Ahad, 27 Mac 2011

Allah Maha Sempurna.


Allah Maha Sempurna

Bukhari

Dari Mughirah r.a katanya, Saad bin Ubadah mengatakan : “Kalau sekiranya saya melihat lelaki berkelakuan serong dengan isterinya, nescaya lelaki itu saya tetak dengan pedang, bukan dengan punggungnya”. Ucapan itu sampai kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda berkata : “Mengapa kamu hairan melihat cemburu Saad? Demi Allah aku lebih cemburu daripadanya. Dan Allah lebih cemburu daripadaku. Kerana itu dilarang-Nya mengerjakan perbuatan keji, baik yang terang atau pun yang tersembunyi. Dan tiada seorang pun yang suka memberi maaf lebih daripada Allah, dan kerana itu diutus-Nya orang-orang yang akan memberikan berita gembira dan orang-orang yang memberikan peringatan. Tiada seorang pun yang suka menerima pujian lebih daripada Allah, dan kerana itu (untuk orang memuji-Nya) dijanjikannya syurga”. (al-Bukhari)

Setiap apa yang menimpa diri kita ataupun orang lain daripada perkara-perkara berupa kesulitan dan sebagainya, semuanya berpunca daripada sikap kita yang meremehkan perintah Allah SWT, tidak menganggapnya penting dan tidak pempedulikan hak-hak Allah yang seharusnya dipenuhi oleh hamba-Nya. Oleh itu selaku manusia kita hendaklah memilki sifat al-Khouf (takut kepada Allah) dan ar-Roja’ (bergantung harap kepada Allah) kerana dengan memiliki kedua perasaan tadi manusia akan berfikir bahawa boleh jadi Allah akan menyiksanya atau merahmatinya. Hal ini akan menggerakkan manusia untuk berbuat kebaikan sebanyak mungkin manakala dengan sifat al-Khouf pula akan mengekang manusia daripada melakukan perbuatan yang membahayakan keselamatan mereka. Sesungguhnya Allah itu Maha Sempurna dan manusia itu amat dhaif tanpa adanya pemberian ataupun nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Dengan itu manusia handaklah bersifat sebagai hamba yang sentiasa cemburu untuk mendapatkan kasih sayang dan rahmat Allah bukan bersaing mahu menempah kemurkaan Allah SWT.

Berakhlak Mulia.

Bukhari
Muslim

Daripada Abdullah bin Amru bin al-’As ra katanya: Bukanlah Rasulullah saw seorang yang bersifat keji dan Baginda tidak pernah melakukan perkara-perkara yang keji. Baginda bersabda, “Sesungguhnya orang-orang yang terpilih antara kamu ialah orang-orang yang mulia akhlaknya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah adalah manusia yang paling sempurna. Baginda terpelihara dari sifat-sifat keji dan tidak pernah melakukan perbuatan keji. Orang-orang yang berakhlak mulia adalah menjadi pilihan Allah dan mereka diberikan beberapa keistimewaan di dunia dan kedudukan yang tinggi di akhirat. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berusaha menghindarkan diri daripada semua sifat-sifat yang buruk dan keji serta memperbaiki kualiti diri dengan menambahkan amal ibadat dan mengamalkan sifat-sifat mulia dari masa ke semasa.

Perhiasan Diri

At-Tabrani

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini?” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Akhlak mulia adalah perhiasan diri selain cerminan agama yang dianuti. Islam memerintahkan penganutnya sentiasa memperelokkan akhlak mereka dan menjauhi segala sifat buruk sehingga menjadi fitnah pada agama. Contohnya, banyak berlaku dalam kehidupan umat Islam hari ini yang menyalahtafsirkan ajaran agama dan melakukan pelbagai perbuatan buruk dan zalim yang didakwa dilakukan atas nama Islam. Allah mengetahui segala tersirat dalam hati manusia. Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati melakukan segala sesuatu supaya tidak menjatuhkan maruah diri, agama dan masyarakat sekeliling.

Tiada ulasan: