan cuba memasuki kawasan orang awam untuk mengelak serangan udara.

Kuasa Barat, bagaimanapun, tidak mengesahkan serangan terbaru selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan zon larangan terbang dan semua tindakan wajar bagi melindungi orang awam daripada serangan tentera Gaddafi. – Reuters/Agensi



Serang Libya: Jemput penyamun untuk halau perompak?
http:\\www.drazmanibrahim.com

Artikel saya di Harakahdaily dan beberapa laman web serta blog termasuk Buletin Online dan Cina Islam bertajuk ‘Serang Libya Cetus Banyak Persoalan’ mengundang banyak komen dan respon. Ada yang memahami dengan baik maksud yang ingin saya utarakan tetapi ada yang agak melulu menghentam kononnya saya menyokong Gaddafi untuk melakukan pembunuhan terhadap rakyatnya sendiri! Nauuzubillah...

Menguatkan lagi hujah mereka, dikemukakan kepada saya data-data yang memang telah saya sedia ketahui tentang bilangan rakyat awam yang menjadi mangsa keganasan regim Gaddafi. Terima kasih atas segala maklumat tambahan.

Dengan menghargai segala komen yang diberikan terutamanya yang bersifat kontra dan negatif, sukacita saya menjelaskan tiada sekelumit pun dari maksud artikel berkenaan bermaksud untuk menyokong regim Gaddafi samada secara langsung atau tersembunyi. Tiada keraguan lagi Gaddafi wajib pergi. Malah As Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi telah mengeluarkan fatwa kepada mana-mana tentera yang berpeluang untuk melepaskan tembakan ke arah Gaddafi, mereka perlu melakukannya.

Kekejaman Gaddafi sepanjang 42 tahun pemerintahan memerlukan helaian panjang untuk disenaraikan terutamanya jenayah berkaitan hak asasi manusia, penderaan kepada para penentang, pembunuhan oposisi, tahanan tanpa bicara, penggelapan kekayaan hasil minyak negara, penafian hak bersuara dan pelbagai lagi. Ramai pemimpin penentang yang hilang begitu sahaja tanpa dikesan. ‘Freedom of Press index’ pernah menamakan Libya sebagai negara paling tertutup di rantau Timur Tengah dan Utara Afrika.

Apa yang menjadi persoalan pokok, setelah hampir seluruh dunia sepakati bahawa Gaddafi wajib pergi, dan rakyat sendiri telah bangun atas nama jihad untuk memerangi regim Gaddafi serta kekuasaan Gaddafi sendiri seolah-olah bagai telur dihujung tanduk dengan bandar demi bandar jatuh ke tangan pejuang (saya sama sekali tidak bersetuju dengan istilah pemberontak), tiba-tiba kuasa barat dengan diketuai AS disertai Francis, Britain dan beberapa negara lain berlagak wira dengan lesen kononnya melaksanakan resolusi PBB bagi menguatkuasakan zon larangan terbang ke atas Libya, mereka menghalalkan tindakan menghujani bumi Libya dengan ratusan ‘Tomahawk’.

Walaupun mereka mengatakan yang menjadi tumpuan serangan adalah sasaran-sasaran ketenteraan tetapi dengan tegas saya katakan: “Ini satu pembohongan!”

Istilah sasaran ketenteraan ini agak sinonim sepanjang 6 tahun saya menetap di Iraq ketika era pasca perang teluk dari 1993-1999. Dengan alasan untuk menguatkuasakan sekatan ekonomi PBB dan zon larangan terbang ke atas Iraq, bukan sedikit serangan udara yang dilancarkan sepanjang tempoh itu samada melalui pengkalannya di Arab Saudi, Bahrain, Kuwait atau Turki serta kapal perangnya di rantau Teluk Parsi. Targetnya, sasaran ketenteraan Saddam!

Tanpa menafikan kecanggihan teknologi yang mereka miliki dalam masa yang sama kita tidak melupakan permusuhan sepanjang zaman dunia kristian terhadap dunia Islam, agak mustahil serangan yang dilancarkan dari jarak hampir beribu kilometer mampu tepat ke sasaran tanpa tersasar ke penempatan awam. Dengan mata saya sendiri, saya menyaksikan semua kekajaman ini dan dengan dua tangan ini, dalam keadaan serba kekurangan, saya pernah merawat beberapa penduduk awam yang tercedera parah ekoran serangan AS ketika menjalani latihan praktikal tahun akhir di Saddam Medical City, Baghdad. Mangsa terbunuh dan tercedera dalam serangan yang kononya disasarkan ke sasaran ketenteraan. Siapa penjenayahnya? Ketika itu George W. Bush.

Apatah lagi kalau kita mengaitkan serangan ini kebencian dunia barat dan kristian terhadap dunia Islam dan Ummat Islam. Musuh dunia kristian bukan hanya setakat tentera malah seluruh ummat Islam kecuali mereka yang sedia masuk ke lubang biawak bersama mereka. Untuk rekod, Saddam dan Gaddafi adalah penganut ideologi sosialis, ajaran yang memusuhi Islam.

Kalau boleh kita istilahkan, Saddam dan Gaddafi adalah perompak, bolehkah diundang penyamun (AS dan sekutunya) untuk menghalau perompak? Apakah ada penyamun berhati mulia yang akan berlalu begitu sahaja setelah perompak dikalahkan? Tentunya penyamun adalah gerombolan yang lebih ganas dan sadis, menjarah tanpa belas kasihan, merampas dan membunuh tanpa perikemanusian.

Lihatlah apa yang berlaku di Iraq sekarang. Amankah Iraq setelah regim Saddam menjadi sejarah? Teringat kata-kata seorang pensyarah saya di Universiti Baghdad dahulu. “Adanya Saddam adalah bala bagi rakyat Iraq, tetapi perginya Saddam dan hadirnya AS akan menjadi bala yang lebih besar.” Saya tidak begitu memahami ungkapan ini sehinggalah selepas penjajahan AS di bumi Iraq tahun 2003 lalu sehingga sekarang masih rakus tanpa pernah kenyang mengaut kekayaan bumi Ummat Islam.

Berbalik kepada krisis di bumi Libya, sekali lagi kita senada, Gaddafi wajib pergi tapi bukan dengan camputangan barat yang hadir dengan telunjuk lurus kelingking berkait. Liga Arab yang mewakili 23 negara Arab Islam dan OIC mesti membuktikan kredibiliti dan keupayaan mereka menyelesaikan masalah ummat dan serantau. Ummat Islam di Libya wajib diselamatkan tanpa sebarang kompromi dan dolak dalih. Cubaan penjajahan era moden oleh kuasa barat mesti ditentang sehebatnya.

Liga Arab yang sebelum ini menyokong pembentukan Zon Larangan Terbang di Libya kini dilihat mula berubah nada setelah menyaksikan kemusnahan hebat ekoran serangan AS dan sekutunnya ini. Imej mayat-mayat orang awam yang terbakar bukan sahaja menyebabkan Liga Arab berubah fikiran malah turut menyebabkan Cina dan Rusia menyuarakan kekesalan terhadap keganasan AS dan sekutunya. Selain Cina dan Rusia, Presiden Venezuela, Hugo Chavez juga keras menyuarakan bantahan. Tapi di mana suara keras pemimpin Negara Islam? Kalau alasan serangan adalah untuk menghalang pembunuhan rakyat awam oleh regim Gaddafi, bagaimana pula dengan rakyat awam yang terkorban angkara Tomahawk? Apakah dengan resolusi PBB, pembunuhan tidak dianggap jenayah?


10,000 dibunuh tentera rejim Gaddafi

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Lebih 10,000 orang awam telah dibunuh oleh tentera elit rejim Gaddafi yang mendapat arahan dari beliau sepanjang tercetusnya 'kebangkitan revolusi rakyat' di Libya sejak bulan lalu.

Siri kekejaman yang amat membimbangkan itu bagaimanapun lebih memperkuatkan lagi keyakinan, semangat dan kesungguhan rakyat Libya untuk menumbangkan rejim tersebut melalui 'revolusi rakyat'.

Jurucakap Gerakan Pembebasan Libya, Dr Abdulmonem Hresha menegaskan, rakyat Libya kini ternyata mahukan 'hak dan pembebasan' dari kekejaman pemerintahan rejim Muamar Ghadaffi dan seluruh rakyat negara itu yakin 'revolusi rakyat' pasti akan menghasilkan kejayaan.

Menurut beliau, antara kekejaman yang sedang dilakukan oleh rejim Gaddafi sekarang adalah pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam yang mengadakan demonstrasi di negara tersebut dan penghapusan penuh masyarakat Libya tanpa sebarang perikemanusiaan.

Katanya, siri kekejaman itu mesti dihentikan segera dan rakyat Libya kini amat memerlukan bantuan kemanusiaan dari semua lapisan masyarakat dunia termasuk dari Malaysia.

"Kami amat memerlukan bantuan perubatan dan bantuan kemanusiaan agar rakyat Libya yang tertindas ini mendapat pembelaan dan dilindungi dari usaha pembunuhan beramai-ramai rejim Gaddafi," katanya.

Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi menjelaskan, perkara itu dinyatakan sendiri oleh Dr Hresha kepada beliau pada pertemuan beliau serta wakil PAS Representative Concil UK dan Eira (PRC) dengannya, sempena pertemuan khas bersama beberapa pimpinan gerakan Islam dunia mengenai perkembangan Libya di London, semalam.

Menurut beliau, sempena pertemuan itu, Dr Hresha turut memberitahu kepadanya sepanjang lebih 40 tahun pemerintahan kuku besi Gaddafi, rakyat Libya telah dinafikan dari apa juga bentuk kebebasan dan hak asasi.

"Malahan rejim Ghadaffi telah bertindak memenjara dan membunuh ribuan ulama dan cendekiawan, wartawan dan pemimpin masyarakat yang dianggap sebagai ancaman kepada pemerintahan beliau," kata Syed Azman dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Sempena pertemuan itu juga, Dr Syed Azman turut menegaskan sokongan PAS serta rakyat Malaysia terhadap rakyat Libya yang sedang berjuang bagi membebaskan negara mereka dari kekejaman rejim Gaddafi.

“PAS juga akan usahakan seberapa segera bagi menghantar satu pasukan misi kemanusiaan dan perubatan ke Libya. Malah pasukan yang terdiri dari doktor dan sukarelawan kemanusiaan sedang bersiap sedia untuk masuk ke Libya,” tegasnya.

Dr Hresha turut menyampaikan ucapan terimakasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama simpati dengan nasib yang menimpa rakyat Libya serta menyokong penuh segala usaha yang dibuat oleh rakyat Libya, bagi membebaskan negara mereka dari kekejaman diktator Gaddafi.

"Kami cuma mahu meminta hak yang sama seperti apa yang dimiliki oleh rakyat lain di bumi ini. Doakan kepada kami. Semoga Allah SWT melindungi dan merahmati kesejahteraan hidup rakyat Libya," kata Dr Hresha kepada Syed Azman menerusi perbincangan yang diadakan sempena pertemuan mereka.


Tiada ulasan: