Wednesday, 10 Rabi'ul Akhir 1432 Ucapan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 14 Mac lepas. Tuan Yang Dipertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, pertama-tama saya bersama dengan rakan-rakan, Ahli-ahli Parlimen seluruhnya sama ada di pihak kerajaan ataupun Pakatan Rakyat mengucapkan takziah kepada negara Jepun, kerajaan dan rakyat di atas bencana alam tsunami yang menimpa negara tersebut. Bagi melahirkan simpati kepada mangsa dan negara yang ditimpa bencana itu, adalah baik pihak kerajaan menghantar rombongan kemanusiaan sebagai simbolik simpati kemanusiaan walaupun kita menyedari negara Jepun mempunyai kemajuan dan kemampuan teknologi dan tenaga manusia untuk menangani dan mengatasi bencana yang menimpa mereka. Akan tetapi sifat-sifat kemanusiaan mengatasi perbezaan kaum dan agama perlu diserlahkan dengan cara yang nyata dan terbuka melalui penghantaran rombongan tersebut. Seterusnya saya ingin menyertai perbahasan Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Saya hendak memberi penekanan kepada perkara-perkara pokok dan dasar yang diucap dan dititahkan. Baginda menegaskan supaya semua pihak menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Kedaulatan Raja-raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan istimewa orang-orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain, meliputi hal kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Hendaklah tidak dipersoalkan bagi mengelak perpecahan. Amaran supaya langkah diambil bagi mengelak perpecahan, menandakan di sana ada tanda-tanda negatif yang tidak sihat, yang boleh menjejaskan kewibawaan negara yang berdaulat yang berasaskan kepada Perlembagaan tersebut. Kita perlu menyedari betapa Perlembagaan masih lagi mengalami kelemahan-kelemahan yang perlu dibaiki. Berhajat kepada pindaan. Kita menyedari sejarah Perlembagaan dilahirkan daripada Suruhanjaya Reid. Mereka yang terlibat di dalam menggubal Perlembagaan itu tidak ada seorang pun daripada anak negeri ini. Oleh kerana itu masih banyak perkara yang perlu dikaji semula, melakukan muhasabah dengan menyedari bahawa di dalam Perlembagaan itu sudah disebut perkara-perkara yang menjadi rukun, tonggak kepada negara yang sangat penting. (i) Islam agama Persekutuan; (ii) keluhuran Perlembagaan; dan (iii) kedaulatan undang-undang, kedaulatan Raja-Raja, hak istimewa Melayu dan bumiputera, hak bangsa lain. Akan tetapi mengapa masih wujud gejala-gejala yang menyebabkan Baginda telah menyampaikan titah amaran tersebut? Bagi orang Islam dan rakan-rakan yang bukan Islam menyedari kedudukan Melayu, orang Islam di dalam negara ini adalah golongan majoriti yang semua pihak, kaum lain menerima hakikat bahawa Melayu yang beragama Islam adalah majoriti yang berada di dalam tonggak kepimpinan negara. Soalnya sejauh mana Islam dapat menjadi roh kepada perlembagaan. Apa yang berlaku, kefahaman kita terhadap Islam itu sendiri masih lagi terlalu sempit, masih lagi belum merdeka, masih lagi dijajah. Perlembagaan tiada roh Islam Kita tidak menjadikan Islam sebagai agama yang menangani cara hidup termasuk kepada negara dan segala amalannya menyebabkan Perlembagaan kita tidak ada roh. Kita perlu menyedari perbezaan amalan negara yang berasaskan kepada Islam dengan negara yang lain. Ini kerana tidak ada pemisahan di antara perhitungan dosa dan pahala dengan amalan negara. Inilah yang diajar oleh Islam. Inilah yang memelihara keadilan yang dapat menyatupadukan rakyat dan memberi hak kepada semua rakyat yang menjalinkan hubungan yang baik di kalangan mereka. Adakah keluhuran Perlembagaan itu masih wujud? Di sana masih terdapat percanggahan-percanggahan di antara kuasa negeri dan pusat. Bukan sahaja di dalam urusan pentadbiran yang mencelarukan bahkan kadang-kadang di dalam urusan agama Islam itu sendiri. Walaupun dinyatakan di dalam Perlembagaan bahawa bidang kuasa agama yang disebut Enakmen Pentadbiran Agama adalah di bawah kuasa negeri tetapi negeri tidak boleh melaksanakan kuasa agama Islam yang luas kerana bercanggah dengan kuasa Perlembagaan pusat. Ini menimbulkan kecelaruan di dalam melaksanakan Islam melalui konsep Perlembagaan itu sendiri. Bahkan terdapat percanggahan undang-undang Syariah di kalangan negeri-negeri itu sendiri padahal semua negeri menganut Mazhab Shafie. Sepatutnya diselaraskan, menandakan masih wujud kelemahan di dalam Perlembagaan itu sendiri yang menyebabkan kelemahan kepada urusan pentadbiran agama Islam di negeri-negeri. Ada pun kedaulatan undang-undang, kita melihat kedaulatan undang-undang agak terjejas dengan tidak adanya pemisahan kuasa di antara penggubal undang-undang mahkamah dan pentadbiran. Masih wujud kecelaruan dan campur tangan, masih wujud sistem keadilan yang tidak stabil dengan cara yang tepat. Peristiwa-peristiwa yang menyayat hati dan boleh memalukan kita. Contohnya Teoh Beng Hock yang mati dalam siasatan dan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang disebarkan melalui media dengan cara yang memalukan. Mengikut kaedah perundangan Islam dan kaedah perundangan Islam ini diamalkan oleh undang-undang British kerana orang-orang British ketika menjajah negara umat Islam, mereka bukan sahaja mengumpulkan hasil bumi. Mereka juga mengumpulkan hasil ilmu Islam melalui kitab undang-undang yang dikarang oleh ulama’-ulama’ Islam dalam segala mazhab sehingga mereka memakai kaedah orang yang dituduh tidak bersalah selagi tidak disabitkan. Apa yang berlaku hari ini, menunjukkan orang dituduh telah bersalah dan dihukum. Mati dalam tahanan walaupun dia seorang yang bukan Islam. Allah mengajar kita adil kepada semua manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah, menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah kepada orang yang adil dapat menunaikannya”. Sama ada amanah politik ataupun amanah kehakiman dan pentadbiran. Apabila melakukan urusan hukuman di kalangan manusia tidak disebut Islam dan bukan Islam juga tidak disebut bangsa yang tertentu di kalangan manusia hendaklah berlaku adil. Apa yang berlaku hari ini, kita tidak boleh menunjukkan contoh kebaikan Islam daripada Islam yang kita jadikan sebagai agama persekutuan. Ini satu hal yang perlu disedari oleh pihak kerajaan sebelum banyak lagi perkara buruk yang berlaku. Insiden-insiden undang-undang yang berlaku dalam negara kita. Kedaulatan Raja-raja, Raja-raja adalah sebahagian daripada negara kita. Nabi kita Muhammad SAW telah meletakkan garis panduan dalam hal ini yang bermaksud, “Apabila Allah mengehendaki keadaan seseorang raja itu menjadi baik, maka Allah jadikan di sisi raja itu menteri-menteri yang benar dan baik. Sekiranya raja itu lupa diperingatkan. Sekiranya raja itu ingat ditolong raja itu. Sekiranya Allah mengehendaki raja itu dalam keburukan maka Allah jadikan di sisinya menteri yang jahat dan bohong. Sekiranya raja itu lupa, tidak diperingatkan. Sekiranya raja itu ingat tidak ditolongnya”. Apa yang berlaku dalam negara ini? Melahirkan pengampu-pengampu kepada Raja-Raja kita. Dia bukan menjadi penasihat yang baik apabila kita merasakan kedudukan kita terancam, defend on Perlembagaan. Perlembagaan bukan untuk memperbaiki Institusi Raja-raja tetapi mendapat kuasa laksana kuasa tikus membaiki labu. Ini keadaan yang berlaku. Hak istimewa orang Melayu Hak istimewa orang Melayu, Islam, dan bumiputera diakui oleh semua kaum yang ada dalam negara ini kerana mereka menyedari bahawa majoriti rakyat negara ini adalah orang Melayu Islam dan bumiputera. Kerana menyedari bahawa majoriti orang miskin dan ketinggalan dalam hak berekonomi dan hidup dengan selesa adalah orang Melayu dan bumiputera. Mereka menyedari hakikat ini, dalam masa yang sama sangat baik. Kita telah letak dalam Perlembagaan. Hak kaum lain juga hendaklah dipelihara, dijaga, dan mengikut Islam sama adil dengan puak orang Islam. Hak untuk hidup dan juga ekonomi. Oleh kerana jumlahnya Melayu bumiputera lebih besar, maka kita letakkan atasnya. Bahkan kami dalam Pakatan Rakyat atau konvensyen telah memutuskan satu resolusi menerima apa yang termaktub dalam Perlembagaan. Akan tetapi apa yang merisaukan kita ialah hak istimewa ini tidak dijaga dengan cara yang baik dan betul menyebabkan fanatik kepartian berlaku di dalam parti yang memerintah sendiri. Sepatutnya parti yang memerintah hendaklah menjadi contoh kepada seluruh rakyat. Para ulama’ mengatakan...bermaksud, “Rakyat mengikut langkah pemimpin-pemimpin mereka”. Apa yang berlaku hari ini, hak bumiputera yang dipentingkan ialah Bank Bumiputera yang menyokong Umno dan parti yang memerintah di Sabah dan Sarawak. Kemudian, ditambah lagi kroni-kroni pemimpin yang tertentu. Dalam parti yang sama pun dinafikan. Ini merupakan kemalangan yang berlaku dalam apa yang disebut dengan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera. Ia tidak dilaksanakan dengan betul. Saya ingin mengulangi apa yang disebut dalam Dewan ini. Bank Bumiputera yang telah ‘meninggal dunia’. Di mana ada Bank Bumiputera di situ ada pejabat Umno. Mengapa Bank Bumiputera telah ‘meninggal dunia’? Siapa yang mematikan bumiputera atau pun jadi anak angkat kepada bank lain? Ini kerana pengurusan dan cara yang tidak betul. Apabila kita orang Islam Melayu telah diterima sebagai tunggak kepimpinan negara, apa yang penting kita mesti menunjuk satu contoh yang baik. Modul ajaran Islam yang bersih daripada rasuah dan menyalahgunakan kuasa. Apa yang berlaku hari ini, pimpinan utama Umno sendiri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyebut dalam kenyataan yang terbuka bagaimana parti yang memerintah dihujani oleh penyakit rasuah di dalam pemilihan-pemilihan mereka. Bagaimana kita dapat mewujudkan sebuah kerajaan menjadi model mengikut ajaran Islam daripada orang Melayu yang beragama Islam ini? Sekiranya dalam pemilihan kepimpinan kita berdasarkan kepada politik wang dan politik wang ini diketahui oleh umum. Ia dilakukan dalam masa pilihan raya sehingga rakyat tidak boleh menjadi hakim yang adil. Demokrasi Ini kerana mengikut amalan demokrasi yang sebenar rakyat adalah hakim untuk menghukum parti yang memerintah. Sekiranya parti memerintah dalam keadaan yang baik, rakyat terus menyokong. Sekiranya parti yang memerintah dituduh dengan tuduhan yang tidak betul, dia boleh bela dan membersihkan diri. Apa yang berlaku hari ini? Rakyat tidak boleh menjadi hakim yang betul kerana media yang menjadi saksi kepada rakyat untuk pilihan raya untuk membuat laporan yang tidak sepenuh dan berat sebelah. Demokrasi ialah untuk memilih kerajaan yang sihat dan kuat. Di Amerika tidak selama-lamanya Republican atau Democrat. Di Britain tidak selamalamanya Conservative, Parti Liberal atau Parti Buruh. Mereka bertukar dan beralih bila satu parti mengalami kelemahan dalam kepimpinan negara. Ia didedahkan oleh media. Pemimpin parti memerintah tidak boleh jawab, rakyat hukum dalam pilihan raya dan kepimpinan parti memerintah itu menerima hakikat dia dihukum oleh rakyat. Dia tunggu pulih diri dia, setelah dia baik barulah dia menang pilihan raya balik. Apa yang berlaku dalam negara kita hari ini? Mahu memerintah sehingga nyanyuk dan kiamat walaupun kita mengalami kelemahan-kelemahan. Apa yang membimbangkan Tuan Yang di-Pertua ialah gejala perpecahan. Perpecahan di dalam masyarakat kerana titah Baginda menyebut tentang perpecahan di kalangan rakyat. Islam menganjurkan perpaduan, perpecahan perkara biasa berlaku di kalangan manusia kerana mereka mempunyai pandangan-pandangan yang berbeza, tetapi mereka boleh disatukan dengan semangat dan roh yang ada dalam diri mereka. Islam menganjurkan perpaduan di kalangan orang Islam dan perpaduan di kalangan sesama manusia yang berbagai-bagai agama. Ia menganjurkan perpaduan dari semua kalangan ini. Perpaduan di kalangan orang Islam, Allah menyatakan perpaduan mereka ialah dengan tali Allah. Firman Allah bermaksud, “Berpeganglah kamu semua dengan tali Allah, jangan kamu berpecah belah”. Perpaduan di kalangan manusia Allah menyatakan bermaksud, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, berbangsa-bangsa, dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan di antara satu sama lain”. Perpaduan di kalangan manusia lita’arafu, supaya berkenalan di kalangan manusia dan bertukar-tukar kepentingan di antara satu sama lain. Dalam sejarah Islam pernah berlaku perbezaan pendapat yang mencetuskan pergaduhan. Akan tetapi boleh disatukan, boleh didamaikan dan boleh diselesaikan walaupun melahirkan berbagai-bagai mazhab, mazhab dalam ilmu fiqah, bahkan mazhab di alam politik. Kalangan Sunni, Syiah dan Khawarij, ini alam mazhab dalam politik yang lahir di kalangan umat Islam. Ada yang betul dan ada yang salah dalam mazhab ini. Timbulnya gejala perpecahan dalam politik setelah wafatnya Nabi SAW. Quran tidak menentukan siapa penggantinya. Nabi Muhammad SAW tidak menentukan siapa penggantinya menyebabkan timbul berbagai-bagai pandangan dan mereka bermusyawarah. Ada kalangan yang mengatakan bahawa ketua negara mestilah dari kalangan Ansar, dari kalangan orang Madinah kerana mereka tuan punya tapak kepada negara Islam yang awal itu. Ada yang mengatakan ketua negara mestilah dari kalangan Ahlul-Bait, keluarga Nabi SAW. Ada yang mengatakan kepimpinan negara mestilah dari kalangan seorang pemimpin yang berwibawa, yang paling kuat pengaruhnya di kalangan rakyat. Akhirnya mereka menerima bahawa kepimpinan negara mestilah dari kalangan yang berwibawa di kalangan rakyat yang mempunyai bangsa yang majoriti yang hebat di kalangan kaum yang ada dalam negara itu. Ini pendapat umum yang diterima oleh para sahabat Radiallah Anhu walaupun pendapat Ansar menjadi pandangan golongan Khuwarij dan pandangan Ahlul-Bait menjadi pandangan golongan Syiah yang ditolak oleh ilmu politik dan fiqah politik Islam. Tidak dinafikan dan kita telah menerima semangat itu. Bahkan dalam Perlembagaan ini sudah ada kita meletakkan hak keistimewaan orang Melayu kerana menerima hakikat orang Melayu adalah majoriti orang Islam yang wujud dan diakui oleh kaum lain. Akan tetapi, kita mesti ingat bahawa jati diri orang Melayu dan kewibawaan mereka terletak kepada sejauh mana mereka berpegang dengan ajaran Islam itu. Allah SWT memberi amaran yang bermaksud, “Jika sekiranya kamu yang berbangsa, yang menganut Islam itu berpaling daripada ajaran Islam, maka Allah menukar kaum yang lain daripada kamu.” Dalam sejarah Islam, yang memimpin pemerintahan bukan sahaja orang Arab, bertukar ke bangsa Kurdish, bertukar ke bangsa Turki dan bangsa-bangsa yang lain apabila bangsa yang telah menganut Islam itu tidak kuat dan kukuh berpegang dengan ajaran Islam. Di sinilah Islam meletakkan kepimpinan, bukan ketuanan. Ini kerana kita tidak boleh memperhambakan di kalangan rakyat. Kepimpinan boleh beralih. Kepimpinan Melayu hendaklah diwujudkan dengan kita berpegang dengan jati diri yang berlandaskan kepada ajaran Islam. Ini sangat penting. Melayu selamat kalau Islam ditegakkan. Kalau Islam tidak ditegakkan, Melayu akan lebur sebagaimana bangsa lain yang lebur dalam dunia ini. Allah SWT telah menyebut, bangsa yang mempunyai tamadun yang hebat dalam sejarah manusia, mereka hancur lebur walaupun mempunyai pembangunan yang hebat dengan bangunan-bangunan yang mencakar langit. Firman Allah Taala bermaksud, “Adakah kamu tidak tahu, kamu tidak melihat apa yang telah menimpa kaum ‘Ad yang telah mendirikan bandar Iran dengan bangunan-bangunan pencakar langit? Adakah kamu tidak melihat kaum Tsamud yang telah memahat bukit-bukit batu pejal untuk dijadikan bangunan? Adakah kamu tidak melihat kaum Firaun yang mendirikan Piramid, yang mendirikan bangunan Piramid yang hebat dan bala tentera yang ramai apabila mereka telah melakukan fasad, melakukan kejahatan.” Kejahatan itu sama ada maksiat ataupun kezaliman dalam pemerintahan. Maksiat ataupun kezaliman. Kemungkaran berlaku, maka Allah memusnahkan kaum itu walaupun mempunyai pembangunan kebendaan yang sangat hebat. Tanpa dinafikan bahawa peranan manusia di atas muka bumi bukan sahaja mengabdikan diri kepada Allah, dalam masa yang sama manusia ditugaskan untuk membangunkan bumi dengan pembangunan-pembangunan yang menggunakan bahan-bahan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka dia atas muka bumi. Akan tetapi untuk melakukan pembangunan itu, hendaklah dibina insan. Dalam ucapan Seri Paduka Baginda disebut pembangunan insan. Akan tetapi, tidak disebut apakah acuan pembangunan insan itu. Kemusnahan negara-negara yang maju di abad yang lalu dan yang terkini seperti Soviet Union ialah kerana gagal dalam pembangunan insan walaupun mempunyai muka bumi yang luas, kekayaan yang melimpah ruah, pembangunan kebendaan yang begitu hebat, bangunan yang mencakar langit seperti di Dubai sekarang, bangunan pencakar langit banyak tetapi orang tidak ada. Pembangunan yang tidak berasaskan kepada pembangunan insan dalam erti kata yang sebenar untuk membangunkan insan bukan sahaja mengilmukan mereka dalam bidang sains dan teknologi yang sangat diberi penekanan. Tidak dinafikan bahawa pengilmuan dalam sains dan teknologi adalah penting. Akan tetapi, manusia yang mengendalikan pembangunan sains dan teknologi itu hendaklah dibina roh dan akal mereka. Kalau roh dan akal mereka tidak dibina dengan tepat, maka sains dan teknologi membawa kemusnahan kepada diri mereka sendiri. Dengan sebab itu maka Islam menganjurkan bahawa bagi membangun diri manusia hendaklah mengikut acuan fitrah, naluri dan sifat semula jadi manusia yang disebut dengan Maqasid al-Syariah, tujuan hukum syariah diturunkan oleh Allah kepada manusia tepat dengan ciri-ciri dan sifat keperluan yang ada bagi diri manusia. Mereka memerlukan enam perkara yang penting: (i) agama; (ii) nyawa; (iii) akal; (iv) maruah; (v) keturunan; dan (vi) harta. Ini tiga rukun. Dalam kehidupan manusia, manusia tidak boleh hidup dengan tepat, dengan baik sekiranya tidak memenuhi ketiga-tiga rukun ini. Pertama, agama. Islam meletakkan agama menjadi dasar dan payung kepada pembangunan insan. Meletakkan manusia menjadi hamba kepada Allah. Pimpinan negara adalah menunaikan amanah bukannya tuan yang memperhambakan rakyat dan mana-mana kaum. Ini yang diajarkan oleh Islam. Segala projek pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan memberi kesenangan kepada rakyat hendaklah ditunaikan dengan amanah dan di atas sifat menunaikan amanah, dia tidak boleh berbangga dengan apa yang dia buat dengan hendak menunjuk-nunjuk sahaja ini aku buat, ini aku buat, ini aku buat seolah-olah harta dia, dia yang punya. Apabila merasakan ini dia yang punya, harta dia, maka berlakulah salah guna, berlakulah mengambil kesempatan, berlakulah tidak ada perhitungan dosa dan pahala, berlakulah tidak boleh mengawal tamak dan haloba dalam kegiatan politik dan ekonomi. Pembangunan itu bukan sahaja tidak memberikan kebahagiaan kepada rakyat, bahkan menjadi kemusnahan kepada negara dengan sebab pengurusan ekonomi tidak teratur, perjalanan tidak teratur dengan cara yang baik. Islam menjadikan agama pengawas kepada kegiatan-kegiatan yang lain. Oleh sebab itu Islam meletakkan perhitungan dosa dan pahala dalam semua tindak-tanduk yang dilakukan oleh manusia. Bukan sahaja di masjid, bukan sahaja atas tikar sembahyang, bukan sahaja di Makkah termasuklah bila dia menjadi ketua negara, menjadi pemimpin negara, di office bergaul dengan rakyat, segala tindak-tanduknya ada kaitan dengan agama. Apa yang berlaku hari ini seolah-olah agama tidak ada kaitan dengan masalah hidup. Kita buat macam-macam, berbagai-bagai langkah, rasuah, menyalah guna kuasa, selepas itu pergi umrah. Selesa dengan itu sahaja, seolah-olah cukup dengan umrah sahaja dengan tidak melakukan muhasabah bahawa semua tindakan adalah dihisab. Bukan umrah itu sahaja. Ini kerana kita memisahkan agama dengan urusan kehidupan. Kedua menjaga nyawa. Nyawa adalah penggerak kepada anggota yang bertugas bagi diri manusia. Nyawa hendaklah dipelihara dengan cara yang baik. Oleh kerana itu Islam menjadikan hak nyawa bukan sahaja hak Allah Taala termasuk juga hak manusia. Maka Islam meletakkan hukuman qisas dalam memelihara nyawa. Firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan bagi kamu dalam melaksanakan hukuman qisas itu, membawa kehidupan wahai orang-orang yang mempunyai akal fikiran yang betul supaya kamu bertakwa kepada Allah.” Qisas ini yang berkait dengan kesalahan membunuh, termasuklah kesalahan mencederakan dengan sengaja dan tidak sengaja, semuanya ada dalam Islam termasuklah undang-undang kemalangan jalan raya. Berkait dengan qisas. Di mana undang-undang Islam lebih berkonsepkan mendidik bukan untuk mendera dan memungut hasil. Saman ekor Apa yang berlaku hari ini contohnya saman ekor. Saman ekor adalah satu undang-undang di atas nama mengapa tidak saman kepala terus? Saman ekor sahaja. Di atas nama hendak mengawal keselamatan jalan raya tetapi undang-undang ini tidak bersifat mendidik lebih bersifat mendera, lebih bersifat mencari duit. Setelah diumumkan ramai yang beratur hendak bayar saman ekor diberitahu berapa juta dapat minggu ini. Termasuklah undang-undang yang berkait dengan dadah. Ini juga undang-undang yang mendidik. Apa yang berlaku hari ini kita gagal dalam menangani masalah dadah. Ini sangat mendukacitakan. Maka perlu dikaji semula, dibawa undang-undang takzir yang mendidik rakyat supaya menangani masalah dadah. Kesimpulan Tuan Yang Dipertua, sekiranya kita tidak dapat membangunkan insan mengikut acuannya yang tepat, maka kita gagal mencapai matlamat negara yang membangun, mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat, menjadi wawasan kepada umat Islam dan ketamakan manusia seluruhnya. Sekian, terima kasih. |
HATI JADI MATI JIKA 40 HARI TIDAK MENUNTUT ILMU ISLAM DAN 3 HARI HATI JADI SAKIT...KERANA IA MAKANAN HATI...HEBAH2KAN GAN KAWAN2 BLOG NI..TK KERANA SERING MELAYARI BLOG INI. رَبِّيْ اشْرَحْ لِيْ صَدْرِيْ وَيَسِّرْ لِيْ أَمْرِيْ Tuhanku (Allah) lapangkanlah dadaku dan permudahkanlah urusanku.. amin...سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ للهِ وَلاَ اِلٰهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُلاحول ولا قوّة إلاّ باللّه العظيم.... وَالـــــسَّلاَمُ عَلَيْكُـــمْ وَرَحْمَـــة ُاللهِ وَبَرَكَاتُـــهُ
Rabu, 16 Mac 2011
SAPE PUN..LEBIH2 ORANG ISLAM..BEKERJA BIAR UNTUK ALLAH...JADI TINDAK TANDUK TAK AKAN MELANGGAR HUKUM..KERJA HANYA INGIN KEREDAAN ALLAH SWT SEMATA2
Gagal bangun insan, tak capai matlamat negara membangun
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan