Isnin, 28 Mac 2011

Wanita Pilihan.

Wanita Pilihan.

Bohong Yang Diharuskan

Bukhari


Dari Ummu Kalsum binti ‘Uqbah r.a sesungguhnya ia mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Bukanlah termasuk pendusta orang yang mendamaikan manusia. Ditambahnya yang baik atau dikatakannya yang baik”. (Bukhari)

Berdusta atau berbohong adalah satu sifat yang dikeji. Namun ada juga bohong yang diharuskan iaitu bohong yang bertujuan untuk mendamaikan orang yang bertelagah. Umat Islam pada hari ini masih lagi terumbang-ambing, lemah, miskin dan berpecah belah meskipun Islam sesungguhnya amat menggalakkan perpaduan, kesatuan, persefahaman dan keharmonian dalam kehidupan sejagat. Dalam erti kata lain, Islam melarang umatnya bergaduh, berperang apalagi bertengkar sesama sendiri sehingga melibatkan perbuatan mencederakan, membunuh dan sebagainya. Inilah sebabnya mengapa Islam memuliakan seorang manusia yang berusaha untuk mendamaikan orang yang bertelagah meskipun terpaksa dilaksanakan dengan cara menipu (perkara yang harus) demi menjalinkan semula ikatan persaudaraan tersebut agar keadaan kembali menjadi aman dan damai. Jadi, menipu atau berbohong yang bertujuan mendamaikan orang yang bertelagah tanpa ada sebarang niat lain melainkan kerana Allah adalah diharuskan.

Setiap Penyakit Mempunyai Penawar.

Abu Daud


Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya : “Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram”. (Abu Daud)

Setiap penyakit ada ubatnya, jika bersesuaian ubat tersebut, maka ia akan sembuh dengan izin Allah S.W.T. Meskipun Islam mengharamkan penggunaan bahan-bahan tertentu seperti najis, air kencing, alkohol dan sebagainya untuk tujuan perubatan namun terdapat keadaan di mana seseorang itu diberi keharusan (rukhsah) untuk berbuat demikian iaitu bilamana berada dalam peringkat darurat (kecemasan) dan tiada lagi ikhtiar-ikhtiar lain yang boleh dilakukan. Atau dengan perkataan lain diharuskan untuk yang terpaksa. Dalam masalah ini pengambilan benda-benda yang haram sebagai ubat hendaklah sekadar perlu sahaja bagi menyembuhkan penyakit yang menimpa. Manakala rawatan tersebut mestilah dikendalikan oleh seorang doktor Muslim yang dipercayai tentang agama dan ilmunya. Rukhsah ialah hukum keringanan yang disyariatkan oleh Allah dalam keadaan-keadaan tertentu (iaitu ketika darurat) manakala pengertian darurat pula ialah kesusahan yang memudaratkan iaitu bencana yang tidak ada sesuatu yang boleh mencegahnya. Selaku seorang Islam kita diwajibkan berikhtiar untuk mendapatkan rawatan yang halal dan menjauhi perkara yang haram apalagi yang melibatkan perbuatan syirik kepada Allah.


Wanita Terkutuk.

Ibnu Mas'ud


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : “Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah”. (Riwayat Ibnu Mas’ud)

Maksud mengubah ciptaan Allah S.W.T. ialah dengan membuat perubahan pada ciptaan Allah S.W.T yang telah sempurna secara pandangan umum dan atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan kecacatan. Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah S.W.T. yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baru selepas itu agar menepati cita rasa sendiri supaya kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan yang haram di sisi Islam. Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan oleh ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah S.W.T. Sekiranya yang dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk bulu yang dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya ia tidak dikategorikan sebagai mengubah ciptaan Allah S.W.T. Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah S.W.T kerana Allah S.W.T itu cantik dan sukakan kecantikan. Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya sahaja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir), memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat yang botak (bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang jeragat pada kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat atau spray) dan sebagainya sebagai perbezaan antara merawat atau menjaga keaslian ciptaan Allah S.W.T dengan mengubah ciptaan-Nya di mana merawat atau menjaga itu adalah HARUS manakala mengubahnya adalah HARAM. Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah S.W.T. Oleh itu kita hendaklah mematuhi segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang suka menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah di mana sikap ini sebenarnya merupakan sikap yang diwarisi daripada syaitan.


Gurau Senda


Abu Daud
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah!” (Riwayat Abu Daud)

Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda. Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat Baginda. Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti : Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a.w.Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.Gurauan itu bukan mengumpat seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat-buat.Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila ketawa Baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terbahak-bahak dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam erti kata yang sepatutnya.

Wanita Pilihan. Bukhari, Muslim 40ShareRasulullah SAW bersabda: “Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Secara umumnya hadis ini menyenaraikan tentang ciri-ciri wanita yang biasanya menarik perhatian lelaki untuk dijadikan calon isteri. Wanita yang kaya, berharta, berdarjat tinggi dan cantik jelita adalah pakej lengkap yang meruntun hati kaum lelaki untuk menyuntingnya. Namun yang lebih penting hadis di atas menyarankan kepada kaum lelaki agar memilih bakal isteri yang memiliki ciri “kuat penghayatan agamanya”. Ini disebabkan wanita yang melaksanakan segala ajaran agama akan memberikan pengaruh serta kesan yang besar terhadap kebahagiaan hidup berumahtangga.


Makanan Haram

Abu Nuim, Baihaqi


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya”. (Riwayat al-Baihaqi dan Abu Nuim)

Harta-harta yang berkat itu adalah harta yang halal dan baik, kerana sesuatu yang diambil dari yang tidak halal dan tidak baik tidak mungkin mampu mendorong seseorang kepada melakukan kebaikan sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain. Setiap daging yang tumbuh atau dihasilkan dari sesuatu yang haram maka nerakalah tempatnya. Pengertian halal yang harus difahami daripada hadis di atas adalah mencakupi aspek-aspek berikut : Halal wujudnya, iaitu apa saja yang tidak dilarang oleh agama Islam, seperti makanan dan minuman yang tidak diharamkan oleh syariat Islam.Halal cara mengambil atau memperolehinya, iaitu cara mengambil atau cara memperoleh yang tidak dilarang oleh syariat Islam seperti harta yang diperoleh dari pekerjaan yang halal menurut pandangan syariat Islam.Halal kerana tidak bercampur dengan hak milik orang lain, kerana sudah dikeluarkan zakatnya. Jika sebaliknya (haram) jika ia berupa bahan makanan dan dimakan oleh seseorang maka pengaruhnya sangat buruk terhadap perkembangan rohani dan jasmani seseorang.

Lalat Dan Penyakit.

Bukhari


Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : “Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang di antara kamu maka rendamkanlah lalat itu kemudian buanglah. Kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lain terdapat ubat”. (Riwayat al-Bukhari)

Islam menyuruh kita supaya menjaga kebersihan bukan sahaja pada pakaian dan tempat tinggal malah pada makanan dan juga minuman. Rasulullah SAW amat menitikberatkan hal ini sehinggakan apabila seekor lalat yang memasuki makanan atau minuman, Baginda menyuruh kita berwaspada terhadap penyakit yang bakal menimpa seperti keracunan makanan dan sebagainya. Apa yang disebutkan di dalam hadis di atas telah pun dibuat kajian oleh para saintis pada zaman kemudiannya. Contohnya pada tahun 1871, Prof. Brefild, Ilmuwan Jerman dari Universiti Hall menemui mikroorganisma jenis Fitriat yang diberi nama Ambaza Mouski dari golongan Antomofterali. Mikroorganisma ini hidup di bawah tingkat zat minyak di dalam perut lalat. Ambaza Mouski ini berkumpul di dalam sel-sel sehingga membentuk kekuatan yang besar. Kemudian sel-sel itu akan pecah dan mengeluarkan sitoplasma yang dapat membunuh kuman-kuman penyakit. Sel-sel tersebut terdapat di sekitar bahagian ke tiga dari tubuh lalat, iaitu pada bahagian perut dan ke bawah. Kemudian pada tahun 1947, Ernestein seorang Inggeris juga menyelidiki Fitriat pada lalat. Hasil penyelidikannya menyimpulkan bahawa fitriat tersebut dapat memusnahkan pelbagai bakteria. Tahun 1950, Roleos dari Switzerland juga menemui mikroorganisma ini dan memberi nama Javasin. Para peneliti lain iaitu Prof. Kock, Famer (Inggeris), Rose, Etlengger (German) dan Blatner (Switzerland) melakukan penyelidikan dan membuat kesimpulan yang sama tentang mikroorganisma pada lalat sekaligus membuktikan bahawa pelbagai penyakit dan bakteria pada lalat hanya terdapat pada hujung kakinya saja dan bukan pada seluruh badannya. Justeru mikroorganisma yang dapat membunuh kuman itu tidak dapat keluar dari tubuh lalat kecuali setelah disentuh oleh benda cair. Cairan ini dapat menambah tekanan pada sel-sel yang mengandungi mikroorganisma penolak kuman sehingga pecah dan memercikkan mikroorganisma istimewa ini. Maka adalah ternyata bahawa apa yang dikatakan oleh Rasulullah adalah benar iaitu saranan Baginda kepada kita agar menenggelamkan lalat terlebih dahulu ke dalam air bagi mengeluarkan mikroorganisma penolak kuman dari badan lalat tersebut, dalam erti kata bahawa badannya harus dibasahkan sebelum membuangnya dan air yang menjadi tempat pendaratan lalat tadi dapat diminum dengan selamat. Subhanallah betapa hebatnya junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.


Persediaan Sebelum Tidur

Bukhari


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari ra bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sekiranya hendak tidur kita disarankan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Dalam suatu riwayat menerangkan: Daripada Aisyah ra katanya: Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian Baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dimulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat at-Tirmizi) Selain itu, sebelum tidur Baginda menunaikan sembahyang witir kerana Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur. Oleh itu kita dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur. Ketika Baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, Baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum Baginda tidur semula. Berkenaan dengan cara tidur pula, Rasulullah SAW selain daripada tidur miring (mengiring) ke sebelah kanan, Baginda juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis di atas.

Memanfaatkan Harta.

Muslim


Dari Jabir r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Peliharalah hartamu baik-baik dan jangan dirosakkan kerana setiap orang diberi suatu pemberian, maka harta itu menjadi milik yang diberi selama hidupnya dan apabila meninggal menjadi milik keturunannya”. (Muslim)

Harta sebagai salah satu amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat manusia haruslah disyukuri dengan cara membelanjakannya di jalan yang diperintah oleh agama. Itulah bekalan amalan yang akan dibawa di akhirat kelak. Keserakahan akibat daripada terlalu cinta terhadap harta akan menjadikan seseorang itu mendapat kemurkaan daripada Allah sebagaimana yang telah berlaku terhadap Qarun yang ditelan bumi bersama-sama dengan harta-harta yang dimilikinya. Bagi mengekalkan keselesaan dan kebahagiaan di dunia, Islam menolak beberapa tabiat buruk yang boleh mengancam kesejahteraan hidup dan menukarnya dengan sekelip mata daripada senang kepada susah, daripada hidup mewah kepada menderita dan papa kedana iaitu sikap suka berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu. Pembaziran harta juga disebut sebagai memusnahkan harta benda sama ada secara disedari atau tidak seperti mengabaikan ternakan dan tanaman, tidak menjaga makanan sehingga musnah dan tidak boleh dimakan, membiarkan pakaian kotor sehingga cepat luntur, tidak menyelanggarakan rumah kediaman, kereta dan barang kepunyaan sendiri sehingga cepat rosak dan sebagainya.

Sedekah Dari Usaha Yang Baik.

Bukhari, Muslim


Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Sesiapa bersedekah seberat biji kurma dari usaha yang baik, dan tidak naik (sampai) kepada Allah melainkan yang baik, maka sesungguhnya Allah menyambutnya dengan tangan kanan-Nya. Kemudian Allah memelihara sedekah itu untuk pemiliknya, sebagaimana seorang kamu memelihara anak-anak kudanya sehingga menjadilah sedekah itu setinggi gunung”. (al-Bukhari dan Muslim)

Pemberian itu merangkumi sedekah dan hadiah. Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka ia dinamakan sedekah, tetapi jika ia dimaksudkan sebagai satu penghargaan, sanjungan dan tanda kasih maka ia dinamakan hadiah. Allah menyuruh kita agar menginfakkan harta dan memberi sedekah dengan harta yang halal dan melarang kita daripada menginfakkan harta yang haram sebagaimana ia menyuruh kita agar memastikan agar makan, minum, pakaian dan segala harta benda yang kita gunakan di dunia ini adalah datang daripada sumber yang halal. Sebenarnya bersedekah adalah antara amalan sunat yang dianjurkan dan digalakkan dalam Islam. Anjuran ini tidaklah hanya ditujukan kepada orang-orang kaya sahaja, malah orang-orang yang kurang berada pun dianjurkan bersedekah menurut kadar kemampuan masing-masing.

Pendapatan Haram.

Ahmad


Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : “Tidak seorang pun yang bekerja untuk mendapatkan kekayaan dengan jalan haram kemudian ia membelanjakan padanya dengan harapan mendapat berkat daripadanya dan ia bersedekah dengannya dengan harapan sedekah itu akan diterima dan meninggalkan harta pusaka (sesudah meninggal) melainkan semua itu sebagai bekalannya ke neraka”. (Riwayat Ahmad). Bekerja untuk mencari nafkah hidup (pendapatan) adalah perlu dalam kehidupan. Ia juga merupakan ibadah sekiranya rezeki itu diperolehi dan dibelanjakan mengikut cara dan kehendak Islam. Perkara yang perlu ditekankan dalam mencari pendapatan adalah status hukum pendapatan yang diperolehi itu. Pendapatan yang diperolehi dengan cara haram adalah kekal haram dan tidak akan menyucikan pendapatan itu dengan membelanjakan pendapatan itu ke arah kebaikan. Masyarakat hari ini kurang menitikberatkan soal halal haram sesuatu pendapatan sedangkan perkara itu amat dipandang serius oleh Islam. Pendapatan yang diperolehi melalui cara haram walaupun dibelanjakan ke arah kebaikan seperti bersedekah tidak akan mendapat manfaat atau ganjaran pahala melainkan ianya sebagai bekalan ke neraka.


Mencari Rezeki

At-Tabrani


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : “Meraka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya dari meminta-minta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam.” (Riwayat At-Tabrani)

Sesungguhnya Allah S.W.T amat kasih kepada orang yang berusaha atau bekerja mencari rezeki dengan titik peluh sendiri di mana dengan itu dia dapat memenuhi keperluan dan tanggungjawabnya terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Malah kedudukannya adalah lebih baik daripada bersikap pemalas dan meminta-minta daripada orang lain. Allah telah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut oleh Islam. Kita perlu ingat bahawa hanya rezeki yang halal sahaja mesti dicari kerana di situlah letaknya keberkatan dan ganjaran daripada Allah S.W.T. Sedangkan rezeki yang diambil daripada punca yang haram seperti rasuah dan sebagainya, lambat laun akan menimbulkan kecelakaan dan masalah dalam hidup bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga.


Tanpa Izin Suami

Muslim

Dari Abu Hurairah r.a, katanya, Nabi s.a.w bersabda : “Seorang wanita janganlah berpuasa (sunat) ketika suaminya ada, melainkan dengan izin suaminya; dan janganlah dia membolehkan orang lain masuk ke rumahnya melainkan dengan izin suaminya; dan sesuatu yang disedekahkan isteri dari hasil usaha suaminya tanpa perintah suami, pahalanya seperdua bagi suami”. (Muslim)

Hadis ini menjadi dalil bahawa haram atas isteri mengerjakan puasa sunat melainkan dengan izin suaminya, kecuali kalau suaminya tidak ada bersama kerana pergi keluar negeri maka ia boleh mengerjakan puasa sunat dan tidak memerlukan izin suaminya. Jelasnya hak suami adalah satu perkara yang wajib dan tidak boleh dicuaikan kerana melakukan suatu yang sunat. Berdasarkan hadis ini juga, haram hukumnya isteri membenarkan orang lain masuk ke rumah ketika ketiadaan suaminya. Namun dalam bersedekah, isteri boleh bersedekah tanpa perintah suami dan suami akan diganjarkan dengan separuh pahala.

Tiada ulasan: