Ahad, 27 Mac 2011

Orang Yang Dikasihi Dan Dibenci.

Orang Yang Dikasihi Dan Dibenci.

Menuntut Ilmu

Ad-Darimi, At-Tarmizi

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : “Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali”. (Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darimi)

Ilmu ialah mengetahui tentang sesuatu perkara di mana perkara yang boleh diketahui itu bergantung pada kemampuan dan usaha yang dilakukan oleh seseorang itu. Menuntut ilmu merupakan suatu jihad yang dituntut oleh Islam ke atas setiap penganutnya. Ia menjadikan seseorang itu menduduki martabat yang tinggi berbanding dengan orang yang tidak berilmu. Oleh itu selaku umat Islam kita hendaklah berusaha untuk menambahkan ilmu masing-masing dari semasa ke semasa termasuklah ilmu yang berkaitan dengan Islam kerana darjatnya lebih tinggi di sisi Allah. Malah salah satu daripada petanda ilmu yang berkat itu adalah apabila seseorang itu dengan bertambah ilmunya semakin mulia akhlaknya dan semakin bertakwa dia kepada Allah S.W.T.

Keikhlasan Dalam Menuntut Ilmu

Abu Daud


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesiapa yang mempelajari ilmu yang boleh mendapatkan keredhaan Allah, sedangkan dia mempelajarinya kerana ingin mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat mencium bau syurga di hari akhirat kelak”. (Riwayat Abu Daud)

Orang yang berilmu dijanjikan Allah kedudukan yang tinggi di dunia mahupun di akhirat kelak. Islam menuntut keikhlasan niat dalam segala perkara termasuklah dalam menuntut ilmu sama ada yang berbentuk keduniaan atau ilmu agama. Dengan perkataan lain, setiap ilmu yang dituntut janganlah terkeluar daripada landasan syariat. Ia mestilah dimanfaatkan untuk kebaikan di dunia dan akhirat serta mengutamakan kebajikan manusia sejagat bukannya untuk kepentingan dunia semata seperti mengumpul harta, merebut kenaikan pangkat atau mengejar ‘glamour’ dan sebagainya. Ilmu yang berkat adalah ilmu yang membuatkan seseorang itu semakin dekat dengan Allah SWT bukan menjadikan ia semakin jauh dan lalai sehingga melanggar hukum Tuhan dan sanggup melakukan kemungkaran seperti keganasan, menipu, mencuri, merampas hak orang dan sebagainya.


Jangan Kedekut Memberi Ilmu

Abu Daud, At-Tarmizi


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada hari kiamat. (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Islam sangat menghargai ilmu dan ulama (ilmuwan), sehingga kedudukan ilmu dan ulama sangat tinggi dan mulia dalam parameter Islam. Kerana kedudukan ilmu yang sedemikian tingginya, maka Islam mewajibkan umatnya untuk mempelajari ilmu, sehingga diharapkan mereka bekerja berdasarkan ilmunya, bukan sekadar mengikuti seseorang tanpa tujuan. Berjihad dalam ilmu maksudnya ialah bersungguh-sungguh membentuk masyarakat dari segi ilmu pengetahuan dan peradaban yang berguna serta memberikan gambaran yang betul tentangnya tanpa merasa iri hati atau tamak kerana orang yang memberikan ilmu berupa petunjuk akan dikurniakan balasan pahala dan kebaikan sama seperti orang yang mengamal ilmu tersebut.


Kelebihan Orang Yang Menyebarkan Ilmu

Ibnu Majah

Ibnu Majah meriwayatkan daripada Sahal bin Mu’az bin Anas, daripada bapanya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : “Barangsiapa yang mengajarkan satu ilmu maka baginya pahala orang yang mengamalkannya sedangkan tidak mengurangkan pahala orang yang mengamalkannya.” (Ibnu Majah)

Banyak kelebihan yang dikurniakan kepada orang yang menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan berguna. Ini kerana usaha mengajar dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan membawa kebajikan kepada masyarakat adalah amat tinggi nilainya di sisi Islam. Orang yang mengajar ilmu kepada orang lain bilamana orang yang diajar itu mengamalkannya, dia juga akan diberi ganjaran pahala tanpa mengurangkan pahala pengamalnya.


Keistimewaan Orang Yang Menyebarkan Ilmu

Abu Umamah r.a

Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi – sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut – sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai”. (Abu Umamah r.a)

Usaha mengajar dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan membawa kebajikan kepada masyarakat adalah amat tinggi nilainya di sisi Islam. Bagi sesiapa yang melakukannya akan dilimpahkan rahmat oleh Allah S.W.T. Begitu juga dengan para malaikat dan sekalian makhluk di langit dan di bumi, semuanya berdoa untuknya agar Allah memberikan balasan yang sebaik-baiknya.


Orang Yang Dikasihi Dan Dibenci

Abu Hurairah r.a


Nabi s.a.w bersabda: Apabila Allah hendak membahagiakan seseorang hamba-Nya, Allah Taala menyeru Jibril dengan firman-Nya: Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah engkau mengasihinya; Jibril pun mengasihinya; kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit katanya: Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah kamu sekalian mengasihinya; dengan itu penduduk langit pun mengasihinya; setelah itu orang yang tersebut dikasihi dan diberi sambutan di bumi. Dan apabila Allah Taala bencikan seseorang hamba-Nya, Allah memanggil Jibril serta berfirman: Sesungguhnya Aku bencikan si anu maka hendaklah engkau bencikan dia. Jibril pun membencinya; kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit, katanya: Sesungguhnya Allah bencikan si anu maka hendaklah kamu sekalian membencinya; dengan itu penduduk langit pun membencinya; setelah itu orang yang tersebut dibenci dan dipulaukan di bumi. (Abu Hurairah r.a)

Umat Islam dilarang melakukan perkara yang buruk dan dibenci agama dan masyarakat tetapi hendaklah sentiasa berbuat kebaikan. Orang yang mempunyai sifat dan amalan yang baik sesungguhnya amat dikasihi oleh Allah SWT. Dia juga disayangi oleh sekalian makhluk yang ada di langit dan bumi. Pengisytiharan kasih mahupun benci oleh Allah terhadap seseorang itu adalah sebagai memberi nilai yang sewajarnya agar kesan kebaikan dan kejahatan tersebut dapat dirasai oleh pelakunya di dunia sebelum ia menerima balasan sepenuhnya di hari akhirat. Kita selaku manusia biasa adalah tidak layak untuk menilai tentang buruk baiknya seseorang apalagi menghukum dan membenci manusia yang lain kerana hanya Allah sahaja yang berhak berbuat demikian


Dua Golongan Manusia

At-Tarmizi


Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya.” Para sahabat bertanya lagi, “wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah “ialah orang yang takbur.” (Riwayat at-Tarmizi)

Hadis ini menerangkan dua golongan manusia iaitu manusia yang dikasihi dan dibenci oleh Nabi SAW. Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan Baginda di hari kiamat nanti. Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak. Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain sebaliknya hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain.


Larangan Membangga Diri

Muslim


Rasulullah saw bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain. (Hadis Riwayat Muslim)

Islam menuntut umatnya beramal dengan sifat tawadduk dan hormat menghormati sesama Islam dengan demikian akan lahirlah sebuah masyarakat Islam yang harmoni. Kedudukan orang Islam disisi Allah adalah sama sahaja tarafnya. Oleh sebab itu Islam melarang umatnya melakukan kezaliman dan hendaklah menjauhkan sifat-sifat keji seperti membesar diri, bermegah dan sebagainya. Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.


Bertaqwa Kepada Allah

Muslim


Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bersifat taqwa, kaya jiwa serta tidak menonjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi)”. (Riwayat Muslim)

Yang dimaksudkan dengan kaya di sini ialah kaya jiwa bukan kaya harta sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis. Tiga perkara yang apabila dilakukan oleh seseorang maka ia dikasihi oleh Allah S.W.T. ialah bertaqwa, kaya jiwa (berakhlak mulia) dan tidak menonjolkan diri. Oleh itu setiap umat Islam hendaklah sentiasa memperbaiki dirinya dari masa ke semasa dengan menanamkan tiga sifat tersebut secara berperingkat-peringkat. Islam menyuruh umatnya supaya bertaqwa kepada Allah dan mempunyai sifat-sifat yang mulia dan berbudi bahasa, jangan bersifat sombong, ego dan sebagainya yang boleh menjatuh dan merendahkan mertabat kemuliaan manusia itu sendiri.

Tiada ulasan: