Isnin, 14 Mac 2011

KENALLAH ALLAH...BERTAUBAT DAN BERTAQWA....ALLAH BERI MUSIBAH SAPE YANG DIKEHENDAKI....INGATLAH KUASA ALLAH...JANGAN MENIPU DAN BERLAGAK



Amaran Tsunami Selepas Letupan Kuat Loji Nuklear

SOMA (Jepun): Penduduk di sepanjang persisiran pantai utara Jepun diberi amaran kemungkinan gelombang tsunami kedua dan diarahkan supaya menyelamatkan diri ke kawasan tinggi.

Bagaimanapun agensi meteorologi berkata, risiko untuk tsunami berbahaya mungkin tiada.

Amaran berkenaan dikeluarkan selepas satu letupan menggegarkan loji jana kuasa nuklear dekat Fukushima Dai-ichi.

Letupan itu dapat dirasakan sehingga 50 kilometer (km) oleh wartawan Associated Press yang berada kawasan pantai Soma yang penduduknya telah menyelamatkan diri ke kawasan selamat selepas mengharungi lumpur dan jalan raya yang rosak teruk selain dipenuhi serpihan-serpihan runtuhan.

Sedutan televisyen menunjukkan kepulan asap tebal dari unit ketiga loji berkenaan yang terletak kira-kira 190km utara Tokyo.

Kenyataan rasmi kerajaan percaya, letupan hidrogen itu sama dengan letupan awal di unit yang lain di fasiliti berkenaan.

10,000 maut di Miyagi saja



ANGGOTA tentera mengusung mayat di kawasan longgokan kereta yang musnah akibat tsunami di bandar Higashimatsushima di negeri Miyami, Jepun, semalam.
ANGGOTA tentera mengusung mayat di kawasan longgokan kereta yang musnah akibat tsunami di bandar Higashimatsushima di negeri Miyami, Jepun, semalam.

TAGAJO: Jumlah kematian akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun mungkin menjangkau 10,000 orang di satu negeri saja.

Seorang pegawai berkata demikian ketika jutaan penduduk negara itu berdepan dengan masalah ketiadaan air, bekalan elektrik dan makanan sempurna di bandar sepanjang pantai timur laut negara itu.


Ketua Polis Miyagi, memberitahu pegawai bantuan, beliau menganggarkan lebih 10,000 penduduk negeri itu terbunuh, kata jurucakap polis, Go Sugawara.

Penduduk Miyagi berjumlah 10,000 orang dan antara tiga negeri paling teruk terjejas akibat bencana itu yang melanda Jumaat lalu.


Bagaimanapun, setakat ini, angka rasmi kematian di negeri itu hanya 379 orang.
Krisis nuklear mencetuskan ancaman baru bagi mereka yang terselamat daripada gempa bumi dan tsunami.

“Mulanya saya bimbang mengenai gempa. Kini, radiasi pula. Saya tinggal tidak jauh dari loji itu. Kerana itu saya datang ke sini untuk menjalani pemeriksaan sama ada saya selamat. Hasil pemeriksaan menunjukkan saya negatif. Saya tidak tahu apa nak lakukan selepas ini,” kata Kenji Koshiba, seorang pekerja binaan di sebuah pusat kecemasan di bandar Koriyama, bandar berhampiran loji nuklear di Fukushima.


Menurut pegawai, sekurang-kurangnya 1,200 orang terbunuh, termasuk 200 yang mayat mereka ditemui di sepanjang pantai, dan 739 hilang, dalam bencana itu.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan berkata, sebuah helikopter tentera menyelamatkan seorang lelaki berusia 60 tahun yang terapung di laut di atas bumbung rumahnya selepas dihanyutkan oleh tsunami.


Pusat Kaji Ukur Geologi Amerika Syarikat sebelum ini berkata, gempa itu berukuran 8.9 magnitud tetapi pegawai Jepun menaikkan anggaran mereka kepada 9.0.


Namun, kedua-duanya adalah gempa paling kuat pernah dicatatkan di Jepun.


Gempa itu disusuli dengan lebih 150 gegaran kuat selepas gempa.


Pasukan penyelamat mencari mangsa di sepanjang ratusan kilometer pantai Jepun.
Sementara itu, ratusan ribu penduduk yang kelaparan bersesak-sesak dalam kegelapan di pusat kecemasan yang terputus hubungan daripada penyelamat dan bantuan.
Sekurang-kurangnya 1.4 juta keluarga terputus bekalan air sejak gempa itu melanda dan kira-kira 2.5 juta rumah terputus bekalan elektrik.
Suhu pada sebelah malam dilapor jatuh ke paras hampir beku.


Menteri Perdagangan, Banri Kaeda berkata, wilayah berkenaan mungkin berdepan dengan masalah bekalan elektrik lebih teruk dan bekalan tenaga akan dicatu bagi memastikan bekalan cukup untuk keperluan penting saja.


Sejumlah besar kawasan di luar bandar masih ditenggelami air dan tidak boleh dijejaki oleh kumpulan penyelamat.


Stesen televisyen NHK melaporkan, kira-kira 380,000 orang dipindahkan ke pusat kecemasan yang kebanyakannya tidak mempunyai bekalan elektrik. - AP


Krisis paling buruk: Naoto Kan


TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan berkata, negara itu berdepan dengan krisis paling buruk dalam masa 65 tahun sejak Perang Dunia Kedua berakhir selepas ia mengalami kemusnahan teruk akibat gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu.

Keadaan di loji tenaga nuklear juga masih amat membimbangkan, kata Kan ketika jurutera berusaha menangani krisis nuklear, berpunca daripada gempa bumi itu.


Bercakap pada satu sidang akhbar, beliau menggesa penduduk Jepun bersatu dalam mengatasi bencana berkenaan.

“Saya amat yakin kita boleh menghadapi gempa bumi dan tsunami ini dengan bersatu,” katanya. - AFP


Gunung berapi pula meletup


TOKYO: Sebuah gunung berapi di Jepun barat daya meletup semula selepas dua minggu sepi, memuntahkan debu dan batu setinggi empat kilometer ke udara.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada letupan itu berpunca daripada gempa bumi besar berukuran 8.9 magnitud yang melanda utara negara itu Jumaa lalu. Gunung Berapi Shinmoedake setinggi 1,421 meter yang mengalami letupan paling kuat 52 tahun lalu, mula meletup Januari lalu. Pihak berkuasa mengeluarkan amaran melarang orang ramai mendekai seluruh kawasan gunung berkenaan. - AP


Gempa bumi 7 magnitud dijangka landa Jepun lagi


TOKYO: Jepun berdepan dengan 70 peratus kemungkinan gegaran selepas gempa berukuran tujuh magnitud berikutan gempa bumi besar yang melanda pantai timur negara itu Jumaat lalu.

“Ada kemungkinan 70 peratus satu gegaran selepas gempa berukuran tujuh atau lebih akan berlaku dalam masa tiga hari,” kata Pegawai Ramalan dan Maklumat Gempa, Takashi Yokota.


“Kemungkinan itu menurun kepada 50 peratus sepanjang tiga hari bermula 16 Mac,” katanya dengan sambil menegaskan, gegaran kuat selepas gempa berterusan sejak gempa dan tsunami Jumaat lalu.

Gempa berukuran tujuh magnitud boleh memusnahkan bangunan dan menyebabkan tsunami.


Yokota berkata, gegaran selepas gempa berlaku di kawasan seluas 500 meter panjang dan 200 kilometer lebar di bawah laut luar pantai Miyagi dan Ibaraki. - AFP


Krisis nuklear makin teruk



KORIYAMA: Krisis nuklear Jepun semakin buruk semalam ketika pihak berkuasa bergegas untuk menangani ancaman peleburan beberapa reaktor nuklear.

Sementara itu, lebih 170,000 orang dipindahkan dari kawasan berhampiran loji berkenaan kerana bimbang kemungkinan mengalami pencemaran radioaktif.


Pihak berkuasa Jepun berusaha mengurangkan suhu di beberapa reaktor nuklear, termasuk satu yang dikhuatiri pegawai mungkin lebur hari ini bagi mengelak bencana itu daripada bertambah teruk.

Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano berkata, pihak berkuasa tidak dapat menolak kemungkinan satu lagi letupan di loji nuklear akan berlaku.


“Kita tidak boleh menolak kemungkinan satu lagi letupan,” katanya. Bagaimanapun, jika ia berlaku, ia tidak akan memberi kesan serius terhadap kesihatan orang ramai,” katanya.


Lebih 170,000 orang sudah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga meskipun Edano berkata, radioaktif yang tersebar ke udara setakat ini begitu kecil dan tidak mengancam kesihatan.

Peleburan sepenuhnya - kemusnahan sitem loji dan kemampuannya untuk mengekalkan tahap suhu di bawah kawalan - menyebabkan pembebasan uranium dan pencemaran terhadap persekitaran serta mengancam kesihatan. Edano berkata, reaktor Fukushima Dai-ichi tidak mencapai tahap peleburan dan beliau yakin senario terburuk tidak akan berlaku. - AP


160 disyaki terkena radiasi


BEBERAPA anggota perubatan mengangkat seorang lelaki dipercayai terkena radiasi di bandar Nihonmatsu, Fukushima semalam.


TOKYO - Pihak berkuasa Jepun melaporkan, kadar radiasi didapati telah melepasi had yang dibenarkan di loji Fukushima Daiichi 1, 240 kilometer dari utara Tokyo kesan daripada gempa bumi yang berlaku pada Jumaat lalu.

Menurut beberapa pegawai, penemuan tersebut sekali gus meningkatkan kebimbangan akan berlaku kebocoran radiasi dan kemungkinan berlaku kecairan teras loji nuklear.

Loji itu sebelum ini meletup menyebabkan asap menjulang tinggi ke udara sehingga mengakibatkan 45,000 penduduk dipindahkan kerana takut terkena ancaman radiasi.

Agensi Nuklear Jepun melaporkan bahawa bilangan orang yang terdedah akibat radiasi itu mungkin meningkat kepada 160 orang.

Sejumlah kakitangan perubatan melakukan ujian imbasan terhadap penduduk yang tinggal berhampiran dengan loji berkenaan bagi mengesan jika mereka terkena radiasi.

Para pekerja itu melakukan pakaian kalis radiasi semasa melakukan pemeriksaan ke atas penduduk.

Loji tersebut terletak berdekatan dengan pusat gempa yang berlaku kira-kira 130 kilometer dari Sendai pada kedalaman 24 kilometer dalam laut.

Arah tiupan angin kini menjadi tumpuan ahli-ahli meteorologi dan pihak berkuasa nuklear Jepun.

Menurut para pegawai meteorologi Jepun, arah angin itu kini bergerak ke laut selepas ia didapati bergerak ke arah kawasan penduduk pada Sabtu lalu.

Penentuan arah angin itu penting bagi mengetahui kemungkinan berlakunya kerosakan terhadap alam sekitar akibat radiasi yang bocor dari loji berkenaan.

Sementara itu, kekuatan gempa bumi itu dinaikkan menjadi 9.0 pada skala Richter berbanding 8.9 pada skala Richter yang diumumkan oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat pada Jumaat lalu.

Agensi Meteorologi Jepun mengumumkan peningkatan kekuatan itu selepas ia menyatakan bahawa kekuatan gempa tersebut ialah 8.9 pada skala Richter. Gempa bumi itu mencetuskan tsunami setinggi 10 meter.

Gempa bumi itu telah menyebabkan lebih 10,000 dikhuatiri orang terbunuh yang merupakan krisis kemanusiaan yang paling besar pernah berlaku di Jepun sejak Perang Dunia Kedua yang berlaku pada 1945. - Agensi


Mangsa tsunami hanyut tiga hari diselamatkan


HIROMITSU SHINKAWA yang duduk di atas serpihan atap di laut dihampiri dengan bot tentera laut Jepun dekat bandar Fukushima, timur laut Jepun semalam.


TOKYO – Seorang lelaki tua, Hiromitsu Shinkawa hanyut di laut sejak tsunami melanda Fukushima di timur laut Jepun akibat gempa bumi kuat yang berlaku pada Jumaat lalu.

Dia hanya diselamatkan semalam selepas sebuah bot tentera laut Jepun dapat mengesan lelaki yang berumur 60 tahun itu yang sedang melambai-lambai menggunakan kain berwarna merah.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Jepun, Yoshiyuki Kotake berkata, ketika itu, Shinkawa hanya 15 kilometer dari persisiran pantai, Minamisoma.

Kotake berkata, Shinkawa memberitahu kepada anggota penyelamat, tsunami menghanyutkan dia dan isterinya yang pulang ke rumah untuk mengambil barang-barang keperluan selepas gempa bumi Jumaat lalu.

Menurutnya, isterinya hanyut dibawa arus.

Sebelum ini, dia melambai-lambaikan tangannya ke arah beberapa buah helikopter dan kapal bagi mendapatkan perhatian supaya dia diselamatkan.

“Beberapa buah helikopter dan kapal telah melalui dekat dengannya tetapi kelibatnya tidak dapat dikesan, kata seorang lagi jurucakap Kementerian Pertahanan.

Tentera Jepun telah menggunakan sebuah bot yang kecil bagi membantu menyelamatkan Shinkawa yang dihanyutkan di laut.

Agensi berita Kyodo melaporkan, pihak tentera menyifatkan Shinkawa bernasib baik kerana cuaca yang baik dan tenang membantu dia terapung di laut.

“Saya menyangka hari ini (semalam) akan menjadi hari terakhir dalam hidup saya,” kata Shinkawa. – Agensi


Tragedi bagaikan mimpi



SENDAI - Rata-rata rakyat Jepun masih tidak percaya dengan tahap kemusnahan yang dibawa oleh bencana terburuk di negara itu dalam tempoh 140 tahun.

Dengan kapal terbang kelihatan terperangkap di celah runtuhan rumah dan pegawai kerajaan memakai topeng muka untuk memeriksa penduduk yang dikhuatiri terdedah kepada sinaran radiasi, kesan gempa dan tsunami yang berlaku Jumaat lalu dilihat amat luar biasa.

"Adakah ini mimpi? Saya rasa seperti saya berada dalam sebuah filem," kata seorang penduduk, Ichiro Sakamoto, 50.

"Setiap kali saya duduk sendirian, saya perlu mencubit pipi sendiri untuk memeriksa sama ada ini benar-benar berlaku," katanya.

Di Sendai, sebuah bandar pelabuhan dengan populasi seramai sejuta orang, penduduk dan penyelamat bertungkus lumus mencari barang peribadi dan orang tersayang di sebalik runtuhan bangunan.

"Memang tsunami kecil pernah berlaku sebelum ini tetapi tiada siapa sangka ia akan menjadi seburuk ini," kata Michiko Yamada, 75, dari wilayah Iwate.


Gempa ubah paksi bumi



WASHINGTON - Gempa bumi kuat yang melanda Jepun dilaporkan begitu berkuasa sehingga mengubah bentuk persisiran negara itu dan menganjak paksi bumi.

Menurut saintis Amerika Syarikat dan Itali, gempa itu bukan sahaja menyebabkan sebahagian daripada tanah Jepun bergerak hampir 2.5 meter tetapi juga menganjakkan bumi daripada titik paksi sekurang-kurangnya lapan hingga 10 sentimeter ke timur.

Selain itu, gempa terkuat yang pernah melanda Jepun itu turut mempercepatkan pusingan harian bumi sebanyak 1.6 mikrosaat pada hari kejadian.

Profesor dari Universiti Tokyo, Satoko Oki berkata, gempa bumi sekuat itu yang disebabkan pergerakan lantai bumi di bawah laut hanya berlaku sekali setiap 1,000 tahun.


Tiada ulasan: