Ahad, 27 Mac 2011

Kecelakaan Penzina

Kecelakaan Penzina

Mensyukuri Pemberian Allah

Bukhari


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Nabi saw bersabda yang maksudnya : “Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripadamu dan jangan melihat kepada orang yang lebih tinggi. Itulah tembok yang kukuh supaya kamu tidak menghina pemberian Allah kepadamu”. (Bukhari)

Selaku insan mukmin, kita tidak harus menyalahkan apa sahaja pemberian Allah SWT apalagi menghinanya kerana jika dihitung-hitung nikmat Allah, nescaya kita tidak akan sanggup menghitungnya lagi disebabkan terlampau banyak nikmat tersebut termasuklah pemberian yang tidak kita sedari. Oleh itu jangan kita merasa kesal atau kecewa dengan ciptaan atau pemberian Allah sama ada kita mengalami kecacatan, kekurangan dan sebagainya. Hal ini kerana jika kita mengeluh terhadap-Nya, padahal kita sedang menikmati rahmat-Nya, itu bermakna kita tamak dan menutup mata atas nikmat yang telah kita miliki selama ini dan hal demikian akan menjerumuskan kita ke lembah kekufuran serta mengundang kemurkaan Allah sehingga tiba suatu masa kelak, Allah SWT akan menarik semula segala nikmat pemberian-Nya itu dan menggantikannya dengan kesusahan. Ketika itulah kita akan menyesal dan celik akan hakikat sebenarnya. Sesungguhnya sebahagian besar musibah yang menimpa manusia adalah disebabkan oleh keluhan-keluhan mereka terhadap-Nya sedangkan Allah itu Maha Pengasih, Maha Adil dan lemah-lembut terhadap hamba-hamba-Nya. Oleh itu dalam apa juga perkara kita hendaklah bersifat qana’ah dan sentiasa bersyukur di samping berusaha dan bersabar kerana Allah berfirman yang maksudnya: “Boleh jadi kamu benci pada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahui”. (Surah al-Baqarah : Ayat 216)

Kebahagiaan Memberi

At-Tarmizi


Dari Abu Said al-Khudri r.a, dari Nabi S.A.W, baginda telah bersabda yang maksudnya: “Mana-mana orang mukmin yang memberi makan kepada seorang mukmin semasa ia lapar, nescaya Allah memberi makan kepadanya pada hari kiamat dari buah-buahan Syurga; dan mana-mana orang mukmin yang memberi minum kepada seorang mukmin semasa ia dahaga, nescaya Allah memberi minum kepadanya pada hari kiamat dari minuman syurga yang tersimpan dengan sebaik-baiknya; dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakai kepada seorang mukmin semasa ia memerlukan pakaian, nescaya Allah memberi pakaian kepadanya dari pakaian syurga”. (at-Tirmidzi)

Islam memberi galakan kepada umatnya agar memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban yang ditanggung lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi. Perbuatan memberi dengan diiringi hati yang tulus akan membuatkan hati seseorang berasa tenang dan damai. Ketika orang lain memberikan sesuatu pada kita, maka terimalah dengan hati yang ikhlas diiringi dengan senyuman dan ungkapkanlah kegembiraan hati kita kepadanya dengan ucapan terima kasih yang sebenarnya sangat bererti bagi orang yang memberi. Pemberian memerlukan penerimaan, pemberian yang tulus juga memerlukan penerimaan yang tulus. Sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W, bahawa tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah, maka memberi adalah lebih baik daripada menerima. Berusahalah untuk lebih banyak memberi daripada menerima pemberian orang lain. Namun begitu apabila tibanya suatu saat di mana tibanya masa untuk diri kita menerima, maka terimalah juga dengan suatu ketulusan, jangan merasa rendah diri, tapi bertekadlah dalam hati untuk berusaha membalas pemberian tersebut kepadanya atau dalam erti kata lain “saat kita menerima sesuatu kita sesungguhnya sedang belajar untuk memberi sesuatu”.


Bersyukur

At-Tabrani
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya : “Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenangkan budi yang diberi ia dianggap sebagai kufur nikmat”. (Riwayat At-Tabrani)

Bersyukur adalah satu tindak balas yang baik sama ada melalui perkataan atau perbuatan terhadap kebaikan yang diterima oleh seseorang. Sebenarnya tidak ada sesiapa yang berhak menerima kesyukuran dan pujian, selain daripada Allah S.W.T kerana terlalu besar nikmat dan pemberian yang diberikan oleh Allah kepada kita. Oleh itu sebagai tanda bersyukur kepada Allah kita hendaklah mengekalkan baik sangka kepada-Nya serta meletakkan keyakinan kepada Allah S.W.T dalam apa jua keadaan diiringi dengan ketaatan dalam beribadah. Budaya bersyukur hendaklah disuburkan dalam masyarakat di mana rakyat hendaklah disedarkan supaya menghargai keamanan dan kemakmuran negara, tidak lupa daratan sehingga menyalahgunakan kemewahan untuk pembaziran, melakukan maksiat dan gejala tidak sihat yang mengakibatkan berlakunya kerosakan dan bencana pada diri, keluarga dan masyarakat. Semua ini menunjukkan tanda kufur terhadap nikmat Allah S.W.T dan kesudahannya ia akan menjerumuskan masyarakat dan negara kepada kerosakan dan kehancuran. Tanda bersyukur dalam perkhidmatan pula adalah dengan menjadikan khidmat kepada negara dan orang ramai sebagai satu ibadah, bukan semata-mata untuk mencari nafkah kerana tujuan seseorang itu diambil berkhidmat adalah untuk memberikan khidmat yang memuaskan kepada orang ramai dan untuk meningkatkan kemajuan dan kemakmuran negara.


Kelebihan Membaca Surah Al-Baqarah

Muslim


Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu perkuburan sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah”. (Riwayat Muslim)

Rumah adalah sebahagian daripada kesempurnaan nikmat pemberian Allah SWT kepada manusia. Rumah menjadi tempat tinggal, tempat berehat dan banyak lagi manfaat lain yang boleh diperoleh daripadanya. Itulah yang dikatakan oleh Ibnu Katsir ketika mentafsirkan surat An Nahl ayat 80, (“Dan Allah menjadikan bagi mu rumah-rumah mu sebagai tempat tinggal”). Justeru mereka yang dikurniakan kemampuan memiliki rumah sendiri tidak kira besar mahupun kecil perlu mensyukurinya. Islam mengajar kita tatacara tertentu dalam mendirikan rumah atau menduduki rumah baru iaitu memperbanyakkan membaca surat Al-Baqarah dari ayat pertama sehingga ayat terakhir. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya : “Bacalah surat al-Baqarah di rumah kalian, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak akan memasuki sesebuah rumah yang di dalamnya dibacakan surat al-Baqarah”. Surah al-Baqarah menceritakan asal usul kejadian manusia, serta asal usul kemurkaan Allah kepada syaitan. Hakikat inilah yang melemahkan syaitan apabila kita membaca surah tersebut. Ia mendedahkan kelemahan mereka dan kehormatan kita yang dilantik oleh Allah SWT sebagai khalifah di dunia. Dengan membacakan surah al-Baqarah suasana rumah akan menjadi lebih tenang dan akan dijauhi daripada gangguan syaitan. Jangan pula ketika memasuki rumah baru kita membawa masuk segala perkara baru yang bercanggah dengan agama seperti mengamalkan perkara khurafat dan ritual-ritual seperti memanggil dukun dan paranormal agar rumah terhindar daripada gangguan syaitan atau perkara-perkara ghaib. Semua ini jelas merupakan perbuatan syirik dan mengundang kemurkaan Allah! Ketika di rumah sama ada rumah baru atau yang sudah lama didiami, jangan sesekali kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengundang syaitan untuk masuk dan tinggal di dalamnya seperti membawa masuk perkara-perkara haram dan maksiat, menyimpan patung berhala dan sebagainya. Mahukah kita mendiami rumah bersama-sama syaitan? Ketahuilah bahawa syaitan sesekali tidak akan pernah berhenti berusaha untuk memasuki rumah orang-orang yang beriman dengan tujuan untuk menyesatkannya.


Elakkan Gambar-Gambar Binatang

Muslim


Dari Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah s.a.w melihat bantal-bantal tersebut Baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah Baginda bahawa Baginda tidak senang. Berkata Aisyah : Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku? Rasulullah s.a.w kembali bertanya : Bantal-bantal apakah itu? Jawab Aisyah : Aku membelinya sebagai tempat duduk anda atau tempat anda bersandar. Sabda Rasulullah s.a.w : Pelukis gambar-gambar ini akan disiksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka; hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu! Kemudian Baginda bersabda : Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu. (Hadis Riwayat Muslim)

Khusyuk Dalam Solat

Bukhari


Diriwayatkan dari Aisyah katanya : “Nabi s.a.w pernah solat memakai baju bergambar (bercorak-corak). Suatu ketika Nabi s.a.w terlihat kepada gambar di baju itu. Setelah selesai solat, Nabi berkata : “Bawalah bajuku ini kepada Abu Jahm dan bawa kembali tukaran daripada Abu Jahm. Baju ini melalaikanku sebentar tadi dari solatku”. (al-Bukhari)

Solat adalah sah jika menepati segala rukun dan syarat yang telah ditentukan oleh syarak walaupun memakai pakaian yang bergambar. Walau bagaimanapun dari segi adab dalam beribadat, perkara ini tidak digalakkan kerana ia mungkin mengganggu penumpuan kita atau orang lain terhadap solat kecuali tidak ada pakaian yang lebih baik ketika itu. Sesungguhnya dalam beribadat, bukan sahaja rukun dan syarat perlu diikuti tetapi adab juga mesti diutamakan. Memakai pakaian yang sopan dan selayaknya dipakai mestilah dititikberatkan apalagi ketika behadapan dengan Allah Ta’ala. Itulah yang dinamakan sifat ihsan iaitu merasakan bahawa Allah Ta’ala melihat ibadat yang sedang kita kerjakan. Jika kita tidak menjaga adab ini dikhuatiri ibadat kita tidak sempurna walaupun di sisi syarak ianya dianggap sah.


Larangan Berdua-Duaan

At-Tarmizi


Rasulullah saw telah bersabda yang maksudnya: “Mana-mana lelaki tidak akan berdua-duaan (berkhalwat) dengan perempuan, melainkan pasti syaitan akan menjadi yang ketiga”. (at-Tirmidzi)

Wanita adalah dilarang berkhalwat dengan lelaki yang bukan muhrimnya di mana berkhalwat tidak semestinya berlaku di dalam rumah sahaja tetapi ia juga boleh berlaku di tempat-tempat yang sunyi tanpa dihadiri atau dilihat oleh orang ramai seperti di taman, tasik, pejabat dan sebagainya. Perlu diingat syaitan merupakan makhluk yang bijak (menghasut). Selagi ada kesempatan yang terluang, ia akan menggoda manusia untuk melakukan perbuatan yang terkutuk. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berwaspada. Jangan sekali-kali menghampiri pintu yang menghumban ke neraka seperti melakukan khalwat yang akhirnya menjebakkan diri kepada zina dan sebagainya.

Kecelakaan Penzina

al-Bazzar


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : “Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi sama mengutuk orang yang selalu berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam neraka dapat mengganggu ahli neraka kerana sangat busuknya”. (Riwayat al-Bazzar)

Di antara sifat orang-orang mukmin yang sebenar adalah menjaga kemaluannya dari perbuatan zina kerana zina adalah termasuk dalam kategori dosa-dosa besar (al-kaba’ir) disamping menyekutukan Allah, meminum minuman keras, berjudi, mencuri dan membunuh. “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”. (Al-Israa’: 32) Larangan zina yang digunakan di dalam al-Quran ini mempunyai makna yang sangat mendalam iaitu bukan hanya perzinaan sahaja dilarang, tetapi segala-gala yang menjadi pintu ke arah itu adalah dilarang sama sekali seperti memandang aurat wanita, mendengar perkara yang boleh menaikkan nafsu seperti kelunakan suara, bergaul bebas antara lelaki dan wanita, berdua-duaan dengan orang yang bukan muhrim dan sebagainya. Etika berpakaian juga harus dititikberatkan di mana pakaian seorang muslimah itu wajib memenuhi fungsi dasarnya iaitu menghindarkan seseorang dari dorongan berahi kerana jika aurat tidak ditutup dengan sempurna ia akan mengundang berlakunya kejadian rogol atau perbuatan zina yang boleh merosakkan maruah individu yang terlibat. Hari ini seakan menjadi “trend” kebanyakan pakaian yang dipakai terlalu pendek, ketat dan nipis. Fenomena seperti ini patut dicegah demi kesejahteraan seluruh masyarakat. Segala saluran yang dikira boleh membawa manusia kepada perzinaan seperti rumah-rumah pelacuran, disko-disko, rumah-rumah urut dan sebagainya hendaklah dicegah dan ditutup keseluruhannya. Jika tidak akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini.


Golongan Yang Dilaknat

Muslim


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menganggap mereka sebagai orang yang bersih, tidak melihat kepada mereka, dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan azab yang sangat pedih. Mereka ialah orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang suka berbohong dan orang miskin yang sombong”. (Riwayat Muslim)

Allah S.W.T. amat benci kepada tiga golongan manusia. Tiga golongan tersebut adalah orang tua yang masih tidak meninggalkan perbuatan zina, pemimpin yang bercakap bohong dan orang miskin yang sombong. Segala perbuatan yang dilarang oleh agama hendaklah dijauhi dan seandainya seseorang itu terjerumus ke lembah dosa dan noda maka hendaklah dia segera bertaubat agar dosanya diampunkan oleh Allah. Siksaan di akhirat adalah amat pedih. Oleh itu selagi hayat dikandung badan, pergunakanlah masa sepenuhnya untuk memperbanyakkan amal ibadat agar kehidupan di dunia dan akhirat mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T.

Empat Golongan Yang Dimurkai Allah

At-Tabrani, Baihaqi


Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya : “Empat kalangan yang pada waktu pagi mereka dimurkai Allah dan pada waktu petangnya juga dimurkai Allah”. Abu Hurairah bertanya : “Siapa mereka wahai Rasulullah?” Jawab Baginda : “Orang lelaki yang berlagak seperti wanita, kaum wanita yang berlagak seperti lelaki. Orang yang bersetubuh dengan binatang dan orang yang melakukan hubungan sejenis”. (At-Tabrani dan al-Baihaqi)

Allah S.W.T melaknat orang yang melakukan perbuatan keji dan terkutuk seperti golongan bapuk (maknyah), perempuan yang berperwatakan lelaki (pengkid), mereka yang bersetubuh dengan binatang dan orang yang melakukan homoseks (gay dan lesbian). Semua perbuatan ini jelas menunjukkan penentangan terhadap hukum fitrah manusia yang seolah-olah menolak ketetapan Allah S.W.T. Mereka membiarkan hawa nafsu menguasai diri hingga sanggup melakukan perkara mungkar bahkan lebih jijik lagi sanggup bersetubuh dengan binatang. Sesungguhnya manusia adalah makhluk yang amat dimuliakan oleh Allah S.W.T. Sewajarnya mereka bertindak selaku orang yang berakal fikiran bukan seperti binatang yang bernafsu buas tanpa mengenal buruk baik, halal dan haram. Syaitan adalah musuh utama manusia. Setiap perbuatan buruk yang dilakukan adalah petanda bahawa seseorang itu sudah terpengaruh dengan godaan dan hasutannya.

Tujuh Golongan Manusia

At-Tarmizi


Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu; Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, Aku takut kepada Allah, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya”. (Riwayat at-Tirmidzi)

Pemimpin yang adil adalah pemimpin yang dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Nasib rakyatnya adalah terletak di tangannya. Manakala pemuda yang kuat beribadah adalah menunjukkan betapa diusia sebegini (muda) seseorang itu terpaksa mengharungi berbagai cabaran dan godaan. Oleh itu bagi orang yang berjaya mendidik nafsunya dengan baik dia akan beruntung kerana mempunyai kekuatan dari segi fizikal dan mental untuk melakukan kebaikan dan beribadah kepada Allah. Begitulah sebaliknya bagi mereka yang terjerat dengan pujuk rayu syaitan maka seluruh usia mudanya akan dihabiskan untuk melakukan maksiat dan dosa. Orang yang berjinak dengan masjid pula sudah tentu mendapat jaminan syurga oleh Allah kerana ia telah menjadi tetamu Allah dan mengimarahkan rumah Allah (masjid) dengan amal ibadat dan ini menjadikan hati mereka sentiasa dekat dengan Allah. Sedangkan orang yang berkasih sayang kerana Allah merupakan mereka yang mempunyai nilai-nilai yang dituntut oleh Islam iaitu ikhlas dalam menjalinkan hubungan silaturrahim dan ingat-mengingatkan tentang kebaikan antara satu dengan yang lain. Menolak daripada melakukan maksiat apalagi zina merupakan tanda kekuatan iman seseorang yang berjihad melawan nafsunya dan bisikan syaitan yang menggoda. Oleh itu mereka yang berjaya melakukannya adalah orang yang teguh imannya, tidak mudah goyah untuk melakukan sebarang kejahatan. Orang yang banyak bersedekah adalah orang yang tahu akan kebaikan di masa akan datang kerana Allah SWT telah berjanji bahawa pintu rezeki hamba-Nya akan diluaskan jika seseorang itu banyak bersedekah. Bersedekah adalah tanda bahawa seseorang itu mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah. Sebaliknya orang yang bersifat kedekut adalah orang yang tamak. Sedekah hendaklah dilakukan ikhlas kerana Allah, bukan kerana perasaan riak atau ingin menunjuk-nunjuk. Orang yang mencintai Allah SWT dengan hati yang ikhlas semestinya akan merasa keagungan dan kebesaran Allah. Oleh itu di saat ia bertafakur kepada Allah akan keluarlah air mata kerinduan dan keinsafan dari dalam dirinya.


Kedekut dan Tamak

Bukhari Muslim

Asma’ r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda (kepada Asma) : “Nafkahkanlah dan janganlah kamu menyempitkan sedekah yang menyebabkan Allah menyempitkan (tidak mengeluarkannya) untuk kamu. Dan janganlah kamu menyembunyikan sesuatu dalam bungkusan yang kerananya Allah memutuskan berkatnya dan kesuburannya”. (al-Bukhari dan Muslim) Allah melarang kita daripada bersifat kedekut, suka mengumpulkan harta dan tidak menafkahkan harta ke jalan Allah. Orang yang banyak bersedekah adalah orang yang tahu akan kebaikan di masa akan datang kerana Allah SWT telah berjanji bahawa pintu rezeki hamba-Nya akan diluaskan jika seseorang itu banyak bersedekah.

Pendapatan Haram. Ahmad 6Share
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : “Tidak seorang pun yang bekerja untuk mendapatkan kekayaan dengan jalan haram kemudian ia membelanjakan padanya dengan harapan mendapat berkat daripadanya dan ia bersedekah dengannya dengan harapan sedekah itu akan diterima dan meninggalkan harta pusaka (sesudah meninggal) melainkan semua itu sebagai bekalannya ke neraka”. (Riwayat Ahmad).

Bekerja untuk mencari nafkah hidup (pendapatan) adalah perlu dalam kehidupan. Ia juga merupakan ibadah sekiranya rezeki itu diperolehi dan dibelanjakan mengikut cara dan kehendak Islam. Perkara yang perlu ditekankan dalam mencari pendapatan adalah status hukum pendapatan yang diperolehi itu. Pendapatan yang diperolehi dengan cara haram adalah kekal haram dan tidak akan menyucikan pendapatan itu dengan membelanjakan pendapatan itu ke arah kebaikan. Masyarakat hari ini kurang menitikberatkan soal halal haram sesuatu pendapatan sedangkan perkara itu amat dipandang serius oleh Islam. Pendapatan yang diperolehi melalui cara haram walaupun dibelanjakan ke arah kebaikan seperti bersedekah tidak akan mendapat manfaat atau ganjaran pahala melainkan ianya sebagai bekalan ke neraka.

Bisikan Malaikat Dan Bisikan Syaitan

Ibnu Mas'ud

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam, dan Malaikat juga ada bisikannya; ada pun bisikan syaitan itu ialah galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan bisikan Malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenarannya; oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan.” (Ibn Mas’ud r.a)

Setiap manusia mempunyai lintasan hati yang berlainan kerana berlainan sebabnya. Satu daripada jenis lintasan itu adalah lintasan yang dibawa oleh malaikat yang bertugas memancarkan ke dalam hati manusia perasaan suka berbuat kebajikan dan menerima kebenaran; sementara satu lagi lintasan adalah lintasan syaitan iaitu lintasan untuk melakukan kejahatan dan menolak kebenaran. Lintasan malaikat ini dinamakan sebagai “ilham” dan lintasan jahat syaitan itu sebenarnya adalah “was-was” di mana kita diperintahkan memohon perlindungan Allah daripadanya sebagaimana yang dimaksudkan di dalam al-Quran (surah An-Nas). Oleh yang demikian selaku manusia biasa, apabila datang sesuatu lintasan hati, maka hendaklah kita mempertimbangkannya terlebih dahulu dengan neraca syarak; jika bersesuaian kerjakanlah, jika sebaliknya jauhkanlah.

Tiada ulasan: